Saturday, December 14, 2013

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-67



PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-67
BAIK DAN BURUKNYA

Oleh; Kassim Ahmad
7 Disember, 2013

            Mengikat Quran, Tuhan menjadikan manusia berbangsa-bangsa. (Quran, 49: 13) Jadi, tidak salah bagi orang Melayu memperjuangkan nasib bangsanya. Perkauman atau asabiah itu sikap melebih-lebihkan bangsa sendiri.
            Perhimpunan Agung UMNO yang ke-67 baru selesai. Ucapan presidennya Najib meletakkan perjuangan itu di atas landasan yang betul. Namun demikian, ada beberapa anjuran yang harus ditolak, kerana bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar yang telah disempurnakan oleh nabi besar Muhammad (Quran, 5:3), penutup segala nabi.
            Quran, kitab suci yang terakhir kepada manusia, yang dipelihara oleh Tuhan Sendiri mengisytiharkan tiada paksaan dalam agama. (Quran, 2: 256). Kedudukan ayat ini selepas Ayat Kursi (255) sangat bermakna. Ia menunjukkan Tuhan, kuasa terhebat di seluruh Alam Raya, memberi kebebasan mutlak kepada manusia sama ada mahu mengikut perintah Dia atau tidak.
Perisytiharan ini memulakan hak asasi manusia, mendahului Perisytiharan Hak Asasi Bangsa-bangsa Bersatu pada 1948 selama 1,300 tahun lebih!. Ayat itu terang-terang menegaskan apa yang ia tegaskan, iaitu agama itu bebas. Siapa yang ingin memeluk Islam atau apa juga agama lain, bebas memeluknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas perbuatan itu. Tetapi jika ia ingin keluar dari agama itu, ia juga bebas keluar. Itulah maknanya. Makna lain, walaupun diberi oleh seorang sarjana besar, batal.
            Oleh yang demikian, mazhab Ahli Sunnah Waljma’ah itu satu puak yang muncul kemudian, berlawanan dengan ajaran Nabi Muhammad. Jadi, tidak betul kalau kita meminda Perlembagaan untuk memasukkan istilah ‘Ahli Sunah Waljama’ah’. Kita harap UMNO dan Kerajaan tidak akan membuat pindaan ini.
            Quran juga melarang kita daripada membuat puak dalam agama. (Quran, 3: 103; 6: 159). Jadi, jangan kita buat puak dan mengisytiharkan puak ini sah dan puak itu tidak. Barangsiapa yang membuat puak dalam agama harus tanggung akibatnya. Tuhan yang menghukum; bukan manusia atau Kerajaan.
            Apabila kita memerintah, Tuhan menyuruh kita memerintah dengan adil. (Quran, 4: 58)  UMNO mula-mula melalui Perikatan dan kemudian melalui Barisan Nasional telah memerintah dengan adil. Satu juta pendatang berbangsa Cina dan India telah diberi kerakyatan apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 1957. Kemurahan orang Melayu ini tidak ada tolok-bandingnya dalam dunia!
            Harus diingat bahawa Persekutuan Tanah Melayu berasal dari Kesultanan Melayu Melaka dengan Melaka sebagai sebuah pelabuhan yang besar di dunia dalam abad ke-15 sebelum ia ditakluk oleh penjajah Portugis, diikuti oleh Belanda dan kemudian oleh Inggeris.
            Islam yang datang ke Malaya itu Islam pasca kejatuhan kota Baghdad, pusat Empayar Islam di Timur, pada 1258, iaitu Islam yang sudah menyeleweng dan kalah. Dengan demikian, ia turut melemahkan bangsa Melayu. Dalam pilihanraya ke-13 pada 5 Mei 2013. Barisan Nasional yang ditunjangi parti UMNO gagal mendapat kemenangan dua-pertiga. Pada ketika itu, sesetengah ahli UMNO sendiri tidak mengundi UMNO, kerana kemerosotannya dibanding dengan UMNO yang asal.
            Dalam Perhimpunan Agung ini, presidennya Najib cuba merekayasa UMNO dengan memperkenalkan sistem perkaderan. Sebelum seorang boleh menjadi ahli UMNO, ia harus melalui kursus tentang UMNO: Falsafah perjuangannya, sejarahnya, misinya dan masa depannya. Ini yang dinamakan presiden sistem perkaderan.
            Oleh sebab kehidupan Islam dibahagikan kepada dunia dan akhirat, maka orang Melayu yang beragama Islam salah faham tentang dua dunia ini, lalu kerana mereka mengutamakan akhirat, mereka mengabaikan dunia ini. Seperti yang diungkapkan di dalam pantun mereka: “//Dunia ini pinjam-pinjaman//Akhirat juga yang sugguhnya.”// Sikap ini bertanggungjawab bagi kemunduran mereka. Dibanding dengan suku-bangsa Cina dan India, mereka terkebelakang. Padahal Islam boleh disifatkan sebagai satu cara hidup revolusioner, tidak takut mati dan mendukung kehidupan. Ini dibuktikan oleh sejarah apabila dalam masa 60 tahun dalam zaman Khalifah Uthman Ibni Affan, bangsa Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik menjadi kuasa besar nombor wahid mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Baizantium, dua kuasa besar pada masa itu.
            Gerakan tajdid moden yang bermula dengan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897 ) dan Sheikh Muhammad Abduh (m. 1905) hingga sekarang sudah lebih seratus tahun. Namun demikian, kebangkitan semula Islam belum nampak akan berlaku. Mengapa? Mestilah kerana Islam yang kita amalkan sekarang tidak seperti yang diajar oleh penutup segala nabi, Nabi Muhammad. Ini nyata. Cerdik pandai Islam mestilah menyiasat di mana kita telah tersilap.
            Orang Melayu sendiri mesti menyiasat mengapa mereka terkebelakang dibandingkan dengan suku-kaum Cina dan India. Penyiasatan ini akan menemukan mereka dengan sikap mereka yang tidak memberi perhatian secukupnya kepada kehidupan dunia. Mereka mesti sedar bahawa mereka tidak dapat apa-apa kecuali apa yang mereka usahakan. Alangkah ironisnya suku-bangsa Cina dan India lebih berjaya daripada mereka, walaupun orang Melayu lebih banyak menerima bantuan Kerajaan!
            Dalam pada itu, seperti yang telah saya cadangkan dulu, kita kena susun sistem nasional kita sendiri untuk menggantikan sistem dwi-parti/jamak-parti yang kita tiru dari Eropah yang tidak sesuai dengan semangat kesatuan Islam. 

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  




Monday, October 14, 2013

ADAKAH TUHAN BERNAMA?




ADAKAH TUHAN YANG ESA ADA NAMA?

Oleh: Kassim Ahmad
15 Oktober, 2013


            Walaupun kebanyakan autoriti, termasuk kamus, menyatakan “Allah” nama khas bagi  Tuhan Yang Esa, Quran dan hukum logika menafikannya. Surah 17, ayat 110 berbunyi: “Panggillah Dia Allah atau panggillah Dia Yang Maha Pemurah; dengan nama apa juga kamu panggil Dia, milik-Nya nama-nama yang paling baik.”
            Dari segi logika, tidak pantas Tuhan itu bernama, kerana Dia bukan seperti manusia – ada nama! Dia tenaga murni, tenaga yang paling kuat. Sebab itu kalau Dia turun ke dunia, dunia akan hancur, kerana dunia tidak boleh tahan kekuatan tenaga itu.
            Sungguh aneh dan menghairankan, ada orang Islam di negara kita mendakwa bermati-matian bahawa Allah itu milik mereka saja, bukan milik orang Kristian! Tidakkah ulama mereka tahu bahawa perkataan ‘Allah’ itu bahasa Arab, ertinya ‘Tuhan itu’, yakni Tuhan Yang Esa?  
            Dalam agama Hindu, ada banyak Tuhan dengan nama yang berlainan. Dalam agama Kristian, orang percaya ada tiga Tuhan – Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Bolehkah mereka gunakan perkataan ‘Allah’ dalam kitab Taurat yang mereka terjemahkan ke dalam bahasa Melayu?  Tentu boleh, sebab tidak munasabah dibuat undang-undang  menghadkan pergunaan perkataan ‘Allah’.  Penulis Kristian ini harus ingat bahawa perkataan ‘Allah’ bahasa Arab yang bermakna ‘Tuhan itu’ dalam bahasa Melayu, yakni Tuhan Yang Esa. Bagi kebanyakan orang Kristian Tuhan ada tiga; jadi tidak logik bagi mereka menggunakan perkataan ‘Allah’. Ini soal kejahilan, bukan soal mencuri nama!
            Lebih penting daripada perbantahan dangkal ini, kita harus ingat dan faham bahawa yang beragama itu manusia, bukan negara. Alangkah aneh Perlembagaan Malaysia mengatakan “Islam agama Persekutuan”. Tiap negara-bangsa netral dari segi agama, kerana yang beragama itu penduduk negara itu. Oleh sebab itu, Piagam Madinah yang masyhur itu dan yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri menyerahkan pentadbiran urusan agama kepada penganut-penganutnya sendiri, autonomi dengan perkataan lain.  Ini boleh mengelak daripada konflik agama, seperti yang kerap berlaku di negara kita.
            Ingin saya huraikan di sini mengapa saya tidak menggunakan frasa SAW selepas nama Nabi Muhammad.  Penggunaan frasa ini sebenarnya bersalahan dengan ajaran Tuhan dalam Quran. Kita tidak dibenarkan membezakan antara para nabi. (Mengapa kita sebut frasa AS selepas nama nabi-nabi lain?) Lagipun frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin umumnya. (Quran, 33: 43).
            Jadi, saya ingin bertanya, adakah kita di Malaysia mengamalkan agama Islam seperti yang diajar oleh nabi besar kita Muhammad?  Kegagalan sarjana-sarjana kita membetulkan kesilapan-kesilapan amalan agama kita (Islam baka, bukan Islam sebenar) sangat menghairankan!
KASSIM AHMAD penulis bebas Malaysia. Laman web belaiu www.kassimahmad.blogspot.com  

Wednesday, September 18, 2013

KEMATIAN CHIN PENG




KEMATIAN CHIN  PENG:
BAGAIMAN KITA MENILAI PERJUANGANNYA?

Oleh: Kassim Ahmad
18 Septmber, 2013


            “Tunjukilah kami jalan yang lurus; jaln mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang Engkau murkai, atau mereka yang sesat.” – Quran, 1: 6-7.
            Dari perspektif yang mutlak, Parti Komunis Malaya (PKM) tidak lain dari satu cabang gerakan komunis internasional yang tidak ada masa depan. Ia sebuah ideologi antarabangsa yang ajalnya telah ditetapkan. Chin Peng sebagai ketua PKM telah salah pilih ideologi ini sebagai ideologi perjuangannya. Malah dia degil dan tidak mahu menerima nasib yang menimpa ideologi ini apabila ideologi ini menemui ajalnya dalam tahun-tahun 1989-1991.
Orang-orang seperti beliau tidak sedar bahawa mereka bertindak, seperti binatang mengikut naluri, bukan akal. Manusia makhluk istimewa, Homo sapiens, mengikut istilah saintifiknya, kerana ia mempunyai akal rasional. Dia muncul di dunia kira-kira satu juta tahun dulu.  Dalam bahasa Quran, ia khalifah, makhluk yang  yang boleh menentukan nasibnya sendiri.
            Inilah makna dua ayat suci dalam surah Fatihah yang kita petik di atas.
            Manusia belajar mengikut kaedah jatuh bangun. Tidak ada jalan lain. Dia harus elak jalan yang silap apabila dia sedar jalan itu silap. Inilah kelebihan manusia daripada binatang. Dia makhluk rasional.
            Sesetengah orang menganggap PKM pejuang kebebasan, kerana ia menentang penjajah Jepun dalam Perang Dunia II dan menentang penjajah Inggeris selepas Pihak Berikat menang dalam Perang Dunia II. Orang-orang ini lupa bahawa PKM menentang Jepun dan Inggeris bukan kerana hendak membebaskan Malaya dari penjajahan. Ia hendak menubuhkan sebuah republik komunis di Malaya untuk diletakkan di bawah penjajahan China Komunis  atau Rusia Soviet.  Dengan kata-kata lain, dari suatu penjajahan ke suatu penjajahan lain. Terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau, seperti kata pepatah.
            Kita tahu dalam sejarah telah wujud pelbagai penjajahan. Kerajaan Melayu Melaka mula-mula telah dijajah oleh Portugis, kemudian oleh Belanda, kemudian oleh Inggeris. Dalam Perang Dunia II ia dijajah oleh Jepun.  Portugis tidak menawan Melaka untuk membebaskan Melaka dari taklukan orang Melayu, kerana orang Melayu anak negeri yang mendirikan Melaka. Demikianlah Belanda, Inggeris dan Jepun  itu penjajah.
            Oleh kerana manusia dijadikan Tuhan makhluk yang bebas, keadaannya yang sebenar itu kebebasan. Keadaan perhambaan itu bukan fitrahnya dan tidak natural. Kalimah syahadah kita “Tidak tuhan melainkan Allah” itu bermakna kita mengisytiharkan pembebasan yang total dari semua tuhan palsu kecuali Tuhan yang Sebenar, Pencipta sekalian alam. Demikianlah besar dalam dalamnya erti syahadah itu.  Dua yata suci yang kita petik di atas memerintahkan kita mencari jalan yang lurus dari dua jalan yang menyeleweng, iaitu jalan yang Tuhan murkai (jalan mereka yang memberontak terhadap Tuhan: kaum komunis termasuk ke dalam golongan ini),  dan mereka yang sesat. Mereka yang sesat merujuk kepada mereka yang tidak memberontak melawan Tuhan, tetapi mereka yang ingin mencari jalan yang lurus tetapi tidak menemuinya.
            Coba lihat kesan pemberontakan terhadap Tuhan. Dalam Rusia Soviet dan Eropah Timur berapa besar kekejaman yang berlaku di bawah rejim-rejim mereka. Demikian juga di dalam negara China Komunis. Lebih dekat, coba lihat apa yang berlaku di Indonesia dalam zaman Sukarno apabila Parti Komunis Indonesia dibenarkan sebagai sebuah parti yang bergerak bebas. Begitu juga di negara kita. Kita sudah tentang kekejaman PKM.
            Adakah ini bermakna kita memang tidak boleh membenarkan ideologi komunisme bebas dalam negara kita? Bukankah ini menafikan hak asasi untuk kaum komunis dan bertentangan dengan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu? Tetapi satu perkara kita mesti ingat. Hak kebebasan kolektif tidak boleh menafikan hak kebebasan individu. Kedua-duanya wujud dalam satu kesatuan yang harmonis.
 ------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.

Thursday, August 22, 2013

KAUM SYIAH: APA MASALAHNYA?



KAUM SYIAH: APA MASALAHNYA?
Oleh: Kassim Ahmad
21 Ogos, 2013

“Tiada paksaan dalam agama” – Quran, 2: 256.
“Jangan buat puak dalam agama” – Quran, 6: 159.
            Adakah kita keliru dalam banyak hal? Di mana ulama kita maka mereka tidak boleh memberi tunjuk ajar kepada masyarakat? Kita berebut nama Tuhan kononnya perkataan “Allah” khusus nama Tuhan untuk orang Islam, sedangkan Quran memberitahu kita bahawa segala nama yang paling baik itu milik Dia (Quran, 17: 110). Surau, rumah ibadah, kita dakwa milik orang Islam saja. Kita hendak melaungkan azan hingga kita menyakiti masyarakat bukan-Islam dalam negara kita yang berbilang agama. Tidak hairanlah orang Islam dianggap seorang oleh masyarakat antarabangsa, dilabel ekstremis dan terorris, sedangkan perkataan “Islam” itu sendiri bermakna sejahtera!
            Kalau kita berpandukan Piagam Madinah, yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri, dan semestinya kita berpandu kepadanya, agama ditadbirkan secara autonom oleh penganut-penganutnya, dan negara tidak masuk campur. Negara tidak boleh beragama; yang beragama itu rakyatnya. Negara kita berbilang agama: ada Muslim, Buddhis, Taois, Hindu,  Kristian, dan lain-lain. Logik dan pantaslah mereka mentadbirkan urusan agama mereka sendiri. Dalam situasi ini, akan wujud keamanan dan kesejahteraan yang tulen di antara penganut pelbagai agama.
            Kaum Syiah itu suatu puak dalam agama. Begitu juga kaum Ahli Sunnah Waljamaah. Mengapa kaum Syiah harus dianggap bahaya? Siapa pun, jika melanggar undang-undang, Syiahkah atau puak agama lainkah, perlu dihukum.  Sekali lagi harus ditekankan tiada paksaan dalam agama.  Ini ajaran Tuhan.
Umat Islam harus ikut agama Islam seperti yang disempurnakan oleh nabi besar kita Nabi Muhammad, penutup segala nabi. Ulama kita harus tunjuk kepada umat Islam di Malaysia agama Islam ini.
            Harus diingat bahawa agama Islam tiba di alam Melayu dalam abad ke-13 dan ke-14. Batu bersurat Terengganu bertarikh 1303 M. Ini bermakna Islam yang tiba di Alam Melayu Islam pasca kejatuhan Baghdad pada 1258 ke tangan kaum gasar – pendek kata, Islam yang telah berubah daripada bentuk asalnya yang disempurkan nabi terakhir, Nabi Besar Muhammad. Harus diingat lagi bahawa sejarah membuktikan bahawa dalam masa 60 tahun dalam zaman Khalifah Uthman Ibni Affan semangat juang revolusioner yang tidak takut mati dan yang menjulang kehidupan baik telah mengangkat bangsa Arab yang tidak terkenal pada zaman itu menjadi kuasa terbesar di dunia mengalahkan Empayar Parsi dan Empayar Baizentium.
            Demikian hebatnya daya juang itu. 
            Gerakan tajdid moden Islam dikira dari Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Muhammad Abduh (m. 1905) – sudah lebih 100 tahun. Mengapakah gerakan ini gagal menjulang Islam ke atas sekali? Tentu ada sebabnya. Sebab atau sebab-sebab itu tentulah kerana penyelewengan-penyelewengan yang masih belum dihapuskan dari kehidupan umat Islam sekarang. Sepatutnya, cerdik-pandai agama kita mejawab soalan ini supaya umat Islam boleh mengambil tempatnya yang sah di atas sekali. Bukankah agama Islam itu agama yang direda oleh Tuhan?

KASSIM AHMAD seorang pengarang bebas Malaysia. Laman webnya www.kassimahmad.blogspot.com