Nov 27, 2018
Ujian untuk di Syukuri?
Selamat datang anakku Muhammad Iman ke dunia Autism.
Baru di sahkan oleh doktor pakar yang anak aku seorang OKU.
Syukur dengan ujian ini sebab masih banyak nikmat hidup yang
lain boleh digunakan sebagai bahan tambahan untuk mensyukuri ujian ini.
Bagi mereka yang belum tahu, Autisme ni adalah sejenis
kecacatan neurologi, iaitu pada luaran si anak nampak sihat, tapi cara mereka
berfikir dan berkomunikasi atau memahami dunia adalah sangat berbeza.
Sebab tu waktu korang jalan-jalan dan tiba tiba ada nampak
budak mengamok dengan sangat kuat walaupun ibu bapa dah pujuk tapi masih
mengamok, jangan cepat korang viral di facebook konon si ibu bapa tak reti jaga
anak, lepas tu tulis jika anak aku, sekali jeling dah senyap. Perghhh,
bongkaknya.
Jangan berlagak dengan kejahilan diri, sebab Allah belum uji
korang dapat anak Autisme lagi.
Si anak Autisme ni selain suka mengamok, mereka juga suka
menggigit, sangat aktif, tidak kenal takut atau bahaya dan suka bermain hingga
ke subuh. Memang penat sangat ibu bapa bila ditakdirkan mendapat anak Autisme
ini. Tapi anggaplah ini sebagai senaman jasmani dan rohani, bila penat itu
tanda nak sihat-Woha!
Anak Autism juga tak bercakap atau sangat lambat dapat
bercakap, tak suka dipeluk, dan jika mampu bercakap, tak mampu menjawab soalan
dengan betul. Cara mereka faham dunia tak sama macam kita yang normal.
Jika rujuk filem Jibam, begitulah susahnya ibu bapa nak jaga
anak yang unik ini. Juga filem Redha, yang mana perasaan sayang Razlan terhadap
anaknya semakin lama bertukar benci apabila mendapat tahu anaknya menghidap
penyakit autisme. Juga filem Jet Li tak berkungfu, Ocean Heaven, kisah seorang
bapa yang ada penyakit kanser dan cuba ajar anak autism berdikari sebelum beliau
mati. Anaknya di ajar naik bas dan pergi kerja sapu sampah, tapi sangat susah
nak didik jika tak kena dengan cara.
Dalam filem Unleashed (also known as Danny the Dog) juga
lakonan Jet Li sebagai budak Autism, telah di salah didik oleh penjahat dan beliau
menjadi pakar membunuh yang sangat dahsyat hinggalah Jet li bertemu bapa angkat
Morgan Freeman seorang buta yang mengajar Jet Li kembali menjadi manusia.
Begitulah sedikit gambaran suka duka kehidupan ibu bapa
sewaktu dapat anak Autisme. Selalu jika bersembang dengan ibu bapa yang ada
anak autisme, mereka sedang menunggu nunggu si anak dapat memanggil mereka
“ibu” buat pertama kali sebab anak autism lambat mengenal ibu bapa sendiri.
Sedih kan?
Anak saya Alhamdulillah, sudah memanggil nama ibu bapanya
sewaktu berumur 4 tahun, namun sekarang masih tidak mampu membuat ayat, dan
menjawab dengan jawapan yang salah. Pelan pelan kayuh.
Korang mungkin ada pernah baca kisah bapa yang tak faham
anak ada autism lalu hilang sabar dan pukul si anak, anak tak faham kenapa dia
dipukul, si anak menangis dengan matanya bersinar tidak mengerti, kenapa saya
dipukul dan dimarah?, melihat mata ini, sibapa insaf, lalu bila berjumpa doctor
dan disahkan anak ada autisme, sibapa rasa sangat bersalah memukul si anak lalu
berhenti kerja dan bagi masa pada anak sepenuhnya untuk memahami dunia si anak.
Selang beberapa tahun, anak yang tak tahu bercakap, sewaktu
masuk tidur, dalam kepenatan si bapa berkata; “Nanti jumpa Tuhan, bawalah ayah
masuk syurga” tiba tiba anak menjawab: “Boleh ayah” terus si ayah menangis.
Alamak, kenapa mata masuk habuk pulak ni.
Pada masa kini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat
dipulihkan. Diagnosis dan latihan awal amat penting bagi perkembangan masa
hadapan kanak-kanak autism agar mereka boleh hidup berdikari, maka bantulah
bagi sokongan moral dan lain lain bantuan kepada ibu bapa yang ditakdirkan
Allah mendapat anak autisme ini.
