Sunday, 30 October 2011

catatan (lxix)

sesekali duduk diam
mentafsir bahasa bayang
yang nampak hanya ruang
dengan sedikit cahaya memanjang
dan sekilas percik yang kian temaram
kelam dan tenggelam
dalam gelombang neorosis
atau mungkinkah katarsis
yang pasti
gerak rapsodi itu semakin menjadi
tanpa henti....

Saturday, 29 October 2011

catatan (lxviii)

sesekali duduk diam
mentafsir bahasa bayang
yang nampak hanya ruang
dengan sedikit cahaya memanjang
dan sekilas percik yang kian temaram
kelam dan tenggelam
dalam gelombang neorosis
atau mungkinkah katarsis
yang pasti
gerak rapsodi itu semakin menjadi
tanpa henti....

Wednesday, 26 October 2011

catatan (lxvii)

daun luruh satu-satu
kukutip buat catatan waktu
saat rinduku menjadi abu
awan pun berubah menjadi kelabu
menitiskan puisi rindu
dalam lebat bahasa kalbu
dalam ikatan erat rumpun melayu...

Tuesday, 25 October 2011

catatan penulis - edaran di PDS HB Jassin

Rosmiaty Shaari
emel : rosmiatyshaari5@gmail.com

BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM

Catatan Penulis 

Setelah berbelas tahun saya menahan diri daripada mencatat contengan-contengan di atas kertas, menahan naluri daripada permintaan minda untuk berkarya, rupanya asakan demi asakan batini itu akhirnya terpecah juga tiga tahun yang lampau apabila saya sedang sengaja menconteng kertas,  suara batini saya  masih mengalir keluar - lancar, bahkan ia mengalir tidak perlahan tetapi melimpah-ruah terus-menerus hingga ke hari ini, alhamdulillah.

Barangkali ada jiwa yang ingin mengetahui, bagaimana saya melalui proses pengkaryaan saya. Proses yang saya alami, terlalu biasa berbanding penyair-penyair hebat seperti Chairil Anwar  yang sangat menitikberatkan setiap aksara yang dicatat dalam puisi-puisi beliau. Begitu kata SN Dato Ahmad Khamal Abdullah dalam esei beliau PUISI-PUISI PENDING NUMERA : Antara Keajaiban dan Kearifan Seni, yang menyatakan, bahawa Chairil begitu serius mengedit puisi-puisinya hingga ke kulit-kulit diksi atau bait demi bait silih berganti. Dan begitu pula bagi penyair bapak Agi Ghafar Ibrahim, melalui proses penulisan puisinya dalam tempoh masa yang sangat lama. Menurut beliau, untuk menyiapkan sebuah puisi memakan masa selama beberapa bulan, hanya setelah matang, barulah disiarkan. Dan bagi SN  A. Samad Said, sebuah puisi yang lengkap sering lahir dari contengan demi contengan yang begitu banyak sebelum beliau berpuas hati untuk menghantarkannya ke mana-mana media siaran.

Barangkali saya agak berbeda, saya mulai mencatat beribu-ribu rasa semenjak musim kecil saya tanpa menggunakan pena atau mesin ketik. Catatan saya bermula di minda membawa ke hati. Di situ saya simpan kemas, hanya baru ini saya mengeluarkannya satu per satu, dari hati keluar semula ke minda langsung ke hujung  jari melepasi papan kekunci.

Di musim kecil, ketika usia saya sekitar 7 ke 12 tahun, saya gemar menyendiri, mengasingkan diri ke kawasan belukar atau di mana-mana tempat yang dapat menarik minat saya, seperti kawasan berpaya, kebun getah atau persekitaran tebing sungai atau di stesyen keretapi. Saya dikatakan si kecil yang gemar memberontak. Saya juga dikatakan tidak gemar bersahabat dengan saudara sendiri, bahkan tidak mempunyai ramai rakan sepermainan. Justeru, belukar adalah taman bagi saya. Apa yang ada di dalam belukar itulah sahabat saya. Dengan mereka, saya sering berbicara kerana saya adalah mereka.

Siapa mereka? Mereka adalah pohon-pohon, akar-akar yang berselirat, unggas berkicauan, sesibur berterbangan,lalang-lalang, rama-rama, ulat beluncas, dedaunan, anak-anak ikan, paya,  bunga-bunga,  gemersik angin, deraian  hujan, jalur-jalur cahaya, bau tanah, bau wangi, takungan-takungan air embun, gelap malam, lengkung pelangi – itulah sahabat saya. Aneh bunyinya, tapi itulah mereka dan yang paling seru, di situlah tempat di mana saya sering berdoa untuk apa sahaja terhadap Rabb, Pemilik taman belukar dan sekalian alam,  teristimewa di kala saya sangat bersedih.  Menjerit dengan kekuatan suara yang ada, saya sering melepaskan rasa yang memberontak dari dalam yang sering menyala. Mengapa? Ada, jawab saya, kerana rahasia peribadi tidak perlu kita ceritakan semuanya kepada sesiapa, perlu disimpan untuk pembelajaran rohaniah kita, itu kata saya.

