Wednesday, December 17, 2008

Bengkel Penulisan Cerpen Untuk Penulis Muda


Sebagai peserta bengkel saya terpaksa menyiapkan sebuah cerpen (Kerana Gerak Santanja Surya Nama Sakar) dalam keadaan kelam-kabut. Bagus juga rasanya tidak sempat dibedah. Boleh juga saya menyuntingnya sebelum diemelkan kepada Bonda Zaharah.

Terima kasih banyak kepada DBP kerana bengkel kali ini segalanya (makan dan penginapan) ditanggung. Lokasi bengkel iaitu Hotal Dynasty itu amat selesa sekali. Makanannya juga boleh tahan enaknya. Susunan acara bengkel juga padat. Kandungan bengkel juga amat menarik.

Terima kasih daun keladi DBP, tahun depan anjur lagi dan jemput kami!

Tuesday, November 11, 2008

BENGKEL PENYUNTINGAN CERPEN KEPEZI-DBP

Sekali lagi saya menawarkan diri untuk menerima tunjuk-ajar dari Puan Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar dalam bengkel penyuntingan cerpen anjuran Kepezi-DBP pada 13 dan 14 Disember 2008 nanti. Saya berharap tidak terlepas peluang sementelah isteri saya 'due' pada 8 Disember 2008. Manalah tahu lewat 3 atau 4 hari tentu jadi kelam-kabut dibuatnya.

Cerpen syarat bengkel sedang saya ladeni. Cadangan judulnya 'Sigma Delta Chi'. Kisah seorang jurnalis yang setia berpegang kepada etika walaupun dicaci dan dimaki. Malah dianggap sebagai pembelot oleh bangsanya sendiri.

Sebenarnya idea menulis cerpen terlalu banyak selepas menghadiri bengkel penulisan cepen dan novel anjuran Kepezi-UKM awal November lalu. Idea itu seperti takungan air tasik yang bila-bila masa melimpah! Cuma kesibukan kerja menghadkan masa mengadap komputer. Inilah kebaikan apabila mendaftar penyertaan awal. Kita dihambat supaya bersiaga.

Monday, November 3, 2008

OKT 506

CERPEN pertama menjadi syarat ke Bengkel Penulisan Cerpen-Novel anjuran Kepezi-UKM lumat diratah dan dikunyah oleh peserta bengkel, pemudahcara Puan Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar. Orang Kena Tuduh disaran ditukar menjadi OKT 506 (macam nombor pendaftaran kereta!) pula.

(Gambar peserta bengkel bersama pemudahcara)

Banyak sekali ilmu aku perolehi. Sekarang baru aku tahu apa itu cerpen. Apa patut ada dalam cerpen. Bagaimana mengedit cerpen.

Cemburu melihat teman yang telah berjaya berkarya dan diterima di media perdana. Cemburu sekali. Rasa-rasanya aku terlalu banyak idea yang boleh diangkat jua. Namun sebelum ini keyakinan tiada. Setelah menghadiri bengkel ini keyakinan muncul kembali. Group kol2004 amat menarik dan membantu.

Thursday, October 30, 2008

BENGKEL PENULISAN CERPEN & NOVEL KEPEZI-UKM

Keinginan membuak dan minat mendalam seakan air tasik yang tidak mampu dibendung dan mahu melimpah. Tidak mampu terbendung lagi. Ia menjadi satu bebanan yang tidak mampu kutanggung lagi. Akhirnya aku memberanikan diri menyertai bengkel penulisan cerpen dan novel Kepezi-UKM yang akan berlangsung pada 1 & 2 November 2008 di UKM nanti.

Sebuah cerpen berjudul Orang Kena Tuduh sudah melunaskan syarat awal penyertaan. Kepada ibu Zaharah Nawawi sudah kukatakan agar mamah dan ratahlah 'cerpen' itu agar akhirnya ia bisa dipanggil cerpen yang sejujurnya.

Sementelah novel pertama (harap bisa juga dipanggil novel!) sudah 60% siap kuladeni. Aku sarankan judul awalnya 'Istikharah'. Namun terpulang kepada penerbit (jika ada yang sudi) memutuskan yang terbaik. Kuharap setelah usai bengkel itu kelak 'Istikharah' akan kulumatkan lagi dengan saranan ibu Zaharah Nawawi.

Tuesday, June 3, 2008

BLOG HANYA SATU!


Aku tak tahu nak posting apa kat blog aku ni. Jadi aku saja letak karikatur yang diambil dari dalam buku Blog Blogger Blogging. Karikatur ni adalah hasil karya Jonos atau Nor Azlin Ngah dari Al-Ameen Serves Holdings Sdn. Bhd yang menerbitkan buku aku tu. Kalau nak lihat banyak lagi hasil karya Jonos anda boleh ke sini: Klik Di Sini


Monday, February 4, 2008

"MENGINTAI JEJAK USAHAWAN SIBER"

Burung Jentayu gagah di awan,
Batu gemala penghias mahkota;
Tepak sirih di atas puan,
Izinkan saya membuka bicara.


“Think about it. Think about it very seriously. You really are whatever you want to be, so don’t find excuses. Nothing not anyone can stop you if you really want to succeed in life in an honest way.”

Menerusi dua judul buku terdahulu, saya cuba menyalurkan pelbagai informasi berguna kepada bakal usahawan internet yang mencari panduan bagaimana memanfaatkan komputer dan internet khususnya bertujuan menghasilkan pulangan.

Menerusi buku-buku itu para pembaca boleh mendapat banyak idea bagaimana menggunakan komputer dan internet untuk memajukan perniagaan mereka.

Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber, memberi panduan bagaimana membina sebuah perniagaan di internet. Kehadiran buku itu di pasaran telah membuka mata dan minda masyarakat bahawa sebenarnya wujud satu peluang bagi semua orang, tidak kira apakah latar belakang mereka.

Mereka mampu memiliki sebuah perniagaan yang mudah dikendalikan, bermodal rendah dan menguntungkan. Kejayaan hanya boleh diraih andai mereka melakukannya dengan betul mengikut panduan yang diberikan.

Blog, Blogger, Blogging pula memfokus kepada satu lagi peluang dan ruang untuk usahawan-usahawan internet memanfaatkan teknologi maklumat menerusi blog. Membina blog bermakna membina komuniti. Membangunkan sebuah blog yang dirancang baik mampu menghasilkan pulangan dalam pelbagai bentuk kepada blogger.

Setelah melihat sambutan menggalakkan yang diterima daripada para pembaca ke atas kedua-dua buku tersebut, telah mendorong saya menghasilkan sebuah lagi buku yang kali ini khusus bertujuan memotivasikan pembaca supaya segera bangun membuka komputer masing-masing dan segera bertindak membina perniagaan internet mereka sendiri.


"Mengintai Jejak Jutawan Siber"

Hamid dari Kuala Terengganu, adalah salah seorang peserta kursus membina perniagaan internet yang saya kendalikan.

“Saya telah membeli dan membaca buku tuan, Klik Untuk Kaya 8 Rahsia Jutawan Siber, mampukah saya juga menjadi seorang jutawan?”

Peserta-peserta lain yang mendengar pertanyaan itu berderau tertawa. Lucukah?

Kemudian seorang peserta lain bangun dan bertanya satu lagi soalan.

“Saya telah membeli sebuah buku yang membongkar rahsia-rahsia jutawan internet, adakah perniagaan internet satu industri yang sangat hebat dan mampu melahirkan ramai jutawan?”

Saya bertanya kembali kepada semua peserta kursus.

“Masihkah kalian ingat program TV yang sangat popular satu ketika dahulu Who Wants To Be A Millionaire? Adakah peserta-peserta program yang berimpian tinggi ingin menjadi jutawan itu semua dijanjikan oleh penganjur pasti akan menjadi jutawan?”

Semua peserta akan diuji dengan soalan-soalan yang merangkumi pelbagai topik dari pengetahuan am, sejarah, sukan, geografi, hiburan dan sebagainya. Peserta yang menjawab soalan dengan tepat akan diberikan markah tetapi bagi peserta yang gagal memberikan jawaban yang betul mereka berpeluang diberikan talian hayat.

Mereka diberikan klu atau pembayang dan peluang sekali lagi untuk menjawab.

Mereka yang membina perniagaan dianggap beruntung jika mempunyai talian hayat. Namun lazimnya di dalam apa juga bidang perniagaan amat jarang sekali hendak menemukan talian hayat.

Sebaliknya anda boleh menemui berita-berita di akhbar ramai ahli-ahli perniagaan yang menghabiskan hayat mereka kerana mengalami kerugian. Ini bermakna setiap ahli perniagaan perlu menanggung risiko. Risikonya ialah sama ada perniagaan mereka untung atau rugi.

Senario yang sama juga berlaku di dalam dunia perniagaan internet. Perniagaan internet bukanlah skim cepat kaya. Perniagaan internet bukan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan jutaan ringgit seperti yang diharamkan oleh kerajaan baru-baru ini. Perniagaan internet sama seperti perniagaan lain di mana anda perlu menjual barang atau perkhidmatan. Cuma di sini anda menggunakan internet.

Mereka yang menceburi bidang perniagaan tidak pernah dijanjikan dengan kejayaan sehingga mencapai tahap jutawan. Mereka perlu bekerja keras untuk mencapai tahap jutawan. Mereka perlu melalui pelbagai proses yang mematangkan mereka menempuhi ranjau dan dugaan. Mereka perlu menghadapi persaingan.

Realiti dunia perniagaan tradisional hari ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Hanya mereka yang berjaya mengatasi halangan, kreatif dan berinovasi sahaja biasanya akan memperolehi kejayaan.

Anda pasti bersetuju dengan jawaban saya.

“Think about it. Think about it very seriously. You really are whatever you want to be, so don’t find excuses. Nothing not anyone can stop you if you really want to succeed in life in an honest way.”