Sunday, September 12, 2010

Membaca Yasin keatas orang mati atau ketika nazak?



Kita pernah membicarakan mengenai sebuah hadith berkenaan dengan fadhilat surah Yasin yang di sahihkan oleh Ibn Hibban dimana mereka yang membaca surah tersebut pada malam hari dengan penuh pengharapan kepada Allah swt, Allah swt akan mengampunkan dosanya yang lalu. Selain dari mengharapkan pengampunan dari Allah, surah Yasin ini sangat popular dibaca dikala menziarahi jenazah.

Dirumah yang berlakunya kematian, kelihatan disediakan pelbagai bentuk buku yang terkandung surah Yasin untuk tetamu yang berkeinginan membacanya, Dalil yang mereka ambil adalah hari hadith berikut, Sabda Nabi :saw :-

اقرأوا على موتاكم يس
“Bacalah kepada mereka yang mati surah Yasin”

Hadith ini dikeluarkan oleh al-Nasaaie, didalam “bab apa yang [perlu] dibacakan keatas orang mati”, kata beliau : telah dikhabarkan kepadaku Mahmud, bin Khalid, telah berkata : telah dikhabarkan kepada kami al-Walid, telah berkata : telah dikhabarkan kepada ku Abdullah bin Mubarak, dari Sulaiman al Tamimii, dari Abu Uthman, dari Ma’qil bin Yasaar, telah beliau nyatakan didalam al-Sunan al-Kubra didalam Kitab amalan siang dan malam.

Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ibn Hibban didalam Sahihnya al-Ihsan, didalam kitab al-Janaaiz dari periwayatan Yahya al-Qathaan, dari Sulaiman al-Tamimii. Hadith ini juga telah dikeluarkan oleh Ibn Majah dan Abu Daud.

Menurut Ibn Hibban, hadith ini sahih disisi beliau oleh kerana semua periwayatnya adalah thiqaat (dipercayai), melainkan Abu Uthman. Ibn Hajar didalam al-Talkhis al-Habir (2/110) menyebut, Ibn al-Qathaan menyatakan bahawa hadith ini bermasalah dan mawquf, disebabkan status Abu Uthman dan bapanya tidak diketahui. Abu Bakar Ibn al-‘Arabi sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Daaraqutni menyatakan hadith ini isnaadnya dhaef. Matannya tidak diketahui dan tidak terdapat hadith sahih didalam bab ini.

Menurut pandangan Ibnu Utsaimin, bagi mereka yang mengatakan status hadith ini sahih, maka membaca surah Yasin adalah sunnah, dan bagi mereka yang mengatakan status hadith ini lemah (dhaef), maka perbuatan tersebut bukan sunnah [Fatawa Ibn Utsaimin, 17/72].

Persoalan disini adalah, apakah amalan membaca Yasin ini dilakukan keatas orang yang sudah mati atau ketika nazak? Jumhur ulama’ mengatakan adalah mustahab(digalakkan) membaca surah Yasin ketika berdepan dengan orang yang sedang nazak. Kenyataan ini diperkuatkan oleh riwayat Safwaan yang diambil dari Musnad Imam Ahmad Ahmad (4/105) :

عن صَفْوَان قال : حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ (صحابي) حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ ، فَقَالَ : هَلْ مِنْكُمْ أَحَدٌ يَقْرَأُ يس ؟ قَالَ : فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ . قَالَ : فَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ : إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا . قَالَ صَفْوَانُ : وَقَرَأَهَا عِيسَى بْنُ الْمُعْتَمِرِ عِنْدَ ابْنِ مَعْبَدٍ .
“Safwaan berkata : Syeikh memberitahuku bahawa sesungguhnya mereka telah hadir bersama Ghudaif ibn al-Haarith al-Thumaali (seorang sahabat) ketika kematiannya memuncak. Dia berkata : Adakah salah seorang dikalangan kamu boleh membaca Yasin? Saalih ibn Shuraih al-Sakuuni membacanya dan tatkala sampai pada ayat 40, dia telah meninggal dunia. Syeikh pernah berkata : jika dibaca disisi orang yang sedang nazak, maka [nazaknya[ diringankan. Berkata Safwaan : Isa ibn al-Mu’tamari membacanya diisisi Ibn Ma’bad.”

Ibn Hajar didalam al-Isaabah [5/190] berkata Isnaadnya Hasan. Kesahihan sanadnya dilihat dari Ghudaif Ibn Haarith, dan kesemua rijal itu thiqaat. Berkata al-Hafiz Ibn Kathir, beberapa ulama’ pernah mengatakan, diantara perkara khusus surah ini adalah tidak dibaca melainkan perkara-perkara berat dipermudahkan oleh Allah swt, dan apabila dibaca disisi orang yang sedang nazak maka diturunkan rahmat dan barakah, dan dipermudahkan keluarnya roh [Tafsir Ibn Kathir, 3/563].

Dikalangan ulama’ yang berpendapat mustahab membaca surah Yasin kepada mereka yang sedang Nazak termasuklah Ibn Taimiyah (al-Ikhtiyaaraat, ms. 91). Surah Yasin membicarakan tentang Tauhid dan kebangkitan, janji-janji syurga kepada mereka yang beriman sebagaimana firman Allah :

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ . بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ .
“(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan".[Surah Yasin :26-27]. Maka roh tersebut tenteram selepas mendengarnya dan menjadikan ia mudah keluar.

Dua riwayat diatas memberikan dua kesimpulan :

a. Bacaan Yasin digalakkan di baca keatas orang yang sedang menghadapi kematian menurut jumhur Imam Mazhab Fiqh. Amalan tersebut bukanlah bid’ah, akan tetapi ia merupakan perkara yang dikhilafkan.

b. Amalan membaca Yasin kepada orang yang hampir mati dikalangan masyarakat Nusantara bukanlah perkara agama yang diada-adakan, akan tetapi merupakan warisan dari ulama’ terdahulu.

Sekian, wassalam
kamin, 1 Syawwal 1431 / 10 September 2010.

Friday, September 10, 2010

Jumaat : Eid al-Fitr di kebanyakkan negara Arab


[Negara berbeza diantara dalil anak bulan Shawal antara ru'yah dan pengiraan falak]

Arab Saudi, Qatar, UAE, Kuwait, Yaman, Mesir, Syria, Lubnan, Sudan, Algeria, Palestine dan Dewan Wakaf Sunni di Iraq, bahawa hari Khamis merupakan genap bulan Ramadhan dan hari Jumaat adalah hari Eid al-Fitr. Pusat Sains Angkasa dan Sensor Jarak Jauh Libya dan Majlis Fatwa Eropah mengumumkan bahawa hari Khamis ialah Hari Raya.
Sumber resmi dari Saudi berkata bahawa beberapa orang saksi yang dipercayai dan dikenali oleh Majlis Tertinggi Qadhi Arab Saudi bahawa mereka tidak dapat melihat anak bulan Syawal 1431H selepas Maghrib hari Rabu, bersamaan 8hb September, maka hari Khamis merupakan pengenap Ramadhan dan hari Jumaat merupakan permulaan Syawal dan Hari Eid al-Fitr Mubarak.

Berkata Dr Hasan Basrah, Ketua Jabatan Astronomi Universiti King Abdul Aziz Jeddah, bahawa bulan berada di barat pada hari Rabu, 29 Ramadhan, sebelum matahari terbenam disemua bahagian Arab Saudi, dan berada dibawah ufuk 3 darjah pada terbenam matahari di Mekah, dan tidak perlu melihat anak bulan Syawal pada Rabu ini.

Di Doha, Jawatankuasa melihat bulan Qatar berkata bahawa Eid al-Fitr jatuh pada hari Jumaat. Di Abu Dhabi, Agensi Berita Emirates telah mengiklankan hari ini bahawa hari Khamis merupakan pengenap bulan Ramadhan.
Telah diumumkan bahawa seluruh Mesir, Syria, Algeria bahawa Jumaat merupakan hari pertama Eid al-Fitr, begitu juga diumumkan dari Sanaa (Yaman), Rumah Fatwa Beirut, Jordan, Palestine, Wakaf Sunni Iraq, pejabat Syiah Ali al-Sistani bahawa melihat anak bulan Syawal pada hari Khamis.

Manakala ulama' Syiah, Mohamed Hussein Fadallah berkata beberapa hari lepas bahawa Khamis merupakan hari Eid al-Fitr. Pejabat Fadallah memilih pengiraan falak (astronomi) didalam menentukan bermula bulan Ramadhan dan hari pertama Syawal.
Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah telah mengumumkan bahawa hari Khamis ialah Eid al-Fitr, keputusan dibina atas "Pengiraan Falak dan Minit", dan dalam kenyataan kepada laman al-Jazeera.Net, mengesahkan bahawa Khamis merupakan hari pertama Eid al-Fitr.

http://www.aljazeera.net/NR/exeres/6D3A0165-C124-48E4-B830-9B54DFA701D9.htm

Tuesday, August 17, 2010

Surah Yasin : mengharapkan pengampunan Allah swt

Surah Yasin memainkan peranan yang signifikan didalam kehidupan masyarakat Melayu Nusantara. Mahu atau tidak, kita kena terima hakikat kedudukan surah Yasin didalam kehidupan kita. Surah ini dibaca pada hari-hari kenduri, malam Jumaat, malam Nisfu Sya’ban, melawat jenazah, malahan ia juga digunakan didalam Ruqyah atau jampi keatas orang sakit. Surah ini juga dikatakan boleh diguna untuk menghalau makhluk-makhluk halus.

Secara umumnya, bagi majlis yang memerlukan bacaan ayat al-Quran yang ringkas, mereka akan menggunakan gabungan surah al-Fatihah dan surah-surah tiga Qul. Disebaliknya, surah Yasin akan dibaca pada majlis-majlis yang memerlukan bacaan-bacaan ayat yang agak panjang.

Banyak juga kritikan-kritikan terhadap pengamalan surah Yasin berdasarkan kepada kelemahan yang terdapat didalam hadith yang menjelaskan mengenai kelebihan membaca surah tersebut. Bagi mereka, tidak ada hadith sahih yang menjelaskan fadilat membaca surah Yasin, dan yang ada status hadithnya samada lemah (Dhaef) atau palsu (Mawdhu’).

Fadhilat ayat-ayat al-Quran memang tidak dinafikan tidak dapat lari dari menggunakan hadith-hadith yang lemah dan palsu. Namum begitu, kita juga tidak boleh menafikan wujudnya beberapa hadith-hadith yang dianggap sahih disisi ulama’-ulama’ terdahulu yang boleh diketengahkan sebagai hujah kepada pengamal-pengamal surah Yasin. Sekurang-kurangnya, jiwa kita menjadi sejuk mengamalkannya oleh kerana hadith ini sahih disini Imam-Imam Hadith, misalnya Ibnu Hibban , Al-Daarimi, dan lain-lain, walaupun ada dikalangan ulama’-ulama’ yang selepas mereka mendhaifkan hadith tersebut.

Diantara fadhilat yang masyhur adalah apabila seseorang itu membaca surah Yasin, semata-mata kerana Allah swt, dia akan mendapat keampunan darinya, tanpa mengkhususkan malam-malam tertentu.

أخبرنا محمد بن إسحاق بن إبراهيم مولى ثقيف حدثنا الوليد بن شجاع بن الوليد السكوني حدثنا أبي حدثنا زياد بن خيثمة حدثنا محمد بن جحادة عن الحسن عن جندب قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله غفر له
Telah dikhabarkan kepada kami Muhammad bin Ishaaq bin Ibraahiim maula Tsaqif, telah diceritakan kepada kami Al-Walid bin Syujaa’ bin Al-Walid As-Sakunii, telah diceritakan kepada kami bapaku, telah diceritakan kepada kami Ziyaad bin Khaitsamah, telah diceritakan kepada kami Muhammad bin Juhaadah, dari Al-Hasan, dari Jundab telah berkata, telah bersabda Rasulullah saw.: “Barangsiapa yang membaca surat Yasin pada waktu malam dengan mengharapkan wajah Allah, maka akan diampuni dosanya”. [Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Hibban #2574 didalam Sahihnya dan al-Mawaarid].

Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ibnu Hibban didalam Sahihnya, Kitab Solat, bab Qiamulail. Ibnu Hibban mengatakan adalah mustahab (digalakkan) membaca surah Yasin setiap malam dengan bersungguh-sungguh, dengan maksud pengharapan kepada Allah swt, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lepas.

Al-Hafiz Ibnu Kathir juga menyebut hadith ini dalam Tafsir kepada Surah Yasin (3/563), dengan menyandarkan hadith ini kepada Ibnu Hibban. Imam al-Syuyuti didalam kitabnya Durr al-Manthur fi Tafsir bil-Ma’thur, diawal tafsir Surah Yasin (5/278) menyebut bahawa hadith ini di keluarkan oleh Ibn Hibban.

Kritikan ulama’ terhadap hadith ini adalah terhadap al-Hasan atau al-Hasan al-Basri , yang dikatakan mudallis, selain itu kesemua perawi hadith itu adalah tsiqah (dipercayai). Namun demikian, al-Hasan al-Basri terbukti mendengar sendiri dari Jundab sebagaimana dinyatakan oleh al-Bukhari didalam Sahihnya, kitab Hadith-hadith Anbiya’, nombor 3463.

Walaupun dikenali sebagai mudallis, namun tadlisnya boleh diterima, lebih-lebih lagi ‘an’anahnya mematuhi syarat al-Bukhari dan Muslim. Oleh yang demikian, ulama’ yang terdahulu (mutaqaddimin) masih menganggap beliau dikalangan perawi Tabien yang Tsiqah.

Hakikatnya, hadith ini dianggap sahih oleh Ibn Hibban dan kita boleh sandarkan kepada penilaian beliau. Jika pun ada yang menganggap hadith ini dhaef kerana tadlis isnad, kita masih boleh lagi mengamalkan hadith ini sebagai Fadhail ‘Amal, sebagaimana al-Hakim didalam Mustadrak (1/490) memetik pendapat Abdul Rahman bin Mahdi .

Menurut Abdul Rahman bin Mahdi bahawa jika riwayat Nabi :saw itu berkenaan persoalan hukum, Halal dan Haram, maka hendaklah sanad dan perawinya kukuh, manakala jika ia menyentuh berkenaan dengan Fadhilat Amalan, ganjaran dan pembalasan, perkara yang diharuskan dan do’a, maka sanad-sanad tidak perlu ketat.

Wujudnya beberapa hadih-hadith yang disahihkan oleh ulama mutaqaddimin berkenaan dengan fadhilat beberapa surah-surah al-Quran memberi jalan keluar kepada pertentangan dua golongan; iaitu golongan pertama yang menafikan sama sekali kesahihan fadhilat Yasin sebagai misalnya, dan golongan kedua yang tidak berhati-hati didalam memilih hadith-hadith fadhilat surah ini. Kita haruslah bersikap terbuka didalam kes ini, sekurang-kurangnya kita berpuas hati bahawa hadith diatas ini sebagai contoh, telah disahihkan oleh bukan sebarangan muhadith yang terdahulu.

kamin, 17 Ogos 2010

Thursday, May 27, 2010

Pesanan al-Qaradhawi : Kita memiliki kekuatan


[Belia yang menghadiri syarahan al-Qaradawi]

Pada hari Jumaat 22 Mei yang lalu, Syiekh al-Qaradhawi didalam rangka lawatannya ke Mauritius telah menyampaikan kuliyahnya di hadapan para belia di Stadium bertaraf Olympic di Nouakchott, menekankan bahawa umat Islam memilki kekuatan dan mampu bangun, keluar dari keadaan yang kita hadapi sekarang.

Beliau menyeru agar diasaskan projek menyatukan ummah dan berdepan dengan mereka yang memecah belahkan ummat, dan meminta agar orang-orang muda hendaklah prihatin dengan peringkat-peringkat keutamaan, agar mereka tahu yang mana penting, atau yang mana yang perlu ditinggalkan, menjauhkan diri dari perselisihan dan kontroversi yang tidak sihat.

Beliau menegaskan bahawa umat Islam mempunyai kekuatan lebih dari satu bidang, diantaranya adalah :-

1. Kekuatan dari segi Angka : dikatakan bahawa jumlah Umat Islam adalah sebanyak 1.58 billion orang, malah al-Qaradhawi meragui jumlah tersebut. Bagi beliau, jumlah umat Islam adalah lebih dari itu. Satu contoh situasi dimana kenyataan yang menyebut Umat Islam di China dianggarkan 20juta, namun menurut Shakib Arslan, Umat Islam di China sahaja mencecah 50juta orang. Seorang orientalis Peranchis, Kanato pernah menulis didalam suratkhabar “Le Mode, the French” mengambarkan isyarat amaran serious mengenai ramainya kependudukan Islam, lebih-lebih lagi di China.

Tegas beliau bahawa ini menunjukkan bahawa Allah swt merahmati orang-orang Islam, dimana firmannya : (وَاذْكُرُوا إِذْ كُنْتُمْ قَلِيلًا فَكَثَّرَكُمْ) “ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai” [surah al-‘Araf : 86].

2. Kekuatan Ekonomi : Negara Umat Islam memiliki barangan yang berguna yang tidak dimiliki oleh negara lain. Negara-negara Islam ini kebanyakkannya negara pertanian, memilki pantai yang kaya dengan pelbagai jenis Ikan. Malah mereka memilki minyak, pelbagai galian seperti emas, besi, platinium, uranium dan sebagainya.

Beliau memetik soalan yang pernah diajukan oleh Perdana Menteri Thailand kepada Perdana Menteri Malaysia, “Anda adalah negara Islam yang memiliki minyak? Kenapa hanya negara Islam sahaja yang memiliki minyak? Kenapa Malaysia dan bukan Thailand?”

Namun demikian menurut beliau, kita memerlukan semua jenis perindustrian. Menurut beliau, “selama ini kita hanyalah pengimpot dan bukan pengeluar (perindustrian), malahan kita mengimpot teknologi dan kita tidak mengeluarkannya”…. “Adalah satu perbezaan yang besar diantara Pengeluar dan Pengguna, berbeza dengan mereka yang mencipta dan mengimpot dan membelinya”.

3. Kekuatan ketamaddunan : Tamaddun dibina di bumi dan negara Islam. Ia berkembang didalam negara-negara Islam, termasuklah kenabian, kesemua berpusat dinegara Islam. Kristian bermula dari bumi kita dan beredar ke Eropah, Judaism juga bermula di bumi kita, begitu juga Assyria yang bermula di Iraq. Ketamaddunan Firaun di Mesir, Hindi dan kebanyakkan tamaddun lain berasal dari negara-negara Islam.

Al-Qaradhawi menjelaskan semasa beliau berada di Amerika, dia telah dibawa melawat Muzium, dan beliau bertanyakan berapakah usianya, jawapannya adalah 200 tahun. Menurut al-Qaradhawi, Muzium kita mencecah 7000 tahun.

4. Kekuatan Spiritual : Kita adalah satu-satunya agama yang telah melalui pelbagai pengalaman, perubahan zaman dan masa, risalah yang tidak kenal sempadan waktu, itulah risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad :saw. Beliau telah berjumpa dengan berjuta Hafiz al-Quran di Libya , dimana kerajaan Libya memberi penghargaan kepada mereka yang menghabiskan dirinya dengan al-Quran.

Menurut beliau, melalui pertandingan al-Quran yang dianjurkan oleh Qatar, pada mulanya di penuhi oleh peserta luar negara Qatar, terutamanya orang Asia. Namun demikian, beberapa tahun yang terdekat, kadar perserta meningkat dari kalangan penduduk Qatar

Kata al-Qaradhawi mengenai mukjizat al-Quran :

أي إعجاز أكثر من أن تجد شابا يحفظ القرآن حفظا جيدا، ولا يفهم كلمة واحدة من اللغة العربية، حتى إنك إذا سألته ما اسمك؟ لا يفهم السؤال، ومع ذلك يحفظ القرآن حفظا جيدا
“Adalah lebih dari satu keajaiban mendapati seorang lelaki yang menghafal al-Quran dengan baik, akan tetapi tidak faham satu kalimah pun didalam bahasa Arab, sehinggakan kamu bertanya kepadanya :Apa nama kamu? Mereka tidak memahami soalan kamu, namun demikian, mereka adalah golongan yang menghafal al-Quran dengan baik”

Al-Qaradhawi juga telah menyentuh isu mewujudkan projek kesatuan Ummah, bagi menghadapi konfrantasi musuh Islam dan membantu sebahagian yang merana, dan berkata : “malahan isu utama umat Islam, iaitu persoalan Palestin, tidak lagi kedudukannya sebagai isu yang SATU, begitu juga dengan isu Zionis yang global”.

Sedutan dari tautan : http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=7637&version=1&template_id=116&parent_id=114

Wednesday, April 07, 2010

Syeikh al-Azhar baru menentang penyebaran Mazhab Syiah didalam masyarakat Sunni


[Syeikh al-Azhar Dr Ahmad al-Tayyib]

Syeikh al-Azhar yang baru, Dr Ahmad al-Tayyib mengumumkan bahawa beliau menentang penyebaran doktrin Syiah dikalangan masyarakat Sunni semasa temubualnya bersama station BBC. Beliau mengatakan bahawa terdapatnya perbezaan diantara mazhab ini. Syeikh al-Tayyib didalam dialog menegaskan bahawa Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi khuatir akan penyertaan Syiah didalam masyarakat Sunni dan beliau merasakan seolah-olah wujud perancangan lain dan bukan mendekatkan kedua-dua mazhab, akan tetapi ia merupakan proses menSyiahkan pemuda-pemuda Sunni.

Beliau menjelaskan rasa tidak puashati dan tidak dapat menerima penyebaran ajaran Syiah dikalangan masyarakat Sunni di Najaf . Beliau menentang penyebaran ajaran tersebut yang menggunakan wang, sokongan dan gerakan, kerana penamatnya adalah konflik politik yang memakai mazhab Syiah.

Syiekh al-Azhar menegaskan terdapatnya brosur dakwah Syiah yang telah sampai di al-Azhar, dan beliau menganggap ini merupakan satu kejayaan Syiah meluaskan ajarannya dengan mengenepikan mazhab yang lain. Mengenai peranan al-Azhar dan hubungannya dengan sebuah Negara, Syiekh al-Azhar mengatakan bahawa al-Azhar bukanlah parti atau badan politik yang menyokong atau menentang kerajaan, akan tetapi kedudukannya itu istimewa.

Beliau mengatakan bahawa Parti yang memerintah tidak menyuruh beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Biro Parti Demokratik Kebangsaan. Beliau menegaskan bahawa keputusan melantik beliau ke jawatan tersebut adalah keputusan terus dari Presiden Mesir, Hosni Mubarak, dan tambah beliau “Saya akan bersetuju dengan Tuan Presiden kerana keputusan pemerintah hendaklah dihormati”.

Didalam respon beliau kepada soalan mengenai jawatan Syiekh al-Azhar samada ia perlu di lantik atau diundi, Dr al-Tayyib mengatakan bahawa ini merupakan salah satu diprioriti beliau untuk menyelidiki persoalan ini, samada jawatan Syiekh al-Azhar perlu diundi dari kalangan Ulama’ Senior.

