Thursday, 19 September 2013


GURU UNGGUL

Kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik,gemilang, menerima sanjungan, dan menjadi idola atau "role model" individu atau masyarakat. Kecemerlangan guru melaksanakan tugasnya di dalammahupun di luar bilik darjah akan menjadi titik tolak ke arah peningkatan kualitipendidikan bagi pembentukan modal insan yang memiliki personaliti unggul. Guru mesti mengangkat dirinya sebagai ‘murabbi’. Guru mesti terlebih dahulu menjadi insan yang unggul. Guru mesti terlebih dahulu beriltizam mengekalkan ciri-ciri kecemerlangan dirinya demi meningkatkan kualiti pendidikan ke arah menjana modal insan yang memiliki personaliti unggul.
Guru unggul ialah seorang guru istimewa dan mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang tugasnya khususnya di bilik darjah. Guru unggul mempunyai kualiti peribadi dan kepimpinan yang boleh diteladani serta sentiasa mencapai mutu kerja yang cemerlang. Guru yang unggul terbahagi kepada beberapa pecahan iaitu dari segi kaedah pengajarannya, cara beliau bersosial, penampilan dan perwatakan dirinya, ilmu pengetahuannya, kemahiran pertuturan antara murid dan dirinya dan sifat keprihatinannya. Guru yang  yang unggul mempunyai kemahiran dalam menguruskan kaedah pengajaran dengan baik. Seseorang guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam tentang bidangnya. Pengetahuan yang mendalam membantu guru mengajar dengan penuh yakin.
Guru yang mengetahui bidangnya dengan mendalam juga dapat mengawal kelas dengan baik kerana beliau dapat menggunakan kecekapan itu untuk merancang dan mengajar dengan baik. Guru juga perlu menyedari bahawa tidak semua yang dipelajari di pusat pengajian, dapat memenuhi keperluan di sekolah. Bagaimanapun, guru yang berkesan akan terus menerima tanggungjawab untuk mempelajari perkara yang beliau kurang mahir. Interaksi dua hala antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan guru memainkan peranan yang penting supaya isi pelajaran dapat disampaikan serta difahami oleh pelajar. Maka guru perlu manarik perhatian pelajar supaya pelajar tidak bosan dengan apa yang disampaikan. Cara yang mudah adalah dengan pengunaan set induksi yang berkesan. Dengan kata lain guru tersebut perlu membuat persediaan yang efektif sebelum memulakan pengajaran. Persiapan alat bantu mengajar perlu cukup dan sesuai untuk menarik lebih perhatian pelajar. Selain itu, guru perlu memasukkan unsur-unsur humor atau lawak jenaka sesekali semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Untuk menjadikan kaedah pengajaran yang lebih menarik adalah dengan menyelitkan kata-kata peransang serta pujian terhadap pelajar. Ini juga tidak ketinggalan dengan memasukkan unsur-unsur jenaka.
Guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik bagi membuka minda pelajar. Maka dengan melaksanakan perkara-perkara berikut, pelajar akan merasa seronok dan gembira sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran berlaku. Oleh itu, guru yang seperti ini diidamkan oleh para guru kerana dapat menarik perhatian pelajar.Guru yang unggul perlulah pandai bersosial dan mesra bergaul dengan masyarakat sekeliling. Oleh itu, penglibatan dengan aktiviti di sekolah mahupun bersama rukun tetangga sangat penting.
Guru sejak dahulu lagi dipandang tinggi oleh orang lain terutamanya masyarkat itu sendiri kerana guru biasanya mengetuai sesuatu jawatan di dalam rukun tetangga. Dengan kata lain, guru mempunyai pengetahuan dalam semua bidang. Jadi, guru perlu pandai menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan masyarakat sekitarnya. Selain itu, cara guru bersosial dalam kelas juga merupakan ciri-ciri seorang guru yang ideal. Ciri-ciri guru yang baik dan boleh menjadi contoh kepada pelajar. Penampilan dan perwatakan yang baik dimiliki oleh seorang guru yang unggul. Keterampilan perlu bersesuaian dengan subjek yang diajar oleh beliau. Seperti guru pendidikan jasmani perlulah mempunyai sikap yang aktif dan sentiasa bersemangat. Daripada keterampilan yang ditunjulkan dapat mambakar semangat para pelajar untuk berusaha menjadi seperti guru tersebut. Dengan kata lain manjadikan guru tersebut sebagai idola. Sikap berfikiran terbuka untuk mendengar masalah pelajar dan berusah menyelesaikan masalah perlu ada pada guru yang cemerlang. Oleh itu, guru ini mempunyai daya tarikan serta dipercayai oleh pelajar untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Ini diperkuatkan lagi apabila dapat