Wednesday, December 24, 2008

Selamat Hari Krismas



Kepada penganut-penganut agama Kristian aku ucapkan Selamat Hari Krismas.. dan kepada semua Selamat Tahun Baru...

Muflis Je???



Syarikat susu tercemar di China diisytihar muflis

WELLINGTON (New Zealand): Mahkamah China mengisytiharkan muflis ke atas syarikat yang dikaitkan dengan skandal susu tercemar yang mengorbankan enam kanak-kanak serta lebih 300,000 jatuh sakit. Pemilik syarikat Fonterra Group yang berpangkalan di New Zeland, hari ini mengesahkan mahkamah di Shijiazhuang, di Wilayah Hebei, China sudah mengeluarkan perintah bankrap terhadap Sanlu Group Co, berikutan satu petisyen daripada pemberi hutang. "Sanlu kini diuruskan pihak kedua yang dilantik mahkamah sementara aset syarikat akan dijual untuk melunaskan hutang," kata Ketua Eksekutif Fonterra, Andrew Ferrier dalam satu kenyataan di sini.


Sanlu adalah satu daripada 22 syarikat tenusu di China yang produk mereka didapati mengandungi bahan kimia industri berlebihan, iaitu melamin. Fonterra, milik koperasi peladang New Zealand mempunyai kepentingan 43 peratus ekuiti dalam Sanlu. - AP


Kata The Speaker:


Apabila membaca petikan di atas saya fikir betapa murahnya nyawa manusia zaman sekarang. Kalau setakat di istiharkan muflis, bolehkah memberi kesedaran kepada pemilik syarikat tersebut? bolehkah memberi kepuasan kepada ibubapa yang anaknya telah menjadi korban? setimpalkah dengan nyawa seorang insan yang telah hilang dari muka bumi ini?

Tuesday, December 23, 2008

Rasuah di mana puncanya?

Gaji kecil bukan punca rasuah: KPN

KUALA LUMPUR: Kadar gaji yang diterima anggota dan pegawai polis mencukupi, justeru tidak timbul dakwaan bahawa gaji yang diterima menjadi faktor penyebab timbulnya gejala rasuah di kalangan anggota, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Beliau mengulas dakwaan Senator Datuk Gooi Hue Hin semalam bahawa kadar gaji yang kecil dan tidak setaraf dengan perjawatan lain menjadi antara faktor berlakunya gejala rasuah dalam perkhidmatan awam termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Bukankah gaji sudah naik, mahu naik apa lagi? Gaji yang kita terima sekarang cukup, tidak timbul isu rasuah kerana dakwaan gaji polis kecil



“Kasihan pada kerajaan... kita sepatutnya bekerja lebih keras dan tunjuk usaha kita, bukan asyik meminta gaji lebih,” katanya selepas Majlis Perlantikan Pangkat Kehormat Kor Suksis Kementerian Pengajian Tinggi di Bukit Aman di sini hari ini. Justeru beliau meminta pegawai dan anggota polis agar tidak mendesak kerajaan menaikkan gaji mereka berikutan kemelesetan ekonomi global yang dihadapi sekarang. Musa berkata anggota polis tidak seharusnya mempertikaikan taraf pendapatan malahan mereka sepatutnya menunjukkan prestasi kerja yang lebih tinggi dan efisien, setimpal dengan gaji yang ditawarkan.



Beliau berkata anggota polis perlu memahami situasi semasa dan meneruskan khidmat mereka dengan sebaik mungkin serta mengelak daripada terbabit dalam gejala rasuah. “Ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan bantuan justeru anggota polis khasnya perlu bersyukur dengan jumlah pendapatan yang dinikmati mereka sekarang,” katanya. Katanya gaji baru yang distruktur semula bagi jawatan Konstabel yang sebelum ini hanya kira-kira RM600, kini mencecah RM1,500 dicampur dengan imbuhan tetap. Justeru itu, katanya dengan pendapatan yang setimpal itu tidak sewajarnya anggota polis terbabit dengan gejala rasuah malah PDRM tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam gejala rasuah dan akan bertindak tegas terhadap mereka.


