Selasa, 12 Oktober 2010

51 - Cepat Berubah,Jangan Berlengah Lagi!

“Fast action,Fast Result” sergah Dr.Azizan Osman kepada semua peserta seminarnya.

“Siapa yang mahukan RM50 dari tangan saya ini?”soalnya pula.

“Saya!!!”jawab peserta beramai-ramai.

Tiba-tiba aku melihat kelibat seseorang berlari meluru ke depan dan terus mencapai duit tersebut.

“Bukankah saya sudah katakan tadi.Fast Action,Fast Result!Itulah rahsia kejayaan.Kalau duduk sahaja dengan hanya menjerit SAYA sahaja,kamu tak akan dapat apa-apa.Itulah kuasa bertindak!”jelas Dr.Azizan Osman kepada kami.

Kempunan.

Kempunan melihat orang dapat RM 50 begitu sahaja.Dah memang aku tak bertindak...

Saya pernah terbaca dalam buku karangan Dr.Irfan Khairi yang bertajuk Nota Jutawan Nota Motivasi.

Katanya dalam buku tersebut,beliau telah menetapkan matlamat untuk berjaya pada usia 18 tahun.Setelah berusaha keras,cita-citanya tercapai pada usia 25 tahun.

Lebih menarik lagi,sedikit perkongsian yang dibuat berkenaan Mr.Colonel Saunders,pengasas KFC.Beliau telah mencapai cita-citanya pada usia 72 tahun.Lambat bukan jika dibandingkan dengan Dr.Irfan Khairi?

Eh,bagaimana Dr.Irfan cepat berjaya manakala Mr.Colonel lambat?

Jawapannya mudah sahaja.Cepat bertindak!

Agaknya pada masa bilakah Mr.Colonel Saunders menetapkan matlamat memiliki francais KFC diseluruh dunia?Sebenarnya dia mula menetapkan matlamat pada umur 65 tahun!

Sekarang mari kita saksikan perkaitan umur dan kejayaan.Pada pandangan anda adakah umur dan kejayaan ada kaitan?

1.Bill Gates terkenal sebagai jutawan perisian komputer.Mula bercita-cita pada usia 14 tahun dengan menubuhkan syarikat perisian data trafik.Dia berjaya mendapat untung bersih berjumlah USD 20 000.

2.Arnold Schwarzenegger pula berjaya mendapat gelaran Mr.Olympia pada usia 22 tahun.Dia mula bercita-cita pada usia 16 tahun!

3.Dr.Irfan Khairi berjaya menjadi jutawan internet pada usia 25 tahun.Mula bercita-cita pada usia 18 tahun.

4.Sultan Muhammad AlFateh berjaya menawan Kota Istanbul pada usia 21 tahun.Mula bercita-cita pada usia 19 tahun.

5.Khalifah Umar Abd Aziz menjadi Gabenor Madinah pada usia 24 tahun.Tetapi cita-citanya bermula bila?Anda agaklah sendiri

6.Mr.Colonel Saunders jutawan makanan Segera KFC berjaya menawan dunia dengan resipi ayam goreng.Kejayaan dicapai pada usia 72.Mula bercita-cita?Pada usia 65 tahun.

Sebenarnya tiada kaitan bukan?Saya baru menyedari teori ini sejak setahun yang lalu.

Maka mulai saat itu,saya telah menetapkan matlamat lima tahun akan datang.

Kesimpulannya mudah,cepat menetapkan cita-cita,cepat bertindak,cepat berjaya.

Lawannya pula,

Lambat menetapkan cita-cita,lambat dan malas bertindak,lambat berjaya!

Tindakan Hari Ini Juga:

Sila luangkan masa 5 minit dan bayangkan keadaan anda 10 tahun akan datang.
Bayangkan betapa hebat anda akan menjadi?

Rabu, 6 Oktober 2010

50-Semua Orang Punya Naluri Berubah

Saya telah mengenali seorang pemuda yang hebat.Dia pernah menceritakan sesuatu kepada rakan-rakannya di dalam facebook.Ceritanya,pada suatu hari dia ke stesen pam minyak.Tiba-tiba ada pekerja pam tersebut melihat buku didalam keretanya.

“Pekerja pam minyak ini berbangsa Pakistan. Terpaku pada buku Ole-ole dari Tanah Suci terbitan Jahabersa di dalam keretaku.Saat kuhulurkan padanya, dia memelukku, ketat. Bercucuran air matanya lantas berkata “Saya mahu ke sana”

Pemuda itu bernama Mazni Al-Irfan bin Jani.Andalah carilah dalam facebook.

Hebat bukan?Tidak sangka hanya dengan meletakkan buku di dalam kereta sahaja,sudah mampu membuatkan orang menangis.Siapa sangka?