menyelami perasaan pelajar berkenaan dan cara guru berkomunikasi dengan pelajar sangat baik..Ilmu yang cukup didada dan tidak ketinggalan ditelan arus zaman sangat perlu dalam menempuh kehidupan yang persekitarannya sentiasa berubah dan tidak pernah statik. Untuk tidak menjadi orang yang ketinggalan, guru berusaha mendalami bidang pengkhususan yang diambil di samping memperluaskan bidang pengetahuan yang sedia ada dan terus mengulang kaji agar tidak ketinggalan dan ditelan arus perubahan. Cara lain untuk meningkatkan ilmu adalah dengan mengikuti kursus-kursus bagi meningkatkan profesion perguruannya. Pengalaman mengajar merupakan aset yang penting untuk mendidik pelajar supaya cemerlang. Pengalaman mengajar ini tidak boleh dijual beli dan tidak ternilai harganya. Guru yang berpengalaman tahu asam garam kehidupan sebagai seorang guru. Maka dapat menyelesaikan masalah dengan mudah serta menjadi contoh kepada guru-guru yang lain.Pertuturan antara guru dan pelajar perlu terjalin erat, hubungan yang baik dapat meningkatkan kecemerlangan pelajar.
Guru-guru akan memberi tunjuk ajar jika pelajar tersebut menunjukkan minat terhadap ilmu yang disampaikannya. Guru akan memberi nasihat dan tip-tip untuk berjaya terutamanya kepada yang selalu mendampingi guru tersebut. Oleh itu, komunikasi yang baik perlu wujud antara pelajar dengan guru. Ini semua bergantung kepada guru tersebut juga, kerana guru yang terlalu garang akan membuatkan para pelajar takut untuk mendekati dan bertanya soalan yang mereka tidak faham tentang sesuatu tajuk.Kadang-kadang pelajar yang guru dia minat, dia suka, sampai mana-manapun dia kejar cikgu tu kat bilik guru, keluar waktu sekolah dia akan tanya, dia akan tanya “Macam mana cikgu buat ni?”Pertuturan perlu bersesuaian dengan penerima terutamanya sewaktu menyampaikan isi pelajaran agar maklumat tersebut dapat diterima dengan berkesan. Ini kerana tahap pemikiran pelajar berbeza-beza. Pelajar kelas akhir tahap pemikiran adalah rendah. Oleh itu, pengunaan kata-kata dan istilah yang mudah difahami digunakan. Ayat yang mudah dan ringkas digunakan bagi memudahkan pelajar memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru. Keprihatinan perlu ada pada guru ideal. Keprihatinan dapat mengeratkan lagi hubungan antara guru dengan pelajar. Guru cuba menyelami perasaan dengan perhubungan yang baik dan memahami situasi pelajar.
Keprihatinan yang ditunjukkan oleh guru menyebabkan pelajar rasa diri mereka disayangi dan dihormati. Guru perlu meluangkan sedikit masa bersama pelajar dan duduk berbual bersama mereka dan mendengar masalah mereka. Menjadi guru berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil dicapai. Prasyarat yang utama dan pertama ialah kesediaan dan keanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara orang-orang profesional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat. Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap masa dan waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan. Orang-orang yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang lain dan keadaan semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi.
Rumusannya, pendidikan berkualiti tinggi menjamin kejayaanpembentukan modal insan yang memiliki personaliti unggul,. Bagi menjaminkejayaan ini, guru mestilah mempunyai ciri kecemerlangan profesionalisma, kecemerlangan peribadi, kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran,kecemerlangan kerja, kecemerlangan komunikasi dan kecemerlangan potensi. Oleh itu amatlah penting bagi guru mengenal pasti ciri-ciri kecemerlangan dalam dirinya dan seterusnya berusaha sedaya-upaya untuk mengekalkannya. Guru berkualiti adalah guru yang dapat mengekalkan ciri-ciri kecemerlangandalam dirinya. Guru mestilah menjadi insan yang cemerlang terlebih dahulu bagimenjana lebih ramai modal insan dan memenuhi aspirasi negara. Pada pendapat saya guru mesti berusaha mengekalkan ciri-cirikecemerlangan dirinya bagi meningkatkan kualiti pendidikan ke arah melahirkanmodal insan seperti hasrat Teras Kedua PIPP. Di antara usaha-usaha yangperlu saya lakukan untuk mengekalkan ciri-ciri kecemerlangan diri saya bagi meningkatkan kualiti pendidikan ialah dengan melaksanakan 8M iaitu menghayati visi negara dan misi KPM, memantapkan penguasaan ilmu, membudayakan kerja cemerlang, mewujudkan sistem pemantauan berkesan,  menyumbang tenaga dan kepakaran, meningkatkan keterampilan diri, menjaga tingkah laku, dan muhasabah diri.

Wednesday, 18 September 2013

KESERONOKKAN MELANCONG DI SURABAYA, INDONESIA
Melancong merupakan salah satu aktiviti yang amat menyeronokkan. Tambahan pula, ia memberi banyak manfaat. Semua manusia mengimpikan tempat yang indah untuk dilawati dan menghabiskan masa cuti bersama keluarga setelah penat menjalani aktiviti seharian. Pada hujung tahun lepas, saya ke sekeluarga pergi ke Surabaya, Indonesia. Surabaya memang satu tempat percutian yang menarik. Surabaya merupakan Bandar ke-dua terbesar selepas Jakarta.  Surabaya bermaksud buaya dan ikan jerung dalam bahasa jawa kerana legendanya kedua haiwan ini pernah bergaduh berebutkan Surabaya. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat di Surabaya antaranya Jawa, Madura, Sunda, Batak, Banjar, Minangkabau dan Bugis. Jadi kehidupannya memang dekat dengan kita di Malaysia terutama yang ada pertalian darah dengan kaum masyarakat ini maklumlah kita ini serumpun.
Penerbangan ke Surabaya mengambil masa 2 jam 30 minit dan kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya jam 8 pagi. Kami meneruskan perjalanan ke tempat penginapan kami di Grand Palace Hotel di Malang.  Selesai membersihkan diri, kami sempat singgah di pasar pagi kota Malang dan di sini saya sungguh teruja kerana pelbagai makanan tradisi orang Surabaya terutamanya masyarakat  Jawa yang tidak pernah saya lihat dan rasa dapat saya temui di sini seperti tape bakar, dawet, lumpur dan leker dan macam-macam lagi. Yang paling seronok adalah melihat tempe yang dijual di pasar ini. Pelbagai jenis dan bentuk tempe ada dijual di sini.
Selepas itu, kami ke daerah Batu Malang menuju ke Kusuma Agro Wisata  sebuah kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan penanaman epal. Tetapi malangnya musim buah epal adalah pada bulan Ogos. Kami berasa sedikit kecewa tetapi kami sempat memetik limau di ladang ini. Kami hanya dibenarkan memetik 2 biji limau sahaja. Selain itu, buah-buahan dan sayur sayuran juga turut ditanam di ladang seluas 70 hektar ini. Sebelum berangkat kami disajikan dengan jus dan puding jambu batu merah. Rasanya amat sedap dan menyegarkan. Hari semakin senja, kami terus pulang ke tempat penginapan kami untuk menjamu selera dan merehatkan diri.
Keesokan harinya, kami bersiap sedia untuk pergi ke air Terjun Coban Rondo. Air terjun yang setinggi 84 meter ini tersimpan cerita legendanya iaitu seorang puteri telah menjadi janda di air terjun yang menunggu kepulangan suaminya yang telah mati mempertahankannya dari gangguan seorang jejaka. Setelah kejadian itu, air terjun ini dinamakan Coban (air terjun) Rondo (janda) dalam bahasa jawa. Setelah itu, kami menuju ke lokasi seterusnya iaitu Gunung Bromo yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, di timur kota Malang. Kami tidur satu malam di sini. Kawasan ini sangat sejuk jika di bulan Ogos dan suhu boleh mencecah 2°C. Pada malam itu, suhu hanya 10°C sahaja. Gunung Bromo (dari bahasa Sansekerta atau Jawa Kuna adalah Brahma, salah seorang Dewa Utama Hindu), merupakan gunung berapi yang masih aktif dan paling terkenal sebagai kawasan pelancongan di Jawa Timur. Tidak lengkap kiranya kalau berkunjung ke sini jika tidak melihat panorama matahari terbit. Seawal jam 3 pagi kami telah bangun menuju ke Gunung Penanjakan dengan menaiki kenderaan Jeep Pacuan 4 Roda. Suhu di di sini sungguh sejuk iaitu sekitar 10 °C.  Perjalanan menuju ke puncak penanjakkan ini amat mendebarkan kerana jalan yang agak berliku-liku dan sangat tajam. Perjalanan ke puncak penanjakan mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja. Apabila sampai di puncak penanjakan, kami sempat menikmati kopi panas sementara menunggu matahari terbit. Matahari mula terbit jam 5.15 pagi dan saat itu semua orang amat teruja termasuk saya apabila dapat melihat kecantikan matahari terbit ciptaan Tuhan! Saujana mata memandang! Dari sini, kita dapat melihat Gunung Bromo, Gunung Semeru dan Gunung Batok. Selepas 2 jam, kami menuruni Gunung Penanjakan dan menuju ke Savannah di kaki Gunung Bromo. Gunung Bromo merupakan kawah gunung berapi yang masih aktif. Kali terakhir gunung ini meletus adalah pada tahun 2011. Kawasan ini digelar lautan padang pasir kerana dilitupi oleh belerang gunung berapi dulu dan hanya rumput dan lalang sahaja yang tumbuh. Di sini, terdapat tempat yang menarik seperti padang pasir yang digelar pasir berbisik. Ia dikatakan pasir berbisik kerana pada Bulan Ogos merupakan musim angin kuat dan apabila pasir ini ditiup ia akan mengeluarkan bunyi seperti orang sedang berbisik kerana pasirnya bergesel antara satu sama lain apabila angin bertiup. Tempat ini juga pernah dijadikan lokasi filem Pasir Berbisik lakonan hebat Dian Sastrowardoyo dan Chritine Hakim.

Hari Ketiga, kami berpeluang untuk membeli belah di Kota Surabaya. Sebelum itu, kami singgah di Muzium Rokok Sempoerna dan Muzium Kapal Selam. Terasa macam askar tentera laut pula bila berada di dalam kapal selam. Kami juga mengambil peluang untuk pergi ke Pulau Madura dan membeli belah kain batik Madura di sana. Pelbagai jenis jualan yang boleh kita dapati di sini dari pakaian hinggalah makanan. Sebelum berangkat pulang ke tanah air, kami singgah ke restoran IBC dan kami sempat mencuba pelbagai jenis sup di restoran ini seperti soto, dan sup rawan. Makanannya amat menyelerakan. Setelah selesai makan, kami meneruskan perjalanan kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya. Kami begitu seronok untuk pulang ke tanah air walaupun hati amat sedih untuk meninggalkan kota Surabaya yang rasanya belum puas untuk kami terokai. Pengalaman sebegini tidak akan kami lupakan dan sudah pastinya kami akan kembali lagi ke sini.

Saturday, 10 December 2011

SIMULASI GERHANA BULAN


Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan dengan mata anda sendiri mengenai keajaiban dunia....Gerhana Bulan Penuh yang akan berlaku malam ini. Marilah kita menyaksikan bagaimana Gerhana Bulan berlaku. Kepada pelajar-pelajar cikgu khususnya pelajar tahun 5, sebelum ini kita belajar secara teori sahaja....tetapi hari ini kita akan lihat dan belajar secara nyata bagaimana gerhana bulan berlaku. Begitu indahnya ciptaan Allah swt......dan kita harus mensyukuri segala nikmat dan ciptaan-Nya.

Tuesday, 6 December 2011

MAKRO PENGAJARAN SAYA


Akhirnya siap juga saya memuat naik video ini untuk tatapan umum. Agak sukar juga untuk memuat naik video ini kerana ianya memakan masa yang agak lama. Ini mungkin disebabkan kekurangan dari pihak saya yang baru pertama kali memuat naik fail video yang besar. Pelbagai cara dan bantuan dari rakan-rakan yang saya gunakan untuk memuat naik video ini. Maka akhirnya video ini telah selamat saya memuat turun di dalam blog ini. Untuk pengetahuan rakan-rakan, video pengajaran ini merupakan salah satu tugasan saya untuk modul KPD 3026. Syukur ke hadrat Allah swt, kerana di atas limpah dan rahmat-Nya, saya dapat menyiapkan tugasan ini dan terpulang kepada pensyarah untuk membuat penilaian.
Sesi pengajaran dan pembelajaran ini dijalankan di sebuah sekolah yang terletak di pinggir bandar Taiping iaitu SK Ngah Ibrahim. Dalam sesi ini, saya mengajar subjek Sains bagi pelajar-pelajar dari tahun 2. Pada kali ini, topik pengajaran saya ialah Pergerakan Haiwan. Suasana pengajaran amat menyeronokkan. Pelajar-pelajar pula sentiasa aktif dan berkerjasama sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Mereka bergitu gembira.

Monday, 5 December 2011

MIKRO PENGAJARAN SAYA


Klip video ini merupakan mikro pengajaran yang telah saya jalankan dengan tujuan melihat kekuatan dan memperbaiki kelemahan saya semasa mengajar. Ia juga bertujuan bagi memenuhi kehendak soalan tugasan KPD 3026 yang telah diberikan kepada saya untuk dilaksanakan. Sesi pengajaran dan pembelajaran ini dijalankan di bilik pemulihan kerana ketika sesi ini diadakan, kelas telah digunakan bagi tujuan Sambutan Hari Anugerah yang akan diadakan tidak lama lagi. Dalam sesi ini, saya telah mengajar murid-murid tahun 2 seramai 12 orang mengenai topik " Pergerakan Haiwan " dalam subjek Sains.
Diharap paparan klip video ini dapat memberi sedikit manfaat bagi sesiapa sahaja yang menontonnya. Pendapat mahupun komen yang membina amatlah dialu-alukan bagi tujuan memperbaiki kelemahan diri.

Sunday, 4 December 2011

BAHAN PEMBELAJARAN


SISTEM SURIA DAN ANGKASA LEPAS


BULAN


ALAT CIPTAAN


PERALATAN TENAGA ELEKTRIK


KESAN DAN PUNCA RUMAH HIJAU


CAHAYA DAN WARNA

ASAS KIMIA

 SISTEM SOLAR


SISTEM SURIA DAN SEL SURIA


PLASTIK DAN TEKNOLOGI SAINS

CARA MENJAWAB SOALAN HIPOTESIS

SOALAN BAHAGIAN B

ALAM SEMESTA

TEKNIK MENJAWAB SOALAN BAHAGIAN B

CONTOH KAJIAN TINDAKAN

RANTAI MAKANAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...