Kawan-kawan kakcik

Selasa, 31 Januari 2017

Asal usul permulaan huruf plet kereta...

Maklumat ini aku dapat dari perkongsian di kumpulan whatsapp.  Aku kongsikan pula di sini untuk rujukan bila-bila nanti...

ASAL USUL PLAT KENDERAAN MALAYSIA

Mesti ada yang tak tahu asal usul no plat ni. 

Kenapa plat Johor mula dengan J? 

Kenapa Perak dgn A?

Sejarah pendaftaran kenderaan bermula selepas British datang ke Tanah Melayu menjelang Perang Dunia Pertama. Pemberian nombor plat A B C D dan lain-lain ditentukan berdasarkan kemampuan penduduk di sesebuah negeri untuk memiliki kenderaan.

KENAPA PERAK BERMULA DENGAN A?

Plat kenderaan di Perak bermula dengan huruf A kerana ketika itu, penduduk Perak merupakan orang pertama yang mampu untuk memakai kereta dan Perak juga mencatatkan jumlah pemilikan kenderaan paling tinggi ketika itu. Ketika itu, Perak lebih maju berbanding negeri-negeri lain kerana adanya bijih timah.

Kebanyakannya kereta yang dipakai di negeri ini bukanlah dari penduduk Tanah Melayu itu sendiri tetapi dipakai oleh pemerintah British bertugas di Perak.

Pada tahun 1914, jalan raya dibina menghubungkan ke Kinta membuatkan penggunaan kereta semakin meluas.

Berdasarkan penentuan sebegitu maka dapat dikatakan bahawa negeri kedua yang memiliki kereta ialah Selangor (Plat B) diikuti oleh Pahang (Plat C) dan Kelantan (Plat D).

Penentuan plat kenderaan selepas itu kemudiannya diubah berdasarkan huruf permulaan sesebuah negeri. Akhirnya, plat lesen kenderaan di Malaysia bermula dengan huruf tertentu mengikut negeri/fungsi.

A = Perak
B = Selangor
C = Pahang
D = Kelantan

E = Sabah (sebelum tahun 1980-an)
i) EJ: Jesselton (sekarang Kota Kinabalu, sejak 1968)
ii) ES: Sandakan
iii) ET: Tawau
iv) ED: Lahad Datu
v) EU: Keningau
vi) EK: Kudat
vii) EL: Labuan

F = Putrajaya (mulai Jun 2016)
H = Teksi (diikuti dengan huruf negeri)
J = Johor

K = Kedah
i) KV = Langkawi
L = Labuan
M = Melaka
N = Negeri Sembilan
P = Pulau Pinang

Q = Sarawak
i) QA dan QK: Kuching
ii) QB: Sri Aman
iii) QC: Samarahan
iv) QL: Limbang
v) QM: Miri
vi) QP: Kapit
vii) QR: Sarikei
viii) QS: Sibu
ix) QT: Bintulu

R = Perlis

S = Sabah (ditukar daripada E)
i) SA, SAB & SAC: Kota Kinabalu
ii) SB: Beaufort
iii) SD: Lahad Datu
iv) SK: Kudat
v) SS: Sandakan
vi) ST: Tawau
vii) SU: Keningau

T = Terengganu
V = Kuala Lumpur (siri kedua; mulai Julai 2016)
W = Kuala Lumpur (siri pertama)

Z = Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
i) Z: Panglima Angkatan Tentera (Pemerintah Tertinggi ATM)
ii) ZA ke ZD: Tentera Darat Malaysia (TDM)
iii) ZL: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
iv) ZU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
v) ZZ: Kegunaan staf Kementerian Pertahanan Malaysia
vi) JZ: Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF)

PLAT KHAS
- Putrajaya
- Proton
- Tiara
- Perdana
- Satria
- Chancellor
- Perodua
- NAZA
- LOTUS
- KRISS
- Jaguh
- BAMBee
- SUKOM
- X OIC
- XIII NAM
- XI ASEAN
- XXX IDB
- G1M
- 1M4U
- Patriot
- TTB
- GP
- Putra
- VIP (Visit Pahang 2017)

Begitulah kisahnya...

Isnin, 30 Januari 2017

Barang di dapur kian susut...

