Di bawah disiarkan ucapan K.A. yang telah disampaikan beliau pada 16 Februari, 2014 di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. -- K.A.
Ucapan Kepada Konferensi Politik
Nasional
Untuk Menentukan Halatuju Negara
Malaya
Untuk Tiga Puluh Tahun Akandatang
1. Pendahuluan
Hari ini
hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa
sekatan, insya Allah. Hari ini hari saya akan mempertanggungjawab-
kan kehidupan saya di
dunia. Saya ada satu dua kerja lagi yang ingin saya lakukan , tetapi selepas hari
ini, saya reda kalau dipanggil Tuanku untuk diadili.
Saya tidak
mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan
saya. Saya jangka saya bukan keseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya
Tuhan yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai
seorang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]
Ketika saya
seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-kata dengan bebas. [2]
Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3]
Semua orang
tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat
marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya
anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar ke-Melayuan saya dan
memasuki UMNO.
Pada 9
September tahun lalu, saya menjengkau umur 80 tahun tanpa apa-apa perayaan.
Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan
Negara Dato’ Baha Zain dan Nik Aziz
Hassan, telah bermuafakat untuk mera’ikan harijadi itu dengan satu majlis
penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 15
Februari, 2014. Dalam pada itu, saya
telah merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang
halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akandatang. Ucapan ini dijadualkan
pada pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar
belakang majlis harijadi saya yang ke-80.
2. Keadaan Dunia Sekarang
Negara kita Malaysia
sedang melalui satu zaman yang penuh pancaroba. Sistem komunisme sudah runtuh
pada akhir abad ke-20. Sistem liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh
di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.
Keruntuhan
sistem komunisme kerana sistem ini
menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan
oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem diktator! Sistem liberalisme
melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.
Kedua-dua
sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan
sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung
tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang
universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui
batasan undang-undang alamiah. [4]
Umpamanya, dalam hal makan: mudarat kalau kita tidak makan, tetapi kalau kita
makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan
wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.
3. Masa Depan
Apa akan
berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita
pilih sekarang? Mengikut kitab suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran,
satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan Sendiri [5],
dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain,[6]
hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang
menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang
Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.
Apakah jalan
yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak
terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang
menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan
lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan
spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini
berlawanan dengan
undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.
Satu lagi
jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta
paderi yang melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara
atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam
dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia
Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.
Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan
masalah-masalah sosio-ekonomi
menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu gagal
menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.
4. Negara Malaysia
Negara kita Malaysia,
walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme.
Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran
sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun demikian, Malaysia boleh
dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah
caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad ?
Jalan yang
lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah
kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem teokrasi
dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem
ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia
dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan
perkataan lain, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat
19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.
5. Keadaan Orang Islam
Sekarang
Orang Islam
berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya
mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini
harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam
sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pemerintahan Uthman Ibni Affan, khalifah
Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat , orang Arab yang tidak
terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa
nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebagian besar Empayar
Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]
Tetapi umat Islam sekarang duduk di
bawah daripada Britain, Perancis,
Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.
6. Gerakan Pembaharuan Islam
Gerakan pembaharuan Islam moden,
dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m. 1903)
dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam
dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan
membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam
masih di tahap bawah di belakang negara-negara yang kita sebut tadi. Dengan
sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak mengikut
sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi
Muhammad, penyudah segala nabi.
7. Kesilapan-kesilapan Umat
Islam
Di manakah kesilapan-kesilapan besar
mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.
(1) Umat Islam pada hari ini
tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang
besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil
ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi
ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul
kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir
ugama kepada umat Islam.
(2) Khususnya, kesilapan-kesilapan
itu boleh saya senaraikan seperti berikut:
(a) Mereka mendewa-dewakan
pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan
dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam
puak ahli sunnah wal jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu :
Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam
Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula.
Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan
melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan
dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.
(b) Mereka mendewa-dewakan
Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8]
Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’
ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa
‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila
disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu
ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam Quran. [9]
Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan
selawat, seperti yang dibuat sekarang.
(c) Perhatikan satu perubahan
baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya
‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung.
Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di
atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita.
Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki
rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat.
Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! [10]
Sebab-sebabnya nyata mengapa umat
Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta
mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.
Tiap-tiap
generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin mereka
yang terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. Inilah
yang seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya,
penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi.
Maka itu apabila saya menulis buku Hadis -
Satu Penilaian Semula pada tahun 1986, langit Malaysia runtuh
menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku dalam televisyen, radio,
akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah menyokong saya dan sesetengah
membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas
hasutan pihak yang berkepentingan.
Siapakah
yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran
dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah yang
bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama
seperti Quran. [11] Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis
sudah muncul, tetapi bilangannya sedikit sekali dan tidak diwajibkan diikut
oleh umat Islam. Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab,
Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Thalib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis
perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak
banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.
Setelah
doktrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam, timbullah pengumpul-pengumpul hadis seperti
Imam Bukhari (m. 870), Imam Muslim (m. 875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan
telah mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga
akhirnya tinggal 7,275 hadis yang beliau
isytiharkan sebagai hadis sahih. [12]
ABIM
(Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya pada waktu itu,
Encik ( sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah saya dan meminta satu
dialog tentang buku saya. Saya memberi persetujuan dengan syarat keputusan
tidak diambil dalam dialog itu. Saya meletakkan syarat itu kerana pegangan umat
Islam kepada hadis sangat kuat dan tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari.
Pihak ABIM bersetuju dengan syarat itu. Malangnya, apabila dialog itu diadakan
di Universiti Islam Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk
menyatakan kepada majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan. Apabila
dialog itu selesai, pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku
ketua mereka yang mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan saya
juga dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!
Akibat dari
dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan. Nyatalah pengharaman buku ini
satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang berkepentingan.
Kembali
kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam sebagai agama rasmi,
ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam Perlembagaan Malaysia
menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad
sendiri. Dari segi logika, sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama. Ugama dianut
oleh penduduknya, sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian. Ajaran Quran mengisytiharkan dengan jelas tidak
ada paksaan dalam agama. [13]
Ini bermakna warganegara Malaysia boleh
menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa halangan undang-undang.
Dalam
Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14]
Ini bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan agamanya secara autonomi. Demikian
juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, dan lain-lain. Dengan ini,
tidak akan berlaku konflik atau ketegangan antara agama dan kaum. Dengan ini perpaduan
dan harmoni antara kaum di Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil.
Kembali
kepada soal jalan yang lurus yang harus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk
dijadikan sistem hidup mereka, perkara
utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan melalui
perundingan.[15] Sistem dwi-parti yang kita import dari Eropah
tidak sesuai, pada dasarnya, dengan ajaran Islam. Kita diberikan Tuhan dua
tangan: mengapa kita gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan
lain? Tidak bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi
masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing.: cek and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya.
Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan di
Malaysia melalui kaedah muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan
adil. Inilah perintah Tuhan dan keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia.
Dengan demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan
Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara berbilang kaum
dan agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.
Tadi telah
saya nyatakan penyelewengan khusus yang telah dilakukan oleh umat Islam itu memecahkan
masyarakat kepada sistem agama dan sistem sekular. Ini bersalahan dengan ajaran
Nabi Muhammad dalam Quran yang menggabungkan kedua-dua sistem ini secara
harmonis.[16] Namun demikian, ajaran Quran juga menasihatkan
umat Islam mengutamakan kediaman akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang
sah di dunia. [17] Perkara yang akhir ini menunjukkan perbezaan
antara dunia dan akhirat. Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia ini di
peringkat yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual. Nyatalah satu
kasta paderi telah bertindak sebagai diktator kepada masyarakat Islam tanpa
membenarkan perbezaan fikiran. Perbuatan ini melanggar perintah Tuhan yang
terang yang berbunyi, “Dengar semua pendapat dan ikut yang paling baik”.[18]
Harus
diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abad ke-15 dan 16, Islam
pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah kalah. Walaupun ini fakta
sejarah, telah dicatat oleh seorang sejarawan Melayu bahawa kota pelabuhan
Melaka dalam abad ke-15 sebuah kota pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama
dengan Venice. [19] Malah
telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa Melaka pada zaman
itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di dunia. [20] Dinyatakan oleh sejarawan Melayu tadi, 84
bahasa dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa
perantaraan atau lingua franca. Fakta
ini menyalahi anggapan kita yang pertama tadi. Kemungkinan besar ada dua aliran
Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke-14 dan 15.
Di awal
tadi, telah kita petik sebuah ayat suci yang berbunyi, “ Rasul akan berkata: ‘Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran
ini. Kami juga telah mewujudkan musuh-musuh bagi rasul-rasul kami dari kalangan
mereka yang berdosa. Tuan kamu cukup sebagai pembimbing dan penolong’”.[21]
Amaran yang dahsyat ini telah wujud
dalam Quran selama 1400 tahun lebih. Saya tidak pernah bertemu dengan huraian
yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang makna ayat-ayat yang
menakutkan ini.
Apabila
ayat-ayat Quran dibaca, kerap kali kaum
agamawan Islam melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak
didengar. Saya teringat zaman remaja
saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan lagu-lagu Quran dibacakan. Saya telah
mensifatkan perbuatan ini sebagai kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan
Quran kepada umat Islam, yakni lagu mengatasi makna.[22]
Hari ini saya
telah menjengkau umur 80 tahun. Saya berfikir inilah masanya saya mahu bercakap
secara langsung kepada kepimpinan politik dan intelektual rakyat Malaysia dan
umat Islam di seluruh dunia tentang penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka
lakukan serta membetulkan kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan
datang dan seterusnya kita boleh mencapai jalan yang lurus yang telah
diperintahkan oleh Tuhan kepada kita.
Harus
diingat bahawa pertama sekali Quran
itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23]
Bimbingan ini hanya diberi oleh Tuhan
sahaja kepada pencari-pencari yang
jujur. Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di seluruh
dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur. Kedua, Quran itu bukan untuk dilagukan
dengan tajwid-majwidnya berdengung-dengung. Quran itu perutusan Tuhan yang
terakhir kepada dunia. Ia bimbingan kepada seluruh manusia. Kita mesti ada satu
kaedah yang saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu supaya ia
benar-benar menjadi bimbingan kepada umat Islam dan seluruh dunia. Kaedah saintifik
ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan dirinya sendiri, yakni ayat mentafsirkan
ayat, bukan seperti kaedah tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. [24]
Ketiga, kediktatoran kasta paderi (baca: ulama)
harus disingkirkan. Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang
rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.
Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula
oleh generasi yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran
yang silap daripada generasi yang terdahulu.
Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri,
Quran itu diwariskan kepada mereka yang Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan,
bersalahan dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25]
Keenam, nyatalah sistem hidup yang
dianjurkan oleh Quran itu bersifat republikan dan demokratik. Ini nyata
daripada asal-usul nabi Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun ( Abu Bakr,
Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib). Apabila Muawiyah
merampas kerajaan Islam dari tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah
zaman feudalisme dalam sejarah Islam awal membawa kepada abad ke-20. Umat Islam
perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik yang telah kita sebutkan.
Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar akan kembali semula ke dalam dunia
serta memimpin umat Islam dan seluruh dunia kepada alam kejayaan dan
kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada umat Islam. [26]
8. Langkah-langkah Yang Perlu
Diambil
UMNO, parti
nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sekarang
berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946. Namun tiap benda yang hidup
akan merosot. Demikianlah UMNO telah merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat
Malaysia seluruhnya melalui Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui
apa yang diperintahkan oleh Tuhan “menyerukan kebaikan dan melarang
kejahatan”. Perhimpunan Agung UMNO Tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau
penjaga kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan
kejahatan lain mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri.
Inilah yang harus dilakukan oleh
rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh umat Islam di seluruh
dunia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh rakyat di seluruh dunia. Tiada
seorang Imam Mahdi atau Nabi Isa turun kali kedua boleh tolong mereka. Manusia
tiada penolong dan pembantu kecuali diri mereka sendiri. Dengan izin Allah!
Saya telah
menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi hatinya tanpa sekatan.
Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla
memberi taufik dan hidayah kepada saya dan menjauhkan diri saya daripada
kesombongan dan kebanggaan. Saya ingin menyatakan terima kasih yang tidak
terhingga banyaknya kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang
dipimpin oleh Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang
telah mera’ikan hari jadi saya yang
ke-80 dengan seminar penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Saya mengucap
berbanyak terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan
upacara ini. Kami mengucapkan terima
kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami menggunakan dewan yang permai ini
Ucapan ini tidak
kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang ke-80. Saya fikir sudah
sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia, berdepan dengan
realiti kita secara realistik dan bijaksana untuk menentukan masa depan kita semua,
bukan sahaja untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya.
Saya
bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan intelektual dan kepada
massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli.
Pendekata,
ini satu seruan untuk revolusi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.
Contoh-contohnya sudah ada dalam sejarah: revolusi yang dilancarkan oleh
nabi-nabi besar Ibrahim dan Muhammad, oleh Revolusi Amerika, Revolusi Perancis
dan Revolusi Komunis, kedua-dua bengis dan berperikemanu-siaan. Kita mesti
pilih yang kedua.
Terima
kasih.
