Sunday, July 31, 2011

KEDAH: ULAR TEDUNG DAN ULAR KAPAK

Ruhanie Ahmad


Di Kedah mutakhir ini kononnya tercetus satu psywar atau perang saraf yang menggunakan analogi sikap ular tedung dan ular kapak.

Psywar ini jauh berbeza dengan huraian Niccolo Machiavelli mengenai singa dan serigala dalam karyanya the Pricne kerana Machiavelli mengeluarkan analoginya untuk memotivasikan kepimpinan negara dalam menjaga kelangsungannya.

Tetapi, perang saraf di Kedah ini mempunyai matlamat yang sama dengan kisah singa dan serigala ala-Machiavelli. Perang saraf ini dipercayai adalah satu daripada strategi PAS Kedah untuk mempertahankan kelangsungannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 kelak.

Ular tedong bila ditiupkan serunai dengan irama yang lunak dan merdu akan membangkitkan kepalanya yang seperti senduk, kemudiannya menghembus-hembus, tetapi jarang sekali mematuk peniup serunai berkenaan.

Ular kapak tidak boleh dijinakkan oleh mana-mana peniup serunai. Ia juga sering bertindak seolah-olah mematikan dirinya. Tetapi, bila dipijak oleh binatang buas atau manusia, dia terus bingkas mematuk si pemijak tersebut dengan bisanya yang boleh membawa maut.

Perang saraf ala-ular kapak ini kononnya sudah diketahui umum di Kedah pada hari ini. Ianya dikatakan ditujukan khusus kepada kalangan ADUN BN, terutamanya UMNO.

Menerusi doktrin ini PAS Kedah dikatakan cuba menyebarkan mesej perang safar bahawa ADUN BN jangan cuba-cuba menggugatnya tanpa usul periksa.

Jika mereka berbuat demikian, pentadbiran Negreri Kedah di bawah PAS dikatakan akan berindak seperti ular kapak yang dipijak (walaupun secara ak sengaja) oleh binatang buas atau manusia. Ia akan terus mematuk sipemijaknya dengan bisanya yang boleh menyebabkan nahas.

Inilah kisah yang berlegar di kedai-kedai kopi di Kedah sekarang. Benar atau tidak, sukar untuk dipastikan. Namun begitu, sumber-sumber memberitahu saya baru-baru ini, kononnya wujud sesetengah kalangan yang memang gentar dengan psywar ini.

Tetapi, ada juga sahabat-sahabat memberitahu saya bahawa majoriti pihak UMNO tidak gentar dengan perang saraf ini. Mereka terus bekerja keras untuk menebus kekalahan BN di Kedah menerusi PRU13.

Kata mereka, jika karenah beberapa ‘panglima perang’ atau warlords di kalangan mereka dapat dihapuskan, dan semua pihak bekerja keras sebagai satu pasukan yang komited, peluang BN menebus Kedah adalah tidak mustahil.

Dalam pada itu, ada juga sahabat-sahabat berkata, BN Kedah perlu menganalisis tindak-tanduk serta gerak-geri Menteri Besar Kedah yang dikatakan sentiasa merendah diri dan pintar memikat hati orang BN menerusi pendekatan ala-kampungan, walaupun dikatakan sehingga menyebabkan sesetengah kalangan PAS berasa kecil hati.

Pada waktu yang sama, Menteri Besar Kedah mutakhir ini adalah seorang yang tidak jauh bezanya dengan kalangan BN. Beliau dikatakan sering memberikan sidang media dalam bahasa Inggeris yang fasih, tidak berjubah malahan selalu berkemeja siap dengan cufflings, dan pernah menghadiri majlis rasmi dengan berpakaian monkey jacket siap dengan bow-tie.

Demikian ole-ole yang saya bawa pulang dari Kedah baru-baru ini. Kisah di atas mungkin kecil, tetapi inilah realitinya di Kedah sekarang. Menteri Besarnya boleh disorong ke tengah dan di heret ke tepi---bertindak serba boleh untuk menawan hati orang UMNO, MCA serta masyarakat Siam yang menjadi sumber kekuatan BN di era pra PRU 12.

Kesimpulannya, doktrin ala-ular kapak di Kedah hanya sekadar perang saraf, BN Kedah, khususnya UMNO, perlu mengukuhkan saf serta jemaah perjuangan mereka, seluruh warlords UMNO perlu segera berdamai, dan kesemua lapisan kepimpinan BN juga perlu mendampingi rakyat secara kampungan dengan ikhlas dan jujur. Jika ini sedang dilakukan, ianya perlu ditingatkan sehingga rakyat jelata, khususnya golongan atas pagar, kembali tertawan dengan BN dalam PRU 13.

Saturday, July 23, 2011

IKS SANGKAL PROPAGANDA PEMBANGKANG: MALAYSIA PALING SELAMAT DI ASIA TENGGARA

Ruhanie Ahmad

Indeks Keamanan Sejagat (IKS) atau Global Peace Index, memberikan ranking kepada Malaysia sebagai negara paling aman di Asia Tenggara, keempat paling selamat di rantau Asia Pasifik, dan ke-19 daripada 153 negara yang selamat dan aman di seluruh dunia. Demikian laporan Bernama yang dipetik oleh majoriti media tempatan arus perdana Melayu dan Inggeris pada 23 Julai 2011.

Penemuan edisi kelima kaji selidik oleh Institute for Economics and Peace, di Sydney, Australia ini diumumkan pada hujung Mei 2011 (Berita Harian).

Pada 2007, Malaysia yang menduduki tangga ke-37 jatuh ke tangga 38 pada 2008 sebelum memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-26 pada 2009 ke tempat ke-22 pada 2010 dan ke-19 pada 2011 (ibid).

IKS merangkumi 23 indikator kualitatif dan kuantatif yang diperolehi menerusi sumber-sumber berwibawa. Ia juga menggabungkan faktor luaran dan dalaman, termasuk perbandingan tahap perbelanjaan ketenteraan serta tahap penghormatan terhadap hak asasi manusia (NST).

Dalam konteks kajian akademik di bidang keselamatan, indeks ini adalah merangkumi aspek keselamatan tradisional dan keselamatan bukan tradisional, terutamanya keselamatan societal atau masyarakat, keselamatan insan, keselamatan politik dan keselamatan ekonomi yang jadi prominen sejak era pasca-Perang Dingin.

Dalam konteks kajian yang sama, indeks ini juga membawa maksud bahawa antara aspek keselamatan yang dijadikan indikatornya termasuklah kebebasan bersuara, berakhbar dan berpersatuan seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (rujuk posting kuda-kepang, Ahad, 3 Julai 2011 untuk menhgalusi hakikat ini).

Lantaran itu, jika pada hari wujud pihak-pihak tertentu di Malaysia--- terutama sekali pembangkang, NGO dan portal berita pro-pembangkang---yang berusaha untuk memaparkan imej Malaysia di arena antarabangsa dan serantau sebagai negara yang menindas dan zalim, usaha itu adalah negatif dan berniat songsang.

Usaha seperti ini juga adalah propaganda siasah yang bermatlamat menumbangkan pemerintah Malaysia menerusi cara tidak demokratik dan berasaskan kehendak serta citarasa luaran yang mahukan satu pertukaran rejim supaya pemimpin rejim yang baru di Malaysia kelak boleh dijadikan boneka kuasa-kuasa asing tertentu (rujuk kuda-kepang, Sabtu, 9 Julai 2011).

Maka, persoalannya di sini, mengapakah propaganda tajaan asing ini menerima sokongan segelintir rakyat Malaysia, dan mengapakah majoriti rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian hanya berdiam diri dan menjadi pemerhati?

Seterusnya, bukankah jadi sebahagian tugas rakyat untuk memastikan bahawa elemen dalaman yang melaksanakan propaganda ini perlu dibanteras secara habis-habisan menerusi cara yang berhemah, bijaksana dan demokratilk?

Kesimpulannya, laporan IKS di atas wajar dijadikan sebahagian input utama untuk mematahkan propaganda jahat yang menyatakan kononnya mutakhir ini Malaysia adalah negara yang kucar-kacir dan hari-biru.

Saturday, July 09, 2011

BERSIH: ANALISIS AWAL PASCA-DEMONSTRASI

Ruhanie Ahmad


Pengenalan

Tindakan mana-mana individu atau pertubuhan menuntut perjalanan pilihan raya yang mereka sifatkan sebagai lebih demokratik adalah tidak salah (rujuk Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan). Janji awal mereka untuk mencapai matlamatnya secara aman juga adalah selaras dengan undang-undang negara.

Tetapi, apabila pencapaian matlamat mereka dilakukan menerusi provokasi terhadap undang-undang, pasukan keselamatan, ketenteraman awam dan kelangsungan negara, maka tindakan menghalalkan cara ini adalah tidak wajar sama sekali (rujuk Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 29(2) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948).

Pada waktu yang sama, apabila individu atau pertubuhan terbabit yang pada awalnya menafikan penglibatan politik parti-parti tertentu, tetapi pada saat-saat akhir terbukti bahawa penglibatan itu adalah benar dan sahih, maka tuntutan individu atau pertubuhan tersebut tidak boleh dikatakan sebagai tanpa campur tangan politik, sebaliknya satu tindakan yang cukup politikal.

Lebih serius lagi, jika tuntutan individu atau pertubuhan terbabit dipercayai dibiayai oleh sesetengah organisasi asing yang berkait rapat dengan dasar campur tangan sesebuah negara tertentu di dalam urusan dalaman negara lain, maka tuntutan individu atau pertubuhan berkenaan adalah foreign-motivated yang matlamatnya adalah tidak positif.

Bersih dan Pakatan Rakyat

Berasaskan pengenalan di atas, cuba kita kaji tuntutan dan tindakan Bersih mutakhir ini. Di peringkat awal, pertubuhan berkenaan menafikan penglibatan politik Pakatan Rakyat. Tetapi, hari ini pengerusi pertubuhan itu mengadakan sidang medianya dengan di apit oleh Penasihat PKR dan juga DAP, dua parti utama dalam Pakatan Rakyat (rujuk http://mesintaipburuk.blogspot.com/
9 Julai 2011). Tidakkah ini bermakna bahawa pertubuhan itu sebenarnya dijadikan perkakas oleh kedua-dua parti politik berkenaan?

Begitu juga dengan penglibatan sebilangan besar pemimpin PAS dalam demonstrasi itu hari ini (rujuk Harakahdaily 9 Julai 2011). Tidakkah ini jelas membuktikan bahawa pertubuhan tersebut turut mendapat dukungan kuat daripada PAS, satu lagi keluarga Pakatan Rakyat.

Menurut laporan akhbar dan blog, dalam demonstrasi hari ini dijeritkan perkataan yang mencerminkan bahawa tindakan itu adalah sama seperti demonstrasi reformasi pada tahun 1998 yang dilaksanakan untuk mencerca dan menumbangkan kerajaan BN (rujuk http://mesintaipburuk.blogspot.com/ 9 Julai 2011).

Jika ini benar, adakah demonstrasi hari ini mengenai tuntutan supaya diadakan proses pilihan raya yang lebih bersih ikut ukuran pertubuhan berkenaan, ataupun satu demonstrasi politik yang dirancang supaya menimbulkan kesan di Malaysia seperti apa yang terjadi di Asia Barat mutakhir ini?

Jika ini benar, tidakkah boleh dianggap bahawa tuntutan mengenai pilihan raya itu hanya satu alasan untuk menganjurkan demonstrasi yang matlamat tersirat, rencam, dan utamanya, adalah untuk menimbulkan chaos, keadaan tindak menentu dan sekali gus menjejaskan kestabilan negara?

Memprovokasi Polis

Dalam demonstrasi hari ini terdapat segolongan pesertanya, termasuk pemimpin utama PAS, yang ditahan oleh pihak pasukan keselamatan. Tindakan seperti ini sudah pastinya terjadi sebab yang terbabit melanggar undang-undang dan mencanggahi perintah mahkamah (rujuk Malaysiakini 8 Julai 2011 jam 12.27 tengahari).

Tetapi, apabila PAS pula mengeluarkan kata-dua (lebih tepat jika disifatkan sebagai ugutan) mengatakan bahawa mereka yang ditahan perlu dibebaskan dalam tempoh 24 jam, jika tidak beratus ribu akan berdemonstrasi di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur (rujuk Harakahdaily 9 Julai 2011 4.50 petang), tidakkah ini bermakna bahawa matlamat tersurat organisasi penganjur demonstrasi itu sudah menjadi sekunder, sementara matlamat rencam dan tersirat parti-parti politik yang turut mendukungnya pula kini menjadi prima?

Dalam konteks yang sama, tidakkah ini bermakna bahawa demonstrasi yang secara tersuratnya dikatakan akan dilakukan secara aman, sebenarnya dilakukan untuk memenuhi selera parti-parti politik tertentu untuk menmbangkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) mutakhir secara jalanan?

Jika tidak, mengapakah sesetengah kalangan dalam pertubuhan itu dipercayai telah menyebarkan maklumat palsu yang memburuk-burukkan pasukan polis? (rujuk Bernama 9 Julai 2011 10.13 pagi dan Utusan Malaysia 9 Julai 2011 8.50 malam). Jika tidak, mengapakah segolongan pendemonstrasi sengaja merempoh kawalan polis?

Lantas, adakah tidak tepat jika diandaikan bahawa demonstrasi hari ini adalah bukan untuk menuntut perjalanan pilihan raya yang lebih demokratik, tetapi sengaja diadakan untuk menduga kesabaran polis, untuk mencerca kerajaan dan seterusnya untuk mendapatkan liputan media antarabangsa (rujuk Malaysiakita 9 Julai jam 5.33 petang) bagi menggambarkan kononnya Malaysia tidak demokratik?

Penglibatan Asing

Seterusnya, adalah tidak mustahil jika dikatakan bahawa demonstrasi pada hari ini adalah suatu tindakan yang dikendali dan dinasihati oleh segolongan tangan ghaib tertentu. Oleh sebab itulah dilaporkan beberapa hari lalu bahawa penganjur utama demonstrasi berkenaan telah menerima dana asing (rujuk Utusan Malaysia 3 Julai 2011).

Perkembangan seperti ini tidak boleh dikatakan sebagai tidak benar. Pada tahun 1998, seorang Naib Presiden sebuah negara tertentu terbukti telah menggunakan Sidang Kemuncak APEC di Kuala Lumpur untuk memberikan pujian dan galakan kepada pendemonstrasi reformasi pada ketika itu yang bermatlamat menumbangkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad secara jalanan (rujuk laporan BBC 18 November 1998 dan The New York Times 17 November 1998).

Perkembangan seperti ini juga tidak mustahil apabila selama ini diwar-warkan secara meluas bahawa segelintir individu yang terlibat dalam demonstrasi hari ini, sebenarnya mempunyai hubungan dan rangkaian dengan kelompok tertentu di peringkat internasional yang berniat serong terhadap Malaysia.

Perkembangan seperti ini juga tidak mustahil apabila di kalangan individu yang terlibat di sebalik demonstrasi hari ini adalah seorang Raja Muda politik yang mahu ditabalkan ke persada kekuasaan Malaysia untuk memudahkan apa jua strategi agung pihak yang sentiasa berselindung di sebalik tabir.

Kesimpulan

Tuntutan Bersih supaya pilihan raya umum dilaksanakan lebih demokratik (ikut ukuran Bersih) adalah tidak salah. Tetapi cara Bersih mencapai matlamat itu menerusi provokasi yang menjejaskan ketenteraman awam adalah tindakan yang tidak mengambilkira kepentingan nasional.

Matlamat asal dan awal demonstrasi Bersih pada hari ini---mendesak kerajaan merobah proses pilihan raya supaya dikatakan lebih demokratik---kini sudah menjadi matlamat sekunder. Matlamat prima demonstrasi Bersih pada hari ini tidak silap jika disifatkan sebagai usaha untuk mencetuskan kacau-bilau supaya wujud rantaian reaksi seperti di Asia Barat yang akhirnya menyebabkan beberapa kerajaan tumbang akibat gerakan jalanan.

PENDALANGAN ASING BERTERUSAN?

Ruhanie Ahmad

Sebuah adikuasa (superpower) tertentu memang sentiasa campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara yang kurang disenanginya, sama ada kerana pemerintahnya kurang mesra dengannya, ataupun kerana ia mahukan seorang pemimpin baru yang boleh mengikut telunjuknya bagaikan lembu cocok hidung.

Malaysia pernah dan mungkin akan terus mengalami percaturan oleh adikuasa berkenaan, terutama sekali sejak krisis politik 1997. Senjatanya yang paling berkesan adalah mengapi-apikan segolongan NGO tertentu supaya memperjuangkan demokrasi liberal yang total menerusi apa jua kekurangan yang wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan serta lain-lain undang-undang, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Pilihan Raya.

Lantas, adakah apa yang sedang berlaku di Malaysia pada hari ini adalah satu daripada percaturan terbaru oleh adikuasa berkenaan? Kenyataan demi kenyataan mengenainya, antaranya seperti yang ditegaskan oleh Chandra Muzaffar baru-baru ini, mungkin memanifestasikan bahawa percaturan berkenaan di Malaysia pada ketika ini, adalah benar.

Bagaimanapun, tanpa sebarang niat untuk mengembangkan kerangka teori konspirasi, atau menyemaikan prasangka buruk, adalah wajar jika kita baca sendiri beberapa buku yang menghuraikan tindak-tanduk adikuasa berkenaan sejak dulu hingga mutakhir ini.

Antara buku-buku tersebut adalah seperti berikut:

Audrey R. Kahin and George McT. Kahin, 1995, Subversion as foreign policy: the secret Eisenhower and Dulles debacles in Indonesia; William Blum, 2000, Rouge state: a guide to the world’s only superpower; Noam Chomsky, 2000, Rouge states: the rule of force in world affairs; Chalmers Johnson, 2002, Blowback; Scott Ritter, 2002, War on Iraq: what team Bush doesn’t want you to know; Vernon Coleman, 2003, Rouge nation: why America is the most dangerous state on earth; Noam Chomsky, 2003, Hegemony or survival: America’s quest for global dominance; Eric Alterman, 2004, When the president lie: a history of official deception and its consequences; Peter Lance, 2004, 911 Commission cover up: what the government is still hiding about the war on terror; Jeremy Brecher, Jill Cutler and Brendan Smith, 2005, In the name of democracy: American war crimes in Iraq and beyond; dan Stephen Grey, 2006, Ghost plane: the true story of the CIA torture program.

Setelah membacanya, mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar serta membuat kesimpulan sendiri mengenainya. Sesudah itu kita juga boleh membuat keputusan secara bijaksana terhadap segala kemungkinan siasah di Malaysia di hari-hari mendatang.

Sunday, July 03, 2011

HAK DAN KEBEBASAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, DEKLARASI HAK ASASI MANUSIA SEJAGAT DAN PIAGAM PBB

Oleh Ruhanie Ahmad


Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat jelata Malaysia untuk bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman dan tanpa senjata, serta membentuk persatuan.

Ini membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik---bukannya penindas rakyat ataupun penyekat kepada hak-hak dan kebebasan mereka.

Bagaimanapun, seluruh hak dan kekebasan ini pastinya mempunyai had dan sekatan yang berpaksikan kepada soal ketenteraman awam dan keselamatan nasional.

Had dan batasan ini diwujudkan selaras dengan sensitiviti, persekitaran serta komposisi rakyat Malaysia yang berbilang latarbelakang. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan pertembungan, perbalahan, pertelingkahan dan konflik di kalangan rakyat di negara yang majmuk.

Had dan batasan kebebasan ini juga selaras dengan beberapa peruntukan di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948.

Contohnya, Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat.

Tetapi, Perkara 29(2) deklarasi yang sama pula memaktubkan bahawa dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan-sekatan ini adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Perkara 29(3) deklarasi berkenaan pula menegaskan bahawa seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB.

Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan.

Perkara 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan bahawa tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam deklarasi.

Huraian di atas membuktikan bahawa kebebasan yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan.

Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum. Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan sengaja menyembunyikan fakta-fakta ini supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan mereka---termasuk kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berhimpun secara aman---adalah kebebasan yang hakiki dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian di atas juga membuktikan bahawa nilai-nilai teras yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Kesimpulannya, hak dan kebebasan setiap insan manusia, walau di mana mereka berada, waimah di Malaysia, adalah terhad dan terbatas. Had dan batasan ini pula bukan disebabkan pihak yang mengenakan sekatan adalah tidak demokratrik.

Sebaliknya kerana pihak yang mengenakan sekatan adalah bertanggungjawab untuk memelihara serta mempertahankan ketenteraman awam, keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara.

Friday, June 10, 2011

MAT SABU TUNJUK BELANG?

Kuda-kepang mengalu-alukan kemunculan blog Shafie Nor di http://shafienor.blogspot.com. Haji Shafie Nor, seorang sahabat lama, adalah wartawan veteran yang berkhidmat di era Tun Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau adalah antara wartawan Malaysia di Berita Harian yang menyaksikan tragedi 13 Mei 1969 dengan mata kepalanya sendiri. Beliau juga rapat dengan Datuk Harun Idris, mantan Menteri Besar Selangor.

Jawatan beliau terakhir sekali adalah Ketua Editor Suara Merdeka terbitan UMNO Malaysia. Kini beliau sudah bersara dan menetap di Kuala Lumpur.

Saya sempat menimba pengalaman bersama beliau sewaktu berkhidmat dengan the New Straits Times mulai 1972-1982.

Posting sulung beliau pada 8 Jun 2011 menyatakan: MAT SABU TUNJUK BELANG. Kata beliau, nampaknya Timbalan Presiden Pas yang baru, Mohamad Sabu, mula tunjuk belang. Selang beberapa jam sahaja sah menang jawatan, dia ajak rakyat turut serta dalam perhimpunan gerakan bersih kedua yang dirancang pada 9 Julai depan.

Untuk mengikuti posting selanjutnya, harap akses:
http://shafienor.blogspot.com/2011/06/mat-sabu-tunjuk-belang.html#comment-form



Thursday, May 26, 2011

TIGA BERITA YANG PASTINYA MENYEMARAKKAN EMOSI




Ruhanie Ahmad




Di bawah ini saya paparkan tiga berita daripada Utusan Malaysia online supaya para pembaca dapat merasakan sendiri paradoks perasaan rakyat mengenainya. Paparan ini saya lakukan sebab mutakhir ini nampaknya hanya orang Melayu dan Bumiputra sahaja yang sentiasa diminta dan digesa supaya bersabar, beretika dan bersusila dalam reaksi mereka terhadap apa jua kenyataan dan tindakan yang disifatkan sebagai pencerobohan sosio-ekonomi, politik dan budaya, terutama sekali yang membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

ISU LIBATKAN KAUM: JANGAN TERBAWA-BAWA DENGAN EMOSI

KUALA LUMPUR 25 Mei – Mana-mana pihak yang ingin mengutarakan sesuatu isu berbangkit melibatkan sesebuah kaum, diingatkan untuk tidak terbawa-bawa dengan emosi sebaliknya mengamalkan sifat kesederhanaan. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang pendekatan dalam memperjuangkan sesuatu isu perlu mengambil kira sensitiviti pelbagai masyarakat majmuk di negara ini.

Menurutnya, budaya berkonfrontasi seperti yang diamalkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan Melayu hingga mengancam kaum lain adalah sesuatu yang tidak wajar malah tidak diperlukan.

"Dalam landskap masyarakat majmuk Malaysia, kita kenalah lakukannya dalam satu kerangka yang boleh membawa kepada kestabilan, keamanan selain menjaga hubungan antara kaum.

"Yang penting, kita perlu pastikan bahawa cara kita berhujah mengenai sesuatu isu wajar dilakukan secara intelektual, rasional dan tidak membuatkan kaum-kaum lain di negara ini berasa tidak selesa,” katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, semalam.—Bernama

KES SIMBAH CAT, GANTUNG KHINZIR DI HADAPAN GERAI DISIASAT

NIBONG TEBAL 25 Mei – Polis Pulau Pinang sedang menyiasat kejadian sebuah gerai cendol berdekatan Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang disimbah cat merah dengan kepala khinzir digantung di hadapan gerai berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejadian itu dipercayai berlaku awal hari ini dan disedari sekumpulan jemaah yang baru pulang selepas solat Subuh di masjid pada pukul 7 pagi. – Bernama

PRU: KENYATAAN DAP PERLIHAT PEMBANGKANG TIDAK YAKIN

IPOH 25 Mei – Pandangan DAP supaya semua negeri yang dikuasai pakatan DAP-PKR-Pas tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini menunjukkan parti berkenaan tidak yakin boleh mengekalkan kuasa di negeri berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, DAP sepatutnya menjadi sebuah parti politik yang bertanggungjawab seperti yang dilakukan oleh Pas yang mentadbir Kelantan sejak 1990 sehingga kini, dan Terengganu antara 1998-2004.

"Sebelum ini tidak ada masalah pun, bila pilihan raya umum nak diadakan, pembangkang yang mentadbir Kelantan, Terengganu tidak pernah timbulkan pun isu ini, seperti juga di Sabah satu ketika dulu... mereka ikut sahaja apabila Perdana Menteri umum pembubaran Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju supaya empat negeri yang dikuasai pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-Pas iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini. – Bernama

Wednesday, May 25, 2011

MCA PERLU DIDISIPLINKAN?

Ruhanie Ahmad


Realiti politik nasional Malaysia kontemporari mendapati MCA adalah antara komponen BN yang sedang terperangkap dengan krisis keyakinan yang serius. Sokongan pengundi Cina kepada parti ini dalam PRU12 adalah buktinya yang paling nyata.

Anehnya, sejak PRU12 pada 2008 hingga ke hari ini, MCA seolah-olah gagal mengatasi kemelut ini menerusi mekanisme dalaman yang berkesan.

Sebaliknya, MCA kelihatan seolah-olah cuba menggilap semula imejnya yang malap menerusi tindakan serta kenyataan yang boleh meretakkan kejituan BN seluruhnya.

Lebih spesifik lagi, sejak era pasca-PRU12, MCA nampaknya terus bertindak menerusi kenyataan yang sentiasa kontra kepada permuafakatan BN dan melukakan hati majoriti orang Melayu.

Terbaru sekali adalah kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek selaku Presiden MCA dan Datuk Dr. Wee Ka Siong selaku orang kuat parti yang kini menjadi Timbalan Menteri Pendidikan.

Dakwaan terbuka kedua-dua pemimpin MCA ini kononnya Kerajaan BN menyalahgunakan kuasanya dalam pengagihan biasiswa JPA adalah tidak produktif kepada permuafakatan BN, terutama sekali dalam suasana menjelang PRU13.

Tindakan kedua-dua individu ini adalah tidak beretika. Ianya menimbulkan pertanyaan berikut: apakah niat sebenar tindakan seperti ini, dan mengapakah MCA memilih tindakan sedemikian rupa?

Lantaran itu, kepimpinan tertinggi BN perlu bertindak tegas kepada kedua-dua individu ini. MCA perlu diingatkan bahawa tindakan seperti ini adalah kaunter-produktif kepada BN.

Lantas, MCA wajar didisiplinkan dengan serta merta. MCA juga wajar diberikan kata-dua yang tegas supaya seluruh kenyataan dan tindakannya yang menjejaskan permuafakatan BN diberhentikan dengan segera buat selama-lamanya.

Wednesday, May 11, 2011

UMNO DALAM KEDEWASAAN USIANYA




Ruhanie Ahmad


UMNO adalah parti yang memerdekakan negara pada 1957. Ini bermakna bahawa perjuangan UMNO adalah untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan kemerdekaan berdasarkan prinsip kasih dan sayang terhadap agama, bangsa dan tanah air.

Ini juga bermakna bahawa UMNO perlu memberikan keutamaan kepada Islam, bangsa Melayu dan Bumiputra serta kelangsungan negara.

Keutamaan ini wajar dititikberatkan walaupun sebagai tunggak pemerintahan negara yang majmuk, UMNO perlu bersikap adil kepada masyarakat lain yang keturunan mereka menjadi warganegara sewaktu negara dimerdekakan daripada penjajah British.

UMNO tidak akan terbabas dalam konteks perjuangan ini jika pemimpinnya di semua peringkat memahami maksud sebenar yang tersirat di sebalik kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam, Bahasa Melayu, bangsa Melayu dan Bumiputra.

Hari ini UMNO berusia 65 tahun. Inilah waktu terbaik untuk UMNO mengkaji semula kekuatan dan kelemahannya mutakhir ini.

Pertama, kajilah sama ada benar kini wujud kalangan veteran yang jauh hati dengan UMNO, dianggap berfikiran kuno dan disifatkan sebagai sudah ketinggalan zaman.

Kedua, kajilah sama ada benar bahawa kini wujud sekumpulan pemimpin muda yang lebih menentingkan diri daripada parti dan menganggotai UMNO semata-mata untuk mencari kemewahan peribadi.

Ketiga, kajilah sama ada benar bahawa kini ramai profesional Melayu dan Bumiputra yang gagal menganggotai UMNO disebabkan mereka dihalang oleh ketua-ketua cawangan dan bahagian yang takut kedudukannya digugat oleh golongan muda terpelajar ini.

Keempat, kajilah sama ada benar kini wujud dakwaan kononnya UMNO disifatkan tidak lagi relevan untuk mewakili bangsa Melayu dan Bumiputra kerana matlamat perjuangan parti ini dikatakan jauh menyimpang daipada matlamat asalnya.

Sebenarnya, banyak lagi yang perlu dikaji oleh UMNO. Tetapi, empat perkara pokok di atas perlu diutamakan jika UMNO mahu terus kuat, mantap dan berwibawa.

Friday, May 06, 2011

MELAYU JANGAN INGAT MEREKA SUDAH SELAMAT

Ruhanie Ahmad

Sewaktu hendak menyatupadukan Melayu pada tahun 1946, Dato Onn Jaffar berkata bahawa harapan beliau ialah: MAHU MELAYU BERSATUPADU BIAR JADI KUAT, SEBAB APABILA MELAYU KUAT, MEREKA AKAN SELAMAT.

Antara satu pesanan terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelum persaraannya ialah: MELAYU JANGAN FIKIR MEREKA SUDAH SELAMAT.

Saya tidak akan mentafsirkan kedua-dua kenyataan di atas sebab orang Melayu kini semuanya bijak pandai. Oleh itu, tafsirkanlah sendiri kenayataan-kenyataan di atas dalam konteks senario sosio-ekonomi dan politik Malaysia mutakhir dan tanya diri sendiri, ADAKAH MELAYU MEMANG SEBENAR-BENARNYA SELAMAT?

Selain itu, bacalah artikel dalam Utusan Malaysia yang berjodol: Jangan tunggu Melayu-Islam hancur, seperti berikut:

Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang kerana DAP tidak memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang wajar difikirkan kembali oleh pemimpin parti itu dengan sedalam-dalamnya.

Ia bukanlah perkara baru. Malah pemimpin Pas mengakui ia adalah sejarah. Tetapi sayangnya pemimpin Pas tidak memikirkan bahawa sejarahlah yang banyak memberikan pengajaran, kalau kita leka dengan perjuangan asal, kita akhirnya akan berada di landasan yang salah dan menunggu saat kehancurannya.

Ulasan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya mengenai penyatuan antara UMNO dan Pas adalah sesuatu yang amat jelas membawa maksud bagi membangunkan semula kekuatan Melayu dan Islam.

Untuk membaca artikel selanjutnya oleh Datuk Aziz Jamaluddin Mhd Tahir selaku Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ini silak akses:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm




Tuesday, May 03, 2011

GADDAFI DAN PERANG TEROR

Ruhanie Ahmad

Al-Qaeda dan Osama bin Laden adalah elemen utama yang mencetuskan perang teror di Afghanistan, seluruh Asia Tenggara dan Iraq mulai Oktober 2001, setelah tragedi 911 di Amerika Syarikat (AS).

Akibat tragedi 911 meletuslah peperangan jenis baru---peperangan antara global superpower dengan faceless non-state actor. Akibat perang teror, dunia pun meninggalkan era pasca-Perang Dingin dan memasuki era pasca-911. Dalam era pasca-911 AS menghalalkan tenteranya melancarkan serangan pre-emptif ke atas mana-mana negara yang disyakki memberikan bantuan, perlindungan atau berkonspirasi dengan pengoperator terorisme baru.

Kesemua ini terjadi disebabkan AS terlalu yakin bahawa Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden adalah organisasi yang meranapkan WTC di New York dan memusnahkan sebahagian Ibupejabat Pentagon di Washington DC pada 11 September 2001, dan sekaligus menghancur-leburkan ego AS sebagai superpower dunia di abad ke-21.

Anehnya, kesemua ini terjadi walaupun AS tidak melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap tragedi 911, dan walaupun tragedi 911 juga sentiasa dipertikaikan oleh segolongan rakyat AS, termasuk oleh golongan profsional di bidang kejuruteraan, pencegahan api, penerbangan dan perisikan.

Dalam konteks ini AS hanya mewujudkan 911 Commission selepas tiga tahun perang teror berlaku. Laporan 911 Commission ini juga dipertikaikan oleh banyak pihak di AS sehingga terdapat beberapa individu yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenai tragedi 911 kini hilang atau terbunuh secara mistri.

Berikutan tragedi 911, AS dan sekutu-sekutunya pun melancarkan peperangan ultra-moden di Afghanistan dan Iraq, dan satu Low Intensiti Conflict---operasi saraf---di Asia Tenggara, khususnya di Pulau Basilan, selatan Filipina.

Seluruh episod perang teror ini penuh misteri, keanehan dan paradoks. Osama bin Laden diburu di Afghanistan sehingga negara itu jadi padang jarak padang tekukur dan mengalami regime change. Tetapi, sesudah 10 tahun Afghanistan diperangi dan dijajah, Osama akhirnya di bunuh di Pakistan.

Iraq dituduh memiliki senjata pemusnah---WMD. Tetapi, setelah AS membelanjakan beratus juta dollar, WMD tidak ditemui, Presiden Saddam Hussein mati dibunuh di taligantung, Iraq pula terus dijajah hingga ke hari ini. Hans Blix daripada IAEA pun hairan mengenai perkara ini.

Aktiviti keganasan di Asia Tenggara banyak terjadi di Indonesia---bom di Bali dan bom di Jakarta. Jadi, adalah aneh bila AS mendeklarasikan seluruh Asia Tenggara sebagai lawang kedua perang teror.

Sesudah itu, AS hanya mengerahkan tenteranya berpangkalan di selatan Filipina kononnya untuk menghapuskan Kumpulan Abu Sayyaf (KAS), sedangkan Maria Ressa dalam bukunya mendapati bahawa pelbagai maklumat perisikan daripada AS dan Asia Tenggara mengatakan bahawa MILF adalah kumpulan yang seharusnya dibanteras di wilayah tersebut.

Oleh itu, adakah perang teror sebenar-benarnya satu peperangan untuk menghapuskan terorisme baru yang didakwa sebagai dilakukan oleh kelompok muslim militan? Mustahilkah perang teror sebenarnya hanya topeng kepada strategi besar AS di Asia---Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur?

Mustahilkah bahawa seluruh medan tempur perang teror di Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Tenggara sebenarnya merupakan strategic security transit points untuk menuju ke Iran dan juga China di hari muka, sebab Iran sangat digeruni oleh Israel dan China pula sangat dicemburui oleh AS.

Hujah dan persoalan ini relevan kepada peristiwa terbaru yang diumumkan oleh White House hari ini---iaitu berita mengenai Osama bin Laden yang dikatakan telah dibunuh oleh sepasukan elit tentera AS di Pakistan.

Tidak ada siapa mampu memastikan sama ada berita ini sahih atau sekadar propaganda strategik AS. Namun peristiwa ini menimbulkan beberapa persoalan berikut.

Pertama, adakah pembunuhan Osama bin Laden akan menamatkan perang teror anjuran AS di Afghanistan, seluruh Asia Tenggara dan juga Iraq?

Kedua, adakah peristiwa ini akan membolehkan AS mengundurkan seluruh bala tenteranya daripada Asia Tengah dan Asia Tenggara untuk membolehkan AS memulakan satu agenda militerisme barunya di Afrika Utara dengan Libya dan Gaddafi sebagai musuh utamanya?

Thursday, April 21, 2011

PASCA-PRU DUN SARAWAK: SUPP PERLUKAN KERUSI TIMBALAN KETUA MENTERI?

Ruhanie Ahmad

Corak undi masyarakat Cina Sarawak dalam PRU DUN ke-10 baru-baru ini jelas memihak kepada pemangkang.

Oleh sebab itulah SUPP yang mewakili kaum Cina dalam komponen BN Sarawak hanya memenangi dua kerusi sahaja.

Masyarakat Cina Sarawak juga turut mengorbankan Presiden SUPP, Tan Sri George Chan, yang sebelum ini menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Oleh sebab itu, dengan prestasi yang amat buruk, dengan corak pengundian yang jelas memihak kepada pembangkang, dan dengan hanya dua kerusi dimenangi oleh SUPP kali ini, adakah BN Sarawak masih mahu memperuntukkan satu kerusi Timbalan Ketua Menteri kepada SUPP?

Persoalan ini pastinya menghantui semua pihak dalam BN Sarawak dan BN Pusat. Biarpun demikian, jawapannya sudah jelas dan nyata, iaitu PRU DUN Sarawak baru-baru ini membuktikan bahawa majoriti pengundi Cina di Sarawak sudah tidak lagi memerlukan BN.

Maka, jika demikianlah hakikatnya, perlukah SUPP dengan hanya dua kerusi DUN diberikan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak?

Jika begitulah hakikatnya, adakah majoriti kumuniti Cina Sarawak akan terkilan, kecewa dan marah jika mereka tidak diberikan kerusi Timbalan Ketua Menteri?

Oleh kerana tindakan pengundi Cina Sarawak untuk memihak kepada pembangkangt adalah tegas dan jelas, tidakkah BN Sarawak dan BN Pusat juga perlu bertegas untuk tidak memberikan kerusi Timbalan Ketua Menteri Sarawak kepada SUPP kali ini?

Sunday, April 17, 2011

PRU DUN SARAWAK: SATU POST-MORTEM

Ruhanie Ahmad


Masyarakat Cina hanya memiliki dua kerusi sahaja dalam BN Sarawak menerusi PRU DUN berakhir semalam. Kedudukan ini adalah atas pilihan pengundi Cina di negeri berkenaan yang memberikan undi mereka kepada DAP sehingga parti itu memenangi 12 daripada 17 kerusi pembangkang.


Tindakan itu tidak salah, malahan demokratik. Oleh sebab itu, tidak ada siapa perlu kecoh dan bising jika BN Negeri dan Pusat bertegas mengenai pembahagian kerusi dalam Kabinet Sarawak kelak berasaskan jumlah kemenangan SUPP.


Ketegasan pengundi Cina untuk memilih pembangkang perlu disambut dengan ketegasan BN Negeri dan Pusat dalam layanannya kepada masyarakat Cina Sarawak. Segala-galanya perlu berasaskan status quo keputusan berkenaan.


Ini kerana corak pengundian masyarakat Cina di Sarawak semalam menunjukkan seolah-olah wujud satu permuafakatan sulit di kalangan mereka untuk sengaja mengenepikan perwakilan Cina dalam kerajaan, termasuk mengorbankan Presiden SUPP, Tan Sri George Chan.


Oleh sebab itu, BN Negeri perlu bertindak hanya berasaskan pilihan ini. Selain itu, BN Sarawak perlu memberikan penghargaan kepada rakyat Sarawak, majoritinya pribumi, yang masih mengekalkan kekuasaan BN menerusi PRU DUN semalam.


Layanan mesra kepada masyarakat Cina Sarawak dalam semua bidang perniagaan yang membabitkan Kerajaan Negeri juga perlu dikaji semula. Kemsesraan pula perlu diberikan kepada masyarakat Pribumi Sarawak yang selama ini mendakwa mereka jadi masyarakat kelas kedua.


Kewujudan parasit dan oportunis dalam semua bentuk yang sebelum ini didakwa oleh segolongan rakyat Sarawak sebagai keterlaluan dan berlebih-lebihan juga perlu segera dihapuskan supaya kredibiliti Kerajaan Sarawak meningkat, Pribumi Sarawak benar-benar rasa terbela.


Dengan cara ini, Kerajaan Sarawak dan Pribumi Sarawak pasti berjaya mewujudkan sinergi dan kerjasama dalam mengukukan kuasa BN Sarawak bagi menghadapi PRU13 kelak.


Perkembangan mengenai corak pengundian masyarakat Cina Sarawak juga perlu dijadikan sebahagian daripada asas kepada pembahagian kerusi antara parti-parti komponen BN dalam PRU13 kelak.


Dalam konteks ini, BN pusat perlu sensitif kepada sentimen pengundi Melayu dan Pribumi. Jangan ketepikan pandangan mereka jika BN mahu menempah kejayaan dalam PRU13. Undi masyarakat Cina yang volatile tidak payah dilayan secara berlebih-lebihan sehingga menyebabkan pengundi Melayu dan Pribumi berkecil hati dan merasakan mereka diketepikan seperti dalam PRU12.

Friday, April 15, 2011

JANGAN PERJUDIKAN DIRI - PM

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SOPI SAMAILE pengarang@utusan.com.my MIRI 14 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Sarawak supaya tidak memperjudikan diri dan masa depan mereka dengan memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri ke-10 Sabtu ini.


Tegas beliau, dengan cuma sehari sahaja tempoh berkempen esok, impian rakyat Sarawak untuk melihat negeri mereka terus dibangunkan oleh Barisan Nasional (BN) tidak harus dipersia-siakan dengan membuat pilihan bijak memberi semula mandat kepada kepimpinan negeri sedia ada.


"Saya berkeyakinan penuh BN akan membentuk semula kerajaan negeri Sabtu ini tetapi kita memerlukan sokongan yang padu pada hari pengundian nanti.


"Saya tidak kata BN sempurna tetapi kita akan cuba menjadi yang lebih baik serta memperbaiki kesilapan yang ada dengan dalam dua tahun ini sahaja negara telah menunjukkan peningkatan ekonomi.


"Tentang peralihan kepimpinan negeri (Sarawak), saya sendiri akan pastikan berlaku proses transisi itu. Justeru, jangan emosional dan jangan kerana 'nyamuk seekor, kelambu dibakar', ini (pilihan raya negeri) soal masa depan Sarawak yang lebih besar," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri lebih 5,000 orang di Jalan North Yu Seng di sini malam ini.


Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat Sarawak bahawa mereka berhak mengetahui segala temberang dan tipu daya pemimpin pembangkang dalam beberapa isu yang menimbulkan persoalan besar kebelakangan ini.


"Saya dimaklumkan dalam satu kejadian di Kapit dua malam lepas, Anwar Ibrahim ditanya oleh tuai rumah tentang jam tangan Omeganya. Tetapi dia terus meninggalkan majlis tanpa bersalam pun dengan para penghuni rumah panjang berkenaan.


"Kenapa dia begitu sensitif sekali? Siapa simpan jam tangan dia, dia kata isteri dia simpan, jam ini benda peribadi, takkan isteri yang simpan, isteri saya sendiri pun tak simpan jam tangan saya.


"Demikian juga dia kata dia 'twitt' (layan twitter jawab pertanyaan peminatnya), tapi antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam, tidak ada 'twitt' daripadanya. Ini semua timbulkan persoalan kepada kita dan kita berhak untuk tahu," katanya.


Najib juga membangkitkan isu DNA yang payah sangat hendak diberikan oleh Anwar dalam kes liwat yang sedang dibicarakan untuk direnung dan dinilai perlakuan penasihat PKR itu oleh hadirin.


"Kenapa nak 'bersilat' (enggan berikan DNA), kalau tidak bersalah, serahkanlah sahaja untuk diadili," katanya.

Thursday, April 14, 2011

PRU DUN SARAWAK: HAK DEMOKRASI DAN KEBIJAKSANAAN

Ruhanie Ahmad


Rakyat Sarawak akan menentukan parti yang akan memimpin kerajaan negerinya menerusi PRU DUN dalam tempoh dua hari lagi. Ada pihak meramalkan berlakunya tsunami. Ada yang mengatakan pengundi muda akan membuat upset terhadap Barisan Nasional (BN). Ramai juga berpendapat kalangan pengundi berumur akan terus bersama BN.


Sarawak mempunyai sejumlah 950000 pengundi berdaftar. Pengundi muda hanya hanya sekadar 33 peratus atau 310000 orang sahaja---140000 Bumiputra Sarawak, 100000 keturunan Cina, 70000 Melayu.


Dah Ikhwan Weblog (8 April 2011) yang menjalankan kajian sentimen kaum Melayu-Islam, Dayak dan Cina menerusi kaedah analisis regression berasaskan keputusan PRU DUN Sarawak 2006, pula mendapati “seramai 77 peratus dari jumlah pengundi Melayu dan Melanau telah mengundi BN, berbanding dengan 67 peratus pengundi Dayak dan 40 pengundi pengundi Cina.”


Kajian yang sama juga mendapati corak pengundian dalam dua pilihan raya kecil di Sarawak, “menunjukkan sentimen setiap kaum tidak banyak berganjak dalam kawasan kawasan pilihan raya ini berbanding suasana dalam tahun 2006 atau tahun 2008.”


Lantas, adakah corak dan sentimen pengundian dalam PRU DUN Sarawak 2006 ini akan kekal dalam PRU DUN Sarawak kali ini?


Dengan mengambilkira kedudukan parti-parti pembangkang Semenanjung-based---DAP, PAS dan Parti Keadilan---yang sudah tidak lagi sehaluan dengan SNAP sebagai parti pembangkang Sarawak-based, mampukah pihak pembangkang menggugat BN secara berwibawa?


Jika pengundi baru dikatakan mahu melakukan upset terhadap BN, mampukah mereka yang hanya merupakan 33 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sarawak melakukan gugatan tersebut?


Dan, jika pengundi Cina di Sarawak dikatakan akan meneruskan corak pengundian masyarakat Cina di Semenanjung dalam PRU 12, dalam PRU DUN Sarawak kali ini, tidakkah mereka insaf bahawa yang rugi besar adalah mereka, bukannya sahabat handai mereka di Semenanjung?


Oleh sebab itu, keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Taib Mahmud bahawa BN akan memperolehi dua per tiga majoriti dalam PRU DUN Sarawak kali ini adalah keyakinan yang berasas.


Oleh sebab itu juga, para pengundi Sarawak sewajarnalah memberikan keyakinan total kepada BN pimpinan Datuk Seri Najib yang sedang dalam proses mentransformasikan Malaysia ke arah kecemerlangan.


Namun segala-galanya terserah kepada kuasa demokrasi yang berada di tangan para pengundi Sarawak---baik yang berumur atau yang muda---sebab undi mereka adalah rahsia.


Maka, pengundi Sarawak perlu bijaksana: marahkan nyamuk jangan dibakar kelambunya; burung terbang jangan dipipiskan lada; jangan sampai berkerat rotan dan berpatah arang. Parti-parti pembangkang juga perlu menerima realiti: jika kail panjang sejengkal usah diduga laut yang dalam.


Kesimpulannya, pilihan raya bukannya pesta tinju dan bukannya pesta sabung ayam. Pilihan raya adalah proses di mana para pengundi diberikan hak demokrasi untuk menentukan kuasa, kerajaan, dan kesejahteraan serta masa depan bersama. Maka, gunakanlah kebijaksanaan masing-masing sewaktu melaksanakan hak demokrasi ini.

Monday, April 11, 2011

PILIHAN RAYA SARAWAK: SATU TSUNAMI POLITIK?

Ruhanie Ahmad


Hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak kali ke-10 atau PRU DUN Sarawak 10, hanya tinggal beberapa hari lagi. Maka, spekulasi mengenai keptusannya pun makin menjadi-jadi. Paling serius sekali, terdapat pihak meramalkan Sarawak akan dilanda tsunami politik menerusi PRU DUN kali ini.


Soalnya, adakah ramalan ini benar atau sekadar spekulasi liar dan penuh emosi? Jika benar, mampukah kepimpinan BN Sarawak dan BN Pusat membuat strategi terakhir bagi mencegah tsunami ini?


Dalam pada itu, banyak juga cakap-cakap mengatakan bahawa tsunami ini mungkin tidak akan berlaku sebab BN Pusat kini sedang berkempen secara serius dan menyeluruh. Kehadiran Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat serta Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk berkampung di Sarawak pada ketika ini adalah bukti kesungguhan BN untuk memenangkan parti berkenaan.


Kedudukan pakatan pembangkang yang sedang dilanda masalah juga menyebabkan spekulasi mengenai tsunami politik di Sarawak ini disifatkan sebagai mustahil akan berlaku. Namun BN tidak boleh bersikap sambil lewa atau over confident terhadap ramalan ini.


Media internet, terutamanya blog dan portal berita, nampaknya penuh dengan suara protes, kekecewaan dan kemarahan rakyat Sarawak terhadap BN. Sasaran utama mereka adalah soal kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud. Di internet penuh dengan luahan suara kemarahan warga maya Sarawak terhadap apa yang dikatakan sebagai karenah seorang ahli keluarga terdekat Tan Sri Taib yang didakwa sebagai terlalu menjadi-jadi.


Sukar untuk dipastikan impak dakwaan ini kepada PRU DUN Sarawak. Tetapi, persepsi umum di Sarawak yakin inilah antara punca kemarahan dan kekecewaan pengundi Sarawak terhadap BN kali ini.


Para pengundi Cina juga dikatakan marahkan pucuk kepimpinan SUPP yang juga didakwa sebagai sudah tidak sensitif terhadap masalah keturunan Cina di Sarawak. Dakwaan seperti ini pastinya kurang tepat sebab majoriti pengusaha dan pedagang besar di Sarawak adalah keturunan Cina yang selama ini mendapat pelbagai kemudahan untuk melaksanakan kegiatan ekonomi mereka. Oleh sebab itu, SUPP perlu dan wajar bekerja keras untuk memenangkan BN dalam PRU DUN Sarawak kali ini. Keturunan Cina akan turut kerugian jika Sarawak jatuh ke tangan pembangkang.


Para pengundi pribumi bukan Islam pula dikatakan memprotes menerusi pilihan raya kali ini disebabkan persepsi bahawa mereka yang merupakan rakyat majoriti Sarawak dikatakan ketinggalan dalam arus ekonomi.


Tetapi, adakah SNAP yang menjadi parti pembangkang di Sarawak yang kali ini tidak bergabung dalam Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan untuk menggerakkan undi pribumi bukan Islam Sarawak untuk menumbangkan BN?


Seluruh persoalan di atas perlu difikirkan dengan segera dan wajar dijadikan strategi memenangkan BN menerusi kempen saat akhir oleh pihak BN sebab kemenangan atau kekalahan BN di Sarawak kali ini membawa implikasi besar kepada BN Pusat yang dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum PRU13 pada tahun 2012.


Kemenangan BN Sarawak kali ini akan memberikan semangat yang tinggi kepada BN Pusat dalam PRU13. Kekalahan BN Sarawak pula akan melembabkan semangat BN Pusat. Inilah realitinya sebab BN Sarawak, sama seperti BN Sabah, BN Johor, BN Pahang dan BN Melaka, adalah penyumbang kerusi yang besar kepada BN Pusat di Parlimen Malaysia dalam PRU13.


Pengundi di Sarawak wajar memikirkan pertimbangan ini dengan semasak-masak dan sedalam-dalamnya sebab jika BN Sarawak kali ini kucar-kacir, peluang BN Pusat memperolehi kemenangan selesa di peringkat Parlimen menerusi PRU13 juga mungkin kucar-kacir. Lantas, soal emosi dan kemarahan dalam PRU DUN Sarawak kali ini perlu dirasional dan dipertimbangkan bersama-sama dengan soal kekuasaan negara di peringkat Parlimen.


Datuk Seri Najib perlu bertindak decisive dalam hal ini. Jika dua tiga hari lalu beliau menyakinkan pengundi Sarawak bahawa Tan Sri Taib akan mengundurkan diri selepas PRU DUN Sarawak, Datuk Sri Najib perlu memberikan satu tempoh yang lebih spesifik, mengenai tarikh Tan Sri Taib akan berundur.


Tan Sri Taib juga terpaksa memutuskan secara muktamad dan jelas akan tarikh peralihan kuasa di Sarawak. Tarikh muktamad ini perlu diumumkan sebelum hari pembuangan undi. Jika tidak, pengundi Sarawak akan terus dibelenggu teka-teki yang jawapanya masih belum pasti. Jika tidak, pengundi Sarawak akan terus marah dan kecewa dan kemarahan dan kecewaan ini mungkin menyebabkan tsunami politik di Sarawak menerusi PRU DUN kali ini.


Memang para pemimpin BN boleh merayu kepada pengundi Sarawak supaya bersikap rasional. Tetapi, soal ini tidak mungkin meredakan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap BN dan Tan Sri Taib. Maka, langkah paling wajar yang perlu dilaksanakan di saat-saat akhir ini adalah menetapkan tarikh peralihan kuasa di Sarawak.


BN Pusat terpaksa menyatakan bahawa ia akan bertanggungjawab melaksanakan proses peralihan kuasa ini tanpa sebarang dolak-dalik, dengan secepat mungkin dan dengan secara aman.


BN Pusat perlu bertindak menerusi kaedah ini sebab sebilangan pengundi Sarawak masih belum yakin bahawa Tan Sri Taib akan berundur selepas PRU DUN Sarawak ke-10. Mereka sinis terhadap pengumuman Tan Sri Taib sebab yang mereka pertikaikan adalah kredibiliti pengumuman tersebut.


BN Pusat perlu memberikan kredibiliti kepada persoalan peralihan kuasa ini menerusi pengumuman yang jelas, segera dan meluas, termasuk menerusi iklan di media, bahawa Tan Sri Taib akan berundur dengan segera selepas PRU DUN Sarawak.


Jika ini dapat dilakukan, kemungkinan nasi menjadi bubur dalam tsunami politik Sarawak kali ini mungkin berkurangan. Jika tidak, kemungkinan ini akan berterusan menjadi misteri sehingga peti undi dibuka, undinya dikira dan keputusannya diumumkan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Sunday, April 10, 2011

PRU DUN SARAWAK: SESAL DULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN APA GUNANYA?



Ruhanie Ahmad



PRU DUN Sarawak adalah untuk menentukan parti manakah yang akan membentuk kerajaan bagi mengurus serta mentadbirkan negeri tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang. Jika ini hakikatnya, adakah perlu status quo kuasa di Sarawak mutakhir ini dirobah menerusi PRU DUN yang sedang berlangsung sekarang?



Persoalan ini mungkin tidak bernada demokratik sebab sesuatu pilihan raya adalah manifestasi prinsip-prinsip demokrasi dalam politik. Tetapi, adakah perlu pengundi Sarawak membuat perubahan semata-mata atas nama demokrasi jika perubahan itu belum pasti menjanjikan kesejahteraan yang mereka nikmati sejak sekian lamanya.



Tetapi, jika pengundi Sarawak memang benar-benar mahukan perubahan, mereka mesti mendapatkan kepastian sama ada perubahan itu akan membawa manfaat atau mudarat. Oleh sebab itu, para pengundi Sarawak mesti bertanya kepada pihak pembangkang---PKR, PAS dan PKR---mampukah mereka mentadbir Sarawak sebaik BN mentadbirkan negeri tersebut selama ini?



Jangan dapatkan kepastian ini daripada ‘buku jingga’ yang menjadi manifesto pembangkang. Buku itu memang menjanjikan langit, bumi, matahari, bulan dan bintang. Tetapi, ianya tidak lebih daripada fantasi dan ilusi semata-mata.



Hakikatnya begitu sebab janji pilihan raya yang mereka taburkan di Malaysia Semenanjung hingga ke hari ini pun masih jauh dari kenyataannya. Ikut bahasa pasar, cakap tak serupa bikin. Ikut bahasa sebenarnya, janji itu hanya janji kosong!



Tetapi, jika pengundi Sarawak gagal mendapatkan kepastian daripada seluruh parti pembangkang berkenaan, pastinya pengundi di Sarawak juga sudah mengetahui rekod ketiga-tiga parti pembangkang ini.



DAP yang kini menguasai Pulau Pinang terbukti gagal membela nasib pribumi di negeri tersebut. Jika tidak, mana mungkin asyik terdapat kumpulan pribumi yang melakukan protes dan tunjuk perasaan terhadap DAP di negeri tersebut.



PAS yang menguasai Kelantan sejak berpuluh tahun lamanya, dan Kedah sejak PRU 2008, pun terkial-kial untuk membela kesejahteraan hidup rakyat di negeri-negeri tersebut. Ketika ini ramai anak Kelantan yang berduyun-duyun mencari rezeki di lain-lain negeri di bawah kekuasaan BN di Malaysia Semenanjung. Ini buktinya pemerintahan PAS gagal membela nasib rakyat negerinya sendiri.



PKR yang memerintah Selangor pun tidak putus-putus dengan krisis dan kisah kekucar-kaciran yang tanpa kesudahan. Akibatnya, sebilangan besar rakyat Selangor kini dalam keadaan memberonak untuk mencari kesaksamaan yang sebelum ini diperjuangkan oleh BN.



Memang kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud ada cacat dan celanya. Tetapi, kepimpinan yang sama juga sudah membuktikan kejayaannya merobah Sarawak daripada sebuah negeri yang mundur kepada sebuah negeri yang bermaya, maju dan ceria. Hakikat positif ini mesti diambilkira dalam membuat perkiraan sebelum membuang undi kelak.



Selain itu, bukankah Tan Sri Taib sudah berjanji akan melakukan peralihan kuasa sesudah PRU DUN Sarawak kali ini? Jika itulah janji beliau, tentulah peralihan kuasa itu akan dilaksanakan. Dengan itu, sekaligus seluruh keresahan rakyat pasti akan reda dan apa jua karenah pihak yang didakwa sebagai menaipulasikan Tan Sri Taib kebelakangan ini, pastinya akan turut berakhir.



Oleh sebab itu, seperti ditegaskan dalam posting sebelum ini, pengundi Sarawak perlu insaf bahawa sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kalau marahkan nyamuk, jangan bakar kelambu. Jika ada pedagang politik yang ketika ini datang ke Sarawak dan menjanjikan hujan emas, insaflah janji itu belum pasti menjadi realiti!!!

Wednesday, April 06, 2011

PRU DUN SARAWAK: ANALISIS AWAL



Ruhanie Ahmad



Terdapat beberapa perkembangan menarik dalam PRU DUN Sarawak kali ini. Kesemuanya seolah-olah membuktikan bahawa BN Sarawak kali ini tidak ditentang secara serius oleh pembangkang di bawah Pakatan Rakyat (PR). Ini membawa erti bahawa pakatan pembangkang dalam PR DUN Sarawak ke-10 tidak sehaluan dan bersatu padu seperti dalam PR DUN Sarawak ke-9.


Pertama, adalah mengenai Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang hanya ditandingi oleh dua pupunya selaku mantan Timbalan Menteri Pelajaran---Datuk Salleh Jafaruddin---yang menggunakan tiket calon Bebas “bagi mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Movement of Change Sarawak (MOCS).”


Penampilan Salleh sebagai calon Bebas membuktikan beliau tidak bekerjasama dengan PR. Tetapi, siapakah individu utama dalam MOCS? Pencalonan Suriati Abdullah, 50, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula seolah-olah membawa mesej bahawa PKR hanya meletakkan calonnya sekadar untuk memenuhi kuota sahaja sebab calon tersebutnya bukannya heavy weight PKR di Sarawak. Tidakkah ini bermakna PKR tidak serius untuk menentang Tan Sri Taib?


Kedua, adalah status SNAP sebagai pembangkang yang tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR). Ini membuktikan bahawa dalam pilihan raya kali ini, PR tidak lagi mempunyai legitimasi tempatan daripada Sarawak. Oleh sebab itu, tidakkah ini bererti bahawa PR berada dalam keadaan yang lemah?


Ketiga, adalah mengenai kerusi DUN Marudi yang “menyaksikan pertembungan empat penjuru” antara penyandangnya Sylvester Entrie ak Muran (BN-SPDP) dengan Gerang ak Dagom (PKR), Edwin Dundang ak Bugak (SNAP) serta Michael Ding Tuah (Bebas). Ini membuktikan bahawa SNAP dan PKR memang bergerak secara berasingan.


Mengambil kira seluruh hakikat di atas, adakah PRU DUN Sarawak ke-10 ini sukar dan berat untuk dimenangi dengan cemerlang oleh BN? Mungkinkah PRU DUN Sarawak kali ini akan menyaksikan prestasi PR---PKR campur DAP---yang kian tidak bermaya di Sarawak? Adakah perjuangan MOCS serius jika usahanya hanya dicerminkan menerusi seorang calon sahaja?


Bagaimanapun, kempen masih panjang. Pembuangan undi hanya dilakukan pada 16 April 2011. Dengan itu, perkembangan esok dan lusa masih tetap mendebarkan. Tetapi, oleh kerana Tan Sri Taib sudah pun mengumumkan niatnya untuk bersara selepas PRU DUN Sarawak ini, adakah pengundi di Sarawak masih mahu menentukan undi masing-masing kali ini berasaskan faktor Tan Sri Taib atau atas faktor kesinambungan survival Sarawak di bawah naungan BN? Fikir dulu pendapatan, fikir kemudian tiada gunanya! Begitulah kata bidalan Melayu. Pengundi Sarawak pastinya memahami erti kebijaksanaan silam ini….

Sunday, April 03, 2011

RASUAH SISTEMIK DAN JENAYAH RENTAS SEMPADAN JRS

Ruhanie Ahmad



Rasuah di Malaysia sudah sampai ke tahap sistemik. Hakikat ini dibuktikan oleh kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2 April 2011 bahawa wang yang “dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap dan lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara.”


Rasuah sistemik ini pula jelas melibatkan pengoperator Jenayah Rentas Sempadan (JRS). Hakikat ini dimanifestasikan menerusi kejayaan SPRM memberkas “62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain.”


Perkembangan ini pastinya memeranjatkan warga Malaysia. Tetapi, hakikatnya ialah, JRS dan rasuah sistemik adalah sentiasa kait-mengait. Lebih spesifik lagi, rasuah sistemik adalah satu daripada ciri-ciri utama kepada JRS.


Oleh sebab itulah rasuah sistemik dianalisis oleh beberapa sarjana antarabangsa sejak awal 1990-an, iaitu bersamaan dengan proses globalisasi serta ledakan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT. Hakikatnya demikian sebab JRS yang dulunya hanya beroperasi secara serantau, kini sudah bercorak global berikutan proses globalisasi dan ledakan ICT.


Oleh sebab itulah juga para sarjana kini mengkategorikan rasuah jenis ini sebagai ancaman keselamatan bukan tradisional yang boleh menggugat kesejahteraan serta keselamatan nasional sesebuah negara.


Rasuah sistemik adalah amalan lazim para pengoperator JRS untuk memudahkan operasi mereka secara serantau atau global. Rasuah ini majoritinya disasarkan kepada warga sektor awam---daripada penggubal undang-undang, penguatkuasa undang-undang dan pentadbir undang-undang. Amalan ini berleluasa di beberapa negara Amerika Latin.


Seterusnya, JRS pula bukan hanya membabitkan pemindahan wang secara haram. Hakikatnya, JRS melibatkan multi-bentuk jenayah yang merangkumi penyeludupan dadah, penyeludupan senjata---termasuk senjata pemusnah atau WMD---penyeludupan manusia, pemerdagangan manusia dan lain-lainnya. Lebih serius lagi, rasuah sistemik dan JRS kini mula bersinergi dengan kegiatan terorisme baru.


Oleh itu, semoga pihak SPRM akan memperluaskan skop operasi mereka bukan sahaja difokuskan kepada JKDM malahan lain-lain agensi penguatkuasaan undang-undang yang bersangkutan dengan darat, laut dan udara.


Cadangan ini dikemukakan sebab mutakhir ini terdapat desas-desus yang mendakwa bahawa JRS dan rasuah sistemik dikatakan sedang terlalu menjadi-jadi di beberapa pintu masuk maritim Malaysia---pelabuhan awam dan juga swasta---termasuk di pengkalan milik syarikat yang mengendalikan perdagangan tukar barang atau barter trade.


Lebih menggemparkan lagi, ada juga tuduhan mengatakan bahawa rasuah sistemik dan JRS di kawasan maritim Malaysia, kini dikatakan membabitkan kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia ke destinasi antarabangsa.


Pihak SPRM juga perlu memantau kegiatan rasuah sistemik dan JRS menerusi lapanganterbang. Ini disebabkan sesetengah pegawai penguatkuasa undang-undang Malaysia dipercayai sudah mempunyai rangkaian antarabangsa dalam konteks memudahkan orang asing tanpa dokumen terbang pulang dari Malaysia ke destinasi masing-masing.


Rasuah dalam konteks ini dikatakan cukup besar jumlahnya sebab wang berkenaan perlu dikongsikan dengan segolongan pegawai penguatkuasa di pintu masuk negara asing yang dalam rangkaian JRS di peringkat serantau atau global.


Kesimpulannya, rasuah sistemik dan JRS kini mengancam kesejahteraan dan keselamatan nasional Malaysia. Kedua-dua jenis jenayah ini akan terus bermaharajalela jika kerajaan tidak mensekuritassaikan kedua-duanya sebagai ancaman keselamatan negara.


Oleh sebab itu, sementara kerajaan perlu berbangga dengan kejayaan SPRM dalam konteks ini, kerajaan juga perlu segera menggubal atau meminda undang-undang sedia ada supaya JRS dan rasuah sistemik disekuritisasikan sebagai ancaman negara di mana hukumannya juga perlu setimpal dengan intensiti jenayaah berkenaan.

Wednesday, March 23, 2011

JUTAAN MAAF!!!

Rahim Thamby Chik akui terlibat dedah video seks
KUALA LUMPUR 23 Mac - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik hari ini berkata, beliau adalah antara tiga orang yang dikenali sebagai Datuk T yang terlibat mendedahkan video skandal seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Rahim dalam satu sidang akhbar di sini hari ini berkata, dua lagi individu itu adalah ahli perniagaan, Datuk Syazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Beliau turut meminta supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat ketulenan video itu.

Jelaskan, huruf T dipendekkan bagi perkataan Trio. – Utusan: 23.03.2011 5:42pm

Laporan di atas membuktikan posting blog ini awal pagi tadi meleset. Jutaan maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR, dan terima kasih kepada Hamba Allah yang menggunakan email grassroots yang menegur saya mengenai posting berkenaan.---Ruhanie Ahmad.