Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Karya Tersiar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Tersiar. Papar semua catatan

Isnin, 24 Jun 2019

Selangkah Membina Perpustakaan di Rumah

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.


Artikel Selangkah Membina Perpustakaan di Rumah yang disiarkan dalam Majalah Pendidik, Jun 2019 membicarakan tentang 12 tajuk kecil di bawah:

1. Menyediakan Bahan Bacaan
2. Mengunjungi Kedai Buku
3. Mengunjungi Pesta Buku
4. Pembelian Secara dalam Talian
5. Buku Sebagai Hadiah
6. Penawaran Buku
7. Buku Fiksyen dan Karya Sastera
8. Menyediakan Rak Buku
9. Merekodkan Maklumat Buku
10. Menyusun Buku di Rak
11. Membersihkan Rak Buku
12. Manfaat Perpustakaan di Rumah
 

Rakan-rakan bolehlah dapatkan majalah ini untuk membaca artikel penuh pada halaman 70 hingga 73.


Isnin, 31 Disember 2018

Penerbitan Karya Eceran, Buku dan Antologi Tahun 2018

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Menuju ke penghujung tahun, selalunya saya akan merekodkan karya saya yang tersiar dan diterbitkan secara eceran, buku mahupun antologi. Rekod ini sebagai dokumentasi untuk rujukan sendiri.

Pada tahun ini, momentum saya menulis tidaklah laju dan prolifik. Karya eceran yang tersiar pun hanya beberapa sahaja. Biarpun dengan kadar penghantaran karya kepada editor yang agak minimum, masih ada juga karya yang dihantar, terkandas. Bagi saya, semua itu sebagai proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, saya berpuas hati dengan perkembangan penerbitan buku dan antologi. 

Bagi karya eceran pula, tidak semua karya yang tersiar pada tahun ini ialah karya yang dihasilkan pada tahun ini kerana ada karya yang telah lama dihantar, namun pada tahun ini baru disiarkan. Ada yang telah mencecah dua tahun. 

Ada enam buah buku saya yang diterbitkan pada tahun ini. Satu buku perseorangan, iaitu "Gadis dan Cermin Masa Depan" dan lima buku antologi. Satu daripadanya selenggaraan saya, iaitu "Karya daripada Diari Rahsia".  

Pada tahun ini juga saya mula berjinak-jinak menyertai projek antologi, iaitu Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan. Hasilnya empat buat antologi berjaya diterbitkan. 

Satu pengalaman baharu buat saya apabila saya diberikan peluang untuk membantu editor menyunting manuskrip antologi Arkitek Kehidupan dan Naskhah Kehidupan.

KARYA ECERAN:

1. Kerana Bakul Surat Khabar - Asuh, Februari 2018

2. Menantikan Laporan Penuh HSPM 2015/2016 - Dewan Sastera, Mei 2018

3. Sekolah Tanpa Bangunan -Tunas Cipta, Jun 2018

4. Bahasa Kiasan: Cerminan Bahasa Berbudaya Tinggi - Jendela Utara, Jun 2018

5. Reaksi “Suara” Penulis Muda - Tunas Cipta, Jun 2018

6. Prospek Kerjaya Sebagai Penulis - Dewan Siswa, Julai 2018

7. Waris Pejuang: Misi besar Memperjuangkan Bahasa Melayu - Dewan Bahasa, Ogos 2018

8. Penerbitan Antologi Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR - Tunas Cipta, Oktober 2018

9. Plagiarisme, Etika dan Akta Hak Cipta Belum Selesai? - Dewan Sastera, Disember 2018

10. Pelancaran Buku Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan - Tunas Cipta, Disember 2018

BUKU PERSEORANGAN 

11. Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis dan Cermin Masa Depan - ITBM, 2018

BUKU SELENGGARAAN 

12. Antologi Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR: Karya daripada Diari Rahsia - DBP, 2018

BUKU ANTOLOGI BERSAMA 

13. Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan (Fasa 1): Rimbun Kehidupan - Wacana MBM, 2018

14. Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan (Fasa 1): Rencah Kehidupan - Wacana MBM, 2018

15. Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan (Fasa 2): Arkitek Kehidupan - Wacana MBM, 2018

16. Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan (Fasa 2): Naskhah Kehidupan - Wacana MBM, 2018


Apakah harapan saya pada tahun 2019? Sebenarnya, ada tiga antologi anekdot yang akan saya sertai pada tahun 2019. Selain itu, saya turut berharap manuskrip buku ke-5 saya, lulus diterbitkan. Bagi karya eceran pula, ada yang sedang dalam proses penulisan, selebihnya biarlah masa yang menentukan. Menjadi penulis, menulislah selagi mampu. Selamat menyambut Tahun Baharu!