KASSIM
AHMAD
16 Februari, 2014
1504, Persiaran Kulim
Golf,
Kulim Golf & Country
Resort,
09000 Kulim, Kedah
Darul-Aman.
012-4291152/604-40318771
012-4291152/604-40318771
Alamat e-mel <darul_hikmah33@yahoo.com.my>
[1] Lihat sajak saya, “Satu Sumpahan”, dalam Kemarau di Lembah, Saudara Sinaran Brothers, Pulau Pinang, 1967.
hlm. 46.
[2] Lihat sajak “Pidato” dalam Ibid.,
hlm. 67
[3] Lihat Kassim Ahmad, “Pembangunan Intelektual Bangsa” dalam Koleksi Pidato Penghargaan Siswazah Kehormat
Konvensyen Universiti Kebangsaan
Malaysia (Bangi: 1997) hlm. 87.
[4] Lihat risalah saya, Kontroversi
Hukum Hudud, Forum Iqra’, Pulau Pinang, 2002.
[5] Lihat Quran, 15: 9.
[6] Quran, 5: 48.
[7] Sejarawan Inggeris Philip K. Hitti berkata tentang peristiwa ini,
“Jika ada seseorang dalam dekad ketiga abad ketujuh berani meramalkan bahawa
dalam satu dekad suatu kuasa yang tidak ditetahui dan tidak disangka dari tanah
Arab yang masih dalam zaman gasar dan tidak dikenali akan muncul dan merempuh
dua kuasa besar dunia pada ketika itu serta mewarisi Empayar Parsi dan merampas
dari Empayar Baizantium tanah jajahannya yang elok, dia tentu akan dicop
seorang gila. Namu demikian, itulah yang berlaku …” (Philip K. Hitti, History of the Arabs (Edisi ke-10: 1970:
London), hlm. 142.)
[8] Lihat Quran. Surah 63, ayat satu membatalkan syahadah kedua.
[9] Rujuk Quran, 33: 43.
[10] Bahawa rambut wanita bukan ‘aurat dan kepala wanita tidak ditutup
disebut dalam Quran. Pertama, apabila mengambil wuduk kita perlu menyapu
kepala. Ini menunjukkan kepala wanita tidak ditutup. Kedua, ayat Quran tentang
pakaian wanita berbunyi: “Beritahu kepada wanita muslim untuk menundukkan mata
mereka dan memelihara kehormatan mereka. Hendaklah mereka jangan memperlihatkan
mana-mana anggota badan mereka, kecuali yang mustahak. Hendaklah mereka tutup
dada mereka dan jangan buka kecuali di hadapan suami mereka, bapa mereka …”
(Quran, 24: 30-31). Frasa “kecuali yang mustahak” di sini bermakna muka, tangan
dan kepala. Apabila kita mengambil wuduk, muka dan tangan disuruh basuh dan
kepada disuruh sapu.
[11] Lihat Majid Khadduri (pent.) Islamic
Jurisprudence: Shafi’I’s Risalah,
hlm 75-76.
[12] Lihat Kassim Ahmad, Hadis—Satu
Penilaian Semula, Media Intelek, Petaling Jaya, 1986, hlm. 93.
[13] Lihat Quran, 2: 225.
[14] Lihat esei penulis bertajuk “The Madinah Charter – A Short Note”
dalam blog penulis
[15] Tentang menghukum dengan adil, rujuk 4: 58. Tentang membuat
keputusan melalui perundingan, rujuk 42: 38.
[16] Quran, 2: 201.
[17] Quran, 28: 77.
[18] Quran, 39: 18.
[19] Lihat Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan
Melayu Melaka, Dewan Bahasa dan
Pustaka (1990: Kuala Lumpur), hlm. 275.
[20] Lihat B. W. Andaya dan L. Y. Andaya, A History of Malaysia (London: 1982); hlm. 37.
[21] Quran, 25: 30-31.
[22] Lihat Kassim Ahmad, Mencari Jalan Pulang, ZI Publications
(2008: Petaling Jaya), hlm. 177.
[23] Quran, 2: 2.
[24] Lihat Kassim Ahmad, Hadis:
Jawapan Kepada Pengkritik,Media Indah, Kuala Lumpur, 1992, Bab 7.
[25] Lihat Quran, 35: 32.
[26] Ada beberapa ayat. Satu daripadanya 9: 33. Cara hidup Islam sebenar itu sempurna dari
semua segi, material, moral dan spiritual. Ini bukan saja bermakna tiada
kezaliman, tetapi kejahilan dan kemiskinan juga tidak wujud lagi.