أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 14 Februari 2025
Khutbah Jumaat : Kekuatan Jihad DiBina Palestin Merdeka
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah:
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ﴿١٤٤﴾
Maksudnya : Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
Kini kita berada pada minggu pertama bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.
Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, sedekah, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Renungilah firman Allah dalam ayat 150 surah al-Baqarah:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)
Kita baru sahaja meninggal bulan Rejab yang mencatatkan peristiwa Isra’ Mikraj dan perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula nabi Muhamamd s.a.w sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Akibat dipasak dan ditanam dengan system penjajah begitu lama telah melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah yang mengagungkan segala system kuffar serta memandang hina system Islam.
2 peristiwa yang besar ini membuktikan bagaimana Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah ibarat 2 saudara yang tidak boleh dipisahkan. Jika terabai salah satunya, maka yang satu lagi juga turut akan terjejas.
David Ben-Gurion, Perdana Menteri pertama Israel pernah mengerahkan tentera Yahudi untuk mengepung Masjidil Aqsa sambil beliau menyampaikan ucapan kepada hadirin dalam penuh rasa kebencian (ke atas ummat Islam dan rakyat Palestin) serta mengakhiri teks ucapannya dengan mengatakan: “Kami dah pun menakluk Al Quds (Al-Aqsa) dan sekarang kami dalam perjalanan ke Yathrib(Madinah).”
Begitu juga Golda Meir Bekas Perdana Menteri keempat zionis Israel pernah berkata dengan bongkaknya selepas mereka berjaya merampas Al-Quds: “Aku dapat mencium bau nenek moyangku di (Madinah dan Hijaz) dan itu adalah negara kami yang kami bakal merampasnya kembali.”
Kenyataan biadap pemimpin zionis ini sepatutnya membangkitkan rasa perhambaan diri kita kepada Allah dan semangat berjihad dijalan Allah adalah satu jalan untuk membebaskan Masjidil Aqsa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
Kita sebagai umat beriman yang wajib mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama terutama di bumi Palestin di mana pembunuhan beramai-ramai zionis Yahudi dan sekutu penjahatnya sejak Oktober 2023 telah mengorbankan 47,583 nyawa dan mencederakan 111,633 orang sebagaimana laporan Kementerian Kesihatan
Akhirnya beberapa minggu lepas setelah semua pelbagai keganasan dan tndakan tidak bertamadun maka Zinois Yahudi menerima gencatan sejata dalam keadaan terus dibekalkan senjata oleh negara sekutunya, kerana desakan di dalam negaranya sendiri supaya boleh membebaskan tawanan perang mereka dengan pertukaran, tidak sama menerima kematian dan penawanan tenteranya. Akhirnya, Israel bertindak menerima gencatan senjata laksana menyerah diri kerana gagal menghapuskan pejuang Islam dan menguasai Gaza yang juga menghakiskan tentera dan semangatnya. Adapun pihak pejuang Islam dan sekutunya bertahan menerima gencatan senjata kerana prinsip Islam mendahulukan perdamaian, walaupun mencapai kejayaan menyerang dan bertahan, bukan menyerah kalah tanpa melawan. Malah tawanan perang mujahidin telah dibebaskan dalam keadaan sihat dan selamat sedangkan tawanan Islam dizalimi dan diseksa dengan dahsyatnya oleh musuh Allah. Keadaan yang berbeza ini telah membuka mata dunia tentang keadilan Islam sehingga ramai yang memeluk Islam
Mati syahid terus menjadi idaman para pejuang Islam. Tiada perasaan takut dalam memerdekakan bumi Aqsa yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 186 surah Ali ‘Imran:
لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٨٦﴾
Maksudnya : Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)
Kita mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencadangkan agar Amerika Syarikat mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin ke negara jiran. Cadangan ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah ia merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sesebuah negara, mencabuli undang-undang antarabangsa, dan menunjukkan kejahilan yang jelas terhadap realiti konflik di Palestin. Tindakan sedemikian jelas melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva, serta resolusi-resolusi antarabangsa yang menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. Cadangan ini juga mencerminkan sikap angkuh dan jahil terhadap penderitaan berjuta-juta rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas oleh rejim Zionis Israel.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajib mengambil pendirian yang tegas terhadap Amerika Syarikat dalam menolak sebarang tindakan yang mencabuli hak asasi rakyat Palestin dan menjejaskan kestabilan rantau tersebut.
Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan hak mereka untuk bebas dari kezaliman dan penjajahan.
Akibat dijangkiti virus yang merbahaya iaitu bimbang hilang kuasa dan kekayaan menyebabkan kebanyakan pemimpin umat Islam sendiri hanya memandang kecil tentang kebiadapan musuh Islam ini. Ketamakan Amerika ini bukan Sahaja untuk menjayakan perluasaan Israel Raya malah untuk membolot hasil mahsul Gaza di mana Penemuan baharu gas asli di Lembangan Levant berada dalam julat 122 trilion kaki padu manakala minyak yang boleh diperoleh semula dianggarkan sebanyak 1.7 bilion tong, menurut kajian yang bertajuk “Kos Ekonomi Pendudukan untuk Rakyat Palestin: Minyak Yang Tidak Disedari dan Potensi Gas Asli.”
Menurut kajian UNCTAD, rizab minyak dan gas asli itu mampu memberi keuntungan sehingga AS$524 bilion (RM2.45 trilion) kepada Palestin. Yakinlah kemenangan dan pertolongan daripada Allah dengan syarat kita memenuhi syarat kemenangan. Islamlah nescaya kita Berjaya dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)