MIMPI KE BINTANG TV2

Dokumentari Tv Kisaah Omara

Omara dalam Telemovie Kami Datang Nak Raya

Ke Pulau Pinang

Jumaat, Januari 30, 2009

Yusmiati Dari Medan, Indonesia




Namanya Yusmiati ( atau mungkin ejaannya Yusniati ), seorang warga Indonesia dari Medan, Sumatera. Beliau yang biasa dipanggil Yus ini pernah tinggal di rumah saya di Lorong Tenggiri 5 (kemungkinan dalam tahun 1993 hingga 1997). Yus membantu perniagaan mini market saya ketika itu di OMARA, Lorong Tenggiri 3 dan juga di OMARA, Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Seberang Perai.

Selepas Yus pulang ke Medan, saya kehilangan nombor telefonnya dan tak dapat menghubunginya lagi. Saya harap, jika Yus dan sesiapa membaca blog saya ini harap tolong berikan nombor telefon Yus atau boleh juga berhubung dengan saya (Omar) melalui tel – 0134220091 (Malaysia).

Semoga Yus sihat bersama keluarganya.

Gambar Kiri:- Azizah, Asnurrani, Nur Auni dan Yusmiati

Gambar Potret:- Yusmiati (Medan, Sumatera, Indonesia)

Aziz Desa Yang Saya Kenal Sejak 1991


Saya kenal dengan Aziz Desa sejak tahun 1991. Ketika itu Aziz bertugas di Berita Harian. Saya kerap ke TV3 di Jalan Liku, Bangsar dalam tahun 1993 dan ketika itu Aziz mengendalikan Malaysia Hari Ini (MHI).
Pernah juga ke rumahnya di Langkawi, ketika itu ibu dan bapa Aziz (Pak Desa) masih ada lagi. Biasa juga ke rumah Aziz di Alor Star semasa beliau bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah ketika itu. Selepas itu Aziz tinggal di Shah Alam.
Aziz mesra dengan kawan-kawannya. Tidak sombong dan sesekali berhubung melalui telefon dan juga sms.

Mudah-mudahan Aziz selesa di TV9 sekarang ini dan bertahan lama di 'Nasi Lemak Kopi O'.
Pengalaman kerja:

Wartawan Berita Harian
Penerbit kanan (siaran langsung) Jabatan Majalah TV3 dan perantara rancangan bual bicara pagi Malaysia Hari Ini (MHI)
Pengurus media & komunikasi Y.A.B Menteri Besar Kedah (Tan Sri Sanusi Junid)
Pengurus "Program Pelancongan Pelajar" dan pembangunan perniagaan Malaysia Travel Business, anak syarikat Pempena, milik Tourism Malaysia. Beliau juga pernah menjadi:
Perantara rancangan Jendela Pagi dan Gemilang Malaysia terbitan RTM
Hos rancangan Kuiz Hati-Hati Balik Kampung dan rancangan Cermin Desa (RTM)
Perantara rancangan Seulas Pinang (TV3)
Penyampai Berita (TV3)
DJ Radio Pelancongan Langkawi (kini dikenali sebagai Langkawi FM)
Hos rancangan Al-Kuliyyah (TV3)
Hos Forum Perdana Hal Ehwal Islam (RTM)
Juru acara, pengerusi dan fasilitator lebih 2,000 acara dan majlis peringkat negeri dan kebangsaan termasuk membabitkan keraian peringkat Istana Negara dan Kerajaan.

Khamis, Januari 29, 2009

Kawan-Kawan Dan Jiran Semasa di Jalan Kelab, Butterworth



Tahun 1965. Usia saya 11 tahun. Masa ini tinggal bersama keluarga di rumah no. 5B, Jalan Kelab, Butterworth (Sekarang telah ditukar sebagai Jalan Dato' Hj. Ahmad Said). Selepas itu menjadi Jabatan Kemasyarakatan serta Persatuan Kebajikan, Sukan dan Sosial MPSP (PESUKA). 

Gambar Kiri - Kawan-kawan dan juga jiran kami ialah: Saya (Omar), Yusof (adik), Lim Teck Aik dan abangnya Lim Teck Lee. Gambar ini diambil di tepi rumah kami.

Gambar Kanan - Lim Teck Lee, Yusof, Omar dan Lim Teck Aik. Gambar ini ditepi pantai belakang rumah kami (Sekarang dah jadi lebuh raya Lingkaran Luar Butterworth atau BORR).