Musa berkata masyarakat perlu dididik agar tidak sesekali memberi suapan kepada mana-mana pegawai kerajaan termasuk polis bagi memastikan tidak berlakunya gejala rasuah. Beliau berkata pendapatan yang diperolehi anggota polis kini dapat menampung perbelanjaan seharian. “Nasihat saya pada anggota agar jangan sesekali meniru gaya hidup orang lain dan sepatutnya mengukur baju di badan sendiri. “Kalau tahu bagaimana menjaga ekonomi dalam perbelanjaan seharian, ia sudah cukup dan memadai tetapi kalau boros dan berbelanja mengikut nafsu, bergaji RM10,000 pun tidak tentunya cukup,” katanya. Gooi ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Negara semalam mendakwa gejala tersebut yang berlaku dalam PDRM disebabkan oleh faktor gaji yang kecil sehingga menyebabkan gejala itu sukar dikawal dan ditangani. - Bernama

Kata The Speaker:

Rasuah telah menjadi satu virus dalam masyarakat manusia semenjak berkurun lamanya. Bagi aku hanya satu je ubat untuk penyakit ni, iaitu ISLAM. Hanya dengan cara kehidupan Islam, iman dan taqwa dapat mengikis budaya rasuah ini. Jika hendak ditanya apakah puncanya rasuah? Jawapannya mudah, kurang didikan dan amalan Islam.

Saturday, December 20, 2008

TM



Dua hari lepas ada technician TM datang untuk baiki aku punya telefon line. Technician tersebut datang kemudian dia bukak itu ini tanpa menyelesaikan masalah yang aku hadapi. Telefon masih bermasalah, technician tersebut terus saja balik seakan-akan hendak mengejar sesuatu dan dalam keadaan tergesa-gesa itu dia berkata "Nanti akan ada kontraktor yang datang membaiki". Aku tak jugak kisah kalau kena tunggu kontraktor, tapi yang pelik dan tak menyenangkan ialah, wayar telefon yang habis dibuka dibiarkan saja terbengkalai. Wayar bersepah dan tidak disambungkannya semula. Kalau terpijak memanglah kena arus elektrik dari wayar-wayar tersebut. Satu lagi hal pulak, masa dia cakap nanti ada kontraktor yang akan datang baiki, aku ingat kontraktor tu datang dalam satu jam dua, rupa-rupanya tak datang-datang sampai ke hari ini.

Inilah yang terjadi jika tiada pesaing lain dalam membekalkan servis yang penting ni. Tengok macam MAS, bila timbul je Air Asia mereka terus improved dan baiki kualiti perkhidmatan dan kemudahan. Kesimpulannya servis TM sangat mengecewakan.

Friday, November 28, 2008

Bahaya Rancangan Realiti TV

Masa kini semakin banyak rancangan yang berunsurkan realiti tv ditayangkan di rangkaian televisyen swasta mahupun awam. Memang tidak dapat dinafikan rancangan realiti ini mampu menarik rating yang tinggi untuk rangkaian tv. Namun ingin diingatkan, dalam kita mengaut keuntungan yang lumayan janganlah kita sesekali lalai dengan implikasi yang mungkin timbul daripada perbuatan kita itu. Hari ini aku terbaca di dalam akhbar berita harian seorang gadis di Los Angeles yang juga bekas peserta dan peminat fanatik penyanyi serta juri American Idol, Paula Abdul ditemui mati dalam kereta berhampiran rumah selebriti itu. Laporan polis telah mengesahkan yang mangsa dipercayai mati akibat membunuh diri. Mangsa dikatakan terlalu meminati selebriti itu dan sering mengintip serta menunggu bintang kesayangannya itu muncul di luar rumah. Punca mangsa membunuh diri pula adalah dipercayai akibat kritikan hebat daripada juri-juri rancangan realiti musik itu (Simon Cowell dan Randy Jackson) termasuk juri dan bintang kesayangannya, Paula Abdul. Mangsa tidak dapat menerima kenyataan yang nyanyian beliau turut dikritik oleh bintang kesayangannya itu. Paula yang selalunya dikenali dengan sikapnya yang suka memberi sokongan kepada perserta, tidak seperti juri-juri yang lain yang suka mengkritik para peserta, tanpa disangka telah mengkritik persembahan mangsa ketika beliau menyanyikan lagu Proud Mary dalam musim kelima rancangan itu pada 2006. Nahhh… bukankah itu kesan dan implikasi buruk yang kita tidak mahu sama sekali terjadi kepada penonton kita? Selain itu, rancangan realiti yang memaparkan hidup seharian selebriti terkenal di Hollywood seperti Kim Kardashians, Kimora Life In The Fab Lane, Denise Richards- It’Complicated; juga tidak kurang negatifnya untuk penonton tempatan. Bayangkan gaya hidup selebriti ini seperti Kim kardashians dan adik-beradiknya yang sering menghabiskan masa ke kelab-kelab malam, menggunakan bahasa kesat dan sentiasa mengenakan pakaian yang menjolok mata! Adakah budaya begini yang mahu kita terapkan kepada penonton-penonton kita? Terutamanya kepada generasi-generasi muda? Renungilah….

