Secebis kisah semalam
Sedang saya melayari internet, tiba-tiba handphone nombor Maxis berdenting. Sms yang saya terima adalah dari Nasran. Roomate saya merangkap teman sepengajian di Pusat Pengajian Sains Fizik USM. Kami berkongsi bilik yang sama di era pengajian sessi 2004/2005. Lebih kurang lima tahun yang lalu. Saya lantas membuat panggilan.
Sudah lama saya tidak kedengaran berita darinya. Semenjak tahun lepas rasanya. Semasa Aidilfitri yang lalu saya sempat ke Kelantan, ke Pasir Mas. Tetapi saya tidak berkesempatan beraya dirumahnya. Saya hanya dapat berkunjung ke rumah Cikgu Asuar dan sempat tinggal dua hari satu malam. Yang saya ingat, cuti Aidilfitri yang lalu sangat singkat. Dan saya tidak berpeluang ke rumah kawan-kawan yang berdekatan kerana masing-masing telah kembali bertugas.
Nasran sekarang berada di Sarawak. Mengajar di sekolah pedalaman Kapit. Perlu naik perahu panjang setiap pagi ke sekolah. Dari apa yang diceritakan, dia gembira dengan apa yang dilakukan. Saya berbangga dengannya. Dan dari pendapatan yang dia peroleh, saya bersetuju ia berbaloi. Yang pastinya, pengalaman yang ditimba itu paling bernilai, tidak terbeli oleh wang ringgit.
Kalau di USM dulu, dialah yang banyak mengajarkan saya dialek Kelantan. Sesetengahnya agak pure dan jarang digunakan lagi terutama bagi orang yang tinggal di bandar. Saya pernah guna dan rupanya ada juga perkataan yang tidak diketahui oleh anak-anak muda Kelantan sendiri. Dia juga banyak mendedahkan saya dengan lagu-lagu dikir barat. Saya pernah ceritakan dalam coretan yang lepas.
Semua ini menjadikan saya terkenangkan kembali masa-masa lalu yang kami lewati. Menjalani kehidupan sebagai mahasiswa, bercerita kisah masa lalu, merancang-rancang tentang masa hadapan. Tidak pernah terlintas akan terjadi yang dia kini menjadi seorang pendidik, saya pula masih mencari ilmu dan kami terpisah oleh jarak ribuan batu. Dan kami masih memanggil diri masing-masing 'Mate'-singkatan kepada 'roommate' seperti selalu. Apa yang saya dapati, dia tetaplah Nasran yang saya kenal, seperti masa-masa yang lalu. Seolah-olah masa itu beredar dan memutarkan arus perjalanan kehidupan. Namun di satu daerah kecil, ada yang tetap tidak berubah, kekal sendiri tanpa terusik.