Beliau juga memaklumkan bahawa tidak terdapat sebarang tentangan terhadap perlantikan Syiekh al-Azhar dari kalangan orang Islam diluar Mesir. Syeikh al-Azhar menegaskan bahawa politik dan agama jangan dicampurkan. Kata beliau "politik mempunyai salurannya, tetapi politik tidak boleh dimainkan diatas nama Agama. Jangan bermain politik sedangkan anda memakai serban agama".

Didalam menjawab soalah mengenai hak kaum Qibti di Mesir, beliau menafikan bahawa kaum Qitbi dinafikan haknya, dan menjelaskan bahawa mereka bebas menikmati hak mereka didalam kedudukan awam di negara ini. Tambah beliau, malahan semua belanjawan al-Azhar dikawal oleh Dr Yusuf Boutrus, dan kita mempunyai Governor dan Menteri dikalangan kaum Qibti.

Beliau menegaskan bahawa dia berpegang kepada Artikel II didalam Perlembagaan yang menyatakan bahawa prinsip Shariah Islamiyah merupakan sumber utama perundangan, dan hukum shariah menjaga hak kaum Qibti sepanjang catatan sejarah.

Beliau menekankan bahawa seorang Kristian tidak boleh menjadi Presiden Republik, dan beliau tertanya-tanya samada Britain membenarkan seorang Islam menjadi Perdana Menteri atau Raja negara tersebut.

(rancangan ini dipancarkan jam 7:20 waktu GMT hari Isnin)

sumber : http://www.bbc.co.uk/arabic/lg/middleeast/2010/04/100403_azhar_sheik_tc2.shtml

Sunday, February 21, 2010

Penggunaan nama Allah di Bible



Banyak sudah diperbincangkan mengenai isu larangan penggunaan nama Allah kepada pihak Gereja di Malaysia. Apa yang diperlihatkan adalah larangan tersebut lebih kepada usaha-usaha menghalang pendakwah Kristian dari berdakwah kepada orang Melayu Islam. Pada hakikatnya, Allah swt sendiri didalam al-Quran tidak melarang ahli Kitab dari menggunakan namanya. Namun demikian, disebabkan demi mempertahankan masyarakat Melayu dari di murtadkan, maka pelbagai golongan Islam telah mengeluarkan pandangan melarang menggunakan nama Allah. Strategi ini diambil dalam suasana umat Islam yang berkeadaan lemah di Malaysia, dan bukan melihat kepada perspektif hukum menggunaan nama Allah.

Namun demikian, tidak kurang juga cerdik pandai Kristian yang menafikan sekeras-kerasnya bahawa perkataan Allah memang tidak wujud didalam Bible yang berbahasa Hebrew atau Greek. Paling hampir perkataan"alah" yang membawa maksud laknat, berkabung atau naik, dan tidak dimaksudkan dengan Tuhan (Strongs 425).

Bible didalam Old Testament dan New Testament tidak wujud Nama Allah menurut mereka. Cuma Bible yang diterjemahkan didalam bahasa Arab wujud pada abad ke 9 dan penggunaan kalimah Allah. Namun bagi mereka, bahasa Arab wujud lebih awal dari kedatangan Islam. Kerajaan seperti Gassanids dan Muntherites merupakan kerajaan Kristian, dimana bahasa perantaraan adalah bahasa Arab.

Warisan Arab Kristian diketahui bermula pada 750AD hingga 1350AD, dimana pada masa itu paderi-paderi berbahasa Arab mula menulis buku-buku didalam bahasa Arab bagi mempertahankan pendirian mereka terhadap kedatangan Islam. Mereka menulis buku-buku Teologi, falsafah, sejarah gereja dan sebagainya didalam bahasa Arab. Abad ke 8 sehingga ke 14 merupakan kegemilangan bahasa Arab di Gereja, sehinggalah bahasa Eropah, seperti Itali, Perancis, German, Inggeris, dsb, bermula pada abad ke 14, iaitu 600 tahun selepas warisan Arab Kristian bermula.

Dikalangan puak-puak Kristian yang berbahasa Arab, yang hidup dinegara-negara Arab, mereka tetap mempertahankan bahawa perkataan Allah wujud didalam Bible dan merekalah yang mula-mula menggunakannya sebelum kedatangan Islam. Baru-baru ini, Paderi Pecerillo menjumpai lebih dari 20 Gereja di Madaba di Selatan Jordan, beberapa rumah di abad ke 4 di Syria, Lubnan, Iraq dan Palestin mempunyai tulisan khat Arab : Bism El-Lah al-Rahman al-Rahim. Ia dikatakan wujud, 200 tahun sebelum Islam.

Menurut Gereja St Takla, terdapat 2244 kali perkataan "Allah" didalam Bible berbahasa Arab. Dengan menggunakan pencarian dilaman webnya, didapati terdapat 1235 nama Allah didalam Old Testament dan 1011 didalam the New Testament, sepertimana dipaparkan pada imej dibawah.


[Old Testament]


[New Testament]

Fakta ini jelas menunjukkan bahawa faktor budaya bahasa Arab yang menjadikan puak-puak Kristian menggunakan nama Allah didalam biblenya. Bagi penganutnya yang tidak berbahasa Arab, mereka menyangkal sama sekali penggunaan nama Allah didalam bible dengan memaparkan istilah-istilah seperti alah, elah, dsb.

Berbalik kepada suasana di Malaysia, disebabkan pengguna-pengguna Bible tidak menggunakan versi Arab, sudah sepatutnya perkataan Allah itu ekslusif hanya bagi penganut Islam di Malaysia sahaja. Oleh yang demikian, bible berbahasa Melayu hendaklah dilarang menggunakan kalimah Allah. Banyak lagi implikasi lain yang boleh merosakkan pemikiran anak muda kita jika pengetahuan Agama Islam tidak mantap apabila membaca Bible ini.

Didalam versi bible Arab, banyak sekali menceritakan fakta batil yang ditujukan kepada Nabi-Nabi Allah. Misalnya Nabi Nuh as, dikatakan seorang petani yang mempunyai kebun anggur, pernah minum arak, lalu mabuk dan bertelanjang. Dikatakan didalam kitab tersebut beliau telah melihat aurat anaknya dan melaknati cucunya yang tidak bersalah. [Sanitasi 9: Isu 20,28].

Nabi Lut as. dikatakan peminum Arak, mabuk, lalu berzina dengan anak perempuannya, lalu menjadi ayah kepada dua anak lelaki Moab dan Amon! [Genesis 19: 30]. Nabi Syuib as. dikatakan berjalan sambil bertelanjang dan berkaki ayam selama 3 tahun - Isaiah [20: 2 5] . Sukar untuk diterima oleh akal jika manusia yang digelar Nabi berkelakuan demikian.

Banyak lagi cerekarama yang terdapat didalam bible, mengisahkan fakta palsu mengenai Nabi-Nabi Allah swt. Kalaulah cerita-cerita ini dibaca oleh golongan Melayu Islam masakini, apakah yang akan terjadi kepada mereka ini. Bayangkan apa yang akan mereka komen terhadap hukum Hudud dan Qisas, perkahwinan Nabi :saw dan A'isyah, Isra' dan Mi'raj, Azab kubur, dsb?

Sekian, wassalam
kamin, 21 Feb 2010. 9:08pm.

Saturday, January 30, 2010

Suara yang diulangi setiap minit didunia ini



Maha Suci Allah yang Maha Mencipta, ketahuilah bahawa Azan tidak terputus berkumandang di ‘globe’ bumi selama 24 jam. Didalam penyelidikan yang dilakukan di sebuah Universiti di UAE, didalam bidang Matematik, menjelaskan bahawa ini merupakan keajaiban yang dijadikan oleh Maha Pencipta didalam memberi hak kepada ‘Suara Azan” sepanjang 24 jam setiap hari.

Penyelidiknya didalam kajian tersebut berkata : “ Sesungguhnya Azan yang memanggil orang Islam melakukan ibadat solat tidak pernah putus dari globe bumi setiap hari pada setiap putaran masa, dimana setelah Azan selesai berkumandang disesuatu kawasan, ia akan diteruskan berkumandang dikawasan yang lain !!”

Abdul Hamid al-Fadhil, penyelidikan tersebut menjelaskan bahawa globe bumi ini boleh dibahagikan kepada 360 garisan, dimana ditentukan waktu setiap kawasan tersebut darinya. Setiap garis dipisahkan dengan garisan dengan jangka waktu 4 minit, diandaikan Azan dilakukan tepat pada waktunya bagi setiap kawasan. Diandaikan juga muezzin yang baik akan melaungkan azan selama 4 minit.

Dia juga mengandaikan Azan akan dikumandangankan pada setiap daerah digarisan tersebut selama 4 minit, maka setiap 4 minit kawasan-kawasan yang berada pada garisan tersebut akan melaungkan Azan. Maka, dalam tempoh 24 jam, genap 360 garisan globe bumi melaksanakan Azan, dan menunjukkan bahawa Azan berkemundang secara berterusan selama 24jam didalam penghidupan bumi. Formulanya boleh gambarkan seperti berikut :-

4 (minit) x 360 (longitude) = 1440 minit
1400 (minit) / 60 (minit) = 24 jam

Maha Suci Allah yang memperlihatkan kekuasaannya kepada makhluk yang sentiasa alpa memahami hakikat perjalanan bumi ini. Bayangkan pada saat dimana Azan sudah tiada lagi kedengaran, apakah yang akan terjadi kepada makhluk yang berada dibumi ini? Firman Allah swt :-

وَكَأَيِّنْ مِنْ آيَةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ
“Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” [Surah Yusuf : 105].

Berkata Ibn Kathir rh : “Allah mengkhabarkan bahawa kebanyakkan orang tidak memikirkan mengenai tanda-tanda (Ayaat) dan bukti Allah yang satu terhadap ciptaan Allah pada langit dan bumi. Allah mencipta bintang-bintang dan planet-planet yang mengelilingi orbit, dan semuanya cipta dengan tujuan tertentu. Terdapat banyak tanah-tanah yang subur terletak sebelah menyebelah, dan taman-taman, gunung-gunung, lautan, dimana ombaknya memukul diantara satu sama lain, dan padang pasir yang luas. Terdapat banyak makhluk yang hidup dan yang mati, dikalangan binatang, tumbuh-tumbuhan, dan buah-buahan yang sama bentuknya, akan tetapi berbeza rasa, bau, warna dan sifat. Kesemuanya disebabkan Allah yang satu, yang menjadikan semua jenis ciptaan, dimana hanya dia yang tetap dan kekal selama-lamanya. Hanyalah dia yang tersendiri Nama dan Sifatnya.”

Adaptasi dari email (Afi Yoono al-Hafiz) & laman web - http://www.paldf.net/forum/showthread.php?t=276468

kamin
10:30am, Sabtu 30-01-2010.

Wednesday, January 13, 2010

Kenangan menziarahi Syeikh Abdul Karim al-Banjari rh : ulama Melayu di Masjid al-Haram



[Bergambar bersama Syiekh di rumah beliau]

Syeikh Abdul Karim al-Banjari rh merupakan ulama' kelahiran Banjarmasin yang pernah mengajar di Masjidil Haram lebih dari 50 tahun. Jika mereka yang pernah mengerjakan ibadat Umrah sebelum tahun 2000, pasti pernah ketemu apabila melalui Babul Umrah. Disana akan kelihatan seorang Kiai tua mengajar didalam bahasa Indonesia dan terkadang-kadang terkeluarlah loghat Banjarnya. Pada waktu itu beliau adalah diantara dua Ustaz dunia Melayu yang mengajar di Masjidil Haram yang diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi.

Syeikh Abdul Karim al-Banjari rh mempunyai sulur galur dari ulama' Martapura terkenal iaitu Kiyai Haji Badruddin. Murid-murid beliau terdiri dari mereka yang datang dari Indonesia, Malaysia, Brunei, Thailand dan Singapura. Beliau mengajar kitab-kitab Fiqh, Aqidah dan Tasauf. Sebelum menemui beliau, macam-macam cerita yang kedengaran apabila jemaah bercakap mengenai beliau. Ada seorang yang dikenali dengan nama Ustaz Ismail, ada menceritakan pengalamannya melakukan solat Hajat di Madinah moga-moga Allah menemukan beliau dengan al-Syeikh apabila sampai di Mekah nanti. Menurut beliau, setiap kali ingin berjumpa Syiekh, beliau akan rasa seolah-olah ingin membuang air kecil.

Syiekh Abdul Karim sangat menitik beratkan soalan disiplin semasa mengajar. Menurut seorang Ustaz yang pernah menjadi muridnya, pada satu hari semasa kuliah al-syeikh, ada pelajar (duduk dibelakang sekali) sedang membisikkan sesuatu kepada kawannya, lalu kedengaran suara al-Syeikh berkata : Ada dikalangan kalian yang telah dirasuk syaitan! Lalu suasana suasana tersebut terus menjadi senyap sunyi. Pada ketika itu, al-Syeikh sedang menegur pelajar-pelajarnya yang terlupa beberapa fakta yang beliau telah ajar pada hari sebelumnya. Beliau juga dikenali dengan seorang yang amat dermawan kepada anak muridnya. Setiap tahun, beliau akan menghadiahkan beberapa ribu Riyal kepada semua anak muridnya.

Pada tahun 1994, ketika bersama rombongan kecil dari Melaka menunaikan Umrah, kami telah menawarkan lawatan ke rumah al-Syeikh kepada jemaah tersebut. Kami berkata : Malam ini ada sesiapa yang berminat untuk berjumpa Tuan Guru yang mengajar di Masjidil Haram? Ada seorang bertanya : Tuan Guru Nik Aziz ke? Kami jawab : bukan. Tuan Guru Abdul Karim al-Banjari yang mengajar di Masjidil Haram, dan pada tahun itu berumur sekitar 90 tahun.

Dengan bantuan Ustaz Tarmizi, Presiden Pelajar Indonesia di Mekah pada ketika itu, kami telah menyewa Van untuk membawa 12 orang jemaah melawat Syeikh al-Banjari di rumah beliau di pinggiran Bandar Mekah. Setiba disana, kaum lelaki telah disambut oleh anak beliau dan kaum wanita disambung oleh isteri beliau. Kami telah dibawa pada ruang tamu dan dihidangkan dengan minuman air Zamzam. Tidak berapa lama kemudian, al-Syiekh pun datang menemui kami, bergerak menggunakan dua batang tongkat.

Kebiasaannya beliau akan menggunakan kerusi roda yang disorong oleh anak muridnya. Kerana kesukaran bergerak didalam kesesakkan manusia di Masjidil Haram, beliau tidak mengajar pada bulan Ramadhan. Beliau akan bersolat diluar Masjidil Haram bertemankan beberapa pelajarnya yang senior supaya senang pulang kerumah sebaik sahaja selesai solat fardu.


[keratan akhbar Harakah - pertemuan beliau dengan
TG Nik Abdul Aziz Nik Mat, 1994]

Syiekh pada ketika itu baru pulang dari lawatannya ke Malaysia. Beliau menceritakan bagaimana seronoknya berjumpa dengan pemimpin Malaysia. Maka seorang jemaah pun bertanya : Jumpa Perdana Menteri ke? Jawab beliau : Tidak, saya berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat yang alim. TG Nik Aziz berkata kepada beliau : Saya sangat bertuah dapat berjumpa dengan seorang alim yang mengajar di Masjidil Haram. Jawab al-Syeikh : Tuan memang bertuah, kerana saya cuma mengajar, akan tetapi Tuan mengajar dan mengamalkannya.

Timbul satu soalan dari para jemaah : Benar ke TG Nik Aziz ini seorang ulama’? Dengar kata beliau “mempergunakan al-Quran” untuk kepentingan parti? Jawab al-Syeikh seolah-olah terperanjat : Habis, mau guna apa, kalau tidak menggunakan al-Quran? Apa kalian mahu guna Bible?? Kalau orang Kristian boleh menggunakan Bible, kenapa orang Islam tidak boleh menggunakan atau mempergunakan al-Quran? Bukankah al-Quran itu perlu digunakan? Maka, orang bertanya itu pun angguk-angguk tanda faham.

Beliau ada bercerita mengenai seorang kenamaan yang telah meminta tolong dari beliau melalui isterinya agar beliau mendoa’kan orang kenamaan ini lepas dari tuduhan zina. Lalu beliau berkata, aku tidak akan berdo’a agar suami kamu lepas dari hukuman, akan tetapi hendaklah ia bertaubat kepada Allah swt. Al-Syeikh sentiasa menekankan perihal pentingnya bertaubat kepada Allah swt.

Beliau menceritakan bahawa anaknya (seorang doctor perubatan) akan melanjutkan pelajaran di Belanda didalam bidang mata. Lalu sebelum berangkat ke Belanda, anaknya bertanya kepadanya : Apakah nasihat yang Bapak sampaikan? Kebiasaannya, si-anak akan mendapat nasihat agar belajar rajin-rajin supaya sukses didalam pembelajaran. Syeikh al-Banjari berkata : Pertama, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah swt dan bertaubat, dan kedua barulah belajar bersungguh-sungguh didalam pelajaranmu. Tidak guna belajar tinggi-tinggi jika tidak bertaqwa kepada Allah swt.

Ada seorang jemaah bertanyakan kepada beliau : Di masjid kami, ada seorang Ustaz akan membaca surah “Alam Nasyrah” keatas air dan diberi minum kepada pelajar-pelajar yang ingin mengambil peperiksaan, apa pandangan Bapak? Kata beliau : kenapa tidak lakukan sahaja pada kolam air di masjid tersebut? Mungkin orang bertanya tidak memahami maksud beliau, lalu dia bertanya lagi : Ayat manakah didalam al-Quran yang digunakan untuk penerang hati, kerana anaknya akan menghadapi SPM? Jawab al-Syeikh : Baca sahaja seluruh al-Quran, nescaya hati akan menjadi terang. Al-Quran itukan kitab Hidayah. Kalau boleh di hafal keseluruhan al-Quran lagi bagus ujar beliau.

Diakhir lawatan tersebut, beliau telah mengijazahkan kepada kami hadith berkenaan dengan “Penghulu Istighfar”. Berikut adalah istighfarnya :-

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ ،وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، فَاغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ ،
"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Dan aku tetap di atas perjanjian dan taatsetia terhadapMu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung denganMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosa yang aku lakukan, oleh itu ampunilah dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau." [Hadith Riwayat al-Bukhari no. 6306, 6323]

Beliau menasihatkan kami agar sentiasa bertaubat kepada Allah swt. Menurut beliau, kalau boleh, istighfar ini dilakukan selepas solat sunat Fajar sementara menunggu Imam untuk melakukan Solat Fajar.

kamin, 13 Januari 2010
11:45pm

Sunday, January 10, 2010

Bersama al-'Alaamah al-Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi di PICC


[Muhadharah Perdana al-Qaradhawi di PICC, 2 Muharram 1431]

Empat hari sebelum mengakhiri bulan Zulhijjah, saya telah menerima satu email dari seorang sahabat mengenai Muhadharah Perdana yang akan disampaikan oleh Al-'Alaamah Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi ha. di PICC, PutraJaya pada 2 Muharram nanti. Membaca berita tersebut benar-benar membuat saya tersenyum lebar dan berasa sangat gembira. Lantas saya pun membuka Laman qaradawi.net dan mendapat berita bahawa beliau akan dikurniakan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431.

Tiga tahun yang lalu, seorang sahabat (Ustaz Maszlee) pernah bertanya kepada anak beliau samada Syeikh boleh datang ke Malaysia atau tidak. Jawapannya : beliau sudah tua, kakinya sakit dan sukar untuk bermusafir didalam perjalanan yang agak panjang. Kenyataan ini jelas apabila melihat Syeikh duduk dikerusi semasa menyampaikan ucapannya sempena menerima tokoh Ma'al Hijrah di PICC.

Dengan penuh semangat, saya dan seorang sahabat telah bertolak ke PICC jam 8 pagi untuk mendengar ceramah Perdana beliau pada pagi tersebut. Kerinduan untuk mendengar suara garau beliau sudah terubat tatkala mendengar ucapan beliau di kaca TV semasa menerima gelaran Tokoh Ma'al Hijrah sehari sebelumnya. Sungguh terharu apabila melihat beliau dibawa dengan kerusi roda masuk kedalam dewan.

Beliau telah diminta bersyarah mengenai buku terbarunya, Fiqh Jihad. Syiekh telah memulakan ceramahnya menekankan bertapa pentingnya kita memahami konsep Jihad yang sebenarnya. Terdapat dua pemikiran mengenai Jihad, dimana golongan pertama yang sangat longgar pegangannya mengenai Jihad, ada yang ekstrim pula menyelesaikan segala permasalahan dengan menggunakan senjata.


[Syeikh al-Qaradhawi setelah menyampaikan syarahan]

Diantara contoh kumpulan yang pertama adalah ajaran Qadiani yang mengatakan Allah swt telah memansuhkan ayat-ayat Jihad didalam al-Quran. Ajaran ini ternyata telah tersasar dari ajaran Islam sebenarnya. Malahan, Abu Bakar al-Sidek telah memerangi kaum yang enggan membayar zakat setelah kewafatan Nabi :saw.

Kumpulan kedua pula merupakan kumpulan pelampau yang menggunakan Jihad, dalam erti Qitaal atau peperangan (harb). Bagi puak ini, segala penyelesaian boleh dicapai dengan menggunakan senjata. Ternyatalah bahawa agama Islam sangat cintakan keamanan. Didalam sebuah hadith, Nabi :saw menyatakan bahawa Allah swt sangat sukakan nama Abdullah (Hamba Allah) dan sangat benci kepada nama Harbun atau peperangan. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam sangat bencikan peperangan.

Bagi beliau, hendaklah kita menjadi umat Islam yang berpegang kepada fahaman kesederhanaan. Jihad yang bermaksud Qitaal harus diapikasikan apabila umat Islam telah diserang oleh musuh. Umat Islam diseru menyediakan kekuatan tentera agar musuh-musuh Islam gentar memasuki sempadan wilayah Islam. Skop Jihad adalah lebih luas dari Qitaal (peperangan). Jihad dalam ertikata yang luas hendaklah dipraktikan didalam amalan hidup umat Islam. Bagi Syeikh, Jihad Nafsu dan Jihad Dakwah adalah dituntut sehingga ke hari Kiamat. Kata beliau "seorang Islam hendaklah mati didalam Fi Sabilillah dan bukannya hidup didalam Fi Sabilillah."

Syiekh menjelaskan bahawa agama Islam bukan disebar dengan menggunakan pedang. Beliau telah mengkritik orang Islam kerana tidak benar-benar berusaha menyebarkan dakwah Islam dengan katanya "Kita lalai menyebarkan agama kita dengan nisbah 1:1000 jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh pendakwah agama-agama lain". Disinilah terletaknya Jihad yang terpenting iaitu menyebarkan agama Islam menggunakan kepakaran masing-masing. Beliau juga menyeru umat Islam menggunakan teknologi internet didalam menyampai dakwah Islamiyah. Beliau telah mengemukakan 13 pembahagian Jihad yang telah dipopularkan oleh Ibn al-Qayyim rh.

Diantaranya yang sebut adalah Jihad al-Nafs, Jihad Islah didalam masyarakat menentang kefasadan (korupsi) dan Jihad terhadap orang kafir dengan berdakwah kepada mereka. Kesemua ini akan berterusan sehinggalah kehari Kiamat. al-Qaradhawi mengatakan bahawa al-Quran telah mengelar Jihad Dakwah dengan nama Jihad alKabir, dimana buktinya bahawa Nabi berdakwah dikalangan bukan Islam selama 13 tahun di Makkah dengan sabar didalam menghadapi ancaman kaum Kufar dan Musyrikin, tanpa menentang mereka dengan senjata atau pedang.

Allah swt telah mensyariatkan Jihad setelah Nabi :saw berhijrah ke Madinah bagi mempertahankan diri, memelihara agama dan mewujudkan kebebasan berakidah. Jihad ini bukanlah bermaksud menyerang keatas orang lain. Beliau menyelar tuduhan orientalis yang mengatakan Islam disebarkan melalui pedang. Kedatangan Islam di Nusantara (Tanah Melayu, Brunei, Indonesia, dsb) adalah dibawa oleh pedagang, dengan menunjukkan contoh akhlak dan ikutan yang baik kepada penduduknya. Agama Islam sendiri membawa slogan Tiada paksaan didalam Agama.

Ada seperkara yang menarik untuk dipaparkan disini adalah, beliau memetik firman Allah swt didalam surah al-Baqarah yang menyebut "Fitnah itu lebih dasyat dosanya dari membunuh" (والفتنة أشد من القت) , merujuk kepada makna "SYIRIK itu lebih dasyat dosanya dari membunuh". Ayat tersebut dipaparkan bersama-sama dengan syariat Jihad (berperang). Ayat ini selalu disalah gunakan oleh orang-orang Islam dengan makna "fitnah" yang difaham didalam masyarakat Melayu; mengadu domba, mengumpat, tikam belakang, dsb.

Diakhir ceramah beliau berkata :

لو طلبنا عشرة مسلمين يقاتلون في سبيل الله بأنفسهم لجاءنا ألف مسلم، ولو طلبنا عشرة يجاهدون في سبيل الله بالدعوة والمال لجاءنا واحد وربما لا يأتينا أحد
"Jika kita meminta 10 orang Islam berperang Fi Sabilillah dengan nyawa mereka, maka 1,000 orang Islam yang akan datang kepada kita, jika kita meminta 10 orang berJihad fi Sabilillah dengan berdakwah dan mengeluarkan harta mereka, maka akan datang kepada kami satu orang dan kemungkinan satu pun tidak datang".

kamin, Ahad, 10 Januari 2010

Thursday, October 15, 2009

Kad perkahwinan - manifestasi cinta Yusuf & Zulaikha?



Minggu lepas saya menerima sekeping Kad Jemputan Perkahwinan dari seorang sahabat yang akan melangsungkan Majlis Jamuan perkahwinan anak beliau di Selangor. Didalam kad tersebut diselitkan sekeping do'a yang berbunyi :-

Secebis do'a dengan kalimah
Bismillahirahmaanirrahim
Ya Allah
Tuhan Yang Maha Pencipta , Jadikanlah Majlis ini
Majlis yang mendapat Keberkatan & Keredhaan Mu Ya Allah,
Kekalkan ikatan perkahwinan mereka sepanjang hayat
Tetapkanlah kasih antara mereka selagi Tidak Melebihi Kasih PadaMu
Ya Allah
Engkau satukanlah hati mereka seperti engkau satukan
hati Adam & Hawa,
Yusuf & Zulaikha dan
Seperti Engkau Satukan hati Muhammad s.a.w & Siti Khadijah
Amin Ya Rabbal Alamin

Rupa-rupanya, masih ramai lagi yang masih berpegang kepada hikayat percintaan agung Yusuf dan Zulaikha. Sudah pasti, harapan ibu-bapa ingin menjadikan pasangan anak-anak mereka bahagia sebagaimana didalam kisah percintaan agung tersebut. Sebelum kita menjawab harapan ini, ada beberapa persoalan yang elok juga kita fikirkan kembali, diantaranya adalah :-

a. Apakah wanita yang disebut didalam surah Yusuf itu namanya Zulaikha?

b. Apakah benar wanita tersebut, saling cinta mencintai Nabi Yusuf dan Nabi Yusuf tertarik dengan wanita tersebut?

c. Sumber mana yang menyebut bahawa Zulaikha dan Nabi Yusuf berkahwin.?

Firman Allah swt :

وَقَالَ الَّذِي اشْتَرَاهُ مِنْ مِصْرَ لِامْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَى أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الْأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [surah Yusuf : 21].

Ibnu Kathir rh didalam mentafsirkan ayat diatas, menjelaskan bahawa Nabi Yusuf telah dibeli oleh seorang pegawai tinggi Mesir, yang berjawatan Menteri dan digelar ‘al-Aziz’. Menurut Ibn Abbas ra. nama sebenar beliau adalah Qathfir dan nama isterinya adalah Raa’il [Tafsir al-Quran al-Azhim, 2/620]. Wanita yang bernama Raa’il ini yang kita kenali sebagai Zulaikha. Ulama’ hadith mengatakan bahawa riwayat yang mengatakan namanya adalah Zulaikha adalah tidak kuat dalilnya.

Ini bermaksud bahawa cerita mengenai Nabi Yusuf berkahwin dengan wanita yang bernama Zulaikha adalah tertolak juga, dan sudah tentu do’a yang mengaitkan pasangan Zulaikha dan Nabi Yusuf as. tidak datang dari sumber yang sahih. Malah ada yang begitu sinis atau berseloroh mengatakan kenapa mahu mendo’akan anak agar dia berlaku curang (Zulaikha) kepada suaminya (kerana mencintai Zulaikha).

Penceritaan kisah ini didalam al-Quran sangat jelas, dan pemurnian kisah ini boleh dilakukan dengan cara menggalakkan mereka membaca kisah ini terus dari surah Yusuf dan bukannya membaca hikayat-hikayat yang bersumberkan Israiliyyat dan sumber-sumber Yahudi dan Nasrani. Malahan Departmen Agama Republik Indonesia (DEPAG-RI ) telah membuang nama Zulaikha didalam terjemahan resmi al-Quran didalam Bahasa Indonesia.

Yusuf tertarik kepada Zulaikha?

Bagaimana pula dengan kisah Nabi Yusuf juga dikatakan tertarik kepada wanita tersebut?? Berpandukan surah Yusuf ayat 24, ada setengah pihak mengatakan bahawa wujudnya suasana cinta mencintai diantara Nabi Yusuf dan Zulaikha. Firman Allah swt :-

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَنْ رَأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa" [surah Yusuf : 24].

Perkataan هَمَّتْ بِهِ atau wanita itu berkehendakkan (inginkan) kepadanya dan atau وَهَمَّ بِهَا dia(Yusuf) bekehendakkannya menunjukkan bahawa setelah wanita tersebut menggoda Yusuf (surah Yusuf, ayat 24), maka timbul keinginan kepadanya. Keinginan beliau telah hilang setelah melihat kenyataan (burhan) dari Allah. Para pentafsir memberi alasan bahawa Nabi Yusuf juga seorang manusia yang mempunyai keinginan terhadap wanita, dan lintasan keinginan itu tidak dianggap berdosa.

Al-Baghawi melaporkan bahawa ia hanyalah lintas fikiran sahaja. Dikalangan mufasirin juga khilaf didalam mentafsirkan makna ayat ini. Dari kalangan yang mengatakan bahawa Nabi Yusuf as tidak langsung mempunyai keinginan adalah berdasarkan beberapa kenyataan dibawah ini, diantaranya ;

a. Keinginan disini berbentuk umum, yakni ia tidak merujuk kepada keinginan seks sahaja. Jika dilihat dari ayat 23 surah Yusuf, beliau telah memohon perlindungan dari Allah swt, dengan katanya :

مَعَاذَ اللَّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ
"Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya" [Surah Yusuf : 23].

Keinginan Yusuf boleh ditafsirkan sebagai keinginan untuk mempertahankan diri dari dinodai oleh isteri pegawai Mesir tersebut sebagaimana yang dimanifestasikan didalam do’a tersebut.

b. Didalam ayat diatas Allah swt memisahkan ayat tersebut kepada dua, iaitu keinginan wanita tersebut dan keinginan Yusuf (Tafsir al-Tabari : Taqrib wa Tahzib, Dr Solah Abd Fatah al-Khalidi, 4/441). Jika benar kedua-dua mereka mempunyai keinginan yang sama, maka seharusnya perkataan hammat itu ditukar kepada hammaa dengan alif dihujungnya yang bermaksud “kedua-duanya inginkan” atau jama’(plural), wa hammoo yang bermaksud “mereka inginkan”. Disini diperlihatkan bahawa keinginan wanita tersebut adalah keinginan sahwat, dan keinginan Yusuf ialah keinginan untuk mempertahankan diri.

c. Abu Ubaid berkata : Disini wujud susunan perkataan yang diawalkan dan diakhirkan maksudnya, iaitu “Wanita itu inginkan Dia, dan Dia (Yusuf) telah melihat kebenaran, disebabkan itu dia tidak inginkan wanita tersebut” [Tafsir al-Qurthubi, 9/109].

Syiekh al-Shanqiti menyatakan bahwa Abu Hassan dan beberapa orang mengatakan apabila didasarkan kaedah Bahasa Arab, ayat tersebut membawa maksud Yusuf tidak langsung terlintas melakukan apa-apa, kerana beliau di halang melakukannya, disebabkan kebenaran TuhanNya [Adwa’ al-Bayan, 381].

d. Keinginan ini adalah keinginan melakukan Zina, ini merupakan satu dosa yang tidak wajar dikaitkan dengan Nabi yang maksum (Tafsir al- Munir, 6/577). Ini dapat dilihat didalam ayat seterusnya :

كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
“Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa”

Sebagai altenatif kepada terjemahan ayat 24 surah Yusuf ini, dicadangkan ayat tersebut boleh di terjemahkan seperti berikut :-

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan setelah melihat kenyataan Allah, tidak timbul kepada dia (Yusuf) keinginannya kepada perempuan itu. Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.”

Dr Wahbah al-Zuhaily menegaskan bahawa Nabi Yusuf as. tidak sekali-kali tercatit akan dosa lintasan atau keinganan tersebut. Ada dikalangan pentafsir al-Quran mengatakan bahawa “melihat kenyataan Allah” itu tidak berlaku semata-mata ketika Yusuf berhadapan dengan godaan Raa’il (wanita isteri al-Aziz Mesir). Disebabkan beliau telah dimaklumkan mengenai kenyataan Allah, maka tidak timbul sedikit pun keinginan terhadap Raa’il. Namun demikan, hanyalah Allah swt sahaja yang tahu pengertian sebenar ayat tersebut. WA.

Sekian, wassalam
26 Syawal 1430 / 15 Oktober 2009

Wednesday, September 23, 2009

Menghidupkan malam Eid dengan beribadat



Barangkali tidak terlambat untuk membicarakan persoalan menghidupkan malam dua Eid, dengan maksud memperbanyakkan ibadat pada malam tersebut. Isu mendirikan malam dua Eid (Eid al-Fitr dan Eid al-Adha) saban tahun diperdebatkan lebih-lebih lagi apabilanya tibanya bulan Syawwal dan juga bulan Zulhijjah bilamana umat Islam bersiap sedia menyambut perayaan Eid. Yang sahih, umat Islam dituntut agar bertakbir pada malam tersebut.

Disana terdapat 2 golongan yang saling berhujjah diantara satu sama lain. Golongan pertama mengatakan, adalah sunat menghidupkan malam Eid ini dengan melakukan takbir, tasbih dsb. Golongan ini juga menyebut bahawa adalah menjadi sunnah melakukan Solat Tasbih pada malam tersebut. Diantara hujah mereka adalah, dikatakan Nabi :saw bersabda :-

من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
"Barangsiapa yang menghidupkan malam Eid, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati"

Golongan kedua menjelaskan bahawa mengkhususkan malam Eid untuk melakukan Qiamullail adalah tidak sah, kerana hadith من أحيا diatas datang dari dua sanad, dimana sanad pertama itu adalah palsu (mawdo') dan sanad keduanya pula tersangat lemah (dhaef jiddan), sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Nashiruddin al-Albani rh didalam Silsilah al-Ahaadith al-Dhaefah wa al-Maudhu'ah (hadith bernombor 520 dan 521).

-----------
Status hadith


(1) Terdapat beberapa hadith yang membawa maksud yang sama seperti hadith diatas, diantaranya :-

من قام ليلتي العيدين محتسباً لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
"Barangsiapa yang mendirikan malam Eid dengan beribadat, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati" [Hadith Riwayat Ibn Majah]

Ibn Hajar mengatakan bahawa isnad hadith ini bermasalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Manaawi didalam Faidh al-Qadir. al-Albani mengatakan bahawa hadith ini palsu (Silsilah al-Ahadith al-Dhaefah 2/11).

(2) من أحيا ليلة الفطر وليلة الأضحى لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
"Barangsiapa yang mendirikan malam Eid al-Fitr dan Eid al-Adha dengan beribadat, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati" [Hadith Riwayat Thabrani]

Sanadnya adalah dari Umar bin Haron al-Balkhi, dan dia dikatakan pendusta hadith sebagaimana yang dikata oleh Yahya bin Ma'in, Ibn al-Jawzi, dan al-Albani mengatakan bahawa hadith ini palsu.

(3) من أحيا ليلتي العيد وليلة النصف من شعبان لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
"Barangsiapa yang mendirikan malam Eid dan Malam Nisfu Sya'ban dengan beribadat, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati"

Hadith ini dikatakan tidak sahih berasal dari Nabi :saw menurut al-Nasaa'i dan Daaraqutni kerana terdapatnya perawi yang bernama Marwan ibn Salim yang tertolak (matruk). Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa Marwan ini telah dituduh sebagai pendusta. al-Hafiz didalam Lisaan al-Miizaan mengatakan bahawa hadith ini mungkar mursal, begitulah juga pendapat al-Zahabi.

-----------
Penilaian Imam al-Nawawi

Imam Nawawi rh didalam al-Azkar (ms 155) mengatakan bahawa beliau suka mereka yang menghidupkan malam dua Hari Raya dengan melakukan zikir kepada Allah swt, bersolat dan melakukan ketaatan (ibadat) lain sebagaimana hadith yang dijelaskan diatas. Beliau mengatakan bahawa riwayat ini adalah dari al-Syafie dan ibn Majah, dan berpendapat bahawa hadith ini Dhaef.

Imam al-Nawawi rh membolehkan beramal dengan hadith dhaef didalam hal Fadaail, Targhib dan Tarhib asalkan hadith tersebut tidak palsu. Bagi bab membicarakan hukum Halal, Haram, Perniagaan, Nikah, Talak dan sebagainya memerlukan hadith sahih atau hasan sebagai dalil. [al-Azkar 6-7].

Walaupun Ibn Hajar, al-Zahabi, Yahya bin Ma'in, Ibn al-Jawzi dan sebagainya mengatakan hadith tersebut palsu, Imam Nawawi menganggap hadith tersebut dhaef, dan boleh beramal dengannya.

-----------
Pendapat Imam al-Syafie

Berikut dipapar pandangan Imam al-Syafie rh didalam Bab beribadat di malam dua Hari Raya :-

Dikhabarkan kepada kami oleh al-Rabi', kata beliau : dikhabarkan kepada kami oleh al-Syafie, beliau berkata : di khabarkan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhamad yang berkata : dikhabarkan kepada kami oleh Thawr bin Yazid, dari Khalid bin Ma'dan, dari Abu Darda' telah berkata : "Barangsiapa yang mendirikan malam Hari Raya untuk beribadat, tidak akan mati hatinya tatkala semua hati-hati mati".

Berkata al-Syafie rh : Telah sampai kepada kami sesungguhnya ada yang berkata : Do'a adalah mustajab pada lima malam, iaitu malam Jumaat, Malam Hari Raya Adha, Malam Hari Raya Eid al-Fitr, Awal Malam Rejab dan Malam Nisfu Sya'ban.

Dikhabarkan kepada kami oleh al-Rabi', kata beliau : Dikhabarkan kami oleh al-Syafie rh : di khabarkan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhamad yang berkata : "Saya telah melihat orang-orang tua yang terpilih di Madinah muncul di Masjid Nabi :saw pada malam Eid, mereka berdo'a dan berzikir kepada Allah swt. Sehingga berlalu sesaat dari malam itu".

Telah sampai kepada kami bahawa Ibn Umar ra menghidupkan malam berhimpun. Malam berhimpun ialah Malam Eid. Kerana paginya menyembelih binatang Korban.

Telah berkata al-Syafie rh : Saya menyukai setiap apa yang saya kisahkan pada malam-malam ini, dan bukanlah ia fardu. [al-Umm (ms 413) - Kitab Solat al-'Aidain]

-----
Menurut pandangan Imam al-Syafie rh bahawa pendapat mengenai mendirikan malam Eid dengan beribadat adalah khabar yang diberitakan dan bukannya hadith. Beliau mengisahkan mengenai amalan mereka yang terpilih dikalangan penduduk Madinah di Masjid Nabawi ketika malam Hari Raya. Beliau juga telah menjelaskan bahawa Ibn Umar ra menghimpun manusia di masjid pada malam tersebut. Jelas disini menunjukkan bahawa para-para salaf meneruskan peribadatan mereka sehingga ke malam Eid.

Perkara ini adalah permasalahan khilaf ulama' yang tidak perlu dipertikaikan. Imam Nawawi tahu akan status kedudukan hadith tersebut, walaubagaimana pun beliau masih menggalakkan orang Islam menghidupkan malam Eid dengan beribadat berasaskan fadhail amal. Namun demikian, tidak ada sebarang catitan yang menunjukkan mereka ini melakukan Solat Tasbih!

Bagi mereka yang menjadikan hadith diatas ini sebagai dalil menghidupkan malam Eid, hendaklah dia membaca hadith tersebut dengan amanah dan disiplin ilmu, iaitu menyatakan periwayatan, kedudukan dan status hadith tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi rh, atau sebagaimana Imam al-Syafie rh menjelaskannya didalam al-Umm. Janganlah mereka menggambarkan hadith tersebut seolah-olah hadith tersebut sahih.

Bagi golongan yang menganggap hadith tersebut palsu, elaklah dari membid'ahkan golongan lain, kerana amalan menghidupkan malam Eid adalah amalan para salaf sebagaimana yang dikhabarkan oleh Imam al-Syafie rh. WA.

Sekian, wassalam
4 Syawwal 1430H

Sunday, September 20, 2009

Solat Eid Fardu 'Ain?


[Suasana Solat Eid di Riyad]

Pada waktu ini, sudah tentu ramai yang bersengkang mata menghidupkan malam Eid al-Fitr. Disana ada dikalangan kumpulan yang menghidupkan tradisi orang Melayu melakukan takbir dari rumah ke rumah. Ada juga dikalangan mereka yang sedang mengacau rendang, membakar lemang, merebus ketupat dan sebagainya. Saban tahun, Eid al-Fitr mewarnai kehidupan orang Islam Nusantara dengan tradisi yang pelbagai dimalam hari Raya.

Ada juga yang melakukan permusafiran di Malam Eid ini di waktu jalanraya sudah mula kurang kenderaannya. Suasana di pasar seni sudah menjadi riuh rendah dengan saingan harga dikalangan penjual kuih dan kerepek. Disana masih ada lagi reski berbaki buat penjual-penjual ini. Bagi yang cenderung kepada keagamaan, mula menghidupkan malam Eid dengan melakukan solat tasbih dengan berpegang kepada hadith yang rata-rata ulama' hadith mendhaifkannya. Amalan yang paling afdhal dimasa ini adalah bertakbir, bertasbih dan bertahmid.

Kesemua mereka ini menghidupkan malam Eid ini dengan pelbagai cara, yang mengambarkan kecenderungan masing-masing. Bila tiba pagi Raya, maka terdapatlah diantara mereka yang sudah keletihan. Ada yang sempat solat Fajar (Subuh) dan ada juga yang terlajak. Maklumlah berjaga malamlah gamaknya. Bila tiba Solat Eid, maka diantara mereka berkata :"Solat Hari Raya ini kan hukumnya sunat", Buat dapat pahala, tak buat tak dapat apa-apa.

Benar, salah satu pendapat yang mengatakan solat Hari Raya ini sunat, kerana solat yang wajib hanyalah lima waktu. Pendapat kedua mengatakan bahawa solat Eid ini ada Fardu Kifayah. Bak kata orang Melayu, kalau sudah ada orang buat kita tak payah. Namun demikian, pernah ke tidak terlintas didalam hati kita bahawa adalah dikalangan ulama' yang mengatakan Solat Eid ini hukumnya Fardu 'Ain! Meninggakannya adalah berdosa. Inilah pendapat yang dipegang oleh Syeikh al-Islam, Ibn Taimiyah rh.

Cuba kita bayangkan bahawa Nabi :saw menyeru kepada semua orang untuk menyertai Solat Eid, termasuklah kanak-kanak, anak-anak dara, tidak seperti solat-solat sunat lain. Setiap kaum Adam diwajibkan bersolat Eid kecuali yang uzur. Malah solat Eid ini digalakkan untuk dilaksanakan diatas padang agar semua dapat menyertainya. Ini menunjukkan betapa solat Eid ini dituntut didalam Islam. Jangan kita pandang ringan solat Eid ini. Kalau kita terlepas solat Jumaat, kita boleh menqada'kannya dengan Solat Zohor. Kalau terlepas solat Eid, tiada gantian baginya.

Sekian, wassalam
20 Sept 2009 (1 Syawwal 1430).

(sila lihat - Fatwa Ibn Utsaimin, Majmu' Fataawa, 16/217).

Friday, September 18, 2009

Server al-ahkam.net mengalami masalah hardisk



Assalamu'alaikum

Pihak al-Ahkam ingat memohon ma'af kepada semua pengunjung kerana laman web al-ahkam.net tidak dapat dicapai semenjak 14-September-2009 sehingga ke hari ini akibat dari kerosakan yang terjadi kepada hardisk al-ahkam.

Disebabkan minggu ini merupakan cuti Eid al-Fitr, kerja-kerja memperbaiki server akan hanya dimulakan sebaik sahaja berakhirnya cuti Hari Raya. Pihak al-ahkam.net sedang berusaha membawa keluar server tersebut dari Pusat Data TMNET petang ini untuk kerja baik pulih.

In Sya Allah pihak kami akan memaklumkan kepada anda semua sebaik sahaja server tersebut selesai diperbaiki. Do'akan agar Allah swt memberi kemudahan kepada pihak kami agar server tersebut dapat dipulihkan dengan kadar segera.

Sempena Eid al-Fitr, bagi phak krew al-ahkam.net dan semua moderatornya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin- Taqabbala Allaah minna wa minkum ( تقبل الله منا ومنكم ).

Sekian, wassalam
kamin, bagi pihak al-ahkam.net

Monday, August 31, 2009

Kisah pembesaran tempat Sa'i (Mas'a)


[Mas'a atau tempat Sa'i baru]

Tidak lama lagi, bermulalah kembali musim Haji. Bagi mereka yang pernah menziarahi Masjid al-Haram, akan melihat perubahan yang berbeza khususnya di tempat melakukan Sa'i atau Mas'a. Mas'a ini telah dilebarkan dari asalnya 20 meter menjadi 40 meter. Projek pembesaran Masjid al-Haram ini telah dimulakan semenjak tahun 2007 berasaskan Maqasid al-Syariah, iaitu mencegah berlakunya kecelakaan akibat pertambahan jemaah. Sudah menjadi tanggung jawab kerajaan Arab Saudi menjaga keselamatan nyawa (hifz al-nafs) sebagaimana firman Allah swt didalam surah al-Baqarah, ayat 195; "dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah perbuatan kamu ...".

Namun demikian, pembesaran Mas'a ini menimbulkan pelbagai persoalan dari kalangan jemaah Haji atau Umrah. Misalnya seorang jemaah Haji yang berasal dari Surabaya, Haji Sadeli (60 tahun) mengatakan bahawa beliau memilih lorong yang asal yang terletak disebelah barat, katanya "Saya lebih sreg di jalur lama". Beliau berpendapat bahawa lorong Sa'i ini tidak boleh dipindah-pindah sehingga ia berbeza dengan tempat Sa'i pada zaman Nabi :saw. Kata beliau lagi :"Saya lebih nyaman bila mengikut jalur Nabi :saw".

Tidak kurang juga laman web yang melabelkan Kerajaan Arab Saudi sebagai Zionis yang cuba menukar tempat Sa'i Nabi :saw. Bagi mereka, Kerajaan Arab Saudi sudah melakukan satu pengkianatan terhadap agama Islam. Persoalannya, apakah benar Mas'a ini tidak pernah di ubah atau Mas'a ini tidak boleh diubah langsung?

Sebelum melakukan tugas pelebaran lebar Mas'a, Menteri Pengurusan Bandar dan Desa, Mut'ab bin Abdul Aziz dan Ketua Dewan Pembangunan Kota Mekah, Madinah dan al-Masyair al-Muqaddasah, Raja Abdullah bin Abdul Aziz telah meminta Majlis Hai'ah Kibar al-Ulama' (Majlis Ulama' Senior) untuk bersidang membincangkan permasalahan ini dari sudut fiqh. Disana terdapat dikalangan ulama' yang menolak dan menyokong perlebaran tersebut.

Sebahagian anggota Hai'ah yang menyokong perluasan ini mengatakan bahawa perluasan ini tidak terkeluar dari batas Safa dan Marwah. Dikalangan mereka adalah Syeikh Abdullah al-Mani', Syeikh Abdullah bin Jibrin rh, Syeikh Abdullah al-Muthlaq dan Syeikh Abdul Wahhab Abu Sulaiman. Setelah itu, Raja Abdullah memanggil 10 orang saksi yang pernah menyaksikan kawasan Safa dan Marwah sebelum diubah oleh Raja Saud bin Abdul Aziz dahulu. Setelah menimbang pandangan ulama' , keterangan saksi dan beberapa faktor lain, Raja Abdullah membuat keputusan bahawa perluasan ini harus dilakukan.

Berikut merupakan beberapa dalil penting yang mendorong keputusan perlebaran Mas'a:-

a. Maqasid al-Syariah, melindungi jemaah dari menerima kecelakaan semasa melakukan ibadat Sa'i.

b. Tidak ada nas khusus didalam al-Quran dan hadith yang menjelaskan berapa lebarnya Mas'a. Yang ada ialah jarak antara Safa dan Marwah. Syeikh al-Mani' telah memetik kata-kata Imam al-Ramli didalam Syarh al-Minhaj, kata beliau "saya tidak nampak pada perkataan mereka (ulama') tentang ukuran lebar Mas'a. Diamnya mereka menunjukkan penetapan ukuran ini tidak diperlukan. Kerana apa yang wajib adalah melalui kawasan bukit Safa dan Marwah untuk satu pusingan. Jika melencung sedikit lorong Sa'inya, tidak mengapa sebagai yang dijelaskan oleh Imam Syafie".

c. Agama Islam merupakan agama yang luas, tidak sepit; sebagaimana firman Allah swt didalam surah al-Hajj ayat 78 : "Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama". Disana ada ruhsah keringan didalam ibadat.

d.Pada tahun 17H, Umar ra. pernah meluaskan kawasan Tawaf disebabkan peningkatan jemaah Haji, akan tetapi tidak adapun dikalangan mereka yang membantah perluasan itu. Maka ulama menggunakan kaedah fiqh : Sesuatu yang mendekati yang lain, dipersamakan hukumnya, maka dijadikan dalil bagi membolehkan perluasan tempat Sa'i.

e. Hasil dari 30 orang saksi, mereka mengatakan bahawa kawasan Sa'i dahulu lebih luas dari kawasan sekarang.

f. Kawasan Sa'i terletak diantara dua bukit iaitu Safa dan Marwah. Lebarnya kaki bukit ini sudah tentu menunjukkan ia tidak terhad kepada 20 meter sahaja.

Perluasan Mas'a atau tempat Sa'i ini mendapat sokongan lebih dari 200 ulama' antarabangsa sebagaimana yang dilaporkan oleh suratkhabar al-Hayat (2/4/2008). Dikalangan mereka adalah Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi (Pengerusi Ulama Antarabangsa), Syeikh Muhammad Syed Tantawi (Syiekh al-Azhar), bekas Mufti Mesir, Syiekh Dr Nashr Farid Washil dan lain-lain. Dikalangan mufti-mufti yang menyatakan sokongan adalah Mufti Bosnia Herzegovina, Mufti Palestin, Mufti Kosovo, Mufti Albania, Mufti Lubnan, Mufti Uganda, Mufti Poland dan Mufti Tripoli.

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Raja Abdullah adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam untuk melakukan Haji dan Umrah dengan memetik hadith Nabi "Ifal wala haraj"; lakukan, tidak ada kesalahan bagimu". Syiekh al-Qaradhawi juga menjelaskan bahawa Syariah menjelaskan definasi permulaan Safa dan pengakhiran Marwah, dan ia tidak menjelaskan lebarnya tempat Sa'i tersebut.

Manakala Syiekh Dr Nashr Farid Washil mengatakan bahawa perluasan tersebut merupakan satu kefarduan bagi pihak pemerintah, dan ia merupakan sebahagian dari usaha menegakkan perintah Allah. Syiekh Tantawi pula menjelaskan "pembesaran Mas'a adalah hak dan betul, keseluruhan umat Islam hendaklah menyokong kerja tersebut". Mufti Mesir, Syiekh Dr Ali Jum'ah berpendapat bahawa ulama' ummah kesemuanya menyokong kerja-kerja perluasan Mas'a, dan beliau terkejut apabila ada pendapat yang menolak!

Perlebaran Mas'a tidak mengubah amalan Sa'i yang dilakukan diantara Bukit Safa dan Marwah dan ia dilakukan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syara'. Jemaah Haji dan Umrah tidak perlu risau dengan isu kesahihan perlebaran tersebut, kerana ia disokong oleh ramai ulama antarabangsa dan bukan sahaja ulama' Arab Saudi. Kerajaan Indonesia sendiri telah menghantar ulama' mereka pada 23hb September 2008 untuk berbincang dengan anggota Hai'ah Kibar al-Ulama' Arab Saudi dan melihat sendiri perluasan tersebut, telah mengeluarkan satu kertas kerja berjumlah 88 mukasurat menyokong usaha tersebut.

Rujukan :

1. القرضاوي يجيز توسعة الصفا والمروة http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1203758648747&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout

2. Kajian Dasar Shar'i : Perluasan Mas'a, Jamarat, dan Mabit diluar Mina. Departemen Agama Republik Indonesia , 2008.

3. صحف سعودية: علماء الخارج يؤيدون توسعة المسعى http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1209049687480

Wednesday, August 19, 2009

Mina Jadid atau Minda Tajdid?


[Khemah di Mina]


Selepas solat subuh dua tahun yang lepas saya telah dikejutkan panggilan talipon daripada seorang jemaah Haji Indonesia. “Assalamu’alaikum. Saya Dharmawan yang sedang menunaikan ibadat Haji.” Saya pun menjawab :”wa’alaikumussalam. Tahniah Pak. Ada apa hajat menalipon saya?”. Jawab beliau : “begini Pak, saya mendapat nomor Bapak dari salah seorang jemaah Malaysia. Soalan saya ialah : kami telah melintasi Nihayah Mina (tanda berakhirnya Mina), dan kami disuruh tinggal disini pada hari-hari Tasyrik. Tempat ini dinamakan Mina Jadid (Mina baru). Apakah sah mabit kami Pak?”

Rupa-rupanya kecoh juga isu Mina Jadid ini. Tempat ini dikatakan 10km dari tempat melontar (marma jamarat). Disebabkan keadaan terlalu sesak dikawasan Mina, beberapa kumpulan jemaah Haji Indonesia dan Turki ditempatkan dikawasan penempatan baru ini. Terjadi beberapa peristiwa yang tidak diingini berlaku diantara jemaah Haji dan penyelia Maktab. Diantara isu-isunya adalah pengangkutan yang agak sukar, tempat yang sempit, dan yang paling penting ialah apakah sah mabit mereka dikawasan baru ini?

Pada tahun tersebut (2007), dari 77 Maktab yang menempatkan jemaah Indonesia, 24 daripadanya tinggal di Mina Jadid. Apa yang pihak penganjur lakukan adalah bas akan berhenti di Muzdalifah untuk membolehkan jemaah mengutip batu kerikil, kemudian akan berjalan kaki menuju ke Mina Jadid yang jaraknya hanya 200 meter.

Pada pertengahan 2008, terlalu banyak pihak-pihak yang mendesak MUI (Majlis Ulama’ Indonesia)mengeluar fatwa mengenai isu mabit di Mina Jadid. Malahan banyak sekali fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh badan-badan tertentu yang mengatakan tidak sah mabit di Mina Jadid. Misalnya :

-----------------

Mabit Di Mina Jadid Ditulis oleh arwaniyyah

Tanya : Mengingat jumlah jama’ah haji yang melakukan mabit di Mina dari tahun ke tahun terus bertambah banyak, maka wilayah untuk mabit di Mina akan mengembang sesuai dengan kebutuhan jama’ah, sampai keluar dari batas Mina Qodim (ketetapan luas batas wilayah yang semula ). Pertanyaan :

A Apakah ada dalil / dasar yang pasti baik dari Al Qur’an ataupun hadits yang mengatur tentang perluasan tempat mabit di Mina tersebut ?

B. Bagaimana hukumnya ( apakah dianggap melanggar wajib haji ataukah dibenarkan ) bagi jama’ah haji yang tempat mabitnya di Mina Jadid ?

Jawab : A. Belum pernah menemukan dalil Al Qur’an atau Hadits yang mengatur tentang perluasan tempat mabit di Mina.

B. Bagi Jama’ah haji yang mabit di Mina Jadid belum cukup dikatakan Mabit, jadi wajib mabit di Mina Qodim.

Sumber :
http://www.arwaniyyah.com/page/index.php?option=com_content&task=view&id=62&Itemid=67

-----------------------

Akhirnya pada bulan Oktober 2008, Badan Litbang dan Diklat, Departemen Agama Republik Indonesia telah mengeluarkan dokumen setebal 80 mukasurat menjawab persoalan ini, iaitu sebab-sebab mengapa mereka menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi. Tajuk dokumen tersebut adalah "Kajian Dasar Shar'i : Perluasan Mas'a, Jamarat, dan Mabit diluar Mina" dibuat setelah selesai melawat sendiri tempat tersebut dan berbincangan dengan Jemaah Ulama Senior Arab Saudi.

Malahan, ada dikalangan laman-laman web berbahasa Malaysia juga mengutuk Mina jadid ini sebagai agenda Kerajaan Arab Saudi yang dikatakan bermazhab wahabi yang melakukan bid’ah besar, iaitu mengubah dan meluaskan sempadan Mina! Kesempatan yang ada ini mereka mengutuk tanpa asal periksa apa yang namakan sebagai projek tausi'at al-Mina atau perluasa Mina. Tidakkah mereka terfikir untuk membaca dahulu fatwa-fatwa ulama' mengenai penempatan baru ini?

Apakah benar Mina boleh diluaskan? Tidak benar kenyataan ini. Istilah 'Mina Jadid' ini tidak pernah wujud. Hakikat yang berlaku sebenarnya adalah kawasan penempatan di Mina sudah penuh dan luasnya agak terbatas, dan mereka ditempatkan disatu kawasan diluar Mina, tetapi mempunyai kesinambungannya yang berterusan. Seolah-olah wujudnya saf solat Jumaat diberlebihan diluar kawasan masjid.

Ia memang satu penempatan yang berada di luar Mina dikawasan yang dinamakan Wadi al-Muhassir. Sudah tentu tempat ini diingati oleh umat Islam sebagai tempat di mana tentera Abrahah di serang burung Ababil yang membawa batu dari api neraka, sebagaimana yang di abadikan didalam surah al-Fiil. "Mina Jadid" hanyalah satu momokkan sahaja. Kawasan Mina sudah jelas ditentukan oleh Nabi :saw. Persoalan hukum jatuh kepada topik :Apakah sah bermabit di luar kawasan Mina? dan bukannya "Bolehkah kita membesarkan kawasan Mina?".

Persoalan ini telah lama dijawab oleh ulama'-ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perkara ini bukan bid'ah. Ia merupakan Khilaf pandangan ulama'. Menurut mudir di Pusat Pengajian Haji, Universiti Ummu al-Qura, Muhammad Abdullah Idris, penempatan kedua negara tersebut yang berada diluar Mina adalah kerana mereka diangkut dari Arafah dengan menggunakan sistem Taraddudi (perkhidmatan shuttle secara giliran ke Muzdalifah) ke suatu tempat dinamakan Wadi/Lembah al-Muhassir.

Ada dikalangan ulama yang mengatakan sah mabit dkawasan tersebut dengan syarat perkhemahan tersebut bersambung (ittishal) dengan perkhemahan yang berada di Mina. Sebagaimana yang disebut diatas, ia diqiaskan dengan sahnya solat Jumaat diluar masjid akibat kesesakan, sebagaimana dinyatakan didalam kitab Minah al-Jalil Syarh Mukhtashor al-Khalil (2/454).

Diantara ruhsah atau keringan yang disokong oleh jumhur ulama' adalah, terdapat dikalangan sahabat berpendapat bahawa wajib mabit di Mina pada malam-malam tasyrik hanya bagi mereka yang mampu melakukannya dan mendapat tempat yang sesuai. Namun beberapa dalil membuktikan bahawa jika mereka tidak mendapat tempat disana, maka gugurlah kewajipan bermalam di Mina, dan mereka boleh bermalam dimana sahaja, baik di Mekah, Muzdalifah, Wadi al-Muhassir, Aziziyah dsb, sebagaimana dalil :-

"Dari Ibn Umar ra. bahawa berkata bahawa :al-Abbas meminta izin dari Rasulullah :saw untuk bermalam di Makkah pada malam-malam mabit di Mina untuk menguruskan air minuman, lalu baginda membenarkan" [Riwayat al-Bukhari].

Ulama' Mazhab telah sepakat mengatakan mabit di Mina pada malam kelapan (8) adalah adalah sunat, akan tetapi mereka khilaf mengenai mabit di Mina pada hari-hari Tasyrik. Berikut adalah ringkasan pandangan 3 mazhab tersebut :-

- Menurut Mazhab Hanafi bahwa mabit di Mina hukumnya sunnat. Jika seorang jemaah haji meninggalkannya, maka dia telah melakukan perkara yang tidak baik, akan tetapi tidak wajib dam keatasnya.

- Menurut Mazhab Maliki bahwa jika seorang jemaah Haji meninggalkan mabit di Mina satu malam, atau seluruh malam-malam tasyrik, maka wajib keatasnya membayar dam.

- Menurut Mazhab Syafie, jika seorang jemaah Haji meninggalkan mabit di Mina tiga malam, wajib atasnya membayar dam. Jika kurang dari tiga malam, maka setiap malam yang ditinggalkannya dikenakan denda yaitu bayar satu mud makanan. Dalam riwayat lain bayar denda satu dirham atau setengah dirham.

Menurut Ulama' dan Jawatan Kuasa Ulama' Senior Arab Saudi, mabit di Wadi al-Muhasir tidak perlu membayar dam dengan alasan Mina tidak lagi boleh menampung bilangan jemaah Haji yang sebegitu ramai. Ruhsah ini samalah seperti keringan yang diberikan kepada al-Abbas yang menguruskan bekalan air dan juga pengembali unta.

Disebabkan kesesakan dikawasan Mina, mungkin suatu hari nanti, jemaah Haji dari Malaysia mungkin akan ditempatkan diluar Mina juga. Apa yang jelas dari pengalaman ini adalah, isu sebenarnya adalah persoalan sah atau tidak Haji seseorang jika tidak dapat bermabit di Mina disebabkan kesesakan, dan bukannya membesarkan cerita bahawa Kerajaan Arab Saudi sudah meluaskan daerah Mina dan dinamakannya "Mina Jadid", yang jelas tersasar dari persoalannya. Sebelum membuat sesuatu keputusan, pastikan kita benar-benar faham akan isu-isu yang sebenarnya. Tajdidkan minda kita, bukannya Mina.......

Sekian, wassalam

Tuesday, August 04, 2009

Nisfu Sya’ban : suatu peringatan kepada pengampunan Allah swt




Sudah tentu pada saat ini sudah banyak artikel yang telah ditulis mengenai “kelebihan” dan “fadhilat” menghidupkan malam pertengahan Sya’ban atau dikenali dengan Malam Nisfu Sya’ban. Tidak kurang juga artikel-artikel yang menjelaskan tentang kedudukan hadith-hadith Nisfu Sya’ban yang kebanyakkan diklasifikasikan sebagai palsu dan lemah. Yang jelas, tidak terdapat sebarang hadith sahih yang menjelaskan mengenai fadhilat malam tersebut.

Berkata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi “Mengenai malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadith-hadith yang sampai ke darjat sahih, di sana terdapat hadith-hadith yang dikatakan Hasan menurut sebahagian ulama’, dan terdapat sebahagian ulama’ pula yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadith sahih mengenai malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita mengatakan hadith tersebut hasan, maka kesemua yang datang dari Nabi :saw adalah berdo’a pada malam tersebut, dan beristighfar kepada Allah swt. Mengenai sighah atau bacaan do’a khusus (yang dibaca pada malam tersebut) tidaklah ia bersumber dari Nabi :saw. Do’a yang dibaca oleh sebahagian orang di beberapa Negara, dicetak dan diedarkan, Do’a tersebut tidak ada sumbernya (dari hadith sahih) dan ia adalah salah….” [Fataawa Mu'asyirah, 1/379, cetakan: Dar al-Qalam, 2001]

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut lagi : “aku teringat semasa kecil dahulu didalam tradisi masyarakat mereka, dimana mereka akan melakukan solat 2 rakaat bagi tujuan panjang umur, dua rakaat lagi dengan niat menjadi kaya dikalangan manusia, dan seterusnya membaca surah YASIN dan disempurnakan dengan solat 2 rakaat…begitulah seterusnya.” [Fataawa Mu'asyirah, 1/380, cetakan: Dar al-Qalam, 2001]

Apa yang boleh kita simpulkan dari perkataan Dr Yusuf al-Qaradhawi adalah :-

a. Tidak terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang fadhilat Nisfu Sya’ban.

b. Ada sebahagian ulama’ yang mengatakan bahawa wujudnya hadith-hadith yang sampai ke taraf hasan, dimana skopnya adalah mengalakkan BERDO’A dan MEMOHON AMPUN dari Allah swt.

c. Tidak terdapat bacaan do’a KHAS sempena malam Nisfu Sya’ban, malahan beliau mengatakan do’a tersebut menyalahi uslub (style) berdo’a.

d. Tidak terdapat solat khas sempena malam tesebut, dan solat al-Raghaaib ini juga telah disanggah oleh Imam Nawawi rh. Ibn Taimiyah rh mengatakan solat 100 rakaat pada malam tersebut adalah bid’ah.

e. Bacaan surah YASIN yang diamalkan pada malam tersebut bagi tujuan panjang umur, dsb, tidak tsabit langsung dari Nabi :saw. [Dr Ahmad Syurbasi, Yasalunak, 4/329]

Bekas Pengerusi Lajnah al-Fatawa al-Azhar, Syeikh Atiyah Saqr rh mengatakan bahawa dikalangan ulama’ yang mengatakan hadith tersebut dhaif (lemah), ada diantara mereka yang mengatakan bahawa beramal pada malam tersebut dibenarkan didalam konteks mendekat diri hamba kepada Allah swt. Kata beliau, berdasarkan hadith-hadith ini, mungkin boleh dikatakan pada malam Nisfu Sya’ban wujudnya fadhilat khas. Malahan, tidak ada nas yang melarang perbuatan tersebut, lebih-lebih lagi apabila dilihat keistimewaan bulan Sya’ban secara keseluruhannya.

Tidak dapat nafikan, walaupun hadith-hadith ini tidak sampai ke darjat Sahih, para-para salaf menjadikan malam tersebut (Nisfu Sya’ban) sebagai malam berdo’a dan memohon keampunan dari Allah swt. Berkata Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah rh :-

وأما ليلة النصف، فقد روي في فضلها أحاديث وآثار ونقل عن طائفة من السلف أنهم كانوا يصلون فيها، فصلاة الرجل فيها وحده قد تقدمه فيه سلف وله فيه حجة فلا ينكر مثل هذا‏.‏
“Tentang Nisfu Sya’ban, terdapat, telah diriwayatkan fadhilatnya didalam hadith-hadith dan athar, dan dinukilkan dari golongan Salaf sesungguhnya mereka melakukan solat didalamnya. Seseorang yang bersolat secara bersendirian pada malam tersebut sebenarnya perkara tersebut telah dilakukan orang para Salaf. Dan padanya terdapat hujjah dan tidak boleh mengingkari contoh ini” [Majmu’ Fataawa, 23/132].

Apa yang dapat kita lihat mengenai polemik persoalan hukum menghidupkan Nisfu Sya’ban, amalan-amalan pribadi para salaf ini juga memperlihatkan semacam ada sesuatu peringatan yang ingin disampaikan, iaitu bulan mulia Ramadhan sudah hamper tiba, sudahkah kita memohon pengampunan dari Allah swt?? Kita sering diperingkatkan :“Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik mereka yang bersalah adalah mereka yang bertaubat (كل بني آدم خطاء وخير الخطائين التوابون).

Firman Allah swt :

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [Surah al-Nur : 31].

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai” [Surah al-Tahrim : 8]

Haikikatnya pintu taubat masih terbuka luas, tiada orang lain yang boleh berdiri diantara kita dan penyesalan/taubat. Marilah kita sama-sama memohon keampun dari Allah swt. Nabi :saw bersabda :

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
"Allah akan menerima taubat hambnya selagi nyawa belum sampai ke urat leher" - (Riwayat Al-Tirmudzi,al-Da'waat #3460).

Allah gembira melihat hambanya bertaubat. Menurut sebuah hadith riwayat Imam Muslim, didalam Sahihnya (Bab Taubat), dari Anas bin Malik, Nabi saw bersabda :

لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
"Allah gembira terhadap taubat hambanya lebih dari orang lain yang gembira jika semasa ia bermusafir dan unta yang membawa makanan dan minuman lari, dan dia putus harapan untuk mencarinya, kemudian dia menjumpai pokok tidor dibawah bayang-bayangnya, memikirkan bahawa dia tidak akan dapat untanya lagi, kemudian semasa dia berkeadaan begitu, dia telah melihat untanya berdiri disebelahnya, maka ia menahannya dan berkata 'Ya Allah, kamu adalah hambaku dan akulah Tuhan kamu', melakukan kesalahan kerana terlalu gembira".[Bab al-Taubah : 4932]

Sekian, wassalam
13 Sya’ban 1430H.