Keluarga Lim Teck Lee telah berpindah ke Petaling Jaya, Selangor. Kalau tak silap di Jalan 12/14. Kami hanya bertemu dua kali Lim Teck Lee dan Lim Teck Aik dalam tahun 1973 di Petaling Jaya selepas itu telah terputus hubungan. Jika mereka melihat dan membaca blog saya ini diminta tolong hubungi saya di talian - 013 4220091 atau email: omara353535@hotmail.com

Selasa, Januari 27, 2009

Dato' Yahya Sulong Yang Dilupakan...

Saya kenal dengan pelawak/pelakon Yahya Sulong (Kini bergelar Dato' Yahya Sulong sejak era 80an lagi. Biasanya saya panggil 'Pak Ya'.

Setelah ber 'asal usul', barulah saya tahu rupanya kami pernah bersekolah rendah di sekolah yang sama cuma berlainan tahun kerana Pak Ya lebih tua dari saya. Beliau yang berasal dari Jalan Mengkuang, Butterworth juga bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kechil, Butterworth.

Kalau bercakap dengannya selalu tidak pernah serius. Ada saja telatah-telatah lucu di antara kami. Kalau tak jumpa, biasanya sesekali kami akan bercakap telefon. Pak Ya banyak membintangi filem-filem Melayu dari zaman P. Ramlee lagi. Antaranya yang saya ingat - Gila Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol, Prebet Lapok dan Senario The Movie.

Pak Ya juga suatu ketika dulu kerap muncul dalam rancangan-rancangan jenaka Tv1 RTM terutamanya 'Hiburan Minggu Ini'. Selepas itu Pak Ya digam di RTM atas sesuatu sebab yang tak payah saya ceritakan di sini.
Namun rezekinya masih ada, Pak Ya kerap pula mengambil bahagian dalam rancangan-rancangan hiburan Tv Singapura.

Kini nasib Dato' Yahya Sulong seperti juga rakan-rakannya yang lain iaitu Hamid Gurkha, Dato' Jamali Shadat dan lain-lain. Penerbit-penerbit Tv sekarang ini (orang-orang muda) mungkin tidak kenal atau tidak berminat lagi dengan pelawak-pelawak lama ini. Mereka seperti dilupakan.....

Gambar Kanan - Saya dengan Pak Ya pada Disember 2008.

Gambar Kiri - Nasir P. Ramlee, Cikgu Yusof, Saya (Omar Hashim), Sheikh Ali (Abang P. Ramlee) dan Yahya Sulong dalam tahun 1985.

Isnin, Januari 26, 2009

Tubuh Kumpulan Lawak Jenaka Semasa Remaja 1972


Tahun 1972. Saya tubuhkan kumpulan lawak jenaka dan pelawak untuk dua pertandingan lawak jenaka di Pulau Pinang. Ketika itu kami semua masih ramaja lagi.

1. Pertandingan Bakat Pesta Pulau Pinang 1972 yang diadakan di Padang Kota Lama Pulau Pinang (Suara tanpa dialog). Johan Bakat Pesta - Yusof M. Hashim. Naib Johan - Kumpulan Kontelo yang terdiri dari Mat Kon dan Wahab Telo.
2. Pertandingan Lawak Jenaka Pesta Bintara, Butterworth 1972. Johan - Kumpulan Yusof M. Hashim, Mat Kon dan Wahab Telo.
Saya bertindak sebagai pemberi idea dan ketua kumpulan. Alhamdullilah, berkat kesungguhan kami berlatih akhirnya kesemua sahabat karib semasa kecil ini berjaya. Osman Desa (adik kepada Wahab) turut mengikuti perkembangan kami ketika itu.

Gambar ini diambil dalam tahun 1972 di tepi rumah kami di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Seberang Perai sebelum bertolak ke tempat persembahan. Dari kiri - Ahmad bin Shaari (Mat Kon), Wahab bin Desa (Wahab Telo), Yusof M. Hashim (Chop) dan saya sendiri.

Sabtu, Januari 24, 2009

Album Ke 3 Keluaran Omara 1991





Album Pak Man Telo * M. Shariff ini keluaran saya yang ke 3. Saya terbit dan edarkan pada tahun 1991. Jualan album ini kurang sedikit dari Album 'Untuk Mu Hijau Kuning'. Boleh tahan!

Muka 1 - 1. Cakap (Lirik Omara), 2. Makan Kenduri (Lagu M. Shariff/Lirik Omara), 3. Nyonya Pakai Barut (Lirik Non/Omara), 4. Cucor Kodok (Lirik Non/M. Shariff), 5. Capati (Lirik Non).
Muka 2 - 1. Caca Berniaga (Lirik Yusof M. Hashim), 2. Tumbuk Tepong (Lirik Non/Chick), 3. Kejor Yop Kejor (Lirik M. Shariff), 4. Ke Pulau Pinang (Lagu M. Shariff/Lirik Omara) 5. Cinta Tua (Lagu M. Shariff/Lirik Omara).

Penerbit/Susunan Muzik - M. Shariff
Urusan Penerbitan - Omar M. Hashim
Studio - Channel Eleven
Jururakam - Mail/Tana
Mixing - Teh
Pemuzik Undangan - Sugito dan KG
Jurufoto - Fotomedia Raja Harun Redzuan
Rekabentuk - Yusof M. Hashim dan Amir Awang
Terbitan/Edaran - Omar M. Hashim Production, 19, Lorong Tenggiri 3, 13700 Bandar Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Gambar - Kasset depan dan belakang. CD depan dan belakang.
Gambar - Omara bergambar dengan artis-artis album - Non (Pak Man Telo), M. Shariff dan Chick.

Jumaat, Januari 23, 2009

Bat Latiff Yang Saya Kenali




Saya kerap bertemu Bat Latiff di pentas-pentas pertunjukan. Kali terakhir saya bertemu dengannya dalam tahun 1998 di Restoran A & W, Stesen Keretapi (lama) Kuala Lumpur ketika saya sedang berbual-bual dengan penyanyi/pelakon Aman Shah di situ.

Bat Latiff yang terkenal melalui watak kanak-kanak pintar `Belalang' dalam filem Nujum Pak Belalang, nama sebenarnya M.H. Ali bin H.A. Latiff (1951 - ). Dalam filem Nujum Pak Belalang arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Bat Latiff mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Asia Pasifik.

Beliau juga merupakan pelakon kanak-kanak Melayu pertama yang telah menerima anugerah Pelakon Kanak-kanak Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia di Tokyo menerusi Filem 'Batu Belah Batu Bertangkup'. Filem ini adalah filem pertama arahan Jamil Sulong yang telah ditayangkan pada tahun 1958 oleh Shaw Brothers. Selain Bat Latiff, barisan pelakon filem ini ialah Aziz Jaafar, Zaiton, Neng Yatimah, Salleh Kamil.

Filem-filem lain lakonannya ialah ‘Lela Manja’ (1960), ‘Singapura Dilanggar Todak’ (1961), ‘Sri Tanjong’ (1961), ‘Si Tanggang’ (1962), ‘Gerhana’ (1962) dan ‘Mambang Moden’ (1963). Filem terakhir ialah ‘Satu Titik Di Garisan’ arahan M. Amin pada tahun 1970. Ibunya, Mariam Baharom juga merupakan seorang pelakon di era 60-an. Beliau yang berasal dari Singapura lebih menumpukan kepada kerjaya sebagai pereka tari sepenuh masa dan menubuhkan kumpulan penarinya sendiri.

Klik di sini lihat filem lakonannya NUJUM PAK BELALANG

Khamis, Januari 22, 2009

Arzaman, Sahabat Saya Yang Aktif Buat Blog








Nurzaman atau nama sebenarnya Arzaman seorang sahabat saya yang pernah jatuh bangun, lama menghilang dan akhirnya jumpa kembali walaupun tinggal dalam Seberang Perai juga. Arzaman pernah menguruskan perniagaan Perkhidmatan Penerbitan disamping bertindak sebagai Penulis dan Wartawan Bebas. Kini bekerja sendiri disamping menjadi Penulis Bebas serta Pengurus Blog.

Kami sedar, bukan senang nak buat blog atau membuka laman web sendiri. Dua tahun yang lalu kami berdua ke Alor Star bertemu seorang perempuan bernama Ifti Liana yang telah mengiklankan dalam SepakuNet khidmat membuat web. Setelah bertemu dan membayar wang perkhidmatan, akhirnya web kami dengan nama Goodway91 telah dibuat oleh Edy (dari SepakuNet). Web bermasalah, tak boleh update. Saya cuba menghubungi mereka, tapi gagal. Setiap panggilan telefon dan email tidak mendapat jawapan. Web kami mati di tengah jalan.

