Link Within

Blog Widget by LinkWithin

Peperiksaan Pertengahan Tahun SK Jabi Bermula

>> Ahad, 24 Mei 2009


Bermula hari ini hingga 4 hari berikutnya murid-murid SK Jabi akan menduduki peperiksaan pertengahan tahun bagi mengukur penguasaan dan pencapaian mereka terhadap topik-topik yang telah dipelajari. Unit j-QAF SK Jabi mengucapkan selamat menempuh peperiksaan kepada semua murid dan semoga berjaya.

Read more...

Download Format Laporan Pencapaian j-QAF 2009 Versi 9.3 (e-Pelaporan)

Sumber daripada http://jqafmelaka.blogspot.com

Read more...

Ujian Tilawah AL Quran Program j-QAF SK Jabi

>> Rabu, 20 Mei 2009


Mulai hari ini hingga 21 Mei, murid-murid pelaksanaan program j-QAF SK Jabi akan menduduki ujian tilawah Al Quran bagi mengukur tahap pencapaian mereka terhadap program khatam Al Quran dan tasmik yang dijalankan selama ini. Markah ujian ini akan dimasukkan ke dalam peperiksaan pertengahan tahun.

Dapatan hari pertama ujian menunjukkan pencapaian yang pelbagai. Ada yang dapat membaca dengan baik, ada yang tergagap-gagap malah ada juga yang masih tidak tahu membezakan huruf dan baris. Tak tahulah dimana silapnya. Adakah salah guru yang mengajar? Atau murid yang tidak ambil peduli. Yang pasti guru-guru Pendidikan Islam dan j-QAF SK Jabi telah cuba sedaya upaya untuk memastikan semua murid dapat menguasai bacaan Al Quran dengan baik.

Kami berkeyakinan jika guru, murid dan ibu bapa sama-sama berperanan dan bertanggungjawab apa jua masalah dapat diatasi. Justeru kepada murid yang masih merangkak-rangkak dan tergagap-gagap rajin-rajinlah membaca di rumah. Mintalah bantuan ibu, bapa, abang, kakak atau siapa sahaja yang mahir. Luangkanlah masa mengikuti kelas mengaji di kampung-kampung atau di taman-taman perumahan. Hadirilah kelas KAFA. Banyak manfaatnya daripada membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Kepada ibu bapa tengok-tengokkanlah anak. Buatlah apa yang sepatutnya kerana anak merupakan aset yang amat bernilai di dunia mahu pun di akhirat.

Kepada murid-murid yang dapat menguasai bacaan dengan baik tahniah diucapkan dan teruskan usaha anda. Semoga lebih ramai lagi murid dapat mengikut jejak kalian.


Read more...

LDP : Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Komputer Grafik Adobe Photoshop Siri Pertama

>> Selasa, 19 Mei 2009

.::Klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas::.

Pada 16 Mei yang lepas telah diadakan Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Komputer Grafik Adobe Photoshop siri yang pertama. Kursus ini telah disampaikan oleh Encik Zakariah Bin Abd. Ghani; pensyarah di Jabatan Pendidikan Seni Visual, Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim. Kursus pada kali ini antara lain memberi pendedahan kepada para peserta tentang cara-cara untuk menukar warna imej, memasukkan teks dan menyunting imej. Siri kedua kursus ini akan diadakan pada 23 Mei akan datang.


Read more...

Sekitar Majlis Sambutan Hari Guru SK Jabi

>> Ahad, 17 Mei 2009

Hari ini telah berlangsung Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Kebangsaan Jabi. Pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan guru, murid dan waris telah diadakan. Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat diambil sepanjang aktiviti berlangsung.

Gambar A : Encik Ahmad Bin Hassan sedang memimpin bacaan tahlil ringkas
Gambar B : Bacaan perutusan Menteri Pelajaran oleh Encik Helmi Bin Mohamad
Gambar C : Persembahan deklamasi sajak oleh Adik Rahimah Binti Ahmad
Gambar D : Bacaan ikrar yang diketuai oleh Encik Ahmad Bin Din

Gambar E : Guru-guru sedang menyanyikan lagu tema hari guru
Gambar F : Sumbangan kek daripada wakil PIBG
Gambar G : Majlis pemberian cenderahati oleh murid
Gambar H : Sukaneka (kategori lelaki)

Gambar I : Sukaneka (kategori lelaki)
Gambar J : Sukaneka (kategori perempuan)
Gambar K : Sukaneka (kategori perempuan)
Gambar L : Persembahan nasyid oleh murid-murid

Read more...