Ahad, 9 Disember 2018

Karya Penutup Tahun 2018

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Karya penutup tahun 2018. Alhamdulillah, ada dua karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitan DBP, Bil. 12/2018.

1. Galeri Sastera: Pelancaran Buku Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan - Tunas Cipta.

- Berita ini saya tulis bagi menghargai dan menyebarluaskan cerita tentang penerbitan buku siri anekdot dan cerita kehidupan terbitan Wacana MBM.

2. Reaksi: Plagiarisme, Etika dan Akta Hak Cipta Belum Selesai? - Dewan Sastera.

- Reaksi ringkas ini telah lama saya tulis dan hantar, namun baru berkesempatan disiarkan.

- Reaksi tentang kes plagiarisme yang berlaku pada bulan Februari 2018.

- Reaksi etika penulis sebelum menghantar karya, semasa karya dalam tempoh penilaian dan selepas karya disiarkan. (Saya dapati penulis masih salah faham tentang tempoh "idah" menyiarkan karya selepas karya tersiar. Bukan pagi karya tersiar, petang atau malam sudah boleh disiarkan secara penuh dalam media sosial).

- Reaksi etika editor menguruskan karya yang diterima.

- Reaksi Akta Hak Cipta 1987, keseriusan penulis membawa kes plagiarisme ke muka pengadilan.

Reaksi ringkas ini tidak cukup untuk menjelaskan semua perkara kepada penulis dengan sejelas-jelasnya. Oleh itu, suka saya menyarankan kepada penulis untuk membaca dan merujuk buku dan pelbagai sumber lain untuk membantu penulis memahaminya.

Terima masih kepada editorial Tunas Cipta dan Dewan Sastera yang menyiarkan kedua-dua penulisan saya ini.

#KaryaTersiar #GaleriSasteraTunasCipta #ReaksiDewanSastera
 
 

Jumaat, 19 Oktober 2018

Luahan Minda: Penerbitan Antologi Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



"Penerbitan Antologi Bicara Tunas dan Buah Pena Alumni MPR" telah disiarkan dalam ruangan Luahan Minda, Tunas Cipta Bil.10/2018. 

Kebetulan pula buku yang diperkatakan itu telah pun terbit. Terima kasih DBP. 

Buku ini boleh dibeli terus daripada DBP atau daripada saya atau mana-mana penulis yang terlibat. 
 

Jumaat, 17 Februari 2017

Cerpen Kelip-kelip di Hatiku dalam Majalah ASUH

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.



Cerpen "Kelip-kelip di Hatiku" yang disiarkan dalam Majalah ASUH, Mac 2017 merupakan karya kedua saya yang disiarkan pada tahun 2017.

Alhamdulillah, terima kasih Pak Cu Hamidi Md Yudin yang menjadi pembaca pertama cerpen ini dan telah mencantikkan cerpen ini terlebih dahulu sebelum dihantar kepada editor.

Terima kasih juga diucapkan kepada editor Majalah ASUH yang menyiarkan cerpen kanak-kanak saya ini.

Wah, nampaknya saya lebih bersemangat untuk mengumpulkan dan menyiapkan manuskrip kumpulan cerpen kanak-kanak pula!

Ayuh, dapatkan Majalah ASUH bulan Mac 2017 untuk membaca cerpen ini.

*Kredit gambar daripada Pak Cu Hamidi. 
 

Sabtu, 5 Mac 2016

Cerpen dan Puisi yang Disiarkan dalam BH, MM dan SH Februari 2016

Assalamualaikum.



Alhamdulillah, mulai tahun ini insya-Allah, saya akan cuba kongsikan karya (puisi, cerpen, artikel) yang tersiar dalam surat khabar Berita Harian, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian.

MINGGU KEEMPAT
BERITA HARIAN (BH) - 28 FEBRUARI 2016
Cerpen 
Kenanga Murni di Belakang Rumah - Siti Jasmina Ibrahim
Puisi
Layang-layang - Sani La Bise
Ketika Dia Memilihmu - Ratna Laila Shahidin
Pengertian Umur Adam - Za'im YusoffYusoff
Cermin Kehidupan - Baharuddin Sairi

MINGGUAN MALAYSIA (MM)
Cerpen 
Janganlah Jauh - Dayangku Mastura
Puisi 
Akulah Mentari Itu - Nordin Saad
Tidak Peduli - Shapiai Mohd Ramly
Di Hadapan Malinja - Sani La Bise
Seorang Lelaki di Kaki Lima Panggung - Norshahkang Shuaib
Jadilah Seperti Air - Iwan Reaz Ridzuan Ghazali
Rencana 
Salam Sinema bersama Dr Norman Yusoff
Persoalan representative dalam filem
Malim Pilih Jadi Sasterawan - Abd Aziz Itar
Bicara Editor beri pendedahan kepada penulis Kelantan

