am 3.30 pagi
"Dr, kita ada satu kes ibu mengandung ingin melahirkan anak" - kata MA Karim mengejutkan saya daripada deep sleep cycle.
"Berapa contraction dan OS dia Kak Su" tanya saya kepada SN Su yang sudah 3 hari oncall tanpa henti menunggu ibu bersalin.
"Contraction 3:1:15s dan OS 5cm" balasnya. Pesakit sudah lebih jangka daripada tarikh sepatutnya melahirkan anak.
"Ok kita buat partogram di sini. Saya tunggu di bilik sebelah jika ada apa-apa." Balas saya.
Pesakit semakin kuat mengerang.
Jam 6 pagi
Saya bangun untuk solat subuh. Sebelum itu saya menjenguk pesakit untuk mengetahui statusnya. Secara tiba-tiba, mata saya tertumpu pada tompok hijau di atas katil yang basah lencun.
Allah, light meconium stained liquor (bayi berak dalam perut)!
Sepantas kilat, saya mencapai glove dan melakukan vaginal examination(VE) untuk pemeriksaan lanjut. Kepala bayi sudah di bawah, membrane intact dan OS masih 5cm.
Pesakit perlu ke bilik bedah segera kerana bayi juga sudah menunjukkan tanda-tanda fetal distress/lemas. Mimpi ngeri saya bermula. Di kawasan ground zero ini, saya berhadapan kes obstetric emergency.
Saya segera menghubungi bilik bersalin HUSM. MO mendengar masalah saya lalu meminta saya menghantar pesakit dengan segera ke hospital dengan nada seperti kes biasa.
"Dr, I'm in ground zero area and I need an helicopter now!" Saya menjelaskan situasi kritikal saya. Dr O&G itu bagai tergamam mendengarnya lantas segera berlari mendapatkan bantuan. Saya juga menghubungi bilik gerakan dan memaklumkan situasi terkini saya.
Selang beberapa minit, datang sebuah hilux membawa seorang lagi ibu mengandung. Selepas pemeriksaan, saya mempunyai seorang lagi pesakit yang ingin melahirkan anak dalam active phase of labor.
Ibu pertama terus mengerang kesakitan. SN SU melakukan VE dan mendapati OS sudah fully dan pesakit ready untuk bersalin. Kami terpaksa menyambut bayi ini di Hospital Badang juga dengan kelengkapan yang sangat terhad. Mesin suction dihidupkan. Kami memulakan second stage of labor. Apabila kepala bayi keluar, kegelisahan kami bertambah melihat tali pusat melilit leher bayi. Dengan segera, ia dipotong dan bayi itu dikeluarkan bersama najisnya yang turut sama keluar. Selang beberapa saat, bayi itu menangis dan tangisan itu memberi kelegaan kepada kami.
Namun mimpi itu baru memasuki episod awal. Uri di dalam perut ibu pula tersangkut dan terasa tali pusat seperti mahu putus. Kini saya mempunyai masalah baru iaitu retained placenta. Ketika sedang runsing bertanya bagaimana status helikopter saya, tiba-tiba seorang bayi yang mengalami demam panas mendapat sawan betul-betul di depan mata saya. Terus saya membawanya ke atas katil dan melakukan resusitasi. Selepas 30 saat, sawannya kebah tetapi anak itu sangat-sangat kepenatan. Saya segera memaklumkan situasi semasa kepada bilik gerakan banjir. Semua pihak bertungkus lumus mencari helikopter.
Jam antara 7-8 pagi.
Sebuah helikopter tentera mendarat di Kolej Jaiputra. Saya terus disambut Dr Muzammil, pegawai perubatan tentera. 2 bayi dan seorang ibu diterbangkan segera ke HUSM. Sebelum terbang, Dr Muzammil sempat membisik ke telinga di celah kebingitan putaran bilah Helikopter : "Good Luck"
Saya bergegas pulang ke hospital darurat Badang dan mendapati ibu kedua kini memasuki fasa kedua bersalin. Sama juga seperti pesakit pertama, ibu kelihatan sukar untuk memberi momentum bersalin. Saya tidak mempunyai vacuum machine ketika ini. Selepas hanya tinggal 10minit untuk pesakit memasuki fasa prolongef second stage of labor, akhirnya bayi yang ditunggu-tunggu berjaya dilahirkan.
Selepas uri berjaya dikeluarkan kami bersorak gembira hingga saya ternampak sesuatu yang tidak patut muncul. Kelihatan seperti bibir berwarna merah kehitaman dengan koyakan besar muncul di celah-celah genangan darah di bahagian tempat bersalin.
Ya Allah, Cervical Tear(cerviks koyak) pula!
Luka itu sangat besar di bahagian bawah dan terus berdarah dengan lajunya. Saya sendiri berasa pucat lesu melihatnya. Saya belum pernah menjahit cervical tear lebih-lebih lagi tanpa bius dan peralatan secukupnya.
Bersambung....
DAR
Sambungan
Darah mengalir dengan derasnya daripada luka cerviks itu. Dikala wajah saya bertukar kepucatan, tiba-tiba tuhan seolah-olah mendengar rintihan pilu saya. Dr Haza hadir tepat pada masanya.
Beliau terus mengambil posisi dan melakukan pemeriksaan lanjut. Luka episiotomy hanya kecil tetapi luka cerviks itu berukuran 3cm di posterior, satu lokasi yang sukar. Jika di hospital, pasti kes ini akan dibawa ke bilik bedah namun kami tidak punyai masa untuk menunggu satu lagi helikoter.
Syntocin kami yang terakhir telah diberikan kepada pesakit. Pitocin yang ada juga yang terakhir. Memang Allah itu maha pengasih, Dr Haza adalah bekas MO OnG. Lantas beliau memulakan prosedur menjahit tanpa sedatif/bius yang cukup. Saya segera mengemaskini status helikopter saya kerna saya perlukan sebuah lagi untuk ke HUSM.
Dr Haza menggunakan pengalaman beliau di bilik bersalin. Akhirnya pendarahan itu berjaya dihentikan namun episod malang kami masih belum berakhir. Ibu itu kini mendapat uterine atony/rahim tidak mengecut dan seterusnya PPH/tumpah darah.
Saya mengaktifkan kod merah di klinik saya. Semua staff dikerahkan ke klinik dengan kadar segera. Ketika saya keluar daripada bilik bersalin saya, seorang wanita berumur lingkungan 50an didapati terbaring di atas stretcher saya di kecemasan sambi dikelilingi orang ramai. Saya bertanya status pesakit ini kepada MA Shakri
"Hypoglycaemia doc. Dxt 1.4!"
"Oh god another headache!" Bisik hati saya. Lantas saya meminta SN Zu memberi D50 dan mengarahkan MA Shakri untuk take over pt itu kerana saya ada red code case di labour room.
Bantuan tentera dan polis telah tiba. Katanya helikopter telah mendarat di Kolej Jaiputra. Ketika kami bersiap untuk mengangkut pesakit ke atas troli, pesakit mengeluh sesak nafas dan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri. Ibu itu kini dalam Shock State akibat kehilangan darah yang banyak. Tekanan darahnya sangat rendah dan nadinya sangat lemah. Hujung jari jemarinya terasa seperti di kutub utara.
Kami melakukan resusitasi dan terus mengangkut pesakit ke sana. Setibanya di kolej tersebut, kelibat helikopter langsung tidak kelihatan. Aduh kenapa banyaknya ujian pagi ini keluh saya. Terus saya membawa pesakit ke kantin kolej itu. Pesakit semakin lemah. Nyawanya seperti di hujung tanduk seolah-olah malaikat maut sedang berdiri di hujung kepalanya. Pasukan kami tidak berputus asa. Kami meneruskan uterine and nipple massage untuk merangsang pengeluaran hormon oxytocin dan pengecutan rahim. Saya meminta semua staff yang ada untuk mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah. Juga memohon bantuan orang ramai membina tabir agar aib dan auratnya dijaga ketika proses resusitasi.
Anak yang baru dilahirkan diazankan kemudian diberi susu ibu agar dapat membantu merangsang deria rasa ibunya. Saya bertali arus dihubungi bilik gerakan namun bantuan helikopter masih tidak kunjung tiba. Akhirnya sebuah helikopter agensi kerajaan dikhabarkan dalam perjalanan ke sini. Tidak lama selepas itu, saya menerima berita menyayat hati:
"Dr, helikopter itu kami terpaksa hold untuk seorang VVVIP yang ingin melawat kawasan banjir"
Bagai disambar halilintar saya mendengarnya lalu saya menjerit ke telefon saya:
"What!!!!!! I need my helicopter now,now, now! Pt is dying here!!!!"
Lalu meletakkan telefon dengan perasaan yang sangat frust. Frust kerana pihak autoriti gagal meletakkan prioriti antara nyawa dan individu VIP tersebut.
Selepas kami berjaya secure satu lagi IV line di kaki (total 3 large bore branula/jarum) kami meneruskan fluid resuscitation. Total 9 botol air dimasukkan dalam kadar pantas. Selepas 30 min,pesakit mula sedarkan diri. Tekanan darah kembali normal tetapi nadinya masih lemah.
Masalah kami belum berhenti di sini. Masalah baru pula muncul di saat genting ini.
Bersambung.....
DAR
Sambungan
Helikopter yang ditunggu-tunggu masih gagal kelihatan di udara. Bilik gerakan tentera, Bilik bersalin HUSM, FMS dll menghubungi saya dan bertanya keadaan pesakit dan status helikopter saya tetapi saya hanya mampu memberi jawapan hampa.
Ibu muda itu semakin sedarkan diri. Anaknya diteruskan menyusu untuk mendapatkan colostrum yang berharga. Rahimnya telah mengecut dengan baik. IV Dripsnya kami perlahankan. Hanya selepas 5 pints Hartman dan 4 pints Normal Saline, aggresive massage and moral support, Allah memanjangkan nyawanya.
