Impian sudah terpendam sekian lama ingin berkelana berkembara dengan basikal ke seluruh Malaysia. Besar mimpi tuh...Tercapaikah? Biarkan saja dulu persoalan itu.
Untuk menjadikan mimpi satu kenyataan, sesuatu perlu dilakukan. Langkah pertama perlu dimulakan. Benihnya perlu disemai. Bunganya beransur cambah. Langkah pertama diorak. Jentera Fuji Tahoe kepunyaan isteri yang direhatkan sementara setelah isteri ketemu Cik Putih di bangunkan semula. Mulanya dibikin untuk kayuhan biasa rentas desa. Bila angin mahu berkelana kembali bertiup sepoi-sepoi bahasa, Fuji Tahoe mula dirobah sifat. Untuk berkelana, soal upaya muat jadi pokok utama. Maka Fuji Tahoe di pasang dengan beg pelantar dari Topeak.
Nah! Bagaimana rupanya?
Kelengkapan terdiri dari 2 kelompok utama. Satu, pepara Topeak Super Tourist DX Tubular Rack w/disc mounts. Dua, Topeak MTX TrunkBag EXP. Beg untuk berkelana.
Beg upaya muatan besar yang boleh dikembangkan panel sisinya. Ruang muatan utama siap dengan pembahagi yang dilekat dengan velcro. Menurut Topeak, ia direka menggunakan kaedah pembuatan baru yang menggabungkan panel tegar beracuan disudahi dengan bahan 420 fabrik nylon denier untuk memberikan ketegasan dan kalis air. Jalur-jalur pemantul cahaya dipasang sebagai langkah keselamatan.
Kos untuk pepara dan beg ialah RM384. Barangan didapati dari Giant Store, Sri Hartamas.
Ujian jarak dekat ke pejabat dan bazaar Ramadhan setakat ini memberikan satu rasa kelainan. Memang terasa seperti berat dan menyeret pada bahagian belakang. Perlu ambil sedikit masa untuk penyesuaian. Ruang muatan cukup menggembirakan. Pakaian kerja boleh dimuat tanpa masalah dengan ruang baki masih berlambak. Hmmm...kalau nanti nak berkayuhah jauh, barang apa yang perlu dibawa ya?
Masih ada satu dua perkara yang perlu ditambah/diganti pada jentera ini. Tayar gemuk bergerutu sekarang kurang sesuai untuk berkelana. Lebar dan berat dan juga seretan dari bunga-bunga tayar yang terjojol. Mungkin tayar 1.5 akan jadi pilihan. Masih dalam peringkat pencarian.
Bar hendal perlu dilengkapi dengan hendal tanduk. Itu boleh memberikan posisi yang lebih menegak. Bolehlah tekanan pada tapak tangan dan pergelangan tangan diredakan sedikit.
Bila dah hampir siap dan dah merasa berkayuh dalam jarak pendek, rasa tak sabar pulak nak tunggu untuk kayuhan yang lebih jauh. Buat permulaan, sebagai latihan dan pendedahan awal, cadangnya nak ke Bukit Fraser. Nak ikut? Siapkan jentera dan tunggu pengumuman. Tarikhnya mungkin hujung Syawal. Eloklah tu...boleh bakar segala lemak terkumpul selepas jenuh carbo loading lemang, ketupat, rendang.