Thursday, November 4, 2010

Sumbangan Maruku Kpd Masyarakat India Kempas




PAS Kawasan Pulai telah berjaya mengedarkan maruku kepada Masyarakat India di Kempas. Mereka akan menyambut hari raya Depavali pada hari jumaat 5hb November 2010. Lebih 200 pek maruku telah diedarkan. Sambutan masyarakat India sangat memberangsangkan. Ramai daripada mereka yang menerima sumbangan merasa terkejut. Pada mulanya mereka menolak kerana menyangka PAS membuat jualan maruku. Setelah dimaklumkan bahawa maruku ini adalah percuma dan mereka juga melihat lambang PAS pada sisi maruku tersebut, akhirnya mereka mengukirkan senyuman sambil mengucapkan terima kasih.

Turut hadir dalam penyerahan maruku ini adalah Sdr. Abdullah Bin Idris, YDP PAS Pulai. Sdr. Suhaizan Kayat, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Kempas. Sdr. Zaba Ibrahim, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulai dan Dr Sustiyati, Ketua Dewan Muslimat Pulai.

Tuesday, November 2, 2010

18,493 Pengundi “Hilang Layak Undi Awam” Mencurigakan

Kenyataan Media

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat

2hb November 2010

18,493 Pengundi Hilang Layak Undi Awam Mencurigakan

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPR) dalam proses meluluskan Rang Daftar Pemilih Suku ke-3, 2010 dan sebarang bantahan adalah berakhir hari ini 2hb November 2010. Terdapat 18,493 undi yang termasuk dalam kumpulan pengundi Hilang Layak Undi Awam”. Kumpulan ini baru diwujudkan dalam rang suku ke-3, tahun ini. Mengikut kebiasaannya apabila seseorang pengundi menjadi pengundi pos maka secara automatik mereka akan hilang kelayakan sebagai pengundi awam. Terdapat beberapa kecurigaan terhadap isu ini.

Pertama : Bilangan yang luar biasa mencurigakan.

Bilangan 18,493 undi “Hilang Layak Undi Awam” adalah cukup besar. Mereka berkemungkinan besar adalah terdiri daripada isteri atau keluarga anggota tentera atau polis. Bilangan anggota tentera dan polis yang memohon sebagai pengundi pos adalah 76 orang sahaja berbanding dengan keluarga mereka yang memohon berjumlah 18,493 orang. Secara tidak langsung membawa maksud bahawa secara puratanya satu keluarga polis atau tentera mempunyai 243 orang ahli. Ini angka yang tidak munasabah. Tidak dinafikan keluarga anggota polis dan tentera boleh memohon sebagai pengundi pos secara berasingan dengan suami atau isteri mereka yang menjadi anggota terbabit. Tetapi pendaftaran secara beramai-ramai di suku ke-3 dan hampir dengan pilihanraya umum ke-13 adalah sungguh mencurigakan. Seolah-olah ada usaha saat-saat akhir untuk memberi kemenangan kepada pihak tertentu. Terdapat maklumat juga yang menyatakan bahawa terdapat isteri anggota keselamatan yang tidak mengetahui nama mereka telah dipindah daripada pengundi awam kepada pengundi pos. Mereka telah menjadi mangsa kepada golongan yang tidak bertanggungjawab.

Kedua : Kumpulan yang baru diwujudkan

Kumpulan pengundi “Hilang Layak Undi Awam” baru sahaja diwujudkan pada rang suku ke-3, 2010. Persoalanya apakah selama 12 kali pilihanraya sebelum ini tidak pernah timbul kumpulan pengundi yang hilang layak undi awam? Ke manakah mereka yang hilang layak undi awam selama ini dikumpulkan? Apa yang paling mencurigakan adalah walaupun kali pertama kumpulan ini diwujudkan tetapi mempunyai bilangan yang cukup ramai iaitu 18,493.

Ketiga : Negeri Kelantan, Kedah dan Perak Tertinggi

Jumlah tiga negeri yang paling ramai “Hilang Layak Undi Awam” adalah Kelantan (3,187 orang), Kedah(2,876 orang) dan Perak(2,007). Ironinya negeri terbabit adalah 2 buah negeri diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan sebuah negeri lagi telah dijatuhkan secara tidak demokratik oleh Barisan Nasional (BN). Kemenangan PR dengan majoriti kecil di peringkat DUN adalah sangat membimbangkan. Contohnya di negeri Kedah bagi DUN N24 Jeneri, YB. Yahya Abdullah(PR) menang dengan majoriti 67 undi sedangkan undi Hilang Layak Undi Awam” yang telah dimasukkan berjumlah 117 orang. Kemungkinan PR akan kalah sebanyak 50 undi dalam pilihanraya akan datang. Bagi DUN N26 Tanjung Dawai, YB. Dr Hamdan Mohd Khalib(PR) menang dengan majoriti 79. Undi daripada pengundi “Hilang Layak Undi Awam” yang dimasukkan ke DUN ini adalah seramai 105. Maka PR kemungkinan kalah dengan majoriti sebanyak 26 undi.

Keempat: Janji Pembaikan Sistem Undi POS masih kabur.

Selepas kekecohan pengurusan undi pos dalam pilihanraya Kecil Sibu lepas, Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof, Pengerusi SPR menyedari bahawa proses undi pos menyusahkan dan menggunakan terlalu banyak borang. Beliau berjanji mahu membuat perubahan terhadap sistem pengundian pos. Sehingga hari ini tidak diketahui apakah status cadangan beliau ini. Kewujudan pengundi “Hilang Layak Undi Awam” ini akan menambahkan bilangan pengundi pos. Bagaimana SPR mahu menghadapi pertambahan pengundi pos yang besar ini sedangkan janjinya untuk memperbaiki sistem undi pos belum menampakkan hasilnya? Selagi ruang manipulasi dalam undi pos masih ada maka pilihanraya di negara ini akan dipertikai oleh rakyat.

Bbagi memastikan sistem pilihanraya berjalan dengan adil dan telus maka SPR didesak menjelaskan kepada rakyat Malaysia persoalan-persoalan yang berbangkit berhubung dengan kumpulan pengundi “Hilang Layak Undi Awam”.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat.

Monday, October 25, 2010

Bukan UMNO Sahaja Pejuang Melayu.

