Isnin, April 20, 2009

Si Kanan dan Si Kiri.

Si Kanan dan Si Kiri, dua orang sahabat yang sudah terpisah sejak sekian lama. Dengan kehendak Yang Maha Esa, mereka bertemu di salah satu perhentian R&R di lebuhraya di Utara Semenanjung. Kebetulan, setelah berbual kedua-duanya merupakan guru j-QAF.

Si Kanan: Kita jadi guru j-QAF ni, kena pastikan prestasi murid meningkat dari semasa ke semasa.
Si Kiri : Kerja kita mengajar. Kalau dah takdir prestasi menurun, kita nak buat macamana?

Si Kanan: Mujur ada KBS (Kem Bestari Solat). Kalau tidak, entah macamana nak pastikan murid betul-betul boleh solat atau tidak.
Si Kiri : KBS ni bagus. Cuma pelaksanaannya perlu dikaji semula. Banyak sangat ambik masa rehat kita. Betoi dak?

Si Kanan: Kita kena buat BIG
Si Kiri : BIG tu apa? "Besar" ka?

Si Kanan: Kita kena buat BIG (Baca Ikut Guru) untuk pastikan murid berjaya khatam Al-Quran tahun 6 nanti.
Si Kiri : Nak buat BIG mudah saja. Tapi kan lebih bagus kalau masa tu ajar murid baca Iqra. Sekali dia boleh Quran, tak perlu BIG dah. Boleh khatam sendiri di rumah.

Si Kanan: Apa lagi yg boleh diperbaiki kelemahan berkenaan j-QAF di sekolah kita?
Si Kiri : Kalau nak cari kelemahan, jumpa yang lemah la...

Si Kanan: PKSR Bahasa Arab, hang buat ikut format macam aku dak?
Si Kiri : Aku buat ikut format la. Tapi format aku sendiri. Senang sikit.

Si Kanan: Guru GPI dan GPI j-QAF kena berdamping.
Si Kiri : Kita gilir-gilir la. Jimat tenaga sikit.

Si Kanan: Kalau masa P&P yang diperuntukan, digunakan dengan sepenuhnya, kan best?
Si Kiri : Takyah dok bersemangat sangat la. Lagi 30 tahun nak mengajar.

Si Kanan: Kena gagah buat jugak KBS walaupun duit takdak.
Si Kiri : Kalau duit takdak, budak-budak nak makan apa?

Si Kanan: Aku risau kalau ramai budak-budak aku tak boleh khatam Al-Quran.
Si Kiri : Kalau Iqra 1 pun tergagap-gagap, aku nak buat macamana?


BACA SETERUSNYA...

Sabtu, April 18, 2009

Kursus Dalaman Sk Hosba

18 April 2009 (Sabtu), satu Kursus Dalaman SK Hosba Kali ke 2 telah diadakan di Makmal Komputer sekolah. Jadual asalnya bertempat di PKG Hosba. Tetapi kerana terdapat kesulitan, tempat kursus terpaksa ditukar ke Makmal Komputer.

Slot 1 :
Penceramah : Tn Hj Zainal Abidin bin Zakaria
Tajuk : Pengurusan Kokurikulum di Sekolah.
**penulis sedang memegang mic selaku pengerusi majlis. Berdiri di sebelah, penceramah jemputan. Duduk di sebelah, En Hairudin bin Ahmad, Pen. Kanan Kokurikulum.

Tn Hj Zainal sedang menyampaikan ceramah Pengurusan Kokurikulum.

Peserta kursus dalam, barisan guru-guru SK Hosba yang meluangkan masa mendengar ceramah demi kecemerlangan SK Hosba.

Cenderahati kepada penceramah disampaikan oleh PKKK.


Slot 2:
Penceramah : Pn Zaiton binti Ahmad
Tajuk : WWW.EDUWEBTV.COM
Cikgu Zaiton sedang menyampaikan ceramah.

Cikgu Roslee sedang membantu penceramah.

Lagi gambar sebahagian peserta kursus.
Dari kanan di hadapan : Ustazah Shahida dan Ustazah Siti Rauzoh
Dari kanan di belakang : Cikgu Noriah, Cikgu Aziza dan Ustazah Mariatul Kabariah
(khusyuk betoi nampaknya tuuu...)

Lagi gambar peserta.

Ntah apa agaknya yang sedang didiskusikan oleh Ustaz Firdaus dan Cikgu Ishak tu? Macam projek best ja tuuuu...
**Lagi di atas, Cikgu Roshidi, Sir Ismail, Cikgu Roslee dan Cikgu Shukri

Slot 3 :
Penceramah : En Ishak bin Md Amin
Tajuk : Petaksiran Berasaskan Sekolah.

Cikgu Ishak sedang menyampaikan ceramah. Beliau adalah Pentaksir Kawasan bagi subjek Sains (orang kuat la kiranya.hehe!).

Slot 4 :
Penceramah : Pn. Saodah binti Ismail
Tajuk : PLBS (Bahasa Melayu).
Cikgu Saodah sedang menyampaikan ceramah. Beliau mahir berkaitan subjek Bahasa Melayu


Barisan belakang, Urusetia kursus. Cikgu Roslee dan Cikgu Shukri


BACA SETERUSNYA...

