Tuesday, January 31, 2012

MISKINKAH KITA SETELAH BERSEDEKAH?



 Dengan lafaz Bismillah...

Sahabat-sahabat sekalian sambutlah salam kehormatan terindah dari hati kecil saya yang paling dalam, saya percaya dan yakin seyakinnya kalimah SALAM ini memiliki kekuatan yang sangat dahsyat yang mampu menciptakan keakraban antara kita. ASSALAMUALAIKUM...

‘Allah sangat sayang dengan  orang yang mahu menebarkan kasih sayang di atas muka bumi ini’ 

Alhamdulillah dipanjatkan sebagai ucapan alu-aluan sebagai peringatan bahawa apa yang dimiliki ini hanyalah pinjaman dan pada masa yang tertentu PASTI akan dipulangkan,  tarikh yang telah ditetapkan dan semua diantara kita sedang menujunya. Walau ilmu yang ada dalam diri ini hanyalah sedikit, semoga sama-sama mendapat manfaatnya kerana sedikit atau banyaknya ilmu itu diukur dengan sebanyak mana amalan terhadap ilmu tersebut. 

Sahabat yang dikasihi, 
kalau ingin disayangi Allah, 
Jadilah orang-orang yang selalu memberi,
Kepada orang-orang yang memerlukan. 

Jadikan hari-harimu tiada hari tanpa SEDEKAH. 

Bersedekah merupakan bukti kita bersyukur terhadap segala nikmat dan kurniaan yang Allah berikan. Baru-baru ini bagi pelajar Institut Pendidikan Guru sibuk membuat belanjawan dek kerana alaun belajar telah masuk. Ada yang merancang untuk membeli emas..ada yang merancang untuk membeli baju..ada yang sibuk melangsaikan segala hutang piutang…macam-macam perancangan..sahabat-sahabat sudahkan kita melakukan sujud syukur? Sesungguhnya apabila kita meluahkan kesyukuran kita, Allah akan tambahkan kesyukuran tersebut dan mencukupkan kita dengan apa yang diperolehi.

“Sesungguhnya di antara sahabat Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam ada yang berkata:”Ya Rasulullah, orang-orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan sholat sebagaimana kami mengerjakan sholat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan bagimu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh seseorang kepada kebaikan adalah sedekah, melarangnya dari kemungkaran adalah sedekah.” (HR Muslim 1674)

Betulkan persepsi kita…

Sedekah bukan untuk kekayaan sahaja. Bersedekah mempunyai makna yang begitu luas, hinggakan tersenyum pun dianggap bersedekah, menolong orang yang di dalam kesusahan dianggap bersedekah, meringankan bebanan orang dianggap bersedekah, menanam pokok dengan niat agar buahnya dimakan oleh burung juga dianggap bersedekah. MasyaAllah…

Justeru, bukanlah menunggu diri menjadi kaya dulu baru boleh bersedekah. Sedangkan dengan syiling 10sen juga jika hati kita ikhlas untuk bersedekah kerana Allah nilaiannya lebih besar dari wang ringgit berjuta-juta yang diberikan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk dan riak. Ya Allah, peliharilah saya dan sahabat-sahabat saya dari sifat riak, ujub, takabbur dan sombong. Kurniakanlah kami hati yang bersih dan ikhlas serta jiwa yang subur dengan sifat-sifat mahmudah.

Sahabat…

Bukankan Allah memiliki balasan yang terbaik bagi orang-orang yang mahu bersedekah?
Miskinkah kita setelah bersedekah?

Bagi yang sudah berumah tangga dan muslimah…
Buat para suami “Jika bersedekah, niatkan atas nama dan bagi pihak isterimu. Bantulah mereka dengan pahala sedekah kerana ramai para isteri yang akan menjadi penghuni neraka!”
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. katanya: “Suatu ketika Rasulullah s.a.w. keluar pada Hari Raya Aidiladha atau Aidilfitri menuju ke tempat solat dan melalui sekumpulan wanita. Beliau bersabda: ‘Wahai kaum wanita bersedekahlah. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan bahawa kalian adalah majoriti penghuni neraka.’
“Salah seorang wanita yang fasih dan bijak bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Beliau menjawab: ‘Kalian banyak melaknat dan durhaka terhadap suami. Dan tidaklah aku menyaksikan orang yang memiliki kekurangan akal dan agama yang dapat menghilangkan akal kaum lelaki yang setia daripada salah seorang antara kalian.’
“Mereka bertanya lagi: ‘Apa yang dimaksudkan dengan kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?’
“Baginda menjawab: ‘Bukankah kesaksian seorang wanita sama dengan separuh daripada kesaksian seorang lelaki?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata lagi: ‘Bukankah apabila wanita mengalami haid maka dia tidak melakukan solat dan puasa?’ Mereka menjawab: ‘Benar.’ Baginda berkata: ‘Itulah (bukti) kekurangan agamanya.’” (Riwayat al-Bukhari no. 298)
Oleh sebab itu, setiap suami yang mencintai isterinya pasti berasa bimbang dengan amaran dan peringatan daripada hadis ini. Betapa tidak, tegakah kita melihat isteri yang tersayang terhumban ke dalam neraka hanya kerana lidahnya yang memaki hamun dan hatinya yang tidak bersyukur? Cakap suami dilawannya, dibentak dengan suara yang tinggi. Mulutnya begitu berbisa, tajam dan menyakitkan.
Isteri yang sedemikian perlukan bantuan. Dia sedang “sakit”. Tetapi bukan mudah membantu orang sakit yang sentiasa berasa dirinya benar dan sihat. Silap pendekatan, dia jadi semakin menyinga. Isteri begini terlupa bahawa selagi suami tidak menyuruh kepada yang haram dia wajib taat. Dia terlupa membesarkan pemberian suami yang kecil. Dia sudah tidak ingatkan lagi bahawa jalannya menuju ke syurga adalah melalui pintu gerbang ketaatannya kepada suami. Malu, taat, setia dan khidmatnya hanya untuk manusia bernama suami.

Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. 
Oleh itu, JOM BERSEDEKAH SAHABAT! (^___^)




“ Dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali dengan menerima kehendak Allah.

Dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan dihilang kecuali dengan seronok mengenali ALLAH”

Kekuatan muslim bergantung keyakinannya pada ALLAH.

Renunglah dengan mata hati jika semalam jalan yang ditempuhi terasa sukar namun kita berjaya melaluinya dengan PERTOLONGAN ALLAH. Jika kita terasa perjalanan hari ini begitu sukar ditempuh, yakinlah ALLAH bersama-sama kita ketika ini.

Jika esok kita melihat lorong-lorong penuh duri, percayalah pertolonganNya juga akan bersama dengan kita.

Salam Mujahadah Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah (^_^) waallahu'alam.