أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 10 April 2015
Islam diJulang Kebencian Musuh DiPadam
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 214 surah al-Baqarah :
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّـهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّـهِ قَرِيبٌ ﴿٢١٤﴾
Maksudnya: Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum datang kepadamu ujian sebagaimana yang pernah berlaku kepada mereka yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kesakitan dan keperitan serta digoncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman : “ Bilakah akan datang pertolongan Allah?”. Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kedatangan Islam telah memberi sinar cahaya kepada dunia yang dahulunya kelam dalam kegelapan jahiliah. Islam telah menyuburkan sifat kemanusian setelah dunia dipenuhi dengan penindasan yang tidak berperi kemanusiaan. Islam telah menaburkan benih keadilan sehingga kebahagiaan dan keamanan dapat dikecapi setelah dunia dicengkam dengan kezaliman. Islam datang dengan ajaran yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia bertujuan mengatur urusan hidup di dunia yang lebih tersusun bagi mencapai keredhaan Allah sehingga mampu mendapat kebahagiaan bukan sahaja di dunia yang fana tetapi turut bahagia di negeri akhirat sana. Namun begitu Islam tetap diperangi oleh mereka yang tidak senang dengan kehebatan Islam dalam memerintah dunia yang terdiri daripada golongan kuffar dan munafiq serta umat Islam yang jahil tentang Islam yang sebenar. Di sini kita dapat lihat bagaimana permusuhan terhadap Islam sehingga hari bukanlah disebabkan Islam itu ganas dan zalim sebaliknya kebaikan dan keadilan Islam telah menyebabkan pengaruh kuffar untuk mengaut hasil untuk kepentingan mereka semakin tergugat malah rakyat di bawah kuasa mereka sendiri bangun menentang kezaliman dan penindasan kuffar yang semenangnya ganas.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Antara sebab golongan pengganas Kuffar dan anak didiknya menentang Islam ialah [1] : Pengganas Kuffar takutkan Islam kerana Islam membentuk kesatuan ummah sebagaimana firman Allah dalam ayat 92 surah al-Anbiya’ :
إِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ ﴿٩٢﴾
Maksudnya : Sesungguhnya ini, umat kamu wahai mukminin umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu maka sembahlah Aku.
Umat Islam melalui sistem khilafah dididik agar berada di bawah satu kepimpinan sehingga menjadi umat yang kuat. Oleh itu kuffar melalui perancangannya yang rapi telah berjaya menghancurkan system khilafah dengan runtuhnya Khilafah Uthmaniah Turki pada tahun 1924. Antara punca kejatuhannya dengan musuh mengapi-apikan semangat kebangsaan terutama dikalangan umat Arab dengan alasan Khilafah Uthmaniah untuk Turki bukan untuk Arab. Balasannya ialah Palestin bersama Masjid Al-Aqsa dirampas dan tanah air umat Islam dijajah seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak secara pecah perintah. Apa yag lebih malangnya lagi apabila hari kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah telah dijadikan hari kebangsaan yang dibanggakan bagi kebanyakan negara-negara Arab.
Pada hari ini kita melihat bagaimana liciknya musuh Islam dalam melagakan Negara umat Islam untuk berperang atas alasan peperangan Mazhab seperti yang terbaru di Yaman. Sedangkan kita wajib sedar ianya hanya menambah satu lagi perancangan jahat musuh Islam untuk menjaga keselamatan Israel dan kepentingan kuasa besar. Berperang dengan duit umat Islam untuk membunuh dan mencederakan diri kita sendiri dengan senjata orang lain yang mengambil kesempatan menjual senjata dengan bayaran yang musuh pula menentukan harganya. Inilah akibat daripada kebodohan kita sendiri. Ibarat kata pepatah Melayu: “Lesung dan alu yang bertumbuk ayam pula yang kenyang”.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 50 Surah al-Maidah :
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾
Maksudnya : Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
Sebab Ke-[2] kuffar takutkan Islam kerana pemerintahan Rabbani di mana semua system hidup berasaskan apa yang telah diturunkan oleh Allah melalui rasulNya bukannya berdasarkan system ciptaan manusia. Tujuan pemerintahan adalah untuk mencari keredhaan Allah yang menyebabkan pemimpin dan rakyat sentiasa membuat segala suruhan Allah dalam setiap aspek kehidupan disamping menjauhi segala laranganNya walau pun nafsu sentiasa menggodanya sepanjang masa. Pemerintahan Islam juga berjaya menghindari pemimpin dan rakyat daripada melakukan penindasan dan kezaliman bertujuan mencari keuntungan diri disebabkan timbulnya rasa gerun dan takut kepada Allah yang bakal membalas segala amalan dunia di akhirat nanti. Oleh sebab itu kuffar sentiasa berusaha sepanjang masa agar pemerintahan Islam tidak akan berjaya ditegakkan di atas muka bumi ini.
Kita dapat rasa bagaimana walau pun Negara kita telah lama merdeka namun penjajahan pemikiran dan cara hidup masih banyak yang berqiblatkan penjajah. Sebab itu banyak undang-undang barat dapat diterima dengan mudah untuk dilaksanakan sedangkan undang-undang Islam begitu payah untuk diluluskan. Seorang pemimpin gerakan Islam pernah berkata bahawa kita berada dalam satu kapal bersama dengan kapal-kapal yang lain dengan ideologi dan matlamat yang berbeza dalam menghadapi penjajah di mana golongan yang hanya mahu merdeka akan berlabuh bila Negara diberikan kemerdekaan oleh penjajah sedangkan kapal kita terus berlayar sehingga kita berjaya tiba dipelabuhan yang sebenar iaitu mengembalikan semula undang-undang Islam dalam Negara setelah dihilang lenyap oleh penjajah. Oleh itu itu sempena berada pada Jumaat yang mulia, di rumah Allah yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa agar undang-undang jenayah Islam yang diusahakan oleh kerajaan Kelantan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat demi mendapat pertolongan Allah dalam mewujudkan Negara yag berkat dan selamat. Walau pun pada sidang Parlimen yang berakhir malam tadi masih belum diberi ruang untuk dibentangkan pindaan kepada kuasa Mahkamah Syariah dalam bab hanya berkuasa menjatuhkan hukuman 3 tahun penjara, 5 ribu denda dan 6 kali sebat kepada berkuasa melaksanakan hukuman mengikut apa yang diperintah oleh Syarak namun ia bakal dibentangkan dalam sidang Mei dan Jun nanti dengan izin Allah. Semoga nama kita termasuk dalam senarai golongan yang ditulis sebagai hamba Allah yang berusaha dalam menegakkan hukum Islam dalam Negara ini. Sekiranya perbezaan antara orang Islam dan kafir dapat dibezakan dengan solat maka Negara Islam dapat dikenali dengan pelaksanaan syariat Islam di dalamnya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’ :
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Sebab ke-[3] kuffar takutkan Islam kerana pemimpin yang dilahirkan oleh Islam merupakan pemimpin yang benar-benar layak memerintah dengan sifat dan akhlaknya yang baik serta kepatuhan nya dalam melaksanakan segala hukum Islam tanpa takut kepada ugutan serta tidak terpengaruh dengan godaan dunia yang cuba merosakkannya. Kejayaan Islam melahirkan pemimpin yang adil membolehkan rakyat hidup aman dan bersatu menentang serangan musuh demi mencari keredhaan Allah. Apabila adanya pemimpin Islam yang benar-benar layak memerintah maka ini menyebabkan kuffar menjadi takut dan resah kerana tidak dapat lagi menguasai negara umat Islam sesuka hati. Oleh itu kuffar telah merancang dengan teliti apabila melantik pemimpin di negara umat Islam di mana mereka melantik pemimpin dari kalangan anak didik dan tali barut kuffar agar kuffar terus menjajah negara umat Islam sesuka hati mengikut acuan dan kehendak nafsu serakah mereka. Musuh sentiasa berusaha menjauhkan masyarakat daripada Islam termasuk melabelkan Islam dengan keganasan seperti militan Islam, Islamic State yang jahat di mana jika kita sendiri turut menyebut kalimah tajaan musuh menyebabkan orang akan menerima bahawa Islam itu jahat sedangkan Islam adalah agama sejagat yang menjamin keamanan dan keadilan di mana salah laku umatnya bukan menggambarkan suruhan Islam
.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Sebab ke-[4] Kuffar takutkan Islam kerana seseorang Islam hanya memberi wala’ atau tunduk patuh hanya kepada Allah. Mereka sanggup menghadapi godaan dunia yang berbentuk kemegahan takhta, kemewahan harta dan kecantikan wanita demi mencari keredhaan Allah. Mereka rela mempertahankan Islam di zaman orang memeranginya kerana Allah. Umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang menyeluruh sentiasa ingat kepada pahala dan dosa, syurga dan neraka dalam apa jua pekerjaan mereka termasuk pemerintahan dan politik. Akibat meminggirkan suruhan dan larangan Allah menyebabkan umat mudah terjebak dengan rasuah dan pecah amanah. Kita begitu bimbang tahap pengurusan kewangan Negara yang tidak amanah menyebabkan Negara menanggung hutang lebih 700 bilion disamping kebocoran yang lain dan nilai ringgit yang semakin menjunam. Rakyat disembelih dengan GST ketika pemimpin masih bernafsu besar untuk membeli jet dengan kos ratusan juta. Oleh itu kembalilah kepada kepada Islam dalam seluruh aspek kehiduoan dalam meraih keberkatan hidup di dunia dan kebahagian hidup di akhirat. Islam nescaya kita selamat dan berjaya dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 69-70 surah an-Nisa’ :
وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا ﴿٦٩﴾ ذَٰلِكَ الْفَضْلُ مِنَ اللَّـهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّـهِ عَلِيمًا ﴿٧٠﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat). Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)