Sungguh, Tuhan menduga mereka, dan Tuhan juga akan menduga
kita, setiap orang akan mendapat potongan kek masing masing, semua ini adalah
ujian hidup di pentas dunia. Dan Syurga dihias indah berdasarkan keimanan,
kesabaran, keredhaan, dan kesyukuran kita.
Nikmat terbesar selepas mati adalah bila kita dapat masuk
syurga bersama-sama satu keluarga. Semoga kita semua mendapat nikmat ini.
kepada Iman anak ku, ayah tanya soalan, banyak yang kamu
diamkan, mata nak jawab tapi lidahmu kelu, ayah cadang, simpan sahaja semua
jawapan soalan ayah nanti di syurga sebab kat sana kita borak panjang panjang.
InsyaAllah.
Woha!
Nov 21, 2018
Kisah sedih-Tuhan Menduga kita?
(Tuhan Menduga kita semua termasuk Hamka KeretaMayat. Sila sediakan sapu tangan sebelum air mata korang menitis
membahasi pipi)
Aku selalu dapat soalan, kenapa nasib encik Hamka selalu
baik? Sebab selalu nampak ceria di FB, cerita pulak selalu best best? Seperti
Rumah tangga yang indah, kesihatan yang baik, buku yang selalu terbit, anak
yang comel, pergi jalan sana sini, naik gunung tinggi-tinggi, melancong tempat
best, buat kursus ramai peserta, duduk rumah sendiri bukan menyewa, cerita
pulak selalu lawak dan macam macamlah, Apa rahsia?
Korang nak tahu Rahsia akan kenapa aku selalu bernasib baik?
Baik! Aku akan kongsi tip bagaimana nak sentiasa bernasib
baik, baca sampai habis, tapi sebelum itu aku nak bagitahu kenapa aku kelihatan
selalu bernasib baik di mata korang, nak tahu?
Sebab aku merahsiakan nasib yang tidak baik. Simple sahaja.
Aku ada kisah gelap, aku ada derita, aku ada menangis, aku
ada medan kesedihan tersendiri, tapi aku tak cerita sebab bukan semua cerita
boleh dikongsi lalu aku pendam sendiri.
Sesungguhnya, Internet ini adalah medan bersosial, ada orang
berkongsi ilmu dan cerita yang indah sahaja, (aku lah tu) ada orang yang
berkongsi kisah sedih dan tertindas, dan ada orang yang mengeluh dan pelbagai
lagi. Terpulang.
Jadi hari ini, aku nak buat kelainan, sebab aku sudah sedia
nak bercerita sedikit tentang kisah Tuhan menduga Hamka Keretamayat dan
bagaimana aku hadapi ujian ini.
Alkisahnya, dua bulan lepas, kebimbangan aku menjadi
kenyataan, dari dalam bilik doctor pakar, anak aku yang nombor lima, namanya
Iman, di sahkan OKU oleh doctor pakar otak, dapat sahaja berita ini, aku tanya
bini, “Awak okey tak?”
Bini aku tidak menangis, termenung sekejap dan berkata.
“Saya ingat pesan abang dalam buku yang abang tulis, bila
Allah uji kita, jangan tanya KENAPA, sebab nanti dapat jawapan yang salah, ini
adalah Special Request dari Allah
Perghh, aku pulak yang terharu dengar jawapan bini, aku
peluk dia dengan erat, dalam hati aku berkata: betul, jangan pernah tanya
soalan KENAPA Allah Uji kita, sebab nanti akan dapat jawapan yang salah.
Contoh bila kita tanya: Kenapa saya yang di uji? Kenapa anak
saya OKU, apa dosa saya? Tuhan tak sayang saya ke?
Tengok?!, dah bermula jawapan yang salah bermain di kepala.
Jadi jangan pernah tanya KENAPA kepada Allah dalam masalah
kita, sebab dulu sewaktu Allah cipta manusia, malaikat pun bertanya KENAPA
Allah cipta makhluk yang akan menumpahkan darah? Lalu Allah tegur: Aku lebih
Mengetahui!
Maka samalah ujian yang menimpa hidup kita, jangan tanya
KENAPA saya diuji sebegini rupa sebab Allah Maha Mengetahui, jadi nak tanya
soalan apa?
Jawapan yang betul, tanyalah BAGAIMANA.
Tanya diri, Tanya Allah:, BAGAIMANA dengan nikmat yang ada,
saya nak Syukuri ujian ini.
Perghhhhh!
Aku ulang.
Tanya diri, Tanya Allah:, BAGAIMANA dengan nikmat yang ada,
saya nak Syukuri ujian ini.
Jadi jawab Puan bini:
“Abang, sekarang mari kita fikir, BAGAIMANA dengan nikmat
yang ada, kita dapat Syukuri ujian ini!”
Lalu kamipun mulai mendapat jawapan yang betul, pertama
tama, Allah uji sebab kami mampu hadapi ujian ini, dan pada masa yang sama
Allah masih banyak bagi nikmat lain sebagai bahan untuk kami hadapi Special
Request from God,
Alhamdulillah OKU berlaku pada anak bungsu, aku ada empat
anak lagi yang normal, pandai, kacak dan cantik, Jadi aku akan gunakan abang
dan kakak si adik OKU untuk bantu masalah ini. Jika aku mati, InsyaAllah, adik
Iman masih ada abang dan kakak yang normal untuk bantu dia.
Selain itu, semua tahu, kos rawat anak OKU agak mahal, maka
mungkin nanti Allah akan bagi rezeki yang tidak di sangka sangka, InsyaAllah.
Mungkin buku akan bertambah laris, jemputan berceramah akan selalu kerap, dan
pelbagai projek akan datang kita semua mana tahu? Sangka baik pada Allah.
Inilah special request from God!
'Special Request' bermaksud:-
Janganlah kita mengaku beriman sebelum kita di uji, Dan
kerana itu Allah menguji kita, kerana Allah sayang pada kita, kerana kita
‘special’ dan kerana itu ‘request’ di sini adalah sabar, redha, baik sangka dan
yang semakna dengannya kerana apabila beginilah caranya Allah hendak selamatkan
kita dari azab api neraka yang panas membara dan apabila beginilah caranya
untuk Allah masukkan kita ke dalam syurga yang kekal abadi, bukankah
penderitaan dan request ini menjadi indah dan special?
Mungkin kerana itu para Sahabat dan ulamak rasa 'Special’
apabila di uji atau menderita kerana faham hakikat ini.
Perghhh!
Pada masa yang sama, ingat pesan nabi suruh tengok orang
bawah waktu susah, so baru-baru ni di Majalah tiga, tengok anak OKU orang lain
yang jauh lagi menderita berbanding anak aku, ada yang terbaring, berlampin,
tak boleh bercakap, dan macam-macam lagi. Sungguh tinggi Special Request from
God to them!
Lantas aku teringat sorang makcik dalam TV dulu-dulu waktu
jaga anak OKU yang terbaring lumpuh tak boleh berkata kata, makcik ini sudahlah
miskin, suaminya juga lumpuh, dan semua anaknya OKU hingga tak kenal siapa mak
dia. Makan bersuap, mandi dan bersihakan najis, semua maknya yang urus.
Waktu wartawan ada bertanya soalan: “Apa harapan makcik pada
anak?” Sebab anak makcik tu dah besar, umur 20-an, tapi masih lumpuh, berak
kencing masih di jaga mak, dan si anak masih belum boleh bercakap, jawapan
makcik ni buat air mata lelaki aku tumpah.
Kata makcik tu..
“Harapan makcik..., makcik nak jaga dia sepanjang hidup
makcik, dan sebelum makcik mati, makcik harap sangat dapat dengar walau sekali
dari mulut dia, anak ini panggil makcik .. emak..”
Makcik tu menangis kesat air mata dengan hujung baju, aku
pun menangis jugak sebab aku rasa sampai ke matipun makcik tu tak akan dapat
nikmat anak mengenali beliau dan dapat memanggil “Mak” walau sekali seumur
hidup. Oh…,
siapa yang potong bawang ni? Sob..sob…
Sesungguhnya, Makcik tu jauh lebih mulia dari aku sebab
ujian dia lebih besar dari aku, Special Request dia lebih Special! anak aku
walaupun OKU, masih kenal siapa ayah dan ibunya, boleh panggil nama ayah bila
dia ada masalah. Sob..sob.. tapi makcik?
Bertabahlah makcik, walaupun ujian makcik jauh lebih besar
dari saya, pun masih ada orang yang jauh lebih menderita dari makcik iaitu si
anak syurga makcik sendiri sebab dia juga ada roh dan perasaan, dia juga sedang
menderita sebab dialah pejuang sebenar di medan derita, makcik hanya membantu
perwira yang sedang berjuang seberat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul,
Dan yakinlah makcik suatu hari nanti, anak Syurga Makcik
akan jerit nama makcik di pintu syurga, beliau akan jerit dengan suara yang
indah, wajah yang indah, pakaian yang indah.
Makcik mungkin tak kenal dia dalam syurga, lalu anak makcik
menyanyi lagu Eric Clapton yang bertajuk Tears In Heaven. (Air mata dalam
Syurga)
“Would you know my nameeeeee, If I saw you in heavennnnn?”
(Kenalkah kamu akan diri ini, jika aku ternampakmu di
syurga?)
Ya, makcik, itulah anak makcik yang jauh lebih hensem dari
Eric Clapton! Peluklah dia dipintu syurga dan bahagialah makcik selamanya!
Tahniah sebab lulus ujian menjaga anak OKU di dunia yang
sementara, tahniah!
Ok, Aku sapu air mata kejap, dan anak lain datang bertanya:
“Ayah, kenapa adik Iman ayah cakap anak syurga, kami ni
bukan anak syurga ke?”
Oh, anak, Iman anak syurga sebab dia OKU, tiada dosa untuk
dia, dan bila adik Iman meninggal dunia kelak, dia akan terus masuk syurga,
jadi syukur Alhamdulillah ayah ada anak syurga, mudah mudahan adik Iman akan
dapat tarik ayah yang banyak dosa ini ke syurga dengan lebih cepat.
“Jadi kami ini belum tentu ke syurga?”
Anakku, jika kamu besar nanti jadi orang baik, akan tetap
jadi anak syurga ayah, tapi sebab kamu semua bukan OKU, maka dosa pahala akan
di kira. Maka berbuat baiklah kerana Allah Maha Adil.
“Best lah ayah ada anak OKU”
Eh? Korangpun best sebab ada adik Syurga, jika korang
tunaikan hak adik Iman, Insyaallah, Adik Iman akan turut sama tarik abang dan
kakaknya ke Syurga.
“Wah, bestnya, nak pergi layan adik syurga dengan baik
sekarang!”
Lalu anak aku yang lain memeluk adik Iman yang OKU, bermain
bersama dan sentiasa mengalah dan selalu tunaikan hak kasih sayang dari abang
dan kakak kepada adik Iman.
Aku dan Puan bini perhati dari jauh, air mata kami tumpah
dalam kesyukuran, InsyaAllah jika kami mati, abang dan kakak adik Iman ada, dan
yang paling penting, Allah ada dan Dia sentiada Ada.
Terima kasih Allah atas segala ujian.
Sekiranya beginilah caranya Allah nak ampunkan dosa kami,
alangkah ringan-nya penderitaan ini...
Dan apabila beginilah caranya Allah nak selamatkan kami dari
azab api nereka dan masukkan kami ke dalam syurga yang kekal abadi, alangkah
'indah-nya' penderitaan ini.
Terima kasih Allah atas nikmat mendapat anak Syurga.
Woha!
Ps: So kepada semua ibu bapa yang ada anak OKU, Please
welcome me to the club. Thank you.
Nov 16, 2018
Bagaimana nak dapat kemanisan beragama?
(Cerita ringkas dan mudah tentang ilmu Hakikat dan Maarifat dalam Islam oleh pakcik pemancing)
Korang pernah drive kereta dengan orang tua pergi tempat
jauh? Lepas tu pakcik tu senyap sahaja, korang nak bukak lagu rock XPDC pakcik
tu bukannya layan, nak bukak lagu Mat Saleh lagilah pakcik tu tak layan.
Nak bukak radio mengaji karang, hati korang pulak yang gelap
akan mengantuk waktu memandu.
Jadi nak borak tentang apa dengan pakcik yang membisu
dikerusi penumpang tu?
Nak borak pasal Najib, Najib dah jatuh.
Nak borak pasal Kerajaan baru, rasa macam kena kencing
pulak.
Habis tu nak borak apa?
Hah! Inilah fungsi blog keretamayat, idea for better life! Fight
of Mediocrity!
So apa kata korang ajak pakcik yang membisu dikerusi sebelah
sembang bab Hakikat, Syariah, Tarikat, Maarifat agama Islam!
Tentu pakcik tu pun akan teruja, ya! Tahu! Tajuk ni tinggi.
Tapi aku akan ajar korang borak cara santai bab tinggi ni dengan ilmu tamsilan
yang mudah faham.
Mula mula korang Tanya pakcik membisu tu:
“Pakcik tahu Apa itu hakikat ugama?”
Mungkin pakcik tu jawab:
“Imu hakikat ni tak boleh cerita dengan ayat biasa, ilmu ni
akan datang bila korang kenal MAARIFAT ALLAH”
Itu jika pakcik tu jawablah, jika dia membisu jugak, korang tanya
soalan lain pulak:
“Pakcik tahu Apa itu Maarifat Allah?”
Mungkin pakcik tu jawab:
“Ilmu ni tak boleh belajar melalui siapa siapa pun, ilmu ni
hanya akan datang bila korang belajar TARIKAT NABI”
Itupun jika pakcik tu jawablah, jika dia masih membisu
jugak, korang tanya soalan lain lagi dan lagi:
“pakcik tahu. Apa itu tarikat Nabi?”
Mungkin pakcik tu jawab:
“ilmu ini, korang akan dapat bila faham SYARIAT ISLAM”
Kalau pakcik tu jawablah, jika masih membisu seribu Bahasa,
korang Tanya pulak soalan ni:
“pakcik tahu Apa itu syariat Islam?”
Bosan dengan soalan korang yang bertalu talu, mungkin pakcik
tu akan luahkan ilmu yang dia pernah sembunyikan jika ada, atau akan merepek
cerita ilmu sesat yang dia pernah belajar, waktu tu korang diam jer, biarkan
dia bercakap, niat asal nak ajak pakcik bersembang agar mengantuk hilang, niat
kedua, nak wujudkan suasana agama dengan bercerita tentang kebesaran Allah.
So, biarkan pakcik tu nak cerita ilmu tasauf dia, kisah tok
guru dia boleh jalan atas air macam labah labah, kisah tok guru dia boleh hidup
dua alam macam katak, kisah tok guru dia tak makan tujuh hari macam ular sawa
kenyang, biarkan.
Memang orang tua bila bersembang, tak terjangkau akal kita
memikirkannya, lalu keluarkan kisah wali dan tok keramat, kisah wali makan
durian depan kaabah, atau mungkin kisah minyak dagu mayat pengasih Cinta pun
akan dikeluarkan, so ini peluang untuk kita belajar ilmu dari orang yang jauh
lebih tua sewaktu terperangkap dalam kesasakkan jalan raya.
So panjang sudah pakcik itu bercerita, apa yang aku dapat
ingat, ilmu Syariat adalah segala kehendak Allah dari segi perintah dan
larangan. Boleh lah aku katakan syariat ini sebagai hukum-hakam Allah yang
tertulis dalam Al-Quran, makala Tarikat pula adalah cara melaksanakan
hukum-hakam berdasarkan hadis,: dan sudah tentu cara Nabi!, sebab tulah ada orang
alim menyebut Tariqat Nabi, contoh:
Allah telah mengsyariatkan seruan Azan dan solat, maka
tarikat azan dan solat adalah cara Nabi iaitu azan dalam bahasa arab, tak boleh
guna Bahasa kebangsaan, dan solat berjemaah tempat azan di azankan. Jadi ilmu
syariat dan tariqat ni wajib semua orang islam belajar di awal awal keislaman sebagai
asas menjadi orang beriman sebagaimana orang terdahulu beriman.
Manakala ilmu maarifat dan hakikat memang tak dapat belajar
dengan berguru, ilmu ni Allah akan bagi bila korang buat pengorbanan dan
mujahadah yang betul. Maarifat ini adalah ilmu mengenal Allah dan Hakikat
adalah ilmu paling tinggi yang bolehlah aku ertikan sebagai kemanisan beragama
atau kemanisan berhubungan dengan Allah.
Begitulah istipati pakcik tu cerita, so lepas tu pakcik tu
pun diam balik, dan tibalah giliran korang pulak nak sembang, atau dalam kes
korang pulak, mungkin memang dari awal pakcik tu diam tak nak sembang, tapi
korang tetap ajak pakcik tu sembang.
Korang Tanya pakcik tu lagi:
“Boleh tak saya nak kongsi kefahaman ilmu syariat, tarikat,
maarifat dan hakikat seorang pemancing ikan, boleh?”
Terkejut pakcik tu bila korang nak cerita kefahaman ilmu syariat,
tarikat, maarifat dan hakikat seorang pemancing ikan. Biarkan dia terkejut,
lalu korang pun bercerita.
1. Syariat seorang pemancing.
Semua pemancing ada Syariat memancing iaitu ilmu
undang-undang atau hokum hakam memancing seperti, mesti ada joran, joran kena
ada tali, kena ada mata kail, kena ada umpan, dan ini adalah syarat-syarat sah
untuk memancing, jadi untuk dapat ilmu ini kena belajar dari guru pemancing
yang berpegalaman.
2. Tarikat seorang pemancing.
Ok, Dah pandai dan dah faham hukum-hakam memancing, dah
pandai pilih joran, tali, mata kail, dan umpan, sekarang korang kena ikut
‘tarikat’ atau perjalanan yang betul iaitu memancing mestilah di tempat yang
ada ikan, tak boleh memancing kat telaga buta, dalam baldi , kat indah water sebab
itu adalah ajaran sesat tarikat memancing, jadi kena rujuk pada pakar pemancing
iaitu memancing mestilah di jalan yang benar, atau di tempat yang benar
seperti, tasik, sungai, laut atau kolam memancing. Ilmu ini kena belajar dari
guru pemancing yang berpegalaman.
3. Maarifat seorang pemancing
Hah! Yang ni tak boleh nak belajar dari guru sahaja, kena
berlatih dan terus berlatih, kena korban masa korang banyak-banyak memancing
ikan dipelbagai tempat, cuaca dan masa, maka akhirnya korang akan dapat ilmu
Maarifat memancing, seperti tengok air dah tahu ikan apa yang ada, tengok arus
air dah tahu ikan banyak mana, tengok kocak di air, sudah tahu jantan betina, tengok
umpan dah tahu ikan apa yang akan makan, tengok warna air dah tahu berapa ekor
ikan yang tinggal di penempatan itu, tengok buih-buih dah tahu berapa kilogram
ikan yang akn timbul…pendek kata profesional tahap gaban! Tahniah!
4. Hakikat seorang pemancing.
Akhir sekali, Hakikat seorang pemancing, atau ‘kemanisan’
memancing! yang ni aku tak reti nak terangkan, tapi member aku ada yang dah
dapat hakikat memancing, orang macam gini biasa korang boleh tengok waktu
maghrib pun duduk memancing lagi, tak peduli nyamuk gigit, tak peduli turun
hujan ribut, kadang-kadang duduk bertenggek kat jambatan dari magrib hingga ke
subuh. Jika memancing dalam hutan, harimau pun takut nak dekat, boleh tidur sambal
pegang jorang tak bergerak. Lebih dahsyat kawan aku ni, hari raya aku nak pergi
solat raya jam lapan pagi, dia boleh bawak joran nak pergi memancing, memang
dah dapat hakikat betul, sampai satu tahap bini nak bersalin pun boleh pergi
lagi, inilah hakikat tahap gaban!
Kesimpulan:
Jadi berbalik pada syariat agama, korang dan aku dan seluruh
ummat kena cari ustaz berguru, dan belajar amal dengan cara yang betul, dengan tariqat
yang betul iaitu cara Nabi dan Ulamak, lepas tu korang istiqamah dan buat
pengorbanan baru dapat maarifat Allah, baru dapat mengenal Allah, nak belajar
korban, hayati kisah Nabi Ibrahim alahisalam.
Bila korang ada makrifat agama, bab mencari hikmah dalam
takdir buruk menjadi mudah, sebab korang akan faham bahawa hikamh adalah nasib
baik yang menyamar dalam takdir buruk, dan korang akan faham dengan sebenar
benar faham bahawa segala yang berlaku di dunia ini adalah dalam kehendak Allah,
tidak ada satu pun yang berkebetulan, yang baik dan buruk semunya dari Allah!
Ini rukun iman yg ke enam!
Ramai orang jadi sesat bila belajar bab
takdir..nauzubillah…
Maka dalam bab Makrifat, fahamilah bahawa semalam adalah
takdir yang berlaku dalam kehendak Allah, hari ini dan esok rancanglah dengan
sangka baik pada Allah kerana hari ini dan esok juga akan menajdi semalam.
Faham tak? Tak faham maka belum dapat ilmu Makrifat!
Akhir sekali, korang akan dapat hakikat agama selepas korang
mengenal Allah, apa itu hakikat ugama?, itulah satu hubungan yang penuh asyik
dengan Allah, kemanisan dalam ibadah, kemanisan dalam dakwah, kemanisan dalam
zikir, dan bila kita sudah merasai hakikat agama, maka pasti akan rasa pahit sekali
bila meninggalkan suruhan Allah!
Hari ni buat ibadat rasa malas, buat maksiat rasa seronok,
memang jauh lagilah marifat dan hakikat agama nak datang dalam diri.
Akhir kata,
1. Ibu segala syariat adalah: Kalimah Tauhid.
2. Ibu segala tariqat adalah: Solat berjemaah.
3. Ibu segala Maarifat adalah: Dakwah
4. Ibu segala Hakikat adalah: Tahajjud
Begitulah panjang lebar aku cerita pada pakcik di sebelah,
dan pakcik tu terus membisu, matanya dipejam, adakah dia sedang insaf. Sekali
tidur rupanya.
Woha!
