BOLASEPAK
KELAS DAN BELAS
KELAS YANG TERSENDIRI?
BELAS KASIHAN?
Kita terus kempunan. Permainan tetap di tahap C. Kalau kejuaraan Dunia tahap A. Kejohanan Asia boleh dikategorikan B. Jelas bukan, kita hanya berada kelompok ke 3. Dunia ke 3. Negara mundur, bukan membangun pun. Yang sedar, bolehlah terus bangun. Kini baru kau sedar, tetap tidak sedarkan diri. Masih di ulit kemalasan. Yang memang tidak sedarkan diri, apa hendak kisah, ‘nak susah ker, nak jatuh ker, nak mati ker’ semuanya sudah nasib dan taqdir.
Aksi sewaktu di Fukoaka Pusingan Pertama di Jepun
Kekalahan 0-4 kepada Jepun di Stadium Bukit Jalil di pusingan ke 2 pada 22-02-2012. Sekiranya kita tidak mampu menyokong atau bersama sama sewaktu pasukan ini kalah, mengapa kita harus ikut bergembira bila pasukan ini meniti kejayaan? Lebih kurang begitulah kata kata juru ulas di RTM. Cari sendiri laa kalau nak kepastian.
Persoalannya, bukan aku tak sanggup bersama sama susah. Walaupun sudah menjadi adat dunia, senang kita bersama, susah kita tanggung laa sendiri. Sebenarnya, siapakah yang susah? Kalah menang adalah adat pertandingan. Jepun menang kerana kemajuan negara mereka. Jepang lebih kedepang, maju dan kaya dari negara kita.
Pasukan kita, rakyat kita, negara kita semuanya masih di peringkat membangun. Takde ke persediaan tiket percuma untuk persatuan bolasepak kampung, pendedahan untuk pelajar yang meminati bolasepak semasa kejohanan yang tentunya tidak menarik penonton ke stadium? Macam perlawanan ke olimpik sekedar melengkapkan jadual. Kedudukan pun pasti tercorot dalam kumpulan. Yang penting pendedahan untuk penyokong muda dalam membina jati diri laa.
Mengapa FAM hanya mementingkan keuntungan? Pertandingan akhir sesuatu kejohanan, biasanya harga tiket agak mahal. Apa pun, pembangunan dalam sukan bolasepak itu sendiri yang penting. Bukan hanya duit tiket sahaja untuk membayar gaji pemain. Namun ada kalanya gaji pemain pun tertunggak hingga merayu rayu macam gembel.
Tentu sudah dapat di ramal, waktu penonton kurang. Apa salahnya, penuhkan stadium dengan mereka yang perlu di stadiumkan. Daripada mereka merempit mati konyol di jalanraya, lebih baik mereka bersorak riuh rendah hingga bergegar stadium. Tapi janganlah mereka yang memang takde masa depan. Banyak cara untuk menghargai rakyat dan rakyat akan menghargai kerajaan. Tiket percuma untuk perlawanan yang tidak popular.
Kita masih meniti arus kemiskinan. Kita masih di barisi pemain kampungan, itu pun kalau boleh di sebut. Kita masih jauh ketinggalan segenap bidang. Badminton Jepun kini telah menunjukkan tanda tanda kebangkitannya. Silap perhitungan, pasukan dan pemain badminton kita di anak anak ayamkan sahaja. Itulah agaknya, main bola pun boleh ‘curi ayam’. Dalam latihan pula ada ‘curi tulang’. Dalam liga tentunya ada ‘curi pemain’ pulak.
Masih terlalu jauh untuk beraksi di pentas dunia bolasepak. Piala Dunia, kita tetap akan menjadi penonton. Kita belum layak untuk beraksi di pentas Piala Dunia. Peringkat kumpulan di Asia sahaja kita akan ketinggalan jauh. Hampir mustahil untuk menjuarai setiap kejohanan, setiap tahun di Asia Tenggara ini. Bila bila masa sahaja kecundang. Itu baru di peringkat Asean. Dunia ke 3. Mungkinkah itulah dunia kita yang tersendiri?
Ya, itulah dunia kita yang tersendiri.
Pasukan Bolasepak Malaysia akhirnya terpaksa melupakan aksi di Olimpik London 2012. Setelah berjaya dan bergaya menjuarai kejohanan di Asia Tenggara, pujian tinggi melangit akhirnya ‘lengit’ dalam perjalanan ke olimpik. Pastinya akan bertambah hangit dalam melalui hari hari yang mendatang.
‘Kelong’ mula bermaharajalela memanggang ikan ‘fresh’ katanya. Sindrom rasuah bolasepak bertunas dan bakal memanaskan keadaan. Persoalan ‘memperjudikan’ tidak terhad kepada judi nombor ekor atau 4d. Judi dan gila judi menjadikan pentas dunia ini bagaikan ‘mabuk todi, brandi, bacardi’ dan badi ‘sial’ menghancur leburkan sebuah kehidupan harmonis.
Pemain utama negara menjadi bahan sensasi, sama macam selibriti. Safee Sali juga berada dalam kemelut dan akan terus bergelut lari dari kalut mencari selut macam belut agaknya. Semuanya bagaikan memburu harta, ganjaran dan meraih kekayaan. Persoalan tentang semangat, mutu dan martabat sukan bolasepak ‘tersepak’ jauh lalu lepak masuk lopak.
