Rabu, 28 Mei 2008

ALLah Tidak Sama Dengan Segala Yang Baharu (Mukhalafatuhu ta'ala lil hawadith)

Allah Ta'ala tidak sama dengan yang baharu pada sifatNya :

1. Sifat ALlah ta'ala memang sudah sedia ada bersamaNya.

2. Ta'aluq sifat ALlah menyeluruh, tetapi makhlukNya adalah terbatas pada setengah-setengah perkara.

ALlah Ta'ala tidak sama dengan yang baharu(makhlukNya) pada perbuatan :

1. Perbuatan ALlah ta'ala memberi kesan, manakala perbuatan makhluk tidak memberi apa-apa kesan ia adalah sekadar usaha sahaja.

2. Perbuatan ALlah ta'ala tidak berkehendak (tidak memerlukan) apa-apa perantaraan atau alat atau sebagainya.

3. Perbuatan ALlah ta'ala tidak memerlukan pembantu.

4. ALlah ta'ala tidak mengambil faedah daripada perbuatanNya.

5. Perbuatan ALlah Ta'ala tidak sia-sia.

Dalil aqli


Sekiranya ALlah sama atau serupa dengan yang baharu, maka ALlah ta'ala juga baharu. Logik akal tidak dapat menerima hakikat ini kerana ALlah ta'ala bersifat dengan sifat qidam (sedia) dan baqa' (kekal). Oleh itu, ALlah ta'ala tetap bersifat dengan Mukhalafatuhu ta'ala lil hawadith.

Dalil Naqli

Firman ALLah :

ۚ لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَىۡءٌ۬
"Tiada sesuatupun yang sama (zat, sifat dan perbuatan) denganNya. (Surah As Syura :11)

Ahad, 25 Mei 2008

Menulis dengan Jiwa

Apa tujuan kita menulis?

Banyak sebab mengapa kita menulis, ada yang menulis untuk diri sendiri, untuk diambil pengajaran melalui diri sendiri, untuk mengisi masa lapang. Ada yang bertujuan meluahkan perasaan dan memberi buah pandangan. Begitu juga untuk menyampaikan ilmu, isu semasa dan sebagainya. Bahkan ada juga untuk menyebarkan ideologi, fahaman dan cara berfikir samada ia adalah benar ataupun tidak. Begitulah, setiap orang ada alasannya masing-masing untuk menulis..

Timbul persoalan di dalam fikiran, entah mengapa di zaman ini yang semakin bercambah ilmu, buku-buku yang mudah didapati di pasaran, ilmu sudah amat mudah diperolehi dengan senang melalui satu ketikan di papan kekunci komputer. Terlalu susah untuk mencari tulisan yang dapat memberikan suntikan ke dalam jiwa, yang dapat memberikan nilai akhlaq yang nampaknya semakin terhakis dari diri manusia ?..

Ya, ramai yang boleh menulis, tetapi tidak ramai yang dapat memberikan cahaya apa yang ditulis kepada orang yang membacanya.

Ada orang yang menulis artikel ilmiyah, tetapi yang dapat di dalam minda hanyalah hujjah-hujjah untuk menghentam dan menyesatkan jemaah Islam yang lain. Akhirnya lahirlah tulisan yang hanya berpandukan kepada hawa nafsu - untuk menang. Tiada di situ perimbangan yang adil di dalam menilai, alangkah banyaknya tulisan yang membawa manusia kepada permusuhan dan perpecahan... Patutlah - sudah diajar bahawa apabila membaca perlu ada gurunya, bila belajar biarlah ada disiplin ilmu dan tidak terkecuali adab-adabnya baru diri tidak tergopoh-gapah di dalam membuat penilaian.

Ada juga yang menulis tentang isu politik, gelagat artis -diceritakan pula gosip-gosip panas, dicantikkan agar yang buruk menjadi baik. Yang baik pula diburuk-burukkan. Akhirnya timbullah kecelaruan - dimanakah sebenarnya kebenaran....

Timbul di dalam hati... di zaman ini, alangkah sukarnya mencari ilmu yang hadir dari jiwa yang bersih. Perkataannya boleh menimbulkan rasa ingin membuat kebaikan, bait tulisannya menggerakkan diri untuk berjihad ke arah kebenaran, yang dapat memberikan kesatuan dan mengibarkan semangat untuk berjuang. Tulisan yang hadir dari hati yang ikhlas dan bersih akan masuk ke dalam hati, melembutkan empunya budi, biar tidak ramai yang akan membacanya (maklumlah terkadang yang ditulis tidak banyak petikan dan hujah dari al Quran dan hadith - apapun isinya tidak menyalahi kedua sumber ini) tetapi daripadanya terdapat akhlaq yang membentuk diri yang membacanya.

Barokahnya kitab yang dikarang oleh ulamak terdahulu, menjadi tempat rujukan di setiap generasi. Ada ahli hadith sebelum menulis - dihubungkan dirinya dengan ALlah dengan membuat solat sunat terlebih dahulu. Ada juga ulamak yang kata-katanya dinukil menjadi kata hikmah yang menjadi penyubur jiwa, kerana kata-kata yang dilukiskan di lidahnya adalah dari hati yang tercerna menjadi akhlaq diri. Waraknya mereka untuk tidak menobatkan diri mereka sahaja yang benar, kerana kebenaran itu datangnya dari al Quran dan Sunnah dan pemegang kebenaran sebenarnya adalah ALlah.

ALlahu.. ALlah..

Wahai diri... apa yang engkau tulis kini yang dibaca orang akan dipertanggungjawabkan. Tiada alasan untuk memadamkan kesalahan jika kebatilan yang engkau bawa. Jika ada disebaliknya kebaikan dan dapat mengubah diri manusia itu adalah atas kehendakNya. Jangan sombong dengan tulisan untuk mendabik dada.

Ingatlah wahai diri.. jika ini sahaja kelebihanmu untuk menyampaikan ilmu melalui penulisan, coretkan ia dengan ikhlas. Jangan sampai ia menjadi fitnah yang tidak berkesudahan.. Kononlah darinya engkau inginkan amal kebaikan, rupa-rupanya pada pandangan ALlah adalah amal kejahatan.... ALlahu.. ALlah...

Isnin, 19 Mei 2008

Mereka Memilih Islam II


Ikuti Kisah-kisah pengislaman Dr. Gary Miller (Pakar Matematik Kanada), Aminah asSilmi (Bekas Kristian dan Aktivis Pembebasan Wanita), Idris Tawfiq(Bekas Paderi), Estanislao Soria (Bekas Paderi), Michael Wolfe (Dari Keluarga Kristian-Yahudi Amerika), Rosalyn Rushbrook (Berijazah Dalam Teologi Kristian London).... Saya percaya masih ramai yang belum membaca atau mengetahuinya.

Dr. Gary Miller (Tokoh Ilmu Teologi Kristian Dari Kanada, Pakar Matematik)

Dr. Gary Miller (Abdul Ahad Omar)berasal daripada Kanada. Beliau merupakan seorang pakar matematik yang mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian. Pada tahun 1978 beliau dihadiahkan al-Quran dan selepas membacanya beliau mula menyedari tentang kepincangan Bible dan kebenaran al-Quran. Beliau terus memeluk agama Islam dan merupakan seorang pendakwah Muslim yang komited hinggalah ke hari ini. Antara tulisan beliau yg menarik ialah yang bertajuk "The Amazing Quran" (Quran Yang Mengagumkan). Dalam tulisan ini beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.

Antara tulisannya ialah, "Seperkara yang mengejutkan golongan yang bukan Islam selepas mereka mengkaji al-Quran ialah, ia tidak seperti apa yang mereka jangkakan. Bagi mereka, al-Quran ialah sebuah kitab tua yang datang dari padang pasir Arab dan berumur lebih kurang 14 abad. Justeru mereka menjangkakan, isi-isinya pasti juga tua lagi kuno seperti umurnya. Sebahagian daripada mereka pula menjangkakan, oleh kerana ia datang dari padang pasir, ia pasti banyak bercerita tentang padang pasir. Tiba-tiba mereka menyedari bahawa ia tidak seperti itu....

Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya. Malah al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains. Konsep sains pada hari ini ialah satu konsep yang memerlukan bukti. Jika seseorang mengutarakan sesuatu teori, pakar-pakar sains tidak akan mempedulikannya melainkan jika ia disertakan dengan bukti dan sanggup melalui beberapa ujian yang saintifik. Al-Quran sebenarnya sanggup diperlakukan seperti itu untuk membuktikan bahawa ia adalah benar. Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar".

(Rujukan: http://www.islamicity.com/science/theamazingquran.shtml

Aminah asSilmi (Bekas Kristian Protestan Amerika, Aktivis Pembebasan Wanita Radikal)

Aminah as-Silmi ialah seorang bekas Kristian Protestan dari kumpulan Gereja Southern Baptist. Beliau juga merupakan seorang aktivis dari kumpulan pembebasan wanita yang radikal dan pernah bertugas sebagai seorang wartawan penyiaran. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dan mendapat pelbagai anugerah kecemerlangan ketika berada di sekolah. Ketika di kolej beliau terpaksa belajar dengan wanita-wanita Arab yang rata-ratanya memakai tudung. Beliau menganggap mereka sebagai "golongan yang menjijikkan.Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berdakwah kpd mereka agar mereka menganut agama Kristian.

Untuk tujuan itu beliau telah mengkaji Islam dengan mengkaji al-Quran, Sahih Muslim dan 15 buku yang lain. Kajian terhadap Islam ini berterusan selama 2 tahun dan akhirnya persepsinya terhadap Islam telah berubah. Ketika itu barulah beliau menyedari betapa Islam merupakan agama yang amat memuliakan wanita. Pada tanggal 21 Mei 1977, beliau mengucap dua kalimah syahadah. Selepas memeluk Islam beliau berpakaian menutup aurat dan tindakan itu menyebabkan beliau kehilangan kerjayanya sebagai seorang wartawan penyiaran di Denver. Malah mahkamah memutuskan beliau dipisahkan daripada anak-anaknya disebabkan keislamannya. Akhirnya, dengan izin Allah, anak-anaknya, ibu bapanya dan bekas suaminya memeluk Islam...
(Rujukan: http://www.texnews.com/religion97/muslim110197.html


Idris Tawfiq (Bekas Paderi Roman Katolik UK)

Idris Tawfiq ialah seorang bekas paderi Katolik (Roman Catholic). Beliau memperoleh ijazah dalam bahasa Inggeris dan Sastera daripada Universiti Manchester, dan dalam bidang Teologi (Sacred Theology) atau Ilmu Ketuhanan daripada Pontifical University of Saint Thomas Aquinas di Rom. Sebelum memeluk Islam beliau berpandangan Islam ialah satu agama kolot yang merendahkan martabat wanita, mementingkan keganasan dan mengajak umatnya agar mengebom diri untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Ketika beliau bercuti di Mesir selama seminggu beliau mula menyedari bahawa umat Islam secara umumnya tidak seperti yang dipaparkan dalam media massa di Barat.

Apakah perbezaan yang besar antara agama Kristian Katolik dan Islam? Beliau menjawab, "Asas bagi agama Islam ialah Allah. Kesemua perkara adalah berpaksikan Allah... Ia tidak menjadikan, sebagai contoh, Nabi Isa sebagai paksi. Seperkara yang lain ialah, Islam merupakan satu agama yang komprehensif. Ia bukan satu agama yang menekankan ibadah pada hari-hari tertentu (contohnya hari Ahad) sahaja. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya tentang cara untuk menyapa orang lain, adab-adab makan minum, adab-adab memasuki bilik, malah tentang setiap perkara." (Rujukan: http://www.idristawfiq.com/

Estanislao Soria (Bekas Paderi Roman Katolik Filipina)

Estanislao Soria ialah seorang paderi Kristian dari mazhab Katolik (Roman Catholic) yang berasal dari Filipina. Beliau mendapat pendidikan dan memperoleh ijazah dari Xavier University dan Loyola School of Theology, Ateneo de Manila University. Ketika pemimpin Islam Moro, Nur Misuari, bercadang untuk menjadikan Mindanao sebuah negara Islam terpisah daripada Filipina, Estanislao Soria menentang cadangan itu. Beliau (yang lebih dikenali di Filipina sebagai 'Father Stan') berazam membuktikan penentangan beliau itu secara ilmiah. Justeru beliau telah membuat kajian yang mendalam dalam bidang sosiologi dan sejarah Filipina untuk membuktikan bahawa cadangan Nur Misuari adalah tidak berasas sama sekali. Di samping itu beliau berasa perlu untuk berdakwah kepada orang-orang Islam bertujuan untuk membawa mereka kepada Kristian. Untuk mencapai tujuan ini buku-buku tentang Islam telah beliau baca dan kaji.

Akhirnya sesuatu yang mengejutkan telah berlaku, iaitu, selepas beliau mengkaji Islam beliau menyedari bahawa Islamlah agama yang sebenarnya dan seterusnya memeluk agama Islam pada tahun 2001. Beliau mendapati banyak pandangan yang diutarakan oleh tokoh-tokoh Kristian seperti Thomas Aquinas adalah berasaskan ajaran Islam. Beliau berkata, "Kajian saya menyedarkan saya bahawa tamadun Barat sebenarnya berkembang kesan daripada ajaran Islam... Saya juga menyedari bahawa Gospel mengikut Barnabas adalah lebih sahih (credible) jika dibandingkan dengan keempat-empat Gospel yang terdapat dalam Bible sekarang (iaitu Gospel mengikut Mark, Matthew, Luke dan John).(Gospel mengikut Barnabas menceritakan dengan jelas tentang pengutusan nabi Muhammad selepas nabi Isa).
(Rujukan: http://www.islamonline.net/english/Journey/2005/11/jour01.shtml


Michael Wolfe (Dari Keluarga Kristian-Yahudi Amerika, Wartawan)

Michael Wolfe berasal daripada Amerika. Ibunya ialah seorang Kristian dan bapanya seorang Yahudi. Justeru berlatarbelakangkan itu beliau berkesempatan mengenali agama Yahudi dan Kristian namun kedua-dua agama itu tidak menarik perhatiannya. Agama Yahudi, baginya, amat menekankan tentang kaum yang terpilih (iaitu golongan Yahudi), dan pandangan ini tidak dapat beliau terima. Agama Kristian pula diselimuti pelbagai misteri.

Beliau menegaskan, "Agama kebenaran yang saya cari mestilah satu agama yang tidak mengabaikan aspek metafizik dan sains. Ia bukannya satu agama yang sempit yang susah untuk difahami. Agama itu tidak memerlukan manusia perantara seperti paderi. Ia tidak menentang perkara tabii seperti seks. Dalam agama itu perlu ada ritual atau amalan harian agar dengan itu kesedaran diri dapat dipertajam dan minda dapat disiplinkan. Yang paling penting, saya perlukan kejelasan dan kebebasan dalam beragama kerana saya tidak mahu membuang akal fikiran untuk digantikan dengan dogma atau kepercayaan secara membuta tuli... Dan semakin saya mengkaji Islam semakin saya menyedari bahawa inilah agama yang saya cari..... Antara buku yang beliau karang ialah 'The Hajj: An American's Pilgrimage to Mecca' dan 'One Thousand Roads to Mecca: Ten Centuries of Travelers Writing About the Muslim Pilgrimage'. Beliau mendapat Anugerah Wilbur 2003 kerana buku agama terbaik yang dihasilkan.

Rosalyn Rushbrook (Berijazah Dalam Teologi Kristian, Penulis Dari London)

Ruqaiyyah Waris Maqsood dilahirkan pada tahun 1942 di kota London, UK. Nama asalnya ialah Rosalyn Rushbrook. Beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian dan memperoleh ijazah dalam bidang Teologi Kristian daripada Universiti Hull pada tahun 1963. Pengetahuan beliau yang mendalam dalam ilmu Kristian merangsang beliau untuk menulis beberapa buah buku tentang agama itu.Antara buku yang ditulis beliau ialah 'In the Steps of Jesus', 'Jesus of Nazareth', 'Does God Have a Body?' dan 'The Trouble with God'.

Namun pengetahuannya yang mendalam tentang Kristian juga menyedarkan beliau tentang kesesatan agama Kristian terutamanya yang berkaitan dengan konsep triniti. Akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1986. Pada hari ini beliau berjaya menghasilkan pelbagai buku tentang Islam dan pada tahun 2001 beliau dianugerahkan Anugerah Iqbal kerana sumbangannya.

Mereka telah memilih Islam setelah mengkaji al-Quran. Bagaimana dengan kita semua yang sudah Islam? Adakah kita mengkaji dan membuat rujukan dengannya? Renung-renungkan....

sumber : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=9872&mode=thread&order=0&thold=0

Jumaat, 16 Mei 2008

Selamat Hari Guru!

Kepada ustaz ustazah, guru-guru, cikgu, para alim ulamak...yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Terima kasih kuucapkan kerana memberikan ilmu dan didikan selama ini. Ya ALlah berilah kebaikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. Sungguh jasa mereka amat besar kepada kami.. Aminn...

GURU OH GURU

BERBURU ke padang datar

Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Rabu, 14 Mei 2008

Sifat Pemimpin Menurut Al Ahnaf

Walaupun Al-Ahnaf bin Qais bukanlah berasal daripada keluarga yang ternama, tetapi beliau begitu menonjol di kalangan kaumnya, Ayah dan ibunya juga bukanlah orang yang berada.

Oleh kerana itu, ada yang bertanya kepadanya :"Siapakah orang yang sepatutnya dilantik mengetuai kaumnya, wahai Abu Bahr?"

"Orang yang ada empat sifat ini sepatutnya memimpin kaumnya," jawab Al-Ahnaf. "Apakah sifat-sifat itu?".

"Orang yang mempunyai agama yang akan mempertahankannya, kedudukan yang akan memeliharanya, fikiran yang akan membimbingnya dan rasa malu yang akan mengawalnya," jelas Al-Ahnaf.

Selasa, 13 Mei 2008

Mencari Hikmah Di Sebalik Kegagalan

Sukar untuk menerima kegagalan?

Biasanya kerana sudah ada di minda kita satu stigma - HIDUP INI PERLU BERJAYA SAHAJA TANPA GAGAL, ataupun TAKUT MENERIMA KEGAGALAN.

Antara faktor lain - terlalu yakin dengan diri sendiri dan lupa bahawa kita ini adalah hamba yang disuruh berusaha - manakala natijah terakhir adalah di bawah kekuasaan ALlah.

Kegagalan Adalah Fitrah

Kenangi semula awal penghidupan sebagai manusia. Budak kecil yang bermula dari tidak tahu apa-apa, tidak pandai berjalan, berlari. Langkah pertamanya adalah dengan bertatih merangkak, semasa ia kenal untuk berjalan ia mencuba bangun perlahan-lahan dan kadang-kadang terduduk sehinggalah ia tidak berputus asa untuk mencuba berkali-kali sehingga boleh berjalan betul dan berlari.

Kita kembali sedikit kepada sirah, RasuluLlah berdakwah selama 23 tahun untuk menyampaikan ajaran Islam. Tetapi baginda tidak pernah mengaku kalah. Padahal di peringkat permulaan dakwah baginda hanya terdapat ramai orang-orang miskin dan hamba abdi yang lemah. Tetap juga RasuluLLah meneruskan tugasnya dengan penuh amanah walaupun tahu di hadapannya banyak sekali kesusahan yang bakal diterimanya. Kerana ia tahu ALlah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.

Di dalam peperangan sememangnya akan berlaku menang dan kalah. Tetapi kita lihat kepada semangat jihad para pejuang Islam yang ikhlas mereka mengatakan - Samada syahid atau menang. Kekalahan adalah sebagai satu motivasi untuk membangkitkan semangat. Dan hasilnya - Islam itu gemilang sehingga menguasai 2/3 dunia.

Mungkin kita boleh mengambil semangat tokoh bukan Islam seperti Thomas Alva Edison mencuba sehingga 10,000 kali sebelum berjaya menghidupkan lampu dan dia berbangga kerana di dalam percubaan (dibaca kegagalan), beliau berkata : "Aku bukan gagal, tetapi aku telah menjumpai 10,000 sebab yang menjadikan ia tidak menyala!"

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّہَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (١٠٥)

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (105)

Melihat Kegagalan Dari Sudut Positif

Gagal di dalam peperiksaan, gagal di dalam pekerjaan, gagal dalam cinta, gagal dan sebagainya. Ia adalah ujian untuk menunjukkan adakah kita gagal dalam IMAN KEPADA ALLAH?.

Sekali gagal, atau berkali-kali gagal bukanlah menunjukkan kita telah gagal selama-lamanya. Kerana kejayaan itu diukur dengan usaha kita bangun dari kegagalan. Orang yang gagal adalah orang yang tidak mahu berusaha, yang tidak mampu bangkit dari kekalahan.

ALlahu ALlah... lihatlah kegagalan itu dari sudut positif. Dengan hanya bersedih, mengerutkan muka, menyesali apa yang telah berlaku tanpa mengubah diri. Anda tidak akan ke mana-mana. Ambillah hikmah dari kegagalan .Pandanglah ke hadapan, kita perlu meneruskan hidup yang bukan hanya untuk dunia sahaja bahkan di akhirat nanti.

Kata Hamka : "Jangan takut jatuh, kerana yang tidak memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagallah yang tidak pernah cuba melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua".

Motivasi Dari ALLah :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٢٠٠)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya”. (Ali Imran: 200)

Bangkitlah wahai jiwa, Orang Islam Yang Beriman pasti berjaya, jiwanya sentiasa hidup dengan pengharapan dan usaha. Hayya 'alal falah!

Ahad, 11 Mei 2008

Mereka Hendak Menggunakan Kalimah ALlah?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan usaha sebuah gereja untuk membenarkan pengunaan ALlah di dalam Bible. Sudah kita ketahui Kristian yang ada sekarang ini asalnya adalah dari agama samawi tetapi telah diselewengkan oleh tangan-tangan manusia seperti pengubahan isi kandungan bible yang bercanggah antara satu dengan yang lain dan banyak lagi 'error' yang sepatutnya tiada di dalam bible yang dikatakan wahyu dari Tuhan.

Banyak pendapat dari ilmuwan agama. Ada yang menyokong terus penggunaannya seperti Mufti Perlis itupun dengan menyelitkan perlekehan kepada ulamak muktabar mengenai pembelajaran sifat 20 yang katanya sila rujuk :

:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Ada yang membenarkan dengan bersyarat seperti yang dikatakan oleh iaitu Ustaz Haji Mohamed Daud al Iraqi antara petikannya :

tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah 'Allah' malah ia sering digunakan oleh umat Krristian dan Yahudi sejak dari dahulu.

"Cuma jika Allah itu dikaitkan dengan perbuatan dan pemujaan syirik seperti mendua atau mentigakan Tuhan, itu adalah bertentangan dengan agama dan syarak dan dilarang umat Islam mengikut serta; tetapi jika mereka merujuk Tuhan yang sama tidak mengapa," katanya ketika dihubungi Harakah.


dan ini :

Mengulas lanjut, Dato’ Mohamed berkata, ayat-ayat al-Quran turut menyatakan bahawa orang bukan Islam juga memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT termasuk menyebut kalimah Allah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jika akhbar Herald mempunyai agenda tertentu seperti mengelirukan orang ramai bahawa Allah juga meredai agama mereka, maka itu adalah dilarang.


Manakala di dalam Jabatan Agama Islam sendiri sudah menyatakan pendirian mereka tentang penggunaan kalimah ALlah yang dilihat lebih merbahaya dan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat Islam di Malaysia. Sila download di sini :

http://www.islam.gov.my/ajaransesat/pdf/KALIMAH%20ALLAH.pdf

http://www.islam.gov.my/ajaransesat/pdf/isu%20kalimah.pdf

Saya bersetuju dengan pendapat yang bersyarat serta menghalang pengunaan kalimah ALlah seperti yang dijelaskan oleh Jabatan Agama Islam tersebut.

Ingatlah pendapat yang diberikan sepatutnya dilihat dari konteks umat Islam yang berada di Malaysia. Kerana itu pelbagai perkara perlu diperhatikan sebelum menjatuhkan sesuatu hukum.

Sekarang mereka meminta penggunaan ALLah, akan datang apa pula? Kami pun ingin buat gereja menyerupai masjid? Ingin bernasyid, Kami juga ingin kebebasan untuk membuat surah baru di dalam al Quran - sudah ada dahulu seperti surah al muslimooon , surah wasoya dan sebagainya - itupun berapa ramai yang tahu di luar sana?

Yang bersetuju tanpa ada syarat? Silakan - tetapi ingatlah - apabila sudah ada kebenaran seperti ini, berlakunya perkara murtad yang lebih meluas, kekeliruan (sekarang ini pun orang awam banyak keliru dengan adanya mazhab la mazhabiyyah, ayah pin, ajaran guru kahar).Berapa banyak lagi kekeliruan yang hendak ditimbulkan sedangkan aqidah masih tidak dimantapkan di kalangan orang awam?

Adakah selepas ini kita akan menyalahkan dahulu orang awam. Asyik tunding menunding sahaja. Sedangkan kecelaruan sudah terjadi sebagaimana apa yang berlaku pada silap faham ISLAM HADARI.

ALLahu ALLah.... umat Islam itu bersaudara yang kasih mengasihi antara satu dengan yang lain. Jauhi diri daripada sikap individualistik. Cubit peha kiri terasa sakitnya di peha kanan. Sanggupkah kita melihat saudara kita yang lain terus berada di dalam kekeliruan, kejahilan mengenai Islam?..

Jumaat, 9 Mei 2008

Jalan Ini Jalan Kita


Tazkirah ini dahulunya saya tulis untuk diri saya dan sahabat-sahabat Comrade yang seperjuangan di dalam menyebarkan dakwah kepada orang asli. Perjuangan yang memerlukan kekuatan jiwa, banyak sabarnya yang tidak terluah dengan kata-kata. Dan kini saya tujukan juga untuk mereka yang berjuang untuk menyebarkan Islam.. Kita semua adalah bersaudara.. ALlahu Akbar!
...........................................................................................................................................................................

Sahabat jangan bosan dengan perjalanan dakwah ini, jalan yang telah biasa kita tempuhi selama ini. Jalan ini yang telah mendekatkan kita antara satu sama lain, jalan ini telah memberitahu kita siapa sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya yang perlu dijadikan pengajaran. Sebuah perjalanan dakwah tidak akan sunyi dari pancaroba dan pahit getir ujian. Jangan engkau berundur dari denai yang menguji jiwa ini, maklum sajalah ia tidak menjanjikan apa-apa pangkat dan kehormatan untuk engkau berbangga, tidak pula memberikan sedikitpun gaji untuk engkau terima, dan tidak pula menjamin bahawa perjalanan ini mudah dan menyebabkan hati engkau akan menjadi tenang selalu.

Sahabat, jalan ini adalah jalan kita, bukankah engkau dahulu menyatakan dengan perasaan dan hati berkobar-kobar ingin meninggikan Islam di mata manusia? Bukankah engkau dahulu pernah berikrar bersama-sama untuk sanggup mati sebagai syuhada’ di jalan mulia ini? Kerana tidak semua manusia dapat dinilai kualiti dirinya sekiranya tidak mengalami ujian di dalam medan dakwah ini, benarkah kita ini hanya pandai berkata-kata mulut manis santun bicara, tetapi setiba sahaja panggilan jihad ini maka engkau mengundurkan diri dengan memberikan seribu satu alasan yang anak kecil pun boleh mereka-reka cerita dengannya.

Sahabat, cuba engkau perhatikan dalam-dalam kata-kataku ini, cuba buka laut fikirmu, benarkah bagai dikata bahawa engkau mengaku dirimu bersaudara dengan setiap Muslim dan Mukmin? Sedangkan dirimu masih mencintai diri sendiri melebihi saudara-saudara kita? Engkau sanggup tidur lena di tilam empuk sedangkan ada saudara-saudara kita menjerit hati batinnya untuk belajar tentang Islam tetapi tiada orang yang ingin menyambut tangan-tangan yang memerlukan ini.

Di sana ada musuh yang tidak tega melihat Islam tertegak, di sana ada orang yang berpura-pura seperti api dalam sekam ingin melihat Islam itu hancur, dan mereka ketawa apabila orang Islam telah menanggalkan pakaian Islam di hati dan zahiriyyah mereka. Dan ketika itu di dalam hatimu telah terjadi peperangan antara iman dan nafsumu yang menggelodak, sekiranya nafsu menabiri mata maka di dalam perjalanan dakwah ini engkau telah tertewas dan untuk kesekian kalinya ada sahaja jiwa lain yang seaqidah dengan kita turut sama terkorban kerana orang yang ditunggu untuk menyelamatkan mereka telah melarikan diri dari medan dakwah hanya kerana nafsu itu lebih bererti dari iman baginya...

Bagaimana diri ini sahabat, kita tidak lebih dari hamba Allah yang berjalan untuk singgah sebentar melepaskan lelah, dan dalam kelelahan itu ada sahaja tawaran yang menarik mata hati untuk tinggal lebih lama di situ padahal kita tahu perjalanan perlu diteruskan, dan tempat persinggahan itu tidak lama lagi akan hancur lebur. Tidak perlulah aku mengulang lagi akan kisah kesedihan, kesakitan, keperitan dan kepenatan di jalan ini. Kerana hanya mereka yang faham sahaja akan tersenyum riang dan tabah serta berazam untuk terus berada di jalan ini.

Biarlah usaha kita ini dipandang kecil, orang memandang rendah, tetapi Tuhan melihat kita dengan pandangan rahmat, jiwa-jiwa kita dipayungi dengan iman dan Islam. Ditakdirkan kita mati sebelum dapat mencapai cita-cita murni, mudah-mudahan kita tidak keseorangan kerana diri kita telah menyatu di dalam menolong agamaNya ini. Sesunngguhnya tiada yang lebih tinggi dari Islam kerana Islam itu adalah yang tertinggi. Semoga Allah bersama-sama dengan kita... Aminn..

Rabu, 7 Mei 2008

ALLah Tidak Sama Dengan Segala Yang Baharu (Mukhalafatuhu ta'ala lil hawadith)


ALlah tidaklah sama dengan segala makhlukNya bahkan dengan apa yang kita fikirkan samada dari segi sifat, zat dan perbuatan.

ALLah tidak sama dengan makhlukNya dari segi zat :

1. Zat ALlah bukan Jauhar - Benda yang halus yang boleh dibahagi seperti ruh dan angin

2. Zat ALlah bukan Jirim - Benda yang memerlukan ruang seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan

3. Zat ALlah bukanlah Aradh - Iaitu sifat makhluk seperti besar dan kecil

4. Zat ALlah bukan berbentuk Juz'iyyah - Bahagian-bahagian yang membentuk sesuatu benda. Contohnya : Manusia mempunyai anggota badan seperti tangan, kaki, mata, tubuh badan yang membentuk diri mereka.

5. Zat ALlah tidak berjisim - iaitu benda nyata dan berbentuk seperti benda hidup dan benda mati.

6. Zat ALlah tidak berpihak - tidak berarah seperti hadapan, belakang, kiri dan kanan.

7. ALlah tidak bertempat - tidak memerlukan ruang tempat (jirim dan aradh)

8. Zat ALlah tidak bermasa - tidak memerlukan masa (jirim dan aradh)

Akan bersambung ..

Selasa, 6 Mei 2008

Anak Muridku


Murid Lelaki Darjah 6 SAR Johor 2007


Antara murid perempuan Darjah 6 SAR Johor 2007

Bergambar beramai-ramai

Kudoakan agar kamu menjadi pelajar yang soleh dan solehah, mungkin di suatu hari nanti kita akan bertemu dalam keadaan yang berbeza. Manalah tahu ada yang menjadi jurutera, doktor, tentera, peguam syariah.. Dan aku mengharapkan agar terisi di dalam diri masing-masing jati diri Islam yang sejati. Dan kita bersama-sama memartabatkan Islam di persada alam ini. Mudah-mudahan semua ditentukan syurga, bahagia mendapat restu yang Esa.. Amiinnn


Ahad, 4 Mei 2008

Berilmu Tetapi Tidak Berakhlaq?

Kes 1 :

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulamak yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh - ulamak tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya - yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulamak yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulamak itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulamak yang ia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah - itu haram, ini bid'ah, engkau sesat!

Kes 2 :

Seorang murid, sudah diajar akhlaq oleh gurunya. Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.
...........................................................................................................................................................................

Tahu dan Faham

Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi ia lupa - pengeTAHUan yang ia ada hanya sedikit. Akhirnya TAHUnya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya terasa betul. Ia tenggelam dalam TAHU tapi JAHIL akhlaq.

TAHU sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan gula apatah lagi dimana ia perlu digunakan kemanisan gula tersebut.

ALlah dan RasulNya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, samada dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan sesama saudara Islam. Bukankah RasuluLLah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq, bahkan akhlaq RasuluLLah itu sendiri adalah al Quran?

Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru, ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka.

قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : 9)

Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun, diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam al Quran.Telah dicontohkan oleh RasuluLLah di dalam peperangan Uhud, sahabat yang lebih banyak mengambil al Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang kubur.

Dari Jabir r.a : Sesungguhnya Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam telah menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka-mereka yang terbunuh di dalam peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda :"Yang manakah dari keduanya yang lebih banyak mengambil al Quran?". Apabila ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke dalam liang lahad. (Riwayat Bukhari)

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

ALLahu..ALlah..

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan ALLah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi ALLah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan ALLah.

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Surah al Fatir : 28)

Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri?. Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?.

Ilmu tanpa akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh ALlah.

Jumaat, 2 Mei 2008

Khamis, 1 Mei 2008

Berjalan Di dalam Kegelapan

Malam itu mereka berjalan di dalam kegelapan malam. Dengan mata yang terbuka, diberi kata peransang dan nasihat, agar perjalanan menempuh gelap malam itu dijadikan sebagai motivasi diri.

"Awak ingat banyak-banyak kepada ALlah, berzikir dan minta taubat kepadaNya". kata seorang fasilitator. Ada beberapa orang yang mengangkat tangan mengatakan tidak sanggup untuk meneruskan berjalan malam tersebut. Tetapi setelah diberikan kata-kata peneguhan mereka akur.

Maka bermulalah perjalanan pada malam itu, mereka dilepaskan seorang demi seorang. Untuk tahu cekalnya hati, di manakah diletakkan Tuhan ketika di dalam kesusahan.

"SubhanaLlah, walhamduliLLah, wa lailaha illaLLah, ALlahu Akbar! SubhanaLLah, AlhamduliLLah, wa La ilaha ilaLLah, ALlahu Akbar!". Mereka berzikir, bertasbih dan bertahmid memuji-muji ALlah.

Seorang lalu berhampiran, dan ditegur di dalam kegelapan "Awak nombor berapa?". "ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!". Seorang peserta menjerit dan makin laju ia melangkah ketakutan!
..........................................................................................................................................................................

Sesudah habis perjalanan, mereka telah dikumpulkan di satu tempat berdekatan dengan asrama masing-masing. Lalu ditanyakan pengalaman - apa perasaan setelah menempuh perjalanan yang gelap? Masing-masing memberikan pendapat gerun, seram, dan ramai mengatakan ketakutan.

Lahir di dalam kegelapan menuju kepada kegelapan

Semasa berada di kandungan ibu, tiada sedikitpun cahaya yang ada di dalam ruangan yang sempit tersebut. ALlah memberi nikmat pendengaran - apa yang berlaku di luar, kita akan pelajari menerusi pendengaran. Begitulah bila lahir sahaja ke dunia, setelah beberapa lama barulah melihat cahaya. Perjalanan diteruskan di mukabumi sehinggalah nyawa kita diambil lalu dimasukkan ke dalam liang lahad untuk menemui kembali kegelapan.

Di alam dunia - manusia yang bijaksana memikirkan apa yang perlu dibuat, matlamat hidupnya, ke mana ia akan pergi setelah itu. Akal yang bijaksana akan selalu mengambil pengajaran agar nanti di alam barzah harapnya kubur akan diterangi dengan amal soleh. Semoga di situ akan menjadi tempat tidur yang aman sementara menunggu kehancuran alam untuk dihisab oleh Tuhan..

Bilakah Masanya Kita Akan Kembali Mengingati ALlah?


Manusia telah diberi peluang untuk merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

اغتنم خمسا قبل خمس حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك وغناك قبل فقرك

Rebutlah lima perkara sebelum [datang] lima perkara: Hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum sebelum masa sibukmu, masa mudamu sebelum masa tuamu dan masa kayamu sebelum faqirmu. (Hadis Riwayat Imam Ahmad didalam Musnadnya dari Ibn Abbas)

Semasa hidup adakah kita akan mengambil iktibar sebelum datangnya mati?, apa kisahnya tentang kematian yang selalu datang menjemput tanpa diberitahu?. Malaikat akan hadir merenggut nyawa tanpa meminta izin.

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (٢

" Dialah yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."(Surah al Mulk : 2 )

Semasa badan sihat, mata segar bugar, anggota badan yang cukup. Terkadang ALlah berikan ujian. Dahulu tangan inilah yang diberikan peluang untuk menulis, melukis. Lalu suatu hari kakinya kesandung dan pergelangan tangan menjadi mangsa. Lukisnya tidak secantik dahulu, terketar-ketar dan hilanglah kecantikan lukisan itu. Semasa sihat, berapa kali mengingati ALlah? Bersyukur dengan nikmatnya?

Bila sudah terlantar sakit, makanan hanya dijamah sedikit, kepala terasa memberat terpaksa dipapah dan perlukan pertolongan orang lain. Samada diri semakin kuat mengingat ALlah, atau terus merungut dan membentak-bentak pada lisan dan benak.

"Aku dulu banyak kesempatan nak buat itu dan ini, banyak masa terluang menghadiri program dan majlis jemputan, tetapi kini aku benar-benar sibuk. Masaku banyak dihabiskan di tempat kerja, terkadang solat pun terpaksa aku uzurkan..."

ALlahu..ALlah... rupanya Dia menguji kita dengan mengambil sedikit keberkatan masa. Banyaklah sudah masa yang tidak ternilai itu terbuang secara percuma. Tetapi tidak kurang manusia yang masih selesa dengan pembaziran masa.

Di majlis Maulid Nabi itu ada ceramah tentang hal ehwal umat Islam. Dipenuhi dengan orang-orang tua, pakcik dan makcik mendengar dengan khusyuk. Ada yang mencoretkan sesuatu di atas kertas setelah mendengar lontaran nasihat dari penceramah. Ke mana hilangnya orang muda?

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِڪۡرِى فَإِنَّ لَهُ ۥ مَعِيشَةً۬ ضَنكً۬ا وَنَحۡشُرُهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ أَعۡمَىٰ (١٢٤

" Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."( Surah Thaaha : 124 )

Kita tidak selamanya berada di atas, mungkin dilain ketika tangan ini pula menadah. Dahulu pakaian kita berjenama Arnold Palmer, dompet Bonia, kasut Crocodile, jam tangan Rolex dan serba serbi nilaiannya beratus ringgit untuk menutup tubuh sahaja. Dan mungkin pada masa akandatang semuanya itu bertukar menjadi 'bundle' dan mengharap dari belas ehsan untuk mendapatkan pakaian terpakai.

Orang Islam yang hebat adalah mereka yang pandai mengambil peluang, mempunyai persediaan dan perancangan. Setiap masa hidupnya dijadikan jalan untuk beribadah kepada ALlah. Setiap waktu ia tidak lupa kepada Tuhan yang mencipta alam. Ia tahu menyumbang untuk dijadikan amal jariahnya sebagai tanaman dan untuk dituai di akhirat sana.


ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ ٢٥٧

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah Al Baqarah : 257)

Kegelapan - sebenarnya berasal dari hati yang tidak mahu tunduk kepada ALlah. Yang menyinarinya adalah iman yang dizahirkan kepada amal perbuatan. Antara cahaya dan kegelapan- kitalah yang perlu memilihnya.