Alhamdulillah, kembara perjalanan hidup diteruskan, cuti sekolah pada minggu lepas cuba dimanfaatkan sebaik mungkin. Meski jasad keletihan setelah habis program Interactive Dakwah Training anjuran PERKIM Ampang, namun atas tuntutan membantu ummah, diri ini melangkah ke suatu program yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Taklifan sebagai fasilitator program S.P.I.E.S Remaja pada 16 dan 17 Mac 2010 di Nur Bukit unggul, Dengkil, Kajang, Selangor merupakan peluang yang bermakna buatku sebagai rakyat Negeri Selangor. Syukran katsir buat sahabatku, ukhti Sarah yang telah menjadi wasilah penglibatanku dengan S.P.I.E.S.
Kenali S.P.I.E.S
Pembangunan Modal Insan adalah aspek paling penting di dalam membina kemajuan sesebuah negeri kerana individu-individu inilah yang akan menjadi batu asas kepada pembangunan sesebuah negeri. Individu yang berkualiti akan membentuk anggota masyarakat yang berkualiti dan seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah negeri yang bertamadun dan berdaya maju.
Negeri yang maju tetapi dihuni oleh anggota masyarakat yang lemah dari segi Spritual, Emosi, Intelektual, ‘Physical’ dan Sosial akan menyebabkan bangsa atau sesebuah negeri itu hancur dan mudah untuk dijajah. Oleh itu atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap pembinaan modal insan ini, maka pihak Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan telah merangka Model Pembangunan Modal Insan yang dikenali sebagai SPIES dalam usaha holistik untuk membina masyarakat cemerlang dan sentiasa menjadi warga masyarakat penyumbang yang produktif kepada pembangunan negeri Selangor.
Pembangunan modal insan di Selangor, yang berteraskan konsep SPIES iaitu Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional dan Sosial yang diilhamkan YB Dr Halimah Ali iaitu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor merupakan platform yang baik untuk pembangunan sahsiah ummah.
Program S.P.I.E.S Remaja yang menekankan aspek Spiritual sebagai tunjang utama.
Program kali ini melibatkan anak-anak remaja Negeri Selangor dari daerah Sungai Buloh yang dikhususkan kepada golongan sederhana dan kurang berkemampuan. Alhamdulillah peserta kali ini berjumlah 150 orang dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Negeri selangor.
Kembara sebagai fasilitator bersama ukhti Madihah dari UKM
Salah seorang peserta, Fahmi yang mempunyai daya kepimpinan yang baik. You always choose to be good. Syabas. Alhamdulillah=)
Meraikan perbezaan antara peserta (It's a Sunnah). Mereka sangat unik dan berbeza potensi (^^)
Syabas buat Kerajaan Negeri Selangor atas usaha untuk membangunkan ummah! Moga usaha ini akan menjadi bukti sebuah amanah yang telah dilaksanakan dihadapan Allah kelak.
Memetik Syair yang dinukilkan oleh penyair Arab Shauki. Beliau menyebutkan bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan begara akan terjamin dan maju. Begitulah juga sebaliknya. sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana tidak kita inginkan akan berlaku.