Wednesday, August 31, 2011

Pengerusi Yayasan Karyawan Dr Hassan Ahmad meninggal

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Pengerusi Yayasan Karyawan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad meninggal dunia pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya.

Anak keduanya, Hasmirawati, 33, berkata, bapanya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi tadi.

Dr Hassan, 74, meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, dekat sini, pagi esok sebelum Zohor. – Bernama

Ps: Terakhir sekali saya dan Allahyarham duduk semeja sewaktu majlis berbuka puasa anjuran PERKASA di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dua minggu lalu. Perjuangan beliau dalam bidang bahasa tidak ternilai tingginya. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan sentiasa dalam golongan orang solihin. Alfatihah!

Tuesday, August 30, 2011

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!!!!!!

Salam merdeka kepada seluruh warga Malaysia di mana jua anda berada dan marilah sama-sama kita perkukuhkan iltizam nasional kita untuk membentengi tanah air ini daripada apa jua elemen yang berusaha untuk memusnahkan kedaulatannya, kelangsungannya dan kesejahteraan serta keharmonian rakyat jelatanya.

Bagi mereka yang menyifatkan pihak yang melakukan keganasan, kezaliman dan kekejaman di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, sebagai wira negara, ikutilah catatan dan urutan tragedi ini yang ditulis oleh warga Malaysia dan warga asing seperti berikut:

http://askarjahat.fotopages.com/?entry=1085654


















Monday, August 29, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


MAAF ZAHIR DAN BATIN
buat ibunda
adik-beradik
sanak saudara
sahabat handai


Ruhanie Ahmad sekeluarga
Teluk Restu
Kuching
Sarawak

Saturday, August 27, 2011

PAS: Mat Sabu dan Mat Indera

Ruhanie Ahmad




Saya cukup kagum membaca kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang membela Mat Indera --- komunis Melayu --- kononnya sebagai wira negara.

Inilah buktinya beliau seorang yang buta sejarah. Oleh kerana beliau pemimpin nombor dua dalam PAS, inilah juga dalilnya bahawa PAS kini dipimpin oleh salah seorang yang buta sejarah.

Maka, saya silakan Mat Sabu datang ke kampung-kampung pendalaman di Muar dan Batu Pahat untuk menjalankan kajian bagi menyokong kenyataan ini.

Di Muar, saya cadangkan Mat Sabu menjelajah kampung-kampung di kawasan Parlimen Pagoh, Ledang dan Bakri. Di Batu Pahat, jelajahilah kawasan Parlimen Parit Sulong, Air Hitam, Seri Gading dan Batu Pahat.

Lebih spesifik lagi, kalau Mat Sabu ke Parlimen Parit Sulong, jelajahilah kampung-kampung di Dewan Undangan Negeri Seri Medan dan Semerah – Sejagong, Parit Warijo, Air Putih, Parit Sulong, Parit Maimon, Separap, Parit Sidek, Sungai Nibong Darat dan Lubok Darat.

Selaku bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, saya arif dengan kampung-kampung ini. Lebih-lebih lagi, saya dari Kampung Separap bersebelahan dengan Parit Maimon, kampung Panglima Salleh Selindang Merah yang memimpin sekumpulan pahlawan Melayu bagi menumpaskan kezaliman gerila Komunis Bintang Tiga pada tahun 1945.

Di Kampung Air Putih, temuilah Haji Sharif Peto. Pastinya beliau akan menghuraikan bagaimana seluruh penduduk Melayu di kampung itu melarikan diri dan meninggalkan kampung halaman mereka selama berpuluh-puluh tahun akibat serangan gerila PKM.

Lawatilah Kampung Sungai Nibong Darat. Di sana ada sebuah surau. Tanya penduduk sekitar, khusus Wak Sumito. Tanya kepada mereka apa jadi di surau berkenaan sewaktu gerila Bintang Tiga bermaharalela pada zaman itu.

Pastinya Wak Ito dan lain-lain warga emas di kawasan itu akan menyatakan bahawa di surau itulah gerombolan PKM berpesat arak dan menyembelih babi di zaman itu.

Datanglah ke Parit Maimon. Temuilah Haji Yusof Mohd Salleh --- anak Panglima Salleh. Beliau boleh temukan Mat Sabu dengan beberapa warga emas yang pernah menjadi Pahlawan Parang Panjang bersama-sama ayahandanya.

Temuilah orang tua-tua di Parit Sidek. Mat Sabu pasti akan mendengar kisah bagaimana gerila PKM merebus orang Melayu dalam kawah besar yang berisi minyak kelapa panas menggelegak.

Kalau sudi singgah ke Separap --- kampung saya sendiri --- temuilah Haji Samad Yunos. Pastinya beliau boleh tunjukkan kepada Mat Sabu kawasan serumpun buluh yang rimbun yang menjadi pusara kepada sekeluarga Melayu yang ditanam hidup-hidup oleh gerila PKM. Inilah tugu peringatan mangsa gerila PKM di kampung saya.

Haji Samad juga boleh bawa Mat Sabu melawat tapak bekas Rumah Pasong (balai polis) Kampung Separap di pinggir Sungai Simpang Kiri di mana Mat Indera pernah di lokap di balai itu buat beberapa hari supaya orang kampung melihat sendiri wajah komunis Melayu.

Kalau sudi lagi, jumpai ibu saya, Hajah Rukiah Haji Suleiman, 87 tahun, Tanya beliau tentang kisah keganasan gerila PKM. Pastinya ibu saya akan ceritakan bagaimana satu keluarga --- adik kepada ayahanda beliau – mati dibedil gerila PKM di depan mata keluarganya. Ibu saya juga pasti akan bercerita kisah berpuluh-puluh rumah di bakar sampaikan penduduknya jadi sehelai sepinggang.

Jika Mat Sabu masih belum yakin lagi, kunjungilah Perpustakaan Awam di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Di sama tersimpan dokumen dan data mengenai keganasan gerila PKM di daerah tersebut.

Jika beliau masih tidak puas hati, telefon saya, kerana dalam simpanan saya ada satu tesis sejarah mengenai kepengganasan gerila PKM di Batu Bahat tulisan seorang rakan sekolah saya di Muar --- anak Bukit Pasir Batu Pahat --- bernama Salmah Brix. Atau pun hubungi Hajah Zaharah Nawawi --- seorang penulis --- yang pernah menjalankan kajian untuk bukunya mengenai Panglima Salleh.

Saya mencabar Mat Sabu melakukan kajian ini kerana saya mahu buktikan kepadanya bahawa beliau adalah buta sejarah dalam konteks kenyataannya mengenai Mat Indera, sekali gus buta sejarah mengenai siapa yang perlu dikategorikan sebagai pejuang bangsa atau pengkhianat bangsa di Malaysia.

Thursday, August 11, 2011

The London riot and human dignity

Ruhanie Ahmad





What is happening in London today should be viewed seriously by all Malaysians, especially Datuk Seri Anwar Ibrahim and Ambiga the so-called human rights champions and all organizations linked to Bersih.

Ironically, Anwar and Ambiga are obviously seen to be very lip-tight over this incidence. Why? Isn’t the London riot a reflection of a peaceful protest that went out of control? Isn’t it also shows that a democratic action that went too far will definitely jeopardize the very fabric of democracy?

The British Prime Minster had already ordered the police to act accordingly and firmly. This means, in the name of British public order and national security, the police is being given a very tall order to disperse the rioting and looting.


Hence, it is interesting to know what the Amnesty International will comment about this. The same goes with the various human rights organizations. Are they going to abhor and condemn the police actions in Britain? Or, will they champion the rights of the blacks in the name of democracy, justice and human dignity?

The moral of the story here, therefore, is that Malaysians in the category of Anwar and Ambiga must not use western benchmark to fathom democracy in Malaysia. No doubts it is fully recognized that the Federal Constitution provides for personal liberty and freedom. But, there are specific conditions which limit liberty and freedom in the interest of public order and security.

So, it is everybody’s responsibility to uphold the Federal Constitution which is actually a doctrine of social order of the highest degree in Malaysia. As such, any endeavor for human dignity must be carried out through a dignified and democratic move because it is grossly inappropriate and totally dangerous to take democracy to the street….!

Wednesday, August 10, 2011

Duit raya dan warga emas tanpa pencen




Ruhanie Ahmad



Penduduk Malaysia mutakhir ini seramai 27 juta orang. Seramai enam peratus daripadanya adalah warga emas dalam linkungan usia 60 tahun ke atas. Mereka adalah daripada pelbagai kategori berikut:

Pesara perkhidmatan kerajaan dengan pencen bulanan.

• Bekas-bekas tentera perkhidmatan singkat dan tanpa pencen.

• Bekas pekerja swasta yang hanya menerima wang daripada KWSP sewaktu persaraannya.

• Kaum lelaki bekas petani, nelayan, penarik beca, pemandu teksi, peniaga kecil dan lain-lainnya yang tidak langsung mempunyai pencen.

• Kaum wanita selaku peniaga kecil atau yang sepanjang hayatnya hanya menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak mereka.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengummkan pemberian duit raya kepada pesara kerajaan baru-baru ini, hanya warga emas dalam kategori satu di atas sahaja yang gembira dan bersyukur kepada Allah di atas rezeki yang diperolehinya.

Tidak boleh dielakkan, warga emas dalam empat kategori di atas pula pasti berasa iri hati. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan menggigit jari.

Lantaran itu, semalan ada seorang sahabat menghubungi saya dan mencadangkan kerajaan memikirkan nasib empat golongan di atas. Katanya, hendak buat seribu daya; kalau tidak, sejuta dalih.

Katanya lagi, memang kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan konsep negara kebajikan sejak dulu hingga sekarang. Kita tak hairan jika pihak pembangkang pun terikut-ikut sama.

Tetapi, kata sahabat itu lagi, konsep kebajikan kerajaan BN ini hanya dijalankan sama ada secara adhok seperti pemberian bantuan kebajikan bila rumah rakyatnya terbakar atau rakyatnya ditimpa tragedi; dan secara makro seperti pemberian subsidi kepada harga minyak petrol dan diesel, minyak masak, gula dan sebagainya.

Tindakan ini baik. Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit mengenainya. Malangnya, ini agak kurang disedari atau being taken for granted sebagai tugas kerajaan terhadap rakyatnya. Lantaran itu penghargaan terhadapnya tidak menyeluruh.

Dengan itu, sahabat saya mencadangkan semoga kerajaan BN memikir dan melaksanakan dengan segera skim bantuan bulanan secara menyeluruh kepada kesemua warga emas di atas umur 60 tahun yang tidak menerima sebarang pencen kerajaan atau swasta.

Sahabat saya menamakan skim ini sebagai DANA PENGHARGAAN KERAJAAN KEPADA WARGA EMAS TANPA PENCEN. Cadangan ini menjentik sanubari saya. Ianya cukup elok. Jumlah warganegara Malaysia dalam empat kategori di atas pun kecil bilangannya.

Sahabat saya mengandaikan jika jumlah warga emas Malaysia dalam empat kategori di atas adalah 300,000 orang dan kerajaan BN mampu memberikan sebanyak RM100.00 setiap bulan, jumlahnya baru mencecah RM30 juta sebulan dan RM360 juta setahun.

Kepada saya jumlah ini besar. Sahabat saya membentak, jumlah ini kecil jika dibandingkan dengan wang untuk membiayai pusat-pusat pemulihan penagih dadah, PLKN dan lain-lainnya. Apa yang perlu dan penting, kerajaan BN wajar mempunyai iltizam politik untuk menubuhkan dana khas ini.