Kami tidak putus asa, akhirnya kami berusaha sendiri membuka blog seperti sekarang tanpa belajar daripada sesiapa. Alhamdullilah, berjaya juga usaha kami seperti sekarang ini. Setakat ini saya hanya mempunyai tiga blog yang aktif iaitu Warisan Boria, Warisan Ghazal Parti dan Di Sepanjang Riwayat Ku.

Arzaman pula lagi hebat, tak terkira banyak blognya seperti yang saya masukkan di sini - MACHANG BUBOK NURZAMAN ONLINE MACHANG BUBOK MACHANG BUBOK NURZAMAN ONLINE BICARA UMMAH BAGAIMANA AKU MENULIS REZEKI TAK DIDUGA CITRA CINTA NURZAMAN ONLINE HERBA NURZAMAN ONLINE NURZAMAN MULTI VENTURE BICARA UMMAH KEAHLIAN RAKAN BLOG NURZAMAN JKKK FIKRAH MUSLIM WARTAWAN RAKYAT NURZAMAN ONLINE SAHABAT BLOG MACHANG BUBOK MACHANG BUBOK CITRA CINTA MISTERI CYBERSPACE FIKRAH MUSLIM BICARA UMMAH CITRA CINTA USAHANIAGA ONLINE RAKAN SEKOLAH Produk X-Lalat BICARA UMMAH KEAHLIAN SAHABAT BLOG MACHANG BUBOK MyNEWSLETTER RAKAN BLOG NURZAMAN BOMOH BAZAR IKLANEKA HUMAN INTEREST

Klik saja ke Nurzaman Online selepas itu cari sendiri link-link blognya yang lain.

Tahniah Arzaman! Teruskan. Mudah-mudahan Allah memberkati setiap usaha kita.

Terlibat Menerbit Album Rakaman SENSASI 60AN 2005



Tahun 2005, saya dan Chik telah menerbitkan rakaman album SENSASI 60AN untuk Insictech Musicland Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Penyanyi asal ialah Sri Diana dan Aswad (kini terkenal dengan Aswad AF). Band Pengiring ialah X-Cess, Pulau Pinang. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, penyanyi lain telah diambil oleh pihak Insictech Musicland menggantikan tempat mereka dan tetap menggunakan muzik yang asal dari Kumpulan X-Cess. Album ini juga terdapat dalam bentuk Vcd Karaoke.

Antara lagu-lagu dalam album ini ialah;-

1. Oh Teruna  2. Syurga Idaman  3. Siapa Gerangan 4. Si Baju Hijau 5. Bahagialah Hendaknya 6. Kaca Mata 7. Irama Desa Seberang 8. Jelingan Manja 9. Mari Bermain Tali 10. Aksi Kucing 11. Oh Salamah 12. Aku Tak Mahu Dimadu 13. Penawar Rindu 14. Bujang Bertemu Janda 

Studio Rakaman - Channel Eleven, Kuala Lumpur.

Rabu, Januari 21, 2009

Bersama Pelawak A.K. Jailani Dan Rohani Kassim di tahun 70an





Saya kenal dengan bintang filem Melayu pelawak A.K. Jailani dan pelawak Rohani Kasim ini dalam pertengahan tahun 70an. Saya sering bertemu dengannya di pentas-pentas pertunjukan. Antara filem-filem lakonan A.K. Jailani ialah -


1986 : Pagar-Pagar Cinta - (Supporting Actor)
1976 : Hapuslah Air Matamu - (Supporting Actor)
1971 : Putus Sudah Kasih Sayang - (Supporting Actor)
1966 : Do Re Mi - (Supporting Actor)



