BENGKEL PENYUNTINGAN CERPEN KEPEZI-DBP
Sekali lagi saya menawarkan diri untuk menerima tunjuk-ajar dari Puan Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar dalam bengkel penyuntingan cerpen anjuran Kepezi-DBP pada 13 dan 14 Disember 2008 nanti. Saya berharap tidak terlepas peluang sementelah isteri saya 'due' pada 8 Disember 2008. Manalah tahu lewat 3 atau 4 hari tentu jadi kelam-kabut dibuatnya.
Cerpen syarat bengkel sedang saya ladeni. Cadangan judulnya 'Sigma Delta Chi'. Kisah seorang jurnalis yang setia berpegang kepada etika walaupun dicaci dan dimaki. Malah dianggap sebagai pembelot oleh bangsanya sendiri.
Sebenarnya idea menulis cerpen terlalu banyak selepas menghadiri bengkel penulisan cepen dan novel anjuran Kepezi-UKM awal November lalu. Idea itu seperti takungan air tasik yang bila-bila masa melimpah! Cuma kesibukan kerja menghadkan masa mengadap komputer. Inilah kebaikan apabila mendaftar penyertaan awal. Kita dihambat supaya bersiaga.