أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 25 Oktober 2018
Islam DiLaksana Rahmat Allah DiRasa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 57-58 surah Yunus :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾ قُلْ بِفَضْلِ اللَّـهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ﴿٥٨﴾
Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".
Islam dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. pada akhir zaman adalah rahmat Allah kepada seluruh alam (manusia dan makhluk yang lain). Ia telah dibuktikan betapa hebat dan sempurnanya rahmat Allah yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Seluruh ajaran Islam adalah rahmat, merangkumi segala nikmat ruh dan jasad. Pelaksanaan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya mengikut kemampuan adalah rahmat jua. Bahkan menghukum mereka yang melakukan larangan juga adalah rahmat. Umat Nabi Muhammad S.A.W. merangkumi seluruh manusia sama ada penganut Islam dinamakan umat ijabah dan bukan Islam dinamakan umat dakwah. Para ulama mentafsirkan rahmat itu meliputi seluruh manusia dan alam yang lain termasuk mereka yang beriman, kafir, munafik, zalim dan fasiq dalam kehidupan dunia ini. Rahmat Allah terhadap yang kafir, munafik, zalim dan fasiq adalah diberi rezeki jasad dan akal kepada semua dalam kehidupan dunia. Rahmat Allah juga ditangguhkan bala bencana yang pernah memusnahkan semua umat yang terdahulu daripada ditimpa ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W. dengan sebab maksiat. Rahmat juga dibuka pintu taubat seluas-luasnya kepada mereka yang berdosa sama ada besar atau kecil. Rahmat Allah bukan sahaja dalam perkara nikmat kehidupan jasad dan akal, bahkan termasuk perkara rohani (dosa dan pahala) daripada semua perintah dan larangan Allah yang menjadi sempadan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.
Rahmat Allah juga dinyatakan dalam aspek pencegahan terhadap kemungkaran dan dosa, kerana semua yang diharamkan itu membawa mudharat. Pencegahannya melalui pelbagai pendekatan seperti nasihat, amaran dan hukuman terhadap pelakunya kerana rahmat Allah menyelamatkan orang yang baik dengan cegahan sehinggalah menghukum dengan sekeras-kerasnya. Selain itu, menyelamatkan orang yang jahat dan penjenayah dengan menghalang dan mendidik mereka melalui hukuman Qisas, Hudud dan Takzir, yang dikatakan sangat keras tetapi dengan syarat-syarat yang sukar dijatuhkan. Menunjukkan kehebatannya menakutkan dan mendidik. Rahmat Allah juga menggalakkan taubat dan kemaafan daripada dosa-dosa, hanya sedikit sahaja yang tidak boleh dimaafkan iaitu syirik kerana sangat besar mudharatnya yang menjadi punca segala kejahatan dan jenayah moral yang dihukum dengan Hudud yang menjadi hak Allah setelah dihukum di mahkamah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖتَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٢٩﴾
Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
Kebanyakan ahli tafsir, seperti Al-Qurtubi dan As-Syaukani, menjelaskan dengan menggunakan penafsiran Ibn ‘Abbas, mengatakan: sikap keras terhadap kuffar, umpama singa garang terhadap mangsa buruannya
Secara umum, imam As-Suyuthi, menjelaskan maksud bahawa orang Islam bersikap keras dan tegas terhadap siapa saja yang menyimpang dari agamanya, dan saling kasih-mengasihi di antara sesama Muslim.
Ketika menyoroti sirah nabi s.a.w maka kita dapati golongan musykirin Mekah cuba melakukan tawar menawar dengan Nabi s.a.w. Mereka cuba memujuk nabi untuk bertoleransi dengan mereka agar meninggalkan sedikit dakwah atau tidak terus mengajak kepada Islam dan mereka juga akan turut meninggalkan jahiliyyah sedikit. Malah mereka juga bersedia untuk mengikut ajaran nabi Muhammad tetapi golongan Muslimin juga perlu cuba untuk menyembah berhala mereka. Nabi s.a.w merupakan insan yang paling lembut akhlak di dalam mualamat pergaulan, paling mengambil berat terhadap saudara dan ahli keluarga baginda, dan paling mudah untuk dibawa bincang demi memudahkan sesuatu urusan. Tetapi apabila bercakap dalam bab aqidah dan prinsip agama, maka Islam adalah Islam. Tiada padanya toleransi dan ruang bicara untuk mencairkan prinsip agama ini. Dalam masa yang sama Islam melarang sama sekali kita memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 54 surah Al-Maidah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّـهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّـهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٥٤﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya
Ketika negara masih pening dengan isu Pesta Arak sehingga umat Islam yang bangun menentang dianggap sebagai penyekat kebebasan beragama sedangkan bila isu pekerja Islam yang enggan pegang botol arak di sebuah kedai 24 jam serta isu larangan pemakaian menutup aurat untuk pekerja Islam termasuk pramugari disamping campur tangan orang bukan Islam dalam menyekat kemahuan umat Islam untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tidak pula dikatakan menyekat kebebasan beragama. Sepatutnya masalah arak yang merupakan minuman haram dan terlarang dalam semua agama dihad penjualan bukannya dibuat pesta yang mengundang pelbagai masalah termasuk jenayah, kemalangan, penyakit kronik yang sepastinya bukan sahaja menghabiskan duit negara malah mengancam nyawa.
Minggu ini melalui seorang ahli parlimen menyuarakan agar Malaysia tunduk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu supaya mengikut Hak Asasi Manusia yang dikendalikan oleh UNCHR. Tuntutan COMANGO kembali bergema dalam menekan Kerajaan di mana antara tuntutan itu adalah :
[1] Menghalalkan Zina dengan suara agar dihapuskan kuasa Mahkamah Syariah lebih jelas kedengaran malah tunduk kepada slogan yahudi bahawa agama hanya urusan peribadi samada seseorang itu mahu beribadat atau buat maksiat maka tiada campurtangan orang lain apatah lagi pemerintah. Kita bimbang dengan laporan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mendedahkan bagaimana Kuala Lumpur kini berada di tempat ke-8 kota pelacuran dunia dengan iaitu lebih tinggi berbanding Thailand yang kini berada di tangga ke-10. Industri pelacuran di Malaysia kini bernilai lebih RM3.6 bilion. Satu angka yang memalukan bagi sebuah negara majoriti Islam dan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan.
[2] Pengiktirafan kepada budaya songsang LGBT di mana golongan ini semakin berani mengumumkan aktiviti yang rosak akhlak. Yang terbaru apabila cuba menjemput 2 pelakon filem LGBT dari Thailand untuk datang ke negara ini tetapi apabila dibantah oleh umat yang berakhlak maka ia dibatalkan. Kita harapkan ia dibatal terus bukannya ditukar ke tempat lain atas alasan duit tiket telah dijual
[3] Kebebasan Beragama dalam erti kata lain bebas untuk murtad dan halalkan semua ajarat sesat untuk disebarkan. Kita begitu bimbang apabila masalah anak muallaf kembali panas di mana jika pada bulan Januari lalu seorang bapa terpaksa menyerahkan anaknya kepada bekas isteri yang masih Hindu maka yang terbaru seorang ibu terpaksa menyerahkan anaknya kepada bekas suaminya yang bukan Islam. Kuasa mahkamah sivil lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah yang diwarisi daripada penjajah mesti dicarikan jalan penyelesaian dengan segera agar hak muallaf lebih terbela terutama dalam mempertahankan agama anak mereka.