A.K. Jailani juga menjadi pemegang watak tetap dalam siri komedi Tv Malaysia di tahun 70an 'Keluarga Tompel', 'Telatah Mak Mah' dan 'Cik Minah Sayang'. Dalam Siri Hiburan Tv1 Tv Malaysia 'Ahmad Daud Show' (1975) beliau juga menjadi pelawak pembantu kepada Ahmad Daud dan digelar 'Jailani Kengkang.
A.K. Jailani dah lama meninggal dunia (tak ingat tahunnya). Pelawak Rohani Kassim saya jumpa kembali di Malam Sejuta Lawak, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam tahun 2002. Rupanya berubah dari dua puluh lima tahun dahulu.
Lihat perbezaan gambar Yusof (adik saya) dengan Rohani Kasim. Kiri - gambar diambil dalam tahun 1975. Kanan - gambar diambil dalam tahun 2002.
Klik 'DO RE MI' Untuk Lihat Filem Lakonannya -
Filem ini diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan diterbitkan pada tahun 1966. Filem ini dibintangi oleh Tan Sri P.Ramlee, A.R Tompel, Ibrahim Din ,Wan Chik Daud, Noran Nordin, Rohaya Rahman, Datuk Mahmud June, Minah Hashim, Sharif Baboo, Ahmad Dadida, AK Jailani, Bakar M, Idris Hashim, Saloma dan Karim Latif .

Selasa, Januari 20, 2009

Pak Su Sabri Pemimpin D'Santani



Kugiran D’Santani pernah mengambil bahagian dalam pertandingan Juara Kugiran anjuran RTM suatu ketika dahulu. Kugiran ini dipimpin oleh Encik Sobri Md Isa, pemain gitar utama yang dikenali dengan panggilan ‘Pak Su’. Kugiran ini juga pernah dinobatkan sebagai Johan Juara Kugiran 60an dalam satu pertandingan anjuran M. Shariff Production tidak lama dulu.
Pak Su merupakan rakan karib DJ Radio Kedah FM, Azarudin Othman (Allahyarham) ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Din. 

Tahun 2005, melalui Pak Din saya telah memilih Pak Su bersama-sama dengan Kugiran D’Santani merakamkan album S. Jibeng – Sanggul Dua di Studio Channel Eleven, Kuala Lumpur. Selain dari muzik The Zurah II, empat buah lagu dalam album tersebut menggunakan muzik live sentuhan Pak Su dan D’Santani. Tahun 2006, sekali lagi saya bawa Pak Su ke Kuala Lumpur bermain gitar solo dalam 14 buah lagu berirama 60an untuk album Instrumental 60an keluaran Insictech Musicland Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Baru-baru ini saya telefon bertanya khabar Pak Su, katanya sekarang kurang undangan. Jika hendak mengundang Kumpulan D’Santani bolehlah berhubung dengan saya (Omara – 013 4220091). Sentuhan Pak Su dengan D’Santani memang benar-benar berkualiti 60an.

Gambar Kiri - Saya, Pak Su, Tamrin Ibrahim Pendek dan S. Azlee semasa di Studio Channel Eleven. 

Gambar Kanan – Kulit belakang Album S. Jibeng - Sanggul Dua. Pak Su bersama-sama dengan anggota kumpulan dan Deejay Pak Din duduk di tengah.

Mengurus Persembahan SENARIO Di Pulau Pinang



Antara tahun 1998 hingga awal tahun 2000 saya dan Chick banyak menguruskan persembahan Kumpulan Pelawak SENARIO di Pulau Pinang. Antaranya ialah persembahan Dinner Show Kilang-kilang dan Jabatan, Pesta Pulau Pinang dan beberapa majlis lagi.

Gambar kiri ialah Pengurus Senario, Mahathir Mohamad Sidi TV3. Dah lama tak jumpa Mahathir.

Gambar - Semasa di rumah Jalan Lampam, Seberang Jaya bersama anak-anak. Lan Pet Pet, Azlee, Wahid dan Saiful Apek.

Isnin, Januari 19, 2009

Rakan Penulis Azizi Hj. Abdullah



Azizi Hj. Abdullah. Seorang penulis terkenal yang tak payah diceritakan lagi. Karyanya hebat-hebat belaka. Dalam sayembara dan hadiah sastera, Azizi tidak pernah ketinggalan mendapat hadiah, sehingga beliau dianggap sebagai penulis sayembara. Azizi pernah menerima Hadiah Sastera dalam genre cerpen lima tahun berturut-turut (1971-1975). Dalam sayembara cerpen anjuran Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Esso-Gapena, Yayasan Sabah-Gapena, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan badan-badan lain, beliau sering mendapat tempat. Dalam tahun 1976, beliau dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara (AMN) dan pada tahun 1988 menerima SEA Write Award di Bangkok.