...hendak ke pasaraya terasa takut
duit yang ada hanya seciput
silap beli leher terjerut
bukannya beli benda yang mengarut

satu persatu barang dibelek
tengok harga rasa tercekik
sejak bila harganya naik
naik pula beringgit-ringgit

rasa macam hendak bertanding di PRU nanti
manalah tahu boleh menang dan jadi menteri
takkanlah selama hendak jadi balaci
dapat imbuhan tidak berbaki...

Jumaat, 27 Januari 2017

Makan rendang landak di Restoran Lembah Bernam...

Tarikh : 26/01/2017 (Khamis)
Pertama kali aku dan suami sampai ke sini.
Itu pun atas ehsan seorang kenalan yang membawa dan
membelanja kami makan di sini.
Restoran ini terletak di daerah Sekinchan, Selangor.

Habis sepiring ulam itu aku makan dengan nasi.
Sambalnya aku tak makan sebab aku tak tahan pedas
dan kebetulan pula lidahku luka...

Pertama kali juga aku makan ikan tapah.  Sedap.
Manis isinya.  Mujur juga sambalnya tidak begitu pedas...

Aku 'tak sempat' makan ikan baung ini.  Tak sempat bukan
bermaksud sudah habis, tapi aku memang 'tak pandai' makan
dengan lauk yang banyak.  Tak dapat menikmati rasa kalau
macam-macam lauk dicampur sekali...

Bagiku rendang landak ini kurang sedap.  Agak tawar dan
keras dagingnya.  Tapi aku baca pandangan orang lain, rata-rata
mengatakan daging landak di sini terbaik dan sedap.  Mungkin
lidahku kehilangan rasa...

Yang ini aku makan.  Sedap di lidah dan tekakku.
Alhamdulillah...

Anak kecil bertolak-tolak
berlari-lari di Pekan Selasa
rezeki itu jangan ditolak
orang memberi kita merasa




Rabu, 25 Januari 2017

Berjubah dan bertudung tapi 'telanjang'...

Gambar dari arkib Google

Pagi semalam aku bersendirian menonton televisyen.  Mataku melihat seorang wanita berpakaian dari kain lycra yang sendat dan mengikut bentuk tubuh.  Aku teringat bahawa aku juga pernah ada sehelai jubah dari kain  lycra dan aku hanya sempat pakai sekali sahaja (beberapa tahun lalu). Waktu itu aku keluar membeli belah dengan suami dan anak bujangku.  Rupa-rupanya sewaktu aku membelek barang-barang yang hendak dibeli, anak bujangku pula asyik mengawasi seorang pekerja pasaraya itu yang katanya ralit memandang kepadaku. Menurut anakku, pekerja lelaki abangla itu 'tak jadi kerja' dan hampir sahaja anakku hendak menyergahnya.

Keluar dari pasaraya, anakku tak berhenti-henti membebel 'pakailah lagi baju tu, macam cantik sangat'.  Kedengarannya macam biadab teguran seorang anak kepada ibunya, kan? Tapi, aku ambil yang positif.  Ibu juga tidak selalunya betul dan anak tak semestinya salah. Yang betul kita kata betul, dan yang salah tetap salah...

Aku rasa jubah yang aku pakai itu cukup besar dan longgar.  Tapi kain lycra adalah jenis yang 'berat dan jatuh' bila dipakai. Tambahan bila terkena angin atau suhu dingin, 'melekap' jadinya di badan.  Memang buruk sangat rupanya - lainlah kalau badan kita macam papan sekeping...hehehe

Sekarang ramai wanita yang sewaktu gemuk berpakaian longgar tapi bila kurus berpakaian ketat.  Teringat aku akan kata-kata seorang Ustaz : Sepatutnya kita hendak kurus supaya senang beribadat bukan senang hendak berpakaian sendat...

Selasa, 24 Januari 2017

Hidup berjiran...

...ketepikanlah pangkat dan gelaran
hiduplah dalam kesepakatan
walau mungkin berlainan pegangan dan aliran
jangan ia dijadikan alasan
untuk menyindir kerana tidak sehaluan

hidup berjiran
memang boleh menjadi permasalahan
bila ada yang berpaksi pada keegoan
kerana kenderaan yang berlebih-lebihan
halaman orang tidak dipedulikan
ditegur bimbang terjadi perkelahian
tidak ditegur hati menjerit kegeraman

hidup berjiran
bila bertemu berceritalah yang baik-baik sahaja
aib orang jangan dibuka
memang sedap mulut mengata
tokok tambah memanjangkan cerita
namun langit sentiasa terbuka
andai terkena ke muka sendiri apa pula akan di rasa

hidup berjiran
bagus jika bertegur sapa
tapi jika ada yang diam seribu bahasa
jangan ditohmah sesedap rasa
kita tidak tahu masalah mereka
pasti ada sesuatu yang tidak kena

hidup berjiran
jangan suka meneka-neka
lebih baik bertanya secara bersemuka
kalau ada yang menyesak di dada
jangan tanya pada yang tiada kena mengena
takut jadi fitnah yang tidak terampun dosa...

