Musim Haji Tiba Lagi...
Syawal telah berlalu. Maka kini kita menunggu kedatangan kedatangan satu lagi bulan yang mulia iaitu Dzulhijjah. Bulan ibadah bagi tetamu Allah di Makkah al Mukarramah.
Di televisyen kini telah banyak rancangan yang menayangkan tentang ibadah haji dan seumpamanya. Malah di facebook juga telah ramai kawan-kawan yang memuatkan gambar mereka dan juga keluarga mereka yang diundang menjadi tetamu Allah. Suasan ini menggamit kenangan saya ketika dijemput sebagai tetamu Allah pada 2005 yang lalu.
Menjadi haji dalam usia muda adalah di luar jangkaan saya. Saya tidak menyangka bahawa saya dipilih untuk mengerjakan haji bersama kedua ibu bapa saya kerana pada ketika itu hanya ibu dan ayah saya sahaja yang terpilih. Tapi oleh kerana rezeki yang Allah berikan, maka saya bersyukur kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda. Perasaan bercampur baur antara gembira, risau, seronok, takut dan sebagainya. Namun saya telah dipesan oleh beberapa orang ustaz agar meluruskan niat dan berbaik sangka dengan Allah Taala bila berada di Tanah Suci kelak.
Penerbangan selama 9 jam ke Jeddah International Airport amat membosankan saya. Pada 3 jam yang terawal saya masih mampu untuk menghiburkan diri dengan membaca Quran, tilawah Quran dan menonton tv. Pada jam yang seterusnya telah timbul rasa resah gelisah "bila laa nak sampai ni?" dan punggung pun dah rasa lenguh kerana duduk terlalu lama. Tidak dapat saya bayangkan yang saya yang berusia 25 tahun pada ketika itu pun dah tak tahan nak duduk lama-lama apatah lagi orang tua yang berusia 80 tahun ke atas, tentu mereka lebih lagi terasa lenguhnya. Namun saya tidak berani mengeluh kerana menjaga hati dan pancaindera adalah amat penting kerana musafir pada ketika itu bukanlah musafir sembarangan sebaliknya musafir menghadap Tuhan Semesta Alam di rumahNya yang mulia. Kalau silap haribulan boleh kena denda 'on the spot'.
Kami tiba di airport Madinah pada waktu dinihari, kira-kira sejam sebelum azan Subuh dilaungkan. Suasana Madinah amatlah sejuk pada ketika itu, sampaikan saya menggeletar kesejukan. Mujurlah saya mengenakan pakaian tebal dan baju sejuk yang dipinjamkan oleh sahabat baik saya Anan. Baju sejuk itu saya pakai sepanjang musim haji kecuali ketika berada dalam keadaan ihram.
Suasana di Madinah amat tenang dan teratur sekali. Sembahyang di masjid Nabawi, berziarah ke maqam nabi Muhammad dan sahabatnya, melawat tempat bersejarah di sekitar Madinah seperti Medan Uhud, Masjid Quba dan lain-lain sangatlah menyeronokkan. Ini kerana setiap tempat mengandungi nilai memori dan sejarahnya sendiri di kalangan umat Islam. Malah ketika melihat perkuburan syuhada di Medan Uhud saya terasa insaf atas pengorbanan yang mereka lakukan demi untuk Islam.
Seterusnya apabila tiba masa untuk ke Makkah, kami mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan untuk ke sana. Kami singgah untuk bermiqat di Bir Ali dan solat sunat di masjid berkenaan. Seterusnya kami bertalbiah ramai-ramai dalam bas menuju ke Makkah.
Makkah, umrah haji, wukuf di Arafah, mabit dan melontar di Mina, balik Makkah dan seterusnya menunggu untuk pulang. Banyak pengalaman semasa melaksanakan ibadah-ibadah berkenaan. Malah sempat juga berkawan dengan seorang kawan yang berbangsa Afghanistan dan seorang lagi dari Indonesia semasa menunggu masuk waktu Maghrib di Amsjidil Haram. Masing-masing bekerja sebagai doktor di Afghanistan dan pekerja pelantar minyak di Indonesia.
Kalau nak cerita semua tentang pengalaman mengerjakan haji memang tak larat. Cukuplah jika saya katakan, kalau dah sekali menjejak kaki di Tanah Suci, pasti hati akan terpanggil untuk datang kembali.
Wallahu 'alam