Rabu, April 15, 2009

Adab Menuntut Ilmu

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://www.ukhwah.com/

Tarikh: Jumaat, 26 September 2003 @ 10:25:04 Topik: Tazkirah

"Ta'alim wa Ta'alum" bermaksud "belajar dan mengajar". (Ta'alim bererti menuntut ilmu dan ta'alum pula bererti mengajarkan ilmu kepada orang lain.)

Ilmu yang sebenar-benarnya ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, Tidak kiralah ilmu ukhrawi seperti tauhid atau ilmu duniawi seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ini mengajar kita kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.

Ilmu ada dua cabang:
• Ilmu masail -- ilmu hukum-hakam dan perundangan (misalnya, fiqh).
• Ilmu fadhail -- ilmu mengenai fadhilat dan ganjaran.

Ilmu masail perlu dipelajari dari orang-orang yang ahli dalam cabang ilmu tersebut (ustaz atau guru). Ilmu fadhail boleh dipelajari daripada membaca buku dan menghadiri majlis-majlis ta'alim Fadhail Amal.

Kalau kita perhatikan, ilmu duniawi seperti Sejarah, Matematik dan Sains juga mempunyai kedua-dua komponen ini, iaitu masail dan fadhail.

Maksud kita mengadakan Majlis Ta'alim

1. Menghidupkan Sunnah, iaitu amalan di Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW. Di waktu itu, Masjid Nabawi hidup 24 jam sehari dengan 4 jenis amalan:
• Dakwah
• Ta'alim wa Ta'alum (belajar dan mengajar)
• Ibadah (temasuk dzikir, solat, membaca Al-Qur'an dan sebagainya)
• Khidmat

2. Memasukkan nur Qu'ran dan Hadis dalam hati agar timbul keghairahan untuk beramal. (Sesiapa yang tidak mendengar ayat Al-Qur'an atau Hadis selama 3 hari berturut-turut, satu titik hitam akan muncul dalam hatinya. Apabila titik hitam ini menebal dan akhirnya menutupi hati seseorang itu, maka amatlah sukar baginya untuk menerima hidayah.)

3. Untuk kita dengar berulang-ulang kali hingga timbul dalam hati kita rasa yakin akan janji-janji Allah yang dikhabarkan melalui Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah SAW.Fadhilat Ta'alim, di antaranya ialah:
1. Sesiapa yang menghidupkan Sunnah di zaman kerosakan umat akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid.
2. Menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid.
3. Syaitan benci dan takut kepada seorang yang berilmu lebih daripada 1000 orang abid, kerana tugas Syaitan ialah untuk menyesatkan manusia, tetapi seorang yang berilmu pula boleh mengembalikan mereka semula ke pangkal jalan.
4. Majlis ta'alim adalah majlis dzikrullah. Majlis dzikrullah adalah majlis yang amat besar sekali di sisi Allah SWT. Di antara kelebihan majlis dzikrullah ialah:• Para malaikat akan mengerumuninya dan bertimpa-timpa hingga sampai ke Arasy. Apabila malaikat-malaikat ini kembali kepada Allah dengan laporan mereka, Allah akan menyebut nama-nama orang di majlis itu dan ibu bapa mereka dengan bangganya di dalam perhimpunan para malaikat.• Penghuni langit melihat majlis-majlis dzikrullah di bumi ini bersinar seperti kita melihat bintang-bintang yang berkilauan di langit. • Orang-orang yang berhimpun dalam majlis dzikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan. • Orang yang melewati majlis sebegini tanpa niat untuk duduk dalam majlis ini pun akan diampunkan dosanya.Satu majlis dzikrullah di masjid menghapuskan 100 majlis lalai. Satu majlis dzikrullah di rumah menghapuskan 40 majlis lalai.
5. Disebabkan ramainya Malaikat yang mengerumuni majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ta'alim sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para Sahabat ra menghadiri majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut.
6. Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka. (Sebab itulah, kita juga digalakkan untuk buat majlis ta'alim di rumah, agar ahli keluarga kita juga akan dapat hidayah, biarpun yang nampak hanya kita seorang saja yang baca kitab ta'alim, tetapi para malaikat sebenarnya ada bersama kita dan sedang mendengar apa yang kita bacakan.)

Adab Ta'alim

1. Berwudhu.

2. Solat sunat 2 rakaat sebelum majlis (dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memudahkan kita untuk memahami, mengingati, mengamalkan dan menyampaikan).

3. Pakaian bersih dan menutup aurat.

4. Memakai wangi-wangian.

5. Pandang mulut orang yang membaca ta'alim. Anggaplah hadis-hadis yang kita dengar sebagai sabdaan-sabdaan Rasulullah SAW yang datang dari mulut Baginda sendiri.