Permasalahan dalam mengatur langkah kehidupan memburu bintang agar bergemerlapan hidup ini hanyalah mimpi di siang bolong. Kenyataannya, kalau sekedar sukan, semangat kesukanan pun menjadi semangat kesetanan, di mana lagi ada kejujuran. Hidup ini bagaikan hambar, hampa, lesu tanpa kemenangan dan kalungan pingat emas, agaknya.
Masa itu emas, amat berharga tentunya. Masa amat mencemburui kita. Hidup ini hanya sementara. Dunia sukan lalu menjadikan glemer, hidup ini bagaikan bersinar dan mabuk berada di mercunya. Bila sudah berada di tempat yang tinggi, kejayaan dalam genggaman, lalu menyedari semuanya itu sementara, sementara masih ada tenaga dan sementara bernasib baik. Timbullah pula perasaan bercampur sikap tamak untuk sentiasa di puncaknya.
Keupayaan di padang, kadang kadang tertendang kakinya sendiri. Jatuh bangun, kalah menang, adat permainan. Namun usia menjadi penghalang untuk kekal bertakhta sebagai juara. Akhirnya kembali ke tepi padang, di kerusi penonton pula dan akhirnya tinggal nama kalau bukan lagenda. Ramai nama nama besar akhirnya di pinggirkan begitu sahaja. Membawa diri mengharungi kehidupan sebagaimana insan biasa jua.
Siapa yang tidak inginkan sebuah kehidupan yang sempurna? Kesempurnaan dengan banglo mewah, kereta mewah dan semuanya mewah. Ternyata, ganjaran lumayan hanyalah sekali sekala. Itu pun kalau menjadi juara dan menang. Gaji bulanan, tidak pernah mencukupi untuk berbelanja lebih sedikit. Tambah hutang, adalah.
Macamana nak tambahkan pendapatan bukan meningkatkan mutu kesukanan?
Amatlah malang sekali, di dalam negara sendiri kita di cemari berbagai scandal, gejala rasuah dan masalah yang yang silih berganti.
Laa, macamana boleh datang pulak tauke kelong ni? Ganjarannya amat berbaloi sekali. Kalah menang permainan, wang ganjaran boleh menjadikan kaya sekejap sudah dalam genggaman. Mengatur perlawanan untuk memastikan para bookie mengaut keuntungan yang amat lumayan. Gaji dapat, duit rasuah lebat, apa lagi, sebat ajer laa kan!
Rakyat di negara kita sememangnya dibebani hutang. Dari Taikloong, keelong dan ntah berapa banyak long, looong, longkang laaa.
Semuanya, kononnya, nak hidup serba mewah. Lagaknya hidup berlagak, biar papa kedana, hutang berlambak, mencanak, peduli apa.
Kehidupan hari ini kian mencabar. Tanpa cabaran akan terasa hambar. Kekayaan berkembar dengan kemewahan. Harta, wang ringgit, di buru siang malam biar pun Cuma selembar kertas.
Mengatur keputusan perlawanan sememangnya amat mengaibkan. Pasukan terkuat, dibarisi pemain handalan boleh mengalah kepada pasukan kerdil hanya untuk kemenangan bookie dan sedikit ringgit masuk ke poket pemain. Sukan Bolasepak tertipu oleh kerakusan segelintir parasit hamba nafsu serakah.
Kesimpulannya, jangan persalahkan penonton, penyokong, peminat dan rakyat.
Penonton, peminat, penyokong dan rakyat telah mengeluarkan duit membeli tiket, membayar cukai dan sebagainya. Mereka hanya mengharapkan, satu mutu permainan yang terus meningkat dan membanggakan negara. Harapan dan berdoa agar suatu ketika nanti kita juga mampu beraksi di pentas akhir Piala Dunia.
Kenapa Peminat, Penonton, Penyokong di persalahkan?
Peminat, penyokong, penonton hanya berada di luar padang. Mereka ini tetap berhak memprotes, mengkritik dan apa sahaja luahan hati dan perasaannya. Usaha, bakat dan tentunya semangat kesukanan berpasukan yang amat tinggi dituntut. Bukan sambil lewa, suka suka mengatur perlawanan,
Tidak berpuas hati lagi, pengadil pun menjadi bahan dan punca kekalahan. Masih tak cukup lagi, penonton juga di heret ke tengah padang? Laser apakah yang mungkin dari ultra man atau ultra penonton? Dah kalah tu buat ajerlah cara kalah. Kalau ultra kiasu, laa kan dia orang bawak kelong.
Pemain, Pemimpin Persatuan, Kejurulatihan dan tentunya profesnalisme
Sebagai Pemain, Pelatih dan Pemimpin Persatuan bertanggung jawab sepenuhnya dalam membentuk kerjaya ini. Mereka ini semestinya jujur dan ikhlas. Jangan terleka hingga seringkali menjadi budak belasahan jer.
Kita tidak selalunya berada di puncak. Bila berada di puncak, ingatlah, bila bila masa pun kita akan jatuh jua. Kalau tidak jatuh pun, kita akan di jatuhkan. Tetapi berpada pada laa kan, jangan asyik dan madang terjatuh jer. Ini memang patut pun di layangkan kad merah. ha, ha, ha!
Apa sahaja, anggaplah semuanya ini tanggung jawab kita dalam kehidupan yang penuh bermakna. Keindahan dalam keceriaan penuh warna kehidupan. Perjuangan baru bermula.
Dalam kehidupan yang indah dan sempuna ini tidak ada kalah dan menang.
Disebalik kekalahan ada rahmatnya.
Di sebalik kemenangan dalam sanjungan juga terkandung 1001 dugaan pahit getir.
Pautan dan sumber foto