Showing posts with label Info susu ibu. Show all posts
Showing posts with label Info susu ibu. Show all posts

Tuesday, 31 July 2012

Penyusuan Susu Ibu di Bulan Ramadhan

Bersama pakar laktasi HUSM, Dr Zaharah Sulaiman yang bersiaran dari Australia, 
berkongsikan berkaitan tips penyusuan susu Ibu semasa Ramadhan

Monday, 23 July 2012

Meningkatkan Susu ibu


Persiapan penting untuk pastikan susu mencukupi & berkualiti

  • Persediaan semenjak awal kehamilan dengan makan makanan berkhasiat & supplemen yang diperlukan
  • Menjaga payudara
  • - tuam sekali sehari dgn tuala suam, urut dari luar ke arah puting untuk elak kilang susu tersumbat
  • - bersihkan puting dari daki 
  • Ketika lahir  bayi sepatutnya diletakkan terus ke payudara secepat mungkin untuk meransang susu
  • Menjaga pemakanan ketika menyusu, pengambilan kalsium & sumber vitamin yang lain




Proses Pengeluaran Susu Ibu


[Sumber: MyHEALTH http://www.myhealth.gov.my]

Teknik Penyusuan Susu Ibu

[Sumber: MyHEALTH http://www.myhealth.gov.my]

Penyusuan Susu Ibu Boleh diteruskan Walaupun Anda Telah Kembali Bekerja

[Sumber: MyHEALTH http://www.myhealth.gov.my]

Tuesday, 28 February 2012

Susui bayi seawal mungkin


TIDAK dapat dinafikan segala perancangan penyusuan bayi harus bermula dari peringkat awal iaitu semasa mengandung yang mana si ibu perlu melengkapkan dirinya bukan saja dengan pemakanan seimbang tetapi juga melengkapi emosi diri.

Namun, ramai juga ibu yang sering tertanya-tanya kaedah untuk menghasilkan susu yang banyak supaya tidak perlu dicampur dengan susu formula.
“Pemakanan seimbang yang tinggi kalsium seharusnya diteruskan ketika menyusukan bayi untuk memenuhi keperluan zat dan tumbesaran bayi. 

“Malah, si ibu terbabit perlu menyambung pengambilan vitamin prenatal dan minum air yang mencukupi untuk menampung kedua-dua ibu dan anak,” kata Pakar Kanak-Kanak, KPJ Seremban, Dr Wan Maziah Wan Mohamed.


Selain itu katanya, si ibu juga memerlukan waktu rehat yang mencukupi dan perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang. Ia mungkin tidak begitu mudah jika si ibu berkenaan perlu juga menjaga anak yang lain oleh itu, sokongan keluarga sangat penting.


Kadangkala si ibu juga perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain justeru, mereka seharusnya merujuk kepada doktor untuk memastikan ia selamat digunakan sewaktu proses penyusuan (laktasi).

“Menyusu bayi seawal mungkin (sebaik-baiknya dalam jam pertama selepas bersalin) akan membantu pengeluaran susu lebih cepat dan banyak. 

“Ini disebabkan setiap kali bayi menyusu, ibunya akan dirangsang dan pengeluaran hormon prolaktin dan oxytocin akan membantu menambah susu,” katanya.

Oleh itu katanya, lebih kerap bayi menyusu pada peringkat awal, lebih cepat terhasil pengeluaran susu yang mencukupi. 

Namun, jika bayi diberi susu formula untuk menampung keperluan bayi pada minggu pertamanya, rangsangan kepada si ibu menjadi kurang dan pengeluaran susu ibu juga akan tergendala. 

Malah, manfaat susu ibu untuk memberi perlindungan kepada usus bayi berkenaan juga akan terjejas kerana koloni bakteria baik akan berkurangan.

Di samping itu, Dr Wan Maziah berkata, pemberhentian susu ibu lebih awal ataupun tidak menyusu ibu dikaitkan dengan risiko lebih tinggi untuk si ibu menghidap penyakit kemurungan selepas bersalin (postpartum).

Kemurungan postpartum ialah ketidakseimbangan kimia yang secara amnya berlaku antara dua hingga lima minggu selepas seseorang wanita melahirkan anak.

Tekanan perasaan tahap kedua ini dikategorikan sebagai sederhana, juga dikenali sebagai kemurungan dan biasanya dialami sekitar 10 hingga 15 peratus wanita bersalin. 

Masalah kemurungan ini boleh berpanjangan jika tidak dirawat. Selalunya, ia menyerang dalam tempoh pantang atau enam bulan pertama selepas bersalin. 

“Antara gejala kemurungan ini adalah rasa sedih berpanjangan, rendah diri dan berasa dia bukan ibu yang baik bagi anak dilahirkan, tidak boleh menumpukan perhatian, letih dan tertekan, kurang selera makan serta sukar tidur malam. 

“Namun, masalah ini boleh dirawat melalui perubatan dan terapi jika berjaya dikesan pada peringkat awal. Tetapi paling penting adalah sokongan keluarga terutama suami yang banyak membantu menangani gejala ini daripada berterusan,” katanya.

Baginya, menyusukan bayi dengan susu ibu adalah salah satu langkah bijak yang boleh diambil sepanjang proses tumbesaran anak.

Katanya, banyak kajian dilakukan sama ada menggunakan kaedah epidemiologi dan teknik makmal yang canggih menunjukkan terdapat banyak manfaat terhadap penggunaan susu ibu kepada anak jika ia diberikan sejak awal kelahirannya.

Antaranya merangkumi faedah kesihatan, imunologi, perkembangan dan tumbesaran anak, psikologi serta faktor sosio ekonomi namun begitu, masih ramai golongan ibu yang tidak menyusukan bayi mereka secara khusus.

“Keadaan ini mungkin disebab�kan masih ramai tidak mengetahui atau tidak begitu yakin dengan khasiat susu ibu ataupun disebabkan proses menyusukan anak memerlukan dedikasi dan disiplin yang tinggi daripada kedua-dua ibu bapa. 

“Ada golongan ibu yang melihat penyusuan susu ibu hanya dilakukan oleh orang kampung saja lantas mereka enggan meneruskan penyusuan apatah lagi adanya pelbagai faktor kekangan seperti kerjaya,” katanya.

Menurutnya, penyusuan ibu sebaik-baiknya secara eksklusif dilakukan selama enam bulan dan diteruskan hingga satu tahun untuk meraih sebanyak mungkin manfaat daripadanya. 

Apakah sebenarnya khasiat susu ibu? Kenapa ia dikenali sebagai makanan terbaik bagi bayi dan digunakan sebagai ‘standard emas’ untuk pembuatan susu formula?

Dr Wan Maziah berkata, susu ibu adalah satu produk ‘hidup’ yang mengandungi pelbagai antibodi, enzim dan hormon yang tidak mungkin mampu dihasilkan secara buatan. 

Malah, kandungan susu ibu berkenaan berbeza mengikut individu dan peringkat perkembangan mereka. Disebabkan itu, golongan ibu mengeluarkan susu paling sesuai untuk bayi mengikut kematangan bayi mereka dan kesan daripada penyusuan susu ibu ini akan kekal hingga dewasa.

“Kajian menunjukkan penurunan risiko penyakit akut otitis media, cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan yang teruk, dermatitis atopi, asma (kanak-kanak), obesiti, diabetes jenis 1 dan 2, leukemia, sindrom kematian mengejut bayi dan necrotising enterocolitis. 

“Malah, tidak dinafikan masih banyak lagi kajian sedang dilakukan untuk mengenal pasti kandungan lain susu ibu dan khasiatnya yang mampu mempengaruhi tumbesaran terbaik bagi bayi,” katanya.

Manfaat penyusuan ibu bukan hanya tertumpu kepada bayi kerana ia membentuk jalinan rapat antara si ibu dan bayi. 

Proses berkenaan juga berupaya mempercepatkan pengecutan rahim kepada normal selain boleh mengurangkan berlakunya diabetes jenis 2, osteoporosis, kanser payudara dan kanser ovari. 

“Malah, penyusuan ibu juga baik daripada segi sosio ekonomi kerana selain diperoleh secara percuma, ia juga menjimatkan kos rawatan hospital disebabkan anak lebih sihat.

“Anak yang sihat mempunyai minda lebih cerdas serta mampu menjadi insan lebih sempurna, berjaya dan menghasilkan generasi akan datang yang lebih cemerlang,” katanya.

