Kawan-kawan kakcik

Selasa, 30 April 2019

Pangsapuri untuk disewakan...

 Ini adalah 'catatan melekat'.  Sila tengok di bawah untuk catatan baharu...

...terletak di Desaminium Rimba, Seri Kembangan, Selangor.  Berdekatan dengan Equin Park, Pasar Borong Selangor dan lain-lain kemudahan seperti pusat beli belah Aeon dan Giant.  

Unit untuk disewakan ini berkeluasan 1,200 kaki persegi.  Mempunyai 5 bilik tidur dan  3 bilik air.  Telah dilengkapkan dengan rak televisyen,  kabinet dapur dan kabinet pakaian di salah sebuah bilik.  Ada 3 unit pendingin hawa.

Terletak di tingkat 4 dan mempunyai kemudahan lif.  Hendak disewakan kerana pemilik menetap di rumah lain.  Sesuai untuk keluarga atau pelajar yang mementingkan kebersihan 😏

Kadar sewa RM1,400.00 sebulan (boleh dirunding).  Sekiranya berminat boleh hubungi En Bob di talian 019-2860281.


Ruang tamu (pandangan dari dalam)

Kabinet dapur

Ruang tamu (pandangan dari pintu masuk)

Kabinet pakaian di salah sebuah bilik
 
Satu tempat letak kereta ada disediakan

 
Laluan keluar masuk berpengawal



Boleh juga buat temujanji untuk 'melihat dahulu' unit berkenaan.  Sila whatsapp 019-2860281 (En. Bob)

Sabtu, 27 April 2019

Azhan Rani - bakat lakonannya kini diperkatakan di sana sini...

Aku pernah menulis tentang pelakon ini pada 7 Oktober 2014 di SINI.  Di akhir tulisan itu, aku ada menyatakan harapan berikut :
... dan gara-gara drama NUR dan NUR 2,  nama Azhan Rani yang membawa watak Ustaz Syed Hamadi  menjadi sebutan.  Dia dikecam dan dibenci menunjukkan lakonannya memang menjadi.

Aku sendiri hanya menonton drama Nur untuk beberapa episod sahaja.  Untuk Nur 2, aku langsung tidak menonton (aku rakam episod terakhir tetapi akhirnya aku tidak menontonnya juga).  Aku memang suka dengan lakonan Azhan.  Banyak drama lakonannya aku ikuti.  Tetapi aku tidak menonton drama Nur / Nur 2, kerana aku tidak mahu jantungku 'bekerja keras'.  Membaca ulasan di sana sini sahaja sudah membuatkan aku semput, apatah lagi jika aku menontonnya 😅😅.

Diakui bahawa Azhan Rani tidak datang dalam pakej TAMPAN dan SEGAK BERGAYA.  Namun lakonannya jauh lebih baik dari mereka yang mengharapkan wajah kacak semata-mata.  Benar, bakat boleh digilap.  Tapi selama mana?  Sekadar menjadi watak utama dalam drama-drama berbaur cinta dan menjadi anak orang kaya (pergi ke pejabat tapi atas meja hanya ada komputer riba dan kertas sehelai dua), apa sebenarnya pengisian yang cuba dibawa?  Akhirnya untuk melakukan drama, diciptalah cerita-cerita cinta di luar layar...huh!

Azhan Rani - lelaki berusia 43 tahun berasal dari Tanjung Karang, Selangor (kusangkakan  berasal dari Kuala Kangsar - daerah kelahiranku...hahaha), tidak memerlukan cerita-cerita luar layar untuk mengangkatnya menjadi popular.  Watak lakonannya sudah cukup hebat hingga melayakkan beliau diangkat sebagai Pelakon Antagonis Pilihan DFKL

Syabas Azhan Rani.

Jumaat, 26 April 2019

Ramadan sudah tidak jauh...

...entah sempat atau tidak untuk sampai kepadanya, hanya Allah juga Yang Maha Mengetahui.



 Assalamualaikum dan Salam Jumaat.

Selasa, 23 April 2019

Bukan selalu aku rajin...

... tapi sesekali bila aku rajin, belum jam 11.00 pagi aku dah siap memasak.  Dan sedihnya (bukan sadis ya, SADIS tu maknanya KEJAM), kadangkala sampai malam tiada siapa yang sudi makan... huhuhu...

Ini gambar masakan yang aku masak dua hari lepas :

Masak lemak udang dengan kacang panjang.  Udang tu sengaja aku buang semua kulitnya sebab nanti jadi masalah pula pada yang memakannya. Kalau aku sendiri yang makan, memang tiada masalah sama ada berkulit atau tidak.

Telur dadar.  Hanya telur yang kuaduk dengan bawang besar hiris bersama garam.  Letak macam-macam nanti rakyat jelata tak suka.

Sardin.  En Suami suka sardin yang dimasak begini.  Dia tak suka sardin yang dimasak macam sambal tumis.  Yang ini, cuma hiris cili merah dan bawang besar serta tomato.  Tumis sekejap.  Masukkan sardin.  Tambah jus asam jawa serta garam.

Keropok goreng.  Ada yang tak 'pandai' goreng keropok sekaligus banyak macam ni ya?  Takut hangus katanya.  Caranya, panaskan minyak sehingga betul-betul panas.  Kemudian masukkan beberapa keping keropok.  Sekejap saja ia akan kembang.  Terus angkat gunakan penyepit atau penapis.  Siap...

Isnin, 22 April 2019

Ibu...walaupun kadangkala hatinya ingin membeku...

...namun tetap juga cair demi anak yang dikandung dan dilahirkan.  Buatlah bagaimanapun, dimalukanlah seantero alam, tetap juga segala duka dipendam dalam diam...

(catatan ini terlahir selepas menyaksikan satu peristiwa antara anak dan ibu - anak yang tidak berdaya masih tega menengking ibu yang menguruskannya)

Mungkin kerana sianak merasakan dia lebih pandai, lebih 'terkini', lebih tahu dan lebih segala-galanya, maka dia lupa bahawa dia lahir dengan disaluti kekotoran dan langsung tidak berdaya dari rahim seorang ibu yang kini dipandang 'hodoh dan bodoh'.

Anak, hari ini kau rasa kau lebih segala-galanya dari ibumu (walaupun sebenarnya kau dalam keadaan tidak berdaya).  Apa mungkin kau menyangka ibumu yang diam itu hatinya tidak terluka?  Apa kau rasa sangat bangga kerana ibumu tidak menjawab walau sepatah kata?  Malu dia hanya Allah Yang Maha Tahu.  

Dalam diam, dia mungkin menyesali dirinya sendiri.  Dia marahkan dirinya kerana 'tidak pandai mendidikmu' sehingga seharusnya kau jadi anak yang berbudi bahasa.  Ingatlah anak, redha Allah terhadapmu bermula dari redha ibubapamu.   Namun ibu tetap ibu, senyumnya menyembunyikan kedukaan hatinya.  Biar berubah riak airmukanya, namun dia cuba untuk ketawa.  

Anak, hari ini kau bangga membuatkan ibumu hilang harga diri.  Esok lusa nasibmu adakah kamu dapat menjangka bagaimana?  Benar, ada anak yang berjaya dan kaya raya walaupun menderhaka.  Tapi bahagiakan hatinya?  Boleh sahaja kamu mengaku bahawa kamu bahagia, tapi rasa 'tidak kena' akan mengekorimu ke mana-mana...

Sewaktu ibumu masih ada, hargailah dia.  Jangan nanti bila sudah tiada baru kau berpura-pura bahawa kehilangannya amat kau rasai dan sangat kau tangisi.  Sedangkan sebenarnya, jauh di sudut hati kau rasa kehilangan 'seseorang yang sudah tidak boleh kau buat hamba abdi!'

Wajah seorang ibu bernama aku.  Bersolek atau tidak, mata itu tetap 'memberikan cerita yang sama'...
  

Isnin, 15 April 2019

Anak bongsuku kemalangan...

Selepas habis menduduki peperiksaan SPM tahun lepas, anak bongsuku ini bekerja dengan 'food truck' di Bukit Ampang View Point.  Waktu kerjanya lebihkurang dari jam 9.00 malam hingga 4.30 pagi.  Selalunya dia akan sampai di rumah antara 5.00 hingga 6.00 pagi.  Kadangkala dia singgah makan di mana-mana atau singgah sekejap di cyber cafe.  Dia akan bagitahu di mana dia berada bila ditanya.

Pada subuh 13/4/2019, dia tidak menjawab whatsapp yang aku hantar.  Hati ini sudah mula bimbang.  Selepas solat Subuh, aku semak whatsapp dan aku nampak ada jawapan (yang aku baca)  'adik boleh call jap tak'.  Aku terfikir kenapa pula dia tanya nak call?  Aku baca sekali lagi 'acik boleh call jap tak'.   Jantungku mula berdegup kencang.  Aku terus telefon dan ternyata yang menjawab adalah kawannya. 'Acik datang ke Hospital Ampang sekarang.  Di wad kecemasan.'

Allah Ya Allah... Pada waktu yang sama, suamiku baru balik dari solat Subuh di surau berdekatan.  Aku salin pakaian dan terus ke hospital bersama suami.  Beberapa orang kawan anakku berada di luar wad kecemasan.  Mereka dah uruskan pendaftaran dan sebagainya.  Mereka juga yang berjaya menahan kereta yang melanggar anakku dari 'lari'.  Syukur Alhamdulillah atas keprihatinan mereka.  Mereka bawa anakku ke hospital dengan kereta yang melanggarnya kerana lambat dapat menghungi ambulans dan polis.

Menurut kawan-kawan anakku dia terus kejang dan mulutnya berbuih sebaik dilanggar dan terjatuh ke atas jalan.


Waktu aku masuk melihatnya, anakku masih mamai dan baru lepas muntah.  Dia memang tak ingat apa-apa...

Selepas 12 jam dipantau di wad kecemasan, dia dimasukkan ke wad pembedahan untuk pemantauan seterusnya kerana dibimbangi berlaku sesuatu di dalam tubuhnya.  Hasil keputusan x-ray dan CT Scan, tidak menunjukkan ada sebarang keretakan atau patah tulang.  Alhamdulillah. 

Setahun yang lalu, aku menunggu abangnya di hospital yang sama kerana masalah selepas pembedahan.  Kali ini menjaga adik pula.  Ingat boleh lena?  Tambahan bila doktor yang datang menyatakan hasil ujian CT Scan yang baru didapati pada malam itu menunjukkan ada sedikit pendarahan di dalam kepalanya sebelah kanan.  AllahhuAkbar...

Lelaki Cina yang menunggu ayahnya di katil berdekatan menyarankan agar aku mengambil 'kerusi malas' di bilik yang disediakan agar aku boleh berehat (tidur) dengan lebih selesa.

5.45 pagi dia kemalangan, 5.45 petang baru masuk wad

Luka di bahagian bahu, pinggang dan pergelangan kaki (buku lali).  Gambar ini selepas aku salinkan pakaiannya tanpa mandi. Alhamdulillah dia boleh tidur lena.

Selepas lebih 24 jam dipuasakan dan dia sangat lapar, aku beri dia makan roti.  Habis sebuku roti itu.  Aku papah dia ke bilik air untuk kencing (sebelumnya dipasang saluran untuk kencing kerana dia tidak berupaya untuk bangun).

Sekarang anakku sudah berada di rumah.  Motorsikalnya mengalami kerosakan teruk.  Laporan polis juga sudah dibuat.  Semoga urusan selepas ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan semoga anakku segera pulih sepenuhnya.  Aamiin.

Rabu, 10 April 2019

Mencari BAJU RAYA untuk anak lelaki?...

Jom singgah ke laman sesawang Darwish Rich Design (klik pautan ini) dan tengok-tengok kalau ada yang berkenan dan bersesuaian.  DRD juga mempunyai koleksi terbaru hasil kerjasama dengan produksi animasi Omar dan Hana

Ya...makcik tahu, Ramadan pun belum tiba sudah sibuk nak raya, kan?  Bukan apa, kalau beli awal kan senang?  Ramadan nanti tak lagi perlu susah-susah fikir nak beli baju anak-anak.  Boleh tumpu kepada hal lain terutamanya amal ibadah.  Tak gitu? 😀

Antara koleksi DRD x Omar & Hana


Model dua beradik...hahaha

Hendak ke mana tu, cu?

Comelnya dia...

Pssssttttt...jom lah singgah di DRD...

Kacak tak kami?

Aktres Yana Shamsudin  dan suami pun pernah mendapatkan koleksi pakaian DRD buat putera mereka...
DRD juga pernah menjadi penaja pakaian pelakon kanak-kanak dalam beberapa drama tempatan (yang terbaru adalah dalam drama En Imam Ekspres)

Gambar dari Google Image :


Rabu, 3 April 2019

WW : gambar dengan sedikit cerita...

Setiap hari fikir hendak masak apa.  Tengok apa bahan yang tersedia, maka masaklah ikut suka...

Laksa - makan di kedai.  Hmmm...kurang rasa.  Laksa agak keras dan kuah kurang garam.  Tapi tetap dihabiskan.  Tak elok membazir, kan?

Tinggal seorang diri.  Fikir lagi hendak masak apa.  Perut dah berbunyi.  Bahannya ada.  Goreng sahaja mee.  Tapi bukan macam hendak makan sendiri.  5 ke 6 orang boleh makan!

Selasa, 2 April 2019

Salted Egg Buttermilk Crumbed Chicken by Chef Min...

Amboiiii...bergulung lidah hendak menyebutnya! 😃😃.  Hendak diterjemah ke Bahasa Melayu, agak panjang juga : Isi Ayam Bersalut Serbuk Roti dengan Sos Mentega Susu dan Telur Masin... ish... mencungap nak menyebutnya!

Ini adalah resepi baru dari dapur Chef Min.  Setakat hari ini, harganya satu set dengan nasi putih masih RM10.00... Mungkin nanti harganya TERPAKSA dinaikkan berikut bahan-bahan yang digunakan agak mahal, apatah lagi jika dibuat dalam kuantiti yang sedikit 😏 .  Antara bahan yang digunakan adalah susu cair, mentega, keju, kuning telur masin selain isi ayam bahagian dada.  

Isi ayam bahagian dada yang lembut...

Kuahnya dibungkus asing dan dituang bila hendak makan.

Jika berminat, bolehlah buat tempahan 😀

Antara ulasan pelanggan.  Alhamdulillah.
 

Isnin, 1 April 2019

Suku tahun telah berlalu...

Suku tahun (bersamaan tiga bulan dari dua belas bulan) sudah berlalu.  Hari ini sudah 1 April 2019. Dalam 3 bulan, pelbagai perkara boleh terjadi.  

Setiap detik ada yang datang dan tidak kurang yang pergi.   Ada yang masih mencari-cari (tidak kiralah apa yang di cari, sama ada jodoh mahu pun rezeki) dan ada juga yang tidak peduli.  Redha dengan apa yang ada  atau apa sahaja yang tiba tetap diterima.  Ada yang tidak pernah puas walaupun segala-galanya sudah tersedia.  Bagai ingin digapai apa sahaja yang melintas tidak kira siapa punya. (Kita mudah lupa bahawa semua yang ada adalah milik DIA).

Sebagai manusia, pastinya keinginan-keinginan tetap ada.  Walaupun mungkin tidak perlu, sesekali mengalah juga kepada nafsu. Akulah itu! Ada keinginan yang tidak terluah, dan akhirnya aku mengalah.  Bahawa keinginanku perlu diketepikan kerana ada keperluan lain yang perlu didahulukan.  Bagi seorang ibu, kehendak anak kena diutamakan dahulu.  Sesekali datang rasa terkilan, namun ia perlu ditelan perlahan-lahan...

Suku tahun yang telah berlalu ini, tiada apa-apa pencapaianku selain tetap sendu dan menahan rasa diam-diam dengan hanya Allah Yang Maha Tahu.