Zulaikha memandang berkali-kali biasan tubuhnya di hadapan cermin. Mahu tampil sesopan yang mungkin. Baju kurung hijau lembut yang dipakainya dipadankan dengan tudung warna sedondon yang lebih lembut. Hujung tudung dibiar lepas tidak seperti selalu akan dililit atau dilipat ke atas.
‘Biar sikit-sikit asal aku istiqamah’ Zulaikha bicara sendirian.
Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Zulaikha bingkas keluar daripada bilik tidurnya. Dicapai beberapa nota kuliah sebelum keluar.
“Zu, mari sarapan sayang..”
Puan Aida tersenyum mesra melihat penampilan anaknya pada hari ini. Cantik dan sopan tidak seperti kebiasaan.
“Mimpi apa hari ni sayang pakai cantik-cantik ni?”
“Cantik ke ma? Biasa je zu rasa. Mama ni ada-ada jelah..”
“Ke sebab takut kena saman dengan pak guard lagi ni..”
Encik Adam menyakat anaknya.
Zulaikha memuncungkan mulutnya tanda tidak berminat dengan giatan abahnya mengungkit kisahnya disaman pengawal keselamatan.
Puan Aida dan Encik Adam tersenyum melihat anak mereka pada pagi ini. Jarang sekali mahu melihat Zulaikha berbaju kurung. Biasanya seluar jeans yang menghiasi tubuh anak mereka.
Tetapi pagi ini, tubuh anak mereka kelihatan menawan dengan baju kurung yang menyaluti tubuh Zulaikha. Wajah bersih tanpa olesan warna kosmetik menyerlah kecantikan milik anak mereka.
“Ok lah ma, abah, Zu pergi dulu ye. Dah lewat ni..”
Zulaikha menyalami Encik Adam dan Puan Aida sebelum beredar ke pintu utama rumah milik keluarga Encik Adam. Dicapai kasut yang bertutup di rak kasut. Kaki yang telah siap berstoking warna coklat muda disarung ke kasut. Sorotan mata Puan Aida mengiringi langkah anak kesayangannya itu.
“Dah dewasa anak kita tu bang..”
“Hai baru tahu ke. Kita ni dah makin tua Aida.. Rumah kata pergi kubur kata mari..”
“Ish, ke situ pulak abang ni. Saya tengok si Zulaikha tu dah elok sikit pakaiannya. Sopan sikit. Taklah mata ni sakit tengok. Sebelum anak Kak Zaleha tu balik, kita kena ubah si Zulaikha tu. Taklah terkejut bakal menantu kita tu tengok nanti..”
“Hah itulah awak ni. Nak ubah anak niat tu kena ubah Aida oi.. Biarlah dia berubah kerana hatinya. Bukan kerana bakal suaminya..”