6. Apabila kita membaca ta'alim, ulangilah hadis yang kita baca hingga 3 kali agar mudah dihayati oleh jemaah.

7. Mendengar dengan penuh konsentrasi. Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka tumpukan sepenuh perhatian hinggakan mereka tidak mempedulikan burung-burung yang bertenggek di atas bahu dan kepala mereka. Apabila kita menunaikan hak mendengar, Allah akan memudahkan 3 perkara:
• Allah mudahkan ilmu masuk ke dalam hati kita.
• Allah mudahkan kita untuk memahami apa yang kita dengar.
• Allah mudahkan kita untuk bercakap tentang ilmu tadi bila diperlukan.

8. Anggaplah hadis yang kita dengar itu seolah-olah inilah kali pertama kita mendengarkannya.

9. Duduk rapat-rapat (supaya syaitan tidak mencelah di antara kita dan supaya Allah satukan hati kita dan wujudkan sifat kasih sayang di antara kita). Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka duduk rapat-rapat hinggakan daun yang gugur dari pokok tidak jatuh ke tanah, tetapi jatuh ke riba dan bahu mereka.

10. Sebaik-baiknya duduk dalam posisi tahiyat awal dan kalau boleh, lutut kita bertemu dengan lutut si pembaca ta'alim. Kalau penat duduk tahiyat awal, bolehlah berubah kepada posisi tahiyat akhir. Kalau tidak mampu juga, bolehlah duduk bersila. (Cara duduk beginilah yang ditunjukkan oleh Malaikat Jibril AS ketika dia datang kepada Rasulullah SAW dan mengajukan beberapa soalan kepada Baginda, dengan disaksikan oleh para Sahabat.)

11. Apabila disebut nama Allah, kita sambut dengan Allahu azza wajalla atau Allahu Jalla Jallaluhu atau Subhanallah.12. Apabila disebut nama Rasulullah SAW, hendaklah kita berselawat ke atas Baginda. (Malaikat melaknat orang yang tidak berselawat bila nama Baginda disebut).

13. Bila disebut nama para Sahabat atau Sahabiah, kita sambut dengan RadhiAllahu Anhu / Anha.

14. Bila disebut nama orang-orang alim (seperti tabi'en, imam-imam besar dan sebagainya), kita sambut dengan Rahmatullah Alaih.

15. Bila disebut nama musuh-musuh Allah (seperti Iblis, Fir'aun, Namrud, Abu Lahab dan sebagainya), kita dibolehkan menyambut dengan Laknatullah Alaih.

16. rasa gembira bila disebut tentang syurga dan takut bila disebut tentang neraka. (Kalau tak boleh, cuba paksa.)

17. Jangan mengganggu perjalanan majlis (seperti berbual-bual atau bersalam-salam bila datang lewat).

18. Menghadiri majlis ta'alim adalah lebih baik daripada melakukan ibadat-ibadat sunat yang dilakukan bersendirian. Seandainya kita datang ke masjid dan mendapati majlis ta'alim sedang berlangsung, kita digalakkan supaya duduk dalam majlis ta'alim dan menggantikan solat tahiyatul masjid dengan zikir "Subhanallah Walhamdulillah Wa lah Ilaha Ilallah Wallahu Akbar" 3 kali.

19. Ta'azeem bil Qalbi --- Memuliakan dan membesarkan majlis di dalam hati.

20. Tashdiq wa Yaqin --- Membenarkan dan meyakini (percaya) akan segala yang didengar.

21. Tabligh wa Amal --- Mempunyai niat untuk menyampaikan dan mengamalkannya.

Nota Tambahan

• Saiyidina Umar Al-Khattab ra mendapat hidayah melalui majlis ta'alim yang dipimpin oleh Saiyidina Khabbab bin Alarat ra yang dibuat di rumah adik perempuannya.
• Saiyidina Mus'ab bin Umayr ra telah diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah di Madinah. Sampai saja beliau di sana, beliau duduk di bawah sebatang pokok dan membuat majlis ta'alim. Dengan berkat majlis ta'alim itu, seluruh penduduk Madinah memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku selepas peristiwa Baiatul Aqabah dan sebelum penghijrahan umat Islam Makkah ke Madinah.


BACA SETERUSNYA...

Ahad, April 12, 2009

Taklimat Pendedahan P&P (Model Khatam Al-Quran, Bahasa Arab dan Pemulihan Jawi) dan Kokurikulum Program j-QAF untuk Ambilan Januari 2009

Sabtu 28 Mac 2009, satu Taklimat Pendedahan P&P (Model Khatam Al-Quran, Bahasa Arab dan Pemulihan Jawi) dan Kokurikulum Program j-QAF untuk Ambilan Januari 2009 diadakan seperti berikut ;
Tempat : Institut Perguruan Sultan Abdul Halim
Masa : 8.30 pagi hingga 5.00 petang

Penulis turut hadir bersama dengan tiga orang lagi rakan penulis dan ditugaskan memberi taklimat kepada peserta. 3 orang rakan penulis tersebut ialah Ustaz Nazri SK Siputeh (Model Khatam Al-Quran), Ustaz Mohd Nasir SK Jeniang (Pemulihan Jawi), Ustaz Akmal SK Seri Muda (Kem Bestari Solat). Penulis memberi taklimat berkaitan Bahasa Arab.