Umat Islam wajib bangkit menentang sebarang cubaan dalam menghancur dan mengubur system Islam. Jangan kerana asyik bermimpi untuk melihat tol dihapuskan, harga minyak dan kos barang turun, pinjaman PTPTN dihapuskan menyebabkan kita membiarkan Islam dipijak. Kita sanggup bermandi darah daripada membiarkan Islam disanggah. Biar nyawa melayang asalkan kesucian Islam kita pertahankan. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ. مسند أحمد مخرجا
Maksudnya : “Demi sesungguhnya akan berlaku, di mana simpulan-simpulan yang mengikat ajaran Islam akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu simpulan dirungkai, menjadikan manusia (yang muslim) terpaksa berpegang dengan simpulan berikutnya yang masih ada. Pertama-pertama dirungkai ialah hukum hakam (Syariat) dan yang terakhirnya Solat (Sembahyang).”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Isnin, 8 Oktober 2018
Ibadat DiTingkat Maksiat DiSekat Negara Berkat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 78 surah an-Nisaa’ :
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَـٰذِهِ مِنْ عِندِ اللَّـهِ ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَـٰذِهِ مِنْ عِندِكَ ۚ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ ۖفَمَالِ هَـٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا ﴿٧٨﴾
Maksudnya : Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?
Kita sebagai umat yang beriman kepada hari akhirat sepastinya meyakini bahawa kita adalah calon jenazah yang sedang menunggu saat kematian. Kita telah menyaksikan kematian orang lain sekeliling kita. Ada yang mati setelah terlantar beberapa hari di hospital, ada yang mati dengan terjatuh dari bangunan yang tinggi, ada yang mati kerana lemas di dalam air, ada yang mati secara tiba-tiba, tanpa disangka-sangka dan banyak pula yang mati akibat terlibat dengan nahas kemalangan jalan raya dan bermacam-macam lagi jenis kematian yang dapat disaksikan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui nasib seseorang di akhir hayatnya. Sebab itulah, bagi kita orang yang beriman kepada Allah, hendaklah sentiasa berdoa agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah dan dijauhkan daripada dimatikan dalam su’ul khatimah.
2 hari lepas negara dikejutkan dengan kematian 6 anggota Bomba ketika usaha menyelamatkan mangsa lemas berakhir dengan mereka sendiri terkorban mati lemas yang menginsafkan kita semua. Ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa termasuk 2 dari Kelantan dan kita doakan agar dianugerahkan syahid akhirat
قال النبي : الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ - رواه البخاري
Maksudnya: Orang yang mati syahid 5 golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura:
وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠﴾
Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Peringatan demi peringatan disampaikan Allah buat manusia menerusi pelbagai kejadian di bumi sepatutnya membuatkan manusia kembali memperkukuhkan keperibadian diri dengan pengisian takwa dan iman. Banyak fenomena dahsyat yang sudah dan sedang berlaku di muka bumi ini seharusnya mendidik manusia memahami dunia ini tidak akan kekal buat selamanya. Selama ini kita mungkin ghairah mengecapi nikmat dunia dengan memperlakukan sumber alam sewenang-wenangnya. Bukan sedikit perilaku ‘mengkhianati’ amanah Allah dilakukan manusia. Sikap ‘mendewakan’ dunia dan melupakan kehidupan akhirat semakin menonjol dalam diri manusia hari ini. Seolah-olah kehadiran manusia untuk mengaut segala nikmat duniawi tanpa memikirkan satu masa yang ditetapkan Allah kelak, manusia akan beralih ke alam barzakh seterusnya alam akhirat. Bencana alam yang berlaku juga boleh kita tafsirkan sebagai ‘teguran’ Allah ke atas sikap manusia yang lupa diri dan tidak mahu kembali mengikut ajaran-Nya yang sebenar.
