Tuesday, April 1, 2014

Kasut basah.

Entah dah berapa lama aku tinggalkan blog ni. Macam-macam yang dah berlaku sejak kali terakhir aku sentuh laman ni. Tapi tak apa lah. Sekarang tiba masanya aku titipkan sesuatu di sini.

***

Sebuah karangan tentang #Throwback


Ada cerita di balik gambar. Sewaktu kami (aku dan adik) ke Mesir dua tahun lepas, kami sempat menyertai rombongan pelajar universiti (yang kebanyakannya dari Tanta University) ke Semenanjung Sinai dan salah satu tempat yang sempat dilawati ialah Bukit Tursina yang terletak di bandar St Katherine.

Aktiviti utama kami di sana ialah mendaki bukit tersebut sehingga ke puncak dan perjalanan kami bermula sejak awal pagi lagi iaitu pada lebih kurang jam 1 pagi. Pendakian kami berbekalkan harapan untuk melihat matahari terbit dan suasana bersalji di puncak bukit. Dalam suasana yang gelap dan dingin seawal 1 pagi, kami memulakan pendakian ke atas. Pendakian kami bermula dengan ceria di balik awan yang kian menutup bulan dan angin yang semakin mendingin. Namun, sampai satu tahap, angin yang mesra bertukar perlahan-lahan menjadi garang. Setiap langkah ke atas menjadi makin berat dek tolakan angin yang kuat.

Tiba-tiba, satu titis demi satu titis air hujan mula membasahi badan kami. Baju-baju tebal yang kami pakai makin membasah. Kasut memang tak dapat diselamatkan. Basah lencun. Bentuk muka bumi bukit ini yang langsung kering dan berdebu menyebabkan air hujan mengalir dengan lancar dan pantas dari atas. Ketika ini, kami harus lebih berhati-hati semasa melangkah, takut-takut jatuh tergelincir dan terus menghempap batu-batu yang tajam. Dalam kesejukan dan angin yang dingin, kami basah lencun.

Mujur, di sepanjang jalan yang berbatu dan curam ada beberapa khemah perhentian yang dibina oleh penduduk tempatan untuk para pendaki berehat melepaskan lelah (di samping menjual air teh dan minuman-minuman buah yang harganya jauh lebih mahal berbanding di bawah). Kami kemudiannya menunggu di dalam khemah sehingga hujan surut atau kurang lebat. Sejuk memang tak tertahan, lebih-lebih lagi baju kami yang tebal-tebal termasuk kasut habis basah lencun. Jam menunjukkan lebih kurang pukul 3 pagi. Gelap.

Setelah puas menunggu hampir sejam, hujan masih belum berhenti tetapi keadaan adalah semakin baik berbanding sebelum ini. Kami akhirnya terpaksa melepaskan cita-cita kami untuk melihat  matahari terbit dan merasai suasana puncak yang kononnya bersalji. "Sunrise & snow" yang diharapkan hanyalah tinggal "cries & sorrow". Kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada puncak bukit Tursina dan kembali ke bawah. Dalam kegelapan dan kesejukan (dan juga kebasahan) kami menapak turun.

Sesampainya kami ke bawah, jam masih menunjukkan lebih kurang 5 pagi. Sungguh mencabar jiwa kami apabila dimaklumkan bas kami hanya akan datang pada jam 8 pagi dan ini bermakna kami perlu menunggu lagi 3 jam di sebalik pakaian kami yang basah lencun dan dalam suhu yang sejuk. Dipendekkan cerita, akhirnya pada pukul 8 pagi bas tiba dan kini masanya untuk kami memulakan perjalanan pulang ke Kaherah.

'Adventur' kami tidak terhenti di situ. Semasa dalam perjalanan keluar ke jalan besar, bas kami tersekat apabila jalan yang menghala ke jalan utama di halang oleh tanah runtuh kesan dari hujan lebat semalam. Lantas kami terpaksa menunggu di tepi jalan sambil menggunakan kesempatan yang ada untuk mengeringkan kasut-kasut dan jaket-jaket kami (seperti yang di dalam gambar).

Setelah sejam lebih, akhirnya kami berjaya meneruskan perjalanan dan mengucapkan selamat tinggal kepada bandar St Katherine buat kali pertama atau mungkin kali yang terakhir. Entah bila lagi kami akan bersua kembali ke tanah berbukit yang pernah dipijak oleh Nabi Musa AS itu. Siapa sangka adventur kami yang bermula sebagai 'pelancong' biasa, kemudiannya disulami dengan saat-saat yang mencabar dan belum pernah kami lalui.

Sehingga bertemu lagi bumi Mesir!

No comments:

Post a Comment