Dibawah adalah memorandum M-UPRo untuk menangkis ancaman COMANGO terhadap kemuliaan islam di Malaysia. Tujuan penulis menyebarkan memorandum ini adalah untuk memberi kesedaran kepada umat islam di Malaysia, tentang wujudnya ancaman terhadap agama islam oleh rakyat Malaysia sendiri. Umat islam di Malaysia perlu bersatu dalam menentang tuntutan COMANGO ini, dan seterusnya memberi isyarat kepada persatuan yang berniat untuk menyentuh kesucian islam, supaya jangan bermain dengan api.
Kenyataan
NGO Islam UPR ini dikeluarkan pada 22 Oktober 2013M bersamaan 17
Dzulhijjah 1434H
Gabungan
Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR)
Majlis Hak Asasi Manusia atau ringkasnya MuslimUPRo telah digagaskan sebagai
salah satu usaha untuk memantau NGO-NGO
Hak Asasi Manusia (HAM) dan pertubuhan-pertubuhan sekular-liberal yang
menggunakan saluran Gabungan NGO Malaysia di
dalam Proses UPR (COMANGO), untuk menuntut perkara-perkara yang mencabar
kedudukan Islam sebagai agama Negara melalui Proses Semakan Berpenggal Sejagat
(UPR) Majlis Hak Asasi Manusia HRC (UN) di Geneva, Switzerland
yang akan melibatkan Malaysia pada 24 Oktober 2013.
MuslimUPRo
dan gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam yang disenaraikan di sini mengambil
pendirian berikut:
Menginsafi kepentingan Perkara 3(1) di dalam
Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam pada kedudukan istimewa sebagai
agama Persekutuan;
Menyedari bahawa cabaran-cabaran dunia pada hari
ini ditandai gerakan hak asasi manusia (HAM) yang berlatarbelakangkan
fahaman-fahaman yang bertentangan dengan fitrah agama seperti sekularisme,
liberalism dan pluralism dan semakin menyesatkan ramai di kalangan umat Islam;
Memperakui hakikat Malaysia sebagai sebuah Negara
yang berdaulat serta disegani sebagai sebuah Negara anggota Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UN), Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), anggota Pergerakan Negara-negara
Berkecuali (NAM)
serta Negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN);
Menegaskan bahawa sebagai sebuah yang beragama
Malaysia perlu bertegas di dalam mempertahankan kedudukan Islam serta tidak
tunduk kepada tuntutan-tuntutan HAM yang ternyata bertentangan dengan
prinsip-prinsip di dalam ajaran Islam.
Dengan
latar belakang tersebut, kami berpandangan bahawa:
A.
Gabungan NGO Malaysia di dalam Proses UPR atau ringkasnya COMANGO telah
melakarkan tuntutan-tuntutan mereka tanpa menghormati kedudukan Islam sebagai
Agama Negara dan sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah Malaysia adalah
sebuah Negara Sekular yang meletakkan semua agama sama rata.
B.
Perbuatan COMANGO ini bertujuan untuk meletakkan apa saja dasar dan
undang-undang yang digubal sama ada oleh Kerajaan atau Majlis-majlis Agama di
bawa seliaan dan pemerhatian HRC UN.
C.
Kerajaan perlu menjelaskan kepada HRC bahawa, sekalipun rakyat Negara ini
terdiri daripada penganut berbagai agama dengan penganut agama Islam membentuk
60 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia, namun Negara Malaysia
berkewajipan untuk memelihara Agama Islam pada semua masa.
D.
Kealpaan perwakilan Negara untuk memberikan perhatian utama kepada kewajipan
memelihara Agama Islam dalam perundingan antarabangsa boleh mengakibatkan
Malaysia dihalang (estopped) pada masa akan datang daripada bersandarkan kepada
hujah kedaulatan Islam dalam berhadapan dengan berbagai tekanan antarabangsa
dalam isu-isu hak kebebasan yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
E.
Tuntutan-tuntutan COMANGO yang berikut adalah terlalu jelas mendedahkan agenda
mengganggu-gugat kedudukan Islam di Malaysia. Berpandukan prinsip Maqasid
al-Syariah yang utama iaitu Memelihara Agama, yang juga terkandung dalam Sumpah
Yang DiPertuan Agong (Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan),
Kerajaan perlu lebih serius menolak tuntutan-tuntutan sebegini –
i.
Tuntutan yang bersifat provokasi keagamaan dan sentimen perkauman dengan
mengaitkan larangan Kerajaan terhadap penggunaan nama Allah oleh majalah The
Catholic Weekly dengan kejadian letupan molotov cocktail di beberapa buah
gereja selepas keputusan kes Kalimah Allah sebagai perbuatan “ultra Malays
pressure groups”;
ii.
Mempertikaikan keputusan mengharamkan penyebaran fahaman Syiah dan lain-lain
ajaran menyeleweng sebagai kekangan kepada hak kebebasan beragama dan dominasi
oleh pihak berkuasa agama dari kalangan Ahlus Sunnah Waljama’ah yang mengekang
hak kebebasan berfikir;
iii.
Menuntut hak kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan
menafikan bidangkuasa mahkamah Syariah untuk menentukan kedudukan Islam
seseorang;
iv.
Tuntutan untuk menghapuskan undang-undang jenayah Syariah yang sedang
berkuatkuasa di Negeri-negeri;
v.
Memberikan persepsi buruk kepada kewajipan amar ma’ruf dan nahi mungkar yang
dilaksanakan oleh Jabatan-jabatan Agama di seluruh Negara dengan penggunaan
label stereotaip media barat iaitu moral policing;
vi.
Memberikan gambaran negatif terhadap usaha-usaha kerajaan menyampaikan dakwah
kepada masyarakat orang asli dan dimanipulasikan sebagai paksaan pemelukan
agama Islam;
vii.
Tuntutan untuk mengiktiraf hak sosial dan hak undang-undang kelompok manusia
pengamal seks songsang LGBT ;
viii.
Membenarkan amalan seks songsang dengan menghapuskan peruntukan undang-undang
yang menyifatkan amalan seks di luar tabiĆ itu sebagai perbuatan jenayah;
ix.
Mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan larangan
dan siasatan pihak Polis ke atas penganjuran perarakan Seksualiti Merdeka
adalah tindakan yang tidak boleh disemak oleh Mahkamah.
x.
Menuntut supaya Prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang mengiktiraf hak mengamalkan
seks songsang LGBT diterima oleh Malaysia;
xi.
Menuntut diberhentikan serta merta sebarang tindakan terhadap kanak-kanak atau
orang dewasa atas asas indentiti gender dan orientasi seks dan mereka dibayar
ganti rugi;
xii.
Tuntutan untuk membenarkan buku tulisan Irshad Manji yang jelas mengandungi
perkara-perkara yang menyanggahi hukum syarak- termasuk menyeru supaya
pemikiran Islam (Islamism) diperangi, mendakwa nama Allah diambil oleh
Rasulullah dari nama sebuah berhala; menghidupkan semula teori jahat Salman
Rushdie satanic verses; mendakwa amalan solat boleh dilakukan mengikut
pemikiran sendiri; mendakwa amalan seks songsang kaum Lut hanya diharamkan
jika dilakukan secara paksa;
Justeru,
MuslimUPRo mendesak Kerajaan supaya:
i.
Bertegas dalam mempertahankan kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara dan
menolak tuntutan-tuntutan COMANGO kepada HRC melalui proses UPR tersebut.
Penegasan ini dilakukan berasaskan prinsip-prinsip kedaulatan Malaysia sebagai
Negara Islam;
ii.
Menghalang pihak COMANGO dan badan-badan seumpamanya dari terus-menerus
mencabar institusi Raja-raja Melayu, institusi fatwa dan Majlis-majlis Agama
Islam Negeri-negeri serta institusi-institusi yang ditubuhkan di bawah
peruntukan-peruntukan melindungi Islam sebagai agama Negara;
iii.
Mengambil tindakan sewajarnya menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan dan
undang-undang Negara terhadap pihak COMANGO dan badan-badan seumpamanya apabila
jelas terdapat usaha membuka ruang untuk melakukan kesalahan-kesalahan jenayah
apabila tuntutan-tuntutan tersebut berlawanan dengan Enakmen-enakmen
Negeri-negeri yang memperuntukkan undang-undang melindungi Islam;
iv.
Menolak tuntutan COMANGO dan Badan-badan HAM dengan berasaskan kewajipan
memelihara kedaulatan Islam sebagai Agama Negara;
v.
Merundingi Majlis-Majlis Agama Islam dan Badan-badan Islam Bukan Kerajaan dalam
mempertimbangkan pelbagai tuntutan yang menyentuh Kedaulatan Islam sebagai Agama
Negara.
vi.
Bertegas menghalang COMANGO dari berurusan dengan mana-mana pihak sama ada
dalam atau luar Negara kerana hanya segelintir (12 persatuan) yang sah sebagai
NGO dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, manakala yang lainnya tidak
berdaftar dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 6 Akta Pertubuhan;
vii.
Mana-mana pihak yang berurusan dengan pertubuhan-pertubuhan tidak berdaftar ini
turut melakukan kesalahan. Suara dan tuntutan mereka ini tidak mewakili
majoriti rakyat Malaysia, bahkan sebahagian dari peneraju pertubuhan tidak
berdaftar ini telah beroperasi secara tidak sah selama tempoh mencecah puluhan
tahun. Bahkan sebahagian dari mereka ini juga sengaja mewujudkan entiti
perniagaan di bawah Pendaftar Syarikat dengan tujuan mendapat penyaluran dana
asing untuk membiayai tuntutan jahat mereka untuk mengkhianati Agama Negara.
viii.
Menyiasat sumber kewangan yang membiaya COMANGO untuk melakukan berbagai
pengkhianatan terhadap kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara;
Azril
Mohd Amin – Ketua Delegasi MuslimUPRo ke Geneva, Switzerland
MuslimUPRo
adalah dianggotai oleh Pertubuhan-pertubuhan Islam dan Umat Islam utama
termasuk Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan
Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat
Malaysia (MUAFAKAT), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), JATI, Majlis Amal Islami
Malaysia, IKATAN, PERKIM, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), PEMBINA,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PERMIM, JATI, PERKID, PERKASA, PROMUSLIM,
JAM”IYYAH, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Yayasan Basmi
Kemiskinan (YBK), ISSI Malaysia, GABUNGAN Pulau Pinang, PINTA, Majlis Ittihad
Ummah, Persatuan Ummah Cemerlang Malaysia, Khalifah Institute, Persatuan Nur
Alamiyyah, Pertubuhan Anak Watan Malaysia (WATAN).
Sumber: http://zul4kulim.blogspot.com/2013/10/jihad-muslim-upro.html