Tuesday, November 25, 2008

Belakang Bontot Lori

Salam semua. Ni aku nak berkongsi cerita sikit. Pagi ni aku kena pergi ke Kota Samarahan untuk berjumpa dengan teman. So awal-awal lagi aku dah bangun al-maklum la Kota Samarahan tu kan jauh. Dahlah jalan kat situ banyak yang one way je. Jadi kalau dah terperangkap dalam jam tu, memang sah lah boleh sampai lambat 1-2 jam dibuat nyer.

Al kisahnya begini. Aku janji dengan teman pukol 9, masa tu dah dekat 8.30. Jadi aku pun drive la macam hero KL drift tu...vrooomm..swing sana, swing sini...corner sana, corner sini... nasib baik tak accident. tapi yang aku frust nyer tengah-tengah aku drifting tu, tiba-tiba penglihatan aku jadi sempit. aku tak nampak kereta-kereta lain yang kat depan tu. yang aku nampak, BONTOT warna merah jambu pastu ada ekor! Ya Allah!!! Aku kat belakang bontot lori yang bawa khinzir rupanya! Fuhh...punyer la besar plak khinzir tu. diorang letak dalam sangkar besi. Kemudian susun tinggi-tinggi sampai dua tiga tingkat. Dahla takde cover. Cubala tutup-tutup sikit sangkar tu dengan kain kanvas ke atau apa-apa saje la tak kisah, janji khinzir tu tak nampak. Ni tak, diorang biar je khinzir tu exposed satu Kota Samarahan nampak. Yang paling kesian nyer, bila ada penunggang-penunggang motorsikal yang kat belakang lori tu. Diorang pun nampak macam takut-takut jer nak rapat dengan lori tu. Tapi bila dah nak overtake kena la rapat kan. Tau-tau jer la jalan one way tu macam mana susahnya nak overtake kereta kan. Haiii...kesian sungguh la kat diorang yang naik motorsikal tu (nasib baik aku pakai kereta).

Jadi aku nak tanya bloggers kat luar sana, korang tau tak apa-apa denda ke atau peraturan jalan raya yang ada mengambil tindakan ke atas pemandu-pemandu lori khinzir ni? Tak kan takde? Negara kita ni kan negara Islam. Tapi aku pun fikir jugak, kalau la ada JPJ buat roadblock masa tu, rasanya fikir dua kali jugak la pegawai-pegawai JPJ tu nak tahan lori khinzir ni kan =]

Jadi aku harap pihak yang bertanggungjawab jangan la memandang sambil lewa perkara ini. Setidak-tidaknya keluarkan lah arahan kepada pemandu-pemandu tersebut agar tidak MENAYANGKAN bontot khinzir dengan sewenang-wenangnya di jalan raya.

Thursday, November 13, 2008

Kualiti Jalan Raya Di Kuching



Kuching sebagai ibu negeri Sarawak dan merupakan daerah yang mempunyai taraf bandaraya masih lagi mempunyai jalan raya yang kurang berkualiti. Jalan raya yang sedia ada mempunyai daya ketahanan kurang dari setahun yang kemudiannya akan bergelombang dan seterusnya berlubang. Kenapakah perkara ini tidak dititikberatkan? Sedangkan penggunaan jalan raya di Kuching ini agak lasak memandangkan pembangunan yang pesat. Lori-lori besar serta jentera-jentera menggunakan jalan-jalan tersebut setiap hari. Ini sebagai akibatnya akan menyusahkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

Apakah penyebabnya? Adakah disebabkan bentuk muka bumi? Adakah bahan yang digunakan untuk membuat jalan? Mungkinkah disebabkan teknologi kita yang terlalu kuno? atau pernah aku dengar mungkin disebabkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab ingin mengaut keuntungan hasil daripada membaiki jalan berulang kali?

Walau apa pun sebabnya, kualiti jalan raya di bandaraya ini seharusnya dipertingkatkan. Walaupun kos untuk memiliki jalan raya yang berkualiti mungkin besar. Namun jika difikirkan jangka masa panjang serta keselesaan dan keselamatan rakyat, apalah wang ringgit jika dibandingkan dengan nyawa mereka.

Dalam post ini juga aku ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang selama ini telah menyediakan jalan raya yang meliputi hampir kesemua tempat di Kuching. Petang tadi aku tengok Jalan Temenggong Haji Gobil di Semariang sedang diperbaiki dan diperbaharui. Sistem perparitan juga telah diperbaiki dan secara langsung mewujudkan suasana kampung yang lebih bersih serta seronok mata memandang.