Bukit Fraser. Kawasan peranginan tanah tinggi dan berhawa dingin ini terletak pada aras hampir 1,500 meter. Jarak dari Kuala Kubu Baru ke Bukit Fraser dalam lingkungan 40km melalui laluan bercerun yang beransur bertambah kecuraman semakin menghampiri puncak. Bunyinya mcam menyiksakan. Apatah lagi kalau berbasikal. Tetapi manusia ini makhluk yang aneh. Benda yang nampak susah itulah yang hendak dicuba, Dan ramai sudah yang berjaya berkayuh dari Kuala Kubu Baru ke puncak Fraser. Takkan aku nak tengok saja? Tergatal pulak mulut bersuara...Tergatal pulak mulut yang lain menyahut...dan menyanggup. Midut kata ON! Dan Midut tidak keseorangan. Pian yang dari Penang juga mengangkat tangan dari puncak Bukit Bendera untuk ikut sama. Dari Penang, Zamri akan ikut serta. Ya..hanya Zamri yang sudah pernah menaikkan basikal beliau dari KKB ke Fraser. Nan jugak pernah mencuba walau kayuhan lebih banyak di dalam lori dari di jalan raya. Dan kali ini azamnya lebih membara. Untuk menebus kandasan silam agaknya. Dua anaknya akan dibawa bersama. Rata-rata pencabar Fraser ini termasuk golongan tokwan dan pakcik belaka. Umur dah setengah abad, tapi masih nampak steady lagi... Chewah!
Untuk kayuhan yang lebih berperisa, ditetapkan basikal semua mesti bertayar besar berbunga kubota. Saja mencari laaaaaa...Sedari awal sudah diberi ingat, kayuhan tanggungan sendiri, sendiri kayuh sendiri buat. Tiada kenderaan sokongan untuk bermanja...Namun, mujur pada saat akhir, muncul Mon menawar diri memandu Fird Ranger Pian menjadi kereta talian hayat...
Dan fajar 27 mac menjelang tiba. Jam 5.00 pagi aku dah terjaga. Barang basikal sudah disiapkan tadi malam. Dino yang pada mulanya nak mengikut aku membatalkan penyertaannya. Dengan hanya berbaju T dan berkain pelikat, Unser setia pengangkut basikal aku meninggalkan Taman Melewar mengesot ke MRR2 u8ntuk mengambil haluan ke utara. Singgah solat subuh di masjid Rawang. Suboh yang masih kelam, ramai manusia masih di dalam sarang. Jalan lapang tidak banyak kenderaan. Belum jam 7.00 sudah sampai ke Kuala Kubu Baru. Ha... apa lagi, cari la batu... Nak buat apa? Nak tulis nama atas batu sebab dah sampai Kuala Kubu... Teringat lagu nyanyian arwah Sudirman...
Tempat berkumpul ialah di Stadium Mini Kuala Kubu Baru. Mudah dicari, parkir mencukupi dan tidak mengganggu (melainkan kalau ada acara di situ). Sedikit terkejut bila melihat Buckery pun ada juga. Kali ini menurunkan jentera lipat. Basikal AM dia ditinggal dirumah. Sebelum mula kayuh, kita tengok kedatangan dulu.
|
12 yang akan mencabar Fraser... Siapa yang sampai? Siapa kecundang? |
- Haris (aku la tu)
- Pian
- Zamri
- Midut
- Amjad
- Danial Amjad
- Buckery
- Hasnan
- Danial Hasnan
- Danish Hasnan
- Pawi
- Rudz
Okay, kita ada 12 basikal, 12 penunggang, 1 Ford Ranger dan Mon, sorang saja support crew.