Dalam tahun 90-an, Azizi pernah meraih Screen Play Radio Terbaik dalam Anugerah Sri Angkasa. Mendapat hadiah sayembara penulisan skrip drama TV. Sejak tahun 60-an hingga kini, Azizi menulis dalam semua genre, seperti puisi, artikel, cerpen, novel, drama radio, dan drama TV. Hampir 200 cerpen, 30 novel dan beberapa antologi cerpen telah dihasilkan. Azizi telah menggunakan beberapa nama selain nama sebenar, seperti Jamong, Qalam Adly, Anita, Shahrul Manjarishah, Tan Sri Sasterawan, Sri Bungsu, Tukya dan lain-lain.

Saya bersama anak saya Asnurrani terlibat dalam menyusun dan membuat 'layout' sebuah Novel dan empat buah buku terbitannya.

Azizi juga terlibat menulis skrip dari cerita asal saya dan adik saya Yusof  dijadikan tiga buah skrip drama tv. Drama 'Menebus Maruah' dan 'Debu Debu Tanjung' telah disiarkan di TV1 dan TV3 di penghujung tahun 80an. Sebuah lagi skrip yang berjodol 'Jeti' (sebuah cerita penyiasatan seram) masih dalam simpanan saya menunggu masa dan ketika untuk diterbitkan.

Sekali sekala kami berhubung dan berjumpa. Saya juga ada menghantar karya-karya (tulisan) untuk Akhbar Utusan Pengguna kerana Azizi  kini menjadi Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang dan penulis kolum majalah.

Lawatilah Blog Azizi di http://aziziabdullah.blogspot.com/

Sabtu, Januari 17, 2009

Gambar-Gambar Pertama Saya 1958







1958 - Saya berusia 4 tahun. Yusof pula berusia 2 tahun. 

Gambar 1 - Inilah gambar pertama saya. Zaman baru merdeka ni bukanlah senang nak dapat bergambar. Cukup seronok dapat tunggang basikal roda tiga baru (malu-malu depan kamera).

Gambar 2 - Duduk dengan Yusof (adik) di bawah rumah.

Lokasi gambar ini ialah di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Inilah rumah asal kami.

Terlibat Pra-Penerbitan Album Ahmadi Hassan






Sumbangan semasa pra-penerbitan - saya terlibat dalam membantu Ahmadi Hassan (saya panggil Abang Mat) semasa rakaman di Hits Studio, Pulau Pinang. Rakaman dibuat dalam bulan puasa. Sebelum raya, saya juga membawa beberapa orang pemain muzik ghazal parti di Pulau Pinang dan Kedah untuk membuat rakaman video klip.

Penerbit Eksekutif - Mas Omar.

Penerbit Album - Ali Hussein Mawla (Lebanon) dan Omar Nawab (Malaysia)

Muzik Iringan/Gubahan Muzik - Orkestra Mawla Production pimpinan Ali Hussein Mawla

Pengurusan Artis Dan Penerbitan - Sawiah Ali

Terbitan - MASA ENTERTAINMENT & PRODUCTIONS, Petaling Jaya, Selangor

Imuda Hadiahkan Komik IMUDA vs YUSHIMURA

Terima Komik 'IMUDA VS YUSHIMURA' dari Imuda sendiri semasa dia berkunjung ke rumah saya di Permatang Pauh. Kami selalu berhubung melalui telefon dan sms. Dalam sms masing-masing kami akan jual pantun. Yang menerima kena jawab dalam pantun juga. Pantun kami memang berkualiti walaupun berunsurkan jenaka.

Imuda vs Yushimura / Imuda.

Author: Imuda
Publisher: Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 2008.
ISBN: 9789838938532
Format: Book
Physical Description: 103 p. : chiefly ill. ; 28 cm.
Subjects: Malaysian wit and humor, Pictorial
Caricatures and cartoons Malaysia

Abdul Rahim bin Muda. Itulah nama sebenar IMUDA. Beliau lahir pada 13 Disember 1959 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Merupakan anak ke – 6 daripada 8 orang adik beradik. Imuda cenderung pada bidang lukisan sejak zaman persekolahan lagi. Komik pertama hasil karya beliau bertajuk “Hang Sebat’, setebal 20 halaman. Tamat SPM pada tahun 1978, Imuda melangkah kealam pekerjaan. Kerjaya pertama Imuda adalah di United Book Company iaitu sebuah syarikat penerbitan buku. Imuda pernah menjadi pelukis illustrator Majalah Dunia Kanak-kanak. Kemudiannya beliau berpindah kerja dan menjawat jawatan Penolong penulis di DBP.
Kerjaya Imuda kini bukan sahaja dapat dilihat pada bidang lukisan kartun, potret dan karikatur sahaja. Imuda membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang berbakat dalam semua lapangan bidang seni sama ada berlakon, menyanyi, pengacara, pelawak.

Kartun Imuda iaitu MAT GELAP pernah di animasikan dalam Filem ‘MAT GELAP’. Imuda turut berlakon dalam filem tersebut. Nama imuda terus bersinar apabila sitcom paling popular beliau ialah Pi Mai Pi Mai Tang Tu mencatat rating sitcom paling mendapat sambutan di TV3.

Watak Budin yang dilakonkan oleh Imuda sememangnya mencuit hati seperti karya kartun beliau. Menurut Hatta Azad Khan “Kombinasi Imuda sebagai pelakon komedi dan Pelukis adalah gabungan luar biasa yang menarik. Jarang kita bertemu dengan pelukis komik yang dapat melakonkan watak lukisannya.” Itulah kebolehan Imuda. Di Antara Karya kartun Imuda yang popular ialah Koleksi Imuda, Imuda vs Yushimura dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kini Imuda sering muncul dalam sitcom Salam Pantai Timur dan Geletek.

Untuk menghargai karya Imuda, pakat-pakat belilah komik ini. Terima Kasih! - Omara

Khamis, Januari 15, 2009

Anak Dan Bapa Beraksi Dengan Mainan Yang Sama Selepas Lebih 20 Tahun


Lihatlah perbezaan antara kedua-dua gambar di atas dan gambar di bawah ini.

Gambar di atas ialah gambar cucu saya yang diambil tahun ini 2009. Usianya 5 tahun. Namanya Muhammad Amsyar bin Muhammad Asyadi.

Gambar bawah pula ialah gambar anak saya yang diambil tahun 1984. Usianya 6 tahun. Namanya Muhammad Asyadi bin Omar.

Kedua-dua anak dan bapa ini bermain dan bergambar dengan monyet puppet yang sama (setelah disimpan lebih 20 tahun). Aksi juga dibuat sama. Jurukamera juga yang sama iaitu saya sendiri.

Menguruskan Model Video Klip Album Ali Mamak Tahun 2005


Terlibat menguruskan model Mazlina Hussain dari Pulau Pinang (Lagu - Isteriku Anak Mami) untuk rakaman video klip album Ali Mamak Joget Hitam Melekat terbitan tahun 2005.

Artis; Ali Mamak, Abon dan Angeline Tan
Rakaman dibuat di rumah Ali Mamak, Selangor.
Terbitan Dan Edaran - Metro Muzik Enterprise

Terima kasih kepada Saudara Mas Omar selaku Penolong Penerbit.

Sahabat Saya L. Ramlie

Foto Kumpulan Teruna Ria ini telah dihadiah oleh anak sulong penyanyi L. Ramli, Azman bin Ramli baru-baru ini. Fotonya jelas sekali - L. Ramli (L. Ramlee) berdiri di belakang pegang mikerofon manakala pemimpin Orkes Teruna Ria Basir Ahmad sekarang ini bergelar Dato' Basir Ahmad di kanan sekali.

Gambar Kiri - Saya dengan L. Ramlie di tahun 1975.

Teruna Ria memang tidak asing lagi di Utara kerana banyak merakamkan lagu-lagu berirama 60an nyanyian L. Ramlie.

L. Ramli dan Dato' Basir Ahmad kedua-duanya rakan seni saya di utara.

Sehingga artikel ini ditulis, penyanyi 60an yang tidak asing lagi ini belum lagi diberi anugerah gelaran 'Datuk' seperti rakan-rakannya yang lain, sedangkan beliau banyak memberikan sumbangan di arena seni dan kemasyarakatan.

Semoga ada pihak-pihak yang akan mencalunkan namanya nanti untuk diberikan satu gelaran ketika hayatnya masih ada ini.

Dengar Lagu ini 'Oh Sharifah'