Penyelaras Program ialah Ustaz Abdul Somad bin Abdullah, Penolong Pengarah Kanan j-QAF JPNK. Turut hadir bersama-sama, Ustaz Jamaludin (PKJq KMY), Ustaz Nadzhori (PKJq PTP) dan Ustaz Bahari (PKJq Langkawi). Majlis dirasmikan oleh Ustaz Ismail bin Yahya (Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Sekolah JPNK).

Di akhir program, diadakan sesi dialog di antara pegawai dari JPNK dan juga peserta.


BACA SETERUSNYA...

Ahad, Mac 01, 2009

KBS Tahun 1 hingga 5 Kali Pertama (updated)

Alhamdulillah. KBS Tahun 1 dan 2 telah selamat diadakan. Cuma belum sempat nak laporkan kat sini. Tak sempat nak menaip. Kalau sempat baca blog rakan-rakan dan pegawai-pegawai pun dah kira syukur banyak dah.

KBS Tahun 1 diadakan
Tarikh : 7 Februari 2009
Tempat : Surau Al-Irsyad
Setiausaha : Ustz Norhayati

KBS Tahun 2 diadakan
Tarikh : 21 Februari 2009
Tempat : Surau Al-Irsyad
Setiausaha : Ustz Hazirah

KBS Tahun 3 diadakan
Tarikh : 7 Mac 2009
Tempat : Surau Al-Irsyad
Setiausaha : Ustz Rauzoh

KBS Tahun 4 dan 5 diadakan
Tarikh : 26 Mac 2009
Tempat : Surau Al-Irsyad
Setiausaha : Ustz Mariatul Kabariah
(Sepatutnya diadakan pada 28 Mac, tetapi bertembung tarikh dengan kursus dalaman)

Semua berjalan lancar berkat kerjasama semua pihak iaitu pentadbiran sekolah, GPI dan GPI j-QAF.


BACA SETERUSNYA...

Selasa, Februari 03, 2009

Objektif 'Jom Renungkan Sejenak'

Salam Ukhuwwah kepada pengunjung yang dihormati.

Setelah penulis publish 'Jom Renungkan Sejenak', terlintas di fikiran penulis, adakah tulisan penulis yang berjela-jela itu sampai objektifnya kepada para pembaca sekalian.

Jadi, penulis ingin mengajak pengunjung sekalian menghayati dialog berikut.

====================
Dialog A.

"Selepas 4 tahun ustaz/ustazah mengajar 120 orang murid membaca Iqra dan Al-Quran, takkan 8 orang sahaja yang boleh membaca dengan lancar? Ustaz/ustazah mengajar macamana ni? Tak sampai 10% pun pencapaian. Saya nak ustaz/ustazah usaha lagi selepas ini."

Dialog B.

"Selepas 4 tahun ustaz/ustazah mengajar, alhamdulillah dah ada 8 orang yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Syukur kepada Allah. Walaupun keseluruhan murid 120 orang, insyaAllah mereka juga akan mengikut jejak langkah 8 orang murid ini. Saya harap ustaz/ustazah berusaha dan jangan berputus asa."
====================

Berdasarkan 2 dialog di atas, apa agaknya si guru itu perlu bertindak? Jawapannya, sudah tentulah guru itu perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. TETAPI, kata-kata yang manakah yang lebih memberikan motivasi kepada guru tersebut?

Renung-renungkanlah..

p/s dialog di atas tidak dipetik daripada mereka yang masih hidup ataupun sedang meninggal dunia. Ia sekadar imaginasi penulis semata-mata.


BACA SETERUSNYA...

Ahad, Februari 01, 2009

Jom Renungkan Sejenak

Jam laptop menunjukkan pukul 1.09 pagi 29 Januari 2009 (Khamis). Tirai 2009 telah sebulan menaikkan layarnya. Namun, tirai penulis belum berkembang. Inilah hasil sulong penulis pada tahun 2009. Penulis ketika ini sedang 'offline' kerana kabel telefon di kampung penulis dicuri. Jadi, walau secanggih manapun kemudahan streamyx di rumah penulis, tiada maknanya kalau kabel telefon dicuri.

Ini mungkin menjadi alasan kenapa penulis 'berehat' seketika dari memblog. Tetapi sebenarnya fikiran penulis tak tenang sekaligus menyebabkan penulis tidak berada dalam 'mood' yang baik untuk menulis. Agak lama juga penulis tidak memblog. Apakah agaknya perkembangan di blog sahabat-sahabat penulis?

Bertanggungjawab sebagai setiausaha bagi Jawatankuasa Maklumat dan Rekod antara penyumbang penulis tidak memblog. Data Sistem Maklumat Murid (SMM) belum lagi lengkap untuk dihantar pada 5 Feb minggu hadapan.
Tetapi penulis tidak dapat berbuat apa-apa kerana sebahagian murid belum menyerahkan borang maklumat. Sesekali, penulis merasakan yang penulis sudah tidak mampu untuk dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan ini. Tetapi ini bukanlah topik utama tulisan pada kali ini.

