Followers

Friday, 18 September 2009

RAMADHAN BUKAN BULAN PUASA........



Terawih terakhir malam ini dan ramadhan yang berbaki hari esok, bermenung aku bermuhasabah...apakah ' aku meninggalkan ramadhan ataukah ramadhan pergi meninggalkan aku?'. Bacaan iman terawih , Sheikh Ahmad Rejab Al Fayumi jemputan dari Mesir yang mengulang kembali ayat...." Kutiba alaikum mushiyam....yang berakhir dengan la'allakum tattaqun itu, begitu menusuk telingaku...lantas mengimbaskan aku pada kefahaman-kefahaman tentang ramadhan...,apakah telah terumus semuanya di penghujung ramadhan???

Aku menyambut kertas-kertas ujian yang dihulurkan Allah padaku dengan penuh rasa kehambaan dan aku bangun dengan susah payah dari ujian ramadhan ini. Aku nekadkan pada diriku, biarlah ramadhan pergi tapi tidak meninggalkan aku dan aku pula tidak mahu meninggalkan ramadhan. Segala agenda ramadhan ingin kusegarkan. Hadallahuli..'Semoga Allah memberi hidayah padaku..


Kelantan ....cita-cita seorang pemimpin direalisasikan , Tok guru Nik Aziz berusaha gigih menyempuranakan hak Allah dalam rangka melimpahkan kekayaan jiwa pada rakyatnya. Memang indah berRamadhan di Kota Bharu , Kelantan. Aku rasa bertuah menjadi penghuni negeri yang mendapat jolokan ' Serambi Mekah' ini. Beruntung mempunyai ulil amri yang kasihnya membawa ke syurga.

Ihya Ramadhan ... " Ramadhan adalah bulan Ramadhan , bukan bulan puasa " Tok guru ingin membetulkan fahaman masyarakat tentang pengertian Ramadhan. Memahami Ramadhan adalah bulan puasa itu adalah pemikiran yang terkongkong dengan pengaruh penjajah. Yang mewarisi Islam secara tradisi.

Tok guru mengajak kita menghayati Ramadhan yang bukan sahaja dituntut supaya berpuasa tetapi katanya , apa yang disebut dalam hadith rasulullah adalah Ramadhan dengan puasanya, i'tikafnya , qurannya , istighfar , selawatnya , dermanya.' Relay Qiraatul Quran ' baca Quran tak henti-henti pula bermula lepas terawih hinnga ke waktu sahur dijayakan oleh pelajar-pelajar dari sekolah ( YIK ) Yayasan Islam Kelantan.


Begitu kuatnya keinginan pemimpin ini membentuk rakyatnya dengan acuan amalan rasulullah dalam kita berRamadhan. Hinggakan suasana Qaryah Ramadhan juga diwujudkan semirip suasana persekitaran Mekah untuk membangkitkan rasa 'beribadah'. Aku pula , terkenang musim haji yang lalu...ya khemah -khemah berhawa dingin di Mina dan berkhemah di Arafah. Suasana beribadah yang cukup indah. Membangunkan jiwa taqwa. Siri-siri tazkirah ramadhannya pula menyemai minda dengan fahaman yang sahih.

Imam terawih dari Mesir , yang sudah dua tahun bersama kami begitu mesra dengan jemaah.
Suka berkongsi apa saja. Kembalinya ke pangkuan Allah isteri tersayang yang nun jauh di ditinggalkan di Mesir pada pertengahan ramadhan ,tidak sedikit pun menggugat tugas dan perjuangannya sepanjang ramadhan di perantauan.


Kami tidak ditinggalkan malah tugasnya bertambah mantap walaupun suaranya begitu sebak membacakan ayat-ayat yang menceritakan perjuangan , kematian , infak , nikmat syurga dan kegerunan neraka. Aku pula merasakan nikmat dengan bacaan yang dialunkan kerana dapat memahaminya. Terima kasih kepada ustaz Tarmizi dari Darul Kautsar yang begitu gigih mengajarkan kami ilmu terjemahan harfiah.


Tatkala imam berkongsi rasa tentang pemergian isterinya , aku terkenangkan sahabatku ...ummu 'Ammar yang jauh di utara tanah air. Aku seolah dapat merasakan Ummu 'Ammar adalah setabah imam ini. Imam meluahkan rasa mas'uliahnya terhadap amanah kerajaan Kelantan terhadapnya dan tak mungkin dia pulang ke Mesir disebabkan kematian isterinya sedangkan di bahunya terpikul hak Allah yang wajib ditunaikan dengan sempurna, menghabiskan tugas sebagai imam terawih. Beliau hanya pulang ke Mesir pada 3hb Syawal.


Inilah jiwa-jiwa mereka benar-benar melihat dunia melalui jendela akhirat. Alangkah tenangnya jiwa ini. Tiada buruk sangka dengan takdir Allah. Jiwa yang padanya tiada gundah gulana walaupun orang yang tersayang diambil Allah. Aku merenung jauh ke dalam diri.., di manakah jiwaku? Ungkapan anak didikku 'Ammar benar-benar meragut mata hatiku...aku berusaha menjadi insan yang melihat dunia dari jendela akhirat dan mencari erti hina kehambaan.

' Ammar , 'Ammar telah merdeka Marr...
'Ammar telah berjaya dan menang pada ramadhan yang lalu dan menjunjung kemenangan itu bertemu dengan Allah. Ummu 'Ammar , sapulah kerinduanmu dengan kemenangan mujahidmu.
Kau ibu yang beruntung.....
Titisan jernih terus mengalir di pipi.....
Siapa juga akan merindui 'Ammar......