KEBEBASAN BERAGAMA –
MUTLAK
Oleh: Kassim Ahmad
9 November, 2012
Kata pepatah Melayu, hidup dikandung
adat, mati dikandung tanah. Demikianlah keadaan kita berhadapan dengan isu
kebebasan beragama. Quran memberikan setiap manusia kekebasan yang mutlak untuk
memilih agama, walaupun selama 40 tahun. Masa 40 tahun ini memujukkan sifat kerahiman
Tuhan yang mengatasi sifat-sifat-Nya yang lain.
Ayat suci yang masyhur yang mengisytiharkan
kebebasan beragama (2: 256) berbunyi, “Tiada paksaan dalam agama. Jalam yang
benar sekarang amat jelas dari yang salah. Siapa saja yang mengutuk syaitan dan
beriman kepada Tuhan telah bepegang kepada tali yang kuat yang tidak
terputuskan.”
Perhatikan ayat ini persis didahului oleh Ayat Kursi
yang lagi masyhur, yang mengisytiharkan kuasa Tuhan yang tidak ada tolok-bandingnya.
Maknanya mustahil disalah-ertikan: Kalau
kuasa yang terkuat dalam Alam Raya tidak memaksa manusia percaya kepada-Nya,
siapa yang boleh, selepas Dia?
Namun demikian, kitab suci Quran,
hubungan dalamannya bukan tunggal, tetapi jamak. Lihat pula ayat yang berbunyi,
“Bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku (109: 6). Ayat ini menganjurkan
toleransi antara orang mukmin dan orang kafir. Jadi, tidak digalakkan menyentuh
sensitiviti agama oleh kedua-dua pihak. Kalau salah satu tidak menghormati
batasan ini, samalah seperti kita menjolok sarang tebuan! Itulah yang sudah
jadi sekarang!
Dalam pada itu pula, bila kita
hendak mengetahui kebenaran (“jalan yang betul” tadi) kita kena ada perbahasan
yang saintifik secara berhikmah (Quran, 16: 125). Ini mungkin tidak boleh
dilakukan dalam media atau secara terbuka. Saya kata, mungkin, yakni saya tidak
pasti. Boleh jadi perbahasan itu boleh diadakan secara terbuka.
Bilakah kita boleh meletakkan
tanggungjawab ke atas seseorang manusia bagi perbuatannya? Nyata ini satu
soalan yang amat kritis? Biasanya seseorang dianggap dewasa apabila mencapai
umur 21 tahun. Sebelum itu dia tanggungjawab ibu-bapaanya, atau penjaganya,
jika ia anak yatim. Di Malaysia seorang rakyat berhak mengundi setelah mencapai umur 21, dan boleh mendapat
lesen memandu kereta pada umur 18.
Pada umur berapa pula Tuhan meletakan tanggungjawab bagi
perbuatan seseorang manusia. Jawabnya: 40. (Lihat Quran, 46: 15). Jadi, kebebasan
agama itu berlaku pada umur 40, bukan
sebelumnya. Tentu ramai orang akan terperanjat menyedari perkara ini!
Kemudian kita kena rujuk juga kepada
peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan orang
Melayu itu beragama Islam, dan juga Islam agama Persekutaun.
Apakah makna dan implikasi kedua-dua
peruntukan ini? Bagaimanakah kita
mendamai dan menghamorniskan kedua-duanya?
Sesetengan pemimpin Islam bimbang
dan risau tentang kemungkinan terlucutnya pegangan orang Melayu kepada Islam. Mereka berhujah
Islam agama yang benar, berdasarkan ayat
Quran, “Agama di sisi Allah itu Islam (3: 19).
Orang Melayu beragama Islam meruju kepada
“Islam baka”, Islam keturunan yang diwarisi generasi demi generasi. Pada hakikatnya
Islam ini tidak membuktikan bahawa orang Melayu itu benar-benar Islam. Dia perlu yakin tentang keislamannya dulu. Kalau
Islamnya itu ikut-ikutan saja waktu dia mencapai umum 40 tahun, Islam ini tidak
boleh dikira benar.
Jadi, semua cabang dari masalah ini,
seperti yang telah saya tunjukkan, menjadikan ia rumit. Namun demikian, dengan
menggunakan akal rasional kita serta kebijaksanaan kita, khasnya oleh pimpinan
agama dan sekular, tak kira parti, kita boleh mengatasinya. Jadi, masyarakat
kita kena belajar hidup berdisiplin “menyerukan kebaikan dan melarang
kejahatan”.
Kesimpulannya,
walaupun manusia dari pelbagai agama dikehendaki bersikap toleransi terhadap
satu sama lain dan hidup bersama tanpa sengketa, tiap manusia pada umur 40
tahun bertanggungjawab memeluk agama yang benar, iaitu Islam.
KASSIM AHMAD
seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com