Perhimpunan Agong UMNO ke-61 telah melabuhkan tirainya. Pemimpin-pemimpin UMNO bermati-matian berhujah yang merekalah pejuang Melayu sebenar. Mereka berkata PAS tidak sayang bangsa Melayu. UMNO sahajalah yang mampu memperjuangkan isu-isu orang Melayu. Jika UMNO tiada lagi atas mukabumi ini maka bangsa Melayu akan turut pupus bersama pupusnya UMNO. Inilah doktrin yang dipasak oleh pemimpin UMNO kepada ahlinya dan rakyat Malaysia. Maka dilakukanlah penjenamaan semula matlamat ekuiti 30% yang telah lama gagal dicapai. Bagi meyakinkan rakyat maka dilaungkanlah agenda yang hebat-hebat seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), 8 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP) dan pelbagai lagi yang menyebabkan orang Melayu di Kempas, Galas dan Batu Sapi terlopong mendengarnya. Pemimpin UMNO tidak rasa bersalah atas kegagalan sasaran ekuiti 30% bumiputra dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB) sebaliknya menyalahkan ahli UMNO bawahan dan rakyat marhaen yang kononnya menjual projek atas kepentingan peribadi. Semua hujah-hujah dalam perhimpunan Agong UMNO ini sekadar menjustifikasikan yang UMNO masih tetap relevan walaupun jasadnya sudah busuk sampai ke perut dan nafasnya sudah sampai ke halkum.

Sebenarnya banyak usaha yang telah dibuat oleh pelbagai pihak untuk memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Bukan UMNO sahaja yang memperjuangkan isu orang-orang Melayu. Semasa negara mahu mencapai kemerdekaan, penjajah telah memberi syarat kepada UMNO yang terkandung dalam Suruhanjaya Reid bahawa jika mahu merdeka maka UMNO mesti memberi kerakyatan Jus soli tanpa syarat kepada orang-orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India. Ini bermakna bahawa masyarakat Cina dan India yang telah dibawa oleh penjajah ke negara ini untuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah akan diserap masuk sebagai warganegara secara automatik. PAS yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi pada masa itu menentang keras dasar kerakyatan Jus Soli tanpa syarat tersebut. PAS bimbang bahawa kedudukan politik orang Melayu bakal terancam dan negara terdedah kepada manipulasi mereka yang tidak setia kepada negara. PAS mahu kesetiaan mereka diuji terlebih dahulu. Mengikut Laporan Tahunan 1953, jumlah mereka yang bakal diberi sijil kerakyatan adalah 11,798 di mana 4,379 orang Melayu(37%), 4,407 orang Cina(37%), 1071 orang India (0.9 %) dan 1,932(16%) orang bangsa-bangsa lain. Kedudukan ini akan menyebabkan nisbah Melayu dan bukan Melayu menjadi 37: 63. PAS telah menghantar memorandum kepada kerajaan mencadangkan kerakyatan Jus Soli bersyarat iaitu orang-orang bukan Melayu diberi masa 15 tahun tinggal di Tanah Melayu terlebih dahulu, kemudian barulah dibenarkan untuk menjadi rakyat negara ini. Matlamat PAS adalah jelas mahu melindungi politik orang Melayu dan menjamin keselamatan negara ini. Malangnya Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa memorandum seumpama ini akan melambatkan proses kemerdekaan. UMNO tidak berfikir panjang dan akhirnya menerima sahaja kehendak penjajah terhadap dasar kerakyatan Jus Soli tanpa syarat. Peliknya selepas pilihnaraya 2008, UMNO pula berkata politik orang Melayu sudah terhakis. Soalnya siapa yang memberi ruang politik orang Melayu terhakis?

Selepas peritiwa 13 Mei 1969, politik orang Melayu kononnya telah tercabar. Di peringkat parlimen Parti-parti pembangkang DAP, PAS, Gerakan dan PPP telah mengusai 37 kerusi dan Perikatan memperolehi 76 kerusi. Perikatan telah kehilangan 2/3 majoriti dalam Parlimen. Buat pertama kalinya rusuhan kaum berlaku dalam negara. Banyak harta benda musnah dan nyawa yang melayang. Tunku Abd Rahman berpendapat rusuhan ini dirancang oleh Tun Razak untuk menjatuhkan beliau. Golongan berpendidikan tinggi seperti Tun Dr Mahathir mendesak Tunku meletakkan jawatan dan akhirnya beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pertama. Tun Razak dilantik mengantikan Tunku. Beliau menghulurkan tangan perpaduan kepada PAS untuk menyatukan politik orang Melayu yang kononnya dalam keadaan terdesak. Demi perpaduan orang Melayu dan demi melihat Islam ditegakkan, maka PAS melihat wujudnya keperluan bersama dalam Perikatan pada waktu itu. Akhirnya PAS bersama dengan Perikatan. Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia dan teraju negara berpindah kepada Tun Hussein Onn maka sikap UMNO telah berubah. PAS dilihat bukan sahabat lagi tetapi ancaman kepadanya. Ada sekumpulan ahli UMNO di Johor mahu keluar parti dan masuk PRM tetapi PAS telah berjaya memujuknya masuk PAS. Ini telah menjadi hujah kepada Tun Hussein Onn untuk menendang PAS daripada Perikatan atas tuduhan PAS mencuri ahli-ahli UMNO. Tanpa siasatan rapi, tanpa amaran , tanpa notis dan tanpa berfikir panjang UMNO telah menendang PAS daripada Perikatan. Begitulah mudahnya UMNO melafazkan cerai terhadap PAS. Lebih malang lagi, PAS pula berdepan dengan masalah perpecahan dalaman dan akhirnya kehilangan negeri Kelantan. Nasib PAS umpama habis manis, sepah dibuang. Itulah pengorbanan PAS kepada perpaduan Melayu. Tiba-tiba apabila UMNO tersepit tahun 2008 maka UMNO menuduh PAS ego tidak mahu bersama UMNO. Apa gunanya bersama UMNO kalau hanya mahu dihisap madunya sahaja.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia telah meletakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Walaupun begitu bahasa-bahasa lain boleh dituturkan dalam negara ini. Malangnya Tun Dr Mahathir telah cuba merendahkan keupayaan bahasa kebangsaan dengan melancarkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Oleh kerana subjek Sains dan Matematik merupakan subjek utama di sekolah mahupun universiti, maka dasar ini menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir. Anak-anak sekolah di luar bandar menghadapi dua masalah. Pertamanya memahami ilmu Sains dan Matematik, keduanya gagal memahami bahasa yang digunakan. Akhirnya anak-anak Melayu di luar bandar menerima kesan kemerosotan akademik hasil daripada dasar yang dianggap gila oleh Prof DiRaja Ungku Aziz. Pemuda PAS telah menyaman Kementerian Pendidikan dalam isu ini. Saudara Hasni Abas, Pengerusi Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) telah berjumpa dengan Pemuda PAS bagi membangkitkan gerakan untuk memansuhkan PPSMI pada akhir tahun 2008. Pejuang-pejuang bahasa seperti Dato A. Samad Said, Dato Hassan Ahmad, Dr Shahrir Mohd Zin , Prof Emeritus Abdullah Hassan dan ramai lagi bersama Pemuda PAS menubuhkan Gerakan Rakyat Membantah PPSMI(GMP). PAS telah mengarahkan semua ahlinya turun dalam Himpunan 100 ribu rakyat membantah dasar PPSMI pada 7hb Mac 2009 di Kuala Lumpur. Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan pimpinan utama PAS yang lain telah bersama dalam himpunan ini. Kerajaan BN tiada pilihan kecuali membatalkan dasar PPSMI. Dato A. Samad Said pernah berucap dalam program memperingati kejayaan Himpunan 100 Ribu, “ Pada mulanya saya tidak percaya tekanan politik pembangkang boleh merubah dasar PPSMI, tetapi setelah Himpunan 100 Ribu membantah PPSMI saya mulai yakin bahawa tekanan politik boleh merubah sesuatu dasar”. Seorang bekas Timbalan Ketua Polis Negara pula dalam satu pertemuan dengan ahli akademik dan bekas-bekas pegawai kerajaan pernah berkata, ” PAS lebih komited dengan bahasa kebangsaan, pemimpinnya pun banyak berbicara dalam bahasa kebangsaan. Tetapi malangnya pemimpin UMNO yang selalu menggunakan bahasa Inggeris.”

Judi merupakan suatu aktiviti yang boleh meruntuhkan ekonomi orang Melayu. PAS menentang judi sejak sekian lama. Salah satu punca kumpulan aliran agama keluar daripada UMNO dan menubuhkan PAS adalah kerana UMNO terlibat dalam loteri kebajikan. Judi sukan telah diluluskan semasa penghujung pemerintahan Tun Dr Mahathir. Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan operasi judi sukan ini. Di zaman Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Tan Sri Vincent Tan memohon pihak kerajaan membenarkan operasi judi sukan ini. Najib telah menafikan berkali-kali pemberian lesen judi sukan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn Bhd. Pada 11 Jun 2010 terdapat dokumen “Information Memorandum” telah dikeluarkan oleh Berjaya Sports Toto Malaysia Sdn Bhd di mana pada halaman 20 dokumen ini dinyatakan bahawa Ascot Sports telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan perniagaan judi sukan. Pada 12 Jun 2010 Berjaya Corp telah membuat kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia bahawa Ascot Sport Sdn Bhd telah mendapat kebenaran kerajaan untuk memperbaharui lesen judi sukan. Pemuda PAS bersama NGO yang dikenali sebagai Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dan Pakatan Rakyat(PR) telah mengugut kerajaan menarik balik lesen judi sukan. Jika pihak kerajaan berdegil maka suatu himpunan 100 Ribu rakyat di Istana Negara akan diadakan pada 3hb Julai 2010. UMNO tiada pilihan. Akhirnya UMNO Johor dan Perak mulai membantah dan pihak kerajaan tiada pilihan kecuali mengumumkan pembatalan lesen judi sukan. Tindakan PAS dan PR telah dapat menghalang operasi judi sukan dan seterusnya menyelamatkan orang-orang Melayu khususnya anak-anak muda terlibat dengan judi sukan.

Negeri Terengganu memperolehi royalti minyak 5% daripada Petronas. Sejurus selepas kerajaan PAS dan Barisan Altenatif (BA) memerintah pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Terengganu dinafikan hak royaltinya. Malah royalti telah ditukar dengan wang ehsan. Wang ini telah diserahkan kepada UMNO Bahagian untuk diuruskan. UMNO dan BN telah mewujudkan kerajaan dalam kerajaan. Mereka tidak menghormati hak demokrasi rakyat. Niatnya mudah sahaja difahami iaitu untuk membuli kerajaan negeri. Niat mereka yang busuk ini telah menyebabkan rakyat Terengganu menderita. Kelantan pula menerima nasib yang lebih dahsyat daripada Terengganu. Kelantan tidak pernah langsung menerima royalti minyak. Datuk Husam Musa, exco Kerajaan Negeri Kelantan berpendapat royalti minyak Kelantan melebihi daripada RM1 bilion. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa minyak di Kelantan telah dikeluarkan semenjak tahun 2004. Pada 1975, perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 % setahun, akan dibayar tunai dua kali setahun bagi hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya. Malangnya BN telah menafikannya. Akhirnya kedua-dua buah negeri ini telah menuntut hak mereka di mahkamah. Kelantan dan Terengganu adalah negeri majoriti orang Melayu. Kalau UMNO sayangkan Melayu, mereka tidak membuli orang Melayu di sana. PAS bersama PR mempertahankan royalti minyak Kelantan dan Terengganu sementara UMNO dan BN cuba menafikan hak royalti bagi kedua-dua negeri Melayu ini. Di manakah UMNO sebagai pejuang Melayu?


Selain daripada isu Jus soli, perpaduan Melayu, PPSMI, judi dan royalti terdapat banyak lagi isu-isu Melayu yang diperjuangkan oleh PAS. Antaranya isu biasiswa, tanah rizab Melayu, penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu, isu pertambahan kerusi Parlimen Melayu, kuota ke universiti dan banyak lagi . Walaubagaimana pun terdapat suatu isu yang lebih besar dan lebih penting yang telah diperjuangkan oleh PAS sejak dulu, kini dan selamanya iaitu isu Islam. Orang Melayu itu mulia kerana agama Islamnya. Islam membentuk keperibadian mulia umatnya. Oleh itu PAS konsisten dalam memperjuangkan isu aqidah dan keperibadian umat Islam. PAS menjadi benteng utama umat Islam di negara ini. Dalam menguatkuasakan hukuman murtad, Kerajaan Kelantan telah meluluskan Undang-undang Jenayah Syariah (ii) tahun 1993. Pada tahun 1999, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah memohon untuk membuat rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi menggubal undang-undang berkaitan murtad tetapi ditolak oleh pemimpin UMNO dan BN. Semua itu adalah untuk menyelamatkan aqidah orang-orang Melayu di negara ini. Oleh itu tidak benar kenyataan yang mengatakan PAS tidak memperjuangkan isu-isu orang Melayu, PAS tidak sayang orang Melayu, PAS tiada agenda untuk orang Melayu dan seumpamanya. Malah sejak akhir-akhir ini, PAS lebih terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu tanpa melupakan nasib orang bukan Melayu. Allah S.W.T mengingatkan hambaNya agar berlaku adil sesama umat manusia, kerana keadilan itu lebih hampir kepada ketaqwaan. Jika ada mana-mana pihak khususnya UMNO menyatakan bahawa PAS tidak memperjuangkan isu-isu orang-orang Melayu beragama Islam, maka Pemuda PAS sanggup berdebat secara terbuka dengan mereka. Janganlah hanya berani memberi persepsi salah terhadap PAS di gelanggang sendiri sahaja. Ayuh mari kita buktikan di medan terbuka, siapa pejuang dan siapa pula pengkhianat Melayu yang sebenar.

Suhaizan Bin Kaiat

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat


Wednesday, October 20, 2010

Ku Li Diuji atau Dibuli ?