Jadual asal untuk golekkan tayar jam 0730hrs sudah terbabas. Biasala kalau dah ramai-ramai. Sudahnya, jam 0830hrs baru bergolek selepas bacaan doa oleh As Sheikh Maulana Rudz al Buronji.
|
CP1 - Empangan Kuala Kubu Baru |
Matahari pagi sudah terang. Dari stadium masuk ke Jalan Kuala Kubu - Fraser. Bermula landai kemudian mendaki sehinggalah ke CP1 di Empangan Kuala Kubu Baru. Peloton 12 sudah terpecah. Kumpulan hadapan - aku, Pian, Midut, Rudz, Buckery dan Pawi sampai dulu ke Empangan. Yang lain menyusul. Ada yang menyusul dengan basikal... Ada yang sudah mendapatkan khidmat layanan mesra Mon. 6 KM selamat diharungi. Lagi 34km masih berbaki.
|
Pasangan ni berlari dari KKB ke Fraser. |
Bila sampai berperingkat, sambung kayuhpun berperingkat jugak. Elok nak mulakan kayuhan dari Empangan, sekonyong aku ternampak sesuatu yang agak luarbiasa. Realitikah? Atau hanya logamaya bermain dengan mata dan minda... Aras masih belum cukup tinggi untuk menyebabkan altitude sickness. Aku tenyeh mata aku... Mana tau takut ada sisa taik mata menyebabkan ada ilusi. Setelah semua itu dilakukan ternyata apa yang aku lihat itu adalah sesuatu yang nyata, bukan logamaya fatamorgana...Aku melihat 2 orang, seorang lelaki dan seorang perempuan berlari-lari anak gaya seperti larian marathon... Hebat. Sama laju (mungin lebih lagi) dari kami yang berbasikal...
Jalan raya lebar lapang terdedah terus dijamah. Pian dengan Apollo 29er tenang bersahaja melayan pendakian tahap manja ikut kamus dia. Siap sempat merayau masuk belukar meninjau tebing tasik empangan. Peloton depan Midut, Pawi, Rudz, Buckery sudah hilang dari pandangan. Sasaran seterusnya kawasan rehat Air Terjun Sungai Semangkuk.
Jalan lebar dua lorong diganti dengan jalan sempit dua hala sebaik melalui Peretak. Pagi hari minggu. Sudah banyak kereta berderetan di kawasan perkelahan Sungai Chiling yang memang sudah terkenal. Jalan berliuk lentok mendakap lereng bukit. Tahap kecerunan dalam purata 10 peratus. Mujur ada pohonan di kiri kanan jalan memberi teduhan sepanjang kayuhan.
|
Inilah rupa basikal gumuk aku. Gumuk dan berat. |
Tinggallah aku berkayuh sorang-sorang. Yang lain sudah ruyup ke depan. Di belakang aku ada lagi ka? Cuaca panas walau masih pagi. Peluh keluar mencurah-curah. Speed aku dah tinggal sekitar 10km/j. Memang rilek habih kayuh. Kayuh basikal gumuk dan berat pelan-pelan dengan gear ringan. Liuk lentok jalan bagaikan tak berkesudahan. Sesekali dikejutkan dengan selekoh patah yang memanjat. Kena laluan macam tu memnag menambah cungap dan menarik urat betis. Dalam kepala dok terbayang air terjun tepi jalan untuk CP2. Jauh lagi kaaa?
Dalam mood kayuhan macam tu, aku dah tak kisah dah perlahan atau laju. Jarak nak dikayuh jauh lagi. Mendaki pulak tu. Matahari makin naik. Suasana makin panas. Aku tak perlu terburu. Matlamat utama... Kayuh sampai ke Fraser. Jangan menyerah naik Ford Ranger. Ford Ranger masih di belakang aku. Entah sudah berapa pengayuh yang sudah bersenang santai di dalam perut Ford Ranger...
Sedang enak melayan kayuhan santai, hujung telinga aku terdengar se akan ada bunyi derap sepatu di belakang. Mula-mula aku tak berapa peduli. Aku ingatkan mungkin hanya bunyian di dalam kepala saja. Maklumlah, badan dah penat, peluh dah mencurah, aras ketinggian makin bertambah. Tapi makin lama bunyi makin nyata. Nak tak nak aku pusing juga kepala toleh ke belakang. Dan, uikkkk... sang pelari tadi sudah berada dalam jarak 3 meter di belakang aku. Cheh... orang berlari lagi laju dari aku! Ini tak boleh jadi, kalau aku biarkan juga nanti kena potong dengan pelari. Penat pun penatlah. Letih pun letihlah. Cungap pun cungaplah. Aku gagahkan juga lajukan sikit kayuhan. Otot kaki protes rasa menyucuk macam kena karan. Tak peduli...Jarak dengan pelari mesti dijauhkan...Pulu punya pulun lama-lama tak kedengaran lagi bunyi derap sepatu di belakang aku. Dah tak nampak dah kelibat pelari. Baru lega sikit...
|
Kawasan rehat Sungai Semangkuk. Pelari sampai kemudian sikit saja daripada kami |
Jalan Kuala Kubu Baru - Fraser terus dikayuhi. Meliuk, melentok dan mendaki. Tanpa sikitpun simpati pada aku dan kaki aku. Dari kejauhan bunyi air menderu. Sungai nun di bawah sana nun, terlindung di sebalik rimbunan pohonan hijau. Bunyi riang riang-riang (cicada -
Cicadidae) menjadi muzik latar kayuhan aku. Satu terapi dari alam semualajadi. Bunyian dan panorama alam ciptaan tuhan yang lebih enak dinikmati dengan berkayuh. Kalau memandu atau bermotosikal, mungkin tak sempat untuk menikmati semua itu. Semuanya laju, laju dan lajuuuuu...Dan kawasan rehat Sungai Semangkuk (3°38'38.8"N 101°44'28.4"E) pun muncul di pandangan. Kelompok hadapan sudah nampak lepak dan bersantaian. Kawasan perkelahan kecil teduh dan nyaman. Air terjun jadi tarikan utama. Kemudahan asas tandas dan parkir ada...Nikmat tidak terhingga... Check Point 2. Jam sudah pukul 11.00 pagi... Sudah 2 jam 30 minit berkayuh...
Lat tak lama lepas aku sampai, pasangan pelari pun sampai juga. Sempat la bersembang berkenalan dan berkongsi rahsia. Apa ilmu depa pakai? Apa barang depa makan? Sempat berkenal-kenal ringkas. Sempat juga psangan hebat ini berkongsi rahsia makanan tempatan yang berkhasiat dan memberi tenaga. Dan aku terkejut bila dapat tahu santan kelapa ada banyak khasiat. Boleh dibuat minum. Pasangan pelari meneruskan larian sementara kami meneruskan lepakan menunggu Mon dan kereta sokongan...
11.40 pagi kayuhan diteruskan. Basikal yang masih sudi mengukur jalan tinggal aku, Pian, Pawi, Midut, Buckery dan Rudz. Pengayuh lain sangat bersimpati dengan basikal. Basikal diberi peluang berehat di atas Ford Ranger. Sasaran seterusnya ialah Gap. Check point nombor 3. Jarak dari Air Terjun Semangkuk ke Gap ialah 8.2km. Anggaran masa diperlukan 1 jam (atau lebih).
|
Rudz dan Eva |
Seperti biasa aku memulakan kayuhan. Hanya untuk seketika sebelum seorang demi seorang memotong aku. Tinggallah aku di belakang sorang diri. Tahap kecerunan jalan semakin beransur bertambah. Matahari makin meninggi. Suasana makin hangat. Peluh mencurah tak hingat. Aku maintain pace pada 8km/j - 10km/j. Kayuh dan terus kayuh. Sesekali menjeling pada GPS Garmin 62s yang tercongok pada bar hendal. Ish...lambat lagi. Ish...jauh lagi. Psikologi betul. Sapa suruh dok kerap tengok.
Kayuh la punya kayuh, akhirnya ternampaklah pemandangan yang melegakan. Dah nampak hujung jambatan gantung. Dah nak sampai Gap! Rudz tengah sibuk berposing dengan Eva kat hujung jambatan. Aku jadi naik semangat... Terus kayuh basikal naik ke atas jambatan gantung. Dah lama aku teringin nak buat macam tu. Hajat tercapai! Sampai Gap pada jam 12.40pm. Pengayuh lain sudah selamat sampai. Kereta bantuan juga dah sampai. Perut dah mula rasa lapar. Tadi pagi tak sarapan. Air dalam beg dah luak banyak. Memang kena banyak minum untuk elak ternyah-hidrat. Bekalan air ditambah.
Nak kena harung lagi 10km untuk sampai ke puncak. Zamri yang tadinya berkayuh di atas Ford Ranger, ambil keputusan untuk menyambung kayuhan dari Gap ke Fraser. Dia dah kayuh dulu. Buckery pulak ambil keputusan untuk berkereta saja ke puncak. Dia bawak support car sendiri. Technical advisor dia dah bagi nasihat supaya kayuhan tidak diteruskan setelah dia mengadu kaki rasa macam nak kejang. Hiiyyyyaaahhhhhh...tinggal sikit saja lagi nak harung. Bahagian yang paling mencabar. Curam! Gradien sekitar 12% - 15%.
|
Lagi 2 km nak sampai Fraser. |
Sekali lagi aku mula dulu. Sekali habis semua pakat potong aku. Aku masuk mode malas. Kayuh pakai gear granny dengan kelajuan 8km/j dan kurang. Berhenti pada setiap 2km untuk legakan otot dan redakan jantung. Ingatkan aku akan tercicir jauh dengan strategi kayuhan begitu. Tak sangka dapat juga aku potong Pawi. Perut makin lapar. Adussss...
Pada hentian lagi 2 km nak sampai puncak, Pawi sempat mengejar aku. Mujur dia sempat. Sebab dia datang bersama dengan beberapa biji buah kurma dalam genggaman. Rezeki! Rupanya, Mon dengan support car sudah pusing dan naik balik mengiringi kami. Cemerlang sungguh Mon.
Dua biji kurma masuk ke perut memberi kelegaan yang amat sangat. Tanda penghargaan kepada Pawi, aku tinggalkan dia di situ keseorangan. Bertuah betul aku...Aku teruskan kayuhan dengan lebih bersemangat. Semangat kurma dua bijik bercampur rasa lega dan nak cepat sampai sebab jarak tinggal lagi tak sampai 2km. Ternampak kelibat kereta sokongan mengikut perlahan di belakang aku. Kemudian berhenti di satu kawasan agak lapang di bawah teduhan pokok. Sungguh komited Mon dengan tugasannya.
|
Akhirya... aku dan Sang Bara gumuk berjaya sampai. Jam menunjukkan pukul 2.35 pm. |
Kelibat Jalan Mager menaikkan lagi semangat. Maknanya Fraser dah sangat dekat. Sudah terbayang menara jam Fraser yang sungguh ikonik itu berada di depan mata. Kaki terus mengayuh tak terasa. Laju dan semakin laju...Jalan lurus terbentang. Di kiri kanan tercongok bangunan lama era kolonial yang masih elok terpelihara. Dan... nun di hadapan menara jam Bukit Fraser. Bagai bercekak pinggang di simpang jalan menyambut tetamu datang dan melambai selamat tinggal kepada yang mahu pulang. Fraser... AKU SAMPAI!!!
|
Syabas Pawi!!! |
Aku tercari mereka yang lain. Tak nampak kelibat mereka. Mungkin sudah ke kawsan Medan Selera. Aku lepak sekejap di menara jam menunggu Pawi sampai. Lat tak lama muncullah Pawi. Langkah dan kayuhan yang tadinya longlai jadi mantap bersemangat bila sudah ternampak menara jam. Sebaik sampai, walau aku tau dia penat, aku kerah dia suruh posing julang basikal... Seorang lagi pengayuh yang puas kerana berjaya menamatkan kayuhan hingga ke Fraser. Mai jauh dari Penang tuuuuuu...
Garis penamat Fraser selesai sudah. Alhamdulillah...