Friday, October 24, 2008

Persatuan Badminton Bumiputra Sarawak

Semalam aku pergi bermain badminton di dewan badminton Persatuan Badminton Bumiputra Sarawak Semariang. Lepas main aku duduk sembang di kantin dengan teman-teman dan beberapa orang pemain lain yang berada di situ.

Dalam bersembang-sembang, aku pun tanya apa kelebihan kalau jadi ahli persatuan? Setelah soalan demi soalan aku tanya, kesimpulannya aku pun tak tahu apa kelebihan menjadi ahli. Bayaran sewa gelanggang masih sama, kalau persatuan anjurkan pertandingan yuran masih sama untuk ahli dan bukan ahli, ahli tidak diberikan coaching percuma atau apa-apa aktiviti, pendek kata aku pun tak tahu mengapa persatuan ni ditubuhkan.


Kalau dah bawak nama bumiputra tu, seharusnya besar jugaklah tanggungjawab. Sepatutnya bantulah bumiputra kita agar maju dalam sukan badminton ni. Berikan pendedahan, coaching, klinik sukan dan macam-macam lagi.


Keadaan kantin pun kelihatan agak teruk dan tidak terurus. Aku dengar dari mula bukaknya dewan badminton tersebut sampailah sekarang, pengusaha yang uruskan kantin tu masih orang yang sama. Tak hairanlah keadaan kantin semakin hari semakin teruk, pengusaha-pengusaha lain tidak diberikan peluang untuk mengendalikan tempat tersebut. Apabila tiada saingan inilah kejadiannya. Sepatutnya hak untuk mengusaha kantin tersebut dibuka kepada ahli-ahli lain yang ingin mengusahakannya. Barulah kualiti kantin dapat diperbaiki dan aliran tunai persatuan juga bertambah baik. Sekarang ni pengusaha kantin dah jadi bendahari persatuan, habislah kantin tu, memang sambung sampai anak cucu punyer.


Pengurus dewan pun sama jugak, dari dulu sampai sekarang orang yang sama. Macam-mana persatuan nak berkembang? Bagaimana nak perolehi idea-idea bernas serta strategi-strategi baru untuk persatuan. Aku bukannya apa, kalau tak guna nama bumiputra aku tak kisah. Ini dah bawak nama bumiputra tu, buatlah betul-betul. Segala aktiviti, kejayaan mahupun kegagalan persatuan mencerminkan seluruh masyarakat bumiputra di Sarawak.


Setidak-tidaknya jalankanlah aktiviti-aktiviti yang mencerminkan kemampuan masyarakat kita berpersatuan. Tujuan kita berpersatuan adalah untuk menguatkan lagi kemampuan kita dalam sesuatu bidang. Bak kata perpatah, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Dengan adanya persatuan, yang kuat dapat membantu yang lemah dan yang lemah dapat memperkuatkan dirinya. Akhirnya kita dapat lahirkan semua ahli yang kuat.


Aku cadangkan agar PBBS mencari jalan agar dapat menarik minat masyarakat bumiputra kita untuk menceburkan diri dalam arena sukan badminton ini. Kantin tersebut seharusnya dapat menjanakan setidak-tidaknya sedikit wang untuk membantu persatuan. Persatuan juga boleh membuka kedai sukan di dewan untuk kemudahan mereka yang bermain, di samping mewujudkan peluang kepada pengusaha kedai sukan bumiputra untuk bertapak di situ. Dengan wang yang diperolehi nanti bolehlah persatuan memberi elaun kepada bakat-bakat baru yang terpilih sebagai galakkan untuk mereka menceburkan diri dalam sukan badminton.


Aku harap pihak yang berkenaan akan mengambil perhatian terhadap hal ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Ini kerana aku lihat golongan bumiputra kita ramai yang mempunyai bakat namun tiada yang benar-benar ingin membantu. Jika benar-benar dicari dan digilap aku yakin ada Misbun yang kedua di bumi kenyalang ini.

Tuesday, October 14, 2008

Berapa Banyak Datuk lahhhh....

MELAKA 10 Okt. – Pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan merupakan antara penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke-70, esok.
Penganugerahan itu menjadikan Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada 2 November 1965, artis Bollywood pertama ber gelar Datuk.
Beliau yang terkenal menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai (1998) mempunyai ijazah sarjana dalam bidang komunikasi dari Jamia Millia Islamia University.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Saadun Basiron berkata, DMSM dianugerahkan bagi mengenang jasa Shah Rukh Khan dalam bidang seni dan perfileman di peringkat antarabangsa, termasuk di Malaysia.
Bagaimanapun, Shah Rukh Khan tidak dapat hadir untuk menerima anugerah tersebut, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Apa istemewa Shah Rukh Khan?

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub meluahkan rasa pelik dan rakyat perlu mengetahui apakah asas dan kewajaran penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran “Datuk” kepada superstar bollywood, Shah Rukh Khan.
“Kebiasaannya setiap penganugerahan diberikan kepada individu yang banyak berjasa dan banyak menyumbang kepada pembangunan negara atau kepada tokoh-tokoh tertentu.
“Apa jasa Shah Rukh Khan kepada Malaysia dan negeri Melaka, kita nak tahu juga apa asasnya sehingga dia layak menerima anugerah tersebut,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
Salahuddin berkata demikian mengulas pengiktirafan yang diberikankan kepada Shah Rukh Khan sebagai antara 758 penerima anugerah dan pingat sempena Harijadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke 70 semalam.
Difahamkan penganugerahan diberi kerana kemasyhurannya dan popularitinya dikalangan peminat di Malaysia dan Melaka?

http://mppas.wordpress.com/2008/10/11/apa-istimewa-shah-rukh-khan-dapat-datuk/

The Speaker:

Masa aku baca artikel ni terus aku rasa pelik. Tak paedah-edah nak beri Shah Rukh Khan pangkat Datuk ni. Mungkin memang boleh dan mungkin nak hentam jer kasi sesiapa gelaran Datuk ni aku tak kisah. Tapi ni artis bolywood yang entah apa2, apa kejadahnya. Banyak jugak response mengenai perkara ini dalam internet, aku ingat aku sorang je rasa pelik. Ada yang cakap pemimpin Melaka dah hilang fokus dan macam-macam lagi.

Sebaik-baiknya berilah gelaran datuk ni kepada masyarakat kita, yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir, yang mendidik selama berpuluh-puluh tahun atau yang berkhidmat dengan penuh semangat.

Monday, October 13, 2008

Air Asia Lagi!!



Minggu lepas aku pergi ke kaunter Air Asia. Punyalah lambat dia nyer service, dekat 3 jam aku tunggu. Rupa-rupanya ada orang hantar fraud email kepada penumpang-penumpang Air Asia yang telah mengakibatkan kekecohan dan kekeliruan.


Aku hairan macam mana syarikat berharga berjuta ringgit entah dah bernilai berbilion ini mempunyai sistem keselamatan yang begitu rendah? Pihak Air Asia sepatutnya menitikberatkan isu keselamatan sistem booking mereka. Keselesaan para pengguna sistem adalah penting untuk perniagaan mereka.


Akibat kelekaan ini, Sabtu lepas aku baca dalam suratkhabar ada orang yang baling cat shelleck ke arah kereta boss Air Asia Sabah, Sarawak dan Brunei. Nak terketawa pulak aku tengok keretanya Kia Sorento habis kena shelleck. Bukannya tak kesian tapi kalau kita baik takkan ada orang yang buat dengki. Lagipun aku pun masih tak puas hati pasal dia orang cancel flight China tu. Mungkin inilah balasannya.


Tuah pernah cakap, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Kuching ni kecil je, hidup satu komuniti, jadi kalau buat jahat memang orang akan ingat.

Sunday, September 28, 2008

Peras Ugut Di Kuching?

Beberapa hari lepas aku terbaca satu aduan pemuda dari Kuching yang menyatakan bahawa para pengusaha kedai Kubah Ria yang terletak di bawah jambatan Satok diugut setiap bulan untuk membayar sehingga RM150 sebuah kedai. Wang ini dibayar sebagai wang perlindungan untuk kedai mereka.

Hal ini amat mengejutkan kerana ini menunjukkan budaya gengsterism semakin berleluasa di Kuching. Budaya seumpama ini, walaupun sudah diamalkan sejak berkurun-kurun lamanya, tapi ianya harus dikekang dan dibasmi agar ianya tidak menjadi seperti penyakit di dalam komuniti masyarakat kita.

Setelah melakukan beberapa kaji selidik menerusi internet, aku dapati wujudnya budaya gengsterism ini mencerminkan ekonomi yang teruk dan kerajaan yang lemah. Apabila tiada pekerjaan yang mencukupi di dalam sesebuah negara, masyarakat akan mula menjadi kreatif untuk menampung kehidupan harian mereka meskipun mereka terpaksa melanggar undang-undang untuk berbuat demikian. Seperti di Jepun yang dulunya terkenal dengan Yakuzanya, sekarang pemuda-pemuda Jepun lebih gemar mendapatkan pekerjaan daripada menjadi seorang Yakuza. Kajian di Amerika juga menunjukkan gengsterism kebanyakkannya tertumpu di kawasan-kawasan miskin. Seperti di Singapura pula, gengsterism wujud pada era 80an sahaja dan apabila negara semakin maju budaya tersebut serba sedikit menghilang.

Tidak dapat dinafikan gengsterism atau jenayah terancang juga berlaku di negara-negara yang berekonomi baik, namun corak serta agenda jenayahnya berbeza sama sekali. Ianya hanya untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka dan bukannya untuk menampung kehidupan. Secara logiknya jika keperluan dan kehendak harian kita mencukupi, siapalah yang sanggup untuk mengambil risiko menjadi seorang gengster. Apabila jenayah dilakukan untuk mencari sesuap nasi, ketika itulah bahaya akan mula timbul kepada masyarakat.

Oleh itu tindakan tegas dan pantas harus dilakukan untuk membendung budaya ini. Memperbaiki ekonomi, mendidik masyarakat berilmu dan membuka banyak peluang perkerjaan adalah di antara usaha-usaha yang boleh dilakukan. Masyarakat juga harus membuka mata dan rajin berusaha kerana bagi membendung budaya ini, pihak kerajaan dan masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan masing-masing bagi kebaikan bersama. Perbalahan sesama sendiri harus dielakkan bagi menjamin pentadbiran kerajaan yang kukuh.

Friday, September 26, 2008

Peristiwa Kubur Jalan Keretapi

Bulan lepas 12 Ogos 2008 satu insiden yang boleh dikatakan agak tragik berlaku di Jalan Keretapi Kuching. Insiden dimana para pewaris Kubur Jalan Keretapi mengamuk membakar jentera kontraktor yang di arahkan untuk mengalihkan kubur tersebut.

Ini terjadi kerana menurut para waris, kubur tersebut sepatutnya dipindahkan selepas hari raya puasa. Tapi ketika hendak menziarahi kubur sempena Ramadhan,mereka terkejut dan marah kerana tanpa pengetahuan mereka, kubur telah pun digali. Ini ditambah lagi dengan penggalian menggunakan traktor oleh kaum Cina dan upacara pemindahan kubur yang salah serta tidak mengikut cara Islam.

Jadi disebabkan kejadian ini, sebilangan para waris bertindak membakar jentera kontraktor yang berhampiran. Ada juga sebilangan mereka bertindak menumbuk serta membelasah wakil pihak masjid yang ada ditempat kejadian.

Dalam hal ini pihak yang dikatakan bertanggungjawab adalah pihak LAKMNS (Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak). Pihak LAKMNS gagal menghubungi kesemua para waris menyebabkan kejadian ini berlaku sedemikian rupa. Pihak waris bertindak menyerbu pejabat LAKMNS untuk berjumpa dengan pengurus besar LAKMNS iaitu Tuan Haji Mohamad Shabry Othman. Namun pengurus tersebut dikatakan gagal untuk ditemui dan hanya menghantar wakil untuk berbincang dengan para waris. Ini menambahkan lagi perasaan marah para waris sehingga mereka memaki hamun pihak pegawai LAKMNS yang ada di pejabat tersebut.

Hal seumpama ini dapat dielakkan sekiranya pihak LAKMNS lebih prihatin serta berhati-hati ketika menjalankan tugas. Kubur yang telah mancapai usia ratusan tahun itu walaupun nampak tidak terurus namun tetap ada pewarisnya. Janganlah ambil sambil lewa mengenai perkara yang sensitif seumpama ini. Tugas yang diamanahkan kepada pihak LAKMNS amatlah berat kerana segala tindak tanduk dan perlakuan mereka mencerminkan imej orang-orang Islam di seluruh negeri Sarawak. Oleh itu biarlah perkara ini menjadi pengalaman yang berguna kepada pihak yang berkenaan diharap akan menjadi lebih bertanggungjawab atas perbuatan mereka. Jangan fikir boleh terlepas kali ini, tuhan tak akan uji lagi diri kita. Mungkin yang telah dilalui bukanlah ujian tetapi amaran. Cerminkanlah.

Ikuti klip video dihari kejadian:


Thursday, September 25, 2008

Site Complain Yang Baik Untuk Orang Kuching



Semalam aku jumpa satu site baik punya. Bagi orang-orang Kuching yang ingin menyuarakan pendapat-pendapat serta rungutan-rungutan mereka tentang isu-isu semasa. Boleh klik dekat sini:




Usaha pihak YB kita membuka ruangan sebegini haruslah dicontohi. Aku lihat ada jugak YB reply post-post serta rintihan-rintihan rakyat. Walaupun kuasa hanya seorang YB agak terhad namun apabila rakyat tahu ada yang mendengar dan prihatin, rakyat akan berasa berpuas hati. Kemarahan atau beban yang dirasai rakyat dapat dikurangkan. Tapi aku nasihatkan biarlah YB itu sendiri luangkan masa untuk baca post-post tersebut. Walaupun mungkin sibuk dengan jadual harian mereka, tapi sebaris ayat dari mereka memainkan peranan yang besar kepada rakyat.


Sebagai menyokong tindakan sebegini aku telah membuka satu portal forum untuk mereka-mereka yang ingin menyuarakan serta berbincang tentang masalah-masalah semasa yang dihadapi di sini:




Semoga portal ini dapat digunakan sebaik-baiknya.

Masalah Air Asia



Kebelakangan ini Air Asia banyak membatalkan penerbangan antarabangsa mereka dari Kuching. Sebulan yang lepas mereka membatalkan penerbangan Kuching Bali, bulan ini pulak mereka batalkan penerbangan Kuching China.


Apabila ini terjadi, tempahan tiket penerbangan yang telah dibuat dari tahun lepas lagi terpaksa dibatalkan. Pilihannya sama ada hendak refund balik duit atau terpaksa ambil flight dari Kuala Lumpur. Bila ambil flight dari Kuala Lumpur, para penumpang perlu membeli tiket tambahan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan kemudian balik dari Kuala Lumpur ke Kuching. Disebabkan pemberian notis pada waktu yang singkat, maka penumpang terpaksalah membeli tiket pada harga yang agak mahal. Ini sangat menyusahkan para penumpang dan membebankan. Jika nak mintak refund pulak, kebanyakkan para penumpang telah terlebih dahulu membuat tempahan hotel atau tour di destinasi tujuan mereka dan bayaran deposit pun telah dibuat. Jadi membatalkan tempahan tersebut agak merugikan.


Adakah ini taktik kotor Air Asia untuk mendapatkan keuntungan yang lebih? Apabila dekat saja tarikh penerbangan, mereka batalkan penerbangan tersebut. Ada pulak sebilangan yang tidak mendapat notis dan ketika tiba hari untuk penerbangan mereka, mereka terkejut beruk mendapati Air Asia tidak lagi terbang ke destinasi yang mereka telah tempah.


Aku harap ada yang prihatin dengan masalah ini dan menyiasat kebenarannya.