Selepas ibu mula bekerja, disarankan supaya si ibu meneruskan penyusuan susu ibu dengan cara menyimpan perahan susu dalam peti sejuk beku dan digunakan bila perlu ketika waktu bekerja.

Selain itu, tekanan pekerjaan juga boleh mengurangkan pengeluaran susu, namun terdapat ubat yang boleh membantu menambahkan susu tetapi golongan ibu seharusnya mendapat nasihat daripada doktor sebelum mencubanya.

Pengambilan ubatan untuk menambah susu seperti ini harus digunakan sebagai langkah terakhir jika semua ikhtiar yang dilakukan tidak berhasil dan diingatkan, rangsangan terbaik masih daripada bayi yang menyusu badan.

“Terdapat juga keadaan tertentu seperti masalah kesihatan yang memaksa golongan ibu untuk memberi susu formula. Si ibu terbabit perlu memilih susu formula yang tidak membuatkan bayi sembelit atau cirit-birit serta tidak menimbulkan alahan.

“Jika keadaan ini berlaku maka si ibu tidak perlu bersedih kerana tidak mampu memberikan makanan terbaik (susu ibu) kepada bayi kerana bayi masih lagi mampu membesar sebaiknya jika cara dan langkah yang dilakukan mengikut aturan yang betul,” katanya.


Sumber : harian Metro

Thursday, 26 January 2012

Susu ibu ada nutrien amat kritikal


Kebaikan penyusuan badan untuk bayi:
● Susu ibu membekalkan nutrien terbaik untuk bayi kerana ia mengandungi nutrien dalam kadar mencukupi.
● Kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar.
● Susu ibu, terutamanya kolostrum, menguatkan sistem imuniti bayi. Ia melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit-birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
● Susu ibu mencegah pelbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
● Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak.
 Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
● Susu ibu mudah diperoleh pada suhu yang betul setiap masa oleh itu ia tidak susah disediakan.
● Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
● Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

Kebaikan penyusuan badan untuk ibu : 
● Membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
● Membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal dengan cepat.
● Mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
● Menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya.

Kebaikan lain: 
● Tidak memerlukan perbelanjaan dan bekalan susu sentiasa ada.
● Baik untuk persekitaran kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak.

Sumber: Info Sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia

Dari Harian Metro

Friday, 16 December 2011

Susu Ibu Sebatian Ajaib

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Aku-lah tempat kembalimu." (Surah Luqman, ayat 14)

Air susu ibu ialah satu sebatian tiada tandingan yang diciptakan oleh Allah demi memenuhi keperluan nutrisi bayi dan melindunginya daripada sebarang jangkitan. Keseimbangan makanan berkhasiat dalam air susu ibu adalah pada kadar yang tepat dan bersesuaian dengan tubuh bayi yang belum matang.
Pada masa yang sama, air susu ibu juga kaya dengan nutrien yang mempercepat pertumbuhan sel-sel otak dan perkembangan sistem saraf. Makanan buatan untuk bayi yang disediakan dengan bantuan teknologi masa kini tidak dapat menggantikan makanan ajaib ini.

Memantapkan Sistem Imunisasi
Senarai manfaat air susu ibu kepada bayi bertambah setiap hari. Kajian menunjukkan bahawa bayi-bayi yang diberi minum air susu ibu terlindung daripada penyakit berkaitan sistem pernafasan dan penghadaman. Ini kerana antibodi-antibodi yang terdapat di dalam air susu ibu menyediakan satu perlindungan langsung daripada jangkitan. Sifat anti-infeksi lain air susu ibu adalah menyediakan satu persekitaran sesuai untuk bakteria "bermanfaat" yang dipanggil sebagai "flora normal" sekaligus menangkis serangan bakteria, virus dan parasit berbahaya. Tambahan pula, didapati bahawa terdapat beberapa unsur di dalam air susu ibu yang mengawal sistem imunisasi terhadap penyakit berjangkit dan membolehkannya berfungsi dengan lebih teratur.

