Tuesday, May 28, 2013

Hadirku Untuk Mengubat Luka



     Susah nak lelapkan mata malam ni. Kaki sakit, berdenyut-denyut rasanya balik dari kerja petang tadi. Mungkin aku perlu beli kasut kerja baru. Salahkan kasut. Layan lagu-lagu rock lama sementara menunggu mata mengantuk. Kita Serupa, one of my all time favorite song. Dinyanyikan oleh Zainal Abidin. Ya, Zainal Abidin bermula sebagai vokalis kumpulan Headwind sebelum bergerak solo pada tahun 1989. Tentu ramai yang sudah tahu tentang itu. Sekadar info tambahan... hehe. Solo or not, vokalnya adalah antara yang terbaik di Malaysia. Dan lagu ini sangat berhantu... ohh terbuai perasaanku.

     Okay, kaki ini mahu diurut. Denyutannya dah macam rentak K-Pop dah. Potong stim betul. Di mana aku letak minyak urut Mas Cotek aku tadi...

Gambar ini sengaja di'vintage'kan
untuk memberikan rasa 80'an di situ...

     Selamat malam semua...

P/S: Benarkah lagu-lagu zaman sekarang kurang jiwa?


Monday, May 27, 2013

Mood Pagi Yang Dirosakkan

25/5/2013, 9 AM
Di dalam teksi menuju ke LRT...

     "Pergi kerja ke dik?"
     "A'ah pergi kerja..."
     "Kerja apa?"
     "Florist..."
     "Florist?"
     "Ya... buat gubahan bunga untuk majlis-majlis, hotel..."
     "Kau ni nampak jantan, suara macho... kerja buat bunga... hahaha!"
     Siot betul la. Aku tersenyum paksa. Sudah biasa dengan kata-kata sinikal yang aku anggap agak kurang cerdik itu. Mungkin dia patut makan kismis banyak-banyak. Aku diam saja. Cuba menghayati lagu di radio. Lagu siapa entah. Menyedari aku tidak memberi respon, dia menyambung lagi...
     "Minat ke? Biasanya perempuan aja yang minat kerja buat bunga ni. "
     Okay dia benar-benar clueless...
     ":Saya minat seni. Buat bunga ni pun kira seni juga..."  
     "Kau tak minat berlakon? Menyanyi ke? Seni juga apa..."
      Aku tergelak kecil. Ya, typical malaysian. Kita selalu meletakkan penyanyi dan pelakon, 'orang seni' di ranking teratas.
     "Tak.. tak... itu seni lain...hehe, " kataku. "Tapi saya suka melukis juga..."
     "Ha... kau tak jadi pelukis pula? Dari kau kerja buat bunga, baik kau jadi pelukis..."
     Okay fine... that sounded like an insult. 'dari kau kerja buat bunga???'. Menyirap.
     "Dah rezeki saya kat situ abang. Macam abang juga, takkan masa kecik dulu abang bercita-cita nak jadi drebar teksi aja. Mesti ada cita-cita besar yang lain kan. Kenapa abang tak jadi doktor... lawyer..." balasku. Sekilas di minda terbayang Mak Dara (Nyonya Mansor) menyambung "...majistrett?!"
     "Ohh yalah... betul juga tu..." katanya, lalu terdiam.
     "Qada dan Qadar..." kataku lagi perlahan. Ringkas. Harap dia faham maksud aku. Bukan berniat merendah rendahkan pekerjaan pemandu teksi. Ayah aku juga  pernah bekerja sebagai pemandu teksi untuk 'sementara', semasa zaman kegawatan ekonomi negara tahun 90an dulu.
     Aku turun dari teksi sesampainya di LRT Bandar Tasik Selatan, dengan perasaan puas.  Bukan kerana aku 'menang', tapi kerana aku telah menyedarkan seseorang hari ini, betapa ketentuan Tuhan itu tak siapa mampu melawan. Tidak, aku tidak menyalahkan takdir, aku gembira dengan pekerjaanku dan aku tumpahkan segala kekreatifan yang 'dipinjamkan' Tuhan, pada kerja ini. Ada hikmahnya di situ. Dan... ohh aku sangat tidak suka kalau mood pagi aku dirosakkan.
     Entri ini aku tujukan buat semua lelaki yang bekerja di dalam bidang yang sering distereotype sebagai 'kerja perempuan' (penggubah bunga, tukang jahit, tukang masak, jururawat, jurumekap, pendandan rambut etc.). Sekurang-kurangnya anda (kita) tidak menganggur.