😊😊😊

Isnin, 23 Januari 2017

Rindu yang tak pernah padam...

Sudah hampir 4 tahun berlalu
namun aku masih menyimpan rindu
rindu untuk kembali bertamu
mudah-mudahan masih ada kesempatan buatku...

Khamis, 19 Januari 2017

Sayang Papa Saya Tak?...

Tajuk di atas adalah tajuk drama adaptasi novel yang sedang ditayang di saluran Astro setiap malam Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam.

Aku bukan hendak bercerita tentang drama ini.  Ceritanya biasalah - kahwin paksa antara gadis miskin dengan lelaki kaya.

Yang hendak aku tonjolkan, antara penaja pakaian bayi comel dalam drama ini  adalah Darwish Rich Design.  Sebelum ini, DRD pernah menaja jubah/kurta untuk anak-anak yang menyertai rancangan Qari Junior terbitan TV3 dan drama Ayah Untuk Disewa.  Selepas ini khabarnya ada lagi drama di mana pakaian untuk anak kecil ditaja oleh DRD.

Baiklah, siapa yang hendak anak kecilnya kelihatan comel macam Seri Aileen ini, bolehlah risik-risik laman web Darwish Rich Design atau instagram DRD dan dapatkan pakaian yang dijual pada harga yang berpatutan...

Gambar dari arkib google
(Seri Aileen dalam pakaian DRD)

Gambar berikut aku rakam dari kaca televisyen malam tadi...




Rabu, 18 Januari 2017

Kalau tak faham, janganlah baca...

... di sini aku menulis apa yang terlintas dalam kepala
dari apa yang aku lihat atau baca
kadangkala macam aku mengata keluarga
sebenarnya ia hanya kiasan semata-mata

kalau ada yang rasa terkena
mungkin ia kebetulan sahaja
tapi jangan pula meneka-neka
kononnya keluargaku sendiri sedang bercempera

jadi bijak jangan 'sebijak menteri'
konon tahu perkara setiap inci
sana nafi sini nafi
selagi tak terjerat leher sendiri

hidup ini ada pasang surut
kadang-kadang mewah sesekali kena ikat perut
marah macam mana janganlah sampai mencarut
yang buruk diingat yang baik jadi luput

aku menulis sesuka hati
untuk memberikan nyawa kepada blog ini
tiba saatnya semua pun akan mati
yang tersurat dan tersirat berjalan mengikut janji...

Selasa, 17 Januari 2017

Kita bukan tinggal di istana...

...yang ada dayang dan biduanda
kita juga bukan orang kaya
yang ada pembantu dua tiga

kita hidup seadanya
yang ada hanya ibu
tapi dia bukan babu
ada juga ayah
tapi bukan untuk diarah-arah

bila makan
pandai-pandailah kemaskan pinggan
meja jangan dibiar bersepah
sampai tak boleh beza dengan tong sampah

bangun tidur
kemaskan bantal selimut
jangan dibiar berkeromot
sekali imbas bagaikan sarang semut

kalau pun tak mahu basuh baju
jangan dikumpul belakang pintu
masukkan dalam mesin yang ternganga itu
takkan semudah itu pun buat tak tahu

selagi ada orang tua
hidup kita penuh selesa
nanti bila mereka tidak lagi berdaya
atau dijemput kembali oleh Yang Esa
kepada siapa pula hendak diarah semua kerja

belajarlah untuk memberi
bukan sekadar menerima dan buat tidak mengerti

sebenarnya tidak ada istilah kurang ajar
melainkan kamu sendiri yang sukar hendak diajar



Isnin, 16 Januari 2017

Makin lesu...

Tahun 2012 aku paling aktif
menulis di blog ini.  Tahun 2014
dan 2015 hanya berbeza satu
bilangan catatan.  Di hari ke 16,
2017 - ini adalah catatanku yang ke 7.

Terima kasih kepada semua yang sudi singgah.  Ambillah yang baik jika ianya berfaedah, jika sebaliknya, tinggalkanlah komen yang menegur kesilapanku.  Mungkin boleh ditambahbaik penulisan sekiranya aku berhasrat untuk terus menulis di sini. Jika sebaliknya, mungkin catatan selepas ini hanyalah puisi-puisi melayan jiwa sendiri...

Khamis, 12 Januari 2017

Lara Aishah - di mana nilai murninya?...

Drama bersiri (sebanyak 100 siri dan siri terakhirnya pada Jumaat 14/01/2017) Lara Aishah adalah diadaptasi dari telenovela Mexico bertajuk La Loba.  Sudah namanya drama adaptasi dari luar negara, maka banyaklah adegan-adegan yang tak sepatutnya kita lihat dan bertentangan dengan budaya serta agama terdapat dalam drama ini.

Antara adegan yang bagiku memang melampau ialah :

1 - Seks bebas.  Datin (lakonan Maria Farida) menggoda pemandunya untuk memuaskan nafsu kerana diabaikan suami. Dato' (lakonan Eizlan Yusuf) pula menjadikan adik iparnya sebagai pemuas nafsu.  Dato' juga menodai kakak iparnya sendiri sewaktu abangnya di luar negara. Itu antaranya saja. Perbuatan r*g*l juga digambarkan secara terang-terangan dan perkataan itu (r*g*l) disebut berulang-ulang.

2 -  Watak-watak jahat memiliki pistol yang seolah-olahnya negara ini tiada undang-undang.  Sesiapa sahaja boleh memiliki pistol.

3 - Pembunuhan dilakukan sewenang-wenangnya bagaikan negara ini tiada pihak berkuasa yang menjalankan tugas.  Watak polis hanya sebagai tempelan sahaja.

4 - Perbuatan jahat seorang bapa/bekas suami dimaafkan begitu sahaja atas dasar simpati dan cinta. Segala kejahatannya seolah-olah tidak ujud.  Sedangkan dalam dunia sebenar sekiranya kejahatan begitu dilakukan memang tidak akan terlepas dari undang-undang.

Selama ini pun sebenarnya drama Melayu memang hampir tiada yang membawa nilai murni yang boleh dijadikan contoh. Kebanyakannya diterbitkan hanya untuk mengejar keuntungan. Yang untung siapa?  Yang diperbodohkan dan dilekakan siapa pula? Dek leka dengan khayalan dan hiburan, kita lupa seketika dengan hal-hal lain.  Sebaik tersedar kerana perut mula lapar, baru kita perasan bahawa didapur tiada apa yang boleh dimakan!

#takfahamtakapa
#hiburanbuatkitalekasedangkanfaedahnyatiada

Rabu, 11 Januari 2017

Berhutang hingga gaji jadi kosong...

Tajuk di atas adalah tajuk dan artikel yang aku baca di Harian Metro :

Putrajaya: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melahirkan kebimbangan dengan kadar keberhutangan yang tinggi segelintir penjawat awam dan mahu ketua jabatan memantau gaya hidup warga kerja masing-masing.
Menurutnya, beliau dimaklumkan ada penjawat awam membawa pulang gaji sifar ke rumah kerana gajinya dipotong untuk membayar hutang.
"Ada yang 'take home pay' (gaji yang dibawa pulang) penjawat awam kurang daripada 40 peratus yang kita syaratkan. Ada yang kosong peratus.
"Kita lihat ada yang ingin hidup mewah dan pada masa sama banyak meminjam sehingga membawa gaji kosong ringgit ke rumah. Perkara ini perlu diatasi," katanya pada majlis penganugerahan surat kenaikan pangkat pegawai pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana di sini, hari ini.
Beliau meminta Jabatan Akauntan Negara dan ketua jabatan memantau penjawat awam yang tidak berbelanja secara berhemah.
"Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga meminta Jabatan Akauntan Negara meneliti potongan gaji penjawat awam," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 8:08 PM

Benarkah gaji jadi 'kosong' kerana ingin hidup mewah?

Aku bergelar penjawat awam di usia 21 tahun.  Gaji permulaan pada waktu itu jika tidak silap ingatanku hanya RM395.00 + Elaun Khidmat Awam (EKA) RM40.00, itu belum potong KWSP. Tahun bila?  Tahun 1982.  Sewaktu dapat surat tawaran, Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya aku walaupun di surat itu tercatat jadual kenaikan gaji di mana gaji akhir cuma RM9XX (aku tak ingat jumlah sebenarnya, tapi memang tak sampai pun RM1000). Beberapa bulan selepas mula bekerja, aku mendapat tawaran untuk mengikuti kursus kejururawatan di Hospital Universiti bagi tempoh 2 tahun, tapi aku tolak tawaran itu.

Sepanjang bergelar penjawat awam sehingga aku bersara pilihan sendiri pada 1/9/2014 (gaji pun belum maksima lagi tapi tidaklah hanya RM900++), tidak pernah pula penyata gajiku berbaki 'RM0.00'.  Tapi itu hanyalah atas penyata, di luar penyata jangan ditanya.

Adakah aku hidup bermewah-mewah?  Tidak.  Aku ini jenis 'hadap apa yang ada'.   Tapi cukupkah gaji yang aku terima? Orang kata 'sikit itu cukup' jika duit/rezeki yang diterima itu berkat. Betullah itu. Tidak pernah pula anak-anak aku kekurangan makanan, walaupun mereka tak pernah tahu kadangkala aku sendiri menahan keinginan demi mencukupkan keperluan dan kemahuan mereka.

Eh... apa sebenarnya yang aku ingin tulis di sini?

Berbalik kepada kononnya gaji jadi '0' kerana mahu hidup mewah. Betulkah?  Dengan gaji di bawah RM1000.00 dan duduk di bandar besar seperti Kuala Lumpur, pinjaman/sewa rumah perlu dibayar. Kalau pun tiada kereta/motorsikal untuk diisi minyak, tambang pengangkutan kena disediakan.  Makan minum?  Keperluan anak-anak (mungkin yang bujang kuranglah bebanannya)?  Itu baru 'yang wajib'.  Pergi ke pejabat, kena juga bersedia dengan sedikit duit.  Tiba-tiba ada pula kutipan 'derma kilat'.  Tolaklah bab kematian, ketua bahagian lain hendak bersara pun kadangkala dipaksa bagi sumbangan dengan jumlah yang ditetapkan (dengan seikhlas hati konon).  

Setakat gaji RM3,000.00 pun, kalau hanya seorang (tak kiralah suami atau isteri) yang bekerja, ada anak-anak 3 atau 4 orang yang masih bersekolah, di zaman ini jumlah itu adalah terlalu kecil. Lainlah zaman aku baru masuk kerja dulu.  RM3,000.00 itu gaji pegawai atasan yang telah mencapai gred Ketua Jabatan kot. Dengan harga barang keperluan harian yang 'naik tanpa bunyi' dari masa ke masa dan gaji hanya banyak itu juga, kemewahan apakah yang dapat dikecapi?  Gaji KOSONG kerana berhutang untuk bermewah?  Adakah membeli rumah dan kereta (kereta buatan tempatan sahaja) itu dianggap bermewah?

Entahlah labuuuuu...kita tak akan dapat menyelami kesusahan orang lain hanya dengan melihat dengan mata kasar sambil duduk bersilang kaki di kerusi empuk dan dengan segala kemudahan yang kita ada...

Isnin, 9 Januari 2017

Sewaktu anak-anak masih kecil...

di suatu pagi
leka aku memerhati dua gadis cilik ini
mereka sama dari segala segi
rambut panjang yang disisir dan diikat rapi
subang di telinga, pakaian di tubuh dan selipar di kaki
semua sama tidak berbeza sama sekali
wajah juga seiras dipandang sekali

dalam hatiku berkata-kata
'mereka sangat seiya sekata'
mungkin juga dibentuk mengikut kehendak ibu mereka
dan mereka menurut tanpa banyak cerita
hidup riang dan gembira
hadapi sahaja apa yang ada

kelak nanti bila mereka dewasa
apakah tetap mendengar kata
atau bila sudah digoda citarasa
kata-kata ibu tidak lagi bermakna
peduli apa ibu memendam rasa
yang penting kehendak sendiri terlaksana

duhai anakku
terluka tercarik mana pun hati ibu
tidak pernah putus doa buatmu
hari ini kau buat tidak tahu
jangan nanti penyesalan tidak lagi bermakna buatmu...