Pakcik tu dah dapat Sakinah, sakinah dalam mendengar
ceramah, apa itu sakinah? Alamak panjang pulak nak cerita, lain kali kita
cerita, pakcik tu pun dah tidur, teruskan memandu sambal layan lagu sakinah
dari XPDC!
“bila kenal Sakinah, kenal diri siapa sebenar!”
Woha!
Ps: Seseorang yang telah mendapat kemanisan Islam maka tidak
ada mana-mana agama pun dapat rosakkan dia, dan seseorang yang tak dapat kemanisan
Islam maka tida ada mana-mana agamapun dapat memberi kamanisan sebenar kepada dia,
Islam adalah manis! Bagi mereka yang mendapat hakikat!
Nov 15, 2018
Pernah dakwah bapuk?
(Ini bukan kisah menyepak Gay di pintu Syurga, ini kisah rindu bapuk di Taman Syurga)
Waktu tu di Kelantan kira kira dua puluh tahun yang lampau,
so bile jumpa bapuk duduk lepak depan rumah, kita dakwahlah dia, salam macam
biasa sebab dia lelaki, yang tahu dia ni bapuk bila nampak cara berpakaian ala
ala metroseksual, dan bersuara lembut macam perempuan, dan gedik macam pondan.
Ajaib!, dia nak ikut program iktikaf tiga hari, cash!
So pendek cerita dia sangat seronok dapat berkenalan dengan
abang abang janggut, waktu tu aku muda dan geng Jemaah pun ramai yang muda,
tidur pun nak himpit himpit, tapi ustaz dah pesan awal, tidur tak boleh satu
selimut dan tak boleh terlalu rapat.
So takde kejadian buruk, semuanya cerita yang baik baik,
bapuk ni malam-malam bangun tahajjud sambil menangis..,
Dengar dia menangis, korang pun dah tak selera nak tidur. So
Bapuk juga manusia, dan bila Allah bagi hidayat, tiada siapa boleh halang.
Dalam kesungguhanya bertaubat, ada kenangan yang agak lawak,
iaitu dia teringin sangat nak berceramah magrib, ok, ustaz bagi can.
Dia pun bercerita tentang Iman adalah mutiara.
Apa yang lawak?, sebab dia tafsir lirik lagu Raihan..
Contoh ceramah dia dengan suara lembut...
“Abang abang nak tahu tak kenapa iman adalah mutiara? Sebab
mutiara ini tiada ditepian pantai..”
Lepas tu dia senyap sekejap, bernasyid secara perlahan nak
cari idea dan sambung ceramah.
“Iman juga tak dapat di jual beli yer Abang-abang sebab iman
tak boleh diwarisi dari ayah yang bertakwa, buatlah apa juapun, mendaki gunung
yang tinggi, renang lautan api..”
Lepas tu dia hilang idea dan sambung menyanyi secara
perlahan lahan siap angguk angguk dan teruskan berceramah. Lawak tapi deep.
Kami semua kagum dengan kesungguhan dia nak berceramah.
So tip jugak ni, jika takde idea nak bercermah, ingatlah lirik lagu Nasyid-kah kah kah!
Lagi satu pengalaman tak boleh lupa, bila malam dengar dia
berdoa sambil menangis lepas solat tahajjud, yang syahdunya, dia bukan berdoa
sambil menangis, dia nyanyi lagu nasyid sambil menangis.
“Tuhanku.., aku tidak layak masuk syurgamu…, tapi tak
berupaya menghadapi api nerakamu.., terima taubatku.. dan ampunkan dosa dosaku,
sesungguhnya engkau mengampukan dosa hambamu..”
Lepas tu menangis teresak esak, dan sambung,,
“Tuhannnnnnnnnnn, kuuuuuuuuuuuu “
Adohai.., memang nak kena suruh slow sikit suara maklumlah
jam sudah tiga pagi, tapi dalam kegelapan malam, tak jumpa pulak dia dalam saf masjid, rupanya dia solat di
tempat wanita, dengan bertemankan lampu luar masjid, aku selak kain tirai.
Fuhhh lega, sebab apa yang terbayang dalam otak aku tidak menjadi kenyataan, nampak dia elok sedang menangis sambil bernasyid.
Kenapa aku lega?
Sebab dia tak pakai kain solat perempuan, kalau
tak, terkejut mak!
Woha!
Kemuncak program dia nak ikut ke Markas Dakwah di Kelantan,
sampai sana dia ikut Jemaah lain sebab aku dah nak balik Terengganu lalu
kamipun berpisah.
Sampai sekarang aku dah lupa nama dia, dan tak pernah jumpa
dia.