Kemudian kami dimaklumkan bahawa helikopter akan mendarat di SMK Badang kerana mereka gagal memperoleh koordinat lokasi Kolej Jaiputra. Sekali lagi, dengan segala peralatan resusitasi, ibu dibawa trak tentera mengharungi banjir sejauh 500-700m ke SMK Badang. 2 kali kami berpindah kerana masalah pendaratan helikopter. Kami pasrah.
Setibanya di sana, helikopter masih belum muncul jua. Dr Muzammil memberitahu bahawa dia telah mengarahkan helikopter Nuri ke Badang dan meminta saya memindahkan semua pesakit yang masih ada di klinik ke HUSM. Di 'hospital' saya masih mempunyai seorang pesakit dengan diagnosis hypertension urgency and hypoglycaemia dan 3 ibu mengandung yang dalam fasa awal bersalin. Kesemuanya dipindahkan segera ke sekolah tersebut.
Ketika Adrenaline saya hampir surut, seorang remaja perempuan bertemu saya di bawah khemah sementara kami di sekolah:
"Dr, boleh tolong tengok mak saya. Dia tenat."
"Maaf dik, saya dalam emergency, adik boleh bawa mak adik ke klinik badang dahulu. Bila sudah selesai di sini, saya akan tengok ibu adik di klinik" balas saya.
"Tetapi dr, buah dadanya dah nak 'meletup'. Dia ada Breast Cancer" jawab adik tersebut.
OMG, di tengah-tengah kekalutan memindahkan pesakit kritikal saya, masih boleh lagi terselit ujian baru untuk krew saya di kem pemindahan ini. Saya rasa habis sahaja episod malang ni, saya akan merendamkan diri di dalam air bunga selama seminggu membuang badi dan beruzlah membersihkan dosa.
Saya meminta Sister Rusmaini memeriksa pesakit. Selepas beberapa minit, saya menerima panggilan daripadanya.
"Dr, saya rasa kita hantar sekali pesakit ni ke HUSM. Memang dah nak 'meletup' ni dr." Kata sister Rusmaini dalam nada cemas.
Setibanya di khemah kami, kami melakukan pemeriksaan lanjut. Seorang wanita berusia lingkungan 50an dalam keadaan sangat tenat dan terpaksa dipapah kemari. Ternyata buah dadanya sudah mencapai seperti tahap 4 Breast Cancer dan bagaikan buah betik yang dipenuhi nanah dan bersedia untuk pecah. Sangat tenat keadaannya.
Tiba-tiba kami dikejutkan dengan ngauman helikopter di udara. Warnanya biru dan putih. Saya pasti bukan milik tentera. Helikopter itu mendarat di padang sekolah tersebut. Rupa-rupanya ia adalah helikopter milik Maritim Malaysia. Mereka dalam operasi menghantar bantuan makanan dan untuk memindahkan pesakit.
Saya tiada pilihan lain, helikopter Nuri masih belum kunjung tiba. Saya perlu memindahkan dua pesakit kritikal saya dengan kadar segera sebelum terlambat. Hanya 2 pesakit kritikal saya mampu dimuatkan ke dalam helikopter itu. Saya meminta Dr Haza mengiringi mereka kerana keluasannya dan seatnya sangat limited. Saya pula menunggu di ground area untuk terus melaksanakan koordinasi operasi di Badang.
Selepas 20 minit, sekitar jam 1-2 petang. Helikopter itu kembali untuk membawa baki pesakit saya seramai empat orang. Sebelum pulang, saya dan pasukan tentera dijamu dengan lauk ikan singgang, sardin dan nasi di kem pemindahan SMK Badang. Kerna saya tidak makan sejak pagi lagi, berselera saya menjamahnya lebih-lebih lagi bersama Budu. Namun di sudut hati saya, saya masih bertanya bagaimana nasib mangsa banjir lain yang kebuluran berhari-hari. Ya Allah, bantulah kami.
Di sebelah petang, Dr Faisal daripada HUSM dihantar bilik gerakan dengan bot Bomba ke Hospital saya membantu kami. Saya bersyukur kerna sememangnya bateri diri sudah 'kong'. Namun, tidur petang saya tetap terganggu kerna panggilan daripada bilik operasi.
Malamnya aktiviti kami sedikit tenang. Kami berbual dan merefleksi kembali kenangan pagi tadi sambil menunggu pesakit di bilik kecemasan. Ketika kami bersedia untuk berehat panjang bila keadaan semakin membenarkan, tiba-tiba kami menerima panggilan telefom kecemasan.
"Dr, ada 2 ibu kini tengah sakit nak bersalin. Kami otw ke klinik ni".
Menggeletar lutut saya mendengarnya. Tengah malam begini di saat angin sedang bertiup kencang dan awan gelap, bantuan operasi udara pastinya tiada.
"Baiklah, kami menunggu mereka di sini"
Tamat Hari Ke-5 bencana.
Salam Kedinginan Bilik Bersalin
Ikhlas membantu
Dr Afiq Rahim, DAR