Thursday, 30 January 2014

MENERPA ANGIN MALAM

MENERPA ANGIN MALAM ( buat rosmiaty )

Djazlam Zainal


ini lelaki dalam busa kata
menebar aksara seluas mega jingga
menyusur lembah-lembah nestapa
dan kolam-kolam yang kering airnya

seperti angin kering yang menebarkan jaring
tangan tergapai dan suara terjuring
setimpas air hujan
dan selokan-selokan yang basah
tempat larian anak-anak angsa

ini lelaki yang payah memaknakan
matahari yang terbelah dua
dan bintang yang terjuring kerlip cahaya
sosok yang semakin mengiring
pandangan yang semakin samar
lambaian yang tak pernah kenal erti kalah
sering terbatas arah

seperti rinai kabut yang hilang
sewarna dan sebayang dengan kehibaan

28 rabiulawal 1435/ 30 januari 2014

Monday, 27 January 2014

Sekitar 'Press Conference' Pengumuman Keputusan Puisi Dunia Numera 2014

Foto Kenangan Bersama
Penyair Djazlam Zainal Membaca Puisi Pemenang Utama BISIK BATIK Syafik Said

SN Dato' Dr Kemala Mengiringi Dato' Dr Awang Sariyan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Menyempurnakan Gimik Penyingkapan Pengumumam Nama-nama Pemenang Utama
Encik Basri Abdullah, Pemenang Utama Dengan Puisinya ISYIQ II
SN Dato' Dr Kemala, Presiden Numera

Hamba Yang Dhoif Dengan RISALAH MELAYU


RISALAH MELAYU

(gemilanglah mewarnai sejarah 
jangan tanggalkan warna labah-labah - andai itu sumpah Melayu 
mengua-hira'lah dalam genggamanmu, tuan!)

peribadi... 
tujuk lok bersidi sakti 
membayangi tujuh hijap pintu tajalli 
ini amanah para moyang di rantau pendeta 
berabad terpelihara - masihkah ikhtilaf terjarak, wahai? 
hitam mengalir di puisi 
putih dikafani mati 
panas meruap di tulang negeri 
entah berapa kali kita terbunuh mati!

titian...
 'hablumminallah wa hablumminannas...' - 
merah malam ziarah 
merah darah di mata hikmah 
panahlah belahan bulan 
numera teguh dalam ikatan!

martabat... 
ini daerah selalu dicumbu 
dari daerah Melayuku paling ungu 
titik yang sering terusik 
detik yang terus berdetik 
sejarah di mata pending - siapa perawi? 
lok tujuh sempana keris - bisik Tuah bestari 
Melayu tak hilang 
Islam ditatang 
tidak kan lidah mengingkari besi 
tetap iman menunjangi isi...

amanah... 
ini janji pertama 
ke liang fikir 
paling getir!

Allahuakbar...!


September 2013



Risalah Melayu:

Rosmiaty Shaari berjaya mengungkapkan Kemelayuan baru, agar Melayu tidak hilang begitu sahaja dengan semangat yang naif. Dia membaca sejarah bangsanya yang panjang. Dia mahu mencipta tamadun namun 'jangan tanggalkan warna labah-labah', maknanya siratan labah-labah itu membawa alegori tekun dan unik dalam perjuangannya. Oleh kerana Melayu itu tidak dapat dipisahkan dari maknawi Islami, maka arifilah jihad Rasullullah selama bermunajat di Gua Hira 'menggua-hira'lah..', katanya.

Dia juga memaknakan 'peribadi', 'titian', dan martabat'. Dia sampai kepada angka majis Melayu-Islami 'tujuh lok bersidi sakti/ membayangi tujuh hijap pintu tajalli' dalam genggamannya tidak terberai 'amanah moyang di rantau pendeta' tetap padu walaupun banyak cabaran yang dihadapi oleh Melayu di Numera, hitam dan putih bukan sekadar warna mati tetapi 'hitam mengalir di puisi/ putih dikafani mati' meruap di sana sini bangun dan jatuh di tulang negeri... dan ada yang 'terbunuh mati'. Perjuangan itu tetaplah 'merah darah di mata hikmah' dan katanya, 'panahlah belahan bulan' dengan penuh dinamik. Tetapi penyair tetap terus bertanya, 'sejarah di mata pending/  siapa perawi?' agar 'Melayu tak hilang/ Islam ditatang' demikian dia menginsafi Ilahi saja yang akan melindungi.

- LAPORAN PANEL HAKIM


Friday, 10 January 2014

Dalam dunia sastera, jikalau tiada orang yang sudi membantu, kita bangkitlah sendiri-sendiri - bantu diri kita mengenal peribadi. Dunia sastera tidak perlu wang, tak perlu tali dan tak perlu tongkat untuk mencipta kreativiti. Penghuninya hanya perlu - kuat! - Ros