Tidak ramai anak muda generasi Y yang mengenali Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li. Seorang pemimpin yang pernah disanjung mulia tetapi kemudiannya dihina oleh UMNO. Pernah menjadi Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Dan Perindustrian, Naib Presiden UMNO dan Presiden Parti Semangat 46, sebuah parti pembangkang yang digeruni oleh UMNO sebelum era reformasi. Sekarang namanya berada dibibir rakyat setelah kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Kelantan kerana Galas berada dalam Parlimen Gua Musang yang Ku Li menjadi Ahli Parlimennya sejak tahun 1974. Saya dan Ku Li berkongsi tarikh lahir dan nombor tahun kelahiran. Beliau dilahirkan pada 13hb April 1937, sekarang berusia 73 tahun dan saya dilahirkan pada 13hb April 1973, berusia 37 tahun.

Ku Li adalah nama besar dalam UMNO semasa era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Beliau pernah menjadi pengerusi pertama Petronas. Beliaulah yang sama-sama mengubal undang-undang petroleum bersama Tun Salleh Abas. Bukan mudah mengurus sebuah syarikat petroleum pada masa itu kerana kepakaran dan kewangan negara sangat terhad. Ku Li berjaya menjadi Pengerusi Petronas yang boleh dibanggakan sehingga hari ini. Pernah Ku Li ditawarkan USD 500 juta untuk mengkhianati Petronas tetapi beliau menolaknya pada usia yang semuda Khairy Jamaluddin. Atas ketegasannya itu Ku Li telah disabotaj oleh pemimpin tertentu di Amerika yang mahu beliau dipecat daripada Petronas. Nasib Ku Li baik kerana Tun Razak mempertahankannya. Ku Li adalah tokoh kesayangan Tun Razak bapa kepada Dato Seri Najib.

Atas kepercayaan Tun Razak, Ku Li pernah menjadi orang pertama yang membuat lawatan awal ke negara China sebelum Tun Razak mengadakan lawatan ke sana. Misi besar negara ini bagi tujuan perdagangan di samping mengendurkan tekanan komunis dalam negara. Akhirnya misi ini berjaya mewujudkan kerjasama antara Malaysia dengan kerajaan China sehingga sekarang. Lawatan Dato Seri Mohd Najib ke China baru-baru ini hanya menumpang tuah ayahnya sahaja. Ku Li juga bersamaTun Ismail Ali dan Tan Sri Raja Mohar telah berjaya membeli dua syarikat perladangan negara kita yang diperah hasilnya oleh penjajah iaitu Sime Darby dan Guthrie. Lebih manis lagi Guthrie dibeli bukan dengan duit perbendaharaan negara tetapi duit pinjaman bank pihak tertentu. Guthrie dibeli melalui strategi belian sahamnya di bursa saham Wall Street London. Setelah Guthrie berjaya dibeli barulah ianya diserahkan untuk menjadi milik negara. Jika Ku Li mahu khianat tentunya Guthrie boleh dimilikinya secara peribadi. Penghianatan ini tentunya tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana tidak melibatkan duit negara. Cuma moral Ku Li sahaja yang mungkin boleh dipertikai oleh Tun Razak.

Dalam UMNO pula jasa Ku Li sangat besar. Tapak bangunan UMNO di Kuala Lumpur sekarang adalah asalnya milik Ku Li yang disedekahkah kepada UMNO. Semasa percaturan siapa yang sepatutnya menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah Tun Razak meninggal dunia, sikap Tun Hussein berbelah bahagi sama ada untuk melantik Tun Dr Mahathir, Tun Ghafar Baba, Ku Li atau Tan Sri Ghazali Shafie. Di saat-saat akhir sebelum pengumuman, Tun Hussein Onn merasa tidak selesa dengan Tun Dr Mahathir dan sebaliknya mahukan Ku Li sebagai Timbalannya pula. Tetapi Ku Li telah mempertahankan Tun Dr Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri atas alasan beliau masih muda lagi. Kalau Ku Li mahu menjadi Perdana Menteri pada usia muda tentunya beliau boleh melebihkan sudu dari kuah untuk menonjolkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein. Seperti amalan yang dibuat oleh pemimpin muda dalam UMNO sekarang. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO juga adalah atas usaha yang dibuat oleh Ku Li. Tun Razak telah melihat kehebatan Anwar semasa di universiti lagi, lalu meminta Ku Li melamarnya masuk UMNO. Pada awalnya Tun Mahathir tidak setuju tetapi akhirnya beliau berubah fikiran menerima Anwar. Dato Seri Anwar kemudiannya menjadi anak emas Tun Mahathir. Namun panas tidak sampai ke petang, ia berakhir dengan tuduhan liwat hingga beliau terpenjara di tangan Tun Dr Mahathir. Dunia bagaikan terbalik sekelip mata.

Yang menariknya Ku Li tidak pernah didakwa atau disabitkan dengan kes rasuah, walaupun setelah menjadi pembangkang di Parlimen. Rekodnya adalah bersih semasa menjadi menter. Walaupun Tun Dr Mahathir mempunyai kuasa semasa berkrisis dengan Ku Li tetapi rekod bersih ini tidak membolehkan beliau menyabitkan Ku Li terhadap sebarang kes rasuah. Ini adalah kerana integriti yang terdapat dalam diri Ku Li. Walaupun lautan peluang untuk menjadi kaya boleh digapai olehnya sekelip mata tetapi didikan Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan Tun Hussein menjadikan Ku Li mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Tetapi malangnya semua ini tidak mempunyai sebarang nilai kepada UMNO hari ini. UMNO Baru sekarang jauh berbeza dengan UMNO yang ditubuhkan semasa tahun 1946. Integriti UMNO dahulu cerminannya adalah Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr Ismail dan Ku Li. Tetapi UMNO sekarang cerminannya adalah Mohd Najib Tun Razak , Rafidah Aziz, Isa Samad, Rahim Tambi Cik, Muhammad Taib, Khir Toyo dan Dato Z. Perbezaannya umpama langit dan bumi. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa UMNO sudah busuk sampai ke usus. Tun Musa Hitam pula berkata UMNO sudah dilanda sindrom sakit tua yang menunggu masa untuk mati sahaja. Kanser rasuah dalam UMNO sudah berada di tahap empat. Menanti masa untuk dikapan dan dikebumikan sahaja.

Individu yang mempunyai integriti seumpama Ku Li tidak sesuai duduk dalam UMNO. Ia tidak bernilai kepada UMNO. Sikap UMNO terhadap Ku Li umpama kera dapat bunga sahaja. Bertahun-tahun dihina oleh UMNO, apabila DUN Galas tiba-tiba kosong, UMNO bagaikan pungguk rindukan bulan menanti Ku Li pulang daripada bercuti di luar negara. Berpuluh-puluh orang berpura-pura menanti kepulangan Ku Li di KLIA. Kalaulah Dun Galas letak di Kota Bharu tentunya nama Ku Li sudah tenggelam bersama gua dan musang-musangnya. Buktinya semasa pilihanraya kecil Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai yang bersebelahan Gua Musang, nama Ku Li bagaikan tidak dihirau oleh UMNO. UMNO tersepit di Galas. Jika tidak mendapat kerjasama daripada Ku Li maka UMNO akan menerima padah. Pilihan UMNO hanya satu sahaja, melantik Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas dan sekaligus menjadi calon. Saya menjangkakan bantuan Ku Li kepada UMNO di Galas kelak umpama menolong anjing tersepit sahaja. Jika UMNO dapat menawan Galas maka nama Najib lah yang akan disanjung. Sebaliknya jika UMNO kalah di Galas maka nama Ku Li lah yang akan dipersalahkan. Itulah hukum rimba yang ada dalam UMNO yang sudah busuk sampai ke usus.

Integriti yang ada pada Ku Li ini akan dihargai dalam PAS dan Pakatan Rakyat (PR). Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat pernah ditawarkan jutaan ringgit untuk meluluskan konsesi balak di Kelantan. Beliau menolaknya seperti Ku Li menolak USD500 juta semasa menjadi Pengerusi Petronas dahulu. Para perasuah dalam negara tidak tergamak mahu merasuah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang semasa menjadi Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Azizan Razak, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Dato Sri Khalid Ibrahim dan Saudara Lim Guan Eng. Kalaulah Ku Li boleh bersama Tun Musa Hitam rakan karib kelab malam semasa mudanya dalam “Team B”, mengapa tidak boleh Ku Li bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rakan dalam memperjuangkan royalti minyak di Kelantan. Sudah sampai masanya Ku Li keluar daripada kepompong yang sedia ada. Membuat perubahan besar dengan penuh keberanian sebagaimana beraninya beliau mengepalai sebuah GLC sebesar Petronas semasa mudanya. Usia 73 adalah usia bonus sahaja. Ku Li sewajarnya menghabiskan sisa-sisa hidup bersama perjuangan Islam. Di sana adanya ketenangan , keberkatan dan ganjaran untuk dijadikan bekalan hidup di akhirat kelak. Inilah ujian sebenar Ku Li. Keluarlah daripada perjuangan sempit perkauman yang telah membulinya selama ini.


Thursday, October 14, 2010

PENYEWA KEDAI MERAYU KEPADA MB JOHOR


Penyewa-penyewa kedai di alamat 1-B, Lorong 2, sebelah panggung Wayang Iswaria, Jalan Dato’ Toh Ah Boon seramai enam orang telah diberi arahan lisan keluar daripada premis masing-masing oleh pihak Johor Corporation, anak syarikat Kerajaan Negeri Johor. Mereka telah menyewa di premis tersebut sejak 40 tahun yang lalu. Selama tempoh masa tersebut mereka telah sama-sama membangunkan kawasan tersebut daripada kampung kepada sebuah kawasan perniagaan Pekan Tampoi yang dikenali ramai sehingga kini. Kumpulan peniaga ini telah menyerahkan rayuan kepada Dato’ Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor pada hari khamis 14hb Oktober 2010 jam 11 am. Pihak Menteri Besar Johor telah di wakili oleh En. Ahmad Nazir Bin Mohd Nasir, Setiausaha Pembangunan Pejabat Menteri Besar Johor.

Rayuan mereka adalah :

  1. Membenarkan mereka berniaga di kawasan ini sehingga bulan Febuari 2011. Tempoh ini dipohon kerana mereka akan menyambut perayaan tahun baru Cina pada awal bulan Februari 2011. Perpindahan selepas tahun baru Cina akan mengurangkan tekanan dan memberi peluang kepada mereka untuk mencari tempat altenatif.
  2. Bagi mengurangkan bebanan pihak mereka dan menghargai sumbangan mereka yang telah sama-sama membangunkan kawasan ini maka adalah sangat wajar mereka diberi pengecualian sewaan dalam tempoh peralihan ini iaitu di antara Oktober 2010 – Februari 2011.
  3. Mereka juga pernah ditawarkan secara lisan daripada pihak Syarikat Johor Corporatian saguhati perpindahan sebanyak RM1,500 bagi sebuah kedai. Mereka memohon jasa baik pihak Kerajaan Negeri Johor dapat memberi bantuan saguhati perpindahan selayaknya bagi memudahkan proses perpindahan tersebut.
  4. Mereka memohon kepada pihak kerajaan agar memberi keutamaan kepada mereka untuk menyewa atau membeli lot-lot kedai yang akan dibangunkan selepas ini.

Sebelum ini mereka telah menandatangani beberapa dokumen pihak Johor Coperation tanpa kerelaan mereka kerana mereka tidak mengetahui isikandungannya. Mereka telah diasak menandatangani dokumen tersebut dengan segera. Malah pegawai terbabit telah memberi amaran agar jangan berhubung dengan pimpinan PAS dan DAP untuk menyelesaikan masalah tersebut.


Monday, October 11, 2010

Apa Masalahnya PAS Menjadi Kapten Pakatan Rakyat(PR) ?




Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA telah cuba memberi gambaran yang salah khususnya kepada masyarakat Cina berkenaan kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya Pakatan Rakyat(PR) memerintah negara ini. Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung MCA kali ke 57 pada hari Ahad 10/10/10, beliau telah menyatakan bahawa jika PR memerintah maka PAS akan menjadi kaptennya. PAS akan membawa dasar-dasar autokratik dan kembali kepada perjuangan asalnya. Ucapan ini disampaikan di hadapan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abd Razak yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional serta para pewakilan MCA seluruh negara. Persoalannya apa masalahnya jika PAS menjadi Kapten PR?

Dasar PAS adalah Islam. Semenjak ditubuhkan 59 tahun dahulu hingga ke hari ini dasar PAS tidak pernah berubah. Islam adalah agama yang universal. Kebaikan yang dibawa oleh Islam adalah untuk seluruh manusia tidak kira agama mahupun bangsa. PAS berkeyakinan bahawa Islam di turunkan atas mukabumi ini adalah untuk menyelamatkan dunia ini daripada kehancuran akibat kerakusan manusia. Buktinya sekitar kampung Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sendiri di Batu Pahat, masyarakat Cina boleh tinggal dengan selamat dan berniaga bersama orang Melayu yang beragama Islam. Bilangan masyarakat Cina tidak sampai 10% di perkampungan tersebut tetapi mereka boleh hidup selesa. Islam menjamin keselamatan semua umat manusia. Jika terdapat kelemahan bukanlah disebabkan oleh Islam tetapi disebabkan oleh penganutnya yang tidak melaksanakan Islam yang sebenar. Kemuliaan bangsa Melayu itu hanya apabila ia berpegang kepada Islam. Jika orang Melayu meninggalkan Islam maka kita akan dapat melihat kehancurannya.

Berapa ramai orang Cina di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tertindas semasa pemerintahan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah(APU), Barisan Altenatif(BA) dan Pakatan Rakyat(PR) daripada tahun 1990 hingga sekarang? Jika Islam itu zalim maka PAS sudah menindas masyarakat bukan Islam sejak tahun 1990. Jika Islam itu tidak bertamadun maka sudah beribu orang bukan Islam yang dibunuh oleh PAS. Islam melarang memaksa orang lain untuk menganut agama Islam. Hak memilih agama adalah hak masing-masing. Agama bukan untuk ikut-ikutan tetapi diikat dengan keyakinan teguh dalam hati yang ikhlas. Bagi Islam, tiada paksaan dalam agama. Namun apabila telah menganutnya, tiada pilihan melainkan wajib mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan Allah.
Islam menentang perkauman sempit. Islam melarang umatnya berlaku zalim dan menafikan hak orang bukan Islam. UMNO adalah parti perkauman. Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek , jangan mengambil contoh pegangan agama Islam daripada UMNO. Sebahagian besar pemimpin UMNO gagal menunjukkan ciri-ciri Muslim yang sebenar. Sebelah tangan memegang Islam sementara sebelah tangan lagi menerima rasuah. Dalam Islam tidak boleh bercampur antara yang baik dengan yang jahat. Parti perkauman seperti UMNO tiada panduan yang jelas tetapi PAS jadikan Al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad sebagai panduan yang jelas. Ini termaktub dalam perlembagaan PAS. Tidak ada satu ayat Al-Quran yang menindas orang bukan Islam. Kalau Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek terjumpa satu ayat Al-Quran yang menindas orang bukan Islam sila kemukakan dengan segera.

Dalam Islam tiada halangan bagi orang bukan Islam melaksanakan ibadat dan amalan masing-masing seperti meminum arak, memakan daging kinzir dan lain-lain. Pernahkah Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek melihat orang alim yang melarang penjualan daging khinzir kepada masyaraka Cina di kampung-kampung sekitar Batu Pahat. Mereka bebas melakukan aktiviti perniagaan ini. Itulah ajaran Islam sebenar. Islam hanya melarang penjualan barang terlarang seperti arak dan daging khinzir kepada orang Islam sahaja.

Sekarang UMNO dan Barisan Nasional seolah-olah tidak dapat mengawal rasuah dalam negara. Penaiktarafan BPR kepada SPRM tidak dapat membantu imej negara keluar daripada budaya rasuah. Dalam Islam rasuah boleh dihindari dengan menyemai perasaan takut kepada Allah S.W.T. Segala perbuatan kita mesti dirujuk kepada perintahNya. Umat Islam berkeyakinan segala perbuatan jahat akan dibalas dengan azab neraka apabila mati kelak. Semua orang tidak terlepas daripada mati. Oleh kerana UMNO mengamalkan dasar sekular yang mengasingkan urusan politik daripada agama maka perbuatan rasuah tidak dikaitkan dengan kemarahan Allah S.W.T dan seksaan api neraka. Secara automatik masyarakat Islam beranggapan rasuah itu tidak menjadi kesalahan yang membawa manusia masuk neraka. Sebab itu tidak mustahil umat Islam yang berfahaman sekular boleh memakai serban yang tebal tetapi tetap melakukan rasuah. Sebenarnya tidak banyak kos diperlukan untuk membanteras rasuah mengikut ajaran Islam sebenar. PAS mempunyai rekod yang jelas dalam isu rasuah ini. Tiada seorang pun exco PAS yang terlibat dengan rasuah di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bandingkan pula dengan UMNO, berapa ramai pemimpinnya terlibat dengan rasuah. Itulah bukti Islam sebenar yang dibawa oleh PAS dan bukan Islam sekular yang dibawa oleh UMNO. PAS didik pemimpinnya dengan Islam sebenar. Dengan Islam sebenarlah PAS dilihat mempunyai integriti yang tinggi.

Orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina menguasai ekonomi dalam negara ini. Islam menjamin harta-harta mereka. Islam melarang umatnya merampas harta orang bukan Islam. Islam juga melarang umatnya mencuri dan merompak harta orang bukan Islam. Jika mengikut ajaran Islam sebenar jenayah dapat dikurangkan. Negara kita sudah terlalu tepu dengan jenayah sehingga sangup membunuh dan membakar mayat manusia dengan begitu kejam sekali. Sejarah dunia telah membuktikan bahawa Islam dapat mengurangkan jenayah dalam sesebuah negara. Itulah bukti bawa Islam sebenar dapat mengatasi masalah jenayah dalam negara. PAS tidak mampu menggubal sebarang undang-undang Islam jika rakyat tidak menyetujuinya. Oleh itu PAS mengambil pendekatan mendidik terlebih dahulu terhadap prinsip-prinsip keadilan yang terdapat dalam Islam kepada seluruh rakyat Malaysia. PAS yakin suatu masa nanti rakyat Malaysia akan terbuka hatinya untuk menerima undang-undang Islam. Hati manusia sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya adalah milik Allah S.W.T. Dialah yang membuka hati atau menutup hati rakyat Malaysia. PAS berserah sahaja kepada Allah S.W.T setelah berusaha mendidik rakyat memahami keadilan dalam Islam. PAS yakin suatu masa nanti mereka yang bernama Ah Chong atau Ramasami secara relahati memohon keadilan dalam Islam untuk melindungi nyawa, akal, harta dan keturunan mereka.

Antara kegagalan UMNO dalam memerintah negara ini adalah gagalnya UMNO mendidik masyarakat Islam menjadi umat Islam yang cemerlang dalam pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain. Statistik menunjukkan bahawa remaja Islam menjadi juara masalah sosial dalam negara. Dalam pencapaian akademik pula kualiti pelajar Islam lebih rendah daripada bukan Islam. Keadaan tidak seimbang inilah menyebabkan dasar afirmatif terpaksa dikenalkan sehingga ke hari ini. Sebenarnya dasar afirmatif sudah tidak diperlukan lagi jika kedudukan sosio-ekonomi semua masyarakat sudah seimbang. Islam yang sebenar mampu membina jatidiri remaja Islam sebenar. Buktinya sekolah-sekolah aliran agama Islam di negara ini menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik dan tidak menghadapi masalah sosial yang besar dibandingkan sekolah yang bukan aliran Islam. Umat Islam yang hampir dengan Tuhannya dapat menghindarkan diri daripada gejala yang tidak bermoral. Oleh itu agenda utama PAS dan PR jika memerintah negara ini adalah membina hubungan mantap remaja dengan Tuhannya. Tentunya modalnya tidak sebesar Program Rakan Muda atau PLKN.