Menurut sahabat saya, dana ini akan memberikan faedah kepada seluruh warga emas tanpa pencen daripada semua kaum dan semua ideologi siasah. Jika BN laksanakan perkara ini, jasa BN akan dikenang sepanjang hayat.

Katanya, setiap pekerja bergaji pada hari ini diperlukan menyumbangkan sebanyak RM2.00 setiap bulan kepada tabung ini. GLC pun begitu juga. Jumlahnya biar berpatutan. Mereka dimestikan membuat caruman bulanan kepada dana ini.

Wang pekerja yang dicarumkan ke dalam KWSP dan SOCSO dan dilaburkan, keuntungan mereka perlu dipotong setiap bulan dengan kadar yang munasabah.

Saya kurang arif mengenai cadangan sahabat saya seperti di atas. Tetapi, saya yakin cerdik pandai di Kementerian Kewangan, Jabatan Perancangan Ekonomi (EPU) dan lain-lainnya pintar mentafsir gagasan ini. Saya juga yakin dana yang dicadangkan oleh sahabat saya ini akan menerima sokongan rakyat jelata Malaysia seluruhnya.

Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri…

Monday, August 01, 2011

Menjalani Ramadhan Dalam Kesederhanaan

Ruhanie Ahmad


Setiap kali tiba Ramadhan saya terkenangkan zaman silam di kampung pendalaman di Batu Pahat yang daif dan mundur di era penjajah.

Pada ketika itu, sekolah cuti sepanjang bulan Puasa dan dibuka semula selepas seminggu Hari Raya.

Di minggu pertama, kami sibuk menebang buluh betong untuk dijadikan meriam menggunakan kuasa karbait. Duit karbait kami himpun daripada jualan kelapa, kopi dan nenas.

Mulai minggu kedua, kami sibuk menjemur sabut kelapa untuk dijadikan pembakar kuih tradisional buatan ibu, termasuk kuih bangkit dan bahulu bagi hidangan di Hari Raya.

Pada minggu ketiga kami di bawa oleh ayah ke Bandar Penggaram untuk membeli sepasang kasut. Baju Melayu sudah disiapkan oleh ibu sepanjang bulan Muharam.

Pada minggu ini juga kami akan “memunjung” iaitu amalan keturunan Jawa untuk menghantar serba sedikit makanan dan kuih-muih kepada kelompok tertua di dalam keluarga kami.

Pada waktu yang sama, golongan yang muda dalam keluarga kami dan sudah berumahtangga pula akan “memunjung” keluarga kami.

Amalan ini adalah tradisi mengenang serta menghormati jasa kelompok tertua dalam keluarga sempena bulan Ramadhan dengan harapan mereka akan panjang umur dan sentiasa dalam peliharaan Allah SWT.

Pada dua hari terakhir bulan Puasa kami mula menghimpun daun kelapa muda dan daun pisang untuk dijadikan rangka ketupat, pembalut lepat dan juga kelongsong lontong.

Tetapi setiap petang Ramadhan kami akan menghantarkan serba sedikit juadah kepada jiran-jiran dan pada malam sepanjang bulan Puasa kami dimestikan bertarawih di surau berhampiran serta bertadarus sehingga khatam Quran.

Begitulah jadual kami selaku anak kampung di era penjajah. Kami melalui Ramadhan dan Syawal dalam kesederhanaan.

Dan, kesederhanaan inilah yang kami amalkan sehingga ke hari ini sebab Ramadhan, hari baik bulan baik, bukannya pesta makanan, tetapi tempoh waktu di mana kami semua meningkatkan ibadat kepada Allah SWT.

Selamat menjalani Ramadhan daripada kami sekeluarga… Kepada adik beradik serta sahabat handai yang mengirimkan sms sepanjang hari ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan, kami ucapkan jutaan terima kasih dan tataplah posting ini sebagai renungan bersama.