Topik utama yang penulis ingin luahkan pada hari ini ialah, kita semua sedia maklum bahawa tahun 2009 ini adalah tahun ke 5 Program j-QAF bagi sekolah 2005. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui oleh guru-guru j-QAF, tak kurang juga pihak pentadbiran dan pegawai-pegawai. Banyak juga komen yang telah didengar baik daripada guru-guru j-QAF dan juga pegawai-pegawai. Melihat kepada statistik pencapaian murid j-QAF, banyak pihak yang merasa gentar untuk menghadapi 2010. Kerana 2010 adalah tahun untuk menilai keberkesanan Program j-QAF sekolah 2005. Berapa peratuskah murid yang berjaya membaca Al-Quran seterusnya khatam? Berapa peratuskah murid yang berjaya khatam Al-Quran dengan kaedah Bacaan Ikut Guru? Begitu juga dengan Pemulihan Jawi, Kelas Bahasa Arab dan Kem Bestari Solat, berapa peratuskah mereka yang berjaya?

Namun, disebalik kebimbangan dan kegusaran kepada situasi tersebut, penulis merasakan kita harus bersyukur dan berterima kasih kerana Program j-QAF telah mula mengeluarkan hasil untuk dituai walaupun hasilnya buat masa ini bukanlah seperti yang diharapkan. Lihatlah pencapaian murid di sekolah masing-masing. Masihkah belum ada seorang pun murid yang belum menguasai Al-Quran dan tidak tahu mendirikan solat? Begitu juga dengan komponen j-QAF yang lain, masihkah tidak ada sorang murid pun yang belum menguasai? Dan persoalan yang terbesar ialah, masihkah ada pihak yang merasakan Program j-QAF langsung tidak memberi impak yang berguna kepada murid-murid?

Biarpun sedikit hasil untuk dituai sekarang, penulis dapat merasakan program ini telah mula menunjukkan hasil yang akan mengagumkan beberapa pihak. Tak salah rasanya berasa gembira selaku tuan kepada ladang. Walaupun bajanya dari guru GPI, digemburkan oleh KAFA, diairi dan dibasahkan seterusnya disuburkan oleh ibubapa, kita harus mengaku bahawa inilah kejayaan kita semua.

Tetapi tidak ada tuan ladang yang berhenti bekerja setelah menuai hasil yang pertama. Masih perlu bekerja keras untuk menambahkan hasil pada masa akan datang. Walaupun baja menyuburkan, tetapi ulat juga perlu dihapuskan. Berusaha dan berusahalah, kerana setiap usaha ada ganjarannya.

Tulisan penulis pada kali ini bukannya untuk syok sendiri, apatah lagi membangga diri. Tetapi, penulis melihat banyak pihak memberi komen yang 'menghentam'(maafkan penulis sekiranya 'menghentam' tidak sesuai digunakan). Baik di pihak atasan, mahupun di kalangan guru-guru j-QAF sendiri. Program kita yang punya, kerja kita yang buat, tak perlulah asyik menghentam seakan-akan kita terlupa untuk berterima kasih sesama kita.

Mungkin ada pihak yang mengatakan hentaman itu bukanlah untuk meruntuhkan tetapi untuk membina. Betulkah akan terbina? Bukankah guru j-QAF diajar untuk menyayangi anak muridnya di dalam mendidik mereka. Tidak dibenarkan berkasar walaupun sekadar mengetuk pen di kepala. Sekarang mari kita ubah situasi tersebut sesama kita. Apa salahnya kalau ditunjukkan, kita guru-guru j-QAF disayangi. Bukanlah pelukkan dan ciuman yang diharapkan, tetapi cukuplah ikatan ukhuwwah dan mahabbah menjadi pengikat supaya utuh dan berkekalan selamanya.

Mungkin selepas ini, sekiranya ada taklimat bersama pihak atasan, akan hilang 'mind setting' di kepala guru j-QAF,"apa lagi agaknya yang hendaklah dileterkan" dan sekiranya dipantau, "apa lagi yang tidak kena agaknya".

Pujilah pada yang perlu. Kerana pujian semestinya memberi motivasi. Yang mana pendek, kita sambungkan. Yang mana panjang, kita potongkan. Yang mana patah, kita sambungkan. Yang mana tawar, kita sedapkan. Seandainya kita sesama kita tidak memuji program kita, mungkinkah kita mengharapkan kepada rakan-rakan kita yang bergelar 'teacher' atau 'sir' untuk memuji dan merasa bangga dengan pencapaian kita?


BACA SETERUSNYA...

Khamis, November 27, 2008

Pemeriksa Kertas Ujian Kemasukan ke SMKA Ambilan 2009

Tarikh : 26 dan 27 November 2008
Tempat : SK Kebun Pinang
26 November (Rabu), penulis ke SK Kebun Pinang bersama Ust Shahfirizal SK Kodiang. Beliau juga pemeriksa kertas ujian tersebut. Selepas mendapat taklimat dari Ust Harun JPNK, kami masing-masing pakat memeriksa kertas jawapan tersebut.
Macam-macam jawapan yang diterima. Ada yang lulus cemerlang, ada yang tak mampu mencapai 40%. Namun, semestinya untuk memasuki SMKA memerlukan markah yang cemerlang. Gambar di atas kelihatan Ust Shah sedang melepaskan dahaga. Penat ka ustattt? hehe!
27 November (Khamis), penulis lagi sekali ke SK Kebun Pinang bersama-sama Ust Shah. Hari ni tugas kami adalah untuk memasukkan markah ke dalam sistem data. Walaupun kami bertungkus lumus berusaha menyiapkan secepat mungkin, namun tak dapat juga kami menyudahkannya.
Hal ini disebabkan ada beberapa orang daripada jawatankuasa yang tidak hadir, menyebabkan tugas tak dapat diagihkan mengikut seperti yang dirancang. Terpaksa la pihak JPNK menyiapkan sendiri baki markah yang belum di ‘key in’.


BACA SETERUSNYA...

Bertugas 1 hari di SK Hosba

Selasa (25 November), penulis ke SKH untuk giliran bertugas 1 hari. Penulis bertugas bersama Cikgu Shukri. Tiada apa yang dapat penulis bantu kerana pihak pentadbiran SKH tidak sibuk, maka penulis berada di bilik guru membersihkan apa yang perlu.

Setelah tengahari pun tiada apa pun pertolongan diperlukan. Nampaknya, penulis menyiapkan urusan peribadi aje la... Hehe!

Pukul 2 setelah menunaikan Solat Zohor, penulis pun bertolak pulang ke rumah.


BACA SETERUSNYA...

Seminar Kajian Tindakan Peringkat Negeri Kedah.

Tempat : Hotel Grand Continental, Kuah Langkawi.
Tarikh : 22 hingga 24 November 2008.
Kehadiran : Pengamal Kajian Tindakan Negeri Kedah (sekitar 200 orang)
Penulis dan pengamal kajian tindakan yang lain berkampung di Langkawi selama 3 hari 2 malam. Penulis hadir selaku peserta sahaja. Boleh la mengambil pengalaman bagaimana seminar ini berlangsung.

Turut bersama-sama hadir ke Langkawi ialah Pn Noriza, guru SKH yang juga merangkap Jurulatih Utama Kajian Tindakan Negeri Kedah. Untung sekolah ada JU yang aktif ni. Boleh mendapat tunjuk ajar dengan betul. Penulis pun bertambah semangat untuk terus aktif dalam kajian tindakan ini pada tahun akan datang.

Penulis amatlah berharap, rakan-rakan j-QAF dan GPI dan yang pun turut bersama-sama aktif dalam kajian tindakan ni. Penulis berkata demikian kerana penulis melihat rakan-rakan mempunyai idea yang bernas lagi mantap kalau nak dibandingkan dengan penulis. Cuma mungkin tak tahu hendak salurkan ke mana. Kajian Tempatan ini lah antara tempat untuk menyalurkan idea kawan-kawan yang bernas tu.

Bagus diadakan seminar macam ni. Boleh berkembang minda kita. Dan kita boleh memperkembangkan lagi kepada rakan-rakan guru yang lain. Semoga usaha ini berterusan.


BACA SETERUSNYA...

Sabtu, November 15, 2008

Sekolah bercuti, kursus dihadiri

Musim cuti sekolah telah tiba. Inilah saat yang menggembirakan bagi murid-murid sekolah serta tak ketinggalan juga para guru. Mana tidaknya. Inilah masanya untuk masing-masing merehatkan diri dari bebanan tugas seharian.

Paling seronok adalah guru-guru yang tinggal jauh di luar negeri. Inilah masanya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing membawa keluarga bersama. Ada di antara guru yang meminta pelepasan ketika diberi surat untuk berkursus. Penulis tak mahu komen apa-apa berkaitan hal ini. Rujuklah kepada pentadbiran. Mungkin ada jalan penyelesaiannya di situ.

Penulis sendiri telah mendapat 2 surat rasmi untuk bertugas pada musim cuti ini(tak termasuk urusan dengan SK Hosba). Surat pertama untuk berkursus berkaitan Kajian Tindakan di Langkawi (22-24 November) dan surat yang kedua pula dilantik sebagai pemeriksa kertas ujian bagi murid-murid yang memohon masuk ke SMKA di SK Kebun Pinang, Alor Star (26-27 November). 25 November pula penulis bertugas sehari di SK Hosba. Ini bermakna, seminggu penulis bertugas secara rasmi di musim cuti sekolah ini.

Namun, apa boleh dikatakan adalah,
Positifkan diri walaupun sibuk dengan kenduri.
Positifkan diri walaupun dirajuk anak dan isteri.
Positifkan diri demi kecemerlangan diri sendiri.

Selamat bercuti untuk semua. (untuk mereka yang bercuti sahaja).


BACA SETERUSNYA...

Mesyuarat Penyediaan Pelaporan Program Pendidikan Islam

Tempat : Puncak Janing Sentosa Campsite
Tarikh : 11 November 2008

Aktiviti 1 - Menyiapkan Laporan Kursus Pemantapan j-QAF dan Kursus Pendedahan SP dan HSP Bahasa Arab Tahun 2008
Aktiviti 2 - Membantu Pegawai Khas j-QAF menyiapkan laporan aktiviti j-QAF daerah seperti Majlis Khatam Al-Quran, Kem Literasi Al-Quran, Kem Bina Juara dan sebagainya.