Saturday, May 18, 2013

Cina Buta? That Sucks!

Novel Usah Menangis Sayang karya Aini Marisha

     Ini bukan entri rasis dan aku sama sekali tidak menyokong perbuatan rasis sesama manusia. Cina Buta adalah istilah yang digunakan di dalam keadaan di mana jika seorang suami telah menceraikan isterinya dengan talak tiga, dan kemudian mahu kembali kepada isterinya itu… ughh (rolling eyes)… isterinya itu mestilah berkahwin dengan orang lain terlebih dahulu dan jika suami barunya itu menceraikannya, barulah dia boleh kahwin semula dengan suami lamanya. Haiyoo… berbelit-belit ayat.

     Isma dan Tini adalah sahabat sehati sejiwa. Mereka umpama belangkas, sukar dipisahkan. Persahabatan yang terjalin sejak dari kecil menjadikan mereka saling memahami antara satu sama lain. Ibaratnya andai dicubit salah seorang dari mereka, yang seorang lagi pasti terasa juga sakitnya. Atas nama persahabatan itulah,  mereka berjanji akan setia bersama untuk selamanya.

     Dengan takdir tuhan, mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti yang sama, Universiti Malaya. Disinilah cinta antara Isma dan pensyarahnya, Syed Imran mula terjalin. Tini pula mula berputik cintanya pada abg kandung Isma, Faizul yang sering melawat mereka di universiti. Namun cinta Tini dan Faizul menghadapi tentangan dari ibu Faizul, Syarifah Khadijah. Baginya seorang yang bergelar syed perlu berpasangan dengan syarifah dan tidak ada kompromi di situ. Itu hanya alasan semata-mata. Ada sesuatu yang lebih peribadi yang membuatkan Syarifah Khadijah membenci Tini. Dendam masa silam…

     Isma dan Syed Imran mengikat percintaan mereka dengan perkahwinan. Konflik tercetus apabila Isma dan Syed Imran berselisih faham dan akhirnya terlafazlah talak 3 ke atas Isma. Tarlajak kata tanggunglah sendiri. Pasangan gelabah ini mula hilang punca. Bagaimana harus mereka memulakan hidup yang baru, sedangkan tembok cinta itu masih utuh berdiri. Cewahh! Dalam diam mereka merancang sesuatu.  Sesuatu yang dapat menyatukan mereka kembali.

     Cina buta. Hanya itulah jalan terbaik untuk mereka kembali bersama. Tini terperangkap oleh keadaan. Rayuan Isma yang memintanya untuk berkahwin dengan Syed Imran menjerat dirinya. Kerana sayangnya pada seorang sahabat, dia sanggup 'dipergunakan'. Akhirnya rancangan itu diteruskan tanpa pengetahuan keluarga Isma termasuk Faizul sendiri. Tini pasrah, walaupun terpaksa melupakan Faizul. Keadaan makin kusut, apabila setelah Tini dan Syed Imran berkahwin, Isma pula kemalangan. Namun jasadnya hilang entah kemana, dikhuatiri sudah hanyut dibawa arus sungai. Apa yang terjadi seterusnya pada Tini dan Syed Imran? Bagaimana pula dengan Faizul? Bacalah novel ini untuk mengetahui cerita yang selanjutnya.

     Alangkah bertuahnya mempunyai sahabat yang sanggup melakukan apa sahaja demi kasihnya pada seorang sahabat. Novel ini mengajar kita tentang erti persahabatan sebenar, walaupun mungkin in real life, di zaman ini sahabat seperti itu sukar dicari. Namun itulah yang dikatakan fiksyen, tidak semestinya mengikut acuan dunia sebenar. Tapi tidak ada salahnya untuk kita menghayati kisah persahabatan sejati ini, dan ambil iktibar daripadanya. Semoga selepas membacanya, kita akan terdorong untuk menjadi sahabat yang sebaik dan sesetia Tini.

     Novel dari penulis Aini Marisha ini tidaklah semelankolik tajuknya. Aku cuma terasa sedih apabila Tini berpisah dengan ibunya buat kali pertama untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, kerana aku pernah melalui pengalaman itu. Cumanya aku tak masuk universiti, aku masuk kolej sahaja. Hehe. Berpisah dengan ibu yang menjaga kita dari kecil, demi untuk menuntut ilmu di tempat orang bukanlah suatu perasaan yang menggembirakan. I can relate to that. The rest of the story… hmm kurang terasa sedihnya. Apapun kekreatifan Aini Marisha dalam memanipulasikan watak-watak dalam novel ini harus dipuji. Tidak tipikal, dan jalan ceritanya bolehlah tahan. Aku suka endingnya. ;-)

P/S: 3.5 bintang...

Tuesday, May 14, 2013

Kerana Percayakan Nabila



     Bisikan Syaitan... berkesempatan menonton filem ini minggu lepas. Not what I had in mind...


     Aku tonton filem ini kerana Nabila Huda.  Awalnya merancang untuk menonton Iron Man 3 (kerana Robert Downey Jr adalah aktor Hollywood kegemaran aku). Tapi Fauzi, kawan aku yang dah lama tak jumpa, beria ia mahu menonton ‘Bisikan Syaitan’. Filem Iron Man dah lama tayang kat panggung katanya, baik tengok yang baru. Aku pandang poster itu, Aku teliti nama para pelakonnya. Fizz Fairuz? Not a fan. Wan Sharmila? Kurang minat juga. Azam Pitt? Azam whooo???  Pelakon baru ek? NEXT! Nabila Huda. Ohh I love Nabila. Aku memang meminati Nabila Huda. Bukan sahaja kerana lakonannya, tapi juga kerana wajahnya yang eksotik itu begitu memikat hati. Dan bagi aku, dia umpama chameleon. Wajahnya berubah ubah mengikut kesesuaian setiap watak yang dipegang. Berilah apa saja watak, dia pasti akan menjayakannya. Oh Nabila...

"apa tengok-tengok?"

     “Okay… sekarang kau nak tengok Iron Man ke, Bisikan Setan?” tanya Fauzi kepada aku yang terpaku di hadapan poster filem ini. "Kalau aku, aku nak tengok Bisikan Setan..." sambungnya lagi tanpa ditanya. Seriously, aku tak pernah dengar dan tengok  pun promo tentang filem ini di dalam mana-mana media massa... atau adakah aku yang ketinggalan? Tapi kerana Nabila…

     “Bolehlah… bisikan syaitonirrojim…” kataku sarkastik. Ya, semuanya kerana Nabila.


     Filem ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri, Soraya dan Kamil, yang mengambil jalan mudah untuk hidup senang dan menjadi kaya; iaitu dengan membuat perjanjian dengan syaitan. Harga berupa nyawa manusia perlu dibayar. Ya, demi mengejar kekayaan dunia, mereka sanggup membunuh. Akhirnya, perbuatan syirik ini menjerat diri mereka sendiri. Soraya ditangkap polis dan… ahh malaslah nak tulis sinopsis filem ni panjang-panjang.

     Konsentrasi aku untuk menonton filem ini sedikit terganggu oleh jeritan penonton di dalam panggung terutama sekali yang duduk di sebelah aku. Siapa lagi kalau bukan Fauzi. Kenapalah kau terjerit-jerit wahai sahabatku… huhu. Selama aku berkawan dengannya, aku tak pernah tahu yang dia seorang yang mudah terkejut. Sudah menjerit, boleh pula ketawa terkekeh kekeh. Kau dah kenapa Fauzi? “Macam si*l la citer ni… “ katanya sambil berpura pura berlagak cool setiap kali tersentak. Lohh, bukankah kau yang nak tengok sangat? 

     Ya, banyak elemen kejutan disajikan kepada penonton. Memang filem ini bukan untuk tontonan mereka yang mempunyai masalah jantung atau yang mudah terkejut/kaki latah. Tapi untuk mengatakan filem ini adalah filem seram yang berjaya menaikkan bulu roma, mungkin tidak. Berjaya memberi kejutan, ya. Dan seperti kebiasaan, akan ada penonton-penonton yang ketawa pada babak-babak yang tidak sepatutnya mereka ketawa. Kali ini, aku juga termasuk dalam kategori itu.

     Sejujurnya, aku terasa seperti menonton cerekarama di TV3. Maaf, bukan bermaksud untuk memperlekehkan karya anak tempatan, cuma secara peribadi  bagi aku filem ini selayaknya ditayangkan di tv sahaja sebagai sebuah telemovie. Ceritanya terlalu simple untuk ditayangkan di pawagam. Dan apabila penonton boleh lagi ketawa menonton babak-babak seram yang sepatutnya menimbulkan perasaan takut, dapat disimpulkan di situ bahawa elemen seram yang cuba disuntik di dalam filem ini tidak begitu menjadi. Berbeza situasinya semasa aku menonton filem Khurafat tahun lepas. Unsur seram dan kejutan yang bergerak seiring sangat berkesan, membuatkan penonton tidak ada masa untuk bergelak ketawa pada babak babak yang tidak sepatutnya diketawakan. I mean, come on… mendukung mayat yang sudah dikapankan seperti pocong, di tengah-tengah hutan belantara malam-malam buta…EPIC!

     Mujurlah lakonan pemain-pemain watak di dalam filem ini boleh dianggap berada pada tahap yang memuaskan. Fizz Fairuz, Azam Pitt dan my girlfriend (dalam mimpi) Nabila Huda menampilkan lakonan yang bagus. Cuma watak Kamalia (adik kepada Kamil), kurang sesuai dimainkan oleh Wan Sharmila pada pandangan aku, kerana mungkin sifat semulajadinya yang terlalu ‘manja’ tidak membantu menguatkan watak itu. Watak doktor yang dipegang oleh pelakon jelita Dynas juga membuatkan aku tergelak. Rambut panjang mengurai itu nampak sangat awkward dan entah apa-apa. Mungkin pengarah sengaja mahu memberikan persona ala misterius pada watak itu. At least choose a better wig la, come on. Nampak keras rambut itu. Mengingatkan aku pada filem Zaiton Ceritaku yang mana pelakonnya mengenakan wig yang nampak sangat ‘pelesu’ dan keras semacam.  Itu bukan Zaiton Sameon... itu Rod Stewart. Ahh! Asyik nak kritik saja. Kau buatlah filem sendiri Jee Fairuz Johari…

     Maaf sekali lagi, ini cuma pandangan aku sahaja. Pandangan orang lain mungkin berbeza. Filem ini bukanlah filem melayu terburuk. Filem Mistik tahun 2003 dan Dua Alam Dr Rozmey masih menggungguli carta filem terburuk pernah aku tonton. Kalau menonton tanpa memikirkan dan mencari kekurangan dalam cerita ini, anda pasti akan enjoy menontonnya. Bukankah menonton wayang itu salah satu cara untuk berhibur dan menghilangkan stress? Jangan salahkan aku, aku memang suka melihat sesuatu dalam perspektif yang berbeza. Orang berjiwa seni memang begini. Haha. Tontonlah filem ini, nilaikan sendiri. Aku bagi 2/5 bintang untuk filem ini. Ohh I should have watched The Iron Man 3. Lupakan Nabila Huda buat seketika. Robert Downey Jr, sing for me please…

Miming saja... (suara Elton John sebenarnya)

P/S:  Sokonglah industri filem tempatan.