Friday, October 15, 2010

RAHSIA DISEBALIK 'QANA'AH'

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,


Assalamualaikum w.b.t,


Semoga penulisan kali ini dapat memberi makanan kepada rohani kita setelah sekian lama ana tidak mengupdate blog ini. kesibukan di bumi IPG memang satu cabaran kepada ana untuk sentiasa istiqamah dalam dakwah dan tarbiah.


Walau bagaimanapun, sebagai seorang hamba kita perlu sentiasa ingat dari mana kita datang? untuk apa kita dihidupkan? dan ke mana kita akan dikembalikan?


justeru, entri kali ini ana ingin kongsikan bersama sahabat semua tentang sifat qana'ah.. mungkin sahabat-sahabat sudah tahu berkaitan dengan sifat qana'ah ini, namun persoalannya sejauh manakah kita mengamalkannya?? justeru, marilah kita sama-sama telusuri makna disebalik 'qana'ah' dan berusaha untuk mengamalkannya.


QANA’AH ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu


1)kemuliaan pada ketaatan

2) kehinaan pada maksiat

3) kehebatan pada ibadat malam

4) hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong

5) kekayaan pada sifat qanaah.


Qana’ah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)


Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”


Allah Ta’ala berfirman:

Barangsiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia adalah beriman, maka akan Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan akan Kami tunaikan kepada mereka pahala mereka dengan yang lebih bagus dari apa yang pernah mereka kerjakan.(An-Nahl:97).


Amal soleh yang bermaksud perbuatan dan hasil-hasil pekerjaan yang baik dengan Iman, kerana Iman kepada Allah menimbulkan amal yang soleh. Pengakuan iman sahaja belum tentu boleh dibuktikan oleh hasil pekerjaan yang baik.


Di dalam ayat ini juga dijelaskan bahawa di dalam hal amal soleh dan Iman itu samalah kedudukan antara lelaki dan perempuan. Masing-masing sanggup menumbuhkan iman di dalam hati dan sanggup berbuat baik. Maka tidak kurang tanggungjawab perempuan daripada lelaki dalam menegakkan Iman kepada Allah.Mereka dijanjikan Tuhan akan diberi kehidupan yang baik(Hayatan Thayyibah).


Menurut Ibnu Katsir: kehidupan yang baik itu ialah ketenteraman jiwa(walaupun datang pelbagai ganguan dan cubaan).


Satu riwayat pula daripada Ad-Dahhaak ialah rezeki yang halal dan kelazatan serta kepuasan beribadat kepada Allah dalam hidup, serta berlapang dada.


“Dan akan Kami tunaikan kepada mereka pahala mereka dengan yang lebih bagus dari apa yang pernah mereka kerjakan”.


Sesungguhnya segala amalan baik yang kita kerjakan dalam dunia ini, yang bersumberkan iman kepada Allah. Jika difikirkan tidak sepadan dengan pahala dan ganjaran yang akan di terima di akhirat kelak. Amat sedikit yang kita kerjakan itu dan berlipat ganda lebih besar pahala dan ganjaran yang akan kita terima. Kita sekadar melakukan perintah Allah hanya sebatas waktu shaja, padahal pahala yang akan kita terima adalah kekal hingga ke hari akhirat.


Allah Ta’ala berfirman pula :

Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka dibunuh @ mati, pastilah Allah akan memberi mereka rezeki yang baik dan sesungguhnya Allah adalah Dia yang sebaik-baik pemberi rezeki.( Al-Hajj :58)


Hijrah bermaksud pindah iaitu apabila sesorang itu keluar dari kampung halamannya akan tetapi hijrah akan menjadi lain jikalau ia mengharapkan redha Allah dan Rasul dan menjadi ibadat tertinggi.


“kemudian mereka dibunuh atau mati”Mujahidin dan muhajirin itu ada yang mati terbunuh didalam satu peperangan iaitu diertikan sebagai mati dalam jihad.Akan tetapi ada juga yang mati biasa, tidak dalam pertempuran, namun mereka mati jauh dari kampong halaman.”Pastilah Allah akan memberi mereka rezeki yang baik”, yang mati terbunuh dan yang mati biasa, tetapi keduanya dalam keadaan berjuang, pahala yang terima dari Allah adalah sama, Cuma mengurus jenazahnya saja berlainan.


Dihujung ayat ditegaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan sanggup menghargai jasa seseorang akan sama penghargaannya atas jasa orang yang berjuang menegakkan jalan kebenaran dengan penghargaan yang diberikan oleh Allah,Sebab bagi Allah itu jelas, semua tidak ada yang tersembunyi. Sedangkan bagi manusia perbuatan baik itu kerap kali lupa. Dan kalau teringat sekalipun, penghargaannya tidak juga akan sama.


Antara ciri – ciri orang yang mempunyai sifat Qanaah ini ialah mereka mempunyai sifat tidak suka meminta – minta walaupun hidup dalam keadaan miskin dan serba kekurangan.


Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini

RUJUKAN: TAFSIR AL-AZHAR


semoga perkongsian kali ini dapat membawa ana dan sahabat semua untuk muhasabah diri...

Qana'ah..... sejauhmana kita mengamalkannya......


wa'allahualam

Friday, August 6, 2010

BERHEMAH DALAM MENEGUR...

Alhamdulillah...setinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana masih memberi kesempatan pada ana untuk berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat sekalian. coretan kali ini ana petik dari tazkirah yang ana baca. tiba-tiba ana rasa tertarik untuk berkongsi peringatan ini. mungkin ia nampak seperti suatu perkara yang remeh...tapi hakikatnya ia sangat penting dalam kehidupan kita sebagai pendakwah pada diri sendiri dan orang lain. sama-samalah kita renungkan dan cuba muhasabah diri.

‘‘Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.”

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam
surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik
dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”


Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”


Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Panduan


Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.


Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103
yang mengingatkan,

‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”


Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44
yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut,

mudah-mudahan ia ingat atau takut.”


Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan,
maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut,
ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’'.


Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat
keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan
kesalahan.


Bangga


Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105
sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”

sahabat...marilah sama-sama muhasabah diri agar setiap apa yang kita lakukan diredhai Allah s.w.t.

wa'allahualam,


Thursday, July 22, 2010

Bagaimana Bercinta Cara Islam???


Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.Rasulullah pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin cinta-menyintai ini.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah kali itu agak menarik ; Jodoh.

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang cara masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya. “Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan yang empunya diri dan terus menyatakan niat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.


Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah Haram perempuan itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari. Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimana Islam mengajarkan wanita yang berkeinginan bernikah, menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad SAW dan Khadijah dimulakan dengan Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad, beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Nabi Muhammad. Oleh itu Khadijah menyuarakan keinginannya melalui perantaraan Nafisah binti Manbah agar merisik Nabi Muhammad untuk dirinya. Tawaran itu disambut aik oleh Muhammad dan dengan tidak membuang masa, baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya, ‘Amru bin Asad. Perkahwinanpun dilaksanakan dengan selamatnya.* Begitulah yang diajarkan dalam sirah. Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk menjalankan sunnah baginda Rasulullah SAW? Cuma caranya biarlah sesuai dengan masyarakat kita. Jika kita seseorang perempuan itu sudah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan sahaja kepada ibu bapa, agar dapat menghubungi pihak keluarga si lelaki itu. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

(*Fiqih Sirah, Jilid 1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti. Bab Perniagaan Dengan Harta Siti Khadijah Dan Perkahwinan Baginda)

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh manusia serta diredhai oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu selepas perkahwinan. Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita itu.

Untuk kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita. Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM .