>

Tuesday, September 3, 2013

Siapa tahu..

19 Ogos 2013.
Hujan perlahan- lahan membasahi kereta. Melintasi susur ke Sekolah Sri Puteri, Cyberjaya hujan betul- betul lebat.

****

Pagi itu aku ditemani mak, menuju ke sekolah lama adik. Mahu bercerita tentang kehidupan di Mesir kepada junior katanya. Mak memang takkan mahu menolak permintaan anak-anaknya. Meredah kebanjiran orang- orang yang mahu menuju ke pejabat masing- masing. Tak sangka jalan ke Banting masih kekal dalam ingatan. Dua tahun lalu kerap sangat kami mengharungi jalan ini. Menghantar barangan keperluan kepada adik tiap- tiap minggu.

****

Sebelum keluar rumah tadi, mak sangat bergegas. Adik sudah menunggu katanya. Sekarang mak sudah tertidur di kerusi kiriku. Di lorong paling kanan, pedal minyak aku tekan sedikit. Adik sedang menunggu.

Tiba- tiba kereta lari dari laluannya. Seakan mahu merempuh pokok pembahagi jalan kanan.

"Astaghfirullah.. Ummi.. Ummi...."

Semua arahan aku diabaikan oleh kereta ini. Aku kilas ke kiri, mahu mengelak pokok di kanan jalan. Kereta berpusing. Laju. Semua terlintas serentak dalam fikiran. Solat zohor sudah aku tunaikan, alhamdulillah. Kalau ini cara aku mati ya Allah, aku redha. Saat itu, aku cuma menunggu di mana kereta ini akan menghentak supaya ia berhenti berputar.

Damm. Langgar pembahagi kiri jalan. Berhenti. Allahu. Tak sangka mata ini masih celik. Aku pandu kereta ke bahu jalan. Menangis. Allah. Aku masih hidup. Aku masih diberi peluang. Allah. Untuk setiap dosaku, aku menangis.

Segera aku paling untuk melihat Ummi. Ummi bergerak, alhamdulillah. Tapi mulutnya penuh darah. Aku menangis lagi. Semakin tak keruan melihat Ummi dalam kecederaan begitu. Sedih, kasihan, serba salah, semuanya datang sekali gus.

"sorry, Ummi. Sorry..."

****

Kita takkan tahu bila kita akan dipanggil Dia. Bersyukurlah atas setiap detik yang Dia anugerahkan untuk kita. Dan semoga kita gunakan setiap detik sebaiknya. Waktu di dunia ni saja yang kita ada untuk beramal. Di sana nanti waktu menunggu balasan. Allah.

sadid sigaraga