Kehadiran :
1) Pegawai-pegawai dari JPN
2) Pegawai-pegawai dari PPD
3) Jurulatih Utama j-QAF Negeri Kedah

Gambar diatas ketika Majlis Penutupan. Penulis menerima cenderahati daripada Tn Hj Mohd Rushdan bin Azizan, Pen. Pengarah Pelajaran (Teras), JPNK.

Berita lanjut, sila lihat blog Tn Haji Mohd Rushdan di http://blogsppimkedah.blogspot.com/2008/11/mesyuarat-penyediaan-pelaporan-program.html


BACA SETERUSNYA...

Selasa, November 11, 2008

Kem Literasi Al-Quran Kali ke 3/2008

Isnin (10 November), akhirnya KLAQ Kali 3 selamat diadakan. Murid tahun 2, 3 dan 4 yang masih belum menguasai Iqra 4 telah menyertai kem pada kali ini.

Kem pada kali lebih meriah dengan kehadiran guru-guru KAFA. Ini bukanlah kali pertama barisan guru KAFA menolong program j-QAF. Tetapi pada kali ini lebih meriah dengan kehadiran mereka kerana ini adalah kem terakhir pada tahun ini.

Aktiviti kem adalah seperti biasa iaitu LDK dan menyiapkan lembaran kerja. Peserta kem nampaknya menunjukkan minat dengan diadakan kem seperti ini. Salah satu sebabnya adalah makan free. Hehe!

Rajin-rajin mengaji ye anak-anak. Kalau tak tahu, jangan malu bertanya.. :-)


BACA SETERUSNYA...

'Compile' Data E-Pelaporan Peringkat Negeri Kedah

Program diadakan di

Tempat : PPD Kulim
Tarikh : 9 November 2008

Bertolak dengan Ust Hafiz SK Taman Uda. Jenuh sesat juga nak cari PPD Kulim tu. Maaf la orang Kulim. Tak pernah pi ke PPD tu:-)

Compile data akhirnya siap pada pukul 3 petang. Data daerah masing-masing diserahkan kepada Ust Akmal. Hebat Ust Akmal ni.
Gambar di atas kelihatan Ust Wan Kamal senyum ceria. Kerja dah siap dan data dah tepat kot. Hehe! Masalah yang dihadapi oleh petugas di bahagian data j-QAF ini ialah, data tidak tepat seperti dikehendaki.

Selesai tugasan data, Ust Hafiz ajak ke Mukhayyam Bahasa Arab j-QAF Negeri Kedah bertempat di Kem PLKN Kulim. Alang-alang dah dekat, jom je la. Boleh jugak tengok kawan-kawan buat kerja.
Gambar diatas kelihatan Ust Anwar, Pegawai dari JPNK dan Ust Azizi, Ketua Fasilitator program, sedang menyiapkan tugasan.


BACA SETERUSNYA...

Majlis Perpisahan Tahun 6 dan Majlis Meraikan Guru Bertukar

Khamis (6 November), Setelah berpenat lelah menyiapkan data E-Pelaporan di sebelah siangnya hingga ke petang, bergegas pulak ke SK Hosba.
Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Ust Mohmad Shukri. Seterusnya majlis bacaan Yasin juga dikhalifahkan oleh Ust Mohmad Shukri dan ucapan oleh wakil murid tahun 6 dan ucapan guru yang bertukar. Seterusnya solat Isyak berjemaah diimamkan oleh penulis.

Seterusnya adalah acara kemuncak iaitu jamuan. Macam-macam menu disediakan antaranya sate, laksa, nasi, kuih, pembasuh mulut dan juga buah-buahan.
Guru boleh membawa seisi keluara turut bersama-sama memeriahkan majlis. Ala-ala hari keluarga pulak.
Gambar di atas kelihatan barisan guru-guru lelaki sedang bergurau senda berjekana. Ntah apa la yg lawaknya tu. Hehe!

Nanti tahun depan nak cadang kat badan kebajikan staf supaya diadakan Hari Keluarga. Dah ada sekolah yang buat Hari Keluarga ni.


BACA SETERUSNYA...

'Compile' Data E-Pelaporan j-QAF Kubang Pasu

Program diadakan

Tempat : PKG Ayer Hitam
Tarikh : 6 Novermber 2008

Penggabungan berjalan dengan jayanya walaupun terdapat beberapa kesalahan pengisian data oleh sekolah-sekolah tetapi masalah itu dapat diselesaikan.

Tunggu penggabungan di peringkat negeri pulak la macamana nanti. Tetapi tak risau sangat kerana fasilitator E-Pelaporan di peringkat negeri Kedah pun terdiri dari kalangan fasilitator dari daerah Kubang Pasu juga. Habuan j-QAF Kubang Pasu la pakar E-Pelaporan ada di sini. Hehe


BACA SETERUSNYA...

Jumaat, November 07, 2008

Peperiksaan Akhir Tahun.

