Isnin, 29 Ogos 2011

Lesen Demokrasi.



Mat Sabu. Kini dia adalah Timbalan Presiden Pas. Kita tabik kerana dia dipilih untuk buat tranfomasi dalam perjuangan PAS. Usah pertikaikan dulu aliran politik saya. Yang hendak saya ajukan adalah melebalkan orang lain sebagai jahil. Buta sejarah. Sedapnya mulut apabila kita diberi pentas untuk bersuara. Lesen yang diluluskan dalam amalan demokrasi. Saya berkali-kali bertanya adakah Mat Sabu ini seorang pakar sejarah. Yang lebih menyayat hati saya apabila Mat Sabu mengatakan "cikgu yang mengajar kita dulu mohong ". Mat Sabu jadi bijaksana berpidato di Pentas itu rupa-rupanya baka benih didikan para guru-gurunya yang pembohong terutama cikgu 'sejarahnya'. Di sinilah ayat yang mendorong saya menulis kembali tentang 'politik' iaitu ketika saya amat meluat dan jijik dengan sepak terajang orang-orang politik melayu di tanah air kita.

Kalaulah Mat Sabu itu bekas murid saya rasa-rasanya apakah perasaan saya ketika ini. Ketika akhir Ramadhan dan menjelang Aidilfitri. Mat Sabu merdeka untuk bersuara. Tetapi celakalah dia kerana menguris perasaan gurunya dan guru-guru yang sedamg berkhidmat kini. Apakah di kalangan ribuan guru sajarah dahulu dan kini merupakan para siswazah yang dangkal, pak turut, salah landasan, buta perut sehingga tidak seorangpun berfikir seperti pemikiran Mat Sabu. Saya sangat terguris kerana saya pernah belajar dan mengajar sejarah kepada murid-murid saya.

Kerana pulut santan binasa. Kerana santan berlebihan badan binasa. Lemak lunak suara. Senak setanak di hari muka. Amat mudah bertanak dengan bicara tetapi belum tentu masak terhidang mengisi selera. Bukan Salah PAS tetapi PAS dihukum kerana beri bunga kepada kera. Bukan salah kera tetapi salah belacan menjadi selera. Akhirnya bukan salah ibu mengandung. Itulah yang saya rasa. "hati seorang guru".

Rabu, 17 Ogos 2011

Asuhan.

Sesekali. kadang-kadang. jarang-jarang. Tak selalu. Saya diundang memberi motivasi kepada waris tentang kemahiran belajar kepada anak-anak. 'Pendidikan Anak-anak'. Terfikir juga apalah sangat yang boleh saya curahkan kecuali amali yang saya praktikkan.

Amat kecil ibu bapa mempedulikan anak-anak. Kebebasan mutlak menyebabkan kadangkala kita menjadi penyumbang kepada 'salah asuhan'. Tiada kongkongan. Anak-anak dibiarkan lepas bebas.
Ibarat kambing kalau terlepas tanpa tambatan maka habislah tanaman kesayangan kita. Demikian akan terjadi kepada anak-anak.

Setiap anak-anak perlukan perhatian. Perlukan kasih sayang. Kita perlu jadi pemantau dan ambil hirau gerak laku anak-anak. Pertuturannya wajib beretika. Ada susila. Teguran mesti dibuat. Ketidaksopanan berbicara mesti dicegah. Jika perlu, rotan. Tutur kata anak-anak mencerminkan aras pendidikan yang dibekal oleh waris di rumah. Memberi dan menjawab salam mestilah betul kerana salam itu adalah doa. Salah menuturkan salam beerti salah makna doa. Maka sia-sialah. Tiada rohmat.

Kawan anak-anak kita juga perlu di pantau. Apakah mereka juga penutur yang santun dan sopan. Tanpa budi berbahasa maka imej anak-anak dan kita sendiri akan tercemar. Di situlah susahnya melatih tubi pertuturan yang mulia. Ia bermula di rumah. Jadi kita sendiri mesti menjadi penutur yang terpuji. Sebolehnya jangan sama sekali kita menggunakan gantinama 'aku' ketika bertutur dengan ibu bapa yang menjadi nenek dan datuk kepada anak-anak kita. Demikian juga jangan memberi gelaran kepada anak-anak. Panggilan nama anak-anak seelok-eloknya biarlah seperti tertulis. Itu nama yang kita beri. Kita pilih. Mengapa ia berubah dan disingkatkan. Jika kita tidak berupaya memanggil nama anak seperti yang kita namakan maka pilihlah nama yang hanya dua sukukata. Azah, Fuad. Amran. Nizam. Jika kita ingin meringkaskan nama panggilan maka biarlah ia ada maksud. Ada doa. Senakal manapun anak-anak kita jangan sama sekali memanggil namanya 'syaitan, hantu iblis, celaka. hawaq.dan seumpamanya. Semarah mana sekalipun, kita wajib jaga pertuturan kita terhadap anak-anak.

Latihlah anak kita untuk mengurus diri dan keluarga. Pinggan makanan sendiri mesti diasuh agar dibasuhnya. Ini temasuklah kasut sekolah. kalau kita membasuh, elok diajar mereka menyidai di ampaian. Solat mesti dipastikan. Mesti diingatkan setiap waktu. Jangan pedulikan apa riaksi dan maklum balas daripada arahan itu. Pedulikan. Yang paling penting mereka Solat. Tidur dan bangun anak-anak mesti dipantau. Katil dan cadar mesti dirapikan. Jangan biarkan anak-anak tertidur dengan airmata. Selidik apakah kedukaan mereka.

Persekolahan. Ramai waris tidak pedulikan. Pergi dan balik sekolah adalah kebebasan. Tidak ditanya tentang pelajaran yang dipelajarinya di sekolah. Kerja rumah. Buku. Pakaian. Jangan biarkan anak-anak berpakaian comot ke sekolah. Latih dan asuh agar mereka menjaga kebersihan diri. Jika kotor minta penjelasan. Elok arahkan mereka mencuci pada kadar segera.

Sejauh mana seseorang kanak-kanak itu bersedia untuk ke sekolah adalah tangguhjawab ibu bapa. Pakaiannya adakah tersedia. Adakah keadaannya elok dan bersih. Bagaimana pula dengan peralatan belajar. Pensil/pen, pembaris dan pemadam wajib lengkap. Jangan asuh anak-anak meminjam peralatan daripada kawan. Nampak yang kita sebagai waris amat dhoif. Pastikan ada apa-apa pesanan untuknya. Umpama 'belajar rajin-rajin'. 'berkawan elok-elok'. 'jaga kebersihan'.
Bersalaman dengan cikgu sebelum balik. Apa-apa maklumat yang disampaikan mesti berakhir dengan terima kasih. Contoh 'terima kasih kerana berpakaian bersih. Sediakan sedikit makan dan minuman jika dia sedang membaca atau menyudahkan kerja rumah. Apa sahaja yang berupaya dicapai hendaklah disusuli dengan tahniah/syabas dan terima kasih. Pastikan sebelum ke sekolah kita telah menyediakan sarapan dan peralatan yang berfungsi. Pensilnya tajam. Pennya berdakwat. Pensil warna tersedia.

Anak kita adalah warisan kita. Jangan biarkan dia menapak arang. Sekali terpijak arang maka sepanjang hayat berbekas hitam. Jangan jadi seperti cucur badak. Isinya kelapa dan udang badaknya tiada. Ertinya ilmu yang hebat tetapi kita kehilangan sesuatu yang lebih besar dan bermakna. Moga-moga kita tidak hilang identiti melayu dan Islam yang bijaksana dan mulia akhlak serta pekerti.

Ahad, 7 Ogos 2011

Sungai Bernam


Kubenamkan kakiku ke dadamu
ketika jernihnya kau mengalir
membasuh kuku kakiku ini
menjadi kilau kilat yang kekal menapak
mengalir arus selajumu
merentas tebing dan mencari muara

Kutemui
tapak jejak yang abadi
terbenam di lubuk sungaimu
ketika terbangun mengejar keretapi utara
untuk mencari kekasih nusa yang hilang stesyennya

Sungai Bernam
telah kuampangi janjiku
kukuh dan teguh
hingga ke muara bakti
terima kasih wahai bilah-bilah pancangan
yang terpacak menjadi paksi
untuk kubertenggek
bersama arusmu.

Jumaat, 5 Ogos 2011

Ramadhon 1960'an

Langsung tiada dalam ingatan tentang tahun dan tarikh sebenar saya mulai berpuasa. Cuma kalau tidak berpuasa saya dan adik-adik hanya dapat merenung hidangan ketika berbuka. Hanya menghidu aroma hidangan. Mahu tidak mahu terpaksa juga berpuasa. Kadang-kadang curi makan. Saya tahu bahawa ayah saya memaklumi tentang perlakuan saya tetapi dia mengiyakan sahaja dalam diam. Kalau terlalu dahaga saya akan pergi mandi dan menyelam. Ketika itulah saya minum di dasar sungai. Umur 9 dan 10 tahun berpuasa pasti banyak ragam.

Menjelang waktu berbuka kami akan memandang ke arah Alor Star. Isyarat waktu berbuka pada masa itu hanyalah melalui detuman meriam yang ditembak. Bunyi dentumannya boleh didengar berbatu-batu (belum lagi menggunakan sistem metrik) jauhnya. Saat paling gembira. Mak dan ayah akan bertanya lauk apa yang dikehendaki untuk dijamah. Ayah selalu membuncingkan saya di belakang basikalnya untuk membeli bahan mentah sebelum dimasak sebagai juadah berbuka. Di Pekan Langgar. Paling terkenang-kenang apabila ayah bertanya tentang lauk kegemaran untuk berbuka pada hari itu. Bayangkan perasaan kanak-kanak baya saya dilayani sebegitu rupa. Semuanya tinggal kenangan.

Selepas berbuka ayah ajak solat maghrib. Sesudah itu dia ajak saya ke Masjid bersebelahan rumah untuk solat tarawikh. Saya mesti berada di sisi ayah. Saya tiada peluang untuk bermain toi di bawah masjid. Bunyi bising kanak-kanak bermain di bawah masjid tidak pernah menjadi rasa amarah pada para jamaah yang sedang bersolat. Masjid kami pada masa itu seakan surau kampung pada masa ini. Bertiang. Samalah macam rumah tradisional Kedah. Bumbung Perak. Atap Zink. dinding dan lantai hanya papan keping. More hampir setiap malam. Nasi. Bihun. Bubur kacang. kanji. Itulah menu yang sering bersilih ganti. Kadang-kadang amat menjemukan. Tetapi itulah sahaja yang ada untuk dihidangkan.

Selesai waktu solat /berbuka gendang raya akan dipalu. bertalu-talu. Kayu paluannya seakan tanduk lembu. Melengkung. Rentak paluan dum dum. dum dum. dum dum. silih berganti. Pemukulnya juga bergantian. Biasanya anak-anak muda dan diselang seli dengan paluan kanak-kanak baya saya. Rentak paluan remaja dan kanak-kanak amat berbeza. Pemukulnya juga boleh dikenali melalu kenyaringan paluan. Kadangkala kulit dipermukaan gentang itu pecah. Ia akan berganti dengan kulit baru daripada lembu korban musim aidul azha.

Balik tarawith kami akan main meriam buluh. Ayah buat meriam buluh dengan bersimpai rotan. Karbat sebagai bahan peladak boleh dibeli tanpa larangan. Setiap kedai di Pekan Langgar ada bekalannya. 50 sen sudah mencukup untuk bermain meriam selama seminggu. Untuk meladak kita perlu menggunakan pencucuh. Pencucuh dibuat daripada bilah buluh duri sepanjang sedepa dan diikat dengan tali guni atau perca kain dihujungnya. Keselamatan diutamakan. Permaian diawasi oleh ayah. Biasanya dia yang penjadi peladak utama. Hoh meriah. Pada waktu itu ramadhon sentiasa ditunggu-tunggu.

Juadah berbuka yang utama ialah nasi kerabu. Nasi kerabu dulu-dulu berbeza dengan nasi kerabu sekarang. Aromanya mencairkan air laur. Setiap jam saya menjadi pemantau dengan membuka tudung periok untuk mengetahui rasepi masakan ibu. Tak sabar tergadai puasa. Seingat saya jumlah hari berpuasa lebih banyak daripada hari-hari tidak berpuasa. Kenangan itu tetap indah dan ia tidak mungkin dikembalikan. Ia hadir bagai catatan yang diselak sehelai demi sehelai. Terakam bagai sebuah filem panjang tanpa penghujung. Selamat berpuasa.