Negara jiran iaitu Indonesia diuji dengan gempa bumi di Lombok awal Ogos yang mengorbankan ratusan nyawa dan minggu ini berlaku pula gempa bumi dan tsunami di Pulau Palu, Sulawesi yang mengorbankan lebih 1500 nyawa setakat ini dan ada kampung yang tenggelam. Antara amalan yang dianjurkan kepada kita bila berlakunya ujian musibah iaitu : [1] Banyak berzikir, do’a, dan istighfar kepada Allah sebagaimana firman Allah dalam ayat 33 surah al-Anfal :
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ﴿٣٣﴾
Maksudnya : Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang engkau (Wahai Muhammad) berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengadab mereka, sedang mereka meminta ampun
Imam Syafi’e mengatakan,: “Ubat yang paling mujarab untuk mengubati bencana adalah memperbanyak tasbih”. Imam as-Sayuti menjelaskan, “Hal itu kerana zikir dapat mengangkat bencana dan azab
[2] Membantu mangsa bencana di mana kita sekarang berada dalam kenikmatan dan kesenangan, kita boleh makan, minum, dan memiliki rumah, maka ingatlah saudara-saudaramu yang terkena bencana. Saat ini mereka sedang kesusahan dan kesulitan. Maka hulurkanlah tanganmu untuk membantu mereka semampu mungkin.
قال النبي : مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ – رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan darinya besok di hari kiamat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
قال النبي : يَكُونُ فِي آخِرِ الأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ قَالَتْ: قُلْتُ، يَا رَسُولَ اللهِ! أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: نَعَمْ، إِذَا ظَهَرَ الْخُبْثُ. – رواه الترمذي
Maksudnya : Akan ada pada akhir umatku (orang-orang) yang ditenggelamkan ke dalam bumi, dirubah raut wajahnya dan dilempari (batu).” ‘Aisyah berkata, “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah kami akan dibinasakan sementara masih ada orang-orang soleh di tengah-tengah kami?’ Baginda s.a.w menjawab, ‘Betul, ketika kemaksiatan telah bermaharajalela.
قال النبي : فِي هَذِهِ اْلأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللهِ! وَمَتَى ذَاكَ؟ قَالَ: إِذَا ظَهَرَتِ الْقَيَانِ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتِ الْخُمُورُ. – رواه الترمذي
Maksudnya : Di akhir zaman nanti akan ada (peristiwa) di mana orang-orang ditenggelamkan (ke dalam bumi), dilempari batu dan dirubah rupanya,” lalu seorang lelaki dari kalangan kaum muslimin bertanya, “Bilakah hal itu terjadi.” Baginda s.a.w menjawab, “Ketika para penyanyi dan alat-alat muzik telah zahir secara terang-terangan dan telah diminum arak.
Amalan ke- [3] Menegakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar kerana termasuk faktor terjadinya gempa bumi dan benacana alam yang lain adalah dosa umat manusia maka hendaknya hal itu dihilangkan, salah satu caranya dengan menegakkan kerja dakwah, saling menasihati, dan amar ma’ruf nahi munkar sehingga mengecillah kemungkaran. Bila kita acuh tak acuh dan mendiamkan kemungkaran maka bencana tersebut akan kembali menimpa kita. Bermula daripada pemimpin dengan kuasanya, ulama’ dengan ilmu kepakarannya, rakyat jelata dengan kerjasama dan sokongannya
Sejarah Islam pernah mencatatkan bagaimana ketika Madinah sebagai pusat pemerintahan kembali bergoncang lalu Sayyidina Umar al-Khattob meletakkan tangannya ke tanah dan berkata kepada bumi, “Ada apa denganmu?” seterusnya beliau menyeru :“Wahai masyarakat, tidaklah gempa ini terjadi kecuali kerana ada sesuatu yang kalian lakukan. Alangkah cepatnya kalian melakukan dosa. Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, jika terjadi gempa susulan, aku tidak lagi mahu tinggal bersama kalian selamanya!”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 13-16 surah al-Haqqah :
فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ ﴿١٣﴾ وَحُمِلَتِ الْأَرْضُ وَالْجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةً وَاحِدَةً ﴿١٤﴾ فَيَوْمَئِذٍ وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ ﴿١٥﴾ وَانشَقَّتِ السَّمَاءُ فَهِيَ يَوْمَئِذٍ وَاهِيَةٌ ﴿١٦﴾
Maksudnya : Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup, - Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, - Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, - Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh)
Kejadian gempa bumi dan tsunami silih berganti turut mengingatkan kita semua bahawa dunia ini sudah terlalu tua dan hampir kepada saat kehancurannya iaitu qiamat sebagaimana peringatan nabi s.a.w antaranya.
قال النبي : لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ - رواه البخاري
Maksudnya :‘Tidak akan berlaku Qiamat hingga banyak terjadi gempa bumi.”
Sama-sama kita renungi dengan kekuatan gempa bumi dan tsunami pun telah banyak nyawa terkorban, bangunan hancur, kampung tenggelam maka kedahsyatan hari Qiamat jauh lebih dahsyat daripada itu lagi.
Semoga kejadian bencana yang berlaku silih berganti akan menambahkan lagi iman seorang mukmin, memperkuat hubungannya dengan Allah. Kita wajib sedar bahawa musibah-musibah ini tidak lain dan tidak bukan antaranya akibat dosa-dosa anak manusia berupa kesyirikan dan kemaksiatan. Bersungguhlah dalam bertaubat, perbanyakkan ibadat, jauhi maksiat. Islamkan kehidupan dalam keluarga, masyarakat seterusnya negara dalam tunduk patuh kepada Allah sehingga terbina negara berkat dan kita semua bahagia dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru
Rabu, 3 Oktober 2018
Islam DiJulang Maksiat DiTentang Umat Gemilang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (55)
Maksudnya : Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa memerintah negara (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka sebagai khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka
Peristiwa Hijraturrasul s.a.w begitu banyak mengajar dan memberi petunjuk secara praktikal kepada umat Islam bagaimana strategi yang rapi dan tersusun ke arah membina sebuah Daulah Islamiah yang hebat dan berkat. Pelaksanaan system Islam yang menyeluruh bukan sahaja dalam membersih aqidah yang benar, ibadat khusus malah ke arah pelaksanaan system dalam negara termasuk politik, sosial, ekonomi dan sebagainya setelah tertegaknya negara yang mendaulatkan Islam. Setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki 1924M yang menyaksikan sebuah daulah yang besar dan luas dipecah belahkan oleh penjajah dalam bentuk negara-negara kecil dengan memastikan kebanyakan system Islam dihancurkan. Kini dalam mengembalikan semula system Islam yang dinafikan oleh penjajah selepas kemerdekaan negara masing-masing masih menjadi suatu perkara yang sukar akibat kefahaman dan keyakinan umat Islam sendiri yang telah sebati dengan system penjajah sehingga rasa ragu-ragu tentang keadilan dan kesempurnaan system Islam. Oleh itu menjadi kewajipan kita bersama bermula daripada kerajaan, alim ulama dan rakyat jelata untuk mengembalikan system Islam dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat serta membangunkan negara yang berkat yang Berjaya membina tamadun sepadu antara rohani dan jasmani, pembangunan fizikal dan kemanusiaan. Usaha ini mesti dilakukan secara berterusan tanpa memberi alasan bahawa ia suatu yang payah dan sukar dicapai.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ ، فَاجْتَنِبُوهُ ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ . - رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ .
Maksudnya : Apa yang aku tegahkan daripadanya wajib kamu jahuhi, dan apa-apa yang Aku perintahkan kepadamu maka buatlah sekadar kemampuan kamu. Sesusugguhnya telah dihancurkan banyak kaum sebelum kami akibat mereka menyalahi dan menyanggah nabi-nabi mereka
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran:
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ
Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya
Kejayaan Islam dalam sejarahnya menguasi 3 benua besar daripada Timur Jauh sehingga Afrika Utara dan Selatan Eropah dalam masa yang cepat kerana 2 prinsip: [1] Beriman kepada Allah dan Beriman kepada Hari Akhirat. Aqidah tauhid mengesakan Allah sahaja, tuhan yang diibadatkan kepada-Nya dengan jasad, roh dan akal. Aqidah ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi tuhan apabila berkuasa memerintah negara, diberi nikmat kehidupan berpangkat atau berharta. Dengan tegas, aqidah tauhid menolak kesyirikan secara menyeluruh. Bukan sahaja diharamkan beribadat menyembah berhala atau patung, termasuk juga diharamkan menyembah makhluk yang lain dan sesama manusia serta tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah. Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan pemimpin individu atau bertuhankan kelompok. Islam menolak bertuhankan rakyat tanpa hidayah yang bertopengkan demokrasi yang kononnya suara rakyat adalah suara keramat, seperti tuhan yang diwarisi daripada demokrasi purba tetapi rakyat yang ditipu. Islam juga menolak teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama. Semuanya menjadikan dirinya seperti tuhan atau memilih wakil rakyat secara menipu rakyat dan menjadikan rakyat sebagai hamba. Islam juga menolak ideologi yang bertuhankan harta, tiba-tiba segala khazanah negara menjadi miliknya, boleh diambil dengan apa jua cara sekalipun dan menggunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram, sama ada secara liberal kapitalis atau komunis dan sosialis. Aqidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang boleh mengatasi undang-undang termasuk raja-raja atau ketua negara sehingga mengharamkan mereka berlagak menjadi tuhan, walaupun dia seorang rasul.
Adapun aqidah beriman kepada Hari Akhirat menjadikan semua tindak tanduk manusia tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala, yang menentukannya mengikut hisab amalannya. Maka yang terlepas daripada dihukum di dunia kerana kedudukannya yang bijak menipu atau dapat mengatasi undang-undang kerana kuasanya, menjadikan imannya tetap percaya adalah tidak terlepas dari hukuman di Hari Akhirat yang lebih berat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan
Prinsip ke –[2] kejayaan negara Islam : Taqwa, Adil dan Rahmat terhadap semua di mana konsep taqwa menggantikan kebanggaan terhadap asabiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta. Taqwa menjadikan manusia bermasyarakat madani secara istiqamah dan tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya kerana perbezaan bangsa, agama, harta, keturunan, pangkat dan jantina. Manakala konsep adil dan rahmat dalam Islam yang lahir daripada konsep taqwa adalah mutlak terhadap semua dan segala aspek kehidupan manusia, termasuk adil terhadap musuh sehingga dikaitkan dengan konsep taqwa. Inilah konsep dan falsafah bernegara yang menjadi idaman untuk kita capai sebagai satu wawasan yang berterusan hingga ke Hari Kiamat
Oleh itu amat malang sekiranya ketika masalah aqidah dan akhlak umat Islam masih terumbang ambing tiba-tiba pusat pengajian agama terus menjadi sasaran termasuk cadangan supaya ditutup setiap kali berlaku kebakaran atau guru liwat murid atau tidak berdaftar. Ketika bangsa dan agama lain sibuk membuka sekolah yang baru berteraskan bangsa masing-masing tiba-tiba umat Islam mundur ke belakang untuk menutup pusat pengajian Islam bukannya lebih memperkasa dan memperbanyakkannya serta membantu dalam mengatasi kekurangan yang ada.
Mengapa tempat maksiat dan pusat keruntuhan akhlak tidak dibanteras seperti laporan Ketua Penyelaras Benteras Aktiviti Haram Azman Mahmood pada 11 Nov 2017 terdapat 1,086 pusat hiburan tidak berdaftar. Kementerian Wilayah Persekutuan pernah melaporkan pada 2017 terdapat 3 000 premis perjudian online beroperasi di Lembah Kelang. Begitu juga wujud pusat pelacuran Jalan Petaling menawarkan ratusan pelacur warga asing. Malah terbaru kes keracunan arak yang menyebabkan 30 orang mati yang kedengaran hanya straw yang diharamkan sedangkan kilang arak, kedai arak, lesen arak tidak pun ada arahan untuk ditutup atau dikurangkan. Bila negara mementingkan untuk atas kerosakan akhlak rakyat maka tunggulah saat kebinasaan dan kehancuran
Oleh itu marilah kita bersatu dalam mengukuhkan kekuatan umat Islam termasuk memperkasakan pusat pengajian Islam dan membanteras pusat dan aktiviti kemungkaran dalam meraih negara berkat dan selamat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)