Islam sebenar dapat menjaga nyawa, harta, keturunan dan akal fikiran manusia. Saya penuh yakin masyarakat bukan Islam lebih selamat bersama Islam sebenar. Mereka boleh mengundi PAS dan PR dalam pilihanraya akan datang. Jika masyarakat bukan Islam merasa tidak selesa dengan cara-cara PAS maka mereka boleh menyalurkan pandangan mereka kepada Dewan Himpunan PAS, DAP/PKR rakan sekutu PAS atau NGO yang berkaitan. Negara kita adalah sebuah negara demokratik. Tempoh 5 tahun bukannya lama. Jika masyarakat bukan Islam tidak selesa dengan PAS dan PR maka pilihanraya seterusnya pilihlah UMNO-BN. Pada waktu ini, apakah masyarakat bukan Islam lebih rela bernaung di bawah UMNO-BN yang telah terbukti tidak mampu menjaga kepentingan rakyat Malaysia dengan peningkatan rasuah, jenayah, kemerosotan ekonomi dan sebagainya. Atau masyarakat bukan Islam perlu mencuba pemerintah baru yang menjanjikan pemerintahan yang lebih bertanggungjawab, telus, demokratik dan adil. Sebahagian usaha ini telah dilaksanakan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pernah menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Johor, Ahli Parlimen Labis dan Pengerusi MCA Batu Pahat. Sudah tentunya beliau mendapat gambaran Islam daripada daripada Tan Sri Muhyidin bin Mohammad Yassin (Timbalan Perdana Menteri), Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Dato Abd. Ghani Othman(Menteri Besar Johor). Saya kira Datuk Seri Dr Chua Soi Lek belum mendapat gambaran Islam sebenar daripada PAS khususnya PAS Johor. Saya mencadangkan kepada beliau agar mendapatkan maklumat Islam sebenar daripada anak-anak Johor seperti Dato Mahfoz Muhammad (Pesuruhjaya PAS Johor), YB Sallehuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Sdr Mazlan Alman (AJK PAS Pusat) dan lain-lain lagi. Mungkin adalah lebih mudah berbicara tentang Islam yang sebenar sesama anak Johor sendiri.

Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

Sunday, August 8, 2010

Sistem Pendaftaran Pemilih Secara Automatik Lebih Menguntungkan Rakyat



Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof bercadang untuk memohon kepada pihak kerajaan bagi menambah peruntukan daripada RM1 kepada RM3 seorang bagi pendaftaran pemilih baru. Peruntukan ini adalah sebagai upah kepada penolong pendaftar pilihanraya yang dilantik daripada kalangan anggota parti politik, NGO, pemimpin masyarakat dan lain-lain lagi untuk mencari pemilih baru. Terdapat lebih 4.38 juta atau 28.3 peratus daripada kira-kira 15.4 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih. Bilangan ini akan bertambah secara puratanya hampir 500,000 orang setiap tahun. Sebelum ini SPR membelanjakan RM200,000 setiap tahun untuk membiayai pendaftaran pemilih baru ini.

Peruntukan yang akan dipohon ini adalah tiga kali ganda daripada peruntukan sebelum ini. Jika diluluskan oleh pihak kerajaan maka peruntukan meningkat kepada RM600,000 setahun. Dalam tempoh 4 tahun akan menjadi RM2.4 juta . Pendaftaran pemilih baru ini memerlukan promosi dan pemantauan daripada pihak SPR. Petugasnya perlu menjaga kaunter-kaunter daftar pemilih di tempat orang ramai seperti di pasar raya, program-program kemasyarakatan dan seumpamanya. Taklimat, mesyuarat, pengendalian kaunter daftar pemilih, pengesahan daftar pemilih dan pelbagai lagi aktiviti perlu dilaksanakan oleh SPR. Semua ini melibatkan kos tambahan kepada SPR. Jika SPR di peringkat negeri-negari termasuk Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM20 ribu setahun untuk tujuan ini maka dalam tempoh 4 tahun, wang rakyat yang akan dibelanjakan adalah sebanyak RM1.12 juta. Jika dijumlahkan, perbelanjaan yang diperlukan keseluruhannya akan mencecah RM3.52 juta. Kos yang tinggi ini dapat dikurangkan sekiranya pihak kerajaan bersetuju untuk membuat pendaftaran pemilih secara automatik. Pelaksanaan secara automatik merupakan kaedah yang lebih efisyen dan efektif dalam proses pendaftaran pemilih baru selain dapat menjimatkan penggunaan duit rakyat dan tenaga kerja.

Antara contoh negara-negara yang mengamalkan pendaftaran pemilih secara automatik adalah Indonesia dan Autralia. Rakyat tidak perlu beratur panjang dan penolong pendaftar pilihanraya tidak perlu dilantik. Pihak SPR hanya perlu mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan senarai warganegara yang sudah mencapai umur 21 tahun. Kemudian data ini akan diproses menjadi senarai daftar pemilih baru. Tugas ini sangat mudah dan dapat mengelakkan daripada manipulasi data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Walaubagaimana pun Perkara 119(c) Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa warganegara yang layak mengundi perlu mendaftar. Berikutan pindaan ini maka akan berlakulah beberapa pindaan terhadap Akta Pilihanraya 1958(Akta 19). Pindaan ini boleh dibuat oleh pihak kerajaan di Parlimen. Ahli Parlimen Batu Pahat YB Dr. Mohd Puad Zarkashi telah menyatakan bahawa peruntukan yang dipohon oleh SPR adalah membazir dan beliau sendiri mencadangkan dilakukan pendaftaran secara automatik. Maka terpulanglah kepada pihak kerajaan sama ada mahu membuat pindaan terhadap perlembagaan negara atau mahu membiarkan pembaziran tenaga dan wang rakyat bagi mendaftarkan pemilih baru. Tepuk dada tanyalah kehendak kerajaan.

Selepas pindaan dibuat terdapat satu lagi proses yang perlu dilakukan oleh SPR iaitu persempadanan semula kawasan pilihanraya. Ini perlu kerana dikhuatiri terdapat Parlimen tertentu yang terlalu ramai pengundinya, mungkin sehingga melebihi 100 ribu orang pengundi. Maka wajarlah dibuat persempadanan semula. SPR perlu menyediakan garis panduan yang adil dalam menentukan persempadanan semula kawasan pilihanraya. Persempadanan selepas pilihanraya 1999 adalah satu contoh di mana ketidakwajaran telah berlaku apabila tiada garis panduan yang jelas digunakan, sebaliknya lebih cenderung kepada formula yang menguntungkan pihak parti pemerintah. Kawasan yang dimenangi pembangkang dipecah-pecahkan manakala kawasan pengundi tegar Barisan Nasional(BN) dimasukkan ke dalam kawasan yang dimenangi pembangkang dengan tipis. Di negeri Johor yang menjadi kubu kuat BN terdapat 6 kerusi Parlimen tambahan. Malangnya di negeri-negeri bawah pemerintahan kerajaan Barisan Altenatif(BA) iaitu Kelantan dan Terengganu tiada langsung tambahan kerusi Parlimen. Seolah-olahnya SPR mendapatkan cadangan daripada BN terlebih dahulu bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Jika SPR mahu dihormati oleh rakyat, janganlah menjadikan dirinya ibarat parti komponen Barisan Nasional. Janganlah ulangi kesilapan persempadanan semula sebelum ini.

Pengerusi SPR telah menyatakan bahawa punca SPR tidak boleh melakukan pendaftaran pemilih secara automatik adalah kerana tiga perkara. Pertamanya kebanyakan pengundi tidak tinggal di alamat seperti dalam kad pengenalan. Ini boleh mendatangkan masalah semasa hari mengundi. Keduanya, kerajaan tidak boleh memaksa pengundi kerana bertentangan dengan hak asasi manusia. Ketiganya peratus pengundian akan merosot lebih daripada 50% jika sistem baru dilaksanakan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga memberi alasan yang sama terhadap cadangan Jawatankuasa Bersih 2 yang telah menyerahkan memorandum kepada SPR baru-baru ini.

Alasan bahawa kebanyakan pengundi tidak tinggal seperti alamat dalam kad pengenalan boleh di atasi dengan memberi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengemaskini alamat terkini bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab semasa hari mengundi. Setelah peringatan ini dibuat dalam tempoh yang munasabah barulah sistem baru ini dilaksanakan. Ini juga memberi kebaikan kepada semua agensi kerajaan untuk berurusan dengan rakyat selepas ini kerana mereka tinggal seperti alamat di kad pengenalan mereka. Sebarang urusan kerajaan selepas ini akan menjadi lebih mudah. Inilah merupakan tugas dua dalam satu. Jika ada pengundi yang masih tidak menukar alamat mereka maka bukanlah menjadi alasan yang besar bagi mereka tidak mengundi semasa pilihanraya diadakan. Masa perjalanan antara satu tempat dengan tempat yang lain sudah semakin singkat. Banyak perubahan infrastruktur yang telah dibangunkan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan rakyat bergerak. Perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur hanya memakan masa 3 jam sahaja bukannya 8 jam seperti 20 tahun dahulu. Oleh itu alasan sukar untuk balik mengundi kerana jaraknya yang jauh ini sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini. Jika ada juga alasan ini, bukanlah kerana jarak yang menjadi masalah tetapi kesedaran diri terhadap tanggungjawab kepada negara itu yang harus dipersoalkan. Itu memerlukan kempen kesedaran lain untuk mengatasinya.

Alasan kedua di mana pihak kerajaan menyatakan bahawa sistem baru ini melanggar hak asasi manusia adalah suatu alasan yang dangkal. Kerajaan bukannya memaksa rakyat mengundi. Hak untuk mengundi atau tidak masih diberikan kepada rakyat. Kita bukan mahu mengubah akta memaksa rakyat mengundi. Kita sedang membicarakan pendaftaran pengundi secara automatik. Mereka yang cukup umur secara automatik layak mengundi tidak melibatkan pemaksaan ke atas pengundi. Sama juga dengan kaedahnya jika ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia maka secara automatik anaknya adalah warganegara. Peraturan tersebut ada dalam perlembagaan negara dan tidak melanggar hak asasi manusia.

Alasan ketiga iaitu pendaftaran secara automatik akan mengurangkan peratus keluar mengundi. Tidak dinafikan bahawa apabila pemilih didaftar secara automatik maka peratus mengundi akan merosot kerana kesedaran rakyat terhadap pengundian masih terlalu rendah. Persoalannya apakah SPR perlu berbangga dengan jumlah keluar mengundi 80% jika terdapat 4.3 juta rakyat layak mengundi tetapi tidak mengundi? SPR perlu lebih memahami yang penting adalah ramainya rakyat Malaysia yang mengundi bukannya berbangga dengan peratus pengundian yang tinggi sedangkan hakikatnya masih ramai rakyat tidak mengundi. Peratusan pengundian hanyalah angka sahaja. Belum tentu menggambarkan kesedaran rakyat terhadap hak dan kepentingan mengundi. Rakyat Malaysia tidak sepatutnya dikelirukan seperti mana kekeliruan yang ditimbulkan daripada laporan keadaan ekonomi negara. Angka-angka yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan berkaitan perkembangan ekonomi negara selalunya membanggakan namun hakikatnya rakyat masih juga hidup merana. Jika SPR memahami bahawa peratus keluar mengundi akan merosot maka seharusnya menjadi cabaran kepada SPR untuk membuat kempen kesedaran berkenaan tanggungjawab mengundi di kalangan rakyat. Peruntukan yang dipohon oleh SPR untuk tujuan pendaftaran pemilih sekarang lebih munasabah disalurkan kepada program sebegini.

Masalah utama kepada cadangan pendaftaran pemilih secara automatik bukannya terletak kepada SPR tetapi lebih kepada kehendak pihak kerajaan sendiri. Sistem baru ini sedikit sebanyak menyusahkan parti-parti politik khususnya parti pemerintah. Mengikut pemerhatian, pengundi-pengundi baru di kalangan anak muda yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat khususnya melalui media baru adalah mereka yang sangat kritikal terhadap setiap dasar dan tindakan pihak kerajaan. Jika mereka diberi peluang mengundi maka besar kemungkinan mereka tidak mengundi parti pemerintah berdasarkan prestasi kerajaan yang sedia ada. Inilah yang sangat menakutkan UMNO BN yang banyak bergantung kepada pengundi veteran yang setia namun semakin kurang bilangannya.

Peruntukan sebanyak RM3 bagi seorang pemilih baru sebenarnya menghina rakyat itu sendiri. Bagaimana lemahnya tanggungjawab sivik rakyat negara ini sehingga perlukan RM3 untuk meminta mereka mendaftar mengundi. Mengundi adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara. Rakyat yang bertanggungjawab dan berkualiti menjadi faktor utama kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara. Tidak mengambil berat terhadap proses pengundian melambangkan ketidaksetiaan rakyat kepada negara ini. Persoalannya apakah kesetiaan kepada negara ini boleh selesai dengan harga RM3? Negara kita sudah dimalukan dengan kejatuhan 81% FDI, kehilangan enjin jet pejuang dan kebolosan pendatang Afganistan daripada tahanan, janganlah SPR menambah malu kepada negara. Jika slogan ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ itu dilaksanakan sepenuhnya maka tidak ada sebab sistem baru ini tidak diluluskan. Sistem baru ini lebih sistematik, jimat, mudah dan kurang manipulasi. Tetapi kalau slogan itu hanya retorik sahaja maka SPR akan terus membazirkan duit rakyat yang sepatutnya boleh digunakan untuk aktiviti yang lebih berfaedah.


Suhaizan Bin Kayat

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat