Apr 3, 2009

BN Tidak Belajar Dari Kekalahan Pilihan Raya Kecil Lalu

AMIR HAKIM

: BARISAN NASIONAL HARUS BERKEMPEN SEBAGAI SEBUAH PARTI, BUKAN KERAJAAN:

1. Selepas dua pilihan raya kecil sejak Mac 2008, Barisan Nasional (BN) nampaknya masih belum belajar bagaimana hendak mencatur strategi pilihan raya kecil.

2. BN masih lemah dalam usaha mendekati pengundi, lemah menangkis serangan pembangkang, jentera penerangan yang kemarau idea bagi mengutarakan isu.

3. Kelemahan itu makin ketara lagi dengan para petugas yang datang dari negeri-negeri lain yang hadir bukan untuk membantu tetapi lebih sekadar berseronok dan bercuti, sambil mendapat sedikit duit kopi.

4. Masalah anggota BN adalah mereka berkempen sebagai sebuah kerajaan bukannya sebagai sebuah organisasi politik, sedangkan dalam pilihan raya yang bertanding adalah parti.

5. Oleh kerana bertanding sebagai sebuah kerajaan, maka berjanjilah BN untuk melakukan pelbagai bantuan dan projek.

6. Maka, sekarang kedengaran pelbagai bantuan diberikan di Bukit Selambau dan Bukti Gantang, dan pihak kerajaan pun mengumumkan pelbagai lagi projek.

7. Kekadang projek yang diumumkan itu adalah untuk seluruh negara dan bukan untuk penduduk yang sedang menghadapi pilihan raya itu.

8. Bagi pengundi di kawasan pilihan raya kecil itu, apa yang penting bagi mereka adalah masalah setempat segera diselesaikan. Usahlah bercakap tentang projek nasional mahupun internasional sedangkan masalah penduduk setempat pun tidak diambil peduli.

9. Hentikanlah menjaja projek dan bantuan segera. Fahamilah hati naluri rakyat setempat dan bertandinglah secara "gentleman" sebagai PARTI dengan PARTI dan bukannya antara KERAJAAN dengan PARTI POLITIK mana pun.

10. Usahlah sama sekali libatkan jentera-jentera Kerajaan ketika berkempen di mana-mana pilihan raya.