SINAR HARIAN (SH)
Ikon 
Ibrahim Senik
Cerpen 
Aku Bukan Pengemis (Episod 1) - Fadli Zainal Abidin
Puisi
Karya Sepanjang Zaman - Kemala
Dari Benua Cinta Penyair
Awal Tahun yang Manis - Mohd AbdullahAbdullah
Hujan di Hati Kita - Kesuma Indera 

MINGGU KETIGA
BERITA HARIAN (BH) - 21 FEBRUARI 2016
Cerpen
James 'Chayak' Palacukak - Fauzan Zain
Puisi 
Pascakolonial - Rosli K Matari
Selangit Dia Tanpa Hijab - Sufi Zahari
Sarat Sampah Nelayan - Ami Masra
Surat dari dalam Mimpi - Firdhaus Hassan
Kedamaian - Ehsan Jamily

MINGGUAN MALAYSIA (MM)
Cerpen 
Bibir T. Alias Taib - Wan Nor Azriq
Puisi
Mencari Makna-makna dalam Kata-kata - Malim Ghozali PK
Memukat Kesetiaan - Zulkifli Mohd Top
Semurni Restu - Abdul Hadi Yusoff Kebun Waktu Puisi - Mohd Noor Ijamala
Trafik Sebuah Nyawa - Anjan Ahzana
Sekuntum Mawar - Wadi Sofi

SINAR HARIAN (SH)
Ikon - Siti Ruqaiyah
Cerpen
Beradu dengan Setan - Ismail Hashim
Karya Sepanjang Zaman - Zurinah Hassan
Hujan di Pulau Pangkor
Yang Pasti
Puisi 
Peta Palestina: Berhabuk dan Renyuk - Azmi Yusoff
Neon - Jelison Jupin
Rona Hidup - Hanis Anifah

MINGGU KEDUA
BERITA HARIAN (BH) - 14 FEBRUARI 2016
Cerpen 
Kidung dari Kelong - Saza S
Puisi
Mengejar Harakat - Adinata Gus
Mengait Selembar Pengalaman - Iwan Reaz Ridzuan Ghazali
Kutempuhi Ini Titian - Ahmad Aiman Razali
Wajarkah Kita, Ibu - Zaniffa Azzura Abdullah
Mencari Kesempurnaan - Siti Zaiton Ahmad

MINGGUAN MALAYSIA (MM)
Cerpen 
Dari Dalam Diri - Wan Marzuki Wan Ramli
Puisi 
Pentas Kebenaran - Nazri Hussein
Sebagai Sahabat - Amin Minhad
Alam Mengunci - Zain Idris At Tobiari
Di Pentas Kehidupan - Ehsan Jamily
Pesanan Untuk Mar - Ratna Laila Shahidin
Kau Apa yang Kau Katakan - Mazli Husma
Kematian Seekor Harimau - Hilmi Rindu

SINAR HARIAN (SH) 
Ikon
Syarifah Nabila
Cerpen
Beradu dengan Syaitan - Ismail Hashim
Puisi
Kekasih dan Memburu Mimpi - Usman Awang ( Karya Sepanjang Zaman )
Pelangi - Mohd Adid Ab Rahman
Bebas Memilih - Mohd Ghazali Shapiie

MINGGU PERTAMA
BERITA HARIAN (BH) - 7 FEBRUARI 2016
Surat-surat Siti Zaleha - Nadia Rashid
Puisi 
Balada Seorang Suami yang Tua untuk Isterinya yang Muda - Azizah Supardi
Hutan di Kota - Solihin Osman
Pada Cermin Hikayat - Siti Nur Hidayah
Menghitung Jejak - Husna Nazri @ Nazri Hussein

MINGGUAN MALAYSIA (MM)
Cerpen 
Kota Peradaban Averroes - Ahmad Muziru Idham
Puisi 
Perawat iyu - Hairul Anuar Harun
Etika Sebuah Perjuangan - Noor Huwaina Idris
Sarjana Jauhari - Azmi Yusoff
Obor di Pintu Kota - Muzaf Muz Ahmad

Tahniah kepada semua penulis. Teruskan berkarya.

Jumaat, 1 Januari 2016

Mengimbas Seperjalanan Kembara Penulisan 2015

Assalamualaikum.



JANUARI

- Tersiarnya cerpen Dengarkan Bahasa Gadis Tionghua di Dewan Siswa sebagai permulaan tahun baharu. Cerpen ini sudah lama ditulis dan dihantar, akhirnya bulan ini barulah tersiar. 
- Peng – Uji – An merupakan puisi yang disiarkan dalam Dewan Tamadun Islam. 
- Putih Bunga Hujan yang disiarkan dalam BH Ahad menjadi detik terindah apabila karya saya kembali mendapat tempat dalam akhbar arus perdana ini setelah lama kemarau.

FEBRUARI

- Tarian Lalalng disiarkan dalam Tunas Cipta. 
- Buku kedua saya diterbitkan. Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan, ITBM.

MAC, APRIL

- Saya menyambung proses penyuntingan manuskrip buku ketiga lalu dihantar penilaian.

JUN

- Seperkara dalam Wujud Waktu disiarkan dalam Dewan Siswa.

JULAI

- Saya mendapat surat makluman bahawa manuskrip buku ketiga saya lulus diterbitkan oleh ITBM. Buku ketiga ini merupakan kumpulan cerpen dewasa/umum.

OGOS

- Usain Bolt dari Kampung Kami, merupakan cerpen yang disiarkan dalam majalah Harmoni.

SEPTEMBER, OKTOBER 

- Mula menyusun manuskrip buku keempat.

NOVEMBER

- Tiga buah puisi saya disiarkan dalam majalah terbitan DBP. 
- Membaca Doa Sang Pengharap di Dewan Tamadun Islam. Puisi ini juga terperam lama di Dewan Tamadun Islam. 
- Pada Hukum Makna di Tunas Cipta.
- Ilusi Jerebu di Dewan Siswa. Puisi ini boleh dikatakan sudah lama terperam di Dewan Siswa. Kebetulan juga disiarkan ketika negara kita dilanda jerebu teruk.
- Kemenangan dalam HSPM 2014. Tetamu Istimewa memenangi kategori kumpulan cerpen remaja.

DISEMBER

- Menyambung semula menyunting manuskrip buku keempat lalu dihantar penilaian.
Catatan ini ringkas amat. Senarai karya yang tersiar secara eceran juga terhad. Namun, satu kebanggan kepada saya apabila buku kedua saya dapat diterbitkan dan kemenangan dalam HSPM. Moga 2016 diberi kekuatan untuk saya terus menghasilkan karya yang lebih bermutu.

Sabtu, 15 Ogos 2015

Cerpen: Usain Bolt dari Kampung Kami

Assalamualaikum.

Sebagai penulis sudah pastilah akan berasa gelisah sekiranya tidak dapat menulis. Kata lainnya, tidak ada karya yang terhasil dan tersiar dalam tempoh tertentu. Namun begitu, rutin membaca tidak dapat tidak ditinggalkan. Walaupun tidak menulis, proses membaca akan tetap berlaku. 



Alhamdulillah, setelah lama saya menyepi akhirnya cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami hadir sebagai suntikan semangat kepada saya untuk kembali menulis cerpen. Cerpen ini disiarkan dalam majalah Harmoni edisi 15-30 Ogos 2015

“Hanya kejayaan dan kegemilangan yang dapat mengubah pandangan orang ramai terhadap kau. Sebelum ini, mereka pandang kau sebelah mata sahaja kerana kau itu gelap, bukan berkulit sawo matang seperti orang Melayu yang lain. Itu belum lagi kekurangan lain yang tidak perlu aku sebutkan. Dunia telah membuktikan bahawa Usain Bolt yang berkulit gelap itu dipandang tinggi setelah dia berjaya menakluk dunia. Kejayaannya itu telah menutup kekurangan fizikalnya itu.”

Cerpen ini bukanlah cerpen terbaharu yang saya hasilkan. Cerpen ini dihasilkan pada akhir tahun lepas. Kemudian, saya hantar ke satu media untuk penilaian editor. Setelah menunggu lebih daripada enam bulan, saya mengambil keputusan untuk menghantarnya kepada editor majalah Harmoni. Alhamdulillah, nampaknya editor majalah Harmoni menerimanya. 

Saya dan majalah Harmoni tidak asing lagi. Sejumlah cerpen saya pernah disiarkan dalam majalah ini sebelum ini. Ada antaranya yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxonmobil (HSKU). 

Saya harap kepada bakal penulis dan penulis baharu, janganlah mudah berputus asa jika karya yang dihantar kepada editor ditolak. Kadangkala proses penolakan ini dapat memberi peluang kepada penulis untuk menilai kembali karyanya itu. 

Tidak mustahil juga, karya yang ditolak itu bukan kerana tidak bagus tetapi tidak sesuai disiarkan dalam media tersebut kerana muatan kandungan media tersebut berbeza dengan karya yang dihantar. Oleh itu, untuk mengurangkan peratusan karya ditolak, analisis dahulu media tersebut sebelum menghantar karya. Selamat mencuba. 



Khamis, 22 Januari 2015

Buku Baharu Saya Madu di Tangan

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, setelah sekian lama menanti akhirnya buku kedua saya, Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2015

Kumpulan Puisi Remaja ini menghimpunkan 50 puisi remaja yang berkisar tentang kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan, kemanusiaan, persoalan bahasa, semangat patriotisme dan tentang diri remaja. 

Antara puisi yang dimuatkan dalam Kumpulan Puisi Remaja: Madu di Tangan:


DALAM SUBUR



Selasa, 9 Disember 2014

Cerpen: Kudrat Sanai dalam Majalah Harmoni

Assalamualaikum.

Kudrat Sanai merupakan cerpen terbaru yang saya tulis pada tahun ini dan disiarkan dalam majalah Harmoni, 1-15 Disember 2014


“Kalau sekali pun kau tidak mempunyai impian, jangan pernah untuk kau membunuh impian orang lain, walau sekali cuma. Membiarkan otak kita berfikir yang negatif boleh meracuni fikiran kita. Akibatnya, kita sering terkecundang di tangan sendiri.” 


Sabtu, 8 November 2014

Cerpen: Lambaian Kuala Lumpur dalam Jelita

Assalamualaikum.

Sudah masuk hari kelapan bulan November barulah saya menerbitkan entri. Jika dihitung jumlah entri belakangan ini semakin susut jumlahnya. Walaupun entri baru tidak diterbitkan, setiap hari saya masih membuka blog ini untuk tatapan sahaja. 



LAMBAIAN KUALA LUMPUR merupakan cerpen terkini saya yang disiarkan dalam majalah Jelita, November 2014. Kepada pembaca majalah Jelita, bolehlah belek-belek ruangan cerpen. Cerpen lama ini telah lama saya tulis, namun baru dihantar ke media. Alhamdulillah, terima kasih kepada editor yang memberi peluang dan ruang untuk saya berkongsi cerita ini. 

Catatan lain:

Rindu untuk menulis lagi. Tetapi buat masa ini masa tidak mengizinkan. Kekangan tugas yang perlu dilangsaikan sebelum cuti persekolahan. Banyak lagi aktiviti ataupun program di sekolah yang belum selesai. Maka, kerja-kerja penulisan terbantut. 

Kepada yang berminat untuk memiliki Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa boleh membuat tempahan terus daripada saya. Stok buku ini masih ada. Manalah tahu jika ada guru-guru yang ingin menjadikan buku ini sebagai cenderamata untuk pelajar yang memenangi Anugerah Tokoh Nilam.

Insya-Allah, Kumpulan Puisi Remaja saya bakal terbit tidak lama sahaja lagi. Dijangka penghujung tahun ini juga. Nantikan, kemunculannya.

Saya turut menjadi sponsor GA Mamaniza. Tetamu Istimewa dijadikan hadiah kepada pemenang nanti, Jika yang berminat boleh sertai. 

Saya mohon maaf kepada rakan blogger kerana tidak dapat blogwalking ke blog rakan-rakan dalam masa terdekat ini. 



Isnin, 15 September 2014

Cerpen: Kekabu Mimpi di Harmoni

Assalamualaikum.

Sewaktu pulang cuti persekolahan pada bulan Jun lalu, sempat saya menghasilkan satu cerpen. Setelah lama saya tidak menulis cerpen untuk majalah Harmoni dan kali terakhir cerpen saya disiarkan di majalah ini adalah pada Januari dengan judulnya Rakit Buluh di Tahun Baru




Kekabu Mimpi

Alhamdulillah, cerpen Kekabu Mimpi yang saya tukang itu telah disiarkan pada 1-15 September 2014 dalam majalah Harmoni. Kepada yang berminat untuk membaca cerpen ini bolehlah mendapatkan majalah ini dalam pasaran. Rasanya masih ada. 

Sesungguhnya, saya amat suka dengan cerpen ini. Cerpen ini sangat sederhana, namun membawa satu wacana yang besar tentang kejujuran, keberanian dan pendirian teguh. Prinsip inilah yang cuba saya sampaikan melalui watak penjual kekabu dan anaknya. Biarpun tidak secara terang-terangan melalui kata-kata, saya percaya pembaca dapat merungkaikannya setelah membaca keseluruhan cerita ini. 

Persoalan Budaya

Selain itu, persoalan budaya "tidur dengan bantal kekabu" cuba saya terapkan. Kenalkah anak-anak anda ataupun generasi sekarang ini dengan bantal kekabu? Oh, alangkah ruginya jika generasi sekarang ini sudah tidak mengenali "bantal kekabu"! 

Jika ada sekalipun, pasti cerita-cerita mistik berkaitan pokok kekabu yang tidak enak didengar lebih daripada kelebihan kekabu yang lebih baik daripada segi kesihatan berbanding gentian kapas tiruan. 

Ayuh, kepada yang minat menulis mulakan penulisan anda sekarang juga. Penilaian keberhasilan sesuatu karya itu bukan terletak pada keinginan untuk menulis semata-mata, sebaliknya pada hasil keseluruhan setelah karya itu siap. 


Rabu, 13 Ogos 2014

Cerpen: Sepucuk Rindu di Aidilfitri di Majalah Jelita

Assalamualaikum.

Cerpen di majalah Jelita


Sepucuk Rindu di Aidilfitri yang disiarkan di majalah Jelita keluaran Ogos 2014 mengambil sempena Hari Raya Aidilfitri memecah kegelutan saya dalam mencari ruang untuk terus menulis. Hakikatnya, saya masih membahagi masa antara bidang penulisan dan tugas hakiki saya sebagai seorang guru. Terima kasih saya ucapkan kepada editor yang menyiarkan karya saya. Sudah pastilah, setiap kali karya disiarkan semangat untuk terus menulis berkobar-kobar. 

Pada tahun ini, saya ibaratkan tahun yang sangat mencabar apatah lagi di bahu saya terpikul satu amanah sebagai seorang Ketua Panitia Bahasa Melayu di sekolah. Oleh itu, pemberatan kepada tugas hakiki di sekolah menjejaskan sedikit rentak saya dalam menghasilkan karya pada tahun ini. Biarpun rentak itu perlahan, saya masih menulis biarpun sedikit-sedikit. 

Proses penulisannya

Sepucuk Rindu di Aidilfitri saya mulakan proses penulisannya sekitar awal Jun sebelum cerpen ini dihantar pada 11 Jun 2014. Lebih kurang dua minggu begitulah cerpen ini dihasilkan. Saya akui, memang sukar untuk menyudahkan sesebuah karya sekiranya lama tidak menulis seolah-olah pena itu menjadi tumpul. 

Cerpen ini mengisahkan tentang konflik kejiwaan dalam diri seorang anak lelaki. Konflik tercetus apabila ayahnya hendak berkahwin lain setelah kematian isterinya. Saya jadikan ketupat palas sebagai simbolik kepada kasih sayang dalam sebuah keluarga sempena hari perayaan. Apakah simbolik yang saya maksudkan. Dan apakah ketupat palas itu mampu menyatukan hubungan anak beranak ini? Ikuti kisah ini selanjutnya dalam cerpen ini. 

Tahniah, kepada dua rakan penulis

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada dua orang rakan penulis yang karyanya disiarkan di media yang berbeza pada hujung minggu lalu. Pertamanya, Wanariahamiza atau Wan Hanif Wan Hamid dengan cerpennya Rumah Pusaka yang disiarkan di Berita Minggu (BH). Keduanya, A Muziru Idham dengan cerpennya "Enta Liberal" di Mingguan Malaysia. Alhamdulillah, setelah mengetahui cerpen kenalan ini tersiar, cepat-cepat saya mengirimkan pesanan ringkas kepada mereka berdua ini. Teruskan menulis!

Kepada pembaca budiman, sekiranya anda berminat untuk membaca cerpen saya boleh dapatkan Tetamu Istimewa. Stok buku ini masih berada dengan saya. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan buku ini terus daripada penulisnya.


Selasa, 5 Ogos 2014

Cerpen Kanak-kanak: Sayangku, Jalur Gemilang

Assalamualaikum.

Saya katakan, saya sangat berbangga dengan pencapaian saya dalam bidang penulisan setakat ini. Selain menulis secara eceran, saya juga telah mempunyai sebuah buku, kumpulan cerpen remaja: Tetamu Istimewa. Insya-Allah, buku KEDUA saya bakal menyusul tidak lama lagi. 

Cerpen Kanak-kanak


Selain menulis karya dewasa dan remaja saya juga berjinak-jinak dalam penulisan karya kanak-kanak. Setakat ini saya telah berjaya menghasilkan beberapa buah cerpen kanak-kanak. Cerpen itu pula ada yang tersiar dalam majalah untuk kanak-kanak seperti Dewan Pelajar dan e-BACA

Penulisan bagi genre kanak-kanak ini bukanlah satu penulisan yang dirancang, namun secara tidak langsung terhasil daripada cetusan secara berkala. Mungkin juga perkara ini terkait dengan tugas hakiki saya sebagai seorang guru di sekolah rendah yang mendedahkan saya dengan kanak-kanak. 

Ada yang berpendapat, saya perlu fokus pada satu-satu tahap pengkaryaan yang mana hendak menulis karya dewasa, remaja ataupun kanak-kanak untuk lebih cemerlang. Ya, bagaimanapun saya lebih selesa menulis karya remaja sekarang ini. Sesekali menulis karya dewasa dan kanak-kanak. Perkara ini berlaku barangkali keterbatasan waktu, yang mana karya kanak-kanak lebih pendek berbanding karya lain. Kemudian, tema yang diketengahkan lebih sesuai untuk menulis karya kanak-kanak. 

Sememangnya saya berhasrat untuk mengumpulkan cerpen kanak-kanak saya untuk dijadikan manuskrip kumpulan cerpen kanak-kanak. Insya-Allah, doakan hasrat ini tercapai satu hari nanti. 

Saya mengakui menulis karya kanak-kanak sangat sulit. Bahasanya haruslah sederhana sesuai dengan golongan itu. Paling penting keseluruhan karya haruslah positif dan pengakhirannya haruslah yang baik-baik sahaja. Semua ini harus dititi beratkan untuk membina sahsiah kanak-kanak yang baik.

SAYANGKU, JALUR GEMILANG merupakan cerpen kanak-kanak saya yang disiarkan di majalah e-BACA, OGOS 2014, terbitan Karangkraf. Cerpen ini mengisahkan Rahman dan kawan-kawannya yang berhasrat untuk menyertai pertandingan mencipta Jalur Gemilang. Majalah ini diterbitkan untuk kanak-kanak berusia 7-12 tahun. Harganya cuma RM2.50. Kepada yang berminat untuk membaca keseluruhan cerpen ini boleh dapatkan segera di pasaran. Selain itu juga, majalah ini sarat dengan maklumat, perkogsian dan tips murid menghadapi UPSR. 


Rabu, 14 Mei 2014

Ibuku Bukan Ratu Kosmetik

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, habis semak kertas Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014. Cuma yang belum selesai adalah memasukkan markah ke dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). 

Ibuku Bukan Ratu Kosmetik merupakan cerpen saya yang disiarkan di majalah Jelita, Mei 2014. Cerpen ini bukanlah cerpen baharu, sebaliknya cerpen yang sudah lama terperam dalam bank karya. Setelah dimurnikan semula, saya hantar ke majalah Jelita. Alhamdulillah, tersiar bersempena Hari Ibu. 

Bagaimanapun, saya amat suka dengan permulaan cerpen ini. Oleh itu, saya kongsikan di sini untuk membuka minat kalian semua untuk terus membaca nanti. 

Maaf, bukan sengaja saya hendak membiarkan emak bersusah payah membeku di dalam bas ekspres selama enam jam. Kemudian, membiarkan jantung emak tergantung di atas landasan Transit Aliran Ringan tatkala menaiki LRT dari stesen Plaza Rakyat. Saya harap emak memahami keadaan saya yang baru sahaja bekerja dan belum stabil pendapatan untuk menjemput emak dengan kereta sendiri. Walau bagaimanapun, emak perlu juga hadir ke Kuala Lumpur. Bukan hendak dibawa melihat menara KLCC mahu pun bermandi lampu-lampu di Bukit Bintang tetapi jemputan yang emak terima itu lebih penting daripada segala-galanya.  

Cerpen ini bukan sekadar cerpen tentang Hari Ibu. Di sebalik itu, ada hal dan peristiwa yang lebih besar untuk diraikan dan diperkatakan, jika bukan hanya kerana Bedak Sejuk. Untuk mengetahui kisah selanjutnya bolehlah dapatkan majalah Jelita, Mei yang sudah berada di pasaran. 

Dalam kesibukan orang ramai menyambut kedatangan tetamu kehormat, saya terpandang susuk tubuh lelaki berbadan sasa yang berjalan di belakang tetamu kehormat itu begitu iras Abang Long. Kalau ya, buat apakah dia di sini?


Selasa, 6 Mei 2014

Surat Kepada Editor: Sasterawan Wanita Pertama Menerima Darjah Setia Diraja Kedah

Assalamualaikum.

Kandungan Dewan Sastera, Mei 2014

Hari ini merupakan hari pertama Peperiksaan Pertengahan Tahun di sekolah saya. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menduduki peperiksaan ini kepada semua murid Sekolah Kebangsaan Batang Kali. Buatlah yang terbaik. 

Alhamdulillah, bulan Mei 2014 dimurahkan rezeki lagi apabila karya pertama pada bulan ini menjelma menerusi ruangan Surat Kepada Editor: Sasterawan Wanita Pertama Menerima Darjah Setia Diraja Kedah. Karya ini merupakan coretan ringkas saya dan sebagai penghargaan kepada sasterawan wanita ini. Karya ini tersiar dalam Dewan Sastera, Mei 2014

Jika kalian berminat untuk mengetahui siapakah sasterawan wanita tersebut, boleh klik pautan entri ini.


Khamis, 24 April 2014

Simpang ke Akhirat

Dewan Tamadun Islam April 2014

Alhamdulillah, setelah lama saya tidak menukang karya terutama puisi saya mendapat perkhabaran bahawa puisi saya yang berjudul Simpang ke Akhirat disiarkan di Dewan Tamadun Islam, April 2014 terbitan DBP. Bertambah terujanya saya lagi apabila puisi ini merupakan puisi pertama saya yang disiarkan di majalah ini setelah beberapa kali menghantar karya sebelum ini.

Bagaimanapun, belum sempat lagi saya melihatnya kerana majalah ini belum berada di tangan saya. Sebelum ini artikel saya yang tersiar di Pelita Bahasa, Mac 2014 juga belum saya tatap. Pernah juga dicari majalah ini di pasaran tetapi habis. Insya-Allah, pasti di PBAKL nanti majalah-majalah ini akan menjadi buruan saya.

Saya rindu untuk menulis seperti pada awal pembabitan saya dalam dunia penulisan. Saya begitu ghairah menghantar karya. Sehingga kini, saya masih mencari rentak itu kembali. Saya tidak rela kehilangannya.

Nota: Masih sabar menanti penerbitan kumpulan puisi remaja saya yang pertama yang dikhabarkan kemungkinan  terbitnya pada bulan Julai nanti.



Selasa, 8 April 2014

Cerpen: Sandiwara Encik Facebook di Jelita

Assalamualaikum.


SANDIWARA ENCIK FACEBOOK merupakan cerpen terbaru dan terkini yang saya tulis sekitar bulan Januari 2014 lalu sebelum tersiar di Jelita April 2014. Sehingga kini, tiada lagi cerpen baharu yang saya tukang. 

Entahlah, seolah-olah saya semakin malas hendak menulis sekarang ini. Barangkali saya "leka" dengan blogging dan hambatan tugas di sekolah. Sekarang ini kalau tak buka blog satu hari rasa tidak boleh duduk pula. Apalah penyakitnya ni. Barangkali jalan terbaik nanti yang boleh saya ambil, berhenti berblogging dan beri tumpuan seketika untuk menulis. Semua itu masih dalam perancangan.

Cerpen ini terilham daripada persoalan yang dilontarkan seseorang kepada seseorang. Kemudian, saya kembangkan cerita ini dengan memasukkan beberapa watak dan mewujudkan konflik untuk tambah lebih menarik. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sekarang ini hanya dengan menggunakan Facebook. 

Oleh itu, terpulang kepada penggunanya untuk menggunakan sesuatu kemudahan itu ke arah kebaikan.

Saya mengalu-alukan pembaca yang telah membaca cerpen ini untuk memberi ulasannya. 


Rabu, 12 Mac 2014

Mac Kembali Bersinar

Alhamdulillah, walaupun tiada karya baharu yang dapat dihasilkan buat masa ini, namun masih ada karya lama yang disiarkan. Terima kasih kepada editor yang menyiarkan karya saya pada bulan Mac 2014 yang kembali bersinar.


Puisi - Sekuntum Senyuman Sebaris Pelangi


Puisi - Mencari Takwa


Artikel - Komsas Mampu Menyuburkan Budaya Berfikir

Selasa, 11 Februari 2014

Puisi: Cinta Kosmetik di Dewan Siswa


Keletihan pulang dari Mesyuarat Daerah Panitia Bahasa Melayu di SK Kuala Kubu Bharu Satu hari ini terubat setelah puisi Cinta Kosmetik disiarkan di Dewan Siswa, Februari 2014. Terima kasih kepada editor yang masih memberikan peluang pada puisi ini setelah terperam hampir setahun lebih. 

Puisi ini juga telah diulas oleh Puan Mahaya Mohd. Yassin dan disiarkan dalam ruangan Ulasan Puisi, Dewan Siswa dengan tajuk-Kepekaan yang Membijaksanakan. Saya perturunkan ulasan tersebut di sini.

Peka agama dan peka moraliti terlihat kemas dalam "Cinta Kosmetik". Pengalaman yang ditimba daripada keghairahan perempuan melabur untuk kecantikan wajah amat menarik. Penulis secara bijaksana mengakhiri sajaknya dengan kesimpulan yang mantap.

... kebahagiaan
keluhuran hati budi
kecantikan iman
kesopanan tutur kata
cerminan keindahan dalaman seseorang perempuan. 
Gaya penyampaian sajak ini bersifat prosaik, terutama pada rangkap pertama, kedua, ketiga dan keempat. Untuk rangkap pertama dan kedua, perhatikan contoh ini:
Berpusu-pusu ke kedai kosmetik
kecantikan kulit.


Ghairah
pamerkan kejelitaan
perlumbaan. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78