Pada 2 Nov hingga 4 Nov, murid SK Hosba menghadapi Peperiksaan AKhir Tahun. Tak ketinggalan juga murid tahun 6 yang turut bersama menduduki peperiksaan tersebut.
Pada peperiksaan kali ini, murid tahun 4 tidak lagi menjawab soalan Bahasa Arab. Mereka telah menjawab kertas tersebut ketika ujian PKSR menggunakan soalan yang dibekalkan oleh KPM. Minggu depan adalah minggu terakhir mereka belajar. Begitu juga dengan guru-guru, minggu depan adalah minggu terakhir mengajar.

Cuti sekolah…siapa tak seronok kan. Heheh!


BACA SETERUSNYA...

Ahad, November 02, 2008

Bengkel Pembinaan JSI Dalam Penyediaan Soalan Ujian

Sabtu (1 Nov), SKH sekali lagi mengadakan kursus dalaman bertempat di makmal komputer sekolah. Kali ini dikhususkan kepada pembinaan JSI. Beberapa panitia telah mengambil bahagian dalam pembinaan Jadual Spesifikasi Item (JSI) pada kali ini seperti Panitia Bahasa Melayu, Panitia Sains, Panitia Bahasa Inggeris dan Panitia Agama Islam (PAI).

PAI mengadakan kursus di kelas Tahun 3A. Hal ini akan memudahkan PAI membina soalan-soalan berdasarkan JSI yang dibina. Pada kali ini barulah terang dan nyata bagaimana JSI begitu membantu untuk guru-guru membina soalan mengikut aras dan jumlah soalan yang diperlukan.

Sebelum ini, penulis boleh dianggap jahil berkaitan JSI ini. Jutaan terima kasih kepada Ust Shukri dan juga Ustazah Hazirah yang telah menjadi fasilitator ketika sesi penerangan JSI.


BACA SETERUSNYA...

Kursus Khas Guru Pendidikan Islam Program j-QAF Fasa 1 2008


Khamis (30 Okt), satu kursus khas untuk Guru Pendidikan Islam Program j-QAF (GPI j-QAF) diadakan di Puncak Janing Sentosa. Peserta kursus khas tersebut adalah guru-guru GPI j-QAF kohort 2005 dan 2006 bagi daerah Padang Terap / Pendang (PTP) dan Kubang Pasu (KP).

Maka berkumpullah sekalian guru-guru j-QAF di Puncak Janing Sentosa tersebut. Teramatlah hairan bagi penulis tatkala menerima surat jemputan dari PPD Kubang Pasu. Bagaimana mungkin surat ber’kepala surat’ PPD KP menjemput GPI j-QAF KP menghadiri kursus di luar daerah. Sengaja mahu membawa guru-guru makan angin kah? Tetapi tatkala melihat sahabat-sahabat dari daerah PTP pun turut hadir ke kursus tersebut, maka fahamlah penulis akan keadaannya.

Kursus tersebut amatlah berguna bagi guru-guru yang ‘mahu menggunakannya’. Manakala, sekiranya bagi guru-guru yang tidak mahu menggunakannya, amatlah dirasakan kursus tersebut tidak memberi faedah apa-apa kepadanya.

Antara faktor yang ditekankan di dalam kursus tersebut adalah mengenai etika kerja seorang guru dan mengenai protokol yang perlu dipatuhi terutama mengenai etika berpakaian. Maka faham penulis akan etika berpakaian yang sebenar.

Pihak penganjur juga menyediakan ‘hard copy’ kursus tersebut. Namun, amatlah terkilan di hati penulis kerana buku tersebut diserahkan ketika masa pulang. Alasan penganjur, supaya peserta kursus tidak membelek sahaja buku tersebut ketika penceramah sedang berceramah. Logik juga alasannya. Namun, alasan penulis untuk terkilan adalah, sekiranya buku tersebut diserahkan terlebih awal, bolehlah peserta men‘dhabit’ terus di atas buku tersebut. Maka, takkan terpisahlah (hilang) dhabit itu dari kitab ‘turath’nya. Alasan penulis ini pun, logik juga bagi penulis:-)

Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan kursus khas ini. Penulis amat menghargainya. Nanti tahun depan, jangan lupa jemput lagi. Hehe!


BACA SETERUSNYA...

Kem Bestari Solat (KBS) Tahun 1 dan 2 kali 4/2008.

Selasa (29 Okt) telah selesai diadakan KBS untuk sesi tahun ini. Murid tahun 1 dan 2 telah hadir beramai-ramai sebagai peserta kem.

Program dimulakan dengan makan tengah hari di kantin. Kemudian, peserta dipersilakan ke surau untuk solat Zohor berjemaah. Selesai solat, peserta dibahagikan kumpulan dan bergerak ke tempat yang telah ditetapkan mengikut fasilitator masing-masing untuk dilatih mengikut modul KBS seperti yang telah diarahkan.

Terima kasih kepada pihak pentadbir, rakan-rakan GPI dan GPI j-QAF yang bersama-sama menggembeling tenaga demi agama, bangsa dan negara.


BACA SETERUSNYA...