DR KHIR SEDIA JUMPA RONNIE DI MAHKAMAHJIKA takut dilambung ombak, kenapa berumah di tepi pantai…ringkas dan padat mengambarkan kesediaan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo untuk berdepan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu yang menyaman bekas menteri besar itu baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau meminta Ronnie menafikan pernah ditahan polis kerana menghalang Polis dan Majlis Perbandaran Subang Jaya daripada menguatkuasa undang-undang yang membabitkan aktiviti pelacuran di sebuah hotel tiga bintang di Puchong Jaya, Selangor pada 2007.
“Ronnie perlu menjelaskan kepada masyarakat sama ada benar atau tidak beliau ditahan dan di siasat oleh Polis di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang polis menjalankan tugas dan kemungkinan terbabit dengan sindiket pelacuran,” kata Dr Khir dalam satu kenyataan.
Beliau juga meminta exco terbabit menyatakan benar atau tidak beliau bersama penyokongnya menghalang Polis daripada menyita hotel terbabit, yang bukan sahaja tidak mempunyai lesen tetapi juga terbabit dengan aktiviti pelacuran.
“Benar atau tidak, terdapat 22 orang GRO warga asing ditangkap dalam operasi di hotel yang sama beberapa jam sebelum hotel tersebut disita oleh penguatkuasa MPSJ dan Polis,” soal Dr Khir lagi.
Jika semua ini benar, apakah motif Ronnie menghalang penguatkuasaan undang-undang?
Berhubung dengan saman yang difailkan oleh Ronnie, Dr. Khir dengan senang hati akan menjawabnya di mahkamah melalui Firma Guaman Athimulan & Co.
“InsyaAllah, saman ini tidak akan menakutkan saya untuk terus bertindak sebagai Ketua Pembangkang yang bertanggungjawab menyuarakan pandangan masyarakat dan menjadi pemantau kepada tindak-tanduk kerajaan Selangor,” katanya.
Petikan penuh di Agenda Selangor (
rujuk di sini).
ULASAN PENULIS:1. Penulis senada dengan Dr Khir meminta exco terbabit iaitu Ronnie menyatakan benar atau tidak beliau bersama penyokongnya menghalang Polis daripada menyita hotel terbabit, yang bukan sahaja tidak mempunyai lesen tetapi juga terbabit dengan aktiviti pelacuran.
2. Sebelum ini penulis ada menulis berkenaan isu meroboh kuil yang dibina secara haram di tanah rezab hutan. 3 orang exco Selangor iaitu Ronnie Liu, Teresa Kok dan Dr Xavier Jayakumar telah memutuskan hukuman gantung kerja terhadap Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Husain kerana menjalankan tugas dengan penuh dedikasi mengikut lunas undang-undang dan pekeliling yang tersedia merobohkan kuil tersebut (
rujuk di sini). Adakah aktiviti menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas menjadi barang mainan pemimpin Pakatan Rakyat? Sama-sama kita fikirkan dan ambil ikhtibar.
3. Apa pun penulis tertarik dengan senario saman-menyaman yang dilakukan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat. Penulis melabelkan mereka-mereka ini seperti ahli politik yang gagal memberikan penerangan dan menangkis segala persoalan yang timbul oleh segenap rakyat. Dalam erti kata lain, mereka gagal sebagai pemimpin yang sepatutnya berupaya memberikan penerangan dan penjelasan kepada rakyat secara normal. Bukannya melalui tindakan kebudak-budakan iaitu SAMAN-MENYAMAN!