Khamis, 5 Januari 2017

Catatan orang kecewa...

...2017 hari ke 5 hari ini
yang hidup teruskan aktiviti
yang meninggal terus dikebumi
itupun andai jasad ditemui
mungkin ada yang pergi 
tanpa tanda dapat diziarahi

apa yang membezakan semalam dan hari ini?
ah...semuanya sama walau perit kian dirasai

apa khabar nilai ringgit?
dengarnya makin susut nilai hari ke hari

bagaimana dengan harga barang keperluan?
kerana nilai ringgit turun,
harga barang jadi melambung

kau mahu atau tidak?
mahu, sila beli
tak mahu, sila pergi
ramai yang masih mampu memiliki
walau hakikatnya terpaksa mengeluarkan syiling besi

menelan, bagai tidak tertelan
hendak diluah, rezeki tidak melimpah ruah

Pemimpin adakah peduli?
jangan soalkan keprihatinan mereka
perlbagai bantuan untuk rakyat sudah tersedia
teringat akan kata-kata seorang menteri
'jangan gusar dengan GST,
adanya GST harga barang akan ikut turun sekali'
dan naik berkali-kali??

tengoklah apa yang terjadi
rakyat hanya mampu bersungut sendiri-sendiri
selebihnya kepala dan tubuh diinjak sesuka hati

berapa ramai ibubapa mengeluh
keperluan persekolahan bukan setakat puluh-puluh
memang buku teks diberi pinjam
bagaimana pula dengan pakaian seragam?

yuran sekolah memang tiada
yuran PIBG kena dibayar juga
belanja sekolah tak cukup seringgit dua
hendak bawa bekal, di rumah apa pun tiada


Rabu, 4 Januari 2017

2017... sekejap sahaja sudah 4hb...

...dan aku masih belum ada ilham untuk bercerita.  Tidak juga tiada ilham, sebenarnya aku perlu 'menapis-napis' untuk bercerita secara terbuka.  Walaupun pembaca blog ini tidak seramai mana, tapi aku pasti bahawa ia mempunyai 'pembaca setia'.  Pembaca yang mengintai-intai untuk menjadi penyampai cerita dan berita. Tambahan kalau cerita dan berita itu enak untuk dijaja tanpa rasa berdosa...

Ah... kau berprasangka itu Kakcik!  Kau ingat kau sangat terkenal?  Kau fikir kau siapa?  Jangan menulis kalau tidak mahu orang baca.  Atau kau 'peribadikan' sahaja blog kau ini. Kau tulis sendiri, kau baca sendiri.  Jadikan ia diari yang kemas-kemas kau kunci...

Sudah dua hari sekolah di Kuala Lumpur / Selangor dibuka semula. Hanya sibongsu sahaja masih di bangku sekolah.  Untuk tahun ini, aku dan ayahnya belum membelikan walau sehelai seragam baru buatnya. Dari baju, seluar, stokin hingga kasut, semuanya digunakan yang tahun lepas punya.  Masih elok, jadi tak perlu membazir.  Dia juga tidak banyak karenah. Pakai yang mana ada. Di pertengahan tahun nanti, mungkin kita beli seragam baru seperti tahun lepas...

Ini gambar awal tahun 2016.  Waktu ini dia
pakai baju tahun 2015.  Situasi sama juga
untuk tahun ini.  Cuma untuk tahun 2017 ini,
dia pakai seragam 2016.  Terima kasih Adik.

Melayari akhbar atas talian pada pagi ini, aku terjumpa berita di HARIAN METRO ini.  Melihat gambar pun sudah cukup untuk menyentuh hati...

Kaki si adik di Tahun 1 dan kaki si abang di Tingkatan 5 pada hari pertama sekolah dibuka.
(klik pautan Harian Metro untuk kisahnya)

...maka nikmat Allah yang mana lagi hendak aku nafi?  Biar tidak semewah menteri, sekurang-kurangnya anakku lebih bernasib baik dari anak-anak di dalam gambar ini.

Dalam doaku yang tidak pernah berhenti, aku sangat berharap agar anak-anak menjadi lebih mengerti dan mensyukuri apa yang kita miliki.  Janganlah berangan-angan terlalu tinggi hendak itu hendak ini sedangkan ibubapa kalian sebenarnya tidak mampu lagi untuk memberi...