Pengikut

Isnin, 30 September 2013

Kekeliruan Penggunaan Kata Sendi Nama "di" oleh Blogger

Mempelajari tatabahasa bukanlah satu kerja senang, dan tidak pula saya katakan sukar sekiranya kita memahaminya. Namun begitu, sering juga timbul kekeliruan untuk menggunakannya. 

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu dalam blog oleh blogger di Malaysia, saya perhatikan terdapat kesalahan yang dilakukan dari aspek tatabahasa sama ada secara sedar atau tidak

Saya sifatkan kesalahan secara sedar apabila blogger tersebut mengulangi kesalahan tersebut pada entri yang lain juga. Kesalahan tidak sedar pula apabila kesalahan itu hanya berlaku pada entri tersebut sahaja. 


Terima kasih kepada blogger Fais atau S.K.A ini yang rajin bertanya untuk belajar. Saya capahkan persoalan Fais kepada dua bahagian untuk memudahkan pembaca memahaminya dan mudah pula untuk saya menerangkannya.

Soalan:
1. Penggunaan "di"
2. Secara dekat atau jauh

Jawapan:
1. "di" merupakan kata sediri nama yang digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutnya. 

Contoh:
a. Ibunya bekerja di sekolah itu.
b. Pengembara itu sesat di dalam hutan.
c. Dia menunggu kami di perhentian bas.

2. Penggunaan "di" secara jauh (ditulis) hanya untuk menunjukkan tempat

Kekeliruan yang lain terjadi apabila "di" bertindak sebagai imbuhan awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja ayat pasif

Contoh: 
a. Buku itu dibeli oleh ayah.
b. Taman permainan itu dibersihkan oleh penduduk kampung. 
c. Pokok bunga di pekarangan masjid itu ditanam oleh penduduk kampung.

Penggunaan "di" dalam judul atau tajuk haruslah ditulis menggunakan huruf kecil, kecuali "di" hadir di hadapan ayat. Namun begitu, sekiranya "di" itu bertindak sebagai imbuhan awalan, haruslah ditulis menggunakan huruf besar.

Contoh:
a. Kadar BRIM Dinaikkan
b. Dakwah di Pusat Hiburan
c. Di Malaysia rakyatnya berbilang kaum

Saya berharap selepas ini blogger semua dapat menggunakan kata sendiri nama "di" dengan betul. Jika masih teragak-agak dan ada kemusykilan boleh rujuk di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Hanya perlu taip perkataan tersebut untuk disemak dan disertakan sekali penerangan untuk penggunaannya. 

Nota: Sumber rujukan Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga


Yang ke-555 Menjelma Jua

Assalamualaikum semua dan selamat pagi. Hari ini hari Isnin, hari untuk kita bekerja pula.
Terima kasih saya ucapkan kepada kalian yang sudi singgah, baca, komen dan follow di blog saya ini. 

Akhirnya, follower saya mencecah 555. Alhamdulillah. 
Blogger yang bertuah itu ialah Farra.N.


Saya mengharapkan sokongan kalian untuk terus menulis di sini.

Nota: Insya-Allah, saya akan buat analisis sepanjang entri saya dalam bulan September nanti. Antaranya, saya nak paparkan komen terbaik yang pernah ditinggalkan oleh kalian semua. 


Ahad, 29 September 2013

Berdosakah Saya Tidak Menyentuh Mu?

Apabila ke kedai buku, tidak sah kalau saya tidak membeli buku. Jadi, semalam selepas tuisyen saya berjanji dengan kawan untuk berjumpa di Jalan TAR pada pukul 2 petang. Di sana terdapat beberapa buah kedai buku. Saya masuk dalam satu kedai. Belek punya belek, ternampaklah buku Edisi 1+1, PENULIS YANG DISAYANG TUHAN & DI MANA TERANGNYA BULAN karya Bahruddin Bekri. Penulis yang mempunyai gaya bahasa yang lunak dan santai ini. 

Mulanya saya berfikir juga untuk membeli novel ini, memandangkan novel sebelum ini belum pun habis dibaca. Adakah saya telah berdosa kepada novel-novel atau bahan bacaan yang saya beli itu kerana belum sempat menyentuh (membaca) mereka? Sekarang tanpa rasa bersalah saya membeli lagi. Oh, saya ini memang gila membeli dan membeli! Membacanya belum lagi. 


Ujian dan dugaan itu hanya rencah hidup. Tanpanya, syukur dan kita menjadi jauh.


Dalil Tuhan untuk manusia, hidup ini adalah kepingan yang perlu dicantumkan.

Ada antara kalian yang pernah membaca novel ini?
Kepada yang belum dan ingin membeli harganya cuma RM 25.00.


Jangan Khuatir Menjadi Penulis Kecil!

Assalamualaikum semua. Selamat pagi.

Kepada calon penulis, apakah yang membelenggu diri kalian untuk tidak memulakan lagi kerja penulisan?

Masihkah kalian berfikir hendak memulakan penulisan dengan idea yang besar seterusnya meletakkan kalian pada satu tahap yang boleh membanggakan dan dipuja-puja?

Andai untuk menjadi penulis besar dan hebat perlu menulis isu atau idea yang besar dan hebat hingga memaksa pembaca berfikir-fikir untuk memahaminya, saya fikir saya masih belum layak untuk diiktiraf penulis besar atau hebat itu kerana saya hanya mengutip isu atau idea yang berlegar di sekeliling saya. Sawah, kampung, ayam, itik, hal-hal kekeluargaan, persahabatan masih menjadi bahan untuk saya menulis. 

Andai anda mahu menjadi penulis kecil-kecilan, saya ada jawapannya. Tulislah apa-apa yang mampu kita kuasai dengan memperlihatkan sesuatu yang bukan disalin daripada mana-mana buku ataupun dibuat-buat hanya untuk menulis tentangnya. 

Perkara itu hanya dapat dilakukan sekiranya idea itu dekat dengan kita. Sebagai contoh, anda mahu menceritakan tentang sawah padi. Sekiranya penulis itu tidak memahami selok-belok tentang sawah padi dan tidak pernah pun melihat sawah padi, bagaimana penulis itu mampu menceritakan tentang sawah padi itu dengan baik. 

Walaupun ada sesetengah penulis menganggapkan tiada apa-apa istimewanya menulis tentang sawah padi. Jangan terkejut sekiranya saya katakan hanya menulis tentang sawah padi mampu membuatkan kita berfikir banyak perkara tentang kesabaran, ketentuan, kemiskinan, penindasan, kasih sayang, tanggungjawab dan sebagainya. 


Tulis, Hantar & Menang!

Assalamualaikum semua. 
Selamat pagi dan selamat berhujung minggu. 



Sebelum saya ke sekolah untuk kelas tuisyen pada hari ini, saya ingin berkongsi dengan kalian semua. 

Pada hari Sabtu minggu depan (5 Oktober 2013) saya akan menghadiri satu majlis yang bagi saya istimewa dalam kerja-kerja penulisan ini. 

Saya pernah menyertai Sayembara Cerpen Anis 2012/2013 (Tulis, Hantar & Menang!). Pada mulanya sekadar ingin mencuba saja. 

Melalui sayembaralah kita dapat menguji tahap keupayaan dan kemahiran kita dalam berkarya.





Alhamdulillah, saya menerima panggilan telefon dan menyusul selepas itu surat jemputan daripada urusetia mengatakan saya salah seorang pemenangnya. 



Saya mempertaruhkan cerpen berjudul DUNIA PILIH KASIH. Cerpen ini pernah disiarkan di Majalah ANIS, Februari 2013. Saya tidak menyangka cerpen ini akan tersangkut. Banyak lagi penulis dan karya yang hebat turut tersenarai. Namun, mungkin ini rezeki saya.


Tempat penyampaian hadiah tersebut ialah di tempat berikut: 


Doakan segalanya berjalan dengan lancar.


Jumaat, 27 September 2013

Alor Setar atau Alur Kundang?


Saya suka dengan kolum Mewah Bahasa dalam Berita Harian. Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. 

Untuk ruangan ini pada 25 September 2013 yang lalu, Dr. Nor Hisham Osman telah berkongsi tentang asal usul nama tempat iaitu Alor Setar

Tahukah kalian atau anak jati Kedah asal nama Alor Setar? Kalau tidak pasti, saya turukan petikan dialog yang diberikan oleh Dr. Nor Hisaham Osman.

Ayah: Hahahaa... Alor Setar tu bukannya sempena star fruit! Ce tengok betul-betul ejaannya tu. Setar bukan star...

Ira: Setar? Bukan star ke?

Ayah: Bukan! Bukan star, tapi setar! Bukan bintang dan bukan bahasa Inggeris, setar ni bahasa Melayu.

Ira: Bahasa Melayu? Apa bendanya?

Ayah: Buah! Buah setar...

Ira: Buah setar! Eh! Tak pernah dengar pun. Jenis buah tempatan ke?

Ayah: Ha'ah! Buah tempatan tapi kat sini kita panggil buah kundang atau setengah orang panggil remia, ada juga orang panggil gemia. 

Ira: Ooo... buah kundang! Tapi...

Ayah: Orang Kedah panggil setar. Kan tempat tu di Kedah, itu sebabnya guna dialek Kedah, sempena buah setar. Agaknya kawasan tu dulu adalah alur yang banyak pokok kundang, orang Kedah pun namakannya sempena pokok tu, jadilah Alor Setar. Alur yang banyak pokok setar, pokok kundang...

Ira: Tapi kenapa alor, bukan alur?

Ayah: Itu nama tempat, dah lama, dulu pakai ejaan lama. Kalau ikut ejaan lama, alur dieja alor. Tu yang kekal ejaan Alor Setar tu...

Ira: Oooo.... taulah dah.



Jumaat yang Pasti

Assalamualaikum semua. Salam Jumaat.


"Berbuat baik bukan hanya pada hari Jumaat, biarpun Jumaat itu sangat Istimewa harinya. Lakukan kebaikan setiap hari seperti apa-apa yang dilakukan pada hari Jumaat. Dan, jangan kita sia-siakan setiap hari yang kita lalui."



Khamis, 26 September 2013

Tan Sri Azizan Abdul Razak Meninggal Dunia

Ketepikan soal politik dan siapa Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Apa yang pasti, pada hari ini seorang lagi hamba Allah telah dijemput pergi.

Takziah kepada keluarga Tan Sri Azizan.

Tan Sri Azizan Abdul Razak merupakan bekas Menteri Besar Kedah yang saya sifatkan seorang yang rendah diri dan besederhana.


Al Fatihah!


Puisi: Persoalan Memilih Kawan

Assalamualaikum semua. Selamat pagi.


PERSOALAN MEMILIH KAWAN

Bila berkawan kita diberi pilihan
untuk memilih yang baik atau jahat
tapi kita tidak diberi peluang
untuk membela diri
tika diri dipersalahkan
untuk bersalah
sehinggakan kita terbukti salah.

Kawan-kawan bebas
bercerita sama ada baik mahupun buruk
tentang diri kita
tanpa dia merasai perkara itu
betul atau tidak
yang pasti setiap apa yang diceritakan
difikirnya betul
tanpa mendapat kepastian kebetulan itu
yang sememangnya betul tidak.

Kita diminta berdoa
setiap kawan yang kita pilih
adalah kawan yang tepat
agar setiap perbualannya
adalah baik dan tidak perlu
mengesahi daripada kita
bahawa perkara itu baik
dan ternyata sifat yang baik
akan dinyatakan baik
daripada mulut kawan yang baik.


Mohd Helmi Ahmad
Alor Setar, Kedah
10 September 2012


Rabu, 25 September 2013

Beginikah Rasa Kecewa?






Aku anggap ini tidak adil. 
Oh, selama ini pernahkah kau berlaku adil! 
Oleh itu, mengapa setelah sesuatu yang tidak adil itu terjadi pada diri kau, 
kau hendak melenting tidak tentu fasal. 
Sebelum ini, telah aku merasai bagaimana orang berlaku tidak adil pada diriku. 
Rasanya amat kecewa dan mendukacitakan. 







Nota: Selepas keluar dari bilik mesyuarat baru saya tahu siapa kawan siapa lawan. Berhati-hatilah, jangan menganggap yang mengaku dirinya kawan kita ialah kawan sebenarnya. Yang kita anggap musuh itu adakah benar-benar musuh?


Forum: Perluas Penulisan Sastera Kanak-kanak di Berita Harian

Assalamualaikum semua. Selamat pagi. 

Alhamdulillah, tulisan saya yang berjudul "Perluas penulisan sastera kanak-kanak" tersiar di Berita Harian semalam (24 September 2013) pada ruangan FORUM. 
Terima kasih kepada editor yang memilih tulisan ini. 


P/S: Terpaksa menerbitkan awal entri baru hari ni sebabnya, jadual waktu saya penuh. Petangnya pula, perlu hadiri mesyuarat ataupun taklimat Perkhemahan Uniform di sekolah.

Selasa, 24 September 2013

Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi 2013

Saya pernah menyertai bengkel ini pada tahun 2009 di Hotel Qualiti Kuala Lumpur. Ketika itu saya perlu membayar RM50. Tetapi kali ini dengar cerita bengkel ini percuma. Kepada sesiapa yang berminat dan mempunyai kelapangan bolehlah menyertainya. 

Ada juga rakan-rakan mempelawa saya untuk turut serta. Bagaimanapun, hari sabtu ini saya perlu menghadiri kelas tambahan untuk Tahun Empat. 


Selamat berbengkel!


Jangan Fikir Aku Saja Gila, Kau Pun Juga Gila

Assalamualaikum semua. Selamat petang.

 (sekadar gambar hiasan)

Pernahkah terlintas di fikiran kalian, bahawa yang suka bercakap seorang diri itu gila? Selalunya, tanggapan ini seperti sudah tercetak kemas dalam fikiran masyarakat kita.

Namun begitu, percayakah kalian bahawa orang yang selalu bercakap seorang diri sangat kreatif orangnya.

Dan, orang gila tidak akan pernah mengaku yang dirinya gila. Maka, kita tukar pandangan kita bahawa tidak semua orang yang bercakap seorang diri itu gila.

Hal ini demikian, dalam penulisan karya kreatif terdapat beberapa bentuk komunikasi yang boleh dirujuk untuk menjelaskan hal ini.


                                                             Pertamanya konsep dialog.

Keduanya monolog luaran.

Ketiganya monolog dalaman.

Orang yang bercakap seorang diri tanpa mengeluarkan suara, dipanggil monolog dalaman. Orang yang bercakap seorang diri dengan mengeluarkan suara, dipanggil monolog luaran.

Dan, manusia yang paling banyak di dunia ini ialah manusia yang menggunakan dialog untuk bersuara hinggakan apabila manusia itu terlebih bercakap di khalayak ramai tidak pula kita menganggapkan bahawa dia itu "gila bercakap".


Isnin, 23 September 2013

Orang Utara yang Tak Faham Bahasa

Terima kasih kepada blogger yang sudi singgah di blog ini untuk membaca entri yang entah-entah syok sendiri. Saya sangat menghargai kehadiran kalian semua. Sekiranya ada apa-apa respon terhadap entri saya, turunkan pandangan itu pada ruangan komen untuk kita sama-sama mencerna minda. 

Tajuk entri kali ini bukan main lagi kan. Tapi saya cuma nak kongsikan beberapa istilah yang disebut di utara (Kedah) yang merujuk pada sesuatu benda yang berbeza tetapi menggunakan istilah yang sama. Setakat ini saya baru dapat kenal pasti tiga benda tersebut. Barangkali kalian boleh menambah untuk sama-sama kita berkongsi di sini.


Nama benda
Nama benda
Sebutan orang utara
Roti
Biskut
Roti
Kasut
Selipar
Kasut
Coklat
Gula-gula
Coklat







Tuisyen Satu Kewajiban atau Keperluan?

Assalamualaikum semua. Selamat pagi. 

Pengalaman saya belajar dahulu, saya bukanlah pelajar yang suka menghadiri tuisyen. Rasanya tidak pernahpun saya mengambil tuisyen di luar selain tuisyen yang diadakan di sekolah. Alhamdulillah, berkat usaha gigih dan bantuan guru berjaya juga saya menamatkan persekolahan saya, walaupun tidaklah secemerlang mana pun. 

Saya melihat fenomena hari ini, ibu bapa bersungguh-sungguh untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen supaya anak-anak mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Pertimbangan itu adakah atas dasar anak mereka lemah dalam pembelajaran atau untuk menunjuk-nunjuk bahawa mereka mampu menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen untuk memperoleh masa tambahan untuk belajar? 

Sebenarnya, apakah tujuan pusat tuisyen ditubuhkan? Adakah sistem pendidikan kita tidak cukup bagus hinggakan perlu ditubuhkan pusat tuisyen?  

Pada pendapat saya, sekalipun pusat tuisyen perlu ditubuhkan adalah untuk menyokong sistem pendidikan di sekolah yang mana terdapatnya keciciran yang berlaku. Saya tidak menyatakan bahawa sistem pendidikan kita sudah cukup sempurna. Hal ini demikian kerana mana mungkin guru dapat memberi sepenuh perhatian secara individu kepada pelajar yang rata-ratanya  mencecah 40 orang dalam satu-satu kelas. 

Apabila berlaku keciciran begini, sudah tentulah ibu bapa yang prihatin akan mengambil tindakan dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Maka, guru yang mengajar di pusat tuisyen akan cuba membantu pelajar tersebut supaya tidak ketinggalan. Bukannya semua pelajar "perlu" dihantar ke pusat tuisyen. 

Sebenarnya, saya tidak gemar mengajar tuisyen. Sekiranya pelajar yang datang itu bukan atas kerelaan hati untuk belajar apa guna mereka berada dalam kelas semata-mata kerana keterpaksaan setelah dihantar oleh ibu bapa mereka. Oleh itu, komitmen pelajar ini tidaklah setinggi pelajar yang hadir ke pusat tuisyen dengan keikhlasan untuk belajar. 

Kepada ibu bapa, diharapkan pertimbangan mereka untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen bukanlah kerana mengikut trend semasa, sebaliknya atas keperluan pelajar. 



Ahad, 22 September 2013

Jatuh Bantal

Rasa denyutannya bagaikan ada yang menggigit-gigit leher dan belakang saya ini. Entahlah, pada mulanya saya ingatkan kesan daripada leka mengadap laptop yang melebihi had menyebabkan leher dan belakang saya terasa sakit dan lenguh. Saya tertanya-tanya juga, adakah virus yang boleh menyerang kerana kita terlalu kerap mengadap laptop? 

Jatuh bantal! Rasanya kesakitan yang dialami ini disebabkan saya telah jatuh bantal. Saya tidak tahulah di tempat lain "penyakit" ini dipanggil apa. Akibat cara tidur yang salah menyebabkan leher saya ini seperti terkehel dan hendak memusingkan kepala pun terasa sakit. Tambahan lagi, belakang saya juga terasa berdenyut-denyut. Kalau di kampung, pasti emak saya akan suruh saya menjemur bantal itu. Jangan tanya saya apa kaitannya menjemur bantal itu dengan leher yang seperti robot ini. 

Aduh! Tak boleh berlama-lama lagi di depan laptop. 



Mengenali Kelakuan Orang Melalui Bahasanya

Akhirnya berjaya juga saya menghabiskan bacaan buku MONOLOG KECIL TAHUN-TAHUN GELORA karya Sasterawan Negara Baha Zain yang setelah 364 halaman tidak termasuk biodata dan indeks. 

Koleksi tulisan Baha Zain yang pernah dimuatkan dalam kolum Monolog Kecil di Dewan Sastera ini sangat hebat. Pemikiran yang terkandung dalam tulisannya mampu membuatkan kita berfikir setelah membacanya. 

Saya tertarik satu tulisan yang berjudul "Mengenali Kelakuan Orang Melalui Bahasanya"

Saya petik tulisan tersebut untuk dikongsikan bersama.

"Nada bahasa yang kita ucapkan, gaya ungkapan yang digunakan, buah butir yang dikeluarkan, dan bahasa anggota badan yang menyertainya sewaktu berucap, rupa-rupanya menjadi alamat tentang tingkah laku, perangai dan tabiat kita. Berhati-hatilah membuka jendela diri supaya tidak kelihatan terlalu banyak tentang siapa kita. Betullah kata peribahasa Melayu: Bahasa menunjukkan bangsa.


Dalam erti kata lain, jagalah pertuturan kita. Selalunya, orang akan menilai siapa diri kita dengan hanya melihat tingkah laku dan mendengar tutur kata yang keluar dari mulut kita.


Menjadikan Blog Sebagai Media Eksklusif

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.

Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa saya susah-susah hendak menghantar karya ke media cetak sedangkan saya sudah mempunyai blog yang boleh menerbitkan karya saya sendiri. Bukankah lebih mudah dan barangkali lebih ramai pembaca yang akan membacanya. Kalau hantar ke media cetak bukan sahaja perlu menunggu lama dan mungkin juga kalau tidak bernasib baik karya itu akan "dibakulsampahkan". 

Bagi saya kepuasan karya yang terbit di media cetak lebih tinggi nilainya. Tidak semua orang boleh melihat namanya tercetak di surat khabar mahupun majalah. Nama itu pula bukan kita sendiri yang melobi untuknya terbit, sebaliknya atas pilihan editor yang mengendalikan ruangan tersebut setelah membuat beberapa pertimbangan dari aspek kualiti karya. Biarpun berpuluh karya saya telah terbit di media cetak, namun saat menatap karya yang terbit itu bagaikan kali pertama saya rasai.

Keduanya, tapisan karya sebelum diterbitkan di media cetak lebih ketat. Dan, tugas itu bukanlah tugas mudah yang perlu dilakukan oleh seorang editor. Jika saya penulis dan saya editor pasti kepuasan tidak akan tercapai. Saya boleh sesenang saja untuk menerbitkan karya di blog pada bila-bila masa. 

Sebolehnya, saya juga cuba menjadikan blog ini lebih eksklusif. Hanya entri yang mempunyai "nilai berita atau cerita" sahaja akan diterbitkan. Oleh itu, saya perlu bertindak sebagai seorang yang profesional yang mana entri yang hendak diterbitkan di blog ini haruslah berkualiti dan bermanfaat. Tidaklah entri yang lewah dan sekadar liburan menjadi tatapan pembaca. Dalam masa yang sama, entri itu sentiasa segar dan boleh dijadikan sumber rujukan pada bila-bila masa sahaja.




Sabtu, 21 September 2013

Karya Tanpa Nama

KARYA TANPA NAMA

Karya-karyaku ini
anggapmu
sama seperti sampah
berselerakan di merata tempat.

Karya-karyaku ini
anggapmu
tidak sesuai dibawa
ke dewan-dewan perdebatan
merentas samudera sastera
kerana terlalu klise
dan jelek untuk dipamerkan
apalagi dibaca
dengan rautan seni.

Bagiku cukuplah
karya yang kau
anggap sampah ini
ditatang oleh
tong-tong dan
bakul-bakul sampah
daripada hangus terbakar
lalu dibawa terbang angin
tanpa khabar
kerana karyaku
sering kali tertinggal
menulis nama.


Mohd Helmi Ahmad
Batang Kali, Selangor
2 Februari 2012


Cbox Banyak Spam

Sejak beberapa hari ini, banyak spam yang masuk di cbox saya. Terima kasih kepada yang memberi cadangan supaya saya menukarnya. Namun begitu, lain pula jadinya. Saya tidak dapat menyalin kod cbox baru kerana saya telah mendaftar dengan cbox sebelum ini. Kod cbox lama saya dah padam. 

Puas saya cuba, namun tidak boleh juga. Apabila hendak daftar baru, katanya username saya dah digunakan. Bila buat permintaan untuk pasword yang lupa dan masukkan emel, maaf emel anda tidak ada dalam simpanan kami. 

Apa dah jadi ni? Ada sesiapa yang sudi tolong? Apa perlu saya buat? Ada tak cbox yang lain yang boleh saya gunakan. Jika ada, boleh sertakan linknya?



Adakah Aku Hari Ini, Aku Pada 40 Tahun Akan Datang!

Assalamualaikum semua. 
Selamat pagi dan selamat berhujung minggu. 

Kalau kalian perasan semalam saya hanya terbitkan satu entri sahaja. Bukan kerana malas dan tidak ada idea, tetapi kadar capaian internet saya sangat lemah hingga untuk saya memasukkan gambar pun susah. Jadi, apabila keadaan ini berlaku menyebabkan saya kurang berminat untuk terbitkan entri yang kosong dan semata-mata hanya tulisan. 

Nampaknya, kekangan ini terus melanda hari ini. Bagaimanapun, demi kelangsungan blog ini saya harus juga menerbitkan entri tanpa gambar hingga pada satu hari yang saya pun tidak pasti. Hakikatnya, saya perlu akui, saya hanya mampu merancang dan ketentuannya terletak pada Allah Yang Maha Esa. 

Panjang pula bebelannya kan? Sebenarnya saya hendak menceritakan sesuatu yang tidak dapat saya gambarkan secara pasti. Seperti yang kalian ketahui, selain seorang pendidik saya juga merupakan seorang penulis. Berkali-kali saya menyoal diri saya. Adakah aku hari ini, adalah aku pada 40 tahun akan datang! (Insya-Allah, kalau dipanjangkan umur)

Sesungguhnya, saya amat kagum dengan semangat penulis mapan, senior yang masih aktif ataupun prolifik menulis walaupun usia mereka sudah menuju ke senja. Adakah saya yang masih "muda belia" ini mampu untuk meneruskan kegiatan penulisan saya ini menuju ke akhir senja sama seperti apa-apa yang dilakukan mereka ini. Ataupun setelah saya menuju ke alam rumah tangga dan mempunyai tangungjawab lain penulisan itu saya tolak ke tepi? 

Allahyarham Azizi Haji Abdulllah merupakan seorang penulis mapan yang sangat saya kagumi. Saya amat meminati karya-karyanya baik cerpen (Paku Payung Limau Mandarin) mahupun novel (Harga Sebuah Maruah, Sanggetha, Beruk). Kalian bayangkan, beliau mengakhiri hayatnya di hospital dengan menyunting manuskrip novel terakhirnya. 

Katanya, "novel terbaru setebal 299 muka bertajuk MANDALA DUNIA KEDUA mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke-8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah, rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya." 

Al Fatihah!


Menulis Bukan Satu Wasiat

Assalamualaikum semua. Selamat pagi. 

kredit foto dari www.gaptekupdate.com 

"Menulis merupakan satu kemahiran dan bukannya wasiat yang boleh diwarisi kepada sesiapapun. Kemahiran itu lagaknya seperti pisau. Bukan namanya pisau andai tidak bermata dan mempamerkan ketajaman. Tidak selamanya pula ketajaman itu akan kekal lama. Sedarlah pisau juga boleh menjadi tumpul andai tidak diasah setiap hari. Untuk menguji ketajamannya tidak cukup sekadar menyeru dan menyebutnya berulang kali sebaliknya hasil tulisanlah yang membuktikan keberhasilannya. Jadilah pisau yang mengelokkan bukan melukakan." 


Khamis, 19 September 2013

Tubuh Tanpa Jiwa


"Sebuah Kamar tanpa buku ibarat tubuh tanpa jiwa."
-Cicero (106BC-43BC)

Berkali-kali saya membelek, membaca dan meneliti penanda buku yang saya perolehi hasil daripada belian buku dengan Ujana Ilmu. Mungkinkah sebuah cerpen bakal tercipta hasil renungan penanda buku ini? 

Nota: Bagi yang pernah bertanya pada saya, bagaimana saya memperoleh idea menulis-salah satunya melalui renungan begini. 


Tips Mudah Mempelajari KOMSAS?

Assalamualaikum semua. Selamat pagi.

Banyak orang beranggapan mereka ini tidak mempunyai jiwa seni (sastera). Dan, apabila mereka berhadapan dengan bahan bacaan seperti puisi, cerpen, novel, sukar untuk mereka memahaminya. Akhirnya, akibat sukar memahami teks itu, jawapan yang sering keluar dari mulut adalah tidak belajar sastera. 


Sewaktu menjadi pelajar sekolah, saya juga bukanlah pelajar sastera Tingkatan Lima (SPM) dan Tingkatan Enam (STPM). Namun begitu, hakikatnya yang perlu kita akui selain mempelajari mata pelajaran sastera, menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu juga telah diselitkan dengan Komponen Sastera (KOMSAS). 

Melalui pengenalan KOMSAS ini pelajar akan didedahkan dengan genre sastera seperti puisi tradisional (gurindam, syair), puisi moden (sajak), cerpen, drama dan hikayat. Ketika itu, pengajarannya lebih menjurus pada tema, persoalan, nilai. Soalannya juga menjurus pada aspek pembelajaran ini. 

Untuk memudahkan pelajar menjawab soalan, mereka haruslah terlebih dahulu membaca teks yang dipelajari. Ada juga pelajar yang membuat spekulasi bahawa teks yang dipelajari sukar difahami kerana teks itu ditulis oleh Sasterawan Negara ataupun penulis sastera. 

Adakah hanya kerana teks itu tercetak nama Sasterawan Negara ataupun penulis sastera teks itu sukar difahami? Perlukah Kementerian Pelajaran Malaysia dan panel pemilihan teks KOMSAS ini tunduk dan akur dengan desakan ini semata-mata untuk meluluskan pelajar? Tidak mungkin panel akan memilih SETIA HUJUNG NYAWA, KAMPUNG GIRL, mahupun ADAM DAN HAWA untuk dijadikan teks KOMSAS.

Senario percetakan buku "Kupasan KOMSAS" di negara kita amat menggalakkan. Dari satu segi baik. Pelajar dapat membeli untuk dijadikan sumber rujukan. 

Namun begitu, dari segi yang lain perkembangan ini secara tidak langsung akan merencatkan budaya membaca dan budaya berfikir dalam kalangan pelajar. Mereka ini akan mengambil jalan pintas dengan membaca buku ini tanpa membaca teks secara keseluruhannya. 

Sebenarnya, mempelajari sastera atau KOMSAS di peringkat sekolah tidaklah susah. Saya membuat tanggapan begini bukan kerana saya ini penulis dan meminati sastera. 

Sebaliknya, pelajar harus tahu apabila mereka menyukai sesuatu pembelajaran itu nescaya sesuatu itu akan menjadi lebih mudah. 

Tips mudah untuk mempelajari sastera ialah pelajar harus membaca dan memahami keseluruhan teks yang dipelajari. Maka, sebarang soalan yang berkaitan dengan teks tersebut pasti pelajar tersebut boleh menjawab dengan jayanya.


Rabu, 18 September 2013

Surat kepada Editor: Puisi Kontot Mencerna Minda di Dewan Sastera


Surat elektronik atau e-mel yang saya hantar ke Dewan Sastera, telah disiarkan pada bulan September 2013. Surat itu bertajuk PUISI KONTOT MENCERNA MINDA

Surat ini memberi respon terhadap isu penganugerahan Sasterawan Negara kepada Baha Zain. SN Shahnon Ahmad pernah memberi pandangannya yang mana puisi yang pernah dihasilkan oleh Baha Zain "kontot" dan beliau "tidak layak" untuk diangkat menjadi "Sasterawan Negara".

Surat ini sekadar pandangan saya sahaja. Saya bukanlah individu yang layak untuk menyangkal atau menyokong sesiapapun. 

P/S: Kualiti kulit Dewan Sastera sekarang ini semakin menyerlah. 


Kembali Bernafas

Assalamualaikum semua. Selamat petang. 
Alhamdulillah, rasanya baru tiga hari saya tidak menerbitkan entri baharu, saya berasakan seperti tiga minggu. Bukan tidak mahu menerbitkan entri baharu, tetapi seperti yang saya uar-uar kan di ruangan cbox, yang tahap capaian internet saya sangat lemah hingga apabila saya klik new post tidak juga muncul. 

Terima kasih kepada kalian yang sudi juga datang ke sini walaupun tidak ada entri baharu. Insya-Allah, entri seterusnya bakal menyusul nanti.


Ahad, 15 September 2013

Segmen Pertama Che Yam

Rajin pula saya nak sertai segmen yang dianjurkan blogger-blogger kan.
Bukan hadiah yang dikejar, tetapi sebagai tanda sokongan.
Syaratnya pun tak susah.


Klik banner kalau nak sertai

Syarat-syarat :

* Wajib ada blog 

* Follow Blog Che yam yang tak seberapa ini

* Copy Banner di atas yang tak seberapa cun tuu ( First tym buat ) hehe

* Buat Tajuk " Segmen Pertama Che Yam " 

 Tinggalkan link (URL entri) anda diruangan komen. 
Tempat lain tidak dilayan. OK?


Atas Kemahuan dan Kerelaan

Assalamualaikum semua dan selamat pagi. 
Memandangkan hari ini hari minggu, lebih baiklah saya menulis entri yang santai-santai saja. 
Jadi, hayatilah sebuah puisi yang telah lama saya tulis ini.

kredit foto dari dewasadewa.wordpress.com

ATAS KEMAHUAN DAN KERELAAN


Sudah ditiadakan kaca dan duri
Sudah ditiadakan api dan gelombang
Sudah ditiadakan panas dan kering
Sudah ditiadakan jeritan dan tangisan
Sudah ditiadakan kecewa dan kehampaan
Semuanya manis-manis di alam percintaan
Semuanya enak-enak di alam perkasihan
Mampukah
cinta diuji
cinta diadili
cinta diragui
cinta dirasai
cinta dimengerti
cinta diyakini
cinta disambut dan ditatang?
kerana itu mahuku dan relamu.

Akan datang
Tiada lagi tangisan bayi yang memilukan
Tiada lagi gadis sunti kesirnaan warna dan wangi
Tiada lagi teruna hilang pertimbangan
Tiada lagi teruna runsing tidak keruan
Semuanya atas kemahuan dan kerelaan.


Mohd Helmi Ahmad
Alor Setar, Kedah 
4 Februari 2010



Sabtu, 14 September 2013

Segmen 1st Mama

klik banner jika ingin menyertai

Sementara menunggu perlawanan akhir bola sepak Pesta Merdeka malam ni, saya mengambil keputusan untuk menyertai Segmen 1st Mama @ Norhasniza Khalid. 

Rasanya inilah kali pertama saya menyertai mana-mana segmen secara rasmi dan menerbitkan satu entri khas. Kepada blogger yang lain jangan terasa hati jika saya tidak menyertai atau mempelawa saya menyertai segmen kalian. 

Hal ini demikian, segmen yang dianjurkan mama ini boleh saya sifatkan mudah dan ringkas saja. Saya mentakan di sini, jika syarat pertandingan itu mewajibkan saya menekan butang LIKE Facebook mereka, memang awal-awal lagi saya tolak kerana saya tidak mempunyai Facebook. 

Berikut merupakan syarat-syaratnya:

A) Mulakan dengan menepek gambar yang direka khas ini di entry anda. 
B) Linkkan terus ke blog mama lah.. seperti biasa anda selalu buat tu...
C) Jangan lupa follow mama, semuanya seperti biasa juga...
D) Nak buat entry atau tidak mama tak kisah... janji anda join cukup dah..
E) Letak tajuk " Segmen 1st Mama "
F) Like Facebook mama ye, sebelah tu je.. hihi (Takde fb pun takpe)
G) Tinggalkan URL blog anda diruang komen.

Segmen ini akan diutup pada 30 September 2013. 
15 pemenang bertuah akan dipilih melalui RANDOM.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Belong ToTetamu Istimewa | Designed All Reserved By KathyR’bain78