Adakah dia sekarang menjadi tauke jual produk kecantikkan? Atau
sudah meninggal dunia dan sedang bahagia di Taman syurga bersama bidadara?
Kubur asing asing, tapi aku rindu kawan kawan yang ada
dikubur bahagia.
Jumpa di sana sahabat, tingkat lapan, Syurga Firdaus.
Woha!
Nov 2, 2018
Ngeteh di Kubur Ayah?
(Ku renungi, gambarmu, ku baca surat suratmu... kata Sudirman)
Bayangkan satu hari, seorang doktor mengesahkan kita ada kanser dan jangkaan hidup sudah tidak lama.
Bayangkan satu hari, seorang doktor mengesahkan kita ada kanser dan jangkaan hidup sudah tidak lama.
Tentu kita bingung sekejap selepas mendapat berita ini.
Maklumlah, Filem-filem DC Extended Universe dan Marvel Cinematic Universe pun
masih banyak yang belum ditayangkan. Masih belum bergaduh dengan bini tentang
poligami. Malah pergi haji pun belum ada rezeki. Aduhai...
Tapi, Oleh sebab doktor itu pakai cermin mata macam Clark
Kent dan handsome seperti Superman, saya terus teringat cerita Superhero itu
yang merupakan mangsa buang bayi dari angkasa. Superman dibuang ke bumi bukan
sebab anak haram atau ibu bapanya miskin tetapi planetnya berdepan kiamat yang
membunuh ayah dan ibu serta semua bangsanya. Jadi sebelum planetnya musnah, ibu
bapanya sudah merancang untuk membuang Superman ke planet lain yang penguninya
serupa dengan mereka.
Sebaik Superman jatuh ke bumi ketika masih bayi, beliau
telah dipungut oleh petani yang baik hati. Kebetulan pula warna kulit dan
bahasa mereka sama, jadi tinggallah Kal-El (nama sebenar Superman) sebagai
manusia di bumi. Masa berlalu pantas, Kal-El masih cuba menyesuaikan diri tapi
terlalu banyak dugaan hidup di bumi yang membuatkan beliau sedih. Namun
kesedihan Superman tak lama kerana ayahnya ada mengirim ‘surat’ yang mampu
menjawab semua masalah dan persoalan Clark Kent (nama baru di bumi).
Maka Jor-El (nama sebenar ayah Superman), walaupun sudah
mati namun masih mampu slow talk dengan si anak pada bila-bila masa menggunakan
‘surat’ canggih yang boleh mengeluarkan imej 3D. Dapatlah Clark Kent ‘mengeteh’
bersama hologram ayahnya yang sudah mati. Untungkan?
Alangkah bagusnya jika remaja di luar sana yang sedang
bersedih kerana hidup tanpa ayah secara tiba-tiba si ayah yang sudah arwah
rupa-rupanya ada mengirim ‘surat’ yang mampu menjawab semua masalah kita,
alhamdulillah.
Lalu buku ini ditulis sebagai surat kepada anak-anak saya
khasnya dan seluruh anak-anak di dunia amnya. Alahai, kiranya macam cerita Kuch
Kuch Hota Hai yang mana mendiang Tina (Rani Mukherjee) menulis surat kepada
anaknya, Anjali yang perlu dibaca pada setiap kali hari lahirnya. Pada hari
jadi ke-10, Tina menyuruh Anjali mencari awek lama (Kajol) ayahnya, Rahul
(Shahrukh Khan) dan kahwinkan mereka. Woha! Kerana itulah saya menulis buku
‘Ngeteh di Kubur Ayah’.
Jangan bimbang, saya tak buat wasiat menyuruh anak-anak
mencari pakwe lama ibunya macam Tina dan Anjali tu. Cuma nak beritahu, jika
nasihat Lukman Al-Hakim daripada seorang ayah kepada anaknya masih relevan
untuk kita, mungkin nasihat Hamka Kereta Mayat untuk anak-anaknya juga boleh
dipraktikkan di celah-celah kehidupan anda. InshaAllah.
Selamat ‘mengopi’ bersama ‘arwah’ di pusara dan selamat
‘mengeteh’ bersama ‘ayah’ di kubur. Nikmatilah perbualan ayah dan anak ini
sementara nyawa masih dikandung badan.
Ok, buku NGETEH DI KUBUR AYAH akan siap dalam masa dua
minggu, boleh order dengan harga sangat murah sebelum siap sebab bila dah siap
akan ikut harga pasaran, link untuk order
Pecah kaca pecah gelas, lepas baca sedekahkan al-Fatihah.
Woha!
Subscribe to:
Posts (Atom)