Thursday, February 12, 2009

Padang atau Sawah????

Saban tahun, kami menyambut tamasya sukan tahunan dengan terpaksa bergelumang dengan lumpur. Berminggu masa diambil untuk menyiapkan padang, akan tetapi apabila padang siap dan baru sahaja digunakan ianya bagaikan sawah untuk menanam padi. Itulah realiti yang berlaku pada padang SMK Bukit Garam.

Sepuluh tahun kebelakangan ini, kami tidak dapat bermain atau bertanding di padang rata .Kami bertanding dan memilih juara untuk ke peringkat daerah dengan padang yang becak, trek yang berlumpur dan air memenuhi hampir keseluruhan padang, bahkan sebahagian besar lokasi pertandingan terpaksa dihentikan kerana takungan air.Padang yang tidak perlu lagi dibajak

Berbagai ikhtiar telah dilakukan oleh guru-guru yang menyediakan trek pertandingan termasuk dengan mengali parit dan sebagainya. Pihak sekolah juga pernah memilih musim pertengahan tahun untuk mengadakan sukan sekolah, tetapi ianya tetap mengalami masalah yang sama. Kita bimbang, jika ianya berterusan begini, kecederaan kepada atlit dan petugas sukan sukar dibendung. Setiap masa mereka terdedah kepada bahaya.Kecewa...sampai bila kita terus begini..

Dalam banyak acara yang melibatkan pecutan atlit, ramai yang jatuh dan tersungkur seterusnya menelan lumpur disaat akhir pecutan mereka. Kiranya perkara ini terkena kepada seseorang atlit, pastinya mereka akan sakit dua perkara. Pertama sakit anggota kerana jatuh dan kedua sakit hati (kecewa) kerana sepatutnya mereka dapat mencipta kejayaan yang lebih baik sekiranya mereka tidak jatuh. Kalau mereka jatuh kerana kesilapan mereka, pastinya mereka dapat menerima hakikat. Bagaimana kiranya mereka jatuh kerana pihak penganjur gagal menyediakan trek yang sepatutnya?

Pada firasat saya, tidak silap bilamana Puan Sutina Markus, penolong kanan1 dalam ucapan penutupan temasya Sukan sekolah kali ini, memohon jasa baik pihak Pejabat Daerah Kinabatangan memberi perhatian kepada kemudahan Infrastruktur di sekolah ini. Ucapan beliau diperkukuhkan lagi dengan serangkap pantun yang dituju khas kepada Penolong Pegawai Daerah yang hadir sebagai perasmi ketika itu.


Penolong Pegawai Daerah telah memberi jaminan akan memberi perhatian kepada beberapa kemudahan infrastruktur yang dimohon walaupun mungkin tidak berupaya dapat melakukan semua projek yang dipohon.

Kita tetap menaruh harapan agar kata dikota. Sudah lama kita menanti. Menanti dan menanti. Jalan masuk ke sekolah terus becak hingga ke hari ini. Tapak perhimpunan terus dilimpahi air. Sekalipun penantian satu penyeksaan tetapi kita akan terus menanti. Semoga ianya menjadi pasti.

Tuesday, February 10, 2009

Masjid pelbagai Budaya, Penghormatan Kepada Orang Cina

Tiada siapa yang dapat menafikan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah perancang utama dalam pembinaan masyarakat yang berteraskan Islam. Beliau juga telah berjaya memecahkan tradisi politik perkauman Melayu yang sempit selama ini. Selama para pemimpin politik Melayu baik PAS apa lagi UMNO mencanangkan politik berteraskan perkauman Melayu sehingga menganggap kaum lain adalah musuh dan ancaman kepada orang Melayu dan hak ketuanan Melayu. Ini menyebabkan antara kaum utama di Malaysia sering curiga dan mencurigai antara satu sama lain.

Masjid Pelbagai Budaya yang sempat saya rakamkan ketika balik bercuti

Sebelum ini, kebencian kepada cina dan India dari kalangan orang Melayu amat ketara. Ini dikukuhkan lagi dengan mengaitkan Cina makan babi, Cina taukeh judi, Cina penipu Melayu. India pula dikaitkan dengan kaki putar belit sehingga lahir pepatah Melayu, kalau jumpa ular dan keeling, pukul keling dulu, baru pukul ular.(sah atau tidak, tidak pasti tetapi pepatah ini pernah digunakan oleh seorang YB UMNO disidang DUN Perak pada tahun 2008). Pepatah ini menunjukkan tahap kepercayaan orang Melayu kepada kaum Cina dan India amat tinggi. Saya tidak pasti macam mana anggapan Cina dan India terhadap orang Melayu tetapi pada pandangan saya… mereka juga beranggapan tidak baik juga kepada orang Melayu.

Satu kisah seorang cikgu di kampong saya pergi membeli di kedai Cina. Cikgu itu menawar dengan harga yang lebih murah daripada harga yang diletakkan oleh taukeh Cina. Taukeh itu menjawab dengan pelat Cinanya… lu gi la…. Cikgu itu terus jadi panas. Dengan nada marah dia menjawab… apa…. Awak kata saya gila????. Maksud taukeh itu, saya akan rugi kalau bagi harga yang diminta itu. LU GI..LA (rugi). Ini satu cebisan kisah kecurigaan kita kepada bangsa lain.

Saya pelik dengan bangsa saya sendiri, walaupun perasaan curiga Melayu kepada Cina dan India itu tinggi, namun dalam masa yang sama, kita membeli dan jalankan urusan harian dengan mereka. Kita bertaukehkan mereka. Malah ramai pekerja Melayu suka menjadi pekerja( Kuli) kepada majikan Cina kerana mereka yakin gaji mereka akan dibayar berbanding berkerja Melayu walaupun keluarga sendiri, ramai yang tidak membayar gaji pekerja. Tetapi kebencian tetap dihalakan kepada mereka. Kenapa???

Satu kebanggaan: Orang Cina boleh memegang dan mendokong calon berkupiah. Satu era baru dalam politik pelbagai kaum di Malaysia

Inilah mungkin antara sebab terbesar, kita gagal menarik mereka kepada Islam. Apa kurangnya Islam? Islam agama yang komplikated, syumul dan diyakini 100% tidak kekurangan. Dari segi kelebihan semasa, Islam agama resmi yang boleh disebarkan. Sudah hamper 51 tahun kita merdeka. Masih boleh dibilang dengan jari Cina dan India memeluk Islam di kawasan-kawasan perumahan atau diperkampungan.

Ya…. Mungkin susah, kalau kita cakap soal agama. Orang Cina dan India mempunyai jati agama yang kuat. Susah untuk tukar agama…bagaimana pula dengan bahasa Melayu yang menjadi pengantar di sekolah-sekolah sejak merdeka lagi. Penyata demi penyata dari Kementerian Pendidikan diperkenalkan. Orang Cina dan India masih menutur bahasa Melayu dengan pelat mereka lagi. Bahkan ada individu Cina dan India yang tidak boleh berbahasa Melayu. Kita gagal membentuk mereka hampir setengah abad. Adakah bahasa Melayu yang kurang… atau sikap orang Melayu sendiri???

Selagi kita beranggapan orang Cina tidak basuh berak, jijik kerana makan babi bela anjing.. selagi itulah hasrat untuk mewujudkan perpaduan sebenar tidak akan wujud. Perpaduan yang ada hanyalah tempelan dan eksosori semata-mata. Suatu hari, tempelan ini akan berkecai juga. Oleh sebab itu, saya melihat kebijaksanaan dan penekanan yang selalu diberikan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz cukup bijak dan bakal mewujudkan suasana kundusif dalam masyarakat majmuk.

Usaha Kelantan pimpinan Tuan Guru :-
1. Selalu menekankan dalam ceramah dan kuliah bahawa manusia asal dari keturunan yang sama. Iaitu daripada benih nabi Adam Alahi salam.Tidak ada bangsa yang paling mulia kecuali mereka yang bertaqwa kepada Allah. Melayu tidak berguna satu sen di akhirat kelak.
2. Melantik Dato Anuar Tan dari keturunan Cina sebagai exco Kerajaan Negeri Kelantan sejak 3 penggal

Biarkan:Melayu dan Cina boleh berpeluk (Penulis dan Tian Chua) walaupun seakan menoleh kelain. Penulis yakin Tian Chua ikhlas.

3. Menekankan orang Cina patut menyokong Hudud kerana orang yang kaya di Malaysia ini adalah orang Cina. Kemungkinan harta merekalah yang paling banyak akan dicuri.
4. Menjemput Imam dari Negara Cina untuk menjadi Imam sembahyang di Kelantan terutama di bulan Ramadhan bagi membuktikan Islam bukanlah hak ekslusif orang Melayu bahkan orang Cina lebih hebat dari segi pengamalan syariat Islam.

5. Menghadiri hari-hari kebesaran kebudayaan Masyakat Cina, Siam dan India sekalipun Tuan Guru seorang Ulama yang tidak berpisah dengan serban dan jubahnya.
6. Dan terbaru… pembinaan masjid pelbagai budaya di Rantau Panjang Kelantan. Pembinaan ini menjadi cercaan mereka yang jahil dengan alasan Nik Aziz bina Ketik tempat Cina Menyembah di Rantau Panjang. Pembinaan Masjid ini membuka lembaran baru dalam sejarah perkembangan Islam di tanah air.

Kalau mahu disenaraikan, masih banyak usaha Tuan Guru Nik Aziz dalam usaha beliau membina perpaduan Ummah tanpa membangga dan mencemuh bangsa lain. Sampai bila kita mesti menjadi masyarakat yang bodoh sombong, yang akhirnya, meletakkan orang Melayu terus ketinggalan? Ketinggalan dari semua sudut kerana kita ingin menjaga kepentingan beberapa teknokrat dan politikus Melayu.Terima kasih Tuan Guru atas pengorbanan dan bimbingan ini semoga masyarakat majmuk yang berteraskan keadilan dan kesejahteraan dapat kita tegakkan. Usaha ini juga diyakini mendapat rahmat dan magpirah daripada Allah.

Friday, February 6, 2009

Kuasa, Bisa dan Siksa

Kemelut yang melanda negeri Perak turut mengusik perasaan penulis untuk meneliti peristiwa yang berlaku. Yealah... dah terlalu lama perkara seumpama ini tidak berlaku. Cukup kotor politik sebegini. Mana maruah rakyat? Tidak cukup dengan umpan rakyat dengan habuan wang ringgit. Rupanya Wakil Rakyat juga boleh dijual beli. Penulis tidak kecewa sangat dengan runtuh atau bangun sesebuah kerajaan. Cuma kesal, maruah rakyat diperkotak katikkan. Tidak cukup dengan bebanan ekonomi dan gejala sosial. Pemimpin lebih berminat dengan politik daripada membangun kesejahteraan rakyat.Undang-undang bagaikan sarang labah-labah.

Apapun Peruntusan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini menyentuh jiwaku akan realiti yang berlaku - Raja dan Demokrasi

1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman. Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud : “Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).

Wallahua’lam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Bertarikh : 9 Safar 1430
5 Februari 2009.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008