Selamat Menyambut Hari Guru 2009

UNIT j-QAF SK JABI MENGUCAPKAN
"SELAMAT HARI GURU
"

Sajak Guru Oh Guru oleh Sasterawan Negara; Usman Awang membawa makna yang besar kepada warga pendidik. Mungkin kita tidak pernah atau jarang menghayatinya. Sempena Sambutan Hari Guru 2009 ini, kami mengajak kepada seluruh warga guru untuk membaca, memahami serta menghayati sajak ini. Mudah-mudahan ia akan menjadi pendorong kita untuk menjadi guru yang cemerlang sepanjang perkhidmatan.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

SASTERAWAN NEGARA USMAN AWANG
1979

Read more...

Lagu Hari Guru 2009

>> Jumaat, 15 Mei 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi

Read more...

Jadual Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009

JADUAL PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2009

SESI PAGI (TAHUN 4, TAHUN 5 & TAHUN 6)
SESI PETANG (TAHUN 1, TAHUN 2 & TAHUN 3)

RESOS (TAHUN 4, TAHUN 5 & TAHUN 6)

RESOS (TAHUN 1, TAHUN 2 & TAHUN 3)

Catatan :

  1. Guru Pengawas Peperiksaan bertugas mengikut jadual waktu semasa.
  2. Buku Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) hendaklah diserahkan kepada Penolong Kanan Pentadbiran (PK1) pada atau sebelum 21 Jun 2009.
  3. Markah ujian hendaklah dihantar kepada Setiausaha / Penolong Setiausaha Peperiksaan pada atau sebelum 21 Jun 2009.

Read more...

Filem Melayu Makin "Sesat"

>> Selasa, 5 Mei 2009

Inilah realiti dunia perfileman Malaysia masakini. Filem yang langsung tidak mencabar minda malah lebih memandulkan otak penonton. Kebanyakan filem-filem Malaysia hanya tahu mengetengahkan cerita berunsurkan lawak, hantu, gejala sosial, cinta monyet dan sebagainya. Lihat saja lambakan filem seperti "Anak Halal", "Remp-it", "Impak Maksima" yang masih rendah harga diri dan maruahnya. Ikhtilat, berpeluk, bercium, dedah sana, dedah sini. Adakah ini yang diajar oleh Rasulullah? Bersetuju dengan pendapat Dato' Seri Dr Rais Yatim, filem-filem yang hendak dihasilkan seharusnya menggambarkan wajah Malaysia yang kaya dengan nilai ketimuran, kesantunan dan pegangan agama.

Adakah ini wajah sebenar masyarakat Malaysia?

Kenapa perlu diangkat martabat MAT REMPIT? Apa baiknya menjulang nama BOHSIA? Khuatir setelah "Remp-it" difilemkan, mat-mat rempit ni akan rasa "dihargai" menyebabkan mereka makin berkuasa di jalan raya. Gerunnya apabila perkataan dan gejala BOHSIA sudah sebati dengan masyarakat, menyebabkan bilangan mereka semakin bertambah dan tidak mustahil masyarakat akan terbiasa dengan firqah-firqah ini malah mungkin lebih dipandang mulia dari pendakwah. Nauzubillah!

Teruja dan kagum dengan filem-filem Indonesia dan Iran yang banyak menerapkan unsur -unsur dakwah dan akhlak Islamiah. Sudahkah anda menonton filem “Sang Murobbi” yang mendapat sambutan menggalakkan itu? Tidak teruja dan tersentuhkah anda dengan filem “Children of Heaven” yang sarat dengan nilai-nilai moral yang tinggi? Melalui filem-filem ini, dapat dilihat dengan jelas bagaimana bangsa Indonesia dan Iran itu diangkat tinggi, bermaruah dan dihormati. Filem kita pula bagaimana? Tepuk dada tanyalah iman.

Entri ini ditulis bukanlah bertujuan untuk meng'condem' filem-filem melayu apatah lagi menghina bangsa sendiri tetapi lebih kepada untuk menegur agar kita sama-sama dapat memperbaiki dan mempertingkatkan keadaan kita supaya menjadi lebih baik.

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud yang bermaksud : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

Ayat ini diletak bagi mengingatkan kita bahawa proses berlakunya kemusnahan, kehancuran dan keruntuhan negara memang diperakui oleh Allah melalui kalamNya. Allah mengingatkan kita bahawa sesebuah negara dan tamadun itu akan hancur jika mereka sendiri tidak membaiki keadaan mereka. Wallahu'alam...

Read more...

Belajar Format Laptop

>> Ahad, 3 Mei 2009

Tak tahu nak format laptop? Mungkin sebelum ini, anda sering menghantar laptop ke kedai untuk diformat. Namun setelah anda membaca panduan ini, anda boleh lakukannya sendiri tanpa perlu menghabiskan duit untuk membayar kos format laptop di kedai. Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda untuk menjaga dan memastikan kesihatan laptop sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Read more...

Blog Terbaru SK Jabi

>> Jumaat, 1 Mei 2009

Layari Blog Rasmi SK Jabi di http://skjabi.blogspot.com

Read more...

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP