Apabila engkau berani menerima gelaran sebagai guru, cikgu, ustaz, ustazah.. terimalah bahawa :
Gelaran guru itu adalah bebanan yang amat berat. Bersedialah engkau untuk belajar dan mengajar dan tambahi ilmumu untuk mendepani murid-murid yang ingin tahu..bagi menerangi kegelapan kejahilan dengan cahaya ilmu..
Kadangkala
Apabila engkau menghukum kerana mendidik - engkau pun dicemuh, dimaki hamun, dimarahi ibu ayah yang tidak memahami..
Samada suka atau tidak - engkau perlu meninggalkan keluarga untuk bersiang dan bermalam bagi menjadikan anak muridmu berjaya dalam persekolahannya. Jarang yang bertanya - bagaimana anak saya di sekolah ? baikkah sahsiahnya ? dibanding dengan keputusan peperiksaan ketika hari terbuka.
Kebaikanmu yang banyak akan disembunyikan - namun awas jika sekali engkau tersilap, habis segala peribadimu akan diselongkar, dimalukan.. walaupun engkaulah yang pernah mendidik anak muridmu..
Tugasmu bukan sekadar mengajar dan mendidik, engkau akan menjadi sang doktor yang merawat anak muridmu yang sakit, yang inginkan perhatian dan kasih sayang dan dahagakan nasihat untuk motivasi diri.
Engkaulah yang menjadi ibu dan ayah yang mengasuh dari pagi hingga ke petang. Engkau seorang, namun punya anak yang puluhan bilangannya.. yang alim, yang berbudi bahasa, yang rajin, yang bersungguh-sungguh, yang pintar, yang bodoh, yang lembam, yang aktif, yang menangis, yang berak dan kencing, yang nakal, yang suka tidur di dalam kelas, yang mengganggu rakan-rakan, yang malas membuat kerja rumah, yang berani melawan dan membentak, yang merosakkan keretamu, yang taat dan patuh.. bermacam ragam dan perangainya
Jika anak muridmu jahat - engkau dipersalahkan
Jika anak muridmu malas - engkau ditunding-tundingkan
Jika anak muridmu gagal - engkaulah akan diperkata-katakan
Jika anak muridmu berjaya menjadi orang - siapa yang akan menghargaimu dan mengenangmu sebagai seorang guru yang pernah mendidik anak muridmu ?
Sebab itu bukan mudah untuk menyandang gelaran guru. Tidak sama pandangan orang tentang guru di zaman dulu dan zaman ini.
Kerana itu juga, sabarlah kerana engkau seorang guru.. Amalmu bukan untuk waktu ini sahaja, kerana ia berpanjangan hingga ke akhirat sana..
Sabar dan ikhlaslah kerana menjiwai dirimu sebagai seorang guru.