Satu lagi kisahnya yang menarik ingin saya kongsikan bersama.Pengalamannya menjaga kedai buku kawannya.Katanya semasa menjaga kedai buku,tiba-tiba datang seorang gadis seksi…

“Buku doa ini berapa?” soal gadis tersebut.

“RM5.Saya rekomen beli juga buku Dahsyatnya Qiamullail. Tambah penghayatan” jawab beliau.

Tiba-tiba gadis itu menangis dan berkata

“Boleh ajar saya?”

Saya tidaklah sangat mengenali beliau.Saya pernah berjumpanya hanya sekali sahaja.Sungguh biasa orangnya.Seorang yang lembut dan berhemah.

Saya tak sangka dia membuatkan orang insaf dan menangis dengan sentuhan yang penuh hikmah.Sungguh malu rasanya.Saya yang mendalami pengajian agama pun tak pernah melalui saat seperti itu.Walaupun belakang kereta aku penuh dengan buku-buku agama.

Tak mengapalah.Itulah kelebihannya.Ternyata sekali mahu bertemu dengan beliau sekali lagi!!!

Kali ini saya mahu merakamkan satu kisah yang saya baca dalam buku RiadhuSolihin karangan Imam Nawawi.Kisah seorang pembunuh bersiri,tetapi berani berubah.Ingatlah berubah menjadi lebih baik itu sebenarnya sifat semulajadi manusia.Tinggal lagi,anda berani atau tidak?

Dalam satu Hadis Nabi Muhammad S.A.W,ceritanya saya mudah begini…

Pada zaman dahulu ada seseorang yang telah membunuh 99 orang.Dia insaf dan mahu mencari orang alim yang boleh membantunya bertaubat.Kemudian dia mencari-cari orang yang paling alim dalam negeri itu.

Setelah puas mencari,akhirnya dapatlah dia berjumpa dengan seorang alim.Lantas dia pun datang berjumpa dengan Si Alim tersebut dan menceritakan perihal dirinya yang telah membunuh 99 orang.

Dia mahu bertanya apakah masih ada ruang baginya untuk diterima taubat oleh Allah?

Si Alim tersebut memberitahunya bahawa taubatnya sudah tidak boleh diterima lagi.Kerana terlalu marah,lantas orang itu membunuh Si Alim tersebut.Lalu genaplah 100 orang mangsa bunuhnya.

Seterusnya dia mencari-cari lagi orang yang paling alim di negeri itu.Maka dia pun ditunjukkan dengan seseorang yang sangat alim.

Sekali lagi dia menceritakan dirinya telah membunuh seratus orang dan apakah masih ada peluang untuknya diterima taubat?

Orang yang sangat alim itu menjawab:

“Ya, taubatmu masih akan diterima oleh Allah,tiada siapa yang akan menghalangmu untuk bertaubat.Pergilah ke daerah sana, kerana penduduk daerah itu semuanya menyembah Allah,oleh itu sembahlah Allah bersama-sama mereka dan janganlah engkau kembali ke kampung halamanmu kerana kampungmu ini adalah daerah hitam” jelas orang alim tersebut.

Kemudian pembunuh itu berangkat menuju ke kampung yang baru.Selepas menempuh kira-kira setengah perjalanan,dia dimatikan oleh Allah.Apabila saat dia akan ditarik nyawanya,bertengkarlah malaikat rahmat dan malaikat siksa.

Malaikat rahmat berkata “Sesungguhnya dia ini telah benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya sepenuh hati kepada Allah”.

Malaikat siksa pula menyanggah “Sesungguhnya dia belum bertaubat walau sedikit pun”

Pertembungan dua malaikat ini berakhir apabila didatangkan malaikat dalam bentuk manusia dan kedua-dua malaikat tadi melantiknya sebagai hakim.

Malaikat yang berupa manusia itu berkata

“Kamu ukurlah antara dua kampung itu.Nasib pembunuh itu bergantung pada kampung yang terhampir”

Kedua-dua malaikat pun mengukurnya dan mendapati daerah yang dituju itu lebih dekat dengan si mati.Alhamdulillah,orang itu dicabut nyawanya oleh malaikat rahmat.

Cerita ini saya petik dalam Riadhusolihin.

Penutupnya,satu ayat sahaja yang ingin saya katakan
“Beranilah berubah sekarang!Tiada siapa yang akan tahu bagaimana kesudahan kita”

Untuk berubah kita tak perlu membelanjakan duit,hanya perlu berani!!!

Ahad, 3 Oktober 2010

49-Tips Mudah Repostioning Minda

Saya pasti anda semua pernah merasai saat-saat minda anda terbang melayang seperti hilang arah tuju.

Apakah perasaan itu?Ia adalah anda merasa sudah tidak punya apa-apa lagi dalam kehidupan.Hidup sudah tidak punya erti.Seperti mahu membunuh diri.Kawan saya Zharif menterjemahkan situasi ini dengan nama "Rasa Bangang!".

Antara contoh apabila berlaku kecelaruan fikiran adalah
1-Kehilangan atau kematian orang tersayang
2-Gagal dalam peperiksaan
3-Barang yang disayangi hilang / dicuri
4-Dirompak
5-Kebakaran
6-Kegagalan dalam pelaburan atau perniagaan
7-Kecurian duit berpuluh ribu ringgit
8-dan lain-lain lagi.

Semalam,saya begitu tertarik membaca buku motivasi Dare To Fail karangan Billy Lim.Buku ini saya telah baca tiga tahun lepas.Cuma semalam saya membacanya sekali lagi kerana sedang mencari idea untuk menulis buku.

Saya ingin berkongsi dengan anda satu tajuk dalam buku tersebut (Bab 8 : Kegagalan dalam Hubungan)Saya percaya ramai orang pernah terlibat dalam situasi ini.Sama ada putus cinta,putus tunang,putus ikatan perkahwinan dan sebagainya.Ceritanya tetap sama iaitu gagal dalam hubungan.

Saya juga pernah merasai saat itu.Kesannya cukup hebat kerana hubungan sebenarnya melibatkan emosi.Emosi yang tidak stabil akan memberi kesan lansung pada kualiti kerja.Saya hampir tidak bekerja selama lebih sepuluh hari.Begitu juga Billy Lim..selepas gagal selama 6 bulan dalam perniagaan,beliau gagal pula dalam percintaan.

Para pembaca sekalian,saya ingin berkongsi sedikit tentang kisah kewafatan Nabi Muhammad yang sepatutnya menjadi pengajaran yang begitu besar.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat mula berbelah bahagi.Ada yang percaya dan ada juga yang tidak percaya.Fikiran mereka bercelaru kerana berita yang diterima ini teramatlah berat untuk ditelan.Lalu berkata Umar R.A kepada semua

"Rasulullah belum wafat.Dia cuma tidak sedarkan diri seperti Nabi Musa,tatkala Allah menjelmakan diriNya di hadapan Nabi Musa.Rasulullah akan kembali,dan aku akan memancung kepala sesiapa yang mengatakan Rasulullah sudah wafat!"

Sedang Umar R.A terus berucap di hadapan khalayak ramai,lalu datanglah Abu Bakar R.A untuk mententeramkan keadaan.Saksikan ucapan Abu Bakar ini yang benar-benar memposisikan semula minda umat Islam ketika itu.

"Sesiapa yang menyembah Muhammad,Muhammad sudah mati.Sesiapa yang menyembah Allah,sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati"

Kemudian Abu Bakar membacakan surah Ali Imran ayat 144 yang bermaksud :

Dan Muhammad itu hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului dengan beberapa orang rasul yang mati ataupun terbunuh.Jika demikian,kalau ia pula mati ataupun terbunuh,patutkah kamu berbalik berpaling tadah menjadi kafir?Dan ingatlah,sesiapa yang berbalik menjadi kafir,maka ia tidak mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun,dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tiada bandingannya.


Lalu jatuh terduduklah Umar R.A kerana baru tersedar dari 'mimpinya'.

Bayangkan keadaan para sahabat ketika itu.Mereka mengasihi Nabi lebih daripada keluarga mereka sendiri.Inilah ujian terhebat mereka.Anak perempuan Nabi yang kesedihan dikatakan menangis begitu kuat sehingga didengari di luar rumah.

Kesimpulannya mudah...

Ketika kita merasai saat kejatuhan atau kecelaruan itu,hanya sebutkan

"Semuanya datang dari pada Allah.Dialah yang Maha Memberi.Dia juga Maha Mengambil.Hanya Allah sahaja yang kekal abadi"

Kalau sudah menjadi kaya,ingat kaya itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah popular,popular itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah sihat,sihat itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah bertunang,ingat tunang itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah berkahwin,ingat kahwin itu tiada jaminan kekal.
Kalau sidia itu cantik,ingat cantik itu tiada jaminan kekal.
Kalau cintakan bunga,ingat bunga juga tiada jaminan kekal.

Semua tak kekal.

Hanya Allah yang kekal abadi.

P/s : Saya tidak bermaksud anda yang sudah mendirikan rumah tangga/bertunang untuk merasa sangsi dengan pasangan anda.Cuma mengajak kita semua sentiasa memposisikan minda dari awal lagi.Kalaupun tidak berpisah,ingatlah perpisahan yang BENAR tetap terjadi iaitu mati.