Friday, December 16, 2011

Hantaran dan Kek Perkahwinan

Assalamualaikum.Salam pagi Jumaat, penghulu segala hari. Semoga apa yang dilakukan hari ini mendapat keberkatan. Yatie masukkan N3 tentang gambar kek hantaran  dan kek kawin jiran Yatie yang telah telahpun berlangsung pada 2 minggu lepas. Maaflah gambar kurang jelas. Ni pun ambik dari FB yang diupload guna hphone. Nanti kita replace gambar  dari kamera. Pengantinnya minat warna merah , jadi keknya pun merahlah jawabnya. Alhamdulillah, berkali-kali emak pengantin cakap yang anaknya puas hati dan kek pun sedap.

Sebenarnya jiran KPY menggunakan khidmat katering masa majlis tu dan pihak katering ada memberikan kek kawin 2 tingkat percuma tapi jiran KPY tolak. Anaknya nak KPY juga yang buat.Alhamdulillah semuanya dah selesai.


gambar dari kamera

sementara menunggu pengantin memotong kek

 Kek Hantaran
( butter cake with steam butter cream )

Kek Perkahwinan
( Butter cake+ chocolate cake with steam butter cream)

Selamat menjamu mata.Hari ni nak bawak anak-anak + anak sedara pergi breakfast , beli kelengkapan sekolah , pergi KLCC , UITM dan  I-City. Tahniah juga buat anakanda yang ditawarkan ke asrama penuh.

Friday, December 9, 2011

Tepung Bungkus

Sebagai pembuka tirai setelah agak lama berehat daripada berblogging ,  KPY hidangkan rakan-rakan dengan hidangan pemanis mulut.Yeaaah...Tepung Bungkus.Pertama kali KPY buat , nasib baik menjadi. Memang dah lama teringin nak buat kuih tradisional ni. Kalau  beli , memang susah nak dapatkan yang betul2 sedap. Kuih tradisional macam ni yang pentingnya dari segi lemak dan manisnya tu. Siap beli daun pisang lagi....maklumlah kat sekitar rumah tak de pokok pisang.


Sumber: KPY

Bahan Inti:
250 g kelapa parut putih
100 g gula pasir
70 g gula merah
1 tsp garam
2 helai daun pandan - disimpul
1 tbls tepung gandum
100 ml air

Cara-cara:
1. Masukkan kesemua bahan kecuali tepung gandum ke dalam kuali dan masak hingga pekat.
2. Setelah pekat masukkan tepung gandum. Kacau supaya lebih pekat. Biarkan sejuk.
3. Bulat-bulatkan inti tadi dan golekkan dengan tepung pulut supaya melekat.


Bahan Tepung:
3 cawan tepung beras
6 cawan santan yang agak pekat
1 1/2 tsp garam
1 tbs gula
Daun pisang secukupnya.

Cara:
1. Masukkan tepung beras , santan , garam dan gula ke dalam periuk.
2. Kacau di atas api yang sederhana sehingga separuh masak ( pekat )
3. Ambik 2 sudu makan tepung tadi letakkan di atas daun pisang dan letakkan  2 biji inti tadi. ( Jarakkan sedikit ).Ambil lagi 1 sudu tepung dan tutup di atas inti.
4. Bungkuslah daun pisang seperti nak buat lepat . Bungkus sampai habis.
5. Susun dalam pengukus dan kukus lebih kurang 20 - 25 minit.
6. Tunggu sejuk baru sedap dimakan.

* Suami kata tepung bungkus KPY gemuk-gemuk. Nak cepat habiskan proses pembungkusan sebenarnya. Tapi kalau nak berniaga rugiiiiiiii.

Tuesday, December 6, 2011

Tak Sabar Menunggu....

Maaf semua .Lama tak up-date blog. Agak sibuk sikit. Yang pentingnya lagi dua hari nak menghabiskan tugasan rasmi ni. Lepas ni , bolehlah nak mengadap blog sepuasnya. Banyak benar bahan -bahan yang belum dimasukkan. Walaupun sibuk dengan tugas rasmi , tapi tempahan dan rutin memasak tetap berjalan.

Kepada rakan-rakan yang bercuti tu , selamat bercuti.KPY nak bersiap-siap ni sebab jap lagi nak pergi bertugas....Bye.

Wednesday, November 16, 2011

Selamat Bertugas

Dah seminggu lebih tak update blog. Dari sebelum cuti Aidil Adha hingga sekarang , kesibukan melanda KPY. Dengan order untuk kek dan kuih- muih , order untuk jamuan ringan , tugas-tugas sekolah yang perlu diselesaikan dan sekarang bertugas mengawas SPM. Hujung tahun ni nampak gayanya percutian keluarga terpaksa ditundalah kerana kekangan masa. Lagipun cuti suami pun terpaksa dibekukan . Hujung tahun yang sibuk....

Selamat bertugas untuk kawan-kawan blogger yang memikul tanggungjawab seperti KPY. Berkhidmat Untuk Negara.

Sebagai pengubat rindu , KPY hidangkan rakan2 dengan nasi kerabu ya. Ayam bakar tak sempat nak ambik gambar...


Nasi Kerabu dengan budu tumis





Sunday, October 30, 2011

Dari Maroon kepada Pink

Order ni datang dari kawan sekolah KPY . Pada mulanya tema warna maroon tapi last minit bertukar kepada warna pink. Nasib baik belum buat hiasan lagi. Sebenarnya masa tu bermalas-malasan nak menghias kek. Kalaulah sifat rajin tu ada , dah tentunya jadi haru biru.


*Lambat masukkan gambar. Ni gambar dari handphone.Tarikh atas kek dah terbukti.

Thursday, October 27, 2011

Roti Naik Yang Tak Naik ......Hua...hua....hua

Kalau ditenung-tenung dalam gambar ni roti ni macam jadi ( perasan sendiri ). Teksturnya tu dah ada ....macam roti kat pasaran jek. Tapi...... tuan sendiri pun tak berselera nak makan. Dalam hati..." lebih baik aku beli lagi senang"

Naklah cuba buat roti sendiri konon.  Tapi sifat tak sabar tu memang bersarang dalam diri. Tak sabar nak tengok hasil. Belum sempat adunan tu nak bernafas , KPY dah masukkan dalam oven.Pic kat atas tu yang second round punya bakar. Okeylah sikit. Yang first punya.....malu nak tunjuk. Kalau baling kat dinding tu , melantun balik agaknya.

Resipi asal dahlah guna BM , KPY guna mixer biasa je untuk uli. Rasa2nya akan jadi kalau cukup masa untuk adunan tu mengembang. Tapi sebab tak sabar...... .Resipi tak payah tempek lagi...kalau dah jadi baru boleh letak.

Wednesday, October 26, 2011

Nasi Lemak

Pagi tadi KPY dan anak-anak bersarapan dengan nasi lemak. Maaaak ooooi , mengantuk teramat lepas makan tu. Nasib baik dah start cuti sempena Deepavali , apa lagi terus la zzzzzzzzzzsssss. Jumaat lepas kat sekolah pun dah makan-makan dengan menu nasi lemak. Semua bertanya resipi nak masak nasi lemak.KPY tak letak banyak sangat santan, kalau letak banyak nanti rasa muak. Jom layan resipi yang tak seberapa ni.....

Nasi Lemak
Bahan:
5 cawan beras basmathi ( cawan rice cooker)
6  1/2 cawan santan cair
1  1/2  tsp garam
2 tsp minyak masak
1 tsp gula
2 helai daun pandan - disimpul

Cara:
1. Basuh beras .
2. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan masak seperti masak nasi putih biasa.
* Nasi tak berketul-ketul dan tak  muak.Warnanya putih dan tak sebam ( kalau banyak sangat santan )

Sambal Tumis
Bahan:
20 tangkai cili kering - blend
10 ulas bawang merah - blend
4 ulas bawang putih - blend
1 cm halia - blend
1 biji bawang besar( hiris nipis )
1 cawan ikan bilis
1 tsp asam jawa
1/2 ketul gula melaka( sederhana besar )
gula
garam
minyak untuk menumis

Cara:
1. Panaskan minyak . Masukkan ikan bilis dan goreng separuh masak.Keluarkan.
2. Masukkan bahan yang telah diblend tadi ke dalam kuali. Tumis hingga masak .
3. Masukkan hirisan bawang besar ,ikan bilis ,  asam jawa , gula melaka dan garam. Kalau tak cukup rasa gula tu , tambahkan dengan gula pasir biasa mengikut kesukaan diri sendiri.
4. Kecilkan api dan biarkan sambal tadi masak sepenuhnya. Agak2 berminyak.

Hidangan tambahan:
- telur mata kerbau
-ikan bilis goreng
- kacang tanah
- ulam timun.

Thursday, October 20, 2011

Peristiwa lama .....Cerita lama

Antara gambar yang KPY ambik dari simpanan kawan sebagai kenangan semasa majlis Jamuan Raya Perdana kat sekolah bulan lepas. Ni saja suka-suka nak selitkan  dalam blog. Letakkan gambar  gerai sendiri je. Gerai-gerai lain tak berkesempatan nak ambik gambar sebab terlalu penat . Mana taknya semalaman tak tidur. Ada gerai sate , pelbagai mee , laksa , nasi ayam , nasi kerabu ( gerai  Kak Yus@antanbertingkah) , BBQ ayam dan gerai air. Walaupun penat tapi puas hati dan gembira sebab majlis berjalan dengan sempurna dan makanan kat gerai sold out.

Antara kuih muih yang KPY dan ahli kumpulan buat
-krim puff , cara berlauk , karipap , pelbagai talam , blueberry cheese tart , cup cake , pelbagai puding , puding koktail

 Siapalah yang tengah sibuk mem'piping' coklat atas cup cake tu....

Ada orang tengah dok perhatikan......mana nak ambik dulu ni.

Wednesday, October 19, 2011

Peminat Bola

Mata asyik melilau melihat jam. Takut nanti terlajak akibat mengadap lappy .Jap lagi nak masak mihun dan blueberry cheese tart. Mihun tu kawan mintak tolong buatkan. KPY kalau bab masak-masak selain kek ni tak reti nak letak harga. Setakat tolong masak dan ambik modal je....

Kek bercorakkan bola " ada tak bentuk bola ...?????". Ada la sikit-sikitkan. Maklumlah bukan profesional dan masa nak mendeco pun terhad.Satu jam nak ke sekolah baru deco. Menggelabah takut tak sempat punch card tak tau nak katalah.

Kepada tuan punya kek tu , boleh la bola.... tu kan.



KEK HANTARAN ZAINI - KIKI

Dalam keletihan dan kesibukan selepas Jamuan Raya Perdana sekolah baru2 ni , sempat jugak buat kek hantaran untuk pengantin baru saudara Zaini dan pasangannya .Kek ni daripada pengantin lelaki untuk di bawa ke rumah pengantin perempuan. N3 akan datang KPY masukkan gambar kek perkahwinan di rumah pengantin lelaki pulak....





Sunday, October 16, 2011

Alles Liebe zum Geburtstag.....Du bist 7 Jahre Alt - Sarah Khadeja

Gambar2 lama ( bulan Ogos ) , sekarang baru berkesempatan nak masukkan. Happy Belated Birthday Sarah Khadeja.....atas tu dalam Bahasa Jerman.



Maaf , maaf , maaf

KPY memohon maaf kepada semua pengunjung blog kerana lambat memasukkan resipi kuih koci yang dah terpublish lebih seminggu. Janji nak masukkan cepat. Sebenarnya KPY dah taip 2 kali resipi tu , tapi bila nak publish atau save tak boleh dan hilang. Bila dah dua kali buat tu , mulalah malas. Tapi hari ni dah berjaya.....Selamat mencuba.

Thursday, October 6, 2011

Kembali.............bersama kuih koci

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pengunjung ketuharpanasyatie



Hampir dua bulan tak mengemaskini blog ni akhirnya hari ini berjaya juga. Buntu juga otak . Tak tahu nak tulis apa . Yang sebenarnya KPY bukan tak jenguk langsung blog , hampir setiap hari buat lawatan tapi tak sempat nak mengupdate . Blog kawan2 pun tak berapa sempat nak menjenguk .



Sekarang keadaan dah tak berapa sibuk sangat. Jadi untuk panas-panaskan badan ni kita mulakan dengan KUIH KOCI.


Bahan ( Tepung )


250 g tepung pulut

50 g tepung pulut hitam

1/2 tsp garam

300 - 350 santancair

1/2 tbsp tepung beras

1/2 tbsp tepung jagung

daun pisang



Cara:

1. Masukkan garam ke dalam santan cair dan kacau.

2. Tuangkan santan sedikit-sedikit ke dalam mangkuk yang berisi tepung.Uli hingga jadi doh

3. Bulat-bulatkan sebesar bola ping pong.

4.Masukkan inti kelapa dan bulatkan.

5. Masukkan ke dalam air mendidih macam nak buat kuih buah melaka.

6. Apabila sudah timbul , masukkan ke dalam santan pekat yang telah di masak.

7. Bungkus dengan daun pisang

8. Kukus selama 10 minit.



Inti Kelapa


Bahan:

250 g kelapa parut putih

100 g gula pasir

50 g gula merah

1/2tsp garam

1 tbsp tepung gandum

100 ml air

2 helai daun pandan ( disiat halus )



Cara:

1. Masukkan ke semua bahan ke dalam kuali kecuali tepung gandum.

2. Kacau hingga agak pekat dan masukkan tepung gandum.

3. Kacau hingga pekat .

4. Bulat-bulatkan inti kelapa tadi.



Santan Pekat


Bahan:

500 ml santan pekat

2 tbsp tepung beras

1/2 tsp garam

1 tsp gula



Cara :

1. Panaskan kesemua bahan di atas api sederhana hingga mendidih dan masak

Sunday, August 14, 2011

Sira Pisang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua....
Pagi-pagi lagi KPY dah jenguk dapur sendiri yang lama tak berasap.....masa kanak-kanak dulu dapur memang banyak asap sebab masa tu pakai dapur kayu , pas tu dapur arang dan baru dapur gas. Sempatlah KPY zaman dulu guna dapur kayu.... puas nak hidupkan api. Tu semuanya kenangan .... kenangan yang menjadi sejarah. Anak-anak zaman sekarang semuanya tak merasa. Kehidupan pun berbeza....lebih senang dan mewah.Tak merasa susah, apa yang nak semua dapat....Itulah rezeki anak2 kita sekarang.

Banyak pulak melalut kut lain... berbalik kepada sira pisang ni...minggu pertama puasa ada ternampak kat rumah Mieza . Tu yang terliur....sebab benda ni jugak favourite KPY. Selalu nampak kat pasar ramadhan ...tapi tak berkenan sebab kuahnya cair ... nampak macam pengat pisang pulak..

Bahan:
5 biji pisang ( Yatie guna pisang nangka )
3-4 sudu gula
sedikit garam
5 biji bunga cengkih
1 helai daun pandan ( dikoyak halus )
sedikit air

Cara:
1. Panaskan gula , air dan garam. Biarkan mendidih dan agak pekat.
2. Masukkan bunga cengkih dan daun pandan.
3. Masukkan pisang yang siap dipotong.Gaulkan air gula dengan pisang. Tutup periuk lebih kurang 5 minit hingga pisang masak.
4. Siap.

Thursday, August 11, 2011

Masak Lemak Daging Salai Belimbing Buluh

Salam. Semua dah selesai berbuka puasa hari ke-11. Alhamdulillah. Kali ni nak tayang masak lemak daging salai dengan belimbing buluh.Daging salai tu order dengan kawan kat sekolah. Masam2 belimbing buluh tu ...daging salai yang lembut ....emmmm.

Bahan:
300 g daging salai
3 cawan santan
6 keping hirisan lengkuas
5 ulas bawang merah
1 cm kunyit hidup
10 biji belimbing buluh
4 biji cili hijau
garam -secukup rasa
gula - secukup rasa

Cara:
1.Tumbuk lumat lengkuas , bawang merah dan kunyit.
2. Panaskan santan, masukkan bahan tumbuk tadi. Masukkan daging salai dan kacau sentiasa
supaya kuah tidak berketul-ketul.
3. Apabila sudah menggelegak, masukkan belimbing buluh dan cili hijau. Kalau nak pedas boleh
masukkan cili api.
4. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Bila semua bahan sudah empuk , boleh la tutup api.



Monday, August 8, 2011

Pengubat Rindu....

Salam Ramadhan buat semua. Pejam celik-pejam celik dah lebih seminggu kita menunaikan ibadah puasa. Semoga puasa tahun ini membawa seribu keberkatan buat semua. Dah lama KPY tak bersiaran. Malam ni , curi2 masa sikit nak tayang lemon cheese cake. Bolehlah cuba sempena Aidilfitri nanti ya....



KPY letak lemon filling dan buah-buahan sebagai hiasan.

Bahan-bahan:

Biscuit Base
100 g biskut digestive ( dihancurkan )
50 g unsalted butter
1/2 biji parutan kulit lemon
1 tsp lemon paste

Cara:
1. Cairkan butter. Masukkan parutan kulit limau dan lemon paste. Kacau sebati.
2. Tuangkan ke dalam biskut yang telah dihancurkan. Gaul dan tekankan ke dalam loyang saiz 9 inci sabagai basenya.

Cheese Filling
4 biji telur( A ). asingkan putih dan kuning.
100g gula castor
400g cream cheese
60 g butter
40 g susu segar
75 g fresh cream ( unwhipped)
40 g lemon jus
1 tsp lemon paste
50 g tepung jagung

Cara:
1. Pukul putih telur dan gula hingga kembang dan jadi merenge.Ketepikan.
2. Pukul cream cheese+ butter hingga kembang. Masukkan kuning telur satu persatu.
3. Masukkan bahan no.1 dan kaup balikkan.Masukkan susu segar + fresh cream + lemon jus dan lemon paste.Pukul sehingga sebati dan kembang.
4. Masukkan tepung jagung dan putar sehingga sebati.
5. Bakar secara stim bath selama 1 - 1 1/2 jam dengan suhu darjah 160 darjah selsius.
6. Bila dah sejuk , bolehlah hiaskan dengan buah-buahan.

Monday, July 25, 2011

Cutiiiiiiiii

Salam semua. Dah banyak hari tak update blog. KPY masih lagi dalam mood cuti. Cuti sakit.Sejak Khamis lepas dah tak pergi kerja sbb sakit mata. Kat dalam rumah ni tinggal 2 org je yang tak kena lagi.Walaupun bercuti tapi banyak kerja sekolah kena siapkan...tu yang malas nak update blog. Kena utamakan kerja dulu......blog ni tempat nak rehatkan minda , bertukar-tukar resepi dengan rakan blogger , berkenalan dan kadang-kadang terasa hubungan yang rapat dengan kawan2 walaupun saling tak mengenali. Itu yang KPY suka....











Order dari kawan-kawan. Thanks Sha , Kak Jam , Zura dan Zakiah.


Tuesday, July 19, 2011

Talam Keladi

Petang Jumaat lepas ada makan-makan kat sekolah , jadinya KPY buatlah talam keladi. Buat dua resipi memandangkan tukang makannya ramai. Yang dalam gambar tu KPY bawak balik sikit untuk cik abe.


Talam Keladi ( posing pun tak menarik )


Sumber :Azimah Mansur



Bahan:

Lapisan bawah

160 g tepung beras

1 tbs tepung ubi

70 g gula pasir

1 tsp garam

700 ml santan

280 g ubi keladi ( yang siap potong dadu dan rebus hingga empuk )


Cara:

1. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali ubi keladi. Kacau di atas api hingga agak pekat .

2. Masukkan ubi keladi.

3. Tuang ke dalam loyang ( 10 inci x 1o inci ) yang telas dialas dengan plastik. Kukus selama 20 minit.


Lapisan atas

700ml santan pekat

2 biji telur ( A )

150 g tepung gandum

200 g gula pasir

1/2 tsp garam

2 helai daun pandan

sedikit pewarna ungu

1/2tsp perasa keladi ( optional )


Cara:

1. Panaskan sebahagian santan dengan gula dan garam. Masukkan daun pandan biar layu dan keluarkan semula.

2. Sebahagian santan lagi kisar bersama-sama bahan lain ( tepung dan telur )

3. Tuang ke dalam ( 1) . Masukkan pewarna ungu dan kacau di atas api hingga naik wap.

4. Tuang ke atas lapisan bawah tadi dan kukus selama 30 minit atau hingga masak.


* Sentiasa lap penutup kukusan agar air tidak menitis ke atas kuih tadi.

* Kawan-kawan beritahu makan masa panas2 lagi sedap .

Sunday, July 17, 2011

Talam Lapis Cinta Kasih.....



Demi cinta dan kasih.....Lantas terhasillah talam yang sebegitu rupa. KPY buat khas talam ni untuk anak-anak.Memandangkan budak2 ni tak berminat dengan bahagian bawah talam yang kurang manis , lantas KPY cuba buat talam yang lemak manisnya kesemua bahagian.Tiada isi apa-apa. Cuma bermain dengan warna je. Kalau buat talam keladi , talam seri muka , talam tokyo dan macam2 talam lagi , semua ambik bahagian atas je. Siap pesan kalau mama buat , cuba buat yang atas je . Bahagian bawah tak suka....

Bahan:

1400 ml santan - agak pekat

300 g tepung gandum

4 biji telur ( saiz A )

3 helai daun pandan

350 g gula pasir

1 tsp garam

pewarna hijau , kuning dan pink


Cara:

1. Panaskan sebahagian santan dengan gula , garam dan daun pandan.Keluarkan daun pandan.

2. Sebahagian santan lagi , kisar bersama bahan-bahan lain - tepung dan telur.

3. Masukkan bahan kisar ke dalam ( no 1 ).Kacau di atas api sederhana sehingga naik wap. Bahagikan kepada tiga bahagian - 800ml + 400 ml + 800 ml( bahan tadi boleh dapat 2000ml )

4. Kukus 800ml adunan yang telah diletak warna hijau selama 15 minit. Kemudian, lapiskan dengan 400ml adunan( warna pink ) selama 10 minit dan akhir sekali kukus 800ml adunan( warna kuning ) selama 25 minit.( untuk lapisan atas ,KPY asingkan 2 sudu dan letak warna hijau untuk buat marble ) - warna hijau tadi KPY titiskan ke atas lapisan atas sebelum dikukus.

* Pastikan sentiasa mengelap penutup kukusan agar wap air tidak menitis ke atas kuih talam .


Tuesday, July 12, 2011

Antara Biskut Raya 2011

KPY tak dapat nak bercerita panjang-panjang. Ni antara biskut raya yang akan KPY buat sempena Aidilfitri 2011. Biskut2 lain ada yang tak sempat nak ambik gambar. Ni pun ambik gambar lama je. Puas jugak nak cari dalam album. Selain yang ada dalam gambar kat bawah tu KPY juga buat biskut dahlia , nestum bercappucino , hazelnut cup dan walnut chip. Jom .....Order bermula sehingga menjelang Ramadan.



Tart Nenas


Chocolate Rice



Almond London



Mentega Kacang


Monday, July 4, 2011

Selamat hari jadi , selamat belajar dan selamat berpisah

Minggu-minggu lepas punya gambar.



Kek coklat bercheese - sempena hari jadi KPY yang dibawa ke sekolah



Bingka Ubi Kayu - order oleh Ketua Bidang sempena perpisahan 3 orang kerani



Butter Cake with buttercream icing - pembakar semangat untuk anak -anak murid


Nasi Goreng S&S ( Simple &Senang)

Nasi goreng yang selalu KPY buat tak kira masa. Bukan setakat sarapan , kadang tu tengah hari atau malam pun selalu buat.Husband kata dia kalau makan nasi goreng tiap hari pun ok. Yang tak oknya tukang masaklah. Boring jugak kalau setiap hari nak masak benda yang sama.




Sumber : ketuharpanasyatie


4 cawan nasi sejuk
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
7 biji cili api ( ikut suka . kalau suka pedas , lebihkan )
2 biji telur
ikan bilis ( ikut suka -banyak atau sikit)
garam
kicap ( optional )
4 sudu besar minyak masak
*kacang panjang yg dipotong halus @ sayur

Cara:
1. Tumbuk bawang merah , bawang putih dan cili api. Tak payah lumat, sekadar hancur je.
2. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing dan angkat. Masukkan telur ke dalam minyak tadi- kacau agak laju biar telur tadi menjadi hancur. Goreng sampai telur tadi berwarna keperangan.
3. Masukkan bahan tumbuk tadi. Kacau dan biarkan bahan bawang sampai garing dan bertukar warna serta bau yang mengancam.( kalau warna dia masih tak bertukar jgn letak lagi nasi)
4. Masukkan nasi dan garam. Kacau sekata. Letakkan kicap kalau suka. Masukkan ikan bilis tadi. Bolehlah dihidangkan.
* masukkan kacang @ sayur

Sunday, July 3, 2011

Lompang Keledek

Petang minggu ni KPY tak ke mana-mana. Duduk kat rumah menyiapkan rutin suri rumah. Tapi tak siap pun. Tidur je lebih .....badan terasa penat , tak cukup rehat memandangkan dah tiga minggu berturut2 kena bertugas hari Sabtu. Hari minggulah nak buat semua kerja2 yang tertunggak .

Untuk minum petang ni KPY buat kuih Lompang Keledek. Buat sikit je ....kalau kuih macam ni anak-anak tak berapa suka. Lagi pun stok keledek dan santan cukup-cukup je. Jom tengok resipi. Ni kali pertama KPY buat. Tapi kalau ikut langkah yang betul InsyaAllah menjadi...Nak-nak orang yang dah biasa buat kuih-muih.





Lompang Keledek

Sumber: Azimah Mansur
Resipi: KPY
Bahan A ( warna oren )
Bahan-bahan:
150 g keledek oren ( siap rebus )
75 g gula pasir
35 g tepung ubi
45 g tepung beras
1/4 tsp garam
150 ml santan
sedikit pewarna kuning telur

Cara:
1. Kisar kesemua bahan dari no.2 ke no.7. Apabila semua dah sebati masukkan keledek dan kisar sekali lagi.
2. Masukkan ke dalam acuan lompang . Pastikan acuan lompang telah disapu minyak .Isi 3/4 penuh dengan adunan tadi.Kukus selama 10 - 15 minit.



Bahan B ( putih ) - atas


40 g tepung ubi


25 g tepung beras


225 ml santan


1/2 tsp garam


Cara:

1.Satukan semua bahan B dan kacau hingga sebati.
2.Tuang ke atas bahan A yang telah masak tadi. Kukus selama 10 minit atau hingga masak.
* KPY dapat dalam 20 biji. Kalau nak banyak boleh doublekan adunan.

Friday, July 1, 2011

Agar-agar Santan Gula Merah

Alhamdulillah ,baru boleh upload gambar. Semalam ingatkan komputer kita yg problem tapi ada sebab lain.....





Bahan:


25 g agar-agar( 1 peket)


1400 ml air


250 ml santan pekat ( beli kat pasar )


* gula merah


* gula pasir


* garam




* secukup rasa. Ikut citarasa sendiri.




Cara:


1. Masak agar-agar dengan air hingga hancur.


2. Masukkan santan ,gula dan garam


3. Tapis dan tuangkan ke dalam acuan. Bila dah sejuk boleh keluarkan atau potong.




Senang , ringkas dan sedap




Selamat Mencuba


Sunday, June 26, 2011

Busy...busy...busy....

Dah lebih seminggu tak up-date blog. Bukannya tak masak atau tak ada order dari kawan2 , tapi terlalu sibuk seminggu dua ni. Tempahan2 pun tak sempat nak posing.Mulai minggu ni KPY dah start nak buat sample biskut raya. Dealer2 KPY dah sibuk bertanya....Nampak gayanya resipi2 buat masa ni susah sikitlah KPY nak masukkan tapi kalau ada masa terluang nanti InsyaAllah. Layan je la gambar2 yg mana ada tu ya.....











Sunday, June 19, 2011

Talam Sagu Durian



Petang minggu ni KPY buat talam sagu durian. Yummmmm. Sedap sangat. Baru sekejap tadi husband balik dari Shah Alam , dia bukak tudung saji ada talam dalam pinggan seperti gambar kat atas tu. KPY cakap makanlah....Dia kata ....Ngapa ? tak menjadi ke? Beriya-riya suruh makan tu... Bila husband makan sepotong ... tak terkata dia ....ooooo sedapnya.

Durian tu KPY beli kat luar Giant masa pergi ambik anak dari tuisyen. Walaupun mahal sanggup beli sebab dah lama tak makan durian....Layan resipi ya. Buat sikit je. Kalau kawan2 nak buat saiz biasa tu 10 inci x 10 inci kena buat double lah ya.



Lapisan Bawah:
140 g sagu kecil ( mata ikan ) - basuh dan toskan

40 g sohon ( rendam hingga lembut dan potong pendek )

25 g kelapa parut putih

200 ml santan

1/2 tsp garam

pewarna hijau



Cara:

1. Gaulkan kesemua bahan di atas dan tuang ke dalam loyang bersaiz 7 inci x 7 inci yg dialas plastik.

2. Kukus selama 20 minit



Lapisan atas :


125 g isi durian

1 biji telur (A )

300ml santan pekat( perahan pertama )

100 g gulapasir

55 g tepung gandum

2 tsp tepung jagung

1/2 tsp garam

pewarna kuning



Cara :

1. Kisar semua bahan. Panaskan di atas api hingga naik wap.

2. Tuang ke atas lapisan pertama tadi . Kukus selama 25 minit atau hingga masak.

* Pastikan wap air pada penutup kukusan sentiasa dilap agar tidak menitik ke atas talam tadi .

kalau ada air menitik talam jadi tak cantik - berlubang-lubang.

Saturday, June 18, 2011

Daging Singgang

Hari ni kita masak lauk yang tak de lemak-lemak atau masak benda2 manis.Masak lauk yang masam2 je- rebus air je dan bagus untuk kesihatan ( agaknya -tapi daging tu kalau yang ada lemak/urat2 sikit tu lagi sedap ). Ni cara masak stail KPY. Ada la bahan yg tak sama dengan org lain.


Daging Singgang


Bahan :

300 g daging - dihiris nipis

3 ulas bawang merah - mayang

3 ulas bawang putih - mayang

2 cm halia - hiris nipis ( mcm gambar )

2 cm lengkuas - hiris nipis

5 keping asam gelugur

garam

cili kering - 2 tangkai / cili api ( ikut suka tahap kepedasannya )

1500 ml air ( agak banyak utk 300g daging tu , tapi sebab kita nak rebus lama sikit-nanti air tu

akan berkurangan sementara daging empuk )
* KPY tak letak rempah ketumbar tapi ada org letak


Cara :

1. Masukkan kesemua bahan kecuali garam. Rebus sampai daging empuk .

2. Masukkan garam secukup rasa.

* boleh la kalau nak letak penambah perasa ( tok aji ) - sikit je...

Sambil Menanti.......

Sambil menanti biskut yg dalam ketuhar tu masak ( esok2 KPY masukkan gambar biskut ) KPY postkan gambar order beberapa minggu lepas. Ada juga yg tak diambil gambar sbb hiasannya sama je.Thanks Kak Uli , Maslina , Norlilawati , Kak Mala , Pn. Fam , Sharizawati dan lain2 tu yang selama ini menjadi tulang belakang KPY.

Dalam masa terdekat ni KPY akan mula menerbitkan biskut2 untuk tempahan Hari Raya 2011. Tunggu..........To my dealer , sabar ya.... tak sabar2 nak sample. Belum masuk bulan Sya'ban lagi.Yang sebenarnya KPY agak sibuk sikit dengan urusan kerja....