Kaya Dengan Nutrisi
Oleh kerana air susu ibu telah direka secara khusus, ia merupakan makanan yang paling mudah dihadam oleh bayi. Selain kaya dengan nutrisi, ia juga mudah dihadam oleh sistem penghadaman bayi yang sensitif. Memandangkan bayi menggunakan sedikit sahaja tenaga untuk mencerna air susu ibu, maka tenaga selebihnya dapat disalurkan untuk fungsi tubuh yang lain, pertumbuhan dan perkembangan organ.
Air susu ibu yang mempunyai bayi pra-matang mengandungi tahap zat lemak, protein, natrium, klorida dan besi yang lebih tinggi untuk menampung keperluan bayi. Ianya telah dibuktikan bahawa fungsi mata bayi pra-matang yang diberi minum air susu ibu adalah lebih baik dan lebih cemerlang dalam ujian kecerdasan. Tambahan pula, mereka turut memiliki banyak kelebihan lain.

Omega-3
Kandungan minyak omega-3 asid alfa linoleat menjadikan air susu ibu penting untuk perkembangan bayi. Selain menjadi sebatian penting untuk otak dan retina manusia, ia juga amat mustahak bagi bayi-bayi yang baru dilahirkan. Omega-3 secara khusus penting sepanjang masa kehamilan dan peringkat awal usia bayi demi perkembangan otak dan saraf yang normal. Ramai saintis menegaskan kepentingan air susu ibu terutamanya sebagai satu sumber omega-3 semulajadi dan sempurna.

Mengurangkan Risiko Sakit Jantung
Selain daripada itu, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis Universiti Bristol, United Kingdom mendapati bahawa antara kebaikan jangka panjang air susu ibu adalah kesan positifnya terhadap tekanan darah, yang mana ia dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Kumpulan penyelidik tersebut menyimpulkan bahawa sifat perlindungan yang terdapat di dalam air susu ibu disebabkan oleh kandungan nutrisinya. Menurut hasil kajiannya yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation, bayi yang diberi minum air susu ibu kurang berisiko menghidap penyakit jantung.

Kehadiran rantaian panjang asid lemak poli tidak tepu (polyunsaturated fatty acids) dalam air susu ibu (untuk mencegah pengerasan arteri) dan hakikat bahawa bayi yang diberi minum air susu ibu menggunakan sedikit natrium (berkait rapat dengan tekanan darah) serta tidak mengalami pertambahan berat badan berlebihan merupakan antara cara air susu ibu memberi manfaat kepada jantung.

Sebagai tambahan, satu pasukan diketuai oleh Dr. Lisa Martin, dari Pusat Perubatan Hospital Kanak-kanak Cincinnati di Amerika, telah menemui kadar kandungan hormon protein (adiponectin) yang tinggi dalam air susu ibu.

Kandungan adiponectin yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan kurangnya risiko serangan jantung. Tahap adiponectin yang rendah ditemui pada orang yang mengalami kegemukan dan berisiko tinggi mengalami serangan penyakit jantung. Maka disepakati bahawa bayi yang diberi air susu ibu mempunyai risiko kegemukan yang rendah dengan kehadiran hormon ini.

Tambahan pula, mereka juga menemui sejenis hormon yang dipanggil sebagai leptin dalam air susu ibu yang mempunyai peranan utama dalam metabolisme lemak. Leptin dipercayai berfungsi menyampaikan isyarat kepada otak bahawa terdapat lemak pada tubuh. Berdasarkan pendedahan Dr. Martin, hormon-hormon yang diserap semasa peringkat bayi melalui air susu ibu dapat menurunkan risiko pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes tahap dua dan daya tahan insulin, serta penyakit jantung koronari.


Fakta tentang "Makanan Tersegar"
Fakta-fakta tentang air susu ibu tidak tamat di sini. Sumbangannya terhadap kesihatan bayi berkembang mengikut fasa pertumbuhan bayi dan kandungannya berubah demi memenuhi keperluan nutrisi bayi mengikut peringkat-peringkat tertentu. Unsur gula dan lemak dalam air susu ibu, yang sentiasa tersedia dan pada suhu yang sesuai, memainkan peranan penting dalam perkembangan otak. Tambahan pula, elemen lain seperti kalsium turut memberi sumbangan dalam perkembangan tulang-tulang bayi.

Meskipun dinamakan susu, namun sebahagian besar sebatian ajaib ini sebenarnya terdiri daripada air. Ini merupakan ciri terpenting kerana selain daripada makanan, bayi juga memerlukan cairan dalam bentuk air. Kebersihan sepenuhnya tidak mungkin didapati dalam air atau bahan makanan selain daripada air susu ibu. Namun air susu ibu yang merangkumi 90% air dan tidak kurang, memenuhi keperluan air bayi dalam cara yang paling bersih dan sihat.

Susu Ibu dan Kecerdasan
Kajian saintifik membuktikan bahawa pembangunan kognitif di kalangan bayi-bayi yang diberi air susu ibu adalah lebih hebat berbanding bayi lain. Satu analisis perbandingan berkaitan dengan bayi yang diberi air susu ibu dan bayi yang diberi susu formula oleh James W. Anderson—seorang pakar dari Universiti Kentucky—mendapati bahawa minda bayi yang diberi minum air susu ibu adalah lima kali lebih tinggi berbanding dengan bayi lain. Hasil daripada kajian ini, didapati bahawa kecerdasan diperoleh daripada air susu ibu sehingga enam bulan, dan bayi yang disusui kurang daripada lapan minggu tidak menunjukkan sebarang kesan dari segi kecerdasan minda.

Benarkah Air Susu Ibu Menentang Kanser?
Hasil daripada kesemua kajian yang dijalankan, terbukti bahawa air susu ibu, yang ratusan penulisan mengenainya telah diterbitkan, melindungi bayi daripada kanser. Hakikat ini telah diketahui meskipun mekanismenya belum difahami sepenuhnya. Sewaktu sebuah protein dari air susu ibu membunuh sel-sel tumor yang dibiakkan dalam makmal tanpa merosakkan sebarang sel sihat, para pengkaji menyatakan bahawa satu potensi yang hebat telah ditemui.

Catharina Svanborg, seorang profesor imunologi klinikal Universiti Lund di Sweden, ialah ketua kumpulan peneliti yang menemui rahsia ajaib air susu ibu ini. Pasukan tersebut menerangkan keupayaan air susu ibu dalam menyediakan perlindungan terhadap pelbagai bentuk kanser sebagai satu penemuan yang menakjubkan.

Pada mulanya, para peneliti mengkaji sel-sel lendir usus yang diambil daripada bayi-bayi yang bari dilahirkan dengan air susu ibu. Mereka mendapati bahawa penyakit pneumonia yang diakibatkan oleh bakteria Pneumococcus dapat dihentikan dengan berkesan oleh air susu ibu. Bahkan bayi yang diberi air susu ibu amat kurang mengalami masalah pendengaran berbanding bayi yang diberi minum susu formula dan risiko jangkitan penyakit pernafasan yang terlalu rendah.

Selepas beberapa siri penyelidikan, didapati bahawa air susu ibu juga memberi perlindungan terhadap kanser. Setelah menunjukkan bahawa kanser limfa di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula semasa fasa kanak-kanak berlaku sembilan kali ganda, mereka menyedari bahawa hasil yang sama juga berlaku untuk pelbagai jenis kanser yang lain.

Berdasarkan keputusan tersebut, air susu ibu berupaya mengenal pasti sel-sel kanser secara tepat lalu memusnahkannya. Zat bernama alpha-lac (alphalactalbumin) yang banyak di dalam air susu ibu menjejak dan membunuh sel-sel kanser. Alpha-lac dihasilkan oleh sejenis protein yang membantu pengeluaran gula laktosa dalam air susu ibu.

Rahmat Tiada Bandingan Ini adalah Satu Anugerah dari Allah
Satu lagi ciri menakjubkan air susu ibu adalah hakikat bahawa ia amat bermanfaat untuk diberi kepada bayi selama dua tahun terawal.

Maklumat penting yang hanya diketahui oleh sains baru-baru ini, telah dinyatakan oleh Allah 14 kurun yang lalu melalui ayat:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu; ..." (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Si ibu tidak merancang untuk menghasilkan air susu ibu, sumber khasiat terbaik untuk bayi tidak berdaya yang memerlukan makanan dalam kandungannya, serta tidak menentukan tahap pelbagai nutrisi di dalamnya. Allah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui keperluan setiap makhluk dan mengasihi mereka, Yang menciptakan air susu ibu untuk bayi di dalam tubuh si ibu.

- Artikel iluvislam.com