Sebenarnya berduniakan taman belukar, banyak yang dapat dipelajari. Ya, bukan setakat belukar saja bahkan  dunia di sekeliling kita, dengan menggunakan mata hati, dengan berakal yang positif, banyak ilmu yang boleh kita pelajari.  Terutama apabila kita menghubungkaitkan diri kita kepada kebesaran Penciptanya.

Allah telah berfirman mengenai ciptaanNya:

...lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah...(An-Naml: 60)

...Tuhan Kami adalah (Tuhan) yang telah memberikan kepada sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian Dia memberinya petunjuk... (Thaha:50)

Dan ini termasuklah keindahan hutan belantara, gunung-ganang, lautan, sungai, belukar dan segala keindahannya. Barangkali oleh terlalu akrab dengan dunia belukar, saya merasakan setiap gerak  di sekeliling saya itu ada rohnya. Ia bernyawa dan berdegup nadi memberi semacam impak yang sangat hebat kepada batini saya. Bunyi aliran air itu sungguh seni, seakan memujuk naluri supaya sentiasa bersabar dalam segala hal. Begitu juga bunyi mersik dedaunan yang ditolak angin seakan menyampaikan khabar suka atau duka, kicauan burung, titis-titis embun, derai hujan, semuanya mahu berbicara dengan kita, mengajak kita berzikir dan berdoa kepadaNya, bukankah ini merupakan satu therapy semulajadi yang sangat baik untuk merawat rohaniah kita yang tercalar?  Saya percaya, anda penyair dan pelukis, bicara hatinya tentu saja ada yang lebih kuat dari saya.

Oleh yang demikian, catatan puisi saya, (biasanya yang bernafas Islami), adalah catatan bicara yang menghubungkan diri terhadap roh yang dicipta olehNya, langsung  terhadap Penciptanya, yakni Allah SWT. Setiap kali saya mencatat puisi, akan ada rasa yang sangat kecil tersungkur di RabbNya . Saya catat puisi saya, sama seperti saya munajat - saya menangis tika munajat, saya juga menangis ketika saya mencatat puisi, itu bukan cara tapi itu seadanya saya. Berikut adalah antara puisi saya, yang habis basah tanah batini:



TIKA KUSELUSURI PERJALANAN, ADA NAFAS MERINTIH..
- Rosmiaty Shaari

demi menetapkan perjalanan
kudakap rahsia angin
kuiring dengan seru - aku meneruskan perjalanan ini
dari pintuku ke pintumu
lalu kuletakkan wajahmu di cahaya ungu
dengan langkah kanan dan ayat berfirman
ya, Rahim
cahaya yang bergelora tetap ada
di hujung pucuk-pucuk berlari
di tengah awan-awan putih yang kutiti
kudengar suara zikir
resah bertitir

Allahu...Allahu...
beribu kali
menutup hijab yang bernafsu
perjalanan yang laju
adam yang keliru - olah yang tak menentu
antara hawa yang tunduk membisu
dia membaca namamu di langit kalbu
bersilangpaut pada ketakutan - adalah engkau
hingga akhirnya
belenggu yang merantai
nafsu yang berjejal
melepaskan dia
dari persinggahan

ya, Fatah
mentari bercahaya jingga
merona dalam gelora
kian tunduk -
jangan kaulemahkan langkah ini
kerana lautku semakin reda
perjalananku baru bermula...


 08092011





QASIDAH BAWANG MANIS
- Rosmiaty Shaari

dan apabila ia berpendar di antara dedaun hayat
kau panggilkan ketitir atau bayan dari raudhah
mengepakkan sayap menitirkan zikir
berpendar antara qasidah bawang manis
kauhangatkan cahaya untuk memeluk wangi rerumput
perlahan kauusapkan seluruh

ya, ayuhai
maya yang terbentang
jalur yang memanjang
berjejal cinta dari kasih sang setia
aku terlalu kecil, jangan kau tinggalkan aku
sebesar zarah pun aku terapung di antara lebat rindu
tetapkan aku seorang kekasih dan engkau kekasihku
demikianlah
kubawa bau tanah subuh dalam genggam
dan basah embun yang masih kutatang
kerana harganya
terlalu mahal untuk merungkai dendam

ya, ayuhai
saat teja kembali kembang
kembangkanlah segala kuntum
dari taman belantara ini
sebagai satu persembahan
untuk terakhir kalinya
sebelum kau gugurkan sehelai daun
dari sepohon syajar
dari seuntai janji sesudah fajar..

06 Ramadhan 32


Mengapa ..DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH??

Mengapa saya tidak memilih tajuk yang lain? Seperti kata saya di atas, setiap kali saya mencatat puisi pasti saya menghubungkan catatan saya dengan Dia. Dia yang mengizinkan saya menulis, Dia yang memberi saya ilham dan lantunan rasa seni itu juga terbit daripada Dia ke dalam batin saya. Tanpa Dia, tiada saya.

Justeru, hitam dan putih itu adalah perjalanan manusiawi yang dicatat  oleh malaikatNya, Roqib dan  Atid, dengan timbangan berat ringannya amalan kita selama meminjam hayat di dunia sementara ini, sebelum kita berubah menjadi zarah, yakni roh yang diangkat ke langit  untuk diadili di padang mahsyar kelak. Makanya, sebahagian catatan puisi-puisi di dalam kumpulan ini adalah catatan-catatan perjalanan manusiawi  semua sebelum kita kembali kepadaNya.

Mudah-mudahan, dengan catatan-catatan saya ...DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH yang sangat kecil ini, bisa membuka hati nurani sesama kita untuk merenungi tentang anugerah Allah SWT di sekeliling kita. Agar kita menghargai apa jua ciptaanNya, yang di bumi mahupun di langit.

Maha Suci Allah SWT dan segala kebesaran dan kekuatanNya, dari apa yang mereka katakan. Semoga dilimpahkan kesejahteraan ke atas para Rasul. Segala puji bagiMu, ya Allah, Rabb seru sekalian alam. Amin...



Biodata Penulis

Rosmiaty Shaari dilahirkan di Teluk Intan, Perak. Mendapat pendidikan hingga memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan. Mengikuti Pengajian Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia tahun 1983/84.  Pada tahun 1988, beliau ditawarkan untuk meneruskan pengajian dalam Penulisan Kreatif dan Deskriptif di bawah Pusat Pengajian Melayu, Universiti Malaya dengan biasiswa yang ditaja oleh Teks Publishing Sdn Bhd, tetapi tidak meneruskan atas sebab-sebab peribadi. Pernah menjadi Editor di Teks Publishing/Singamal Publishing (1985-1989), Editor di Marwilis Publisher (1990-1994), Free Lance Editor bagi Flo Enterprise, Penerbit Karyawan, Penerbit S. Abdul Majeed dan Penerbitan Murni hingga kini. Antara karya yang telah diterbitkan ialah antologi cerpen persendirian Malam Seribu Malam (Teks Publishing,1988), antologi cerpen bersama Mannequin (Kerajaan Negeri Selangor, 1986), kumpulan puisi bersama Temoh Tasik Kenangan (Karyawan Pk, 2010), kumpulan puisi bersama Kampung Bandar Dalam (2010), kumpulan puisi bersama KEMALA - Meditasi Dampak 70 (Insandi, 2011). Karya-karya beliau turut dimuatkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Pelajar, Jelita, akhbar Minggun Malaysia, Berita Minggu, Siasah, Horison Online, E-Sastera, Blog Penyair Nusantara dan lain-lain. Kumpulan puisi/sketches bersama Azad (putera ke-2 beliau) berjudul ...DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH  merupakan kumpulan puisi perseorangannya yang pertama dan baru diterbitkan oleh I Man Creative (2011). Antara antologi yang bakal diterbitkan ialah antologi puisi bersama 15 penyair wanita Malaysia di senggarakan oleh Puan Raja Rajeswari Jayaraman, antologi cerpen bersama empat cerpenis wanita Malaysia/Indonesia terdiri daripada De Kemalawati, Helvy Tiana Rossa, Dr Siti Zainon Ismail dan Rosmiaty Shaari, disenggarakan oleh De Kemalawati (Sasterawan Aceh) dan antologi puisi bantah PPSMI disenggarakan oleh Rosan Azen Md Rasep.

SALAM HORMAT UNTUK SEMUA

21102011
Pusat Dokumentasi Sastera HB Jassin
Taman Ismail Marzuki
Jakarta

Monday, 17 October 2011

catatan (lxvi)

kugenggam benih angin
nak kutanam di hujung tanjung
kubawa harum tun teja
nak kupercik di muara ciliwung
dalam helaian hitam dan putih
nak kutebar percik di jari
suara yang berlari
biar bertaut di awan hati
biar memaut kasih Illahi...

Tuesday, 11 October 2011

catatan (lxv)

mawar susila itu cahaya
yang memercik antara kita
jangan padamkan percik yang menyala
yang menyuluh hitam putih perjalanan kita
kembangkan kelopak
biar mekar di dada
biar mekar selamanya

Monday, 3 October 2011

catatan (lxiv)

makin dekat gerak angin
makin jauh jalur pelangi
kupandang gerak cahaya
berpendar antara kalimah cinta
Adam dan Hawa
kutunggu suaraku tumbuh di sulur cempaka
mekar menjadi kuning kemboja
sebelum gugur ke makan bonda
ingin kutebarkan harumnya
tapi ke makam siapa?

catatan (lxiii)

jemari yang menitir zikir
memercik cahaya berpendar
di sela-sela suara yang berbisik
menurih bahu kiri - panas terasa
api yang merasuk
pedih yang menusuk
hati yang merusuh - menolak jauh
jemarimu jabat juga

ya Rabb, astaghfirullah hal' azim, allazi la ila hailla hual hayyul qayyum, wa'atu bu ilaih..

Saturday, 1 October 2011

catatan (lxii)


bertimbun-timbun kertas tisu
kurenyukkan ayatayatku
setelah kucatat tanpa maluku
kubuang tanpa mahuku...