Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Isu-isu Air Selangor telah menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas). Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, jawatankuasa tersebut mendapati ada beberapa perkara substantif dan membabitkan prosedur yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan negeri dan juga Syabas. Bagaimanapun, kerajaan akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara berhubung perkara tersebut secepat mungkin.
''Mesyuarat hari ini berpendapat walaupun ada peruntukan klausa 32 dalam perjanjian konsesi yang mengatakan dengan persetujuan Kerajaan Pusat, maka kerajaan negeri boleh mengambil alih pengurusan Syabas.
''Tetapi kita mendapat nasihat bahawa cadangan itu tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa yang dianggap substantif dan prosedural gagal dipenuhi oleh kerajaan negeri dan juga Syabas," katanya.
Pada 19 Julai lalu, kerajaan negeri memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memberi jawapan berhubung niatnya mengambil alih pengurusan Syabas. Cadangan pengambilalihan itu dibuat kerana kerajaan negeri mendakwa telah bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian serta memastikan peralihan pengurusan berjalan lancar.
Menurut Muhyiddin, antara perkara substantif tersebut adalah berhubung air tak berhasil (NRW) yang diletakkan di bawah tanggungjawab Syabas sebagaimana termaktub dalam perjanjian konsesi. Ia juga ada kaitan dengan kegagalan kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan kenaikan kadar tarif